LELAKI TANGKAP MUAT 3



Bab 3


BUNYI ketukan pintu yang kuat dari luar mengganggu El yang sedang enak dibuai mimpi. Dia cuba untuk tidak mengendahkan dengan menutup telinganya, namun makin lama makin kuat pula.
El merengus geram. Apa masalahlah orang tua ini nak ganggu dia pagi-pagi macam ini?
“El, bangun!” jerit Hajah Limah dari luar.
Sampai bergegar pintu bilik itu diketuk oleh Hajah Limah. Selagi dia tidak berjaya mengejutkan El yang susah nak bangun subuh ini, dia akan terus berbuat demikian.
“Awal lagilah!” balas El sambil menarik semula selimut menutup seluruh tubuhnya.
Sudahlah semalam tidak boleh tidur. Bila dah boleh tidur, diganggu pula oleh orang tua ini. Memang anginlah dia.
“Hang bangun lekas. Bangkit sembahyang subuh, El!” Hajah Limah menjerit lagi, tidak berputus asa.
Dia bukan tak boleh nak masuk terus, tapi dia menghormati cucunya itu. Namun, macam tiada respons. Dia terpaksa meredah masuk ke bilik El. Selimut El ditarik kasar.
“Bangun, El. Aku curah hang dengan air hangat nanti,” ugut Hajah Limah.
Kalau dah tak makan saman, memang itulah makanannya.
“El mengantuk lagilah, tok. El baru tidur pukul 4.00 tadi. Tolong jangan ganggu.” El masih berkeras daripada menurut perintah Hajah Limah.
Dia cuba mencari selimutnya, tetapi Hajah Limah sudah menarik terlebih dahulu. Tak boleh dibiarkan begini terus. Hajah Limah perlu buat apa sahaja supaya cucunya ini bangun untuk solat subuh.
“Hang nak aku curah hang dengan air hangat ke? Atau nak suruh aku jerit sampai semua orang dengar aku ada cucu anak dara pemalas bangun subuh?” Hajah Limah tidak berputus asa.
Inilah jadinya kalau ibu bapa menuruti sahaja permintaan anak. Biar anak nak bangun pukul berapa. Solat ke tidak pun tidak peduli. Duduk dengan dia, minta maaflah. Dia akan paksa sampai buat. Lagi-lagi bab solat. Hajah Limah sangat bertegas hal itu.
El terkesan dengan ugutan itu. Bingkas dia bangun daripada baringnya. Matanya ditonyoh dengan belakang jari sedang ekor matanya merenung bengis ke wajah Hajah Limah. Tidak berpuas hati kerana orang tua ini mengganggu tidur paginya.
“Hang duk KL, mama papa hang tak kejut bangun subuh ke?” soal Hajah Limah tegas.
“Tak,” balas El pendek.
Hajah Limah menggelengkan kepalanya. Sekarang ini dia fahamlah kenapa El susah sangat nak bangun pagi. Entah bila kali terakhir solat pun dia tak tahu.
“Duduk dengan aku, tolong buang perangai lama hang yang mana tak elok tu. Nak duduk di dalam rumah aku kena solat. Aku tak suka orang tinggal solat sebab solat itu wajib. Hang berjaya macam mana pun kat dunia ini, tapi kalau tak solat jangan harap hang akan bahagia kat akhirat nanti.
Dah, pi mandi. Aku tunggu kat depan. Jangan lambat sebab kita nak pi solat kat masjid,” arah Hajah Limah kembali melempar selimut yang dipegang tadi kepada El, sebelum melangkah keluar dari bilik El.
“Alah, tok. Solat kat rumah tak boleh ke? El mengantuklah!” El bengang.
Jadi satu hal pula nak berjalan pergi masjid. Tak pernah dia buat sepanjang 24 tahun dia hidup.
“Masjid,” tegas Hajah Limah.
“Tapi, tok...”
Hajah Limah menoleh.
“Aku tak mau dengar alasan. Pi mandi dan siap. Aku tunggu kat depan.” Hajah Limah memotong cakapnya.
“Tak. El tak ada kain putih tu.” Muncung mulut El menunjukkan pada kain telekung yang sudah siap disarung oleh Hajah Limah.
“Dalam almari tu ada tiga helai telekung baru. Pilih mana satu yang hang nak. Aku tunggu kat depan,” arah Hajah Limah berlalu meninggalkan bilik El.
Dengan rasa malas dia turun dari katil. Langkah longlai dibawa menuju ke bilik air. Jarang sekali dia dipaksa bangun seawal ini. Bukan jarang, mungkin juga tak pernah.

EL meminta izin Hajah Limah untuk pulang terlebih dahulu selepas Hajah Limah mengambil keputusan untuk sambung mengaji al-Quran. Pada awalnya, Hajah Limah tidak membenarkan, tetapi selepas dia memujuk dengan pelbagai alasan, Hajah Limah melepaskannya.
Sudah agak jauh dari pekarangan masjid, El membuka telekung yang dipakainya. Rimas apabila terpaksa pakai begitu. Rambutnya yang kusut dibetulkan.
“Kan elok kalau terus pakai sampai rumah tadi. Rambut tu aurat seorang perempuan Muslim. Kalau orang tengok aurat kita, berdosa besar tau. Macam aku tengah tengok aurat hang sekarang ini. Berdosa besar hang.” Tiba-tiba, ada suara lain yang menegur.
El menarik nafas dalam sebelum dihembuskan perlahan. El cuba untuk bertenang. Dia mencari pemilik suara itu. Sebaik sahaja terpandang, hatinya terus berbara. Teringat kembali peristiwa semalam ketika lelaki ini seronok ketawakan dia.
“Apa masalah kau? Tak payah sibuklah aku nak pakai ke tidak. Aku tak minta kau tanggung dosa aku pun.” El membalas geram. Dia terus mencepatkan langkahnya.
Hael turut melakukan hal yang sama.
“Memanglah aku tak tanggung dosa hang, tapi bila aku tengok aku yang berdosa. Lagipun dah jadi tanggungjawab aku untuk tegur hang. Tapi, hang tak mahu dengar. Depan Allah nanti aku dah tak kena soal dah dengan Allah.” Hael membalas selamba.
El tidak terus melayan. Semakin lama semakin dilajukan langkahnya. Sudahlah kawasan ini gelap. Buatnya lelaki ini ada niat jahat. Boleh saja buat-buat alim, padahal itu semua untuk menutup perangai jahatnya.
“Aku nak tanya ni. Hang ada sakit kat mana-mana tak?” soal Hael tiba-tiba.
“Apa hal?”
“Semalam kan hang jatuh bangku. Aku nak tahulah juga kut-kut ada patah atau sakit kat mana-mana. Bolehlah aku bawa hang pi hospital. Takut sat gi melarat payah pula.” Hael mengungkit kembali kisah semalam sehingga mengundang rasa tidak puas hati El.
Sengajalah itu nak perli dia, rungut El dalam hati.
“Kau boleh blah tak? Semaklah!” El mula berang.
“Tok suruh aku ikut hang sampai rumah. Dia risau kut-kut hang hilang ke apa. Hang ingat aku nak sangat ikut hang? Memang taklah. Dahlah sombong macam apa lagi.” Hael mencebik.
Muka cantik, tapi sombong pun tak guna juga.
“Tak payah acah-acah prihatinlah, brader. Aku tahu jalan balik rumah. Aku minta kau blah. Aku menyampahlah tengok muka kau.”
“Amanah tetap amanah. Aku akan blah bila hang dah sampai di rumah.” Hael tetap berkeras.
Tidak peduli pun pada arahan El. Dia tidak mahu menyesal kerana tidak menyempurnakan amanah. Buatnya jadi apa-apa kepada gadis ini, macam mana dia nak jawab dengan Hajah Limah?
El tidak membalas. Kalau boleh dia nak cepat-cepat sampai ke rumah. Rasa macam jauh pula nak sampai. Tadi waktu datang rasanya tak adalah sejauh ini.
“Hang kalau perlukan apa-apa bagi tau saja aku. Kut-kut nak pergi mana-mana. Aku boleh jadi kawan hang kat sini.” Melihat El tidak membalas, Hael menawar diri.
Dia rasa tak seronok pula kalau hanya mendiamkan diri. Seronok pula bergaduh dengan gadis ini.
“Aku tak hadap punlah,” balas El kasar.
“Jangan cakap besar. Kita tak tahu masa depan kita macam mana. Mana tau muka ini juga yang akan hang cari nanti. Aku tak rasa di dalam kampung ini ada orang nak berkawan dengan hang kalau perangai hang macam ini. Sombong macam apa lagi.”
Hael menggelengkan kepalanya. Tak faham betul dia dengan gadis ini. Kenapa perlu nak sombong dengan orang lain? Tak bawa ke mana pun sombong tu.
“Dengar sini. Aku tak akan pernah minta tolong kau. Kau ingat janji aku. Aku tak akan jilat ludah aku balik. Sekarang kau dah boleh balik. Jangan datang atau tunjuk muka kau lagi depan aku. Aku tak suka!”
El terus memanjat tangga rumah dan melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu dihempas melepaskan rasa marah dan tidak puas hati.
“Kalau aku pun tak adanya aku nak jilat ludah aku balik. Geli tau. Hmm, sombong, bongkak, berlagak. Hang fikir aku nak sangat cakap dengan hang? Hang ingat aku suka kat hang? Kalau tak fikirkan amanah tok, memanglah aku tak akan tolong hang. Biar kena ro... Ops, tak baiklah doa macam itu, Hael,” leter Hael yang juga tidak berpuas hati dengan El.
Minta-mintalah dia tak dapat isteri yang macam ini.

BENGANG. Baru sahaja melelapkan mata, sekali lagi dia dikejutkan dengan suara Hajah Limah yang bagaikan petir itu. Malaslah dia nak mengendahkan arahan orang tua itu. Terus dipejamkan matanya rapat.
Kali ini dia bertekad untuk tidak lagi mengikuti arahan Hajah Limah. Dia juga kena tunjuk dia punya keras kepala. Toknya belum tahu lagi keras kepala dia macam mana. Inilah masanya dia nak tunjuk.
“El, oh, El!” Suara Hajah Limah masih memanggil namanya. Semakin lama semakin dekat bunyi derapan tapak kaki menuju ke biliknya.
“Ya Allah, budak ni. El, hang bangun sekarang. Apalah nak jadi dengan anak dara ni? Tak elok lepas subuh tidur balik. Rezeki tak masuk,” leter Hajah Limah sambil membuka tingkap bilik El.
Terpancar cahaya matahari menerobos masuk ke dalam biliknya.
El terus memekakkan telinganya. Tak tahulah apa masalah orang tua ini. Tak boleh tengok orang senang langsung. Dengki sungguh!
“Hang nak aku jerit ke, El?” Hajah Limah pun rasa kurang sabar dah sekarang ini. Tak sangka cucunya ini sedegil ini.
“Haih, apa bendalah tok ni. El nak tidurlah. Tadi tok kejutkan El bangun subuh, El dah bangun. El dah ikut pun cakap tok. Sekarang ini nak bising apa lagi? Dengki sangat dengan El ni kenapa ha?” tempelak El dengan suara tinggi.
Dia melepaskan segala amarah dan rasa tidak puas hatinya ketika ini. Tidak peduli dengan siapa yang dia sedang bercakap sekarang ini.
Hajah Limah tersentak. Dia mengetap giginya menahan marah. Dalam hatinya tidak terlepas beristighfar dengan sikap El yang sangat kurang ajar.
“Aku nak hang bangun juga. Aku tak suka orang buat macam dia raja dan permaisuri dekat dalam rumah aku. Mungkin rumah hang kat KL tak ada peraturan, tapi bila hang tinggal sini hang kena ikut cara aku. Bangun!”
Hajah Limah tidak mengalah. Dia tidak boleh membiarkan terus begini. El memang perlu dididik.
“Sekarang ni tok dengki apa sangat dengan El? El nak tidur. Semalam El tidur lewat. Pagi tadi kena bangun awal. Jangan nak acah-acah komando sangat boleh tak?”
“Aku nak dengki dengan hang buat apa? Rumah ini ada peraturan. Lagi-lagi hang perempuan. Anak dara apa yang macam ini? Takkan sampai dah berlaki nanti pun nak buat perangai macam ini?”
Memang mencabar kesabaran sungguhlah cucunya ini. Kalau dah dari kecil tidak dididik dengan baik, inilah yang akan terjadi. Cuma kadang-kadang tak boleh salahkan ibu bapa juga. Terpengaruh dengan kawan-kawan yang tak baik juga boleh mengundang sikap yang tak baik.
“Suka hatilah nak buat apa pun, tok. Tak payah nak atur hidup El sangatlah.”
Hajah Limah menarik nafas dalam. Perlahan-lahan dihembus. Beberapa kali dia melakukan hal yang sama demi menenangkan hatinya yang tengah berbara ketika ini.
“Aku tak mau bertengkar dengan hang, El. Aku nak hang bangun dan kemas katil hang ni sebab di dalam rumah ini tak ada orang gaji. Lepas kemas apa semua, pi masuk dapur. Aku tunggu hang kat dapur.”
“ Tok fikir El akan ikut cakap tok? Minta maaflah!” El menarik semula selimut dan menyelimuti seluruh tubuhnya.
Dia memang sengaja nak mencabar Hajah Limah. Pedulilah orang tua itu.
Semakin sesak rasa dada melihat perangai El. Tangannya melurut dada meminta dirinya untuk lebih bersabar. Tak sangka sejauh ini perangai El sebenar.
“Okey. Hang cabar aku, kan? Teruskan mencabar aku, El. Tapi, jangan melenting kalau papa hang tahu semua ini. Takkan hang tak ingat akibat kalau ada aduan yang papa hang terima nanti?”
Hajah Limah mengangkat kaki meninggalkan bilik El. Dia sebenarnya sudah hilang sabar. Mungkin dengan menggunakan poin mengugut itu akan membuatkan El mengikut permintaannya.
“Argh! Stresnya!” jerit El sambil menekup mukanya ke bantal.
Orang tua itu main kasar nampaknya. Sampai nak libatkan papanya. Dia sendiri tahu kalau papa tahu, dia akan susah.
Hajah limah tersenyum sinis. Nak lawan sangat dengan dia, kan? Kita tunggu siapa yang menang.





LELAKI TANGKAP MUAT 2




Bab 2
HAEL membelok masuk ke halaman rumah Hajah Limah. Dari dalam kereta dia cuba memerhati untuk memastikan Hajah Limah ada di rumah ataupun tidak kerana keadaan sekeliling sunyi sepi. Dia turun dari kereta sambil membawa pucuk paku serta bahan-bahan lain yang dibeli semasa pergi ke pasar pagi tadi.
“Assalamualaikum, tok!” Hael memberi salam dengan suara yang sedikit kuat memandangkan pintu rumah Hajah Limah tertutup rapat.
Hael yakin Hajah Limah ada di rumah kerana kedengaran bunyi televisyen.
“Waalaikumussalam.” Tidak lama kelihatan Hajah Limah datang menjengul di muka pintu.
 Hael tersenyum.
“Tok duk buat apa?” soal Hael.
“Duk di dalam bilik air tadi. Baru lepas habis basuh kain. Awal hang sampai hari ni, Hael.”
“Hael pi joging tadi. Balik joging tu singgah market sat. Ni Hael ada beli pucuk paku dengan bahan-bahan yang lain sekali. Hael ada beli petai, cabai melaka sekali. Kut-kut tok nak buat sambal.”
Bukan main pandai lagi Hael mengatur menu untuk orang tua itu. Memang dia suka makan masakan Hajah Limah. Sambal belacan pun tip-top.
“Tak apa. Nanti aku buat. Sat gi tengah hari hang mai makan sinilah. Kita makan kat bawah pokok tu,” ujar Hajah Limah sambil mulutnya muncung ke arah pangkin yang ada di bawah pokok rambutan.
Petang-petang memang itulah tempat untuk menghabiskan masa. Sambil menghirup udara segar.
“Tok, malam ni pak su terbang pi Jepun, kan? Tok macam mana? Ada orang teman dah?” soal Hael ingin tahu.
Dia sudah sedia maklum tentang perkara itu. Itu yang dia risau kalau-kalau tak ada orang yang jaga tok nanti. Dia pun bukannya selalu ada di sini. Kerjanya tidak menentu.
“Ha, ada. Cucu KL aku balik jaga katanya. Tak taulah, Hael. Tahan berapa lama dengan aku ni. Takut sat gi duduk sehari dah lari balik KL balik. Tak tahan dengan aku ni, suka berleter.”
Hael tergelak kecil.
“Tok pun janganlah berleter sangat. Mana cucu tak takut. Tak apalah, tok. Senang hati Hael bila dengar macam itu. Hael balik dulu. Nak mandi. Badan busuk peluh. Sat gi tengah hari Hael mai,” ujar Hael mula meminta diri.
Ketika dia mahu masuk ke dalam perut keretanya ada kereta lain yang masuk ke pekarangan rumah Hajah Limah. Hael tidak jadi untuk masuk. Begitu juga dengan Hajah Limah yang tidak jadi untuk masuk ke dalam rumah. Pandangan masing-masing tertumpu pada kereta jenis Toyota Vellfire itu.
“Assalamualaikum, mak,” ujar Tuan Rizal sebaik sahaja turun dari kereta.
Tersenyum lebar Hajah Limah apabila melihat anak sulungnya itu. Hampir dua bulan sudah dia tak berjumpa dengan anaknya itu. Dia faham yang anaknya sibuk. Namun, kebajikannya tetap dijaga. Tak pernah sekali pun gagal.
“Waalaikumussalam. Awal hang sampai, Jai.” Mereka berpelukan seketika. Melepaskan rasa rindu antara ibu dan anak.
“Lepas subuh tadi kami bertolak. Syid ada bagi tau mak kami nak balik hari ini?”
Hajah Limah mengangguk. Sejurus kemudian, pandangannya jatuh kepada Hael yang masih tidak bergerak dari situ.
“Hael, mai sini. Jumpa pak long hang ni,” panggil Hajah Limah.
Hael yang terpinga-pinga menuruti arahan Hajah Limah itu. Dia menutup semula pintu keretanya dan mendekati Hajah Limah dan Tuan Rizal.
“Apa khabar, pak long?” Dengan penuh santun Hael bersalaman dengan Tuan Rizal walaupun rasa kekok sedikit.
Dia jarang bersua dengan anak tok yang seorang ini. Biasalah, orang ada-ada.
“Khabar baik,” jawab Tuan Rizal mesra.
“Kalau kata El tak mau duduk sini pun tak apa. Hael ada. Aku tak mau nanti dia mai duk sat gaduh nak balik.” Hajah Limah berterus terang. Biar beritahu awal siap-siap. Nanti tak timbul masalah di kemudian hari.
Tuan Rizal menggeleng.
“Tak mak. Biar El jaga mak. Lagipun ada benda lain yang Jai nak minta tolong mak. Tapi, tak apa. Kita bincang kat ataslah. Mama, jangan lupa bawa keluar buah tangan untuk mak,” pesan Tuan Rizal kepada isterinya yang baru sahaja turun dari kereta.
Pandangan Tuan Rizal jatuh kepada anaknya yang masam mencuka. Sepanjang perjalanan tadi El memilih untuk mendiamkan diri. Dia tahu itu tanda protes. Kali ini dia memang betul-betul perlu berkeras. Kalau dibiarkan entah apa pula masalah lain yang timbul selepas ini.
“Jom naik atas, El,” ajak Tuan Haikal.
“Papa naiklah dulu. Nanti El naik. El nak duduk kat bawah pokok tu sekejap.” El menolak.
Biarkan dia tenang dahulu. Lepas ini nak menghadap Hajah Limah pula. Boleh tahan ke tidak itu tak pastilah.
“Eloklah tu. Biasakan diri dulu sementara nak duk sini,” celah Hajah Limah sebelum masing-masing masuk ke dalam rumah. 

HAEL yang pada awalnya berkira-kira nak balik ke rumah menangguhkan niatnya sementara. Dia seperti berminat untuk menyapa cucu bandar Hajah Limah ini. Cantik. Tidak dinafikan. Tak hairan sebab pak long dan mak longnya pun sama segak.
“Hai. Awaklah cucu tok yang akan jaga tok kat sini nanti, ya?” soal Hael memulakan perbualan antara mereka.
Tapi, bukan jawapan balas yang dia dapat. Hanya jelingan maut yang dihadiahkan oleh El sebagai hadiah perkenalan mereka sehingga membuatkan Hael membulatkan matanya. Mahu tak terkejut. Orang tanya elok-elok dibalas begitu.
“Amboi, sombong,” ujar Hael perlahan.
“Aku dengar apa yang kau bebelkan tu.” Akhirnya, El bersuara.
“Ada suara rupanya. Ingatkan cucu bandar tok ini istimewa orangnya,” balas Hael sekadar bercanda.
El mendengus geram. Berapi saja telinga dia ketika ini. Dia baru rasa nak tenangkan jiwa yang tengah kacau sambil menghirup udara kampung, tiba-tiba ada makhluk perosak berkepala hitam ini yang mengganggu.
“Rasa boleh ke duduk lama-lama kat kampung? Maksud aku, hang dah bersedialah nak mandi air kolah yang sejuk, tidur pakai kipas bukannya aircond apa semua? Dah bersedia dah?” tanya Hael lagi, masih tidak serik walaupun soalannya sebelum ini tidak mendapat jawapan daripada El.
Tetap sama. El memilih untuk diam dan membiarkan sahaja soalan itu berlalu tanpa jawapan. Kau cakaplah seorang diri. Dia tak kuasa nak layan.
“Sombong boleh tahan juga hang ni, kan?” Hael sedikit bengang.
“Kalau aku sombong, dahlah, pergi jauh-jauh. Duduk kat sini buat apa lagi?” halau El.
Tidak tahu mana datangnya lelaki ini. Tiba-tiba nak jadi peramah pula. Dia tidak perlukan pun.
“Taklah. Aku cuma nak berkenalan dengan cucu tok ni. Kalau hang nak tau aku ni pun cucu tok juga. Kesayangan tok lagi. Jadi, aku nak jugalah kenal dengan orang yang akan jaga tok nanti.”
“Oh, kau cucu kesayangan orang tua itu?” soal El.
Hael mengangguk. “Of course!”
“Kalau gitu kau sajalah yang jaga. Aku boleh balik KL.”
“Eh, mana boleh. Aku ni cuma cucu angkat saja. Kalau berdua-duaan mahu dibuatnya kena tangkap basah nanti. Lagipun aku masih ada batas lagi dengan tok. Jadi, lebih baik hanglah yang jaga dia. Tapi, jangan risau. Sepanjang hang kat sini, aku akan bantu hang. Hang nak pi mana ke, nak apa-apa ke, aku boleh tolong hang,” janji Hael, begitu ramah menawarkan pertolongan buat El.
“Aku tak perlukan sesiapa. Belum tentu lagi aku akan bertahan duduk kat sini.” El tetap dingin.
Dia menoleh ke sebelah dan kelihatan bangku kayu. Langkah diayun ke situ dan mengambil keputusan untuk duduk di situ. Lenguh kakinya berdiri lama.
“Jangan du...” Belum sempat Hael melarang, El terlebih dahulu duduk.
Prang! El jatuh terduduk ke tanah. Bangku kayu yang memang sudah sedia patah itu terus terbelah dua.
Hael cuba menahan supaya tidak tergelak, tapi tidak mampu. Terus terbahak-bahak dia ketawakan El. Tidak peduli dengan muka tidak puas hati El.
“Kau okey ke tak? Boleh bangun ke tak tu?” soal Hael mendekati El, ingin menghulurkan pertolongan.
“Tak payah! Aku boleh bangun sendiri.”
“Ini mungkin balasan untuk orang sombong. Tak ke mana pun sombong ni. Sakit ke tak? Kalau sakit nak bawa pergi klinik.”
Satu jelingan dilemparkan oleh El. Terus dia melangkah masuk ke dalam rumah dengan perasaan sebal. Lagi menyakitkan hati apabila lelaki itu menyambung mengertawakan dia.
“Baru sampai dah macam-macam!” getus El tidak puas hati. Dalam masa yang sama, sudah semestinya dia berasa malu.

“JAI harap sangat mak dapat didik dia sikit. Jai tak tahu dah nak buat macam mana lagi. Duk KL tu dia berkawan dengan kawan yang sosial, itu yang duk ikut sosial tu,” rayu Tuan Rizal penuh dengan pengharapan agar maknya ini akan dapat membantunya mendidik El.
Bukan dia nak melepaskan tanggungjawab, tapi dengan komitmen yang ada dia rasa tak mampu nak kawal El.
“Insya-Allah. Aku tak janji apa-apa. Tapi, aku cuba. Cuma aku minta maaf siap-siap kalau aku ada pukul dia ke, ada buat sesuatu yang keras sikit kat dia kalau dia degil.”
“Mak tak perlu minta maaf. Mak buatlah apa mak nak buat. Asalkan dia boleh berubah. Itu saja yang Jai minta.”
Hael yang turut bersama ketika ini memasang telinga. Sekarang dia nak mula faham. Semuanya ada tujuan lain juga rupanya.
“Dia mau pula mai sini, Jai. Hang paksa ke apa?” Hajah Limah ingin tahu.
Dia pelik kalau tiba-tiba El setuju. Sebab dia kenal sangatlah cucunya itu. Balik sekejap pun kadang-kadang sibuk nak ajak balik Kuala Lumpur semula.
“Adalah ugut dia sikit, tapi tak apalah. Dia nak mai sini duk dengan mak pun saya bersyukur sangat dah. Jai nak minta maaf kalau dia akan menyusahkan mak nanti. Jai tak bermaksud nak susahkan mak, cuma Jai tak tau nak buat apa dah.”
“Tak payah risau. Hael ada kat sini. Kalau dia tak kerja luar, dia yang duk bantu aku. Apa-apa aku cari dia saja. Aku yakin dia boleh tengokkan El.” Hajah Limah mengurangkan rasa risau anak sulungnya itu.
“Hael tolong tengokkan El ya,” pesan Tuan Rizal kepada Hael pula.
“Insya-Allah, pak long.” Hael membalas bersama senyuman.
Dia tidak keberatan selagi berkaitan dengan Hajah Limah kerana inilah juga masanya untuk membalas segala jasa orang tua itu.
“Okeylah, mak. Kami balik dulu. Bila-bila kami free, kami balik lagi tengok mak dengan El.”
Tuan Rizal bersalaman dengan Hajah Limah, lalu berpelukan. Begitu juga dengan Hael dan Puan Nani.
El tidak bersama mereka. Mungkin masih marah lagi. Hanya berkurung di dalam bilik selepas sebal dan malu atas peristiwa yang tidak disangka-sangka tadi.
“Hati-hati, pak long,” pesan Hael sebelum mereka berlalu pergi meninggalkan pekarangan rumah Hajah Limah.
“Hmm, anak jenis apa pun tak tahu. Mak bapak balik pun buat tak tahu saja,” leter Hajah Limah. Tidak berkenan dia dengan perangai El itu.
“Dia masih marah lagi kut, tok.” Hael cuba bersangka baik.
“Marah macam mana pun tetap mak ayah dia. Tak boleh buat macam ini. Mungkin sebab inilah kut dia tak suka aku. Mulut aku ni bukan boleh duduk diam.”
Hael tergelak kecil. “Mungkinlah tok. Tak apalah, tok. Jadi diri sendiri sajalah. Dah salah kenalah tegur. Okeylah, tok. Hael kena pergi kerja dulu.”
“Malam ini makan sini?”
“Tak kut, tok. Tak mau kacau tok dengan cucu bandar tok tu. Hael makan luar hari ini. Tok nak apa-apa tok telefon ya.” Hael mengingatkan Hajah Limah seperti selalu.
“Pi kerja elok-elok.” Kali ini giliran Hajah Limah pula mengingatkan Hael yang sudah dianggap seperti cucu sendiri.
“Baik, tok. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”

Hael menghidupkan enjin keretanya sebelum berlalu dari situ. Dia harus cepat kerana rasanya dia sudah lewat ke tempat kerja.