CURI HATI AWAK, BOLEH? 5

Bab 5

AZRA melihat jam di pergelangan tangannya. Dia dah lewat. Pastinya dia akan sampai ofis bukan pada waktunya. Memang dugaan buat dia hari ini. Kalau dulu tak apalah Tuan Johari dah faham. Ini mamat tak tahu senyum tu nak faham? Kirim salamlah.

Dari pagi tadi Akil buat perangai. Bila Azra memujuknya dia mengamuk. Dengan cara itulah dia melepaskan apa yang dia rasa. Dia tidak mahu Azra tinggalkan dia. Tubuhnya dipeluk erat oleh Akil seolah-olah mengharapkan Azra tidak pergi.

“Akil anak yang baik, kan? Ibu nak kena pergi kerja ni.” Sekali lagi Azra memujuk.

Akil melepaskan pelukan dan dia menampar-nampar kepalanya memprotes. Setiap kali kelakuan Akil itu membuatkan hati Azra sedih. Nak beritahu tak boleh. Dengan cara itu sahaja dia lepaskan segala-galanya.

“Dah, dah, Akil. Jangan macam ni. Ibu ada.” Azra tariknya ke dalam pelukan. Akil kembali tenang.

Telefon bimbitnya dicapai. Nombor telefon Syifa didail dan terus dia menekapkan telefon ke telinganya. Nekadlah kali ini. 

“Helo, Syifa?”

Yes. Kau kat mana? Tak sampai lagi ke? Bukan pagi ni kau ada meeting ke?”

Azra menggaru kepalanya. Baru dia ingat pagi ni dia ada mesyuarat dengan Tuan Nadeem untuk membentangkan tentang projek terbaru itu. Allah. Dia betul-betul lupa.

“Anak aku mengamuklah Syifa. Boleh tak kau ganti tempat aku?”

Sebelum ini memanglah Syifa tempat untuk dia meminta tolong. Langsung tiada masalah ketika Tuan Johari masih menjadi bos pada syarikat ini. Berharap juga kali ini Tuan Nadeem akan menerimanya.

“Aku boleh aje. Tapi, aku tak tahulah dengan Tuan Nadeem. Kau dah telefon dia?”

Azra mendecit perlahan. Ini yang susahnya sekarang. Dia bukan tak tahu cerewetnya Nadeem tu. Apa yang dia nak mesti kena ada dan sampai tepat pada waktunya. Kerek! kutuk Azra dalam hati.

“Tak tahulah, Syifa. Akil buat hal. Dia tak bagi aku pergi kerja ni,” adu Azra. Dia melihat anaknya yang sedang memeluknya erat. Langsung tidak nampak mahu melepaskan dia pergi.

Jap. Tuan Nadeem.”

Azra memasang telinga mendengar perbualan antara Syifa dan Nadeem dari corong telefon.

“Azra mana?” soal Nadeem.

“Tuan Nadeem, saya ganti dia untuk meeting hari ini. Dia ada hal kecemasan.”

What? Dia tak tahu ke ini meeting penting?” Suara Nadeem mula meninggi.

Azra gigit bibir. Dia pasti Nadeem akan mengamuk. Tapi nak buat macam mana. Tak sampai hati dia nak tinggalkan Akil macam ni.

“Tahu, tapi dia memang tak boleh nak datang.”

“Beritahu dia untuk telefon saya sendiri. Sekarang. Saya tak suka orang suka hati ponteng kerja macam ni.”

Azra menggelengkan kepalanya. Bukan dia ponteng kerja, tapi dia tak boleh nak datang. Bukan saja-saja. Orang lain tak faham masalah dia. Kalau dia tak ada tanggungjawab apa-apa pastinya dia akan datang kerja. Dia bukanlah jenis yang suka hati ponteng kerja seperti yang dimaksudkan oleh Nadeem.

“Kau dengar tak? Jadi silalah beritahu dia baik-baik. Aku pasti dia faham.”

“Kalau dia tak faham?”

Kedengaran suara Syifa di corong telefon. Dia geli hati dengan suara gelisah Azra itu.

“Fahamkanlah dia. Kau goda dia sikit pasti dia faham,” cadang Syifa.

Azra mencebik. Dia bukan macam tu. Hati dia jenis kering. Kalau nak apa-apa biar atas usaha sendiri. Bukan dengan cara yang macam tu. Masih ada rasa malu lagi nak bermesra dengan lelaki sampai macam tu sekali.

“Banyaklah kau. Aku bukan macam kau.” Azra menolak. Tidak sama sekali.

Sekali lagi kedengaran Syifa ketawa di corong telefon. Tergelak besar dia bila cadangan dia itu mendapat tentangan daripada Azra.

“Dahlah. Aku nak call Tuan Nadeem bajet bagus kau tu. Nanti apa-apa kau call aku. Harap kau boleh ambil alih tempat aku tu nanti.”

“Okey. Moga kau terus tabah, Azra. Aku tahu kau kuat.”

Thanks!”

Terus panggilan dimatikan. Nombor Nadeem dicari dan sebelum mendail dia membaca doa. Berharap agar Allah permudahkan. Segera ditekapkan telefon bimbitnya ke telinga. Beberapa kali deringan panggilan itu dijawab.

Yes. Explain!” tegas suara dari corong telefon.

Azra kecut perut. Tak boleh ke nak cakap baik-baik? Tahulah nak bertegas tapi biarlah dia terangkan dulu. Salah dia juga tidak berterus-terang dengan Nadeem tentang masalahnya dulu. Dia fikir yang Akil dah tak buat perangai lagi.

“Saya tak dapat nak datang kerja bukan sebab suka hati ponteng kerja, tapi anak saya tak sihat.”

“Anak?” soalnya dari corong telefon. Kedengaran macam terkejut.

Aik! Apa hal pula nak terkejut.

“Ya. Anak saya tak sihat. Jadi saya tak boleh nak tinggal dia macam tu saja. Saya tahu saya harus profesional, tapi ini kes lain. Anak saya memang tak macam anak orang lain.”

“You dah ada anak? You dah kahwin?”

“Tak. Saya belum kahwin. Tapi, saya betul-betul minta maaf ni, Tuan Nadeem. Saya serahkan kepada Syifa untuk ganti saya. Boleh, kan?”

“Habis tu kenapa boleh ada anak?” Nadeem tidak pedulikan alasan Azra, tapi dia lebih berminat nak tahu tentang anak yang dimaksudkan oleh Azra.

Azra ketap bibir. Dia tak respons pun dengan mesyuarat hari ini. Tapi, dia lebih berminat nak tahu pasal Akil. Apa kena dengan bos dia ni?

“Jadi itulah alasan dan penjelasan saya. Saya harap penjelasan saya ini cukup kuat buat Tuan Nadeem faham.” Azra tidak mempedulikan soalan daripada Nadeem itu. Pelik pula dia rasa.

“I tak kira. Masuk meeting juga. I tangguhkan pukul 2.00 petang.”

“Tapi, Tuan Nadeem....” Belum sempat Azra meneruskan untuk memujuk Nadeem panggilan sudah pun terputus.

Azra menghela nafas deras. Telefon bimbitnya dilemparkan ke atas sofa. Tangannya mengurut kepala Akil. Sambil memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini. Akil bila pagi-pagi dah buat perangai mesti seharian dia akan buat perangai. Buat apa pun tak guna dah.

“Akil, kenapa buat ibu macam ni? Akil anak yang baik. Ibu kena pergi kerja, sayang.” Azra memujuk.

Akil bingkas bangun dan memandangnya dengan mata yang redup. Tidak disangka dia ke dinding dan menghentak kepalanya ke dinding. Segera Azra berlari dapatkan Akil dan cuba menenangnya.

“Akil, jangan buat macam ni sayang. Tak. Tak. Ibu tak tinggalkan Akil.” Tubuh Akil ditarik ke dalam pelukannya dan cuba memujuk.

Air matanya mengalir tiba-tiba. Dia cuba untuk kuat, tapi dugaan ini terlalu berat. Tapi, dia akan cuba lagi untuk menjadi lagi kuat lagi. Hanya dia yang Akil ada. Amanah yang harus dijaga.

Azra melihat jam. Dia ada masa panjang lagi untuk menuruti arahan daripada Nadeem itu. Tapi pastinya dia tidak akan tinggalkan Akil macam tu saja. Nak dibawa ke rumah Midah pun pastinya Akil akan mengamuk juga.

Dia mengambil semula telefon bimbitnya. Nombor telefon Nadeem dicari dan dia membuka bahagian mesej. Segera aksara disusun untuk dihantar buat bosnya itu. Dia tekad. Tak apalah kalau ini bakal menjejaskan kerjaya dia.

Maaf Tuan Nadeem. Saya memang tak boleh nak hadir meeting ni. Maafkan saya. Bukan tidak menghormati tapi anak saya lagi penting daripada segala-galanya. Maaf sangat-sangat. - Azra Zinnirah

Mesej itu terus dihantar kepada Nadeem. Keputusan dia ini muktamad. Tak apa. Dia sanggup untuk menghadapi risiko selepas ini jika sesuatu yang terjadi.

“Demi Akil, ibu sanggup korbankan kerjaya ibu,” ujar Azra sambil menarik tangan Akil untuk duduk. Dia menyuruh Akil untuk berbaring di atas ribanya.

NADEEM mendengus bila membaca kiriman mesej yang baru diterima olehnya itu. Degil sungguh. Dia tidak berpuas hati sekarang ini. Interkom ditekan dan dia menyuruh Syifa masuk ke dalam biliknya.

Yes, Tuan Nadeem.”

“You kawan baik Azra?”

Syifa mengangguk laju. Muka dia memang dah cuak habis. Jangan dibuatnya dia pula yang kena marah. Tengok muka bos dia dah tahu yang Nadeem seperti marah dan bengang dengan Azra.
 “Ya, Tuan Nadeem. Saya kawan dengan dia dah empat tahun. Sejak masuk bekerja kat sinilah.”

Nadeem mengangkat tangannya dan telapak tangan dihadapkan kepada Syifa. Perbuatannya itu mengarahkan supaya Syifa tidak teruskan bercerita.

“I tak nak tahu kronologi you berkawan dengan dia. I cuma nak tahu dia ada masalah apa ni sampai tak boleh nak masuk meeting?” soal Nadeem.

Syifa rasa jelek. Kemain sombong lagi bosnya ni. Tak boleh ke cakap baik-baik. Tak faham betul kenapa perlu marah.

“Anak dia sakit,” jawab Syifa pendek. Tak berani nak buka mulut beritahu itu ini takut nanti kena macam tadi pula.

“Anak dia? Dia dah kahwin?”

Syifa pantas menggeleng.

“Habis itu?”

“Saya tak boleh beritahu detail Tuan Nadeem. Apa kata tanya Azra sendiri.”

Nadeem mengetuk jarinya di atas meja. Jam yang tertera di sebelah kanan desktop dilihat. “Bagi I alamat dia.”

“Nak buat apa?” tanya Syifa terkejut dengan permintaan daripada Nadeem itu. Tiba-tiba minta alamat bagai.

“Tak perlu you tahu. I nak you mesej I alamat dia. Meeting petang ni I akan beritahu sama ada postpone atau tak.”

Terus Nadeem bangkit daripada duduknya. Telefon bimbit dan kotnyadicapai lalu terus melangkah keluar dari bilik. Meninggalkan Syifa terpinga-pinga seorang diri.

“Aku tak faham!” rungut Syifa. Dia segera ke tempatnya semula dan menjalankan perintah Nadeem tadi.

Masih diselubungi dengan tanda tanya.


AZRA menggeleng. Bertambah lagi masalahnya bila melihat ubat Akil dah habis. Dia boleh pula terlupa nak ambil sebab belakangan ini sibuk dengan kerja. Semua diserahkan kepada Midah.

Akil pula makin hiperaktif. Bila sentuh sikit saja nak mengamuk. Tadi dia terpaksa bawa Akil ke kedai untuk membeli makanan memandangkan bahan mentah untuk dimasak sudah habis. Akil buat perangai di kedai mamak. Dia ambil semua surat khabar yang dijual di kedai runcit sebelah. Akil sangat sukakan surat khabar. Jadi di rumah memang banyak dengan surat khabar. Selepas itu dia mengamuk pula mengambil beberapa botol air. Bila dihalang dia mengamuk sakan. Itu belum masuk lagi bab dia minum air di meja orang lain.

“Akil, jangan buat perangai ya. Ibu tak larat ni,” pesan Azra sambil mengurut kepala Akil yang sedang asyik dengan surat khabarnya itu.

Akil tidak mempedulikan Azra. Ketika Azra mahu melangkah ke dapur kedengaran loceng rumahnya berbunyi. Azra tidak jadi ke dapur seterusnya dia membuka pintu untuk melihat siapa yang datang.

Terkejut dia melihat kereta yang terparkir di depan pintu pagar rumahnya. Kereta tu memang dia kenal sangat. Pernah naik lagi. Dia membuka langkah perlahan ke pintu pagar. Seram sejuk dia rasa. Kenapalah boleh sampai sini dia datang.

“Tuan Nadeem,” tegur Azra.

Nadeem yang berdiri sambil menyandarkan tubuhnya ke kereta dan tangan dimasukkan ke dalam poket itu memandang Azra. Bawa terik matahari pula tu.

“Ya. Mana anak you? I nak tengok. Katanya dia sakit. I bawa pergi klinik. Pastinya I nak you masuk ofis jam 2.00 nanti.” Kedengaran macam ambil berat, tapi suaranya lebih pada mengarah Azra.

“Anak saya kat dalam. Tak perlu dibawa ke klinik. Saya dah bawa tadi,” jawab Azra. Pelik dia rasa sekarang ini.

“Boleh I masuk tengok?”

Azra pantas menggeleng. Dia tidak mahu orang tahu tentang keadaan anaknya. Bukan dia malu apatah lagi segan, tapi dia tidak mahu orang berkata buruk tentang anaknya nanti. “Tak apalah, Tuan Nadeem. Anak saya cuma perlukan perhatian saya saja.”

Nadeem tidak puas hati. Dia cuba menjenguk ke dalam rumah, tapi tiada siapa pun kelihatan. Hatinya membuak-buak ingin tahu status diri Azra. Pelik dia bila tak kahwin, tapi ada anak.

“You dah kahwin?” Soalan yang sama disoalnya tadi dari corong telefon.

Penting sangat ke status Azra kepada Nadeem? Entahlah. Azra sendiri pelik dengan bosnya ni. Mati-mati nak tahu tentang status dirinya.

“Tuan Nadeem terima kasih sudi datang jenguk. Tapi, kalau Tuan Nadeem datang nak paksa saya untuk masuk meeting petang ini juga saya tak boleh. Saya memang tak boleh tinggalkan anak saya.”

“Teruk sangat ke sakit anak you tu? You tahu kan meeting petang ni penting?”

Azra mengangguk. Dia tahu kerana selama ini jarang dia tidak masuk mesyuarat, tapi terpaksa untuk kali ini. Akil memang dah tak boleh nak pujuk. Kalau cakap nak tinggalkan dia mesti dia mengamuk lagi. Ibu mana tak sedih bila tengok anak macam tu, tapi itu memang cara dia melepaskan rasa tak puas hati dia.

“Saya tak boleh Tuan Nadeem.” Azra sekali lagi memberitahu keputusannya.

Nadeem menghela nafas panjang. Dia memandang Azra dan sekilas kemudian dia melepaskan keluhan lagi. Jawapan yang dimahukan olehnya masih belum dapat. Masih menjadi tanda tanya. Azra seolah-olah mengelak untuk menjawab pertanyaannya.

“I tak kira. I nak you masuk meeting juga. Ini boleh menjejaskan kerjaya you,” ugut Nadeem. Itulah cara dia nak memaksa Azra untuk masuk kerja.

Azra cuba mengukirkan senyuman. Dia dah bersedia dah. Biarpun dia terpaksa dibuang kerja pun dia sanggup. “Tak apalah Tuan Nadeem. Saya terima. Tapi untuk saya tinggalkan anak saya tak mungkin. Dia perlukan perhatian saya.”

Jawapan itu mengundang rasa tidak puas hati kepada Nadeem. Masih berdegil juga Azra.

“Suami you mana? Dia tak boleh ke nak ambil alih sekejap untuk jaga anak you tu?”

Azra menggeleng. “Saya tidak ada suami. Saya belum berkahwin. Jadi, tanggungjawab itu di atas bahu saya seorang. Tak apalah, Tuan Nadeem. Kalau Tuan Nadeem nak berhentikan saya pun saya terima. Mungkin rezeki saya setakat itu saja.”

Tercengang Nadeem seketika. Dia tidak sangka yang Azra akan sampai mengambil keputusan yang macam tu sekali. Sanggup diberhentikan kerja demi anaknya. Status anaknya juga masih menjadi tanda tanya.

“Kalau tiada apa-apa lagi Tuan Nadeem saya minta diri masuk dalam dulu. Saya minta maaf sebab tak boleh nak ajak Tuan Nadeem masuk sebab takut apa-apa terjadi pula. Terima kasih sudi datang rumah buruk saya ni.” Azra terus mengangkat kaki meninggalkan bos yang masih lagi tidak puas hati dengan keputusannya itu.


Biarlah. Akil tetap menjadi keutamaan. Dia percaya kalau setakat ini sahaja rezeki dia untuk bekerja dengan syarikat itu dia terima. Pasti ada sesuatu yang Allah aturkan lebih baik buatnya. 

No comments:

Post a Comment

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH