Bab 2
HAEL membelok
masuk ke halaman rumah Hajah Limah. Dari dalam kereta dia cuba memerhati untuk
memastikan Hajah Limah ada di rumah ataupun
tidak kerana keadaan sekeliling sunyi sepi. Dia turun dari
kereta sambil membawa pucuk paku serta bahan-bahan lain yang dibeli semasa
pergi ke pasar pagi tadi.
“Assalamualaikum,
tok!” Hael memberi salam dengan suara yang sedikit kuat memandangkan pintu rumah
Hajah Limah tertutup rapat.
Hael
yakin Hajah Limah ada di rumah kerana kedengaran bunyi televisyen.
“Waalaikumussalam.”
Tidak lama kelihatan Hajah Limah datang menjengul di muka pintu.
Hael tersenyum.
“Tok duk
buat apa?” soal Hael.
“Duk di
dalam bilik air tadi. Baru lepas habis basuh kain. Awal hang sampai hari ni,
Hael.”
“Hael pi
joging tadi. Balik joging tu singgah market sat.
Ni Hael ada beli pucuk paku dengan bahan-bahan yang lain sekali. Hael ada beli
petai, cabai melaka sekali. Kut-kut tok nak buat sambal.”
Bukan
main pandai lagi Hael mengatur menu untuk orang tua itu. Memang
dia suka makan masakan Hajah Limah. Sambal belacan pun tip-top.
“Tak apa.
Nanti aku buat. Sat gi tengah hari hang mai makan sinilah. Kita
makan kat bawah pokok tu,” ujar Hajah Limah sambil mulutnya muncung ke arah
pangkin yang ada di bawah pokok rambutan.
Petang-petang memang itulah tempat untuk menghabiskan masa. Sambil
menghirup udara segar.
“Tok, malam ni pak su terbang pi
Jepun, kan? Tok macam mana? Ada orang teman dah?” soal Hael ingin tahu.
Dia
sudah sedia maklum tentang perkara itu. Itu yang dia risau kalau-kalau tak ada
orang yang jaga tok nanti. Dia pun bukannya selalu ada di
sini. Kerjanya tidak menentu.
“Ha,
ada. Cucu KL aku balik jaga katanya. Tak taulah, Hael. Tahan berapa lama dengan
aku ni. Takut sat gi duduk sehari dah lari balik KL balik. Tak tahan dengan
aku ni, suka berleter.”
Hael tergelak kecil.
“Tok pun janganlah berleter sangat. Mana cucu tak takut. Tak apalah,
tok. Senang hati Hael bila dengar macam itu. Hael balik dulu. Nak mandi. Badan
busuk peluh. Sat
gi
tengah hari Hael mai,” ujar Hael mula meminta diri.
Ketika
dia mahu masuk ke dalam perut keretanya ada kereta lain yang masuk ke pekarangan rumah Hajah Limah. Hael tidak jadi
untuk masuk. Begitu juga dengan Hajah Limah yang tidak jadi untuk masuk ke
dalam rumah. Pandangan masing-masing tertumpu pada kereta jenis Toyota Vellfire
itu.
“Assalamualaikum,
mak,” ujar Tuan Rizal sebaik sahaja turun dari kereta.
Tersenyum
lebar Hajah Limah apabila melihat anak sulungnya itu. Hampir dua bulan sudah
dia tak berjumpa dengan anaknya itu. Dia faham yang anaknya sibuk. Namun,
kebajikannya tetap dijaga. Tak pernah sekali
pun gagal.
“Waalaikumussalam.
Awal hang sampai, Jai.” Mereka berpelukan seketika. Melepaskan rasa rindu
antara ibu dan anak.
“Lepas
subuh tadi kami bertolak. Syid ada bagi tau mak kami nak balik hari ini?”
Hajah
Limah mengangguk. Sejurus kemudian, pandangannya jatuh kepada
Hael yang masih tidak bergerak dari situ.
“Hael,
mai sini. Jumpa pak long hang ni,” panggil Hajah Limah.
Hael yang
terpinga-pinga menuruti arahan Hajah Limah itu. Dia menutup semula pintu
keretanya dan mendekati Hajah Limah dan Tuan Rizal.
“Apa
khabar, pak long?” Dengan penuh santun Hael bersalaman dengan Tuan Rizal
walaupun rasa kekok sedikit.
Dia
jarang bersua dengan anak tok yang seorang ini. Biasalah, orang ada-ada.
“Khabar
baik,” jawab Tuan Rizal mesra.
“Kalau
kata El tak mau duduk sini pun tak apa. Hael ada. Aku tak mau nanti dia mai duk
sat gaduh nak balik.” Hajah Limah berterus terang.
Biar beritahu awal siap-siap. Nanti tak timbul masalah di kemudian hari.
Tuan Rizal menggeleng.
“Tak mak. Biar El jaga mak. Lagipun ada benda lain yang
Jai nak minta tolong mak. Tapi, tak apa. Kita
bincang kat ataslah. Mama, jangan lupa bawa keluar buah tangan untuk mak,”
pesan Tuan Rizal kepada isterinya yang baru sahaja turun dari kereta.
Pandangan Tuan Rizal jatuh kepada
anaknya yang masam mencuka. Sepanjang perjalanan tadi El memilih untuk
mendiamkan diri. Dia tahu itu tanda protes. Kali ini dia memang betul-betul
perlu berkeras. Kalau dibiarkan entah apa pula masalah lain yang timbul selepas
ini.
“Jom naik
atas, El,” ajak Tuan Haikal.
“Papa
naiklah dulu. Nanti El naik. El nak duduk kat bawah pokok
tu sekejap.” El menolak.
Biarkan
dia tenang dahulu. Lepas ini nak menghadap Hajah Limah pula. Boleh tahan ke
tidak itu tak pastilah.
“Eloklah
tu. Biasakan diri dulu sementara nak duk sini,” celah Hajah Limah sebelum
masing-masing masuk ke dalam rumah.
HAEL yang
pada awalnya berkira-kira nak balik ke rumah menangguhkan niatnya sementara.
Dia seperti berminat untuk menyapa cucu bandar Hajah Limah ini. Cantik. Tidak
dinafikan. Tak hairan sebab pak long dan mak longnya pun sama segak.
“Hai.
Awaklah cucu tok yang akan jaga tok kat sini nanti, ya?” soal Hael memulakan
perbualan antara mereka.
Tapi,
bukan jawapan balas yang dia dapat. Hanya jelingan maut yang dihadiahkan oleh
El sebagai hadiah perkenalan mereka sehingga membuatkan Hael membulatkan
matanya. Mahu tak terkejut. Orang tanya elok-elok dibalas begitu.
“Amboi,
sombong,” ujar Hael perlahan.
“Aku
dengar apa yang kau bebelkan tu.” Akhirnya, El bersuara.
“Ada
suara rupanya. Ingatkan cucu bandar tok ini istimewa orangnya,” balas Hael
sekadar bercanda.
El
mendengus geram. Berapi saja telinga dia ketika ini. Dia baru rasa nak
tenangkan jiwa yang tengah kacau sambil menghirup udara kampung, tiba-tiba ada makhluk perosak berkepala hitam ini
yang mengganggu.
“Rasa
boleh ke duduk lama-lama kat kampung? Maksud aku, hang dah bersedialah nak
mandi air kolah yang sejuk, tidur pakai kipas bukannya aircond apa
semua? Dah bersedia dah?” tanya Hael lagi, masih tidak serik walaupun soalannya sebelum ini
tidak mendapat jawapan daripada El.
Tetap
sama. El memilih untuk diam dan membiarkan sahaja soalan itu berlalu tanpa
jawapan. Kau cakaplah seorang diri. Dia tak kuasa nak layan.
“Sombong
boleh tahan juga hang ni, kan?” Hael sedikit bengang.
“Kalau
aku sombong, dahlah, pergi jauh-jauh. Duduk
kat sini buat apa lagi?” halau El.
Tidak
tahu mana datangnya lelaki ini. Tiba-tiba nak jadi peramah
pula. Dia tidak perlukan pun.
“Taklah.
Aku cuma nak berkenalan dengan cucu tok ni. Kalau hang nak tau aku ni pun cucu
tok juga. Kesayangan tok lagi. Jadi, aku nak jugalah kenal
dengan orang yang akan jaga tok nanti.”
“Oh,
kau cucu kesayangan orang tua itu?” soal El.
Hael
mengangguk. “Of course!”
“Kalau
gitu kau sajalah yang jaga. Aku boleh balik KL.”
“Eh,
mana boleh. Aku ni cuma cucu angkat saja. Kalau
berdua-duaan mahu dibuatnya kena tangkap
basah nanti. Lagipun aku masih ada batas lagi dengan tok. Jadi, lebih baik
hanglah yang jaga dia. Tapi, jangan risau. Sepanjang hang kat sini, aku akan
bantu hang. Hang nak pi mana ke, nak apa-apa ke, aku boleh tolong hang,” janji
Hael, begitu ramah menawarkan pertolongan
buat El.
“Aku
tak perlukan sesiapa. Belum tentu lagi aku akan bertahan duduk kat sini.” El
tetap dingin.
Dia
menoleh ke sebelah dan kelihatan bangku kayu. Langkah
diayun ke situ dan mengambil keputusan untuk duduk di situ. Lenguh kakinya
berdiri lama.
“Jangan du...” Belum sempat Hael melarang, El terlebih dahulu duduk.
Prang! El jatuh terduduk ke tanah. Bangku kayu yang memang sudah sedia
patah itu terus terbelah dua.
Hael cuba
menahan supaya tidak tergelak, tapi tidak mampu. Terus terbahak-bahak dia
ketawakan El. Tidak peduli dengan muka tidak puas hati El.
“Kau
okey ke tak? Boleh bangun ke tak tu?” soal Hael mendekati El, ingin menghulurkan pertolongan.
“Tak
payah! Aku boleh bangun sendiri.”
“Ini
mungkin balasan untuk orang sombong. Tak ke
mana pun sombong ni. Sakit ke tak? Kalau sakit nak bawa pergi klinik.”
Satu
jelingan dilemparkan oleh El. Terus dia melangkah masuk ke dalam rumah dengan
perasaan sebal. Lagi menyakitkan hati apabila lelaki itu menyambung
mengertawakan dia.
“Baru
sampai dah macam-macam!” getus El tidak puas hati. Dalam
masa yang sama, sudah semestinya dia berasa malu.
“JAI harap sangat mak dapat didik dia sikit. Jai tak
tahu dah nak buat macam mana lagi. Duk KL tu dia berkawan dengan kawan yang
sosial, itu yang duk ikut sosial tu,” rayu Tuan Rizal penuh dengan pengharapan
agar maknya ini akan dapat membantunya mendidik
El.
Bukan
dia nak melepaskan tanggungjawab, tapi dengan komitmen yang ada dia rasa tak
mampu nak kawal El.
“Insya-Allah.
Aku
tak janji apa-apa. Tapi, aku cuba. Cuma aku minta maaf siap-siap kalau aku ada
pukul dia ke, ada buat sesuatu yang keras sikit kat dia kalau dia degil.”
“Mak tak
perlu minta maaf. Mak buatlah apa mak nak buat. Asalkan dia boleh berubah. Itu
saja yang Jai minta.”
Hael yang
turut bersama ketika ini memasang telinga. Sekarang dia nak mula faham.
Semuanya ada tujuan lain juga rupanya.
“Dia mau
pula mai sini, Jai. Hang paksa ke apa?” Hajah Limah ingin tahu.
Dia pelik
kalau tiba-tiba El setuju. Sebab dia kenal sangatlah cucunya itu. Balik sekejap
pun kadang-kadang sibuk nak ajak balik Kuala Lumpur semula.
“Adalah
ugut dia sikit, tapi tak apalah. Dia nak mai sini duk dengan mak pun saya
bersyukur sangat dah. Jai nak minta maaf kalau dia akan menyusahkan mak nanti.
Jai tak bermaksud nak susahkan mak, cuma Jai tak tau nak buat apa dah.”
“Tak
payah risau. Hael ada kat sini. Kalau dia tak kerja luar, dia yang duk bantu
aku. Apa-apa aku cari dia saja. Aku yakin dia boleh tengokkan El.” Hajah Limah
mengurangkan rasa risau anak sulungnya itu.
“Hael
tolong tengokkan El ya,” pesan Tuan Rizal kepada Hael pula.
“Insya-Allah,
pak long.” Hael membalas bersama senyuman.
Dia tidak
keberatan selagi berkaitan dengan Hajah Limah kerana inilah juga masanya untuk membalas
segala jasa orang tua itu.
“Okeylah,
mak. Kami balik dulu. Bila-bila kami free, kami balik lagi
tengok mak dengan El.”
Tuan
Rizal bersalaman dengan Hajah Limah, lalu berpelukan. Begitu
juga dengan Hael dan Puan Nani.
El tidak
bersama mereka. Mungkin masih marah lagi. Hanya berkurung di dalam bilik
selepas sebal dan malu atas peristiwa yang tidak disangka-sangka tadi.
“Hati-hati,
pak long,” pesan Hael sebelum mereka berlalu pergi meninggalkan pekarangan rumah Hajah Limah.
“Hmm,
anak jenis apa pun tak tahu. Mak bapak balik pun buat tak tahu saja,” leter
Hajah Limah. Tidak berkenan dia dengan perangai El itu.
“Dia
masih marah lagi kut, tok.” Hael cuba bersangka baik.
“Marah
macam mana pun tetap mak ayah dia. Tak boleh buat macam ini. Mungkin
sebab inilah kut dia tak suka aku. Mulut aku ni bukan boleh duduk diam.”
Hael
tergelak kecil. “Mungkinlah tok. Tak apalah, tok. Jadi diri sendiri sajalah.
Dah salah kenalah tegur. Okeylah, tok. Hael kena pergi kerja dulu.”
“Malam
ini makan sini?”
“Tak kut,
tok. Tak mau kacau tok dengan cucu bandar tok tu. Hael
makan luar hari ini. Tok nak apa-apa tok telefon ya.” Hael mengingatkan Hajah
Limah seperti selalu.
“Pi kerja
elok-elok.” Kali ini giliran Hajah Limah pula mengingatkan Hael yang sudah
dianggap seperti cucu sendiri.
“Baik,
tok. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Hael
menghidupkan enjin keretanya sebelum berlalu dari situ. Dia harus cepat kerana
rasanya dia sudah lewat ke tempat kerja.
No comments:
Post a Comment
- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...
Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH