BAB 1
AFZA QAIREEN melihat cermin kecil yang
ada di meja kerjanya. Dia mahu memastikan penampilan dia anggun dan tiada
cacat-celanya. Rambutnya yang lurus
dibiarkan lepas begitu sahaja tetapi nampak kemas. Bibir mungilnya yang dicalit
dengan lipstick merah itu menambahkan rasa keyakinannya. Pakaian yang dipakai
hari ini ringkas tapi nampak bergaya. Kemeja lengan panjang bercorak garisan ke
bawah dan dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam. Kasut yang bertumit
tinggi menjadi pilihan.
Qaireen melangkah masuk ke dalam bilik
kuliah. Suasana yang tadi bising dengan suara-suara bergurau kini diam tanda
menghormati Qaireen. Qaireen meletakan tas tangannya dan fail yang dibawa untuk
pembelajaran hari ini di atas meja.
Qaireen memerhati sekeliling kelas.
Dalam senarai nama tidaklah seramai ini. Pasti ada yang belum mendaftar.
Seorang demi seorang diperhatikan dan akhirnya mata dia tertancap pada
seseorang. Dia membuka langkah dan menuju ke arah pelajar lelaki tersebut.
Qaireen mengetuk meja beberapa kali.
Tapi pelajar lelaki yang enak tidur itu masih tidak sedarkan diri. Qaireen
akhirnya mengambil keputusan menepuk belakang pelajar lelaki tersebut.
Terpisat-pisat pelajar itu bangun menenyehkan matanya.
“Kat rumah tak cukup tidur ke?” soal
Qaireen. Dengan wajah yang garang sambil berpeluk tubuh.
“Siapa ni? Jangan ganggu akulah.”
“Saya adalah Miss Afza Qaireen binti
Mohd Haris. Saya pensyarah untuk subjek Critical Thinking. Saya rasa saya tak
silap kelas kot.”
Pelajar lelaki itu terkejut. Dia
menggarukan kepalanya dan melihat sekeliling. Rakan sekelasnya tersengih-sengih
melihat dia. Dia jadi malu. Bingkas dia bangun dan memandang Qaireen.
“Saya minta maaf, Miss Qaireen.”
“Kalau rasa nak tidur, jangan masuk
kelas. Saya tak suka tengok pelajar saya pemalas. Your name?” ujar Qaireen kembali ke hadapan kelas.
“Fayyad.”
“Full
name?” Qaireen memegang senarai nama untuk kelasnya hari ini. Dia
tercari-cari nama seperti yang dimaksudkan.
“Tak ada pun nama kat sini. Belum
daftar? Atau awak tersilap kelas?”
Fayyad yang masih terpinga-pinga itu
menggarukan kepalanya. Bibirnya cuba tersengih tapi langsung tidak membuatkan
Qaireen rasa simpati dengannya. Qaireen seorang pensyarah yang sangat tegas.
Ketegasan dia itu kadang-kadang membuatkan pelajarnya tidak suka padanya. Tapi
setiap tahun juga Qaireen akan mendapat anugerah pensyarah yang cemerlang.
“Saya belum mendaftar lagi subjek. Tapi
betullah saya kelas ni.”
“Okay, tak apa. Awak boleh duduk. Tapi
saya nak esok nama awak atau sesiapa saja yang tak daftar lagi ada kat senarai
nama ni. Kalau tak ada saya akan anggap awak tak wujud.”
Qaireen menegaskan lagi syaratnya. Semua
pelajar yang ada di dalam kelas itu muka bertukar kerisauan. Mungkin mereka
tidak sangka yang pensyarah mereka kali ini akan tegas seperti Qaireen.
“Saya kenalkan diri saya dulu. Nama saya
Afza Qaireen binti Mohd Haris. Pastikan ejaan nama saya betul atau saya akan
tolak markah. Subjek ini senang nak lulus tapi kalau kerja yang tidak
memberangsangkan saya tidak akan kompromi untuk gagalkan awak semua.”
Riuh satu kelas apabila Qaireen berkata
begitu. Ada yang berbisik sesama sendiri, ada yang muka tidak puas hati dan ada
juga yang seperti tiada dalam kelas termasuklah Fayyad. Masih lagi mamai.
Qaireen perhati sahaja tingkah laku Fayyad. Dia dapat rasakan yang Fayyad ini
akan mendatangkan masalah padanya nanti.
“Saya ada tiga syarat dan pantang saya
sendiri. Pertama, saya tak suka pelajar saya lambat. Lambat satu minit pun saya
akan kunci pintu. Kedua, saya seorang yang sangat mementingkan kekemasan. Kalau
assignment yang rasa macam belacan tu
jangan berani hantar pada saya. Saya tak akan terima. Ketiga, saya tidak suka
pelajar yang tidak menepati sahsiah rupa diri. Saya tak kisah awak nak
berfesyen macam mana pun kerana saya juga suka fesyen tapi yang penting ikut
apa yang ditetapkan.”
Masing-masing kusyuk mendengar
syarat-syarat yang telah dikemukan oleh Qaireen. Sejurus kemudian mereka
mengangguk. Mungkin faham atau buat-buat faham.
“Kalau dilihat sekarang ni, ramai yang
langsung tidak menepati sahsiah rupa diri. Awak yang tidur tadi tu. Muhammad
Fayyad Zikri, berdiri sekejap.”
“Kita lihat penampilan sahabat kita ni.
Baju tidak berkolar, rambut tidak bersikat, muka baru bangun tidur. Kad matrik
mana?” Satu persatu Qaireen mencari salah Fayyad.
“Tertinggal kat rumah.”
“Nak bagi siapa pakai? Nenek awak?” soal
Qaireen dengan nada tegas. Tangannya bersilang ke dada dan matanya tepat
memandang ke arah Fayyad.
“Nenek saya sudah meninggal, miss.” jawab Fayyad selamba dan tidak
menghiraukan perlian daripada Qaireen.
Jawapan itu membuatkan satu kelas riuh
dengan ketawa. Geli hati dengan jawapan selamba Fayyad itu.
“Esok kalau macam ni penampilan awak,
saya tak akan benarkan awak untuk masuk ke dalam kelas.” Qaireen memberi
peringatan lagi sekali. Bukan sahaja untuk Fayyad tetapi juga untuk semua
pelajar yang ada di dalam kelas itu.
Fayyad mengangguk kepalanya beberapa
kali. Dia tidak kisah pun dengan teguran Qaireen itu. Matanya masih mengantuk.
Semalaman tidak tidur kerana mencari duit untuk menampung kehidupan dia.
“Duduk. Ingat ya semua. Saya tak mungkir
pada syarat yang saya tetapkan. Kalau nak rasa, cubalah buat. Untuk hari ini,
kita hanya akan menjalankan sesi perkenalan sahaja. Saya berminat untuk tahu
tentang diri semua. Jadi kita mulakan dari belakang untuk kenalkan diri.”
Sesi pembelajaran pada hari ini selesai
sebaik sahaja semua pelajar mengenalkan diri masing-masing. Qaireen melepaskan
kelas awal kerana dia perlu menghadiri mesyuarat pada petang nanti.
SELEPAS kelas tadi, Fayyad terus menuju
ke cafe untuk mengisi perutnya yang berbunyi sejak tadi. Matanya yang mengantuk
terus segar sebaik sahaja kelas tamat. Dia memilih untuk duduk di meja yang
jauh dari semua orang.
Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.
Fayyad sedikit terkejut tetapi tersenyum sebaik sahaja melihat sahabat baiknya,
Dayyan.
“Kau okay ke, Yad?”
“Kenapa? Nampak aku macam tak okay ke?”
soal Fayyad kembali tidak menjawab pertanyaan Dayyan.
Dayyan tersenyum. Tanpa meminta izin
daripada Fayyad, air diambil dan terus dihirupnya.
“Aku tak suka dengan pensyarah tu. Kerek
siot!” Dayyan membuka cerita tentang pensyarah mereka tadi. Dari dalam kelas
dia kasihan melihat Fayyad asyik kena dengan Qaireen.
“Aku tak kisah pun. Lantak dialah nak
kerek ke apa. Aku malas nak ambil tahu.”
“Kau apahal? Okay tak?”
“Dah dua kali kau tanya aku soalan yang
sama. Kenapa dengan aku? Ada sesuatu yang tak kena ke dengan aku?”
Fayyad melihat penampilan dirinya. Dia
rasakan dia tiada masalah pada luarannya. Dalamannya usah ditanya kerana
masalah tidak akan pernah selesai. Dia penat buat kerja seperti ini. Habis
kuliah malam pula tolong Abang Mail jual burger sampai tengah malam. Esok pagi
kelas. Letih. Tapi demi sesuap nasi.
“Tak ada apalah. Aku okay.” Fayyad masih
lagi cuba berdalih. Dia tidak mahu menyusahkan orang lain. Biarlah dia tanggung
seorang diri.
“Aku rasa kau patut buang ego kau tu.
Kau maafkan papa kau. Baliklah pada keluarga kau.”
“Ini tiada kena mengena dengan hal
itulah.”
Dayyan menepuk belakang badan Fayyad.
Bibirnya tersenyum memandang sahabat baiknya itu. Dia tahu sahabatnya tengah
susah sekarang. Bukannya dia tidak mahu bantu tapi dia sendiri hidup sebatang
kara. Ibu ayah meninggal ketika masih kecil.
“Aku tahu kau susah sekarang ni. Kau
tengah fikir macam mana nak bayar yuran belajarkan?”
Fayyad cuba untuk tersenyum. Air yang
masih berbaki dihirupnya sehingga meninggalkan sisa.
“Aku dah buntu, Yan. Aku kerja setiap
malam tapi tak juga cukup. Aku rasa macam nak quit belajarlah.”
“Hoi! Kau jangan sampai macam tu sekali,
Yad. Tinggal lagi satu semester saja lagi. Tak akan kau nak menyerah dan
sia-siakan tiga semester yang kita dah harungi? Kau biar betul, Yad. Aku tak
setuju kau ambil keputusan macam ni.”
Fayyad menggaru kepalanya yang tidak
gatal. Dia tunduk dan memusing kepalanya beberapa kali. Buntu memikirkan
tentang semua ini. Kalau boleh dia nak teruskan sampai habis. Teringat lagi
pesan mamanya yang mahu dia menghabiskan belajar. Tapi kekangan wang buat dia
rasa berputus asa.
“Tak tahulah, Yan. Aku dah malas nak fikir.
Hidup aku susah sangat sekarang ni.”
“Satu saja penyelesaian untuk kau. Kau
balik pada papa kau. Selesai masalah. Kau boleh teruskan pelajaran kau tanpa
perlu bekerja keras macam sekarang ni.”
Fayyad menggeleng. Dia tidak pernah
terfikir untuk balik ke pangkuan keluarganya. Sekali dia melangkah keluar dari
rumah dia berjanji dia akan cuba berdikari. Peristiwa yang berlaku depan mata
melihat bagaimana penderitaan mama membuatkan dia mengambil keputusan untuk
keluar dari rumah.
“Tak akan terjadi, Yan. Kenapa kau nak
sangat aku balik pada dia? Aku boleh uruskan semuanya sendiri. Aku tak kisahlah
terpaksa berhenti belajar sekalipun tapi untuk aku balik pada dia memang tak
akan pernah terjadi.”
Bingkas Fayyad bangun dari duduknya. Dia
meninggalkan Dayyan keseorangan di situ. Dayyan diundang rasa bersalah. Dia
tahu sahabatnya itu tidak suka bercakap tentang hal ini tapi niat Dayyan cuma
satu. Nak kembalikan hubungan anak dan bapa yang terputus.
Fayyad terus menuju ke motosikal 125z
miliknya yang diparkirkan di tempat yang disediakan di fakulti. Topi kaledar
disarung dan terus menghidupkan enjin motosikalnya itu. Dia memulas minyak dan
keluar simpang tanpa melihat kiri dan kanan.
Bang!!!
Rempuhan kuat itu menyebabkan Fayyad
tercampak ke atas jalan raya. Kereta itu brek mengejut. Dunia Fayyad gelap.
--- > Terima kasih sudi membaca. Kisah ini insyaAllah saya cuba bawa kelainan sikit. Harap terhibur. :)
what happens? oh no. janganlah jadi sesuatu pada Fayyad.
ReplyDelete