CURI HATI AWAK, BOLEH? 6

Bab 6

SEPERTI biasa Iyad akan mengambil barang jualan di jeti untuk dijual pada malam ini. Ketiga-tiga lorinya jalan malam ini. Iyad bercadang pula mahu cuba untuk masuk pasar pagi pula. Tapi masih mencari tempat yang sesuai dan dijangka boleh melariskan jualannya dan kurang persaingan.

“Erman, kau uruskan ya. Abang ada kerja sikit nak uruskan. Kalau sempat abang turun malam ni,” arah Iyad kepada pekerja kepercayaan dia itu.

“Baik, abang. Boleh.”

Iyad mengangguk. Dia melihat jam di tangan kirinya. Hari ini dia nak ke bengkel motosikalnya. Bengkel itu digunakan untuk membaiki motosikal ahli kelabnya memandangkan tidak berapa hari sahaja lagi mereka mahu berkonvoi.

Dulu bengkel itu beroperasi, tapi pernah disalahgunakan. Peristiwa itu juga telah menyebabkan Iyad menyesal dengan apa yang terjadi. Jadi papanya meminta dia untuk menutup sahaja bengkel tersebut. Kini dia menggunakan untuk membaiki motosikal ahli kelab.

Sebelum itu dia harus ke kedai untuk membeli barang dulu. Mana-mana motosikal yang memerlukan untuk dibaiki sudah pun masuk bengkel. Jadi, motosikal itu akan dibaiki sendiri oleh Iyad. Dibantu oleh beberapa ahli kelab yang lain. Biasalah motosikal lama yang zaman 90-an. Pastinya memerlukan untuk diservis selalu. Selalu juga rosak, tapi kerana minat sanggup meredah apa sahaja dugaan.

Iyad memarkirkan motosikalnya di hadapan kedai menjual alat ganti motosikal yang menjadi tempat dia untuk membeli barang. Murah dan barang yang selalu dia nak semua ada di kedai ini. Dia membuka topi keledarnya dan membetulkan rambutnya yang sedikit kusut.

“Lama tidak mari. Ingat sudah berhenti daripada main motor,” ujar Ah Beng yang sudah sedia mengenali Iyad.

Iyad tersengih. Memang lama sungguh tak datang disebabkan tiada program ke mana-mana.

“Tak adalah. Aku tegar. Mana boleh berhenti. Cuma tak konvoi mana-mana. Sebab itulah tak datang,” balas Iyad lalu mengambil tempat di atas kerusi.

“Kali ini mana pula?”

“Pantai Morib. Dekat saja. Tapi, pening kepala. Masa sudah dekat, tapi motor belum siap.”

Ah Beng ketawa. “Tak apa. Kau power. Mesti boleh siap punya.”

Iyad ketawa kecil. Dulu memang dia dikenali dengan status mekanik motosikal yang paling handal. Motosikal yang dibaiki oleh dia tidak pernah kalah dalam mana-mana perlumbaan. Bukan perlumbaan yang mendapat kelulusan, tapi perlumbaan haram.

Sejak terjadi satu peristiwa itu semuanya telah merubah dirinya. Semua kerja-kerja yang dilakukan sebelum ini ditinggalkan. Tidak lagi mahu berjebak dalam dunia itu lagi.

Iyad memberitahu barang yang mahu dibelinya. Dah lama sampai, tapi masih belum membeli apa-apa. Ah Beng terus mengambil barang yang dipesan oleh Iyad itu.

Iyad tidak boleh lama. Dia kena bergerak sekarang ini. Selepas sahaja membuat bayaran Iyad melangkah keluar dari kedai. Dia memerhati melihat kiri kanan. Bukan apa takut terlanggar orang. Dari jauh dia terperasankan seseorang. Dia kecilkan matanya dan cuba untuk menjelaskan pandangannya.

Dia kenal orang itu. Tapi makin lama makin jauh. Iyad cuba mengejar. Dia tidak mahu terlepas lagi kali ini.


AZRA membuat bayaran. Akil oh Akil. Habis semua air dalam peti sejuk kedai runcit ini diambilnya. Tidak boleh nak kata apa. Dia mengamuk nak juga. Azra terpaksa layankan sahaja.

Sudah dua hari dia tidak pergi kerja. Tadi dia cuba menghantar Akil ke rumah Midah, tapi Akil buat perangai. Daripada perbuatannya memang dia tidak mahu duduk dengan Midah. Azra sendiri tidak tahu kenapa. Nak kata ada masalah Azra rasa tiada kerana Midah kata boleh jaga Akil.

Tapi, tak boleh kira juga dengan Akil. Kanak-kanak seperti Akil itu memang sukar dijangka perasaannya. Bila datang dia nak buat perangai dia buat. Bukan semua orang mampu bersabar dengan kanak-kanak seperti Akil ini.

“Dah, jom,” ajak Azra.

Akil menurut. Dia boleh memahami semua percakapan Azra. Tapi, dia tidak boleh bercakap kerana lidahnya pendek. Telinganya juga pekak, tapi masih boleh dengar semua arahan Azra setakat ini. Terpaksalah cakap sedikit kuat.

“Puan...”

Ketika Azra melangkah keluar dari kedai runcit dia ditegur oleh seseorang. Azra menoleh dan melihat seorang lelaki yang sedang tersenyum di hadapannya.

“Saya ke?” soal Azra inginkan kepastian. Rasa macam pernah tengok, tapi tak pasti di mana.

Iyad mengangguk. Betul tekaan dia tadi. Tak sia-sia dia berlari tadi. Akhirnya jumpa juga di sini. “Ya, puan.”

Yes. Apa yang boleh saya bantu ya?” tanya Azra. Akil meminta dia untuk melepaskan tangannya, tetapi Azra enggan. Nanti buatnya dia lari ke jalan raya takut pula.

“Tak ingat saya?”

Azra cuba mengingati wajah itu, tapi dia tidak dapat jawapannya. Memang macam pernah Nampak, tapi tak tahulah.

“Maaf. Saya tak ingat.” Azra tersenyum.

Iyad pula tergelak kecil. Dia mengangguk kepalanya beberapa kali. Sejurus kemudian pandangannya jatuh kepada Akil yang sedang membelek surat khabar yang ada di tangannya. Iyad duduk mencangkung dan dia melurut kepala Akil.

“Anak sihat?”

Azra mengangguk. Semakin pelik. Semakin tertanya-tanya. Siapakah lelaki ini?

“Nama apa adik ni?”

“Akil.”

Iyad menarik tangan Akil dan digenggamnya. Akil memandang Iyad lantas dia menarik semula tangannya.

“Akil, jadi budak yang baik ya. Abang minta maaf atas apa yang terjadi hari itu. Abang menyesal dengan apa yang mereka buat pada adik.” Iyad menarik Akil lalu dipeluknya erat. Tidak lama kerana Akil sudah meronta minta dilepaskan.

Iyad berdiri kembali. Azra dipandangnya. Cantik orangnya. Bila tengok wajah tenang ini teringat pada apa yang terjadi sebelum ini.

Azra pula semakin buntu. Dia masih belum mengerti. “Err...”

“Saya Iyad Mujahid. Ingat lagi tak kejadian yang kat pasar malam tu?”

Azra cuba ingat dan tak lama Azra mengangguk. Dia memejamkan matanya seketika. Baru dia teringat. Lelaki inilah yang memujuknya untuk bertenang.

“Saya dah lama tunggu puan datang semula. Tapi, puan dah tak muncul. Di kesempatan ini saya nak mohon maaf atas apa yang terjadi sebelum ni puan. Saya kesal dengan apa yang mereka dah lakukan kepada puan dan Akil.”

Azra menggigit bibirnya. Matanya tepat pada anak mata Iyad. Sungguh dia tidak sangka yang lelaki ini akan mencarinya semula dan memohon maaf. Padahal itu bukan salah dia. Tapi, salah budak dua orang itu. Apa pula hubungan budak itu dengan lelaki ini. Azra tak pasti.

“Perkara dah lama encik. Saya dah tak ingat dah. Bukan tak pernah orang lain buat macam tu. Ramai. Tapi saya kena faham memang anak saya mengundang rasa tidak senang kepada orang lain.” Azra senyum.

Dia tidak mahu ingat lagi. Dia juga cuba untuk tidak bawa Akil ke tempat macam tu lagi. Kalau dalam pusat beli-belah mungkin dia boleh bawa kerana tidak terlalu sesak dengan orang ramai.

“Tetap juga rasa bersalah kerana saya gagal jaga mulut mereka daripada menghina orang lain. Semoga puan sudi maafkan saya dan mereka berdua itu.”

Its okay, encik. Saya tiada masalah pun.” Azra senyum lagi cuba meyakinkan Iyad.

“Tak perlu encik dengan saya. Panggil saja Iyad, puan.”

“Tak perlu juga panggil saya puan. Just call me, Azra.” Azra tergelak kecil.

Sudah biasa pun orang panggil dia puan sebab ada anak. Dibiarkan saja sebab malas nak jawab soalan banyak jika ada yang bertanyakan tentang status Akil dengannya.

Entah macam mana Azra terleka. Akil merentap tangannya dan terus berlari. Azra terkejut dan dia cuba menjerit memanggil nama Akil. Tapi, Akil tidak mengendahkan.

Iyad yang melihat situasi ini terus mengejar. Akil sudah berada di atas jalan raya. Azra mula berasa risau. Dia juga turut sama mengejar.

Tiba-tiba satu kereta datang...

AIR mata yang mengalir deras Azra sapu dengan tisu. Dia masih menunggu keputusan daripada doktor. Azra tidak dapat terima jika terjadi sesuatu kepada Akil nanti. Kalau terjadi apa-apa pastinya dia akan menyesal seumur hidup. Gagal dalam melaksanakan amanahnya.

“Akil, kenapa buat ibu macam ni?” rintih Azra tidak dapat menerima situasi ini. Kalaulah dia tidak terleka tadi pasti Akil tidak kena langgar.

“Akil akan okey. Tabah ya, Azra.” Iyad yang turut sama datang ke hospital cuba menenangkan wanita di sebelahnya. Dia sedih melihat keadaan Azra. Seolah-olah dia dapat rasakan terlalu berat dugaan yang harus dihadapi oleh Azra ketika ini.

Azra menangis lagi. Dia sudah tiada siapa di dunia ini. Sebatang kara. Jika Akil juga pergi tinggalkan dia hidupnya kosong. Tiada siapa lagi. Akil pengubat rindu dia kepada keluarga yang telah pergi. Satu-satunya waris yang ditinggalkan oleh kakaknya untuk dia.

Allah. Dia tidak kuat. Azra dah janji dia akan cuba untuk menjaga Akil sehabis baik. Bayangan arwah kakaknya bermain di fikiran. Wajah yang penuh pengharapan. Akil juga tidak mempunyai sesiapa lagi. Bukan tiada, tapi mereka tidak peduli. Tak apa. Azra tidak pernah merungut dan merasa ini satu beban. Dia terima dan dia sanggup korbankan masa depannya demi Akil.

Pintu bilik terkuak. Kelihatan doktor keluar dari bilik. Iyad terlebih dahulu bangun dan mendekati doktor.

Azra hanya melihat dari jauh. Dia tidak sanggup untuk terima sebarang berita buruk.

“Azra...” panggil Iyad. Tapi, Azra menggeleng. Iyad faham dan dia memandang doktor semula. “Macam mana keadaan anak saya?”

Doktor senyum. Bahu Iyad ditepuk.

“Jangan risau. Akil dah sedar. Dia cuma mengalami sedikit hentakan di kepalanya. Terdapat juga luka-luka pada badannya. Sudah pun dirawat. Jadi perlu ditahan untuk beberapa hari di sini untuk pemeriksaan lanjut.”

“Alhamdulillah.” Ucapan syukur terbit dari mulut Iyad. Lantas bibir itu tersenyum. “Terima kasih, doktor.”

Iyad berjalan ke arah Azra. Dia tersenyum dan mengambil tempat di sebelah Azra yang jaraknya di tengah kerusi kosong. “Tak perlu risau. Akil okey. Tapi perlu ditahan wad untuk pemerhatian.”

Azra memandang Iyad lama. Betul ke apa yang dia dengar ni? Akil selamat?

“Jadi, Azra tak perlu risau. Akil anak yang kuat,” tambah Iyad cuba meyakinkan Azra lagi.

“Terima kasih.” Hanya itu yang mampu untuk terbit di bibir Azra. Dia tidak tahu apa lagi yang nak diucap. Hatinya terlalu gembira dengan berita ini.

“Maaflah kalau saya tanya. Tak beritahu kepada ayah Akil ke?”

Azra memandang Iyad dan dia tersenyum nipis. Dia membetulkan duduk dan pandangannya dilemparkan pada pintu bilik yang menempatkan Akil untuk dipindahkan ke wad biasa.

Tidak lama pintu terkuak semula. Kelihatan jururawat menolak katil Akil untuk ditempatkan ke dalam wad. Azra dan Iyad segera bangun dan mengikut jururawat itu.

Soalan itu dibiarkan tidak dijawab. Iyad sedikit kecewa. Tidak pasti kenapa dia perlu rasa seperti itu.

“AKIL, maafkan ibu ya tak jaga Akil dengan baik. Ibu terleka sampai Akil jadi sampai macam ni.” Tangan anaknya itu digenggam erat dan tangan sebelah kanannya melurut kepala Akil.

Akil masih tertidur. Kata doktor itu kesan ubat. Sedih Azra tengok calar yang terdapat pada muka dan badan Akil. Peringatan buat dia agar tidak leka lagi lepas ini.

“Saya kagum dengan awak, Azra.” Suara itu tiba-tiba bergema.

Azra mengangkat kepala dan dia baru sedar semula Iyad masih belum balik. Setia lelaki ini menemani dari tadi.

Iyad senyum. Tersentuh hatinya melihat kasih sayang yang dilemparkan oleh Azra. Azra memang seorang ibu yang baik. Alangkah bertuahnya hidup dia jika dapat memiliki Azra. Tapi, tidak perlulah dia berangan terlalu jauh. Azra sudah ada yang memilikinya.

“Awak tabah membesarkan amanah daripada Allah ini. Tak semua ibu mampu bersabar dengan kerenah anak macam ni.”

Azra tertunduk. Segan bila dipuji macam tu. Tidak pernah terlintas di hati mengharapkan apa-apa pujian daripada orang lain. Dia buat semua ini kerana ikhlas menjaga amanah kakaknya.

“Tanggungjawab yang diberikan kepada saya yang harus saya laksanakan. Tapi, belum masih laksanakan dengan baik.”

Iyad menggeleng. Pada pandangan matanya Azra sudah cukup berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang ibu. Peristiwa dulu bagaimana Azra cuba mempertahankan Akil daripada dihina. Hari ini dia nampak lagi bagaimana Azra sedih dengan apa yang berlaku.

“Bagi saya, Azra dah berjaya. Bertuahnya Akil dapat ibu macam awak. Bertuah juga suami awak dapat isteri macam ni.” Iyad memuji lagi. Ikhlas daripada hati yang paling dalam.

Azra tersenyum nipis. Suami? Ada sesuatu yang lelaki ini belum tahu. Memang tadi dia cuba mengelak bila ditanya soalan tentang suaminya.

Pintu terkuak. Iyad dan Azra menoleh pada pintu tersebut. Terjengul wajah Syifa dan belakangnya seseorang yang mengundang rasa terkejut daripada Azra.

“Macam mana dengan Akil? Okey ke?” soal Syifa cemas. Segera dia memeluk Azra kerana tahu pastinya sahabatnya itu sedih dengan apa yang terjadi.

“Okey. Sekarang doktor bagi dia rehat. Jangan risau.” Azra membalas lalu bibirnya lantas mengukirkan senyuman.

Iyad juga terkejut dengan kehadiran Syifa. Bukan dia tidak kenal dengan Syifa. Jadi, Azra dan Syifa berkawan baik?

“Alhamdulillah. Aku risau sangat dapat tahu tadi.” Syifa melepaskan pelukan dan dia memandang lelaki yang berdiri di hadapannya. Ternganga mulutnya melihat seseorang yang dikenalinya kat sini.

“Iyad! Kau buat apa kat sini?” soal Syifa dengan suara yang sedikit meninggi. Teruja ke terkejut ke tak pastilah.

Tapi, membuatkan Iyad memberi amaran kepada Syifa supaya diam. Risau mengganggu Akil yang sedang lena di atas katil.

“Kau buat apa pula kat sini?” Soalan berbalas soalan oleh Iyad.

Giliran Azra pula terkejut. Jadi, Syifa dan Iyad saling kenal?

Nadeem yang rasakan kehadirannya tidak disambut memerhati sahaja apa yang terjadi. Sesekali matanya memandang Azra yang langsung tidak memandangnya. Hatinya sebal juga bila tengok ada lelaki lain tadi bersama dengan Azra.

“Azra kawan baik aku.”

“Oh!” Iyad mengangguk.

Jadi, memang betullah Syifa dan Azra saling mengenali antara satu sama lain. Dia rasakan macam ada peluang untuk tahu tentang Azra.

“Nanti kau explain kat aku, Iyad. Aku nak tahu. Tapi, aku rasa macam makin senang kerja akulah.” Syifa mengingatkan Iyad sambil tersengih.

Lantas Iyad mengangguk. Syifa tersenyum dan tidak lama dia menepuk dahi bila terpandangkan Nadeem yang tercegat sahaja di depan pintu tidak dilayan.

Sorry, Tuan Nadeem.” Syifa tersengih. Macam manalah boleh lupa dengan dengan bosnya ni? Muka dah ketat semacam dah.

Nadeem tidak berkata apa. Dia mendekati Iyad dan menghulurkan tangan. Tangan itu disambut oleh Iyad dengan senyuman di bibir.

“Macam mana keadaan anak you, Azra?” soal Nadeem. Dia melihat Akil yang terbaring di atas katil sebelum pandangannya jatuh kepada Azra.

“Alhamdulillah. Dah okey,” jawab Azra kekok. Tak sangka pula yang Nadeem boleh datang ke sini. Dia hanya memberitahu kepada Syifa sahaja.

“Okey. I bagi you cuti untuk jaga anak you ni. I harap dia kembali sihat. I tak boleh lama. I kena pergi dulu. Syifa, you macam mana?” tanya Nadeem.

Tadi mereka datang satu kereta. Mana tidaknya bila Nadeem kalut sangat bila dengar tentang berita itu.

“Tak apa, Tuan Nadeem. Saya ada orang datang ambil,” jawab Syifa. Nanti pandai-pandailah sama ada balik dengan Iyad atau suruh tunangnya datang ambil.

“Okey.” Nadeem bersalaman dengan Iyad lagi sekali dan meminta diri untuk pergi.

Sebaik sahaja Nadeem melangkah pergi, Iyad memandang Syifa. “Bos kau ke?”

Syifa angkat bahu dan bibirnya tersenyum. “Poyo tak?”

Iyad ketawa kecil. Azra turut sama ketawa.

Poyo tak poyo tu tak tahulah, tapi memang agaklah macam krik-krik sikit. Mungkin itu cara dia kut.”
Mereka tergelak kecil.

Iyad memandang jam di pergelangan tangannya. Aktivitinya hari ini terbantut apabila terjadi semua ini. Dia tidak menyesal atas semua pertolongannya, tetapi lebih kepada rasa syukur kerana Allah datangkan dia untuk tolong seseorang yang istimewa ini. 

“Aku rasa aku kena gerak dulu, Syifa. Ada hal lain lagi.”

Syifa angguk.

“Kau macam mana?”

“Pandai-pandailah nanti. Aku suruh Wan ke datang ambil. Aku nak duduk dengan Azra dulu.”

Iyad mengangguk lagi. Dia melihat Akil. Tangannya menyentuh pada pipi Akil.

“Jadi anak yang baik ya,” pesan Iyad. Setelah itu pandangan dia terus kepada Azra pula.

“Teruskan bertabah.” Iyad memesan buat Azra pula.

“Terima kasih sebab sudi tolong saya. Saya terhutang budi kepada awak, Iyad.”

Iyad menggeleng.

“Tak perlu fikir semua itu. Saya tak akan ungkit dan minta bayar balik.” Iyad tersengih. “Okeylah. Saya gerak dulu. Ada masa saya datang jenguk lagi.”

Azra mengangguk. Mereka berdua menghantar pandangan ke pintu sehingga Iyad hilang di sebalik pintu bilik yang menempatkan Akil ini.

Syifa memandang Azra dan matanya dikecilkan sedikit. Niat nak mengusik Azra. Dia baru bercadang nak kenalkan dia orang, tapi mereka dah kenal dulu. Ini memudahkan lagi kerja dia.

“Kenapa?”

“Dia bujang lagi, Azra. Baik, bertanggungjawab, solat tak tinggal,” puji Syifa.

“Habis tu?”

“Kau tak nak?” duga Syifa.

Azra mencubit lengan Syifa. Dia bukan tidak cemburu dan tiada keinginan untuk bersama dengan seorang lelaki, tapi peristiwa lalu membuatkan dia serik. Ada ke lelaki yang boleh terima dia dan Akil? Dia tidak mahu apa yang pernah terjadi ketika dia dan Firdaus dulu berulang kembali.

“Kau tahu aku punya situasi macam mana, kan?”

“Aku confirm dia sesuai untuk kau. Dia bukan boleh terima kau, tapi Akil juga. Aku dah kenal dia lama, Azra. Baik sangat orangnya. Masih menyendiri kerana masih mencari seseorang yang dapat terima dia seadanya.”

Azra menggeleng. Tak apalah. Dia berserah saja sekarang. Kalau Allah hadirkan seseorang buatnya dan boleh terima dirinya dia akan terima. Tapi untuk mencari tidak kut. Biarlah. “Aku malas nak cakap tentang hal ini.”

Syifa mengangguk. Dia tidak mahu memaksa. Tapi, dia akan cuba untuk merapatkan mereka. Iyad baik. Azra pun baik. Dia yakin Iyad mampu untuk jaga Azra dengan baik. Juga dapat menerima akil. “Tapi, bukan nak cakap, memang aku rasa dia lelaki itu.”


Azra senyum. Beria-ia sangat Syifa nak memuji Iyad. Dia percaya cakap Syifa. Takkanlah dia nak tipu sahabat dia sendiri. Tapi, entahlah. Dia masih dihantui kisah lama ketika dengan Firdaus dulu. Trauma. 

No comments:

Post a Comment

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH