NASI PAPRIK CINTA BAB 1

Bab 1

Aku mengeluarkan beg baju aku dari bonet kereta. Nak balik tiga hari sahaja tapi beg serupa tak nak balik terus dah. Kalau ikutkan hati memang nak aje balik kampung terus tapi memandangkan kerja terpaksalah pasrah.
            “Assalamualaikum, mak!” Aku terus berjalan ke dapur. Mencari mak kesayangan. Sudah berbulan aku tak balik kampung. Ni aku balik pun sebab mak aku cakap kalau tak balik mak aku nak terima pinangan anak ketua kampung sebelah. Memang taklah aku nak terima. Bukan aku tak tahu si Amran tu. Menggatal dengan perempuan selalu.
            “Waalaikumusalam, Wawa. Hang sampai bila? Mak tak dengar pun.”
Aku menghampirinya dan tubuh kecil itu aku peluk. Rindu jangan cakap. Kalau boleh diukur mungkin setinggi-tinggi Gunung Kinabalu.
“Mak tu asyik dok layan lagu klasik mak tu. Mana nak dengar.”
“Balik juga hang noh. Lain kali mak nak gempar macam tulah. Bolehlah hang balik selalu.”
“Mak masak apa ni?”
“Mak masak soto kegemaran hang. La ni hang pi mandi. Satgi abah balik kita makan sekali.”
“Depa semua pi mana, mak? Tak nampak rupa pun.”
“Abah hang pi surau. Adik hang pi kelas memandu.”
“Yaya dah ambik lesen ka?”
“Tu semua duit hang, Wawa.”
Atas meja ada beberapa ketul kuih keria. Aku ambil dan makan sambil berdiri.
“Cukup tak?”
“Lebih pada cukup.”
Aku angguk. Dulu keluarga aku susah. Biasalah bila adik beradik ramai ni memang hidup agak kesempitan. Ayah aku dulu peneroka saja. Mak aku pula ambil upah mengasuh anak orang. Sekarang ni nak kata berjaya tu alhamdulillah. Aku ada syarikat sendiri. Syarikat produksi filem. Sesuai dengan bidang yang aku ambil dulu.
“Minggu lepas keluarga Han datang merisik.” Aku toleh. Dahi aku berkerut.
“Han? Irhan Buqari?”
Mak angguk. Aku mendecit. Apa lelaki ni nak? Tak serik-serik sakitkan hati aku dulu tiba-tiba sekarang datang merisik. Apa cerita?
“Dia cakap dia minta maaf apa yang dia dah buat kat Wawa dulu. Jadi dia mai tu nak minta maaf dan sebagai tanda maaf dia nak ambil wawa sebagai isteri dia.”
“Pergi matilah dengan jantan macam tu. Masa dia sakitkan hati Wawa dia tak fikir pula apa yang Wawa rasa. Dan sekarang dia nak expect Wawa akan terima dia? Memang taklah, mak! Cukup-cukuplah disakiti dulu.”
Kisah lama. Bercinta bagi nak rak. Tapi lama-lama dia beritahu aku dia tak cintakan aku. Dia cintakan orang lain dan aku ni hanya perempuan untuk dia bila dia ada masalah. Hati perempuan mana yang tak sakit hati.
“Mak bagitau hang sajalah. Mak pun tak berkenan kalau hang balik pada dia. Banyak lagi lelaki lain. Dulu senang-senang dia tinggal hang macam tu saja dan tak mustahil masa depan dia tinggal hang lagi.”
Aku angguk. Nasib baik mak memahami. Kalau mak paksa aku kahwin dengan Irhan memang aku balik rumah dah. Serius cakap. Aku tak main-main.
“Betul tu mak. Wawa dah tak rela dipermainkan macam tu lagi.” Balas aku.
“Habis tu bila hang nak bawa balik yang sebenarnya jumpa mak?” soal mak membuatkan aku yang baru nak mengunyah kuih karipap terus tersembur. Memang tak senonoh perangai aku. Aku sendiri tak percaya ini perangai aku.
“Tak boleh nak sopan sikit ka hang ni, Wawa? Anak dara apalah macam ni.” Marah mak. Nasib maklah. Yang pergi tanya soalan macam tu siapa suruhkan.
“Wawa ni bukan tak ada orang nak tau mak. Tapi Wawa rasa macam Wawa ni terlalu muda untuk ke arah itu lagi.”
Mak mencebik. Dia menarik kerusi lalu duduk di hadapan aku.
“Tak payah nak perasan sangat boleh tak? Umur hang tu dah 25 tahun. Kalau kahwin dah boleh dua tiga orang anak dah. Mak dulu masa umur hang anak dah empat tau.” Leter mak.
“Mak dulu tak sabar sebab tu cepat kahwin.” Aku sengih kerana suka mengenakan mak. Tak sepasal lengan aku dicubit olehnya.
Tapi betul cakap aku. Bukan tak ada orang nakkan aku tapi aku sikit seriklah dengan lelaki ni. Tak bermakna aku suka perempuan cuma kepercayaan aku terhadap lelaki masih lagi terlalu nipis. Kat syarikat aku tu ada seorang kerani bawahan asyik dok mengorat aku tapi aku tak layan. Aku tak layan bukan sebab dia kerani bawahan tapi sebab aku tak percaya lelaki. Aku cuma percaya abah aku saja.
“Jangan kerja sampai tak ada masa nak cari suami. Jangan ingat semua lelaki sama macam Irhan tu.”
“Tak adalah mak. Tapi mak sendiri tahu yang Wawa ni tak percaya lelaki.”
“Hang minat kaum sejenis ka?”
“Huish! Mak ni. Tuduh tak agak. Mana adalah.” Aku caras.
Amboi mak. Nak sangat ke tengok anak dia ni minat kaum sejenis? Dulu masa belajar memang banyak yang jenis minat kaum sejenis. Tak kira lelaki perempuan. Semuanya sama sahaja. Tapi aku tak adalah sampai tahap itu. Aku tetap berpegang pada landasan agama.
“Mana tau kot-kot hang jenis yang macam tu. Mak ni takut jugalah.”
“Mak nak ka menantu perempuan?” Aku cuba mengusik mak. Biar dia takut sikit. Saja nak gurau-gurau. Dah lama tak bergurau dengan keluarga. Biasalah lama tak balik. Shooting sana sini.
“Mak tak mengaku hang anak mak terus.” Jawab mak membuatkan aku melepaskan ketawa. Tahu takut. Dok tanya pasal tu tak takut pula.
“Wawa masuk mandi dulu. Melekit dah badan ni.”
Mak angguk dan aku terus mengangkat kaki dari dapur menuju ke bilik yang aku tinggalkan beberapa bulan yang lalu.

Malam itu aku keluar menunggang motosikal Ex5 milik adik lelaki aku iaitu Farhan. Yaya membonceng di belakang. Saja nak jalan-jalan kampung. Dah lama tak merayau satu kampung. Aku berhenti di satu gerai yang menjadi tempat aku melepak dahulu. Perut ni teringin pula nak merasa nasi goreng kegemaran aku.
            “Yaya, hang nak makan apa?” soal aku. Yaya ni adik kedua aku. Dia muda tiga tahun daripada aku dan sekarang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara Kedah dalam jurusan perakaunan.
“Yaya kenyang dah kak. Nak order minum ja. Hang tu tak kenyang lagi ka? Patutlah nampak makin gemuk sekarang. Makan tak berhenti.” Balas Yaya selamba.
Aku lihat badan aku. Yaka dah gemuk? Aku rasa makin kurus adalah. Mana tidaknya bila stress bekerja bila jadi pengarah ni. Terpaksa menghadapi karenah pekerja-pekerja ditambah pula kalau artis yang buat hal. Sudahlah jadual tak menentu. Kadang-kadang tiga empat pagi pun masih ada di tempat pengambaran.
“Suka hati kaklah. Hang tak tau kak kalau bekerja makan pun belum tentu sempat tau. Susah jadi bos tau.”
“Bukan bos selalunya relax ka?”
“Itu hang. Bukan kak. Kalau hang nak rasa nanti lepas habis belajar apply kerja dengan kak. Baru hang tau macam mana kerjanya.”
Umar datang menghampiri meja kami untuk mengambil order.
“Dah lama tak nampak, Wawa. Baru ingat nak balik kampung ka?” usik Umar. Dengan Umar aku dah biasa diusik sebegitu. Sebabnya Umar ni kawan aku masa nakal kat sekolah dulu. Sekarang dia teruskan perniagaan mak ayah dia menjaga gerai ini.
“Aku baru nampak jalan pulang.” Jawab aku sarkastik. Umar tergelak. Yaya pula asyik dengan telefon bimbitnya yang baru aku hadiahkan sebulan yang lepas.
“Sudi lagi ke hang nak makan kedai aku ni? Hang tu Pengarah terkenal. Kedai aku ni apalah sangat.”
Aku mendecit. Tak semena-menanya aku tampar bahu dia. Memang aku tak suka bila orang cakap begitu. Aku tetap aku. Tidak pernah berubah walau apa sekalipun jawatan aku.
“Hang ni pasal apa? Tiba-tiba tampar aku.” Marah Umar.
“Apa cakap macam tu? Hang tak bangga ka pengarah terkenal ni makan kedai hang?”
Umar sengih. Dia yang tadinya nak ambil order terus menarik kerusi mengadap aku. Nak bersembanglah tu. Lama dah tak jumpa.
“Hang tak mau ambik aku berlakon ka?”
“Reti ka hang berlakon?” soal aku. Kening kananku terangkat.
“Nak kata reti tu tak tahulah tapi aku boleh jaminlah boleh ganti Izzue Islam jadi hero.” Berlagaknya jawapan mamat ni. Geli hati aku dengan Umar ni. Memang cita-cita dia dulu nak jadi pelakon tapi mak tak bagi. Diturutkan sajalah.
“Umar, ambil order tu. Pelanggan dah lama tunggu tu.” Jerit Mak Jah, mak kepada Umar dari dapur.
“Nanti kita sembang lain. Hang nak makan apa? Macam biasa ka? Nasi paprik kasih sayang? ”
Aku tergelak. Umar tahu makanan kegemaran aku.
“Hang masih ingat lagi ya. Air bagi Sirap Laici. Yaya?”
“Sirap laici juga.” Jawab Yaya sebelum meneruskan menatap telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum.” Aku toleh sebelah. Terkedu aku melihat si pemilik suara itu. Yaya turut sama pandang. Dia terkejut.
“Waalaikumussalam.” Jawab aku malas. Kenapalah dia harus muncul ketika ini? Baru saja nak menikmati angin malam tetapi dah rasa macam ribut taufan bakal datang pula.
“Boleh kita cakap sat?”
Yaya memandang aku. Aku pandang Yaya supaya jangan tinggalkan meja ini untuk aku dan dia. Aku tak nak berhadapan dengan dia. Tapi Yaya kejam.
“Kak, Yaya nak jumpa kawan sat.” Yaya terus bangun dan tempat Yaya itu diambil oleh Irhan.
“Apa khabar?” soal Irhan. Mukanya senyum. Aku? Senyum paksa. Harap dia faham aku tak suka dengan kehadirannya.
“Baik dan bahagia.”
“Ya. Tahniah atas semua kejayaan yang awak dapat. Tahniah atas anugerah filem terbaik baru-baru ni.”
Aku angguk dan tersengih. Dia ikutilah perkembangan aku. Tapi aku tak mengharapkan apa-apa pun. Tak ikuti lagi bagus.
Thanks.”
“Saya dah lama tunggu awak balik sini.”
“Untuk apa tunggu saya lagi? Kita tak ada hal apa-apa pun yang memerlukan awak menunggu saya.”
Irhan cuba meraih tangan aku. Tapi cepat aku melarikannya. Cukuplah derita yang dia onarkan dulu. Aku sudah tidak mahu ada sebarang hubungan lagi dengan dia.
“Saya nak awak kembali dalam hidup saya.”
Cait! Memang diagak sudah itu yang mahu dibincangkan oleh Irhan. Aku tergelak buat-buat. Bagaikan tidak percaya. Mana pergi perempuan yang hang kejar dulu sampai sanggup tinggalkan aku?
“Jangan mengarutlah, Han. Kita dah tak ada apa-apa. Awak adalah masa lalu saya dan jangan cuba hancurkan lagi masa depan saya.”
“Saya tahu satu kesilapan besar saya tinggalkan awak untuk perempuan itu. Saya menyesal dan saya nak awak balik pada saya.”
“Dulu suka hati awak buang saya dan sekarang awak nak kutip saya balik? Tak geli ke jilat ludah balik?” ujar aku sinis. Bohonglah aku cakap aku dah tak rasa apa-apa saat ini tapi aku kena kuatkan juga hati aku ini. Ingat macam mana dia buang aku dulu.
“Sayang. Please. Saya mengaku saya salah dan izinkan saya untuk tebus balik segala salah saya.”
“Sudahlah Muhamad Irhan Adha. Saya dah tak boleh nak terima awak lagi. Cukuplah sekali awak sakitkan hati saya dan saya tak nak tanggung risiko lagi.”
“Selagi awak bukan milik sesiapa selagi itu saya tak akan berhenti kejar awak.” Irhan begitu yakin.
Umar datang menghidangkan pesanan tadi. Aku pandang Umar dan Irhan silih berganti.
“Jangan kejar saya lagi sebab tak lama lagi saya akan berkahwin.”
Irhan nampak terkejut. “ Dengan siapa?”
Aku senyum dan bangun dari duduk. Terus lengan Umar aku paut. “Dengan pilihan hati saya. Umar Al-Hafiz.” Ujar aku sambil tersengih.
Irhan pandang aku. Begitu juga dengan Umar.
What?” Irhan terkejut.
“Apa?”
Aku tersengih. Lantaklah asalkan aku dapat melarikan diri daripada Irhan terus mengejar aku. Umar, nasib hanglah ya. Jadi bakal suami palsu aku sekejap.


1 comment:

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH