Bab 3
SEPERTI biasa sebelum ke
tempat kerja Azra akan menghantar Akil ke rumah pengasuh terlebih dahulu.
Ikutkan Azra dia mahu Midah datang menjaga di rumah sendiri, tapi Midah tidak
boleh berbuat demikian kerana katanya dia masih ada tanggungjawab terhadap
anak-anaknya.
“Sayang ibu duduk baik-baik tau. Ibu nak pergi kerja,”
ujar Azra lembut sambil mengusap lembut pipi Akil.
Akil memandangnya tidak berkelip dan terus memeluknya.
Seolah-olah memintanya untuk tidak pergi. Azra kalau boleh pun tidak mahu
tinggalkan Akil, tapi dia harus bekerja. Kalau tidak, mana sumber yang boleh
dia dapat lagi untuk menyara kehidupan mereka berdua. Kos ubat-ubatan Akil pun
tidak kurang mahalnya.
“Akil anak yang baik. Ibu nak pergi kerja. Jangan buat
Mak Cik Midah marah tau.” Sekali lagi Azra memesan. Dia berharap hari ini Akil
akan bersikap baik sahaja.
“Akil okey. Kamu janganlah risau. Senang saja nak jaga
Akil ni. Lagipun nanti bila dapat main dengan anak-anak Kak Midah seronoklah
dia.” Midah menyampuk setelah dari tadi hanya menjadi penonton drama antara
Azra dan Akil.
Azra tersenyum. Lega bila dengar macam tu. Mungkin inilah
kut pengasuh yang boleh tahan dengan sikap Akil. Berharap kekallah. Tidak perlu
dia risaukan lagi untuk mencari pengasuh yang lain.
“Terima kasih Kak Midah sudi jaga Akil. Lega hati saya ni
bila dengar Kak Midah boleh kawal Akil. Ini barang-barang dia. Dalam tu ada
ubat dia. Pagi tadi saya dah bagi dia makan ubat dah. Itu sebagai persediaan
sajalah kalau dia mengamuk lagi.”
Azra menghulurkan satu beg kepada Midah lalu disambut
olehnya. Dibeleknya seketika sebelum melihat Azra. Jatuh pula kepada Akil yang
masih memeluk tubuh Azra itu.
“Tangan dia tu kenapa?”
“Dia mengamuk semalam. Bila mengamuk dia cederakan diri
dia sendiri. Tapi, saya dah sapukan ubat dah.” Azra senyum.
“Oh, kesian Akil. Tak apa. Dia baik dengan Kak Midah.”
Azra mengukirkan senyuman lagi. Tiba-tiba dia teringat
sesuatu. Beg tangannya diseluk lalu mengeluarkan beberapa keping wang kertas
bernilai RM50. “Ini duit pendahuluan untuk Kak Midah. Nanti cukup sebulan saya
bagi penuh.”
“Eh, tak payahlah. Nanti bagi sekali. Tak perlu deposit
ke apa.” Midah menolak.
“Tak apa. Duit ni Kak Midah buat belanja dapur. Kalau Kak
Midah perlukan duit Kak Midah jangan segan-segan dengan saya. Minta saja.
Kesudian Kak Midah jaga Akil sudah terlalu besar jika dibandingkan dengan nilai
yang saya bagi kepada Kak Midah.”
Huluran itu diterima walaupun Midah teragak-agak untuk
menerimanya.
“Terima kasih banyaklah. Kak Midah cuba jaga Akil dengan
baik.”
Azra melihat jam di pergelangan tangannya. Sudah lewat.
Takut pula jalan sesak dan dia akan lewat ke tempat kerja. Pagi ini dia ada
mesyuarat untuk memperkenalkan bos baru. Jadi, dia tak boleh lewat.
“Tak apalah. Saya kena pergi kerja dulu. Akil, ibu pergi
kerja dulu ya. Petang nanti ibu jemput Akil ya.”
Akil tidak mahu melepaskan tangan Azra. Azra cuba
merungkaikan dan akhirnya berjaya. Sebelum pergi sempat lagi dia mencium pipi
Akil dan tubuh anaknya itu dipeluk erat. Semoga Akil baik-baik sahaja hari ini.
IYAD turun ke jeti
untuk mengambil bekalan untuk jualan hari ini. Setakat ini dia mempunyai lima
buah lori, tapi hanya tiga lori sahaja beroperasi hari ini. Sudah dibahagikan
setiap lori untuk masuk pasar malam yang ditetapkan.
Iyad bersyukur. Dia bermula dengan hanya satu lori
sahaja. Itu pun bantuan modal papanya. Tapi sekarang dia berjaya kembangkan
perniagaan dia bila dapat membeli empat buah lori untuk membawa barang
jualannya ke merata tempat. Semuanya diuruskan oleh pekerjanya. Kadang-kadang
dia akan turun padang untuk memastikan semua berjalan dengan lancar.
“Apa pasal hari ini ikan kembung mahal?” soal Iyad bila
melihat harga ikan kembung yang agak mahal daripada biasa. Bukannya hari hujan
pun yang tak boleh nelayan turun ke laut.
“Ikan kembung tak adalah sekarang ni. Itu pasal mahal
sikit. Tak apalah, tauke. Mahal sikit saja. Kasi uplah bila nak jual nanti,” balas Ah Cheng dengan loghat Cinanya
itu. Memang Ah Chenglah yang selalu Iyad berurusan.
“Susahlah, Ah Cheng. Kalau aku jual mahal nanti peniaga
lain jual murah. Mana boleh. Tak lakulah.” Selalunya bila borong di jeti ini harga
ikan kembung hanyalah RM3.00 sekilo. Tapi hari ini harganya lebih tinggi.
“Semua tempat samalah. Ikan kembung makin kurang. Jangan
risau.” Ah Cheng meyakinkan Iyad.
Iyad melihat pada bil yang sudah tertulis semua harga
ikan yang diborong untuk jualan hari ini. Modalnya besar sikit daripada biasa
bila sotong juga lebih mahal daripada biasa. Jadi, dia juga perlu menjual lebih
mahal. Mesti akan dapat rungutan daripada pelanggan.
“Okeylah. Kira, Ah Cheng. Ikan sudah angkat masuk lori.”
Iyad memberikan buku bil itu kepada Ah Cheng untuk mengira hasil borong dia
hari ini.
Selepas membuat bayaran Iyad mengarahkan pekerjanya untuk
mula bergerak untuk berniaga. Lewat petang nanti baru dia akan turun padang
bagi melihat semuanya berjalan dengan lancar. Cuma nak memantau takut kalau
pekerjanya buat main-main. Semuanya budak-budak muda.
“Abang!”
Iyad yang baru mahu masuk ke ofis kecilnya itu menoleh.
Bilik kecil itu dijadikan ofis dan tempat untuk dia melepak bersama dengan
pekerjanya selepas penat berniaga.
“Kenapa?” Iyad menyoal bila melihat Hasrul dan Razif
menghampirinya.
“Kami tak jumpalah kak tu. Kami tak tahu mana nak cari,”
adu Hasrul. Sudah puas mencari, tapi tidak jumpa.
Terus ingatan Iyad kepada perempuan hari itu. Iyad
memandang Hasrul dan Razif. Kasihan bila buat macam tu.
“Abang bagi peluang lagi sekali ya. Kalau lepas ni abang
dapat tahu kau orang berdua buat macam tu lagi abang tak teragak-agak untuk
hantar balik. Abang tak main-main dengan kata-kata abang. Ingat ya.” Tidak
sampai hati nak bagi denda lama-lama. Bila mereka tidak bekerja maka tiada
duitlah mereka sebab Iyad membayar gaji mereka setiap hari.
Hasrul dan Razif tersenyum.
“Jangan risau, abang. Kami serik.” Razif membalas dengan
senyuman lebar.
“Tapi, abang nak kalau lepas ni terjumpa dengan kak tu
lagi jangan lupa minta maaf. Abang tak nak pekerja abang biadab.”'
Mereka berdua mengangguk laju. Terpancar wajah
kegembiraan Hasrul dan Razif. Masing-masing baru lepas habis sekolah menengah.
Daripada melepak saja menjadi kutu rayau kampung Iyad menawarkan pekerjaan buat
mereka.
“Okey, abang. Terima kasih sangat.”
“Pergi kerja. Tadi lori dah gerak dah. Petang sikit abang
pergi.”
Terus mereka berdua mengangkat kaki dari situ. Tinggallah
Iyad yang sedang mencekak pinggang sambil memikirkan cara untuk mencari
perempuan itu. Hatinya kuat ingin bertemu lagi dengan perempuan itu. Bukan
setakat ingin mohon maaf, tapi ingin tahu juga.
SEMUA ahli mesyuarat
bangun sebaik sahaja bos masuk ke dalam bilik mesyuarat. Azra turut sama
bangun. Sudah sedia maklum hari ini Tuan Johari akan memperkenalkan pengganti dirinya.
Turut bersama-sama dengannya seorang lelaki. Mungkin inilah yang bakal
menggantikan tempat Tuan Johari. Langsung tidak senyum. Kerek sangat mukanya.
“Maafkan saya sebab lewat dan membuatkan awak semua
tertunggu-tunggu. Jemput duduk,” ujar Tuan Johari yang turut sama duduk di
tempatnya manakala lelaki itu duduk di sebelah Tuan Johari.
Bersebelahan dengan Azra. Berdebar pula rasa bila nak
dapat bos baru ni.
“Tak apa, Tuan Johari. Tuan tidak terlewat,” celah Harris
sambil ketawa kecil.
Walaupun Tuan Johari adalah bos kat sini, tapi hubungan
dia dan pekerja sangat baik. Bagaikan kawan-kawan biasa.
Itu yang Azra takut bila nak dapat bos baru ini. Risau
kalau tidak seperti Tuan Johari. Pernah dulu dia usulkan surat untuk berhenti
kerja. Bermati-matian Tuan Johari meminta alasan yang kukuh. Akhirnya Azra
ceritakan penyebab dia nak berhenti kerja. Tuan Johari tidak mengizinkan. Dia
memberi kelonggaran kepada Azra.
Bila Azra tidak datang bekerja atau lewat Tuan Johari
sudah sedia maklum. Bukan selalu cuma kadang-kadang bila Akil tidak dapat
dikawal. Memang akan mendatangkan sedikit masalah kepada Azra untuk datang
kerja. Sama ada tidak datang terus atau masuk kerja lewat. Harapnya bos baru ni
pun macam Tuan Johari.
“Seperti sedia maklum yang telah diumumkan sebelum ini
saya akan serahkan syarikat ini kepada anak saya. Jadi hari ini saya akan
bersara daripada syarikat ini. Dengan ini saya melantik Nadeem Ukail bin Johari
sebagai CEO syarikat ini. Saya berharap agar anda semua dapat memberi kerjasama
kepada bos baru awak ni.”
Nadeem bangun daripada duduknya selepas diarah oleh Tuan
Johari untuk memberi sepatah dua kata.
“Terima kasih. Sekali lagi saya perkenalkan diri saya
adalah Nadeem Ukail bin Johari. Boleh panggil saya Tuan Nadeem. Saya berharap agar
kita dapat bekerjasama untuk memastikan syarikat ini terus gemilang. Saya akan
cuba beri yang terbaik.” Nadeem tersenyum.
Wajah staf seorang demi seorang dia perhatikan. Tapi,
matanya lebih lama merenung Azra sehingga membuatkan Azra menjadi tidak senang.
Terus dilarikan pandangan matanya itu.
“Tuan Nadeem, nanti Azra akan menjadi wakil untuk
memperkenalkan kepada semua staf. Azra, boleh?” Tuan Johari mencelah. Tanpa
angin dan ribut namanya disebut oleh Tuan Johari. Terkejutlah dia.
Mata semua tertumpu kepadanya. Takkanlah nak kata tak
boleh. Mesti kena bolehlah. Azra terus mengangguk. Bukan tak biasa jadi wakil.
Tapi, kali ini rasa kekok sebab bos baru kan.
“Okey. Itu saja. Mesyuarat bersurai,” arah Tuan Johari
membuatkan semua staf kembali menjalankan tugas masing-masing. Tinggal Azra
sahaja bersama dua orang penting dalam syarikat ini.
“Nadeem, ni Azra Zinnirah. Kita punya arkitek paling
handal sekali. Serba boleh. Jangan buli dia ya lepas ini.” Tuan Johari tergelak
kecil.
Azra turut tersenyum. Tapi, Nadeem hanya tersenyum nipis.
Matanya nakal mengerling memandang Azra. Tapi, bila Azra perasan terus
dilarikan pandangan matanya itu.
“Good luck,
Tuan Nadeem Ukail.” Tuan Johari menepuk bahu Nadeem sebelum dia melangkah
keluar dari bilik mesyuarat.
Tinggallah Azra dan Nadeem berdua.
“Jom,” ajak Nadeem.
Azra menayangkan wajah tidak mengerti maksud ajakan
Nadeem itu. Nadeem sudah pun melangkah keluar dari bilik mesyuarat berhenti dan
menoleh melihat Azra yang masih tercegat di situ.
“Hei! Masa itu emas. Apa lagi tercegat kat situ?”
Suara Nadeem yang meninggi itu mengejutkan Azra. Dengan
wajahnya yang serius itu lagi membuatkan Azra kelam-kabut mengikut Nadeem.
Seorang demi seorang diperkenalkan oleh Azra. Cuba
bermanis muka, tapi dalam hati Azra mengutuk habis-habisan sikap Nadeem. Lain
macam sikit. Atau lebih tepat adalah berlagak.
PETANG ini Iyad tunggu
lagi. Berharap agar dia datang lagi. Dalam lautan orang ramai Iyad perhatikan
seseorang demi seseorang. Mencari orang yang diharapkan dapat berjumpa lagi.
Wajah itu cuba diingatinya agar mudah untuk dia mengecam perempuan itu.
Tapi, Iyad hampa. Bila hari dah menginjak malam pun masih
juga tidak muncul. Mungkin tidak akan pernah muncul lagi. Iyad melepaskan
keluhan hampa.
“Erman, abang balik dulu. Kau uruskan semua nanti. Macam
biasa duit tu nanti simpan dulu. Pagi esok abang datang ambil kat kau,” pesan
Iyad.
Erman salah seorang pekerja kepercayaannya. Jadi, dia
tidak risau untuk tinggal macam tu saja. Lagipun Iyad rasa berputus asa untuk
menunggu lagi. Dia tahu tidak akan muncul lagi.
“Saya pergi rumah abanglah. Hantar duit nanti. Macam
selalu.”
“Tak perlu. Abang balik lewat. Abang ada hal kat luar.
Takut nanti kau datang rumah abang tak ada. Macam selalu uruskan ikan yang tak
habis tu. Kunci lori pun kau pegang. Alah, macam selalu. Kau tahu, kan?”
Dia tidak pulang terus ke rumah. Malam ini ada perjumpaan
dengan kelab. Rider Anak Hantu nama diberi. Kelab ini merupakan kelab yang
mengumpulkan penunggang tegar motosikal lama seperti Yamaha RXS, Honda Cub 70
dan Kawasaki Kips. Hujung bulan ini mereka akan ke Pantai Morib untuk majlis
beramah mesra dengan kelab yang lain. Jadi, Iyad sebagai pengerusi kelab perlu
memainkan peranannya.
Erman tidak menyoal lagi. Sudah sedia faham arahan Iyad
itu. Tanpa menunggu lama, Iyad terus mengangkat kaki dari situ. Motosikalnya
dihidupkan dan terus memecut laju ke tempat yang dijanjikan untuk berjumpa
dengan ahli kelabnya. Sampai sahaja terus disambut meriah oleh yang lain.
“Busuk ikan kat kau, Iyad!” tegur Adzha. Kawan Iyad dari kecil.
Boleh dikatakan kawan baik juga.
Iyad tersengih. “Biasalah. Nama pun penjual ikan. Tak
akan bau lembu kut.”
Jumlah ahli kelab seramai 25 orang. Tapi Iyad lihat hanya
ada 18 orang sahaja. Cukuplah. Mungkin yang lain ada hal.
“Iyad, sorry. Aku terpaksa bawa Syifa sebab
tadi ambil dia kerja. Dapat mesej yang kau nak jumpa. Jadi teruslah datang
sini,” maklum Wan terlebih dahulu sebelum disoal oleh Iyad.
Iyad memang tak suka kalau nak bincang hal kelab ada
orang lain. Tak selesa.
“Tak apalah. Hari ini aku bukan nak bincang apa sangat.
Aku cuma nak maklumkan jadual kita. Kemudian aku nak kutip duit sikit untuk
buat baju dan stiker. Design mana,
Adzha?”
Segera Adzha mengeluarkan sehelai kertas yang sudah siap
direka untuk baju kelab mereka. Setiap kali konvoi mereka akan menempah baju
baru. Khas untuk majlis itu nanti.
“Okey cun. Kau orang tengok dulu. Kalau ada idea cuba
bagi tahu.” Iyad memberi lakaran itu kepada Mirul pula dan diberikan kepada
seorang demi seorang. Nak minta pendapat.
“Aku nak sehelai, Iyad.” Syifa mencelah. Dia sudah biasa
dengan geng teman lelakinya ini. Dia pun mempunyai minat yang sama seperti Wan.
Iyad mengangkat kening kanannya.
“Kau nak buat apa? Sibuklah kau ni, Syifa,” usik Iyad.
Dah lama hubungan Wan dan Syifa. Mereka sudah pun
bertunang. Katanya tahun depan mereka akan disatukan. Yang lain semuanya dah
berumah tangga. Tinggal Iyad seorang sahaja lagi.
Syifa sengih.
“Aku nak pakailah. Aku nak ikut Wan pergi sekali nanti.”
“Siapa nak bawa kau?” Tunangnya pula mengusik.
Syifa bengang. Dia mencubit lengan Wan sampai menjerit
kesakitan. Puas hati dia.
“Tak nak bawa sudah. Aku naik dengan Iyad. Iyad pun ride seorang kan nanti?”
“Tak nak. Nanti berat.” Iyad ketawa. Diikuti dengan
mereka yang lain. “Kali ini aku bagi kelonggaran. Kalau nak bawa bini
masing-masing tu bawa sebab dekat saja. Penempatan Mirul kau dah sediakan?”
“Bereh! Aku dah
uruskan untuk lelaki perempuan.”
Iyad mengangguk. “Bagus. Penempatan ada. Jadi, tak perlu
risau.”
Sebelum ini bukannya dia tidak membenarkan untuk bawa
isteri, tetapi perjalanan mereka jauh. Namun, ada saja isteri yang tegar
sanggup untuk meredah perjalanan jauh dengan bermotosikal mengikut suami. Iyad
tak kisah.
“Kau bawa siapa, Iyad?” soal Syafiq.
Iyad tersenyum. Setiap kali konvoi memang dia solo. Tapi,
dia tak kisah pun sebab sudah biasa.
“Masih solo,” balas Iyad dengan senyuman terukir di
bibir.
“Tak berniat nak cari pasangan ke, Iyad? Umur makin
meningkat. Aku anak dua orang dah tau. Kau tu semua ada. Muka pula boleh
tahanlah stok-stok awek tengok sekali jatuh hati ni. Tak akan susah sangat nak
cari yang sesuai kut,” kata Syafiq sambil mengecilkan matanya. Mengusik Iyad.
Dia pun hairan apa yang ditunggu lagi oleh Iyad.
“Jumpa tu banyak, tapi yang sesuai dan serasi belum ada.
Nanti adalah tu. Tak jumpa lagi saja ni.”
Macam biasa jawapan Iyad. Letih sebenarnya nak jawab
soalan macam ni, tapi hakikat. Macamlah dunia ini akan berakhir kalau dia tak
kahwin.
“Kau nak yang macam mana? Aku boleh kenenkan.” Syifa pula mencelah. Rasa macam sesuai juga kalau Iyad
dengan seseorang yang dia kenal ni.
“Aku nak yang terima aku seadanyalah. Kalau dia terima
aku seadanya aku pun akan terima dia seadanya.”
“Cantik!”
Wan terkejut dengan respons daripada tunangnya itu.
“Apa yang cantiknya, Syifa? Kau ni beria-ia sangatlah,”
tegur Wan. Memang dah tahu dah perangai Syifa tu.
“Aku rasa kau sesuai dengan bos aku. Nak?” soal Syifa.
“Kau tak beragaklah, Syifa. Aku ni jual ikan kut. Nak kenenkan pun dengan bos. Memang taklah.”
Iyad merendah diri. Itulah dia tak suka kalau ada orang lain masuk dalam
mesyuarat mereka. Pasti akan ada melencong ke tajuk lain. Contohnya macam
inilah.
“Dia tak adalah bos sangat cuma jawatan dia atas akulah. Single lagi beb. Aku pun hairan apa lagi yang dia tunggu. Samalah macam kau.
Apa lagi kau tunggu?” Syifa mengangkat keningnya sambil menyoal pada Iyad.
Iyad tergelak kecil. Lantas kepalanya digelengkan beberapa
kali. Tidak boleh dibiarkan kalau asyik berbicara tajuk yang tiada kena-mengena
ini. Nanti lewat pula mereka beredar.
“Sudahlah. Jangan nak mengarut, Syifa. Aku suruh Wan
hantar kau balik nanti.” Iyad tergelak kecil.
“Entahlah kau ni, Syifa. Sibuklah. Macam ni nak jadi bini
aku?” Wan mencebik.
“Kau nak gaduh dengan aku apa hal?” Syifa menyiku
tunangnya itu membuatkan dahi Wan berkerut menahan sakit.
Masing-masing ketawa melihat kemesraan mereka berdua.
Termasuklah Iyad.
“Oi, kita tengah bincang pasal konvoi tau. Nak bergaduh
suami isteri pergi baliklah,” ujar Iyad membuatkan Wan dan Syifa mula fokus
pada perbincangan mereka tadi.
“Jadi, ada apa-apa halangan? Kita gerak pagi dalam pukul 4.00
pagi macam tu. Boleh? Ke ada yang tak boleh?”
Iyad memulakan perbincangan mereka. Malam ini mereka akan
mencapai kata putus untuk konvoi mereka kali ini. Pasal niat Syifa yang mahu
menjodohkan dia dengan bosnya itu Iyad anggap sebagai main-main sahaja.
Biasalah gurau-gurau mesra.
Saat itu dia teringatkan perempuan yang ditunggunya itu.
Masih juga belum muncul. Masih mengharapkan sesuatu nanti.
best.
ReplyDeleteala, Iyad ni jual mahal. Iyad perempuan yg kau nak sangat jumpa tu la yang Syifa nak jodohkan dengan kau. alahaiiii. depa jumpa xnanti writer? huhu
ReplyDelete