Bab 4
IYAD turun ke bawah
setelah selesai bersiap. Hari ini dia nak ke bengkel untuk servis lorinya
memandangkan tidak berniaga. Dia telah menyelaraskan cuti pada hari Rabu buat
pekerjanya.
“Wah! Sedapnya nampak,” tegur Iyad sebaik sahaja sampai
ke meja makan. Kat meja makan ini ada papa, mama dan kak ngahnya, Izzah. Tidak
pasti bila kak ngah datang rumah.
“Mestilah. Tengoklah sapa yang masak.” Izzah merangkap
kak ngah mencelah.
Iyad mencebik. Dia memandang Izzah sebelum pandangannya
jatuh kepada papanya yang sedang tersenyum itu. Tidak lama mama datang membawa
pencuci mulut dari dapur.
“Kak ngah, kau datang sini bila? Mana anak dan suami
kau?” soal Iyad. Dia cuba melihat di ruang tamu, tapi tidak kelihatan anak
buahnya, Alif.
“Kak ngah datang seorang saja. Abang ngah kerjalah. Alif
sekolah,” jawab Izzah.
“Iyad, macam mana perniagaan? Laris?” Tuan Ikram
merangkap papa kepada Iyad menyoal pula.
“Alhamdulillah. Setakat ini okeylah. Cuma biasalah harga
ikan tak menentu. Sekarang ni ikan kembung mahal dari biasa. Kena jual RM15
sekilo.”
Memang agak cekik darah, tapi kalau jual harga murah tak
balik modal. Jadi, terpaksalah naik sampai macam tu sekali.
“Oh, patutlah kak ngah pergi beli ikan mahal sangat. Duk
merungut juga ingat memang peniaga ambil kesempatan. Ketam hari tu kak ngah
tengok sekilo RM25. Dapatlah dua ekor ketam.” Izzah merungut.
Kalau dekat memanglah dia boleh datang ambil dengan Iyad.
Tapi, disebabkan dia duduk jauh memanglah terpaksa berkorban beli mahal. Tak
beli teringin nak makan.
“Tak sampai hati nak naik harga sebenarnya. Tapi, tak
boleh. Kalau tidak mana nak pusing modal,” tambah Iyad lagi.
“Seronok mama dengar Iyad dah berjaya sekarang ni. Dulu
masa kecil-kecil bukan main geli lagi nak sentuh ikan. Busuk, tapi sekarang dah
jadi tokey ikan.” Puan Zainab ketawa kecil.
Iyad tersengih. Dulu dia lain sekarang dia lain. Bila
teringat balik langsung tidak percaya itu dia. Tapi, itulah bila Allah boleh
bagi hidayah pada sesiapa sahaja kerana hidayah itu milik Allah.
“Papa pun bangga dengan Iyad. Ikutkan hati papa memang
nak suruh uruskan syarikat papa, tapi kalau ini minat Iyad papa tak nak halang.
Kalau perlukan pertolongan apa-apa bagi tau kat papa. Papa boleh tolong papa
tolong.” Tuan Ikram tersenyum. Bapa mana tak bangga bila tengok anak-anak Berjaya?
“Minat Iyad nak bau ikan setiap hari papa. Syarikat papa
tu ada kak long dan kak ngah tolong uruskan. Iyad ni back up dari belakang aje.”
“Sebelum kak ngah lupa. Kak ngah tengah cari pengurus
projek ni untuk pembinaan rumah banglo. Kalau boleh nak yang kerja memang tip top dan senang berurusan. Papa tahu
ke?”
“Kenapa? Siapa nak buat rumah?” soal Tuan Ikram.
“Mukhriz nak buat banglo tanah yang dia beli baru-baru ni
papa. Katanya untuk Alif,” jawab Izzah sambil tersenyum.
Kata suaminya itu untuk masa depan juga. Nanti bila ke
hadapan lagilah mahal semua benda. Lebih baik beringat dari sekarang.
Iyad yang baru nak menyapu Planta di rotinya mengangkat
kepala memandang Izzah. Dia rasa dia boleh bantu kak ngahnya ini.
“Iyad ada seorang kawan ni. Tapi, tak tahulah kerja dia
macam mana. Tapi yang Iyad tahu dia tu arkiteklah. Nak ke?”
“Tak kisah janji senang berurusan dan boleh dipercayai,”
balas Izzah.
“Insya-Allah boleh sebab memang kawan Iyad. Tunang Wan.
Kak ngah nak cuba ke? Kalau nak Iyad hantar contact
kat WhatsApp.”
“Bagilah dulu. Kut-kut boleh.”
Iyad mengangguk. Telefon bimbit segera diambil dan
menghantar nombor telefon Syifa kepada Izzah. Dia sendiri tak tahu kerja Syifa
macam mana, tapi kata Wan tunangnya itu arkitek. Mana tahu kalau boleh
menyelesaikan masalah Izzah itu.
AZRA menyandarkan
tubuhnya ke belakang kerusi. Sekarang ini dia dah boleh bekerja dengan aman
tanpa perlu memikirkan tentang Akil. Walaupun dia nampak perubahan Akil yang
semakin lama macam takut bila nak ditinggalkan di rumah pengasuh, tapi Azra
paksakan juga. Nasib baik dia ikutkan sahaja.
Interkomnya berbunyi.
“Datang bilik saya sekarang.” Arahan itu diberikan oleh
bos barunya itu.
Azra melepaskan keluhan berat. Tertekan kerja dengan
Nadeem. Tak seronok macam kerja dengan Tuan Johari dulu. Perangai kerek dan berlagaknya itu membuatkan
Azra rasa macam nak cekik saja.
Pintu diketuk. Arahan memintanya masuk dipatuhi. Ketika
itu Nadeem sedang kusyuk melihat pada skrin komputernya.
“Ya saya, Tuan Nadeem,” ujar Azra nak memberi tahu
kewujudan dia dalam bilik ini. Suruh orang datang bilik dia, tapi langsung
tidak tengok dia. Asyik sangat tengok skrin komputer.
“Dah lunch?”
Azra menggeleng. Apa hal pula tiba-tiba tanya pasal dah
makan ke belum ni?
“Teman I lunch,”
arah Nadeem.
Azra menggeleng laju. Huisy! Tak boleh. Dia baru ingat
nak pergi jenguk Akil sekejap tadi. Cuma nak tengok dari jauh saja. Tapi, pelik
juga tiba-tiba nak ajak makan tengah hari sekali. Tapi kenapa ajak dia? Kenapa
tak ajak setiausaha dia tu?
“Tak boleh Tuan Nadeem. Saya ada hal,” balas Azra menolak
pelawaan Nadeem.
Nadeem memandang Azra yang berdiri di hadapannya ini.
Dengan wajah yang langsung tidak senyum masih leka meneroka setiap inci wajah
Azra.
Nak ajak orang teman tapi macam singa. Cubalah senyum
sikit. Mesti kacak, rungut Azra.
“I ada bagi pilihan ke tadi? I rasa tak ada, kan? Jadi tak
boleh nak membantah. Ikut saja arahan I.”
Azra ketap bibir. Amboi! Suka hati saja nak bagi arahan
orang macam tu. Waktu rehat adalah waktu yang bebas untuk pekerja melakukan apa
sahaja. Hak pekerja.
“Tuan Nadeem tak boleh buat macam ni,” rungut Azra.
Tak akan sesekali dia ikut kata bosnya itu. Apa ingat
pegang jawatan bos boleh suka hati arah orang? Maaf ya. Dia bukan pekerja yang
senang kena buli.
“Kenapa pula tak boleh? Kejap lagi ada appointment dengan klien. Dia nak jumpa
waktu lunch. Jadi, you kena teman I
sebab job ni I nak bagi you.”
“Tapi, tadi kenapa tak beritahu awal-awal? Dah nak lunch baru beritahu. Saya boleh batalkan
saja hal saya tu.”
Nadeem bingkas bangun. Telefon bimbitnya diambil. Cermin
mata hitam yang terletak di atas meja turut dicapainya. Kot yang tergantung
disarungkan ke tubuhnya.
“Beza apa tadi dan sekarang? You tetap kena ikut I.
Banyak bunyilah you ni. Boleh tak diam dan ikut saja arahan I?” Nadeem
mendekati Azra dan membisikkan di sebelah telinganya.
Azra berang. Menyakitkan hati bila bercakap dengan bos bajet bagus ni. Dulu dengan Tuan Johari
seronok sangat bekerja. Tapi bila dengan mamat singa tak tahu senyum ni jadi
tak bersemangat terus nak kerja. Mana taknya bila sesuka hati arah itu ini.
Sekarang dapat perangai lain pula suka memaksa orang. Mengarut!
“Tak puas hati boleh terus terang. Jangan merungut dalam
hati. I dengar. Jom!” ujar Nadeem sebelum melangkah keluar dari ofisnya.
Azra menghentak kakinya. Dia turut sama mengikut bos bajet bagus itu keluar. Dia ke biliknya
dulu mengambil barang-barangnya. Nadeem dah keluar dulu dari pejabat. Tak
sempat-sempat.
“You nak pergi mana tu?” soal Nadeem ketika Azra mahu
melangkah ke keretanya bila mereka sampai ke tempat letak kereta.
“Tadi ajak lunch.
Nak jumpa klien, kan? Saya nak ikut Tuan Nadeemlah.”
“Naik kereta I. You tahu ke kat mana nak lunch tu?”
Azra menggigit bibirnya. Ya tak ya juga. Dia tak tahu pun
kat mana nak pergi. Tapi, alah macam tak boleh ikut dari belakang. Janji tak
naik sekali dengan dia.
“Saya ikut Tuan Nadeem dari belakang.” Azra berdegil.
Nadeem mendekati Azra. Tanpa disangka tangan Azra ditarik
kasar. Nak berdegil lagi dengan dia memang itulah makannya.
“Lepaslah, Tuan Nadeem. Apa buat macam ni?” marah Azra.
Cuba menarik tangannya, tapi dicekak kuat.
Tapi, Nadeem buat tak kisah dengan arahan Azra itu.
Beberapa orang stafnya yang
ada
di situ melihat perbuatannya itu, tapi tidak dipedulikan.
Azra makin geram. Tidak juga dilepaskan. Dia tidak suka
lelaki macam ni. Suka hati saja nak pegang tangan orang. Ini nampak sangat dia
tidak menghormati kaum wanita.
“Hoi!” jerit Nadeem segera melepaskan tangan Azra. Dia
melihat kesan gigitan yang dilakukan oleh Azra.
Azra tersenyum sinis. Main-main lagi dengan dia. Tak
kiralah bos ke siapa ke kalau tak tahu nak hormat orang perempuan memang dia
tak berdiam diri.
“Maaflah, Tuan Nadeem. Saya cakap cara baik Tuan Nadeem
tak dengar. Saya memang tak suka lelaki sesuka hati pegang tangan perempuan.
Bukan setakat berdosa saja, tapi ini seolah-olah mencabul sebab tanpa kerelaan
perempuan itu.”
“Habis tu you biar orang lelaki tengok rambut you ni tak
berdosa? Kalau betul dia tak suka kena cabul dengan lelaki dia akan tutup apa
yang sepatutnya,” balas Nadeem masih marah dengan Azra. Sakit tahu!
Azra ketap bibir. Memang deep kali ini, tapi dia cuba berlagak biasa. Sabar, Azra. Mulut
lelaki ini memang boleh tahan bisanya.
“Saya tetap nak naik kereta saya.” Azra mengubah topik.
Kembali pada pokok pangkalnya tadi.
“Suka hati youlah. Jangan tanya I mana nak jumpa. You tak
datang setengah gaji you I potong!” Terus Nadeem mengangkat kaki dari situ.
Azra terkedu. Setengah gaji? Huisy! Banyak tu. Mana nak
cukup kalau kena potong. Ubat Akil pun dah setengah gaji. Tapi, Azra
menggeleng. Mana boleh suka hati saja dia nak potong gaji pekerja.
Azra tetap berdegil. Tapi baru melangkah dua tapak dia
tidak berani menanggung risiko. Mana tahu kalau betul. Lagipun kalau dia naik
kereta sendiri pun mana dia nak pergi. Mamat bajet bagus tu sudahlah naik BMW.
Dia cuma pakai Proton Preve saja. Buatnya dia bawa mengalahkan pelesit. Tak
boleh jadi ni.
“Nanti dulu Tuan Nadeem!” jerit Azra berlari kecil
mendapatkan Nadeem yang sudah semakin jauh.
Kali ini saja, Azra. Ya, kali ini saja ikut dia.
SUDAH mencapai kata
putus untuk bekerjasama dan projek ini diberikan kepada Azra. Azra terima sebab
memang itu dah kerja dia. Tadi Nadeem minta persetujuan dia hanya mengangguk.
Tidak membantah.
Parah juga sebenarnya. Dalam perjalanan tadi langsung
Nadeem tidak bercakap dengannya. Bila jumpa klien pun dia hanya bercakap bila
perlu sahaja. Nampak sangat marahnya. Mungkin sakit sangat kut dia gigit tu.
“Terima kasih, Puan Izzah. Apa-apa masalah boleh
berurusan dengan Cik Azra. Dia yang akan ambil projek ini,” ujar Nadeem lantas
bibirnya mengukirkan senyuman.
Boleh pula senyum. Kacak juga, tapi dengan dia macam nak
makan. Tak tahulah apa salah dia.
“Baiklah. Saya harap sangat dapat yang terbaik.”
“Insya-Allah. Saya akan cuba sedaya upaya saya,” balas
Azra turut sama menayangkan wajah manis. Adab bila berhadapan dengan orang.
Bukan sahaja dengan pelanggan.
Izzah tersenyum. Lega hatinya bila dah dapat jumpa jalan
penyelesaiannya. Ini bantuan daripada adiknya juga. “Boleh tarik nafas lega dah
sekarang. Satu hal dah selesai. Nasib baik jumpa dengan Cik Syifa.”
“Cik Syifa memang tak boleh ambil job ini sebab jadual dia penuh. Sebab itu saya serahkan kepada Cik
Azra. Tapi, puan jangan risau. Puan akan berpuas hati dengan hasil kerja Cik
Azra. Dia salah seorang arkitek yang profesional di syarikat kami,” puji Nadeem
langsung tidak memandang Azra.
Azra terkesima seketika. Dia puji aku? Betul ke aku
dengar ni? Tapi memang tak dinafikanlah memang dia tidak pernah gagal dalam
menguruskan sesuatu projek. Sebab itu dulu dia jadi pekerja kesayangan Tuan
Johari.
“Itulah. Kebetulan adik saya kenal dengan Cik Syifa tu.
Jadi, dia yang kenalkan. Tapi, apa pun saya dah lega dah sekarang ni. Tadi kita
dah bincang apa yang nak. Jadi, saya harap pelan tu saya boleh dapat dalam masa
terdekat,” tambah Izzah lagi.
“Insya-Allah. Saya akan cuba. Puan jangan risau. Saya
akan beri kepuasan dalam kerja saya nanti.” Azra berjanji. Dia akan cuba
sehabis baik.
“Baiklah. Kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri
dulu. Terima kasih atas kerjasama daripada pihak awak berdua.” Izzah bersalaman
dengan Azra sebelum dia bangkit meninggalkan mereka berdua kat situ.
Nadeem mengeluarkan wang kertas lalu memanggil pelayan
untuk membuat bayaran. Sejurus kemudian dia bingkas bangun.
Azra apa lagi. Kalutlah bangun. Susah betul. Tadi muka tu
dah okey sekarang ni dah jadi masam balik. Pening betul kepala Azra.
“Tuan
Nadeem, lepas ni kita balik ofis ke?”
“Yalah. You nak I bawa you balik rumah I ke?”
Azra terkedu. Huisy! Gurau kasar juga tu.
“Taklah. Mana tahu kalau ada jumpa klien lain lagi,”
balas Azra perlahan.
Mereka beriringan keluar dari restoran dan menuju ke
kereta. Ketika berjalan tiba-tiba Azra terlanggar bahu seseorang. Habis semua
fail yang dibawa oleh Azra terjatuh di atas lantai.
“Maaf, cik. Saya tak sengaja,” ujar lelaki itu sambil
mengutip kembali fail yang berterabur atas jalan.
Nadeem hanya melihat. Tangannya dimasukkan ke dalam poket
seluarnya dan badannya bersandar pada kereta.
“Tak apalah. Saya pun minta maaf sebab tak hati-hati
tadi.”
“Maaf...” Terkedu seketika lelaki itu ketika mata mereka bersabung.
Sungguh dia tidak sangka dengan pertemuan ini.
“Terima kasih ya,” balas Azra sambil tangannya mengambil
kembali fail yang ada pada lelaki itu.
“Puan...” belum sempat lelaki itu berkata Nadeem sudah
menjerit memanggil Azra.
“Terima kasih ya. Saya pergi dulu. Bos dah tunggu.”
Azra membuka langkah laju menuju ke kereta dengan wajah
yang tidak puas hati. Tidak tahu bersabar. Sudahlah tengok saja tadi.
Dan lelaki itu kecewa lagi...
Kenapa Azra risau tinggalkan Akil? Akil kena dera ke? Ya ALLAH hope xlah. and Nadeem xsukalah perangai dia suka memaksa benci. Iyad kenapa kelu lidah ni? erm... xpe masih ada masa lagi Iyad huhu fighting
ReplyDelete