Bab 8
IYAD gembira. Walaupun
seketika, tapi dia tetap juga rasa bahagia. Berharap agar kebahagiaan ini terus
menjadi miliknya. Dia akan cuba menjadi orang yang bahagia dan membahagiakan
orang lain.
“Hai, Iyad. Senyum lebar nampak.” Teguran daripada Puan
Zainab itu mematikan senyuman yang terukir di bibir Iyad. Malu dengan mama.
Iyad membetulkan duduknya. Dia menepuk sofa menyuruh Puan
Zainab untuk duduk di sebelahnya. Permintaan anak teruna tunggal itu diikutkan
saja oleh Puan Zainab.
“Mama tak keluar ke hari ni?” soal Iyad.
“Tak. Mama nak rehat saja hari ini. Iyad tadi pagi-pagi
tadi dah keluar pergi mana? Balik pula senyum seorang diri. Ada apa-apa ke yang
mama tak tahu?”
Iyad melentokkan kepalanya di atas bahu Puan Zainab.
Bibirnya tersungging mengukirkan senyuman. Teringat balik peristiwa pagi tadi.
Tiada apa yang istimewa pun pada pandangan orang lain, tapi sangat istimewa kepada
dia.
“Mama tanya ni, Iyad. Boleh pula dia senyum
sorang-sorang.”
Iyad ketawa kecil. Itulah jadinya bila dia dah terpikat
pada seseorang. Angau.
“Tadi Iyad keluar jumpa kawan mama. Tak pergi mana pun,”
balas Iyad.
Hari ini dia tidak berniaga. Ikan tiada hari ini. Makin
hari ikan makin kurang. Musim dia juga kut.
“Ya ke?” Puan Zainab tidak percaya.
“Ya mama. Iyad keluar jumpa kawan. Kejap lagi Iyad nak
keluar pula ni mama. Nak ke bengkel. Motor masih tak siap lagi. Minggu depan
dah nak ride.”
Terlalu awal untuk dia ceritakan kepada mamanya. Bukan
berniat nak sembunyikan apa-apa, tapi bukan tak tahu Puan Zainab itu. Kalau
buka cerita pasal perempuan pasti difikirkan lain. Fikir jauh sangat ke depan.
“Perempuan?”
Iyad angkat kepalanya dan memandang Puan Zainab. Kalau
mengaku perempuan nanti mesti mamanya tanya itu ini. Tapi, tak akan cakap
lelaki. Itu sudah dikira berbohong.
“Perempuan. Tapi, sebelum tu Iyad nak beritahu mama
siap-siap. Kawan perempuan sahaja. Tidak lebih daripada seorang kawan. Jadi,
mama jangan tanya hal yang berikutnya. Iyad tiada jawapan.”
Puan Zainab ketawa kecil. Dia menggosok kepala anak
terunanya itu. Anak paling manja dalam keluarga. Dulu hilang seketika, tapi
kini kembali semula ke pangkuannya. “Bilalah anak mama nak bawa bakal menantu
ni?”
Iyad sengih. Dia memeluk mamanya erat sebelum dia
menghadiahkan satu kucupan di pipi yang semakin dimamah usia itu. “One day. Insya-Allah. Doakan Iyad ya.
Iyad rasa Iyad kena gerak dulu mama. Nanti tertunggu-tunggu pula Wan kat
bengkel tu.”
“Hati-hati, Iyad.”
Iyad mengangguk dan terus mengangkat punggung
meninggalkan Puan Zainab keseorangan di situ. Bila anak-anak dah besar dia
rasakan kesunyian. Masing-masing dah ada tanggungjawab masing-masing.
NADEEM memerhati sahaja
tingkah laku Akil yang leka dengan surat khabar itu. Lega bila tidak ganggu
dia. Azra datang dengan menatang satu dulang air buatnya. Dituang ke dalam
cawan dan dihidangkan buatnya.
“Jemputlah minum, Tuan Nadeem.”
Azra menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan Nadeem.
Tapi, masih menjaga jarak. Bukan apa. Nanti kalau tidak dilayan kata kurang
sopan pula dengan bos sendiri. Dia sendiri terkejut dengan kehadiran Nadeem
yang tiba-tiba ini.
“Bila boleh masuk kerja?” soal Nadeem.
“Dua hari lagi. Saya nak pastikan Akil betul-betul sihat.
Takut kalau luka yang calar kat badan dia tu makin teruk. Dia perlukan
perhatian saya.”
“Okey. Selepas dua hari I nak tengok you masuk kerja,”
ujar Nadeem tegas.
Matanya terus terlekat pada wajah Azra yang seperti takut
di hadapannya. Tidak dinafikan dia tidak boleh jika tidak tengok wajah Azra
sehari.
“Tuan Nadeem, kenapa tuan bayarkan bil hospital untuk
Akil ya?” soal Azra. Dia perlukan penjelasan dan dia nak bayar balik.
Nadeem dengan wajah seriusnya masih memandang Azra.
Sampai Azra rasa tak senang duduk. Sampai dia terpaksa tunduk kepala dia. Bila
angkat saja mesti Nadeem akan pandang dia.
“Terima saja. Jangan banyak soal.”
“Tapi, saya tak minta pun Tuan Nadeem jelaskan. Saya
boleh bayarkan sendiri. Saya masih ada duit untuk bayar perubatan anak saya.”
Nadeem tersenyum senget. Jarinya mengetuk meja beberapa
kali dan biasa matanya tetap pada wajah Azra. Haru sungguh. “Siapa lelaki tadi
tu?”
Azra panggung kepala. Keningnya bercantum meluahkan rasa
pelik bila soalan itu terpacul dari mulut lelaki bajet bagus itu. Kenapa
tiba-tiba nak tahu? Azra tunduk semula bila Nadeem masih lagi rakus meneroka
setiap inci wajahnya. Bukan dia perasan, tapi memang betul. Nadeem pandang
macam nak terkam. Meremang bulu romanya.
“Kawan,” jawab Azra pendek. Tidak perlu rasa nak diulas panjang.
Tak penting pun.
“Kawan istimewa ke kawan biasa?” soal Nadeem lagi.
Azra ketap bibir. Dah seperti penyiasat tidak berbayar
saja Nadeem ini. Selama ini tiada siapa pun nak ambil tahu tentang dia. Tiada
orang kisah dan ambil peduli. Cuma Syifa satu-satunya manusia yang masih setia
mengambil berat tentang dirinya.
Azra tidak menjawab. Dia membuka beg duitnya dan
mengeluarkan sejumlah wang kertas. Wang itu diletakkan di atas meja dan ditolak
kepada Nadeem.
“Ini saya ganti balik bil yang dijelaskan oleh Tuan
Nadeem tadi.” Duit itu memang sudah sedia ada padanya. Jadi, tidak perlu tunggu
nanti untuk jelaskan. Dah alang-alang Nadeem ada di sini.
“You tak jawab lagi soalan I. Kawan istimewa ke kawan
biasa?” Sekali lagi Nadeem mengulang kembali soalan yang sama.
Azra mendecit perlahan. Masih tidak mengerti kenapa perlu
lelaki ini ambil tahu siapa Iyad sebenarnya. “Kawan biasa.”
Nadeem tersenyum. Lega bila dapat jawapan daripada Azra
itu. Tidak perlulah dia fikirkan yang bukan-bukan lagi selepas ini.
“Okey. Jumpa you dua hari lagi. Dua hari saja. I tak bagi
lebih.” Nadeem bingkas bangun daripada duduknya dan terus melangkah ke pintu
pagar.
Azra memerhati pada duit yang di atas meja itu. Tidak
disentuh langsung oleh Nadeem. Dia mengambil dan mengikut jejak langkah Nadeem
dari belakang. “Tuan Nadeem, ni duitnya.”
Nadeem menoleh. Tangannya bersilang ke dada dan matanya
dikecilkan memandang Azra. “Ada I minta bayarkan balik ke?”
“Tak, tapi...”
“Simpan. Gaji you pun tak banyak bulan ni. Jadi, simpan
untuk tanggung hidup you bagi bulan ni.” Nadeem terus melangkah keluar dari
kawasan rumah Azra dan masuk ke dalam perut kereta. Terus dia memecut laju.
Azra menggeleng. Duit di tangannya dipandang.
“Kenapa masing-masing lain macam sangat ni?” kata Azra
sendiri sambil menutup pintu pagar semula.
Malas nak fikir apa-apa lagi. Anggap saja ini rezeki buat
Akil.
2 kumbang mengintai bunga. Fenin jugak ni.
ReplyDelete