Bab 9
Aku rasa sedih pula bila hantar dia kat lapangan
terbang Penang. Rasa macam tak mahu dia pergi tapi aku cepat-cepat nafikan
perasaan itu. Aku dah jatuh cinta ke? Oh tidak! Aku kena berbalik pada ciri
lelaki yang aku idamkan.
Ciri
lelaki yang aku nak jadi suami aku adalah baik, hormat mak abah aku, tak kacak
tak apa janji manis dan paling aku harap bukanlah seorang yang kaki pukul. Aku
sangat risau itu. Begitu juga dengan abah. Dah banyak kali pesan supaya aku
berhati-hati kerana dia risau anak dara dia ni orang dera. Risau melebihkan
risau mak. Lagi satu, tak kedekut dan kuat mengadu macam Mikael. Langsung tak
kena dengan aku.
“Hati-hati Mikael.” Ujar abah. Turut
menemani aku menghantar Mikael kerana sudah lewat malam.
Aku pandang muka dia yang nampak berat
sangat nak balik. Aku pun berat sangat nak lepas dia balik.
“InsyaAllah pak cik. Pak cik jaga diri
ya. Saya balik dulu.” Mikael bersalaman dengan abah.
Dia menoleh memandang ke arah aku. Aku
membalas pandangan dia.
“Jangan rindu aku.”
Aku mencebik. “Jangan nak perasan
sangat!”
“Jangan dok ingat kat aku.”
“Tak akan.” Sepantasnya aku membalas.
“Jangan serahkan hati kau kat orang
lain.”
“InsyaAllah tak.” Aku menjawab pantas.
Tapi beberapa saat lepas tu, aku menekup mulut. Tersasul ya?
Aku pandang Mikael. Dia sudah
tersengih-sengih. Malu lagi. Cepat-cepat aku melarikan mata aku. Tidak mahu
memandang wajah Mikael yang menang kerana berjaya kenakan aku.
“Tak lama lagi abah dapat menantu
oversealah ya.” Usik abah.
Aku tepuk dahi perlahan. Aduh! Abah
jangan bagi Mikael perasan lagi. Aku
terlepas cakap kot. Bukan betul pun. Ya bukan betul pun aku nak cakap macam tu.
Tadi aku nak balas lain tapi tersasul.
“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak
kata jangan dok nafikan lagi. Pandai tak anak minah salleh ni berperibahasa?”
Tak habis-habis lagi mengusik.
“Jangan nak merosakan peribahasa boleh?
Dahlah, pi lah check in. Satgi flight tinggal.”
“Tak ada ucapan perpisahan untuk kekasih
hati yang dibenci ini?”
Aku kerut dahi. Abah kat sebelah dah
tersengih-sengih. Mikael! Awatlah hang meroyan sangat ni?
“Abah! Awat gelak?”
“Lah tak boleh ka abah gelak tengok anak
abah ni bahagia?”
Aku ketap bibir. Mikael dan abah sudah
tergelak besar. Sukanya mereka kenakan aku. Aku ni dahlah suka mengelabah. Muka
malu tu langsung tak boleh nak cover.
“Dahlah. Abah dengan Mikael sama ja.”
“Nampak tak keserasian abah mentua
dengan bakal menantu?” tambah abah lagi.
Aku mencebik.
“Meluatnya rasa!”
Mereka ketawa lagi. Ketawa yang
membuatkan aku bertambah bengang dan rasa macam nak marah.
“Okaylah pak cik. Dah lewat dah ni. Saya
pergi dulu.”
“Okay Mikael. Kirim salam kat keluarga
hang kat sana. Nanti kalau sempat, pak cik pi melawat.”
“InsyaAllah.”
Dia mendekati aku.
“Selamat tinggal sayang bie.” Mikael
mengujarnya perlahan di telinga aku sebelum dia melangkah masuk ke balai
pelepasan.
OMG! Sesak nafas! Inhaler mana? Aku perlukan
hang. Ya Allah, rasa macam tiba-tiba dunia di awang-awangan. Mendengar kata
yang romantis daripada Mikael itu. Bibir aku tanpa disangka mengukirkan
senyuman.
“Dah. Tak payah nak berangan sangat. Jom
balik.”
Teguran abah membuatkan aku tersedar kembali
ke alam nyata. Astarfirullahalazim. Jangan nak lebih-lebih sangat ya, Rania.
Hang tu ada taste tau. Ingat tu.
**********
Leganya rasa bila dapat berbaring atas
katil empuk ini. Sangat bahagia. Seharian langsung tiada rehat yang cukup hari
ini. Selepas sibuk di restoran, bergegas pula hantar Mikael ke Lapangan Terbang
Penang. Jauhnya memakan setengah jam dari tempat aku.
Bibir aku mengoyak senyuman. Teringatkan
Mikael yang sengal. Mikael yang otak tak betul tu. Rasa bahagia pula. Berat
hati melepaskan dia balik tapi siapa aku nak menghalang dia pergikan.
“Eh Rania! Apa kena dengan hang? Dok
teringat dia pula.” Aku menggelengkan kepala aku beberapa kali. Aku pun dah
pelik dengan perangai aku ni.
“Dia dah ada girlfriend dah. Hang sendiri cakap yang mamat tak betul tu bukan
taste hang.”
Dah macam orang gila bercakap seorang
diri. Aku tersengih. Aku capai teddy bear besar itu dan aku peluk erat. Daripada
merapu lebih baik aku tidur. Aku patutnya gembira sebab esok dah tak ada orang
lagi nak ganggu aku buat sementara waktu.
Ketika nak melelapkan mata, telefon
bimbitku menjerit mengeluarkan nada dering lagu Datuk Siti Nurhaliza. Terbaik
Bagimu. Aku tatap skrin dan sedikit pelik.
“Assalamualaikum sayang bie.”
Aku geli geleman. Nada tu tak boleh blah
sebab mengada-ngada sangat. Macam minta penampar.
“Waalaikumussalam. Dah sampai dah?”
“Dah. Kalau tidak macam mana boleh
telefon kau, gila.”
Dia panggil aku gila? Gila lagi hang,
Mikael.
“Mana tahu kot-kot dalam flight ada line.” Balas aku sarkastik.
Aku rasa macam saja hantar dia kat
airport. Aku baru nak lelap mata dia cakap dah sampai. Oh! Memanglah Rania oi!
Dia naik kapal terbang. Bukan naik bas atau kereta api.
“Buat apa tu? Rindu aku?”
“Dah tengok papa hang? Macam mana
keadaan dia?”
Kedengaran keluhan daripada Mikael dari
corong telefon. Dia tanya lain aku jawab lain.
“Aku balik rumah terus. Tak jenguk papa
lagi.”
“Awat hang tak pi jenguk dulu? Apa
masalah hang ni?” aku mula berang. Tujuan aku suruh dia balik malam nak suruh
dia jaga papa dia. Tapi boleh pula buat macam tu.
“Janganlah marah aku. Aku penatlah.”
“Bukan hang yang pandu flight tu tadi. Jangan telefon aku kalau
hang tak pi tengok papa hang.”
Terus panggilan aku matikan. Aku tak
suka bila Mikael bersikap begitu. Bagi aku keluarga tetap nombor satu. Kot mana
pun keluarga juga.
Sekali lagi telefon berdering. Aku tatap
skrin dan panggilan daripada dia lagi. Malas aku nak jawab. Aku tak akan layan
orang yang tak tahu nak jaga ibu bapanya. Kalau dia boleh buat kat bapanya
macam tu mana tahu dia juga boleh buat kat aku juga sama macam tu.
Tak lama lepas tu, Whatsapp masuk. Aku
buka dan baca. Aku pula tiba-tiba rasa bersalah. Tapi salah dialah juga. Siapa
suruh main-main.
Period
eh? Ke pregnant? Anak siapa? Lembu Tony Stark tu ke?
Mesej yang aku terima daripada dia. Dia
turut sama menghantar gambar dia di dalam bilik yang menempatkan papanya lagi.
Aduh! Bersalah pula.
Sekali lagi panggilan telefon daripada
dia. Teragak-agak aku nak jawab. Tapi cepat juga jari aku menekan butang jawab.
“Nak apa lagi?” soal aku buat-buat
dingin.
“Marah saja. Betullah ni tengah period
ni. Emosi tak terkawal.”
Aku gigit bibir. Dalam nak marah tu ada
jugalah rasa geli hati tu. Apa kenalah dengan hang, Rania?
“Kalau tak ada apa-apa yang penting
untuk dibincangkan, aku nak tidur. Esok aku kena bangun awal nak kena kerja.
Bukan macam hang, anak orang kaya.”
“Sedapnya lahai telinga aku dengar bebelan
kau ni. Aku rasa macam irama yang sangat menusuk kalbu.”
Aik! Boleh pula macam tu. Aku pula naik
seram.
“Hang nak apa, Mikael?” Aku dah mula
rasa bengang. Mata pun dah mengantuk. Emosi sebenarnya okey tapi bila dengan
dia jadi tak okey. Rasa nak marah saja.
“Nak kau.”
“Gila!”
Mikael tergelak. Kuat. Agak-agaklah bro.
Kat hospital kot.
“Kau nak tahu tak yang sebenarnya aku
tak tahu apa yang aku buat. Tadi mulanya aku nak saja terus balik rumah. Esok
pagi baru nak datang melawat tapi mulut aku laju saja beritahu kat driver suruh hantar aku ke hospital.”
“Baguslah.” Balas aku. Sedikit lega
mendengar bila dia berkata begitu.
“Tapi aku tak suka papa aku.”
“Dia tetap papa hang. Jangan risau. Lama-lama
nanti sukalah.”
Diam seketika. Dia diam. Aku pun diam.
Hanya kedengaran deruan nafas masing-masing.
“Terima kasih.”
“Untuk apa?” Yalah tiba-tiba saja ucap
terima kasih. Nak tahu juga untuk apa.
“Paksa aku untuk berbaik dengan papa
aku.”
Aku mengukirkan senyuman.
“Aku boleh suruh tapi aku tak boleh nak
ubah hang. Hang fikir. Kalau papa hang tak ada, hang pun tak akan lahir ke
dunia ni. Memang mungkin bagi hang dia tak ada apa-apa jasa yang perlu dikenang
pun tapi dia tetap papa hang. Darah yang mengalir dalam tubuh hang tu ada darah
dia.”
“Yalahkan. Kalau aku tak lahir kat
dunia, aku tak akan jumpa kau. Aku pun tak ada orang nak panggil bie.” Mikael
ketawa.
Hish! Dalam serius tu terselit juga tu
nak kenakan aku.
“Dahlah. Aku dah mengantuk. Nak tidur.”
“Okey sayang bie. Good night. Muah sikit kat pipi tu.”
“Mikael!” jerit aku dari corong telefon.
Dia ketawa lagi. Ketawa tak ingat.
“Malulah tu. Kalau kau ada sebelah aku
ni memang dah lama aku buat.”
Meremang bulu roma aku tiba-tiba. Aku
rasa seram sejuk. Mikael dah mula nak menggatal.
“Gila. Okey, bye.” Terus aku matikan panggilan.
Tak lama kemudian, Whatsapp masuk. Dia
menghantar gambar dia tengah memuncungkan bibirnya seolah-olah nak cium.
‘Nah
ciuman untuk malam ni.’
Caption yang membuatkan aku rasa macam
nak menjerit. Aku terus tutup Whatsapp dan tarik selimut tutup seluruh tubuh
aku. Berharap mimpi ngeri ini tidak berulang kembali.
Sekali lagi kedengaran Whatsapp masuk.
Aku capai telefon dan buka. Tapi sebelum tu dah berdoa dulu. Jangan dia buat tak
senonoh lagi.
‘Good
night sayang. Aku bergurau saja. Jangan bagitau abah. Mati aku kena pancung
nanti.’
Tahu pun takut. Tapi sedikit sebanyak
rasa lega. Tiba-tiba geli hati dengan sikap dia tu.
“Mikael, awat hang tiga suku sangat?”
Aku menggelengkan kepala beberapa kali.
Aku tutup aplikasi Whatsapp tanpa membalas apa-apa. Aku tidur dengan senyuman
di bibir.
Kelakar.