Bab 7
ALHAMDULILLAH. Terbit ucapan suci
itu mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepadanya. Hati lega bila hari ini
Akil dibenarkan untuk keluar dari hospital. Hanya sehari sahaja ditahan kerana
Akil sudah menunjukkan tanda positif.
Sementara Akil masih lagi tidur, Azra keluar sebentar
untuk menguruskan beberapa perkara untuk keluar dari hospital. Termasuklah
membuat bayaran. Bulan ini pastinya dia akan kering awal kerana kos hospital,
ubat Akil dan keperluan harian mereka. Tapi, Azra yakin ada rezeki lain yang
bakal dikurniakan buat mereka. Insya-Allah.
“Puan, semua bil telah dibayar.”
Azra terkejut apabila petugas hospital memberitahu hal
yang sedemikian. Dia belum lagi membuat bayaran.
“Mungkin awak silap tengok kut. Saya belum bayar lagi.”
Azra tidak percaya. Mana tahu petugas ini silap tengok nama ke apa.
“Pesakit bernama Muhammad Akil bin Arman. Betul?”
Azra mengangguk. Betullah tu itu adalah nama Akil. Tapi,
siapa yang bayarkan pula?
“Boleh saya tahu siapa yang bayarkan?”
“Nadeem Ukail.”
Azra kerut dahi. Itu bukan nama bosnya? Kenapa yang baik
hati sangat tolong bayarkan ni?
“Okey. Terima kasih ya.”
Azra meninggalkan kaunter. Dalam perjalanan ke bilik Akil
semula Azra tidak habis fikir. Rasa macam tak percaya dan masih pelik. Nak kata
ini hospital panel tidak pula. Lagipun untuk staf sahaja. Bukan untuk orang
lain.
Dia menggelengkan kepalanya. Tak apalah. Nanti dia cuba
minta penjelasan daripada Nadeem. Kalau boleh dia nak bayar balik. Tidak mahu
terhutang budi dengan orang lain. Biarlah dia yang tanggung sendiri.
Sebaik sahaja pintu terkuak, Azra sedikit terkejut, tapi
berjaya dikawal dan cuba berlagak biasa. Kehadiran seseorang yang masih setia
melawat Akil.
“Assalamualaikum,” ujar Iyad sebaik sahaja Azra melangkah
masuk ke dalam bilik Akil.
Azra senyum dan menjawab salam dengan suara perlahan.
Bila tengok Iyad dia teringatkan apa yang Syifa katakan. Tapi dia buang
jauh-jauh. Tiada masa untuk fikir itu semua.
“Akil dah boleh keluar.” Tanpa ditanya, Azra memberitahu.
Iyad senyum. Syukur. Akil memang anak yang baik. Tidak
akan menyusahkan ibunya lama-lama.
“Alhamdulillah. Bila boleh keluar?”
“Dah boleh dah. Lepas kemas ni semua bolehlah balik.”
“Bil dan urusan keluar hospital dah selesai?”
Azra angguk. Semua dah selesai. Termasuklah ambilkan ubat
buat Akil. Agak jauh farmasi hospital ini. Terpaksa pusing sana sini mencari
farmasi.
“Jadi, balik dengan apa?” tanya Iyad lagi. Wajah tulus
itu dipandang sekilas menanti jawapan daripadanya.
Hati lelakinya mula terpaut. Tidak perlu dia ragui dan
menghalang dirinya lagi untuk mendekati Azra. Semuanya tentang Azra sudah
berada di tangannya. Allah mudahkan kerja dia.
“Nanti Syifa datang ambil. Lagipun dia naik kereta saya
semalam,” jawab Azra lembut.
Dia menundukkan sedikit badannya mengambil beg baju lalu
dikemasnya. Sementara tunggu Syifa dan Akil terjaga bolehlah dia kemaskan apa
yang patut.
“Tak apa. Saya hantarkan. Saya rasa sudah tiba masanya
untuk saya jadi pemandu awak pula.” Iyad sengih.
Azra memandang Iyad dan pantas kepalanya digeleng. Dia
segan. Bukan dia tidak percayakan Iyad, tapi dia tidak mahu menyusahkan
sesiapa.
“Tak apalah, Iyad. Lagipun Syifa dah janji dah nak datang
ambil saya dan Akil. Semalam dia guna kereta saya.” Azra menolak secara
berhemah.
“Saya boleh telefon Syifa untuk hantar kereta awak terus
ke rumah. Lagipun hari ini pastinya saya datang naik kereta. Kalau naik motor
nanti tunggu Akil sihat. Bolehlah merempit naik motor.” Iyad cuba berseloroh.
Azra tersenyum nipis. Terhibur seketika hatinya yang
sedang bersedih memikirkan tentang nasib dirinya itu.
“Tak apa saya kata. Tak perlulah susahkan diri awak. Kita
ni tiada apa-apa hubungan pun.” Azra membalas.
“Mana tahu satu hari nanti daripada tiada apa-apa
hubungan kita boleh adakan hubungan. Kut-kut boleh jadi papa kepada Akil.” Iyad
mengenyitkan matanya membuatkan Azra membulatkan matanya.
“Tak payah nak merepek sangat, Iyad.” Azra menggelengkan
kepalanya. Pastinya muka dia merah dah sekarang ni bila kena usik macam tu.
Iyad ketawa kecil. Dia memandang tidak berkelip wajah
yang malu-malu itu. Memang buat hati dia berdebar-debar.
Telefon bimbit Azra berdering. Segera panggilan itu
dijawab. Iyad hanya menjadi pemerhati dan memasang telinga.
“Kau kat mana, Syifa?”
Azra gigit bibir. Tidak sedar setiap tingkah dan riak
muka yang dipamerkan itu mencuri perhatian lelaki di hadapannya itu. Tercuit
hati Iyad. Alahai, comelnya!
“Tak apalah gitu. Kau ni janji, tapi tak tepati.
Pandai-pandailah aku balik nanti. Jangan lupa hantar kereta aku,” pesan Azra
sebelum panggilan itu dimatikan.
Dia melepaskan keluhan berat. Macam mana nak bawa balik
Akil ni dalam keadaan dia tidak sihat? Kalau naik teksi mesti cekik darah.
Sebal hatinya dengan Nadeem. Syifa dipaksa untuk bertemu dengan klien. Padahal
hari ini hari minggu kut.
“Kenapa, Azra?” soal Iyad. Dia perasan riak risau dari
muka Azra.
“Tak ada apa-apa,” tipu Azra. Biarlah. Pandai-pandailah
nanti dia cari alternatif lain.
Iyad kemam bibir. Dia tahu mesti ada sesuatu yang tidak kena.
Dia menyeluk sakunya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor Syifa dicari.
Sejurus kemudian, dia meminta penjelasan daripada Syifa dan akhirnya dia dapat
jawapan.
“Jangan risau. Saya hantarkan. Syifa tak dapat
hantarkan?” Iyad senyum.
Azra tunduk. Dia malu kerana terpaksa susahkan orang
macam ni. Selama ini dia cuba hidup atas usaha dan caranya sendiri. Bukan tiada
yang membantu, tapi dia lebih suka menolak. Tidak mahu nampak seperti
meminta-minta.
“Jangan risau dengan saya. Saya ni tak makan orang. Saya
makan nasi. Kalau takut sangat saya boleh bawa jururawat tu sekali buat teman.
Lepas tu saya sanggup hantar jururawat datang sini balik.” Iyad bercanda.
Azra tersenyum nipis. Ada saja yang mencuit hatinya.
Eloklah kawan baik dengan Syifa. Syifa pun lebih kurang gini juga sikapnya.
“Akil ni tak semua orang dapat terima dia, Iyad. Kalaulah
nanti dia rosakkan kereta awak tak takut ke?” soal Azra.
Iyad menggeleng. “Setakat kereta tu apa sangatlah. Semua
ni dunia saja. Bukannya boleh bawa masuk kubur. Malah, saya rasa lagi berbangga
bila kereta tu dapat menumpangkan awak dan Akil.”
“Tak apalah. Saya naik teksi.” Azra menolak lagi.
“Degil sangatlah awak ni. Nasib baik bukan isteri saya.
Kalau tidak dah lama kena cium.” Iyad tersenyum senget.
Azra terkedu. Dia memandang Iyad dengan pandangan yang
terkejut sebelum pandangannya dilarikan.
“Jangan nak terkejut sangatlah, Azra. Saya kata kalau
awak isteri saya. Amin.” Iyad membalas dengan sengihan sambil tangannya
mengaminkan kata-katanya tadi. Geram sungguh tengok wajah gelabah Azra tu.
Azra tidak membalas. Dadanya mula rasa berdengup kencang.
Bagaikan dipam-pam. Sungguh dia rasa segan dan tebal mukanya bila Iyad bergurau
macam tu. Berguraulah bab lain. Itu pula dibuat main, dengus hati kecil Azra.
“Balik dengan saya ya? Kalau tidak saya akan paksa awak
sampai awak setuju.” Iyad mengangkat keningnya. Inginkan kepastian daripada
Azra.
“Apa-apalah.” Azra sudah mula malas nak melayan. Malu
tadi tak habis lagi.
“TERIMA kasih,” ujar Azra
sebaik sahaja dia turun dari kereta. Akil sudah pun masuk ke dalam rumah.
Iyad mengukirkan senyuman. Dia memerhati sekeliling rumah
Azra. Boleh tahan besar jugalah. Tapi, dia tahu yang mereka hanya berdua sahaja
di dalam rumah ini.
“Besar juga rumah awak ya. Tapi duduk berdua saja. Kalau
duduk bertiga rasanya lagi meriah rumah ni.” Iyad mengusik Azra.
Tapi, Azra tidak mengerti. Dia menayangkan wajah yang blurnya.
“Bertiga?” Azra menyoal.
“Tak ada apa.” Iyad sengih lagi.
“Nah. Ini untuk duit minyak awak hantar saya dan Akil.”
Satu sampul surat yang di dalamnya berisi wang dihulurkan kepada Iyad.
Kereta itu bergerak menggunakan minyak. Jadi sebagai
membalas jasa baik Iyad itu sahaja yang mampu dia berikan.
Iyad melihat lantas dia tergelak kecil. Azra oh Azra.
Tiada apa yang diharapkan berbalas pun atas setiap pertolongan yang dihulurkan.
Dia bantu ini ikhlas. “Tak perlu, Azra. Awak simpan buat beli barang mainan
Akil lagi bagus.”
“Tapi...”
Iyad menggeleng. Sampul surat itu ditolak semula kepada
Azra. Tidak perlulah dia berkira dalam hal ini. Bantu anak yatim besar
pahalanya.
“Simpan. Saya tak nak. Kalau ikutkan titik minyak yang
digunakan untuk hantar awak ni rasanya tak cukup kut. Jadi, saya rasa tak perlu
bayar terus. Lepas ni kalau kata nak cari pemandu saya boleh jadi pemandu awak.
Tiada hal. ” Iyad cuba bergurau.
Azra senyum nipis. Betul-betul dia rasa segan dengan
pertolongan daripada Iyad ini. Tadi dalam kereta hatinya senang bila melihat
Iyad pandai melayan Akil. Tidak pula dia marah bila Akil mengusik barang dalam
keretanya. Malah, dibiarkan sahaja.
“Terima kasih. Saya tak tahu nak balas macam mana.” Azra
sekali lagi mengucapkan tanda penghargaan buat Iyad.
Dari awal Akil masuk hospital lelaki ini ada dan sampai
dah balik rumah pun masih Iyad juga yang datang menghulurkan bantuan.
“Tahu tak cara nak balas macam mana?” Iyad tarik senyum.
Bolehlah juga kut kalau dia ambil kesempatan sikit.
Azra menanti bicara daripada Iyad.
“Bagi saya nombor telefon awak. Kita jadi kawan. Lagi
bagus kalau kut-kut dapat jadi yang lebih spesial. Mana tahu.” Iyad mengambil
kesempatan. Dia minta nombor Azra daripada Syifa, tapi tidak diberikan buat
Iyad kerana risau dimarahi oleh Azra.
“Untuk apa?”
“Kata kawan. Jadi, bila namanya kawan mesti ada nombor
telefon. Bila ada nombor telefon kita boleh contact.
Itulah gunanya nombor telefon.” Iyad membalas sarkastik.
Azra berasa berat hati nak bagi. Tapi, kalau tak bagi
nanti dikatakan tak kenang budi pula. Lagipun setakat nombor telefon saja pun.
Bukannya besar sangat.
“Okey. 013-4455778.” Azra tidak berfikir panjang lagi.
Terus sahaja diberikan kepada Iyad membuatkan gelabah lelaki itu mengeluarkan
telefon bimbit dari dalam poket.
Sebaik sahaja dia menyimpan nombor telefon tersebut,
bibirnya mengukirkan senyuman kepada Azra. Puas hati apabila dapat juga nombor
telefon wanita ini. Lepas ni bolehlah dia ambil kesempatan untuk kenal dengan
lebih rapat lagi.
“Terima kasih. Saya rasa saya kena gerak dulu. Saya kena
ke pasar cari ikan.” Iyad sengih.
Azra tergelak kecil. “Hati-hati.”
“Ingat tau. Kita dah jadi kawan. Jadi, awak tak boleh
mengelak daripada saya. Assalamualaikum, Azra Zinnirah.” Iyad mengenyitkan
matanya sebelum masuk ke dalam perut kereta.
Lalu kereta dipecut laju meninggalkan Azra tercegat di
situ lagi.
“Macam mana dia tahu nama penuh aku?” Azra menggaru
kepala. Tidak lama Azra mengetap bibir geram. “Kerja Syifalah ni...”
Sebelum kaki Azra melangkah jauh masuk ke dalam rumah
tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya. Azra menoleh dan dia
sangat kenal dengan pemilik kenderaan itu.
best 3x.
ReplyDeleteNadeem rasa tercabar yer? Baik punya saingan. Untung azra ada yang amik berat. Rezeki akil tu.
ReplyDelete