Nasi Paprik Cinta bab 9

*Terima kasih sudi menjenguk blog Myn. Jemput ikuti kisah seterusnya. Enjoy reading!

Bab 9

Pada mulanya aku tidak mahu pulang ke kampung kerana tugasan aku yang sangat padat. Tapi demi tidak mahu menghampakan harapan Umar yang asyik telefon aku untuk pulang ke kampung membuatkan aku sampai di kampung pada hari ini juga.

           Serabut kepala ni memikirkan tentang peristiwa hitam itu. Sanggup ke aku nak berhadapan dengan Umar seperti tiada apa-apa yang berlaku? Rasa bersalah menyelubungi hati. Aku bukan seorang yang hipokrit tetapi dalam hal ini aku harus hipokrit. Aku tetap manusia biasa. Tidak mampu menerima semuanya yang berlaku dengan penuh rela.

Aku menjenguk di dapur. Tangga demi tangga aku turuni dan nampak mak aku sedang memasak. Memang tepat pada masanyalah sebab perut aku pun dah lapar. Tapi untuk aku masuk dapur dan memasak , aku memang menyerah kalah awal-awal lagi. Mak aku selalu berleter tetapi aku buat tak endah sahaja.

“Mak, masak apa tu?” soal aku sambil menarik kerusi lalu duduk.

“Tengah goreng keropok lekor ni. Baru nampak muka Wawa. Dah nak kahwin pun tak reti lagi nak tolong mak?” perli mak.

Aku menayangkan gigi aku yang tersusun rapi. Keropok lekor yang telah digoreng aku ambil lalu dimasukan ke dalam mulut.

“Mak ni. Umar nantikan pandai masak. Biar dia masak, Wawa kerja.” Jawab aku selamba.

Mak aku sudah cekak pinggang. Dia menggelengkan kepala beberapa kali.

“Baguslah macam tu. Lepas tu biar Umar tu jadi suri rumah. Hang pula yang tanggung dia.” Mak aku sudah mula bagi hint nak memperkecilkan Umar. Mak ni masih belum dapat menerima kenyataan menantu dia nanti adalah Umar Al-Hafiz. Mamat jual nasi paprik cinta itu.

“Mak, jangan mula.” Aku kasi amaran. Biasalah bila orang yang kita sayang kalau ada yang ada kata-kata tak enak didengar nanti takut rasa nak marah saja. Bukan nak cakap yang aku akan marah mak aku tetapi cuma tak selesa dengar mak berceloteh tentang Umar.

“Mak dah edarkan kad kahwin dah yang hang pos kat mak. Tapi hang tu ukur baju pun tak lagi. Apa cerita ni?”

“Tak apa mak. Pakai baju kurung pun tak kisah.”

“Hang pakai baju kurung mak tak mau jadi tuan kenduri. Hang uruskanlah sendiri.”

Amboi mak. Main ugut pula. Kalau mak yang tak uruskan memang tak akan jalanlah majlis ni nanti. Aku sangat perlukan keluarga aku dalam apa-apa hal sahaja. Lagipun aku agak sibuk untuk uruskan semua benda disebabkan terikat dengan kerja.

“Mak, Wawa nak tanya satu soalan boleh tak?” soal aku. Aku cuba untuk meminta pendapat mak. Mana tahu mak ada jalannya. Tapi aku tak akan bagitahu mak pasal hal ini. Aku tak nak dia kecewa dan marah.

“Tak pernah minta izin nak tanya soalan, tiba-tiba ni awatnya?” Soal mak aku yang sudah tergelak kecil.

“Seseorang perempuan tu perlu ke bagitau suami dia nanti yang dia sudah tak ada dara?”

Mak aku terkejut. Dia yang sedang asyik menggoreng keropok lekor terus memandang aku tajam. Senduk diletakan dan dia berjalan menghampiri aku. Hati aku berdebar kencang. Janganlah mak syak apa-apa.

“Hang jangan nak cakap yang hang…” Belum sempat mak menghabiskan kata-katanya aku mencelah. Mak dah syak macam-macam.

“Eh tak mak! Wawa tanya saja. Bukan Wawa yang macam tu.”

“Betul ni?” soal Mak lagi sekali. Memang nampak dia macam tak percaya cakap aku tapi tak apalah. Asalkan rahsia ini tidak terbongkar. Nahas aku kalau terbongkar.

Aku pantas mengangguk. Aku tidak lagi memandang muka mak. Aku sudahlah tak pandai menipu. Kalau tipu pun selalunya kantoi. Tapi baguslah kantoi pun sebab menipukan berdosa.

“Mak bukan apa. Hang duk kat Kuala Lumpur tu bukan mak tau pun hang buat apa. Kalau hang nak tipu mak pun, mak tak tau.” Ujar mak yang masih risau dengan pertanyaan aku tadi.

“Tak adalah mak. Wawa tak buat semua tu. Mak jawablah soalan Wawa ni.” Desak aku. Aku tanya soalan tapi sempat lagi mak memerli aku yang sememangnya terkena pada batang hidung aku sendiri.

“Tak wajib pun bagitau kat suami kalau isteri dia tu tak ada dara dah. Walaupun didesak tak wajib jawab. Pasaipa hang tanya soalan macam ni?”

Aku tersengih. Tak tahu nak jawab apa. Cuba untuk mencari jawapan yang sepatutnya.

“Kawan Wawa dia kena rogol dengan bekas kekasih dia. Tunang dia tak tahu yang dia kena rogol. Tak lama depa dah nak kahwin. Tu yang tanya mak tu.” Fuh! Nasib baik aku ni boleh putar belitkan. Aku cuma risau kalau mak tahu pasal kes aku, mak akan beritahu abah. Abah pastinya akan bunuh si Irhan tu nanti.

“Kesiannya dia. Dia tak buat laporan polis ka?”

Aku menggeleng.

“Dia takut reputasi dia jatuh, mak.” Ketika itu telefon aku berdering. Panggilan itu datangnya daripada Umar. Aku tersenyum lebar.

“Siapa telefon?” soal mak.

“Umar mak. Wawa jawab dulu ya.” Aku capai telefon dan terus mengangkat kaki dari situ.

Alhamdulillah, sekurangnya aku dapat jawapan kepada soalan yang selalu bermain di fikiran ini. Walaupun aku sudah tahu tapi aku cuma nak kepastian. Aku akan tanggung risiko untuk berkahwin juga dengan Umar. Aku akan hadapi apa sahaja penerimaan Umar nanti. Mungkin hanya seketika bahagia, aku sanggup. Aku tak akan sesekali tunduk pada Irhan.

Petang itu, aku dan Umar ke butik pengantin untuk memilih baju. Menurut tetapan tarikh lagi dua minggu aku akan disatukan dengan Umar. Memang buat kerja gila baru nak pilih baju pengantin. Semakin dekat tarikh semakin takut. Perasaan aku bukan takut pada perkahwinan itu tetapi aku takut penerimaan Umar.

            Aku memilih baju yang sudah ditayangkan di dalam kedai. Tak tahu mana yang cantik. Aku ni bukan yang kisah sangat pun dengan fesyen baju ni. Asal muat, tak koyak, tak cacat-cela itulah yang aku sarung.

“Hang nak pilih baju mana? Warna apa?” soal Umar yang ikut aku berjalan mengelilingi butik pengantin. Setia sungguh dia teman aku. Tadi sebelum datang sini, sempat lagi aku menjenguk kedai gadget di sebelah. Tapi tak beli apa-apa sebab Umar melarang.

“Ikut sukalah. Aku main sarung saja. Tak kisah pun.”

“Aku pun tak kisah. Tapi nak warna apa?” soal Umar lagi. Aku tak ada pun rancang nak pakai warna apa. Tak terfikir. Serius. Kadang-kadang tertanya pada diri aku ni nak kahwin ke tidak? Kesian Umar dapat isteri macam aku nanti.

“Tak tahulah. Hang rasa?”

“Aku rasa aku nak warna purple. Sesuai dengan kulit hang yang putih dan kulit aku yang tak kurang juga putihnya.” Umar sengih. Tak habis-habis perasan.

“Maksud purple apa?”

“Purple tu tandanya cinta aku pada hang.”

Aku pandang dia pelik. Tak faham.

“Aku tahu hang tak faham. Purple adalah kegemaran aku. Selalu aku pakai purple. Kebanyakan barang kesayangan aku pun berwarna purple. Macam tu juga hang. Hang tu kesayangan aku. Jadi sesuailah kita pilih purple.”

Aku memang sedia maklum yang Umar minat warna ungu. Aku pun suka warna ungu. Tapi alasan dia macam tak masuk ja.

“Setahu aku lelaki yang suka purple ni tak berapa nak lurus.”  

“Otak hang! Aku lurus nah!” aku tergelak. Lawak betul muka Umar cuba mempertahankan kelelakian dia.

“Gelak, gelak. Aku tak buat lawak.” Umar berwajah serius.

“La awat yang serius sangat ni? Tak handsome tau hang serius. Macam itik angsa tau.” Balas aku membuatkan dia menarik telinga aku kuat.

Tindakan refleks aku terus menampar bahu dia. Baru tahu nak lepaskan dari terus menarik tangan aku. Seorang pekerja butik datang menghampiri kami berdua.

“Selamat petang cik. Datang sini nak cari baju pengantin ke?” soal pekerja wanita yang mungkin berusia dalam 20-an.

“Yes. Tapi saya tak tahu nak pilih yang mana.” Aku berterus-terang. Aku rasa biarlah mereka sahaja yang membuat keputusan. Tapi mungkin aku akan mempertimbangkan warna ungu yang dicadangkan oleh Umar tadi.

“Kami ada menawarkan beberapa rekaan terbaru. Tapi boleh saya tahu bila majlisnya berlangsung?”

“Dua minggu lagi.” Umar pula menjawab. Dengan penuh semangat. Nampak macam tak sabar nak kahwin dah tu.

“Dah nak dekat. Kalau cik nak buat tempahan memang kami tak sempat nak sediakan. Tapi boleh tengok pada rekaan yang ada. Mungkin ada yang berkenaan.”

Tiba-tiba telefon bimbit aku berdering. Cepat-cepat aku keluarkan dari tas tangan aku. Skrin aku lihat. Hati aku tiba-tiba diundang rasa marah yang amat sangat. Dia nak apa lagi?

Aku memandang Umar yang sedang kusyuk memilih baju pengantin. Aku melangkah keluar dari butik dan menjawab panggilan itu.  Boleh sahaja aku tak layan tapi aku risau bila Irhan mengugut mahu memberitahu Umar tentang perkara yang telah berlaku.

“Apa lagi kau nak, Irhan?” soal aku.

“Janganlah macam ni, sayang. Aku cuma rindukan kau. Rindu belaian kau.”

Menyirap darah aku naik mendadak bila dia berkata begitu. Memang sangat kurang ajar.

“Kau jangan nak mengarut ya, Irhan. Aku tak nak dengar semua tu.”

Irhan ketawa dari corong telefon.

“Janganlah marah. Nanti hilang seri pengantin. Nak kahwin ya tak lama lagi? Umar tahu ke belum pasal bakal isterinya yang sudah ditebuk…” belum sempat dia habiskan ayatnya aku terus menyampuk.

Stop it! Kau jangan kurang ajar, Irhan.” Tengking aku.

Tiba-tiba bahu aku disentuh. Aku toleh dan kelihatan Umar sedang berkerut dahi memandang ke arah aku. Telefon aku matikan terus.

“Apa lagi dia nak, Wawa?”

Aku berasa gementar. Perlahan-lahan nafas aku tarik sebelum dihembus perlahan. Bibir yang sedikit kering ini cuba mengukirkan senyum. Irhan rosakkan mood aku pada hari ini. Tapi aku tak nak rosakkan Umar. Dia tak bersalah.

“Siapa pula ni yang hang mengarut ni?” aku cuba buat-buat tak tahu. Aku tak nak benda ni jadi panjang. Biarlah aku menghadapinya sendiri.

“Hang jangan nak tipu aku, Wawa. Bagitau aku apa lagi dia nak?” tegas Umar. Mukanya memang sangat serius. Tak pernah lagi aku tengok begitu. Walaupun aku nampak macam tak ada apa-apa tapi dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Hang demam ka Umar?” Aku cuba tersenyum. “Dahlah jom masuk. Kita dah lewat dah ni. Cepat-cepat pilih, cepat balik.” Aku menarik tangannya untuk masuk semula ke dalam butik tetapi dia menyentapkan tangannya. Aku toleh. Memang marah betul dah ni.

“Hang masih anggap aku orang luar ke, Wawa?”

“Yes. Sebab hang bukan suami aku lagi. Lainlah kalau dah suami. Sekarang ni bukan masa untuk aku ceritakan semua pada hang.”

Umar melepaskan keluhan hampa. Memang dia nampak kecewa dengan jawapan aku tapi ini demi kebahagiaan kami berdua. Aku yakin suatu hari nanti Irhan akan penat. Aku percaya itu.

“Tapi dalam hal ini pun hang masih nak berahsia dengan aku ke? Aku perlu tahu demi keselamatan hang. Aku tak nak terjadi apa-apa pada hang.”

“Aku tahu hang risau pasal aku. Tapi tak apa. Aku pandai jaga diri aku sendiri.”

“Aku tak puas hati selagi aku tak tahu apa lagi lelaki itu nak.”

Aku menarik nafas panjang dan hembuskan perlahan-lahan. Aku tak salahkan Umar sebab aku rasa kalau lelaki lain yang ada di tempat Umar, aku yakin Irhan tu dah lama kena belasah.

“Nanti kita dah kahwin dia berhentilah ganggu aku, Umar. Jangan risau, okay?” aku cuba menyakinkan Umar. Aku tak suka kami bergaduh akibat daripada Irhan.

“Ke hang masih ada perasaan kat dia?”

Hati aku mula dihambat rasa marah. Nafas aku turun naik. Aku tak suka orang tuduh pada benda yang aku tak buat. Aku dah tak ada apa-apa perasaan lagi dekat Irhan. Malah perasaan benci yang amat. Tak mungkin aku masih boleh mengharapkan lelaki itu lagi. Tolonglah jangan mendesak aku, Umar!

“Hang memang nak cari pasal dengan aku ka?” suara aku meninggi.

“Taklah. Aku cuma nak tahu.”

“Hang memang menguji kesabaran aku Umar. Bagi sini kunci kereta aku.” Minta aku kasar. Aku cuba kawal perasaan marah aku yang membuak-buak. Aku cuba memahami situasi Umar. Aku cuba.

“Hang nak pi mana?”

“Aku tak perlu bercakap dengan orang yang tak percayakan aku dan tuduh aku melulu macam tu saja. Dia tak pernah cuba untuk faham aku langsung. Buang masa bercakap dengan orang yang macam tu.” Luah aku. Biar dia tahu isi hati aku ketika ini.

“Macam mana aku nak faham kalau hang sendiri tak cuba fahamkan aku?” balas Umar.

Aku pandang tepat pada matanya. Mata dia memang inginkan penjelasan daripada aku. Tapi aku tak mampu. Perkara ini sangat berat untuk aku kongsikan. Tanpa aku tunggu dia serahkan kunci kereta, terus aku seluk poket seluarnya dan terus aku mengatur langkah beredar dari situ.

“Wawa, hang nak pi mana ni?” Umar mengejar. Dia cuba menghalang aku. Bahu aku dipegang dengan kedua-dua belah tangannya.

“Biarkan aku sendiri. Aku perlukan masa.” Terus aku tolak tubuh Umar yang menghalang aku.

Tanpa sedar airmata itu mengalir laju. Dulu aku mungkin kuat untuk hadapi semua rintangan tapi hari ini aku bukan lagi orang itu. Cinta Umar yang aku rasa sangat tulus ketika ini membuatkan hati ini penuh dengan rasa bersalah.

Aku memandu tanpa arah. Aku sendiri tidak tahu kemana aku nak pergi untuk tenangkan fikiran yang kusut ini. Tanpa sedar, aku memandu ke negeri jiran. Penang. Negeri kelahiran abah. Selepas memarkirkan kereta, aku berjalan menuju ke tepi pantai. Deruan angin yang tenang itu, membuatkan fikiran aku sedikit tenang walaupun tidak sepenuhnya.

Aku memilih untuk duduk di atas batu yang tersusun di tepi pantai. Telefon bimbit aku berdering. Aku seluk tas tangan dan melihat panggilan itu daripada Umar. Aku biarkan berdering tanpa menjawabnya.

“Kita diuji bukanlah kerana kita jahat sangat. Kita diuji bukanlah kerana kita baik sangat. Tapi kita diuji kerana tanda kasih sayang Pencipta pada kita.”

Aku toleh. Suara itu bergema. Aku kenal suara itu. Umar sedang berdiri sambil tersenyum. Matanya memandang aku.

“Jauhnyalah dia merajuk. Jenuh nak kejar.” Ujar Umar lalu duduk di sebelah aku.

 Aku terus memandang ke hadapan. Aku tak sangka dia ikut aku sampai sini.

“Best pula dating petang-petang macam ni tepi pantai. Rasa macam dalam filem Ombak Rindu pula.”

Aku cuba untuk menahan senyum. Buat lawak pula petang-petang ni. Bagi minum air laut baru tahu. Aku cuba berdehem beberapa kali. Sampai bila Umar akan bersabar dan terus memujuk aku seperti ini? Masih samakah Umar nanti kalau selepas ini dia dapat tahu akan peristiwa itu? Berbagai persoalan yang timbul.

“Nak senyum tak payahlah sorok-sorok.”

“Mana ada. Tolonglah. Tak lawak langsung tau.” Balas aku tiba-tiba. Baru nak protes tak nak cakap.

“Sikit-sikit merajuk. Tapi nasib baik hari ni merajuk just datang Penang. Kalau balik KL ke tak pun ke luar negara, menangis tak berlagulah kita ya. Malam-malam tengok bulan ja sebab nak hilangkan rindu. Sebab ada pepatah Melayu, pungguk rindukan bulan.”

Aku tergelak besar. Ada saja bahan untuk dia bergurau. Macam manalah aku ni tak cair dan marah lama-lama kalau begini perangainya.

“Ingat kelakarlah tu?” soal aku. Masih mempertahankan ego aku walaupun sudah bantai gelak tadi.

“Tak kata pun kelakar. Orang tu yang gelak. Cengeng!” balas Umar.

Aku menolak bahu Umar. Dia mengukirkan senyuman. Senyuman yang aku mimpi dan aku ingin lihat setiap malamku. Sejak bilalah aku jadi jiwang macam ni tak pasti. Tapi yang sebetulnya aku jadi macam ni sejak kehadiran mamat Nasi Paprik Cinta ini datang dalam hidup aku.

“Jangan nak merajuk lagi lepas ni. Penatlah.”

“Tak suruh pun pujuk.”

“Eleh, tak suruh pun pujuk. Tapi sebenarnya dalam hati tu membuak-buak menunggu Prince Charming datang memujuk.”

Aku mencebik. “ Perasannya. Tak adanyalah.”

Suasana diam. Hanya deruan angin dan air laut yang kedengaran. Tak lama selepas itu, Umar bersuara.

“Aku bukan mendesak hang, Wawa. Aku cuma rasa dah jadi tanggungjawab aku untuk tahu semua yang berlaku pada hang. Kita akan berkahwin tak lama lagi. Serba-sedikit kita perlu praktis untuk share antara satu sama lain.”

“Tapi cara hang bagi aku mendesak.”

“Okaylah aku minta maaf kalau hang rasa macam tu tapi aku tak boleh tengok kalau ada lelaki lain ganggu kesayangan aku yang cengeng ni.”

“Maaf? Mudahnya untuk diucapkan.”

“Habis tu hang nak suruh aku buat apa? Cium hang? Meh sini meh.” Muka Umar didekatkan dengan aku tetapi tak semena-menanya aku menampar muka Umar. Ambik kau. Merah muka dia yang merah tu.

“Sorry ganggu encik.” Ada satu suara yang menegur dari belakang. Aku dan Umar menoleh.

Serta-merta Umar menepuk dahi. Dia bangun dan mengeluarkan beg dompetnya. Sekeping not RM50 diserahkan pada pak cik teksi tersebut.

“Sorry pak cik. Saya lupa nak bayar tadi. Maaf sangat-sangat.”

“Tak apa. Tadi awak suruh pak cik tunggu. Tapi tak boleh sebab pak cik kena ambik orang kat airport. Dia memang dah booking awal-awal lagi.”

“Eh, tak apa pak cik. Saya balik dengan Wawa nanti.” Umar menunjukan aku pada pak cik tua itu.

“Oh, inilah orang yang awak cerita tadi. Patutlah risau sangat. Cantik orangnya.” Puji pak cik teksi itu. Aku hanya tersenyum manis. Apalah yang mamat sebelah aku ni cerita kat pak cik ni? Nak kena tahu ni.

Umar hanya membalas dengan gelak kecil.

“Okaylah. Terima kasih. Pak cik nak kena gerak dulu. Jumpa lagi. Cuma satu saja pesan pak cik. Demi kebahagiaan rumahtangga ,  baik ke buruk ke pasangan kita tu nanti cuba untuk terima. Sebab setiap orang ada kekurangan dia masing-masing. Manusia tidak sempurna.”

Pak cik itu meninggalkan aku dengan Umar. Aku tersenyum. Begitu juga dengan Umar dan kami saling berpandangan.

“Hang cerita apa dengan pak cik teksi tu?”

“Mana ada bagitau apa.” Balas Umar tidak mahu menyatakan kebenaran.

Pantas tangan aku mencubi perutnya kuat. Dia mengaduh kesakitan tetapi tetap juga aku tidak lepaskan.

“Sakitlah woi!”

“Bagitau dulu apa yang hang bagitau pak cik tu?” desak aku.

“Aku bagitau hang tu manja mengalahkan budak kecil. Sikit-sikit nak merajuk. Nak juga abang handsome datang pujuk. Itu ja aku bagitau.”

Semakin kuat aku mencubit  perutnya yang ditutupi dengan baju T-shirt itu. Dia memujuk aku melepaskan tetapi aku berdegil. Sempat lagi aku gelak bila melihat muka Umar yang menahan kesakitan. Bila aku lepaskan, dia mengejar aku di tepi pantai. Mencicit aku lari. Cubitan Umar lagi berbisa.


Ketika itu aku rasakan hanya aku dan dia sahaja yang ada di situ. Menikmati indahnya cinta yang dianugerahkan dari-Nya. Aku  berharap agar kebahagiaan ini akan kekal selepas kahwin dan selama-lamanya. 

1 comment:

  1. berlari berkejaran ,di tepian pantai ,,

    *ateh*

    ReplyDelete

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH