KEAJAIBAN CINTA BAB 7


Bab 7

Qaseh menyeluk tas tangannya. Telefon bimbit jenis Xperia dibawa keluar. Mesej yang dihantar oleh Qayyim semalam dibelek. Dia cuma ingin memastikan alamat rumah banglo di hadapannya ini sama seperti alamat yang diberikan oleh lelaki sengal itu. Dia tidak salah lagi. Betul alamat yang diberikan oleh Qayyim semalam.

“Patutlah dia kutuk rumah aku. Gila besar rumah dia.”puji Qaseh sendiri apabila terpesona seketika melihat rumah banglo tiga tingkat yang tersergam indah di hadapannya ini. Dari luar sudah terpesona apatah lagi di dalam. Mungkin dia akan pengsan sepanjang hari. Qaseh tersenyum sendiri.

Loceng ditekan. Qaseh menanti dengan penuh sabar. Kelihatan seorang wanita sedang terkocoh-kocoh datang untuk membuka pagar.

“Mau cari siapa?”tanya wanita itu dalam bahasa Indonesia. Mungkin pembantu rumah ini.

“Saya Qaseh Zulaikha. Hari ini saya akan mula bertugas sebagai penjaga kepada encik….” Qaseh menggaru kepalanya. Macam mana boleh lupa pula nama lelaki sengal tu? Aduh. Macam mana ni?

“ Oh, Tuan Zill Qayyim? Jemput masuk duluan. Saya ada dikhabarin bahawa Cik Qaseh akan mula berkerja hari ini. Nama saya Yati. Panggil aja Kak Yati. Pembantu rumah ini.” Yati memperkenalkan diri tanpa disuruh.

Qaseh menganggukkan kepala sambil bibir mulusnya mengukirkan senyuman. Dia cuba menahan rasa gentar di hatinya yang semakin menjadi-jadi. Tidak pernah dia berasa berdebar-debar seperti ini.

“ Dah sampai pun.” Datin Kursiah terus menegur sebaik sahaja Qaseh melangkah masuk ke dalam rumah itu. Qaseh tercengang seketika. Matanya asyik melirik setiap sudut rumah lelaki sengal ini. Cantiknya...

“Qaseh, jemput duduk. Saya nak beritahu tugas kamu.”arah Datin Kursiah selepas menyedari Qaseh masih lagi seperti terkena kejutan budaya. Agaknya dia tak pernah masuk rumah banglo kot. Datin Kursiah membuat andaian sendiri.

Qaseh kembali tersedar. Dia termalu sendiri.

“Baiklah. Terima kasih kerana sudi menerima untuk menjadi penjaga kepada Ayim. Mulai hari ini awak akan menjadi salah seorang pekerja di dalam rumah ini. Bilik kamu berkongsi dengan Yati. Nanti Yati akan tunjukkan bilik kamu.”

“Saya kena tinggal di sini ke, Datin?” Qaseh mengutarakan soalan pertamanya.

“Saya nak Ayim diperhatikan 24 jam. Jadi faham maksud saya?” Soalan Qaseh dikembalikan dengan soalan.

Qaseh mengangguk. 24 jam? Gilalah. Tak akanlah tidur pun nak kena perhatikan juga? Boleh gila aku kalau begini.

“Jadi saya kena pindah duduk sini ke?” Qaseh menggarukan kepalanya. Dia bertanya cuma inginkan kepastian walaupun dia sudah mengerti maksud Datin Kursiah tadi.

“Iyalah. Tak akan itu pun tak faham kot.”

Qaseh mengangguk lagi. Sekarang dia benar-benar faham. Selepas ini terpaksalah dia meninggalkan Zizie berkeseorangan tinggal di rumah. Itu semua telah dibincangkan sebelum ini. Mungkin Zizie akan mencari teman serumah baru bagi menemaninya.

“Siapa ni?” Datuk Qairi menyoal ketika dia sedang menuruni tangga. Kolar bajunya dibutangkan. Tali leher berwarna hijau lumut itu dikemaskan. Dari atas tadi dia dapat melihat seorang perempuan yang tidak dikenali sedang diberi arahan oleh isterinya. Mungkin ini pekerja baru yang dikhabarkan oleh Datin Kursiah semalam.

“ Qaseh Zulaikha. Pekerja baru selaku penjaga Ayim.”jawab Datin Kursiah lembut.

Datuk Qairi menjeling sekilas melihat wajah Qaseh sebelum meneruskan langkah menuju ke meja makan untuk bersarapan.

Qaseh hanya menayangkan senyuman nipis. Dia cuba mengingati sesuatu apabila terpandangkan wajah Datuk Qairi. Dia seperti pernah bertemu dengan majikannya ini tetapi di mana?

“Qaseh, sekarang saya nak kamu pergi dapur ambil sarapan yang disediakan oleh Yati dan bawa ke bilik Ayim.” arah Datin Kursiah segera. “ Yati, tunjukkan apa tugasnya.”

“Baik datin. Qaseh, mari yuk ikut Kak Yati.”

Qaseh hanya menurut tanpa bantahan. Dia menyusun langkah membontoti Kak Yati. Ketika di dalam perjalanan, dia cuba menjeling untuk melihat wajah Datuk Qairi tetapi tidak berjaya kerana suratkhabar telah menghalang pandangannya.

“Itu bilik Ayim. Ini sarapannya. Sebelum masuk harus ketuk pintu dulu ya.” pesan Yati kepada Qaseh.

“Baiklah.” Qaseh lantas menatang dulang yang telah siap disediakan oleh Yati. Di atas dulang ini terdapat dua keping roti bakar dan secawan minuman coklat. Seronoknya jadi orang kaya. Sarapan disediakan siap dibawa ke bilik lagi. Bilalah aku boleh merasa semua ini? Kalau dapat kahwin dengan orang kaya pun okey juga. Qaseh tersengih. Sempat lagi dia berangan.

Tuk! Tuk! Tuk!

Qaseh mengetuk pintu seperti yang diarahkan. Sepi. Tiada jawapan. Sekali lagi Qaseh mengetuk. Tetapi tetap juga sama. Qaseh memulas perlahan tombol pintu bilik lelaki itu. Kepalanya dijengulkan sedikit untuk melihat bilik Qayyim.Namun langsung tidak nampak kelibat Qayyim. Qaseh mengambil keputusan untuk terus melangkah masuk tanpa keizinan.

“Sengal….” seru Qaseh. Dulang diletakkan di atas meja. Matanya memerhati keadaan bilik Qayyim yang berselerak itu. Barang-barang yang bertaburan di atas lantai diambil lalu diletakkan di tempat asal. Rimas dia melihat keadaan bilik Qayyim ketika ini. Apalah lelaki ini buat? Sudah seperti taufan Katrina melanda keadaannya.

“Aduh!” Qaseh mengaduh kesakitan. Dia terus jatuh terduduk di atas katil. Ada cecair merah yang keluar dari kakinya. “Kaca! Bahayanya bilik sengal ni. Siap ada kaca lagi. Aduh, sakitnya.” Qaseh berleter. Dia cuba untuk mengeluarkan serpihan kaca yang telah menikam tapak kakinya.

“Haaaaaa!”jerit satu suara.

Qaseh tercari-cari suara yang menjerit itu. Sepantas kilat matanya dipejam rapat. Tidak sanggup untuk menyaksikan pertunjukkan yang tidak disengajakan ini.

“Kenapa kau tak ketuk pintu dulu? Aku cukup pantang bila ada orang yang main sedap kaki saja masuk bilik aku tak ketuk dulu. Kau ingat ni bilik kau ke, hah?” marah Qayyim yang terkejut. Buka saja pintu bilik air, terpandangkan seorang wanita sedang duduk di birai katilnya. Mahu tak menjerit.

“Aku dah ketuk tapi kau tak dengar. Jadi jangan salahkan aku.” jawab Qaseh. Matanya masih lagi tertutup rapat.

“Selagi tak dengar arahan daripada aku, jangan nak pandai-pandai. Hari pertama sudah buat hal. Sakit jiwa aku kalau selalu begini.”

“Aku pun sakit jiwa dengan kau. Cepatlah pakai baju tu. Jangan nak tunjuk body kau yang macam ikan kering kena jemur tu kat aku.”gesa Qaseh.

Qayyim membulat matanya. Berani dia kata aku macam ikan kering. Puakanya mulut perempuan ni. Pakaian yang sudah tersedia di atas katil dicapai lalu disarungkan ke badan.

“Kau tu minah puaka, minah kepo dan minah senget. Kau tutup mata ni sebab nak suruh aku cium ke? Aku on saja.” Qayyim mendapat idea untuk mengenakan Qaseh. Biar padan muka si puaka ni.

Qaseh lantas membuka mata. Dia menarik nafas lega apabila Qayyim lengkap berpakaian. Dia berasa takut apabila diugut seperti itu. Buatnya lelaki ini terkena angin monsun barat daya dia buat sungguh naya saja Qaseh nanti.

“Kau jangan nak mengarut. Ni sarapan kau.”

“Aku nak tanya kau satu soalan. Aku ni siapa?”

“Kau lelaki sengal yang sawan. Kenapa?” Qaseh terpinga-pinga ketika bertanya. Tiba-tiba sahaja tanya 
soalan sedemikian. Tak akanlah diri sendiri pun tak kenal.

“Kau tu siapa?”soal Qayyim lagi tidak menghiraukan pertanyaan Qaseh yang dipulangkan padanya.

“Aku seorang gadis yang terperangkap untuk bekerja dengan lelaki sengal macam kau. Aku keluar dulu.” 

“Tunggu dulu. Kau tak boleh buat apa-apa tanpa arahan daripada aku. Kau sekarang dah jadi pekerja aku, aku ni majikan kau. Jadi kau harus menghormati aku. Buat apa yang aku suruh saja, yang aku tak suruh jangan buat. Faham?” Qayyim berwajah serius.

“Suka hati akulah. Kalau tak selesa, aku boleh saja berhenti notis 24 jam.” Qaseh masih lagi berkeras. Tidak mudah untuk dia mengikut sahaja arahan lelaki ini. Dia tidak suka hidupnya dikongkong. Rimas.

“Kau ingat aku senang nak lepaskan macam tu saja. Kalau nak susah cubalah lari.”

Qaseh mengetap bibir. Geram. Mentang-mentanglah dia kaya dia ingat dia boleh buat apa saja. Ini Qaseh Zulaikhalah , sengal! Tak pernah takut dengan ugutan.

“Sekarang ni aku nak kau panggil aku Tuan Zill Qayyim. Tukar perkataan aku tu kepada saya dan ikut semua arahan aku. Sekarang ni aku nak kau kemas bilik aku ni. Rimas aku tengok.” Qayyim memberi arahan pertamanya tegas.

Qaseh lantas bangun melakukan kerjanya seperti yang diarahkan. Malas nak bertekak dengan lelaki itu. Terhenjut-henjut Qaseh ketika berjalan. Denyutan di kakinya semakin sakit. Mana taknya, dalam kesan tikaman kaca itu menusuk ke kakinya.

“Kenapa dengan kaki kau?” soal Qayyim selepas melihat keadaan Qaseh yang menjongketkan sedikit tapak kakinya. Ada kesan darah yang mengalir.

“ Kena kaca.”jawab Qaseh ringkas.

“Meh sini nak tengok. Inilah akibatnya kalau masuk bilik aku tanpa kebenaran.”

“Tak apa. Sikit saja. Sekarang semuanya dah berkemas. Tuan Zill Qayyim nak suruh saya buat apa lagi?” Loya tekak Qaseh ketika menggelarkan dirinya ‘saya’. Semua ini sebab terpaksa sahaja. Kalau tidak jangan harap.

“Suap aku sarapan. Tangan aku sakit.”

Qaseh membulat matanya. Makan pun kena suap? Mengada-ngadanya!

“Apa lagi tercegat kat situ? Cepatlah suapkan aku makanan tu. Aku potong gaji kau nanti.”

“Tak boleh nak makan sendiri ke? Macam budak-budak.”dengus Qaseh perlahan tetapi masih boleh lagi didengari oleh Qayyim.

“Buat kerja tu kena ikhlas. Jangan nak berleter.”tegur Qayyim.

Qaseh mengeluh kasar. Roti yang disapu jem perisa strawberri itu diambil lalu disuakan kepada Qayyim. Lelaki itu lantas membuka mulut untuk menerima suapan daripada Qaseh itu.

“Tangan kau…eh, Tuan Zill kena apa?” Qaseh tersasul.

“Aku tumbuk cermin.”jujur sungguh jawapan yang diberikan oleh Qayyim.

“Tak ada kerja sangat ke yang tumbuk cermin tu? Padan muka tangan sakit.”

Qaseh tergelak kecil. Cerdik sangatlah otak tu bila cermin pun ditumbuk.

“Gelak? Kang muka kau aku tumbuk pula kot.”

Terus mati senyuman yang terukir di bibir Qaseh. Orang melawak sikit pun tak boleh. Sengal sungguh lelaki ni.

“Mulai sangat ini kau kena ikut semua arahan aku. Setiap pagi aku nak kau sediakan sarapan untuk aku dan bawa ke bilik seperti yang kau lakukan sekarang. Kau yang masak bukannya Kak Yati. Nanti tanya Kak Yati apa menu aku. Lepas itu, ke mana sahaja aku nak pergi kau kena ikut. Lepas itu….”

“Masuk tandas pun kena ikut juga?” Qaseh mencelah sebelum Qayyim menghabiskan bicaranya.

“Aku tak suka bila aku bercakap ada orang menyampuk. Dengar dulu sampai aku habis.”

“Baiklah, Tuan Zill Qayyim sengal.” Qaseh berkata geram. Itu tak suka ini tak suka. Apa yang dia suka tak tahulah.

“Setiap hari kau kena sediakan pakaian aku, makan minum aku dan ikut aku ke mana sahaja. Arahan aku mesti kau patuhi. Kalau tidak, gaji kau akan dipotong. Nanti kau beri nombor akaun adik-adik kau. Aku nak tunaikan janji aku.”

“Tuan Zill ni susah saja upahkan saya untuk jaga tuan. Kan bagus kalau Tuan Zill kahwin. Dari hujung rambut sampai hujung kaki isteri tuan tu boleh tolong sediakan. Tak perlu nak bawa keluar duit nak bayar gaji. Kan senang…”

“Aku ni lumpuh, cacat. Tak ada perempuan pun nak kat aku. Aku ni akan menyusahkan mereka saja.”

“Tak adanya cacat cuma tak boleh berjalan saja. Tuan Zill yang merendah diri sangat.” Qaseh menyangkal kenyataan Qayyim. Qayyim bercakap seperti dia sedang menyalahkan takdir dan tidak yakin dengan janji ALLAH yang menciptakan setiap makhluk di dunia ini secara berpasang-pasangan.

“Aku nak kau jadi isteri aku, kau mahu ke?”

Gulp! Qaseh tercengang seketika. Dia ni serius ke main-main?

“Mesti kau tak mahukan. Sekarang ini pun dah banyak merungut. Kalau jadi isteri aku nanti tak tahulah macam mana.”sambung Qayyim sinis. Dia tersenyum mengejek.

 “Tak boleh sembuh ke kaki tuan tu?” Qaseh mengubah topik. Kalau berterusan cakap tentang kahwin silap-silap Qaseh terkena serangan jantung nanti.

“Tak tahu. Malas nak ambil tahu.  Minah, aku nak ingatkan kau jangan cuba nak goda aku. Faham?” Qaseh berkerut dahi seribu.

“Tengok kau pun aku tak seleralah, sengal.” Qaseh membalas geram. Panggilannya kembali kepada asal. Suka hati saja tuduh aku nak goda dia. Qaseh lantas berpeluk tubuh.

“Kalau macam tu tak apa. Aku cuma ingatkan saja.”

“Hai Ayim, buat apa dalam ni lama sangat tu? Pagi inikan Ayim ada terapi. Dah lewat ni.” Datin Kursiah menegur dari arah pintu bilik Qayyim yang tidak ditutup. Rancak dia mendengar perbualan Qayyim dan Qaseh tadi. Macam-macam hal.

“Baiklah mama. Ayim terlupa. Ini semua kerana kaulah, Minah.” Qayyim menuduh lalu telefon bimbitnya dicapai. Kolar baju kemeja yang dipakai dibetulkan terlebih dahulu sebelum memusingkan kerusi rodanya menuju ke pintu.

“Qaseh, kamu ikut Ayim. Ayim pergi dengan Qaseh, okey? Mama ada hal persatuan. Bolehkan?”

Qaseh mengangguk laju. Dia berdiri tercegat langsung tidak berkutik menanti arahan seterusnya daripada Datin Kursiah.

“Boleh mama. Lagipun buat apa gajikan dia kalau tak buat kerja. Mama tak perlu risau. Sekarangkan Ayim dah ada penjaga sendiri.”

“Baiklah kalau begitu. Qaseh, jaga Ayim elok-elok tau. Mama pergi dulu.”

Qayyim bersalaman dengan Datin Kursiah sebelum wanita itu mencium dahi anaknya. Terserlah kasih sayang antara mereka.

“Yang kau tercegat kat situ lagi tu kenapa? Cepatlah tolak kerusi roda aku ni. Aku dah terlambat tahu tak? Mulut saja berpuaka tapi bila buat kerja macam kura-kura.”

Qaseh mendengus. Kakinya laju melangkah menghampiri Qayyim yang tidak jauh daripadanya. Dia tidak membalas. Kalau membalas nanti dia juga yang sakit hati. Lebih baik diam.

*************

 Sudah hampir dua jam Qaseh menunggu Qayyim menjalankan rawatan. Matanya sesekali ditenyehkan akibat daripada diserang rasa mengantuk yang amat sangat. Hampir sahaja dia terjelepuk jatuh ke lantai tadi kerana tertidur. Nasib baik dia cepat tersedar.

“Cik Qaseh, saya pakar terapi Encik Qayyim. Boleh saya berjumpa dengan cik sebentar?” Suara itu menyentak Qaseh yang sedang mamai. Matanya yang redup dibuka luas. Kononnya nak menghilangkan rasa mengantuk yang melanda. 

Qaseh mengangguk. Dia terus mengangkat punggung tanpa banyak soal.

“Jemput duduk.” pelawa doktor muda itu. “Tujuan saya memanggil Cik Qaseh ni sebab nak beritahu tentang kesihatan Encik Qayyim. Selalunya Datin Kursiah yang menemani Encik Qayyim. Jadi saya nak beritahu yang kaki Encik Qayyim semakin menampakkan hasil yang positif. Ada sedikit respon apabila setiap kali dirangsang. Tetapi itu tidak menjanjikan apa-apa. Kalau boleh saya nak minta tolong Cik Qaseh untuk membantu saya dan pihak hospital bersama-sama memulihkan kaki dia.” Terang doktor pakar itu panjang lebar.

Qaseh berkerut dahi. Dia mengecilkan matanya sedikit untuk memahami apa yang cuba dimaksudkan oleh doktor itu.

“Janganlah buat muka macam tu. Tak cantik.” seloroh doktor yang dikenali sebagai Akimi itu sambil tergelak kecil.

Qaseh tersengih. Merah mukanya apabila ditegur sebegitu.

“Saya tak faham maksud doktor. Maaflah, saya ni agak slow nak faham semua ni. Saya belajar tak tinggi. Setakat SPM sahaja. Itu pun tak semua yang lulus.” Qaseh berkata jujur. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Doktor Akimi ketawa berdekeh-dekeh. Lucu sangat penjaga baru pesakitnya ini. Kalau begini caranya pasti Qayyim akan cepat sembuh. Tak kering gusi dibuatnya.

“Ada-ada sajalah Cik Qaseh ni. Maksud saya begini, saya nak Cik Qaseh tolong saya menjalankan terapi untuk Encik Qayyim. Cik Qaseh bantu dia untuk berdiri semula. Cik Qaseh cabar dia ke atau luahkan kata-kata sinis yang membuatkan dia rasa tercabar. Secara tak langsung ini akan membantu semangatnya untuk kembali pulih. Tak pun Cik Qaseh bantu untuk berdiri.”

“Kalau dia tak nak? Dia tu keras kepala. Semua kata dia saja orang nak kena dengar , kata orang lain dia tolak tepi. Sakit hati tau bila berhadapan dengan lelaki sengal macam tu.”adu Qaseh. Risau jika dianggap menyibuk hal lelaki itu pula nanti.

“Usaha dulu sebelum mengalah.”ujar Doktor Akimi pendek tetapi maksudnya begitu mendalam. Tidak boleh terus mengaku kalah tanpa ada usaha yang jitu.

“Tengoklah macam mana nanti. Tapi saya tak janji.”

“Tak apa. Kalau perlukan bantuan boleh terus hubungi saya. Saya kasihan melihat Encik Qayyim tu. Dia tu perlukan seseorang yang macam Cik Qaseh untuk menjadi tempat dia mengadu dan cerita masalah. Cik Qaseh perlu menjadi sahabat yang baik untuknya. Dia tidaklah sekerek yang Cik Qaseh sangkakan.” Doktor Akimi tersenyum senget. Senyuman penuh bermakna.

“Baiklah. Insya ALLAH saya akan cuba.” Qaseh bersetuju. Kalau Qayyim sembuh nanti tak perlulah dia bekerja dengan lelaki itu lagi. Bagus juga cadangan doktor ini. Qaseh tersenyum dalam hati.

“Encik Qayyim dah selesai terapi tu. Bolehlah balik sambung tidur.”

Qaseh membulatkan matanya. Doktor ni nampak ke dia tidur tadi? Qaseh tertanya-tanya.

“Hah?” Mulut Qaseh sedikit terbuka.

“Tadi saya tengok Cik Qaseh tersengguk-sengguk kat kerusi tu. Jadi saya sarankan agar Cik Qaseh balik tidur. Nanti nak jaga orang sakit, Cik Qaseh pula yang sakit.” Doktor Akimi mengusik.

Qaseh tersengih sehingga menampakkan garisan giginya yang tersusun cantik. Rasa macam darah menyiarap di mukanya. Malunya tidak dapat dibendung lagi. Nak saja dia cepat berlalu pergi dari situ.

“Saya minta diri dulu. Terima kasih.” Qaseh terus menikus keluar dari bilik Doktor Akimi. Cuping telinga Qaseh dapat menangkap suara tawa Doktor Akimi yang lucu dengan kelakuannya.

“Dah selesai ke?”tanya Qaseh terus mengambil alih tugas jururawat dengan menolak kerusi roda Qayyim.

“Dah. Jom balik. Aku dah letih.” Qayyim merungut. Macam-macam yang perlu dia lakukan terapi. Kalau tidak kerana desakan mamanya yang ingin dia menjalani terapi memang awal-awal lagi dia tarik diri. Qayyim tahu dia tidak akan boleh berjalan lagi. Buat rugi masa sahaja lakukan semua ini.

“Saya nak ke tandas sekejap. Boleh tunggu kejap tak?”

“Sekaranglah kau nak ke tandas pun. Pergilah tapi jangan lama-lama sangat. Kalau tidak aku tinggal.”

Qaseh terus berlari anak menuju ke bilik air hospital berkenaan. Masa ini jugalah dia nak melepaskan hajat pun. Selepas beberapa minit, Qaseh  sudah selesai semuanya. Ketika sedang dalam perjalanan menuju kepada Qayyim semula, mata Qaseh terpandangkan seseorang.

Dia cuba mengamati sebatang tubuh yang tinggi lampai. Pandangannya kurang jelas tetapi dia masih dapat mengenali pemilik tubuh itu. Hati Qaseh tiba-tiba diundang rasa sebak. Dia tidak sangka semua ini akan berlaku.

Air mata Qaseh terus meluru keluar. Tidak dapat ditahan lagi. Qasha sanggup menipu dirinya.  Patutlah begitu mudah dia meninggalkan Qaseh. Ini semua ada penyebabnya. Qaseh benci Aqasha. 

KEAJAIBAN CINTA BAB 6



Qayyim mencapai telefon bimbitnya. Nombor telefon Minah Kepo yang disimpan di buku telefonnya dicari lalu didail. Sudah dua hari dia memberi peluang kepada Minah Kepo itu untuk membuat keputusan dan sudah tiba masanya gadis yang digelar Minah Kepo diberi tugasan. Mamanya pun sudah mula bising.

“Hello, macam mana keputusan kau? Bila boleh mula kerja?” tanya Qayyim kasar sebaik sahaja panggilannya dijawab.

“Tak reti nak bagi salam ke hah? Kita ni orang Islam. Herrr!” marah Qaseh tidak menjawab pertanyaan Qayyim. Lelaki sengal ni memang tak ada sopan santun.

Qayyim mengukirkan senyuman. Dia mengetuk dahinya apabila ditegur oleh Qaseh di corong telefon. Padan muka kau, Qayyim. Gelojoh sangat. Kononnya nak berlagak garang kena balik.

“Assalamualaikum, minah kepo a.k.a penyibuk negara bila kau nak mula kerja? Aku dah bagi kau masa dua hari untuk berfikir. Kalau kau mengelak juga aku pergi rumah kau.”

“Aku memang dok tunggu panggilan telefon daripada kau. Dah kau tak telefon macam mana aku nak beritahu keputusannya. Bukannya kau nak tinggalkan nombor telefon, sengal.”

“Dah kau tak minta. Aku tak mahu dengar kau membebel. Bingit telinga aku tahu tak. Sekarang ni aku nak tahu jawapan aje. Tak perlu intro panjang berjela.”

“Esok aku boleh mula dah.” jawab Qaseh pendek.

“Bagus. Nanti aku send kau alamat rumah aku. Pukul 8 pagi. Jangan lewat. Kalau lewat nahas kau.” Tegas arahan yang Qayyim tuturkan.

Terdengar dari corong telefon Qaseh melepaskan keluhan berat. Qayyim geli hati. Seronok rasa hatinya apabila dapat mengenakan gadis itu.

“Yalah. Dahlah. Aku ada kerja. Assalamualaikum, sengal.” Qaseh terus mematikan panggilan tersebut tanpa menunggu balasan daripada Qayyim.

Qayyim menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil bibirnya tergelak kecil.

“Garang sungguh.”

Qayyim mengambil majalah lalu menyambung pembacaannya yang tertangguh.

*************

Qaseh membaling telefon bimbitnya di atas katil. Dia fikirkan itu panggilan daripada Aqasha tetapi lelaki sengal itu yang menelefon. Sudahlah suka menyakitkan hati pula tu. Dia sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana dia nak bekerja nanti. Pasti sakit jiwa atau silap-silap boleh masuk Hospital Bahagia.

Qaseh sekarang sedang resah. Sudah berpuluh-puluh panggilan telefon dan berderet-deret pesanan ringkas yang dikirimkan kepada Aqasha namun tetap hampa. Tiada sebarang balasan yang boleh membuatkan hati Qaseh tenang. Aqasha tak pernah merajuk sampai begini sekali. Nampaknya Aqasha betul-betul bermaksudkan apa yang dia katakan semalam. Dia sudah meninggalkan Qaseh.

“Qasha, you pergi mana ni? I rindukan you.” rintih Qaseh sambil menyembamkan mukanya di atas katil. Matanya sudah bengkak kerana terlalu banyak menangis. Kepalanya pula diserang migrain. Qaseh risaukan Aqasha. Mana lelaki itu pergi?

Ketika Qaseh sedang menangis tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Telefon itu lantas dicapai lalu skrin ditatap. Nombor tidak dikenali. Siapa pula kali ini? Tak akanlah sengal tu lagi. Dia sudah pun menyimpan nombor lelaki itu. Mungkin Aqasha? Qaseh lantas menjawab.

“Qasha…” kata Qaseh sejurus panggilan itu dijawab.

“Assalamualaikum.”ucap pemanggil yang menelefon Qaseh.

Qaseh mengigit bibir. Suara milik seorang perempuan. Tetapi siapa?

“Waalaikumussalam. Siapa ni?” soal Qaseh ingin menghentikan teka-teki yang bermain di fikirannya ketika ini.

“Ini Datin Kursiah. Kamu kenal Qayyim kan?”

Qaseh berkerut dahinya. Qayyim? Siapa? Tak pernah dia dengar nama seperti itu. Silap nombor kot datin ni.

“Qayyim? Datin silap nombor kot. Saya tak kenal siapa tu Qayyim.”

“Tak kenal? Rasanya saya tak silap nombor. Inilah nombor yang Ayim kasi kat saya. Kamu ni Minah kan?”
Qaseh bertambah pelik. Sedap mulut dia sahaja panggil aku Minah. Mak ayah aku dah beri nama yang cukup cantik dah. Maksud pun baik-baik boleh pula ditukar. Ngomel Qaseh dalam hatinya.

“Tak. Saya Qaseh Zulaikha. Datin ni betul-betul silap nombor.” Nafi Qaseh.

“Kamu kenal lelaki muda yang lumpuh tak? Kamu diambil bekerja untuk menjaga dia. Kenal tak?” soal Datin Kursiah masih lagi tidak berputus asa.

Qaseh membulatkan matanya. Lelaki lumpuh? Fikirannya teringatkan lelaki sengal itu. Dia memang lumpuh dan hanya berkerusi roda. Tapi kenapa dia panggil aku minah? Qaseh menganggukkan kepalanya. Baru dia ingat yang lelaki itu menggelarkan dirinya Minah Kepo. Geramnya.

“Kenal,  datin. Saya akan mula bekerja esok. Kenapa Datin? ”

“Baguslah kalau kenal. Tak akanlah kamu masih tak tahu nama anak saya.”sinis sahaja pertanyaan daripada Datin Kursiah.

“Ya…eh, bukan. Saya terlupa. Dia ada beritahu nama dia Qayyim. Maafkan saya , datin.” Qaseh mengetuk dahinya.

“Boleh kita berjumpa petang ini? Ada hal yang saya nak bercakap dengan kamu.”

“Baiklah, datin.” Qaseh terus bersetuju tanpa banyak berfikir. Gementar juga apabila berhadapan dengan datin ni. Rasa meremang habis bulu tengkuknya.

“Kita jumpa di tasik. Pukul 5.00 petang.”

“Insyaallah, datin.”jawab Qaseh lagi.

Klik! Panggilan telefon terus ditutup.

“Sombongnya. Sama juga seperti anaknya. Apalah nasib aku ni?”

Qaseh berkata sendiri lalu membaringkan dirinya semula.

*************

“Kamu bekerja ni ikhlas ke atau hanya nak mengambil kesempatan atas diri Ayim?” soalan itu terpancul dari mulut Datin Kursiah selepas Qaseh melabuhkan punggungnya di sebelah Datin Kursiah.

Qaseh mengukirkan senyuman paksa. Berdebar-debar hatinya apabila berhadapan dengan wanita yang cantik bergaya ini walaupun usia sudah separuh abad. Usia langsung tidak menghalang Datin Kursiah untuk bergaya. Datin, pastilah kena berkemas selalu.

“Insya ALLAH, saya ikhlas. Saya ikhlas nak menjadi kawan kepada Qayyim.”

“Kenapa kau tinggalkan dunia hiburan kau hanya untuk menjadi penjaga kepada Ayim?” tanya Datin Kursiah lagi umpama seorang anggota polis menyiasat penjenayah. Mukanya juga langsung tiada secalit pun senyuman. Hanya wajah yang sinis terpapar.

“Dunia hiburan? Maksud datin?’ Qaseh kurang mengerti.

“Tak akanlah saya nak tolong cakapkan pula. Kamu ingat saya tak tahu kamu kerja apa dahulu. Lebih baik kamu terus terang. Nanti kalau saya yang berterus terang takut kamu sakit hati pula.”

Qaseh mengigit bibirnya. Jarinya bersilang antara dua. Menahan rasa gentar dan gementar yang dihadapi ketika ini.

“Maafkan saya, datin. Saya berhenti bekerja hanya semata-mata nak menjaga Qayyim kerana saya ingin mengubah kehidupan saya. Saya nak….”

“Mengubah kehidupan kamu dengan menumpang kekayaan Ayim? Itu maksud kamu?” Datin Kursiah mengangkat kening kanannya sambil merenung tajam kepada Qaseh.

“Err bukan. Saya dah tak nak bergelumang dengan dosa dan sebab itulah saya menerima tawaran Qayyim untuk menjadi penjaganya. Saya minta maaf kalau datin merasakan saya seperti itu. Kalau bagi datin saya tidak layak untuk menjadi penjaga kepada anak datin, saya rela jika datin menolak saya.” Qaseh berkata pasrah.

“Boleh percaya ke cakap kamu ni?”

Qaseh hanya menjawab dengan anggukan kecil yang sudah cukup membuatkan Datin Kursiah faham.

“Saya tak tahu apa istimewanya kamu ini sampaikan Ayim merayu-rayu nak kamu jadi penjaganya. Saya setuju untuk menerima kamu sebagai penjaga anak saya tetapi ingat sekali kamu lukakan hati anak saya, seumur hidup kamu akan menderita. Faham?”

Qaseh bertambah gementar dengan amaran daripada Datin Kursiah itu. Adakah betul dengan keputusan yang dia lakukan sekarang? Qaseh risau. Dia boleh lihat dari kata-kata Datin Kursiah yang Datin Kursiah tidak bermain-main dengan setiap kata-katanya. Qaseh mengigit bibir.

“Faham, datin.”jawab Qaseh tersekat-sekat. Wajahnya ditundukkan.

“Baguslah kalau kamu faham. Esok pukul 8 perlu ada di rumah saya. Saya baik dengan orang yang baik dengan saya dan saya akan menjadi kejam dengan orang yang sakitkan hati saya dan keluarga saya. Kamu tak perlu takut dan risau. Saya bukan gila nak bertindak sesuka hati.” tambah Datin Kursiah lagi selepas melihat wajah Qaseh yang kelat. Cantik. Patutlah Qayyim mendesak sangat menyuruhnya bersetuju.

“Insya ALLAH, datin. Saya akan menjalankan kerja saya dengan baik.” Qaseh menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya hati dia sedikit lapang apabila mendengar kata Datin Kursiah itu.

“Saya minta diri dulu. Saya tak akan ungkit siapa kamu dulu kerana semua manusia ada sejarah silamnya masing-masing. Tapi untuk sekian kali saya letak ego saya ke tepi hanya untuk merayu agar kamu jangan sakitkan hati Ayim. Saya tak suka tengok dia menderita lagi. Ingat ya.” Datin Kursiah mengukirkan senyuman. Dia bangkit dari duduknya lalu membetulkan bajunya yang sedikit terselak ke atas.

“Insya ALLAH  datin.” Ujar Qaseh turut bangun sebagai tanda hormat. Tangannya dihulurkan untuk bersalam dengan Datin Kursiah.

Datin Kursiah menerimanya dengan senang hati. Dia percaya Qaseh adalah pilihan yang tepat untuk menjadi penjaga kepada anaknya.

“Gilalah. Tak pernah rasa berdebar-debar sampai macam ni sekali.” Kata Qaseh sendiri selepas Datin Kursiah melangkah jauh dari situ. Dia mengurut dadanya. Nafasnya di tarik lalu dilepaskan perlahan.

***************

“Macam mana mama? Mama setuju?” Soal Qayyim yang sudah awal-awal lagi tunggu di hadapan pintu menunggu kepulangan Datin Kursiah.

“Ayim ni. Tak sabar-sabar. Bagilah mama masuk dalam rumah dulu.” Datin Kursiah mengukirkan senyuman.
Qayyim tersengih. Merah mukanya apabila ditegur oleh Datin Kursiah. Dia cuma risau jika Datin Kursiah menolak permintaannya. Dari tadi dia tidak senang duduk. Sesekali kepalanya dijengukkan memandang ke luar pintu menanti kepulangan Datin Kursiah.

“Patutlah anak mama ni beria-ria sangat nakkan si Qaseh tu. Rupanya cantik.” usik Datin Kursiah sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di atas sofa.

Qayyim berkerut dahinya.

“Qaseh? Siapa Qaseh?” tanya Qayyim. Mama aku ni tersalah orang ke?

Datin Kursiah ketawa kecil.

“Nama perempuan tu punya cantik boleh pula Ayim namakan dia Minah. Mama ingatkan tadi mama tersilap nombor dah. Rupanya nama dia lain, Ayim beritahu mama lain. Pandai ya Ayim reka sendiri.” Mata Datin Kursiah melirik memandang Qayyim sambil bibirnya mengukirkan senyuman.

Qayyim menggarukan keningnya. Aku yang salah rupanya. Qaseh.. Sedap dan sesuai dengan orangnya juga.

“Mana ada Ayim reka. Dia yang beritahu Ayim.” nafi Qayyim tergagap-gagap.

“Yalah tu. Mama terima tapi mama tetap nak beri dia tiga bulan tempoh percubaan.  Kalau dia gagal, mama akan buang dia. Okey?”

Qayyim mengangguk.

“Terima kasih, mama.” Qayyim memusingkan kerusi rodanya mendekati Datin Kursiah. Dia mendekatkan mukanya ke muka Datin Kursiah lalu satu ciuman dihadiahkan di pipi Datin Kursiah.

“Sama-sama. Ayim dah makan ke belum ni?”

“Dah. Tadi Kak Yati buatkan Ayim bubur ayam.”jawab Qayyim sopan.

“Kamu sampai bila nak jadi tuan besar kat dalam rumah ni, Ayim? Bila kamu nak mula kerja?” suara Datuk Qairi mencelah perbualan dua beranak itu. Dia yang baru sahaja pulang dari  kerja berjalan menghampiri Qayyim dan Datin Kursiah.

“Abang, nanti Ayim bersedia Ayim pergi kerjalah. Sekarang ini biarkan dia berehat dulu.”ujar Datin Kursiah. Kasihan dia melihat Qayyim. Setiap kali suaminya dan Qayyim bertemu muka pasti ada sahaja yang dihamburkan oleh Datuk Qairi. Datuk Qairi tidak pernah kisah dengan diri Qayyim.

“Rehat, rehat, rehat. Sampai bila? Sampai syarikat tu bangkrup?” soal Datuk Qairi sinis. Tali leher yang tersemat di lehernya dirungkai kasar. Matanya mencerun kepada Qayyim yang sedang menunduk merenung lantai.

“Mama, papa Ayim masuk bilik dulu.” ujar Qayyim dan berkira-kira mahu menolak kerusi rodanya.

“Duduk situ! Jangan nak cuba mengelak. Aku belum habis cakap.”arah Datuk Qairi kuat menyebabkan Qayyim tidak jadi untuk beredar dari situ.

“Abang, cuba berlembut sikit dengan anak tu. Kasihan Ayim.” Datuk Kursiah menasihati Datuk Qairi. Tangannya mengusap lembut bahu Qayyim agar Qayyim bersabar apabila berhadapan dengan Datuk Qairi yang tidak pernah memikirkan perasaan orang lain.

“Berlembut pun tak guna, Siah. Sampai bila nak terus terperuk dalam rumah ni? Jadi mayat hidup? Sampai bila?” Datuk Qairi terus-terusan mempersoalkannya.

“Papa, maafkan Ayim. Ayim tahu Ayim dah banyak susahkan papa dan mama. Cuma Ayim perlukan masa untuk semua ini. Ayim tak boleh nak berhadapan dengan orang luar lagi. Ayim rasa terhina.” luah Qayyim dengan nada suara perlahan. Hatinya tiba-tiba diundang pilu dan fikirannya terfikirkan tentang orang sekeliling. Sesungguhnya Qayyim takut untuk menghadapi dunia luar. Dunia luar begitu kejam baginya.

“Terhina? Terhina sebab kau cacat? Tak boleh berjalan? Macam tu?”

Qayyim mengangguk.

“Memang pun kau patut rasa terhina. Kau ni jenis yang tak boleh terima kenyataan, tahu tak? Aku tak suka orang yang lemah. Aku paling benci dengan orang yang senang putus harapan macam kau. Hanya kerana keadaan kau seperti ini, kau jatuh. Kau biarkan dunia ketawakan kau. Kau memang lelaki lemah. Lelaki dayus.” Hambur Datuk Qairi melepaskan geramnya. Jari-jarinya ditunjalkan kepada Qayyim yang sedang menunduk merenung lantai.  Langsung tidak mengangkat kepala.

“Abang! Tolong…” rayu Datin Kursiah. Dia hiba melihat Qayyim apabila dihina sebegitu. Hatinya turut berasa kesannya. Datin Kursiah sendiri tidak pernah tahu apa niat sebenar Datuk Qairi berkelakuan kasar terhadap Qayyim. Padahal dulu sebelum Qayyim lumpuh, Qayyimlah yang paling menjadi kebanggaan Datuk Qairi. Kata pujian dan kata manis sering menutur di bibir Datuk Qairi menceritakan kepada sahabat-sahabatnya tentang kehebatan Qayyim. Tapi sekarang itu semua tiada erti lagi. Apa niat Datuk Qairi yang sebetulnya?

“Kau tahu menjerit, menangis dan meraung-raung seperti orang tidak siuman. Kau tak pernah cuba melakukan sesuatu untuk membuktikan bahawa kau masih berkuasa seperti dulu. Aku tak sangka aku akan ada anak yang terlalu menyerah seperti kau.” Datuk Qairi menambah lagi tanpa menghiraukan rayuan Datin Kursiah. Qayyim harus sedar dari lamunan panjang.

“Abang, minum air dulu ya. Pasti abang dahagakan?” Datin Kursiah cuba mengalih perhatian Datuk Qairi. Dia mengambil secawan kopi yang baru sahaja dihidangkan lalu diserahkan kepada suaminya.

“Ayim minta diri.” Qayyim lantas memusingkan kerusi rodanya meninggalkan ibubapanya di situ. Dia tidak mahu terus-terus dihina lagi. Cukuplah. Dia tidak kuat.

“Tengoklah anak awak tu.” Datuk Qairi menggeleng kepalanya. Air kopi dihirup perlahan.

“Sabar abang. Dia perlukan masa untuk terima semua ni. Jangan terlalu pressure dia. Nanti dia bertambah kusut.”

“Biarlah. Saya tahu apa yang saya buat. Awak tak perlu masuk campur.” Datuk Qairi tetap dengan keras kepalanya.

Datin Kursiah hanya mampu melepaskan keluhan. Dia hanya mampu bersabar sahaja dengan sikap Datuk Qairi. Kalau ditegur nanti melenting.

“Esok ada seorang pekerja baru. Dia ditugaskan untuk menjadi pembantu Ayim.”khabar Datin Kursiah apabila fikirannya tiba-tiba teringatkan gadis yang dijumpai petang tadi.

“Siapa?”

“Qaseh Zulaikha.”

“Hmm.” Hanya itu saja yang dibalas oleh Datuk Qairi. Briefcasenya disambar. Kakinya laju memanjat tangga meninggalkan Datin Kursiah berkeseorangan di situ.

“Sabar sajalah dengan suami aku ni.” Datin Kursiah berkata sendiri. Dia turut bangun dan menuju ke dapur.

****************

“Arghh! Aku bukan lelaki lemah! Aku bukan lelaki dayus!” Qayyim menjerit kuat. Barang-barang yang ada di atas meja dibaling. Rambutnya ditarik. Air matanya turut meluru keluar tanpa henti.

Qayyim betul-betul rasa tercabar dengan setiap butir bicara yang dihamburkan oleh papanya tadi. Dia kuat. Dia bukan seperti apa yang dituduh oleh Datuk Qairi tadi.

“Aku kuat. Aku tak lemah. Aku bukan mayat hidup.!”  Jerit Qayyim lagi. Kali ini cermin meja soleknya menjadi mangsa tumbukannya. Cermin kaca pecah berderai. Tangannya juga turut mengalami kecederaan. Darah yang mengalir dibiarkan sahaja.

Harga dirinya dianggap telah diperlekehkan oleh papanya sendiri. Selama ini dia sihat, papanya begitu menyokong dia tetapi apabila dia jatuh sakit, kenapa harus Datuk Qairi merendah-rendahnya seperti itu?

“Aku akan buktikan yang aku bukan seperti tuduhan yang papa lemparkan. Aku akan buktikan.” Qayyim menggenggam tangannya kejap. Air matanya disapu.

Dia akan bangkit dari semua ini. Dia nak membuktikan pada dunia yang dia masih lagi berguna. Dia masih lagi mampu setanding dengan orang lain walaupun dia lumpuh. Qayyim yakin dan pasti. 


 bersambung.... 

ps://terima kasih kerana sudi membaca....mohon titipkan sepatah dua di komen... Terima kasih...