Prolog
AZRA cuba
menahan tangisnya. Permintaan daripada Firdaus terlalu besar untuk dia tunaikan.
Tidak mudah untuk dia melepaskan begitu sahaja jika mahu hubungan ini
diteruskan. Tak akan dia nak buang tanggungjawab yang telah diamanahkan buatnya
begitu sahaja.
Hatinya kini
berbelah bagi. Sama ada mengikut kata Firdaus melepaskan begitu sahaja atau
putuskan hubungan ini. Dia sayangkan hubungan yang telah terbina selama tiga
tahun ini. Mengikut rancangan tahun ini mereka akan disatukan. Tapi dia juga
tidak mampu untuk menghampakan harapan kakaknya,
“Kalau betul
awak masih nak ambil tanggungjawab ini terpulang. Tapi saya memang tak boleh
terima. Saya tak nak susahkan diri saya di kemudian hari,” ujar Firdaus. Puas
dipujuk namun tetap itu juga keputusannya.
“Jadi awak nak
putuskan sahaja hubungan ini?” soal Azra. Langsung tidak menyangka pertemuan
ini bakal menentukan arah tuju hubungan mereka.
Firdaus
memandang Azra dan dia menjungkitkan bahunya. Dia tidak sesekali berganjak
dengan keputusannya. Tidak perlu dia susahkan diri dia untuk menjaga seseorang
yang bukan darah dagingnya.
“Kalau awak
masih dengan keputusan awak mahu menjaga budak ni. Saya tak nak.” Firdaus tetap
berkeras.
“Mana awak letak
hati nurani dan belas kasihan awak, Daus? Saya tak sangka awak boleh buat
keputusan yang macam ni.” Azra menggelengkan kepalanya. Sungguh dia tak sangka
langsung hari ini Firdaus akan membuat keputusan ini.
“Tak apalah,
Azra. Saya rasa lebih baik kita putuskan sahaja hubungan ini kalau awak tetap
dengan keputusan awak. Kita batalkan sahaja rancangan untuk berkahwin tahun
ini. Saya tetap dengan keputusan saya. Kalau awak nak kita teruskan hubungan
ini ikut seperti yang saya cadangkan tadi. Hantarkan sahaja ke rumah anak
yatim. Tidak perlu kita susahkan diri untuk jaga dia.” Firdaus seolah-olah
mengugut.
Azra menekan
dadanya. Sakit bila Firdaus berkata begitu. Dia tidak minta semua ini terjadi.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Dia mengharapkan Firdauslah tempatnya
untuk menumpang kasih selepas apa yang terjadi tapi ternyata dia salah. Salah
dia juga. Terlalu tinggi meletak harapan.
“Keras sungguh
hati awak, Daus. Saya sangkakan awak akan faham saya. Awak akan sama-sama
dengan saya tapi saya ni bodoh. Terlalu berharap sangat. Padan muka sayakan,”
luah Azra tersekat-sekat. Air mata yang mengalir disapu dengan belakang
tangannya. Dia tidak mahu terlalu menunjukkan kelemahan dia. Dia kena kuat.
“Saya faham
awak, Azra. Tapi saya tak boleh terima kalau awak masih nak jaga budak tu. Kalau
macam kanak-kanak lain tak apa tapi masalahnya... Entahlah. Awak fahamkan
maksud saya?”
Azra menarik
nafas dalam dan melepaskan perlahan-lahan. Dulu dia sangat menghormati sikap
Firdaus tapi ternyata itu semua palsu. Hanya rekaan semata-mata. Persepsi dia
terus berubah sekarang ini. Firdaus sekarang ini bukan lagi Firdaus yang dia
kenal dulu. Semuanya hilang.
“Tak apa, Daus.
Saya faham. Saya tak akan terima cadangan awak tu. Saya rela untuk lepaskan
hubungan ini. Saya anggap antara kita tiada jodoh. Saya tetap dengan keputusan
saya. Saya akan tetap jaga amanah ini sampai bila-bila. Terima kasih sebab sudi
bagi kebahagiaan selama tiga tahun ini. Saya memang mengharapkan hubungan ini
akan berakhir dengan perkahwinan tapi Allah tak izinkan. Semoga awak bahagia
dengan orang baru selepas ini, Daus. Terima kasih atas segalanya.”
Ketika mahu
beredar dari situ Azra menoleh. Dia memandang Firdaus dan bibirnya mengukirkan
senyuman nipis walaupun hatinya sakit sangat.
“Pesan saya satu
sahaja Daus. Andai kata selepas ini awak berkahwin dan dikurniakan anak
istimewa janganlah awak abaikan dia. Dia amanah yang Allah bagi pada awak. Anak
istimewa inilah yang akan menjadi tiket untuk awak ke syurga nanti.”
Terus Azra
mengangkat kaki meninggalkan Firdaus berdiri diam di situ. Tanpa dipinta, air
mata mengalir laju membasahi pipinya.
Dia kecewa.
Terlalu kecewa. Tapi mungkin ada sesuatu yang diatur buatnya.Azra redha.
wow, interesting. permulaan cite pun dah sangat bagus...
ReplyDelete