Bab 2
IYAD mencekak pinggang.
Dua orang pekerja yang berdiri di hadapannya ini dipandang silih berganti.
Sungguh dia kecewa dengan apa yang terjadi. Dia tidak sangka pekerja dia sanggup
keluarkan kata-kata begitu kepada orang lain. Sudah berapa kali dipesan agar hormat
kepada sesiapa pun.
“Cuba explain
apa sebab kau orang buat macam tu?” Iyad mula bersuara. Dia tidak boleh biarkan
begitu sahaja. Takut dibiarkan makin melampau.
“Tak ada buat apa pun abang. Kak tu biarkan anak dia main
ikan tu. Setakat sentuh macam tu tak apalah. Ini siap diambil lagi lepas tu
dibuat main macam barang mainan. Apa pula kata pelanggan nanti?” Hasrul cuba
mempertahankan diri.
“Betul tu.” Razif menyokong kenyataan Hasrul.
“Jadi, apa alasan yang boleh kau orang bagi kepada abang
untuk hina anak dia sesuka hati?”
Mereka berdua terdiam. Tiada jawapan untuk mempertahankan
diri mereka lagi. Tertunduk bagaikan pesalah. Terkelu mereka masa itu kerana
langsung tidak menyedari kehadiran Iyad yang menyebabkan bos mereka itu dengar
semua apa yang dikatakan kepada perempuan itu tadi.
“Tak ada alasan? Habis tu kenapa buat macam tu? Suka bila
tengok kak tadi tu mengamuk disebabkan dia terasa dengan hinaan yang kau orang
bagi kepada anak dia? Kau orang fikir tak apa perasaan kak tadi tu bila kau
orang buat macam tu? Dia tak minta ada anak macam tu, tapi ini semua kerja
Allah. Siapa kita nak menghina orang sampai macam tu sekali?”
Iyad menarik nafas dalam lalu deruman nafas perlahan
dilepaskan. Dia rasa bersalah. Selagi dia tidak memohon maaf bagi pihak Hasrul
dan Razif selagi itu dia tidak akan tenang. Tapi, mana nak cari? Allah.
“Kau orang cuba bayangkan andai kata Allah tarik balik
apa yang dia bagi pada kau orang berdua. Dia tarik balik nikmat akal yang sihat
itu lalu digantikan dengan apa yang kau orang katakan kepada anak dia tadi.
Jadi terencat akal. Nak macam tu?”
Pantas kepala mereka menggeleng. Saja Iyad menggertak
sedikit sebabnya dia nak bagi pengajaran buat mereka berdua.
“Apa yang ada pada kita ni hanya pinjaman semata-mata.
Bila-bila masa saja Allah boleh tarik balik apa yang kita ada ni. Jangan nak
berbangga sangat sesuka hati menghina orang lain. Takut nanti menyesal tak
sudah Hasrul, Razif. Abang betul-betul kecewa dengan kau orang berdua. Kalau
macam ni kau orang punya perangai memang abang tidak akan membenarkan lagi kau
orang bekerja dengan abang. Abang nak pekerja yang tahu hormat orang lain.”
“Tapi abang, kalau abang buang kami mana kami nak pergi?”
“Abang hantar kau orang balik kampung. Abang boleh cari
pekerja yang lain.”
Hasrul memandang Razif dengan wajah berkerut. Risau bila
Iyad membuat keputusan begitu. Iyad yang membawa mereka berdua datang ke sini
untuk bekerja dengannya. Mereka diberi layanan yang sangat baik oleh Iyad di
samping gaji yang berpatutan. Ruginya mereka kalau Iyad mengambil keputusan
ini.
“Tolonglah abang. Jangan macam ni. Kami janji kami tak
buat lagi.” Hasrul cuba merayu. Begitu juga dengan Razif.
“Kalau kau orang masih nak lagi bekerja kat sini abang
nak kau orang cari balik kak tadi tu dan minta maaf,” arah Iyad.
Dia tidak akan tenang selagi tidak memberi permohonan
maaf. Teringat kembali wajah itu. Terbayang lagi bagaimana peristiwa yang
berlaku itu.
“Tapi abang, mana kami nak cari?”
Iyad menjongketkan bahunya. “Terpulang. Buatlah macam
mana pun pastinya abang nak kau orang minta maaf. Tak kiralah apa cara
sekalipun nak cari kak tadi tu. Selagi tak dapat mohon maaf abang tidak akan
terima kau orang bekerja balik dengan abang.”
Iyad meninggalkan Hasrul dan Razif di situ mencari jalan
untuk menyelesaikan masalah yang telah mereka timbulkan sendiri. Biarlah itu
jadi pengajaran buat mereka. Iyad tidak akan berkompromi dengan orang yang
tidak tahu menghormati orang lain.
AZRA melurut perlahan
kepala Akil. Air mata mengalir dari tadi disapu dengan tisu. Perasaan bersalah
menguasai dirinya. Dia tahu dia tidak patut berkasar dengan Akil, tapi Azra tak
boleh kawal diri.
Balik sahaja rumah tadi Akil mengamuk. Dia mencederakan dirimya
dengan menghentak kepalanya pada dinding dan menggigit tangannya. Azra cuba
untuk menenangkannya, tapi tidak jalan. Akhirnya terpaksa juga Azra memberi
ubat penenang buat Akil. Terus Akil tertidur.
“Ibu minta maaf ya sayang. Ibu tak sengaja nak marah Akil
tadi. Ibu tak boleh dengar orang hina anak ibu. Akil anak yang baik. Akil tidak
pernah menyusahkan ibu. Bila mereka kata Akil macam tu ibu tak boleh nak kawal
diri. Ibu terpaksa heret Akil padahal kalau Akil tahu ibu tidak pernah berkasar
dengan Akil macam tu. Ibu stres sangat. Ibu minta maaf ya, Akil.”
Dahi Akil dikucup perlahan. Setelah itu Azra memeriksa
lengan Akil. Penuh dengan kesan luka dan lebam. Air matanya jatuh lagi. Laci
dibuka dan botol minyak gamat diambil. Kasihan dengan Akil. Mesti sakit, tapi
Akil tak boleh nak beritahu dia.
“Selagi ibu hidup ibu tak akan benarkan sesiapa pun hina
Akil. Biarlah orang nak kata ibu gila pun, tapi ibu akan tetap mempertahankan
Akil sampai bila-bila. Orang lain boleh hina ibu tapi jangan hina anak ibu. Ibu
sesekali tidak akan membenarkan semua itu terjadi.”
Selesai sahaja menyapu minyak gamat di lengan dan tangan
Akil segera Azra berbaring di sebelah anaknya itu. Dia mengiring badannya
memandang Akil yang nyenyak tidur itu.
Tidak dipaksa tidak juga diminta, tapi tiba-tiba air mata
ini begitu murah mengalir lagi. Tangannya memeluk tubuh Akil. Dia rindukan
keluarganya. Rindukan abah, mak, kakak tapi apakan daya bila semua berlaku
tanpa disangka. Kepergian mereka terlalu mengejut membuatkan Azra memerlukan
masa untuk menerimanya.
DENGAN baju yang berbau
ikan itu Iyad berbaring di atas sofa. Rumah sudah sunyi. Masing-masing mungkin
sudah dibuai mimpi. Biasalah kerja seperti Iyad. Hampir pukul 12.00 tengah
malam baru sampai di rumah.
Tangannya diletakan di atas dahi. Seketika ini tiada lain
yang datang melainkan bayangan wajah perempuan tadi. Dia dapat melihat
bagaimana perempuan tadi begitu kecewa dengan hinaan itu. Kasihan dia melihat
nasib yang menimpa perempuan itu tadi. Moga Allah izinkan pertemuan mereka
sekali lagi agar dia dapat memohon kemaafan.
“Baju bau ikan berbaring atas sofa mama.” Tiba-tiba suara
Puan Zainab bergema.
Terus mati lamunan Iyad tadi. Dia bingkas bangun dan
duduk. Bibirnya merekah mengukirkan senyuman.
“Mana ada bau ikan mama. Bau minyak wangi ni,” gurau
Iyad. Dia sangka semua orang sudah tidur.
Puan Zainab mencebik. “Minyak wangi ini boleh buat mama
pengsan tau. Selalunya kalau balik terus masuk mandi. Kenapa ni? Ada masalah
ke?”
Iyad masih senyum. Tak ada masalah besar sangat pun bagi
orang lain mungkin, tapi bagi dia terlalu besar. Kemaafan seseorang itu
sangatlah penting kerana dia tidak suka hidup dalam sakit hati orang lain.
“Tak ada masalah apa pun mama. Hal kecil-kecil itu
biasalah. Kenapa mama tak tidur lagi?” Iyad menyoal.
Lewat pula mamanya tidur hari ini. Selalunya kalau dia
balik pasti rumah sudah sunyi.
“Mama tak boleh tidur. Turun nak minum air. Tengok Iyad
termenung jauh. Teringatkan kekasih hati ke apa?” usik Puan Zainab. Sengaja dia
mengusik walaupun dia tahu yang Iyad masih belum berpunya.
Iyad mengorak senyum. Dia memandang mamanya dan
menggelengkan kepala. Tiada siapa pun nak diingatkan. Masih rasa awal lagi
untuk memikirkan tentang hal yang satu itu.
“Tak adalah, mama. Fikirkan tentang businesslah,” dalih Iyad. Selagi boleh.
“Mama nak tanya. Iyad tak terfikir ke nak ada pasangan?
Tak seronok ke tengok orang lain ada keluarga sendiri. Anak-anak yang comel.
Tak teringin ke?” Puan Zainab dah mula.
Dia tidak memaksa untuk Iyad mencari pasangan, tapi
teringin juga melihat anak lelaki tunggalnya itu mempunyai seseorang. Dua orang
kakaknya dah pun berumah tangga.
Iyad senyum lagi. Siapa tak teringin nak ada isteri dan
anak-anak, tapi hati belum lagi mahu ke arah itu. Belum jumpa yang sesuai.
“Perempuan mana nak Iyad ni, mama? Jual ikan saja pun.
Busuk.” Iyad ketawa kecil.
Bau hanyir ikan pun dah sebati dah dengan dia. Perempuan
sekarang pun nak lelaki yang berkerjaya. Pakai tai, kemeja. Kerja pejabat.
Tidak ada bau macam dia ni.
“Iyad yang merendah diri sangat kut. Kalau Iyad nak mama
boleh tolong carikan.”
Iyad pantas menggeleng. Tidak perlu dicari. Kalau boleh
mahu datang sendiri. Dia percaya bila tiba masanya pasti akan datang juga.
“Mama, jangan risau okey? Iyad akan berkahwin juga, tapi
bukan masa terdekat ini.”
Puan Zainab menghela nafas perlahan. Kecewa juga. Tapi,
dia sentiasa mendoakan anak bujangnya ini akan dipercepatkan jodoh.
“Mama tak faham aje. Apa yang Iyad tunggu lagi? Kerja
ada, rumah ada, kereta, lori pun ada. Cuma isteri aje tak ada. Mama nak jugalah
menantu perempuan.”
“Mama doakan supaya Iyad dapat isteri yang baik. Kalau
jodoh tak ke mana.” Iyad bangun daripada duduknya. Dia mendekati Puan Zainab
dan tubuh tua yang banyak berbakti untuknya itu dipeluk erat.
“Awak tu busuk ikan, Iyad. Peluk mama pula.” Puan Zainab
merungut. Dia pun dah biasa dengan bau hanyir ikan itu. Saja nak bermesra
dengan anaknya itu.
“Nak peluk isteri tak ada. Peluk mama ajelah. Okeylah
mama. Iyad naik dulu ya. Nak mandi dan solat isyak. Iyad belum solat lagi. Mama
pun jangan tidur lewat sangat. Tak elok tau.” Iyad menghadiahkan satu kucupan
di pipi mamanya.
Segera dia beredar dari situ menuju ke biliknya. Entah
kenapa bayangan perempuan itu tetap ada di dalam ingatannya.
“Maafkan saya,” kata itu lahir dari mulut Iyad.
Perasaan bersalahnya tidak akan pernah hilang selagi
masih belum dapat menyuarakan kata maaf. Kesalahan pekerjanya juga menjadi
tanggungjawab kepada dia. Tidak mudah untuk dia melupakan begitu sahaja.
sebak baca part Azra tu. kesiannya nasib Akil. Azra... wanita yg tulus ikhlas menyayangi insan istimewa seperti Akil. ALLAH HU AKBAR.
ReplyDelete