DIA berulang-alik ke sana sini resah
memikirkan masalah yang baru sahaja timbul. Tidak
sangka perkara ini akan berakhir dengan macam ini. Dia akui dia nakal dan
sosial, tapi dia tidak pernah sampai ke tahap ini. Dia masih boleh fikir mana
baik dan salah.
“El
memang sengaja nak malukan papa ke apa ya, El?” jerkah Tuan Rizal berang dengan
apa yang terjadi.
Dia sudah
hilang sabar dengan anak perempuannya ini. Sudah beberapa kali buat hal.
“Papa, El
tak salahlah. El pergi rumah dia untuk ambil barang. Dia ajak El masuk dalam
rumah tu. El ingat ada orang, tapi sebenarnya tak ada. El yakin ini kerja
Nazrul tak guna tu, sengaja nak perangkap El,” jelas El cuba mempertahankan
diri.
Memang
dia tak salah. Mungkin ini semua hanyalah rancangan bodoh Nazrul.
“El ingat
dengan penjelasan El itu akan ubah semuanya? Macam mana papa nak hadap
kawan-kawan papa? Seorang anak VIP ditangkap basah. Siapa lagi kalau bukan anak
papa?”
“El minta
maaf, papa. El akan minta Nazrul clearkan
semua semula. El tak salah. El takkan buat benda macam ini. El mengaku El
sosial, tapi untuk buat perkara macam ini, El tak pernah terfikir. Kalau El nak
hanyut, masa kat UK dulu lagi El dah hanyut, papa.” El merendahkan egonya
memohon maaf.
Dia tahu
perkara ini memang memberi impak negatif kepada papanya sebagai seorang yang
berpengaruh di Malaysia ,
tapi dia pun tak minta semua ini terjadi.
“Sudahlah,
abang. El dah minta maaf, kan? Bukan salah dia pun,” celah Puan Nani,
mempertahankan anak perempuannya itu.
“Memang
bukan salah El. Tapi, muka ni nak letak mana?”
“Papa
jangan risau. El akan minta Nazrul mengaku yang dia perangkap El. El janji.” El
meyakinkan papanya.
“Takkan ubah apa-apa. Papa dah buat keputusan. Semalam pak su telefon. Dia cakap
dia nak ke Jepun sebulan malam esok. Tak ada sesiapa nak jaga tok. Jadi, papa
nak hantar El balik kampung. Biar semuanya reda dulu, baru El balik sini,” ujar
Tuan Rizal sudah fikirkan perkara ini.
Lagipun
dia ada rancangan yang sudah diatur. El tak boleh terus dibiarkan. Takut makin
hanyut pula nanti.
“What? No, papa. El tak setuju. El tak boleh hidup dengan orang tua itu.
El kan dah janji yang El akan bersihkan semua ini. Please, papa. Jangan buat El macam ini,” rayu El bersungguh-sungguh.
Bayangan
Hajah Limah mula bermain di kepalanya. Dari dulu lagi mana pernah dia setuju
angin dengan orang tua itu. Mana tidaknya, kalau semua benda yang dia buat
adalah salah pada pandangan mata Hajah Limah .
“Keputusan
muktamad. Daripada papa biarkan El kat sini berhibur sana sini, lebih baik papa
hantar duduk dengan tok. At least, tok boleh ajar
apa yang patut.”
Tangan
Tuan Rizal diraih. El tetap mahu memujuk papanya. Dia tiada masalah untuk
tinggal di kampung. Tapi, masalahnya adalah Hajah Limah. Dia tidak boleh nak
hadap semua itu.
“Papa,
kali ini saja bagi El peluang. El janji El akan jaga kelakuan dan tingkah laku,
El. El
tak akan malukan papa lagi. Kalau El langgar juga, El akan setuju untuk balik
kampung,” pujuk El.
Walaupun
dia tahu kalau itu keputusan papanya, maka itulah jawapannya. Tapi, mana tahu
Tuan Rizal akan simpati dengannya.
Tuan
Rizal menggeleng. Dia perlu berkeras dan nekad dengan keputusan kali ini. Dia
tidak boleh terlalu mengikut anaknya ini. Sebelum jadi sesuatu yang lebih teruk, mungkin inilah keputusan
yang sesuai. Demi kebaikan El juga.
“Kemas
baju semua. Bawa untuk sebulan. Esok papa sendiri akan hantar El balik
kampung,” arah Tuan Rizal sebelum berlalu dari situ.
Dia tidak
mengendahkan rayuan anaknya itu. Kalau lagi lama dia di
sini, takut dia yang terpujuk dengan rayuan El . Anak perempuannya seorang ini memang
sangat pandai memujuk.
“Mama,
tolong pujuk papa.” Kali ini El
meminta pertolongan mamanya.
“Mungkin
ini keputusan yang terbaik, El. Alah,
sebulan saja duduk kat sana. Tak lama pun. Lagipun kesianlah kat tok tak ada
orang nak jaga. El duduk sini pun bukannya El ada kerja.” Puan Nani
menyokong keputusan suaminya itu.
Dia yakin
suaminya tidak akan membuat sesuatu tanpa sebab.
“Mama pun
samalah!” bentak El sebelum berlari ke biliknya, kecewa.
Tak guna
punya Nazrul. Kerana lelaki itu, dia terpaksa hadap semua ini.
EL tidak
mampu duduk diam. Dia tidak boleh turutkan permintaan papa. Dia
perlu buat sesuatu supaya tidak dipaksa untuk balik ke kampung. Sungguh, ini akan menjadi mimpi ngeri
buatnya kalau terpaksa duduk dengan Hajah Limah yang terkenal dengan sikapnya yang garang .
“Assalamualaikum.” El memberi salam kuat.
“Waalaikumussalam.”
Pintu dibuka. Terjengul wajah orang gaji rumah itu.
“Naz
ada?” soal El terus. Dadanya membuak-buak menahan rasa marah.
“Ya,
sayang. Cari I kenapa ni?” soal Nazrul muncul di hadapan pintu dengan wajah
riangnya. Langsung tak nampak rasa bersalah ke apa.
“Kau yang
perangkap aku sampai kita kena tangkap basah, kan?” El terus melemparkan amarahnya.
Dia tak
boleh berlembut lagi. Tengok wajah Nazrul saja dia rasa menyampah sekarang ini.
Kerana lelaki ini, maruah keluarganya calar.
“Eh, wait, El. You
cuba bawa bersabar. Datang terus nak serang I. Jemput masuk dulu. Jangan risau.
Hari ini maid I ada,” jemput Nazrul lemah lembut.
Nafas El
turun naik. Angin betul dia sekarang ini. Kalau ikutkan hati nak saja dia
tumbuk muka itu. Tapi, dia sedar itu akan merumitkan lagi keadaan.
“Aku nak
kau bersihkan semua ini. Semuanya hanya salah faham!” arah El.
“Kau tak
ada bukti pun nak tuduh aku, El. Aku pun tak sangka yang kita akan kena serbu,”
balas Nazrul menafikan tuduhan El itu.
“Okey,
kalau betul kau tak rancang, tolong bersihkan semuanya.”
Nazrul
menggeleng. “Untuk apa?”
“Maruah
aku. Maruah keluarga aku. Kau tahu kan papa
aku siapa? Semua
orang kenal dia. Benda ni dah malukan keluarga aku kau tahu tak!”
“Maruah?
Kau sedar tak apa yang kau cakap ni, El?” Nazrul tersenyum sinis.
Bibirnya
diketap. Jari-jemarinya mula digenggam erat. Lelaki ini memang biadab. Sebab
itulah dari dulu lagi dia tidak pernah suka dengan lelaki ini.
“Sudahlah,
El. Kau pun bukannya kena paksa kahwin dengan aku walaupun aku mengharapkan kau akan
buat keputusan sebaliknya. Tapi, tak apalah. Terima sajalah apa yang terjadi,”
tambah Nazrul seolah-olah mengugut El ketika ini.
“Terima
sajalah apa yang jadi?” El tidak dapat menangkap maksud sebenar Nazrul.
“Ya.
Kalau berita ini tersebar. Okeylah. Aku minta maaflah. Aku ada
kerja sikit nak kena selesai ni. Jumpa lagi, sayang.”
Sebelum
pergi, sempat lagi Nazrul mencuit hidung El,
mengundang rasa yang makin menjengkelkan terhadap lelaki itu.
“Kurang
ajar punya jantan!” jerit El berang. Nazrul memang kurang ajar.
BUNYI muzik
yang begitu mengasyikkan itu membuatkan jiwanya tenang seketika. Air anggur
yang dihidangkan dihirup sehingga tinggal setengah gelas. Pandangannya
dihalakan kepada kumpulan yang sedang bermain alat muzik itu.
“El!”
El
tersentak dengan sergahan itu. Dia menoleh dan menggelengkan kepala.
“Nak bagi
aku mati ke apa kau ni,” tegur El, tidak
gemar dengan tindakan Medina.
“Jangan
matilah. Aku nak kawan dengan siapa nanti. By the way, kenapa lepak sini? Kenapa
bukan kat kelab macam selalu?” soal Medina sambil memanggil pelayan untuk
membuat pesanan.
“I’m so stress.” Ringkas
jawapan El.
Sepatutnya
dia tak perlu terlalu memikirkan perkara ini. Tapi, entahlah. Dia serabut
dengan Nazrul dan keputusan papanya. Kalau papanya ugut nak hantar ke UK
semula, dia boleh terima. Ini nak pergi jaga nenek tua itu? Belum pergi dah
rasa jengkel dengan perangai suka perli orang itu.
“Why? Tell me.” Medina sudah
bersedia untuk memasang telinga mendengar kisah sahabatnya itu.
“Kau tahu kan kes aku dengan Naz tu?”
“Ya.
Dah tersebar pun.”
“Aku
tahu. Kurang ajar Naz tu. Dia sengaja perangkap aku. Bila
aku memilih untuk bayar denda daripada setuju kahwin dengan dia, inilah harga
yang perlu aku bayar. Kerana itu juga, aku terpaksa hadap hukuman yang papa aku
bagi.” Satu keluhan kasar dilepaskan.
Dia
tidak habis fikir perkara ini. Harinya akan tiba esok. Tak tahulah apa akan
jadi.
“Hukuman?
Wah, dah macam hukuman mandatori dah kedengarannya tu. Kenapa? Papa kau hukum
kau apa?”
“Dia
nak hantar aku balik kampung.”
Medina
tergelak kecil. “Kampung? Kau okey ke?”
“Aku
tak boleh buat apa. Kalau itu keputusan papa, aku dah tak boleh ubah dah.”
“Dari
UK lagi, hidup kita ni setiap malam kelab, karaoke, berhibur. Tiba-tiba kau nak
kena ubah semua ini. Kau okey ke?” Medina tidak percaya.
Kalau
dah selalu buat, memang susah nak tinggal senang-senang begitu sahaja.
“Aku
tak fikirkan pasal itulah. Kampung aku tu bukannya pedalaman
pun. Sekeliling dah membangun. Dekat dengan Penang. So,
bila-bila masa aku boleh pergi. Masalahnya sekarang macam mana aku nak hidup
dengan nenek tua tu. Aku tak bolehlah hidup dengan dia. Aku balik sekali-sekala
dengan famili aku pun, ada saja benda tak kena kat mata dia. Inikan pula papa
aku suruh aku teman dia selama sebulan sebab pak su
aku tak ada.”
“Alah, kau buat kerja kau sudahlah. Tak payah layanlah
orang tua itu,” cadang Medina.
“Kalau
boleh. Kalau tak?”
“Al-Fatihahlah jawabnya. Hahaha. Alah, relakslah. Aku tak rasa kau tak boleh handle nenek kau tu, El. Ini El kut. Dahlah. Daripada fikir
benda tak habis ni, apa kata kita pergi kelab?
Jom. Lagipun esok kau dah nak jadi orang
kampung dah. Malam ini temanlah aku.”
El
menjeling Medina. Duit di dalam
dompetnya dikeluarkan lalu diselitkan di bawah gelas. “Siot aje ayat kau kan,
Medina.”
“Jangan
risau. Kau survey dulu port yang baik. Nanti aku turun sana. Sekarang kita enjoy dulu.”
El dan
Medina terus berlalu dari restoran itu. Seperti selalu,
ke tempat yang selalu dituju. Lagi-lagi malam ini malam minggu. Tidak boleh
lepaskan peluang itu.
No comments:
Post a Comment
- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...
Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH