Bab 1
AZRA termenung jauh.
Tidak tahu bagaimana cara lagi untuk menyelesaikan perkara ini. Sudah tiga kali
bertukar orang, tapi semuanya tidak tahan lama walaupun ditawarkan gaji yang
tinggi daripada pengasuh lain. Hari ini hari pertama untuk pengasuh yang keempat
diberi tanggungjawab untuk menjaga Akil. Kalau kali ini pun masih juga tidak
tahan lama mungkin Azra perlu membuat keputusan yang lain.
Ketukan pintu dari luar telah mematikan lamunan panjang
Azra. Dia membetulkan duduknya dan melihat ke arah pintu. Terjengul wajah Syifa
yang sedang tersengih kepadanya.
“Termenung jauh nampak. Fikirkan apa lagi, Azra?” tegur
Syifa.
Tanpa disuruh masuk pun dia dah masuk dulu dan menarik
kerusi duduk di hadapan Azra. Hubungan bukan setakat rakan kerja, tetapi juga
menjadi rapat sejak mereka bekerja. Dah jadi sahabat baik yang boleh untuk Azra
luahkan segalanya.
“Kau tak ada kerja ke?” soal Azra tidak terus menjawab
pertanyaan Syifa itu. Dia kerja bertimbun, tapi tidak boleh membuat kerja
memikirkan tentang Akil.
“Aku baru balik jumpa klien. Lega aku bila klien puji
kerja aku. Tak sia-sia aku berjaga siapkan pelan dua malam tidur tak cukup
tau.” Syifa sengih. Tiada yang menggembirakan melainkan dapat memberi kepuasan
kepada pelanggan.
“Baguslah. Tahniah,” ujar Azra tiada mood. Dalam kepala otak dia ni tak lepas daripada terus memikirkan
tentang Akil.
Macam manalah hari ini. Harap Akil tak mengamuk. Tadi
pagi tadi dia dah berikan ubat penenang kepada Akil. Kalau boleh tak mahu
biarkan Akil bergantung pada ubat penenang itu, tetapi kalau tak makan nanti
Akil akan mencederakan diri dia sendiri.
“Kau apa hal, Azra? Cuba cerita kat aku. Aku tengok macam
ada masalah saja.” Sekali lagi Syifa menyoal. Daripada air muka Azra pun Syifa
dah tahu yang dia ada masalah.
“Pasal Akil. Hari ni aku tukar pengasuh baru lagi. Aku
harap pengasuh kali ini okeylah dengan Akil. Aku takutlah Akil buat hal lagi.
Kalau kali ini Akil buat hal lagi mungkin aku kena ambil keputusan yang satu
itu.”
Syifa mengangkat kening. Matanya memandang Azra yang
sedang kebingungan itu. Simpati dia dengan nasib Azra. Nak tak nak Azra
terpaksa memikul tanggungjawab ini. Sanggup korbankan kebahagiaan diri demi
memikul amanah. Kalau terjadi kepadanya mungkin dia tidak boleh sekuat Azra.
“Keputusan apa? Berhenti kerja?”
Azra mengangguk. Itulah yang dia fikirkan sekarang ini.
Kalau dia berhenti kerja dia boleh menjaga Akil. 24 jam di depan mata dia.
Mungkin berbekalkan sedikit modal yang ada dia merancang untuk memulakan
perniagaan.
“Tak sayang ke dengan kerjaya kau ni? Kau tu pekerja
kesayangan tau. Pekerja terbaik lagi. Bukannya taraf aku ni. Aku rasa macam tak
setuju dengan rancangan kau yang satu tu.”
Kalau ikutkan hati memanglah dia tidak mahu berkorban
sampai begini sekali. Selama ini dia berusaha untuk menjadi seorang arkitek
yang profesional. Dia dah dapat apa yang dia nak, tapi terpaksa pula dia
berkorban demi Akil. Azra percaya mungkin ada rezeki lain yang Allah dah
janjikan buatnya.
“Nak buat macam mana lagi, Syifa? Aku ada tanggungjawab
lain yang harus aku laksanakan. Tak sampai hati aku nak biarkan Akil macam tu
saja. Dia kekuatan aku sekarang ni. Aku mana ada ahli keluarga yang lain dah.
Tinggal dia seorang saja.”
Nafas lembut dilepaskan. Sudah hampir enam bulan dia
mengambil tanggungjawab menjaga Akil. Hidupnya kini hanya memikirkan tentang
Akil. Balik kerja sahaja terus pulang ke rumah. Tiada masa untuk bersosial.
Kadang-kadang Syifa mengajak dia untuk keluar jalan-jalan, tapi dia tidak boleh
terima. Ada tanggungjawab yang sedang menantinya di rumah.
Tak semua orang boleh terima kanak-kanak seperti Akil.
Pelbagai persepsi daripada masyarakat. Banyaknya yang negatif. Hati Azra dah
kebal. Biarkanlah masyarakat terus berkata. Satu hari mereka akan penat.
“Kalau kau berhenti kerja kau nak buat apa? Kau perlukan
duit untuk sara hidup kau dan Akil. Ubat-ubat Akil lagi.” Syifa tetap tidak
setuju dengan keputusan Azra mahu berhenti kerja.
“Aku dah fikir dah. Aku cuba berniaga online ke apa janji aku dapat pendapatan
dan Akil ada depan mata aku.”
Syifa mengangguk. Kalau itulah keputusan Azra, dia tidak
boleh menghalang. Ikutkan hatinya sebagai sahabat tidak mahu tengok Azra susah.
Setakat bantu sikit-sikit itu bolehlah. Dia sendiri ada tanggungjawab di
kampung.
“Kau memang wanita hebat, Azra. Aku percaya semua
kepahitan dan kesusahan kau hari ini akan dibayar nanti,” puji Syifa.
Azra hanya tersenyum nipis. Dia melakukan semua ini bukan
sebab pujian. Dulu Raziqah sudah banyak berkorban untuk dia dan hari ini dia sedang
membayar kembali segala pengorbanan itu. “Amin. Kau doakan aku supaya terus
kuat ya.”
Syifa tersenyum. Dia bangkit daripada duduknya dan
mendekati Azra. Bahu sahabatnya itu ditepuk lalu dia mengangguk. “Aku cuba
bantu kau selagi aku mampu.”
Azra mengoyak senyuman nipis. Dia kalau boleh tidak mahu
meminta simpati sesiapa apatah lagi nak menyusahkan orang lain. Biarlah selagi
dia boleh hadapi seorang diri dia akan cuba.
Hatinya cuba dilatih dan dipimpin agar sentiasa bersangka
baik dengan Allah. Akil bukan bebanan buatnya, tetapi adalah nikmat yang Allah
bagi kepada Azra.
AZRA lega bila mendapat
kata positif daripada Midah ketika ditanya sikap Akil hari ini. Kata Midah,
Akil tak mengamuk langsung. Sedikit pelik, tapi dia bersyukur. Harapnya hari-hari
berikutnya Akil juga akan berkelakuan yang sama.
Dah alang-alang mengambil Akil di rumah pengasuh terus
Azra singgah pasar malam yang dijalankan pada setiap hari Selasa. Tidak jauh
dari perumahan dia. Tangannya erat memegang tangan Akil. Takut terlepas nanti
susah nak cari. Akil tersangatlah hiperaktif.
Azra singgah membeli nasi lemak. Satu buatnya dan satu
lagi buat Akil. Selalunya balik sahaja kerja dia akan memasak, tapi hari ini
rasa malas pula. Jadi, beli sahaja buat makan malam mereka.
“Nak!” Akil menarik-narik tangan Azra. Hampir terjatuh
beg duit yang dipegang oleh Azra.
“Nak apa sayang?” soal Azra lembut walaupun ketika itu
orang ramai sudah memandang mereka. Mana tidaknya bila suara Akil menjerit
sambil menarik tangan Azra supaya mengikutnya.
“Nah, dik. Duit lebih ambil saja.” Takut kalau Akil
mengamuk nanti. Dia sedekah sahaja dan menuruti kemahuan Akil.
Akil menarik tangan Azra ke bahagian menjual ikan. Sampai
sahaja di situ Akil melompat keriangan. Dia ingin menyentuh ikan yang disusun
kemas di atas meja, tapi Azra segera menghalang.
“Kita balik ya Akil,” pujuk Azra.
Akil menggeleng. Dia tidak mahu mengikut kata Azra. Dia
ingin memegang ikan itu. Bila dihalang dia mula mengamuk. Dia gigit lengannya.
Azra cuba menghalang, tapi Akil tetap tidak terpujuk.
“Akil, jom balik. Jangan macam ni sayang.” Sekali lagi
Azra cuba memujuk. Dia memerhati sekeliling. Semua hanya memandang.
Akil berhenti mencederakan dirinya. Ikan yang ingin
dijual itu sekali lagi ingin disentuhnya. Azra membiarkan sahaja. Dia memandang
peniaga yang sudah menayangkan wajah tidak puas hati.
“Apa ni kak? Biarkan anak kak tu main macam ni? Kami nak
berniaga kak. Kalau macam ni mana ada orang nak beli nanti,” rungut salah
seorang lelaki. Muda lagi. Belasan tahun lagi mungkin.
Azra cuba untuk tersenyum. Hatinya menahan rasa ketika
ini. Malu dan segan sudah pasti bila semua mata tertumpu kepada mereka. Dia
cuba menarik Akil, tapi Akil tidak berganjak.
“Lain kali kalau dah tahu anak kak tu terencat akal tak
payahlah bawa datang tempat macam ni. Menyusahkan orang.”
Azra mengetap bibirnya. Hati cuba untuk bersabar. Inilah
perkataan yang paling tidak disukainya. Dia tidak boleh dengar orang menghina
Akil.
“Aku setuju dengan kau, bro. Kak, boleh tolong bawa anak kak ni blah? Anak kak ni dah mengganggu perniagaan kami. Nanti kalau bos
kami datang kami yang kena jawab. Gelilah tengok!”
Azra memandang dua orang lelaki itu silih berganti. Tajam
pandangan dia. Nafasnya turun naik. Ini sudah melampau. Dia tidak akan
membenarkan sesiapa pun menghina Akil.
“Nah. Duit untuk akak bayar semua kerugian hari ini.
Memang anak kak ni terencat. Kak tahu anak kak ni menggelikan semua orang. Anak
kak ni tak layak untuk tengok dunia luar macam kau orang yang cerdik sangat ni.
Kak tahu. Tak payah nak hina dia. Nasib kak sebab dapat anak macam ni. Tak
dapat anak yang sempurna macam kau orang berdua. Maafkan kak sebab tak pandai
jaga anak. Semoga perniagaan kau orang laris!”
Tangan Akil ditarik, tapi Akil tetap berdegil.
“Akil, kau jangan melampau! Aku pukul kau nanti!” Azra
sudah hilang sabar. Bukan dengan Akil, tapi emosi dia terganggu. Dia tidak
boleh dengar orang hina Akil. Dia tak boleh.
Akil masih berdegil. Dia cuba menolak tubuh Azra
membuatkan tubuh Azra terdorong ke belakang.
“Kenapa ni?” Satu suara menegur.
Tapi, Azra tidak mempedulikan. Dia cuba menarik Akil lagi
dengan sedaya upaya. Hatinya bengkak. Cukup terluka dengan hinaan daripada
budak dua orang itu.
“Aku tak patut bawa kau datang sini, Akil. Kau kena sedar
diri sikit kau tu menggelikan semua orang kat sini!” luah Azra lagi. Dia
mengheret Akil walaupun Akil meronta meminta untuk melepaskan.
“Puan, sabar puan. Benda ni boleh selesai dengan cara
baik. Tak perlu nak heret anak macam ni,” tegur lelaki itu lagi.
“Awak ingat saya boleh sabar bila anak saya ini
menggelikan orang lain? Orang macam kami ini memang tak layak untuk bergaul
dengan orang cerdik macam awak semua. Jangan risau. Ini kali terakhir saya bawa
dia datang tempat macam ni. Tempat budak terencat akal macam mana yang didakwa
oleh awak semua ini hanya layak dikurung!”
Air mata Azra dah mengalir deras. Hatinya sakit. Dia
tidak pernah berkasar dengan Akil, tapi hari ini kerana penghinaan tadi
membuatkan dia rasa hilang sabar. Hilang sabar dengan diri dia sendiri. Kalau
dia tak bawa Akil datang sini tadi pastinya anak ini tidak akan dihina. Dia tak
patut bawa Akil ke sini.
“Puan, tolong. Kita boleh selesaikan baik-baik. Puan tak
boleh nak marah budak ni. Dia tak tahu apa-apa pun.” Lelaki itu cuba
menenangkan Azra.
Azra memandang lelaki itu.
“Memang dia tak tahu apa-apa sebab itulah dia patut
diajar sampai tahu!” Azra membalas.
Sejurus kemudian dia mengheret Akil sehingga ke kereta.
Ditolak tubuh kecil itu ke dalam kereta dan terus ditutup pintu. Azra mahu
segera beredar dari situ. Cukuplah sekali ini. Jangan harap tempat ini akan
dijejakinya lagi.
Lelaki itu cuba mengejar, tetapi hampa. Rasa bersalah
mula menyelubungi diri.
oh maiii... hero dah muncul... heeee kesiannnya dengan nasib Akil. sering dipandang hina. ya ALLAH. this is the best n3 yang pernah baca setakat ni. good job writer
ReplyDelete