Saya suka awak. Jom Couple!


Fareeq menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia menguis-guis daun pokok rambutan yang gugur di atas tanah dengan kakinya. Dia cuba menyusun ayat untuk memulakan bicara. Gadis yang berada beberapa jarak daripadanya ini garang orangnya. Tapi entah kenapa Fareeq semakin hari semakin ingin mendekati gadis ini.
“Saya suka awak. Sudikah awak menjadi teman wanita saya? Kita couple?” Fareeq mengeluarkan segala kekuatan yang terdapat di dalam dirinya melamar gadis genik yang berada di depannya ini. Sudah lama dia mahu ucapkan kata-kata lamaran itu tapi tidak diberi keberanian lagi. Tapi hari ini sudah terluah segala isi hati yang terbuku di dalam hatinya.
“Hang gila? Hang pernah dengar tak ceramah Ustaz Azhar Idrus?” Wardah Safiyyah melenting. Suka-suka hati tok wan dia saja nak melamar  Wardah Safiyyah menjadi teman wanitanya. Mesti tidak pernah dengan ceramah ini atau membaca buku-buku agama ini.
“Siapa tu?” Fareeq berkerut dahi.
Wardah Safiyyah menepuk dahi. “Takkan tak kenal? Ustaz yang paling diminati sekarang ini tambahan anak-anak muda.”
Fareeq menggeleng laju. Dia betul-betul tidak tahu siapa dia Ustaz Azhar Idrus.
“Lebih baik hang balik dengar semua koleksi ceramah Ustaz Azhar Idrus dulu. Dengar dalam youtube tak pun beli saja CD yang berlambak jual kat pasaran tu. Murah saja. Motosikal Ducati boleh beli takkanlah CD yang RM 5 tu tak boleh beli kot. Selepas khatam semuanya baru hang datang jumpa aku. Tapi ingat selagi hang tak jumpa apa yang aku maksudkan selagi itu jangan datang berjumpa dengan aku. Faham?” Wardah Safiyyah memberi arahan tegas. Ini demi kebaikan juga apabila dia berbuat sedemikian.
“Tapi saya takut awak akan menjadi milik orang lain kalau saya lepaskan awak sekarang ini. Saya suka sangat kat awak. Saya serious. Bukan main-main.” Fareeq bersungguh-sungguh menyatakan hasrat hatinya.
Wardah Safiyyah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Degil lelaki ini. Ketuk kepala baru tahu.
“Suka hati akulah. Hang tu bukan sesiapa lagi pun kat aku. Lagi satu, tujuan aku suruh hang dengar ceramah ustaz Azhar itu sebab aku nak hang faham hukum-hukum bercouple sebelum nikah. Balik dengar elok-elok. Okeylah, aku balik dulu.”
“Habis itu nanti kita nak jumpa macam mana? Saya bukan ada nombor telefon awak pun.” Fareeq cuba mengumpan dengan harapan Wardah akan memberikan nombor telefon bimbitnya.
“Minggu depan hari Sabtu kita jumpa kat sini. Tapi ingat pesan aku, hang jangan tunjuk muka hang kalau hang tak dapat jawapannya. Kalau minggu depan hang tak datang aku anggap kita memang tiada jodoh. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Insyaallah, saya akan datang juga. Awak tunggu saya.” Fareeq menjerit sedikit kuat. Wardah kelihatan laju menyusun langkah meninggalkan Fareeq yang masih lagi terkulat-kulat berdiri disitu.
Fareeq mengeluh hampa. Dia tidak tahu kenapa Wardah Safiyyah begitu dingin dengannya. Tetapi sikap Wardah Safiyyah yang dingin itu membuatkan Fareeq ingin sekali menyelami hati gadis itu. Dia tidak pernah kenal Wardah Safiyyah sebelum ini. Kebetulan sahaja dia terlanggar Wardah Syafiyyah di kedai buku suatu ketika dahulu.
Fareeq dengan senang hati memperkenalkan dirinya namun Wardah Safiyyah buat endah tak endah saja. Sejak pertama kali pandang Wardah  Safiyyah naluri Fareeq begitu kuat hendak berkenalan dengan gadis itu. Setiap hari dia akan menjadi pengunjung setia kedai buku itu kerana dia mahu memikat Wardah Syafiyyah. Bukannya dia tidak meminta nombor telefon atau alamat Wardah Safiyyah tapi Wardah Safiyyah enggan memberikannya sehinggalah suatu hari Fareeq diam-diam mengikuti jejak Wardah Syafiyyah sampai ke rumahnya. Sejak dari itu, Fareeq akan mencari peluang untuk berjumpa dengan Wardah Syafiyyah.
“Wardah suruh aku balik dengar ceramah Ustaz Azhar Idrus. Aku pernah dengar nama ustaz itu tapi aku tak pernah tahu pun siapa dia. Kena balik survey jugalah ni.” Fareeq berkata sendiri. Dia menghidupkan enjin motosikal Ducatinya lalu meluncur meninggalkan sungai yang mengalir deras itu.
-----------------

Fareeq membuka komputer ribanya. Dia membuka laman web Youtube lalu menaip Ustaz Azhar Idrus. Kerjanya yang bertimbun di atas meja ditolak tepi. Dia tiada mood untuk menyiapkan lagi kerjanya itu selagi dia tidak menunaikan amanat daripada Wardah itu.
Satu-persatu video ceramah Ustaz Azhar Idrus Fareeq dengar. Dia sudah seperti orang gila kerana tidak henti-henti ketawa mendengar ceramah yang turut diselitkan dengan lawak jenaka itu. Tapi Fareeq masih lagi kurang faham dengan bahasa Terengganu yang digunakan oleh ustaz Azhar Idrus. Namun setakat ini dia masih lagi mengerti isipati yang disampaikan.
Pintu diketuk dari luar. Terjengul wajah Farish sahabat baiknya dari zaman persekolahan lagi. Fareeq tidak mengendahkannya. Dia masih lagi khusyuk menghayati setiap butir bicara yang diungkapkan oleh Ustaz yang mempunyai janggut yang comel itu.
“Reeq, aku tengok kau dari luar asyik gelak saja. Kau tengok cerita apa tu?” Farish memulakan bicara. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di hadapan Fareeq yang tersenyum-senyum seorang diri itu.
Fareeq diam membiarkan soalan Farish sepi tiada jawapan. Farish menggelengkan kepalanya. Sudah tak betul agaknya kawan baiknya ini. Farish bangun lalu menghampiri Fareeq. Berkerut-kerut dahinya melihat video yang terpapar didalam komputer riba milik Fareeq itu.
Farish pelik dengan sahabat baiknya ini. Tak pernah-pernah tengok Fareeq dengar ceramah tambahan pula ceramah dalam youtube. Selalunya bila Farish ajak pergi dengar ceramah kat masjid atau surau memang Fareeqlah orang yang paling liat sekali.
“Reeq, kau demam ke? Eh, tak panas pun.” Tangan Farish melekap pada dahi milik Fareeq. Fareeq menepis kasar. Dia menekan butang Pause kemudian memandang wajah sahabatnya sambil senyuman tipis terukir dibibir.
“Perli nampak. Aku nak berubah. Tak salahkan?” Jari Fareeq mengetuk meja. Badannya disandar ke belakang kerusi. Farish kembali duduk ditempatnya.
“Memanglah tak salah cuma aku pelik. Tiba-tiba saja. Cuba kau terangkan kat aku.”
“Aku sebenarnya ada terjumpa dengan seorang perempuan ni. Cantik sangat. Macam bidadari. Memang perfectlah. Aku ada melamar dia tapi dia suruh aku balik tengok ceramah Ustaz Azhar Idrus. Jadi aku pun balik bukalah.” Terang Fareeq Muaz satu pun tidak tertinggal.
Farish mengerutkan dahinya. “ Kenapa dia suruh kau balik dengar ceramah UAI ? Pelik aku.”
“Itulah aku tak tahulah kenapa. Dia suruh aku khatamkan dulu semua ceramah UAI ni dan aku akan temui jawapannya.”
Farish mengulum bibirnya. Seperti sedang memikirkan sesuatu. Beberapa saat, Farish tersenyum.
“Macam mana kau lamar dia?”
“Aku kata macam ni. ‘Saya suka awak. Sudikah awak menjadi teman wanita saya? Kita couple?’ lebih kurang macam itulah. Kenapa?” Fareeq Muaz seperti tidak sabar hendak mengetahuinya. Farish adalah sahabatnya yang bijak dalam menyelesaikan masalah.
“Perempuan tu macam mana? Maksud aku  dia punya penampilan. Cuba terangkan kat aku.”
“Pakai tudung labuh menutupi dadanya. Baju pula dia pakai baju kurung.”
“Patutlah dia suruh kau balik dengar dulu ceramah UAI. Cara kau melamar perempuan tu salah. Perempuan kat luar sana bolehlah kau lamar nak jadi teman wanita segala tapi perempuan macam dia tu takkan mahu terima punya lamaran kau tu.  Nak tahu kenapa?”
Laju sahaja Fareeq Muaz mengangguk. Dia tidak faham apa yang cuba dikatakan oleh Farish. Dia menanti butir bicara seterusnya daripada Farish.
“Kau cuba taip Hukum bercinta sebelum kahwin- Ustaz Azhar Idrus. Cuba dengar baik-baik.”
Fareeq Muaz lantas sahaja menaip. Mereka berdua khusyuk mendengar ceramah tersebut. Berkerut-kerut dahi Fareeq Muaz cuba memahami bahasa Terengganu yang diperdengar kepadanya itu. Farish pula sudah biasa mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus. Semuanya sudah habis dikhatamnya.
“Faham?”tanya Farish sebaik sahaja ceramah itu habis.
Fareeq Muaz tersenyum paksa. Dia salah dalam melamar Wardah. Patutlah gadis itu melenting. Ustaz Azhar kata haram melamar wanita tanpa niat menikahinya. Lagi satu ustaz Azhar kata hukumnya haram couple sebelum nikah.
“Hari ini baru aku tahu hukumnya. Terima kasih Rish sebab bantu aku. Banyak lagi benda yang aku kena belajar. Aku sudah tersimpang terlalu jauh dari landasan syariat yang diperintahkan oleh Allah.” Fareeq Muaz membuat pengakuan ikhlas.
“Apa gunanya sahabat kalau tak saling bantu-membantu? Selepas aku dengar ceramah Ustaz Azhar ni dulu aku cuba mempraktikkan dalam kehidupan aku. Sebab itulah, bila ayah dan mak aku nak carikan jodoh aku terima saja. Ternyata bercinta selepas kahwin memang seronok. Serious aku cakap.”
“Jadi menurut kau apa yang patut aku buat? Aku betul-betul nakkan si Wardah tu. Kali ini aku bukan mahu dia jadi teman wanita aku tapi aku nak dia jadi pendamping hidup aku hingga ke syurga.” Fareeq Muaz mengigit bibirnya.
“Kau betul-betul serius nak kahwin ni? Kau rasa kau boleh buang tabiat buruk kau tu nanti?” Farish bertanya. Dia kenal Fareeq Muaz sejak dari kecil lagi. Dia sudah masak dengan Fareeq Muaz yang suka buat keputusan terburu-buru itu. Kalau itu yang dia nak, tiada siapa boleh bantah lagi.
“Insyaallah. Aku akan cuba ubah perangai buruk aku ni. Aku nak buat apa sekarang ni?” Fareeq Muaz berjanji.
“Kau ajak family kau pergi masuk meminang gadis tu. Tak pun nikah jer terus. Terpulang kat kaulah.”
“Kalau dia tak terima aku macam mana? Aku pun tak tahu lagi latarbelakang Wardah. Kena dibuatnya Wardah itu dah berlaki, mampus aku.” Fareeq menyuarakan kebimbangannya. Dia tidak pernah kenal langsung siapa itu Wardah Syafiyyah.
Farish tergelak kecil. Dia bagaikan tidak percaya yang Fareeq Muaz begitu serius untuk memikat Wardah. Sebelum ini Fareeq Muaz tidak pernah setia dengan seorang perempuan. Berderet sahaja wanita yang dijadikan temannya bersuka ria.
“Sewaktu kau melamar dia tu dia ada kata apa-apa tak?”
“Dia suruh aku balik dengar ceramah UAI lepas itu dia suruh aku jumpa dia kat sungai tu hari sabtu minggu depan. Dia kata jangan jumpa dia selagi aku tak temui jawapannya. Tapi sekarang aku dah tahu kenapa dia suruh aku balik dengar ceramah UAI ni. Jadi apa yang perlu aku buat?” Fareeq Muaz menggosokkan kepalanya. Rambutnya yang disikat rapi itu sudah serabut.
“Bagi aku, kau tunggulah sehingga hari Sabtu ni. Kau jangan takut sebab kau dah tahu jawapannya.”
Fareeq Muaz bermain dengan pen diatas meja kerjanya. Matanya memandang wajah Farish yang tenang itu.
“Kau ikut aku nak? Aku takut.” Fareeq Muaz berkerut mukanya.
Membulat mata Farish mendengar permintaan daripada Fareeq Muaz itu. “Kau tak takut aku kacau line ke?” tanya Farish sambil menjongketkan keningnya.
Fareeq Muaz membaling pen kepada Farish. “Dah ada bini pun gatal lagi ke? Aku beritahu Lina nahas kau.”
“Okeylah, aku teman kau. Teringin juga aku nak tengok wanita yang berjaya membuka hati kau yang dah lama tertutup tu. Mesti cantikkan sebab kau tak pernah kalah dalam memilih perempuan ni. Semua cun-cun.” Farish mengusik Fareeq Muaz.
“Aku pun tak tahu kenapa aku boleh terpikat kat si Wardah Safiyyah tu. Sejak pertama kali aku pandang dia aku yakin dia wanita yang layak bertakhta dalam hati aku. Aku harap hubungan kami akan dapat diikat dalam satu ikatan yang sah.” Fareeq Muaz tersenyum manis. Terbayang wajah garang tanpa senyuman milik Wardah Safiyyah dilayar fikirannya.
“Cis, tak payah berjiwang sangat kau Reeq. Aku minta diri dulu. Banyak lagi kerja yang perlu aku siapkan.” Farish bangun dari kerusi menuju ke pintu.
“Yang kau datang sini siapa suruh? Aku tak suruh pun kan? Jadi jangan nak salahkan aku kalau kerja kau tak siap.”
“Akukan kawan yang prihatin. Aku cuma buat pemeriksaan saja kut-kut ada orang yang kena masuk hospital gila tak lama lagi. Itu yang aku datang tu.” Farish memerli Fareeq Muaz.
“Aku tumbuk kang.”
Farish hilang dari pandangan mata Fareeq Muaz. Fareeq Muaz kembali menekan butang Play untuk mendengar lagi koleksi ceramah tersebut.
----------------------
Hari yang dinanti-nantikan telah tiba. Seperti yang dijanjikan Fareeq Muaz dan Wardah Safiyyah akan berjumpa di tepi sungai yang terdapat di kampung Wardah Safiyyah. Fareeq Muaz ditemani oleh Farish manakala Wardah Safiyyah pula ditemani oleh adiknya Hanis.
“Dah tahu jawapannya?” Wardah memulakan bicaranya. Dia tidak sedikit pun memandang muka Fareeq Muaz yang duduk berjarak dengannya itu.
“Saya…”
“Nanti dulu.” Wardah mencelah belum sempat Fareeq Muaz menjawab soalannya. “Mesti hang dah ada jawapannya kan sebab tu hang datang. Jadi hang dah faham maksud aku?”
Fareeq Muaz mengangguk laju. Dia mengerling sekilas muka Wardah yang dipalingkan daripada memandangnya. Gadis ini betul-betul menjaga pandangannya. 
“Dah. Sebab itulah saya datang hari ini. Kalau macam itu saya nak masuk meminang awak. Itu pun kalau awak sudi.” Fareeq Muaz memberanikan diri melamar Wardah sekali lagi. Dia berharap Wardah akan memberikan jawapannya.
“Aku tak ada hak untuk berikan jawapan. Aku masih lagi dibawah tanggungjawab umi dan walid aku. Kalau hang betul serius pandai-pandai hanglah fikirkannya. Aku balik dulu.”
“Tapi…” Wardah Safiyyah menghentikan langkahnya.
“Tapi-tapi. Tapi naik kereta apilah.” Wardah Safiyyah berseloroh tapi masih lagi bersuara serius.
Fareeq Muaz tersenyum. “ Insyaallah, kalau tak ada apa-apa lusa saya datang bawa rombongan meminang. Saya harap awak terimalah.” Fareeq Muaz memberi kata putus.
Wardah Safiyyah turut mengukirkan senyuman tapi disembunyikan. Dia masih lagi menayangkan wajah serius dan berlagak garang itu.
“Keputusan terletak ditangan ummi dan walid aku. Terserah kat depalah nak terima ke tidak. Kalau terima memang jodoh kita, kalau tak terima kita memang tiada jodoh. Ada apa lagi nak tanya?”
“Ada. Sebelum saya bawa rombongan merisik boleh saya berjumpa dengan keluarga awak dulu?”
Wardah Safiyyah mengangguk. “ Okey. Hang tau kan rumah aku? Jadi hang boleh pergi bila-bila hang nak.”
“Terima kasih awak.” Fareeq tersenyum lebar.
-----------------
Fareeq Muaz menghentikan keretanya dihadapan rumah Wardah Safiyyah. Farish disebelahnya hanya diam membisu. Mungkin letih agaknya kerana terpaksa menemani Fareeq Muaz sepanjang hari.
“Assalamualaikum!” Fareeq Muaz memberi salam.
Pintu dibuka. Terjengul seorang lelaki yang sudah separuh abad usianya itu dan mungkin ini adalah bapa Wardah Safiyyah.
“Waalaikumussalam. Ya, nak? Hang cari sapa?”tanya lelaki itu ramah.
Fareeq Muaz dan Farish bersalaman dengan lelaki tua itu sopan.
“Saya Fareeq Muaz dan ini pula kawan saya Farish. Tujuan saya datang sini sebab nak berjumpa dengan ummi dan walid Wardah.”
“Pakciklah walid Wardah. Jemput masuk dulu, nak. Kat luar tu panas. Cuaca tak menentu sekarang ni.”
Selepas duduk, Fareeq Muaz memerhati sekeliling. Tiada sesiapun kelihatan selain daripada walid Wardah.
“Kawan Wardah ke ni? Dia tak ada kat rumah sekarang ni. Katanya nak pergi ke bandar sekejap nak beli barang sikit. Tak tahulah baliknya bila.”beritahu Pak Kassim tanpa disuruh pun.
Fareeq Muaz tersenyum.  Dia menarik nafas dalam. Dadanya sudah berombak kencang.
“ Sebenarnya saya datang sini sebab nak melamar Wardah untuk dijadikan isteri saya. Kalau pakcik setuju, lusa saya nak bawa rombongan meminang.” Fareeq Muaz cuba menyusun ayat. Dia tidak mahu kelihatan gugup atau gentar melamar Wardah.
Pak Kassim tersenyum. Dia menepuk-nepuk bahu Fareeq Muaz beberapa kali.
“Syabas! Siapa nama tadi?”
“Fareeq Muaz. Panggil Fareeq saja.”jawab Fareeq Muaz.
“Fareeqlah orang pertama yang datang merisik Wardah. Sebelum ini tiada siapa lelaki yang berani mendekati Wardah kerana sikapnya yang garang itu. Sebenarnya sikapnya sangat lembut cuma dia tidak suka melembutkan dirinya di depan bukan mahramnya.”
Fareeq Muaz menarik nafas lega. Dia sudah terlepas daripada seksaan untuk melamar Wardah. Dia bersyukur walid Wardah turut menerima kedatangan mereka dengan baik sekali.
“Pak cik tak boleh beri jawapannya sebab pakcik perlu bertanya kepada empunya diri dulu. Kalau dia setuju pakcik lagilah setuju. Pak cik ni dalam lama nak menantu tapi tak ada rezeki lagi.”Pak Kassim merungut.
“Insyaallah pak cik.”
“Kalau macam itu 2 hari lagi kamu datang. Insyaallah akan ada jawapannya. Jangan risau, Pak cik yakin Wardah akan menerima kamu. Dari sikap kamu yang berterus-terang ini membuktikan yang kamu memang ikhlas untuk membina perhubungan ini. Pak cik sokong kamu.” Pak Kassim tersenyum lebar.
Fareeq Muaz memandang Farish disebelahnya sambil mengenyitkan matanya. Betapa bahagia dirinya apabila walid Wardah Safiyyah berkata sedemikian rupa.
“Harap macam itulah pak cik. Kalau macam itu saya minta diri dulu. Insyaallah dalam 2 hari lagi saya akan datang semula. Terima kasih pakcik kerana memberi peluang untuk saya menjadi sebahagian daripada keluarga pakcik.”
“Sama-sama. Pakcik tunggu kedatangan kamu.”
Selepas mengucap selamat tinggal kereta BMW milik Fareeq Muaz itu meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah Wardah Safiyyah.
------------------------
“Mama,   Muaz ada something nak beritahu kat mama ni. Mama busy tak sekarang?” ujar Fareeq Muaz sambil melabuhkan punggung disebelah Datin Farah yang sedang membaca majalah itu.
“Nak beritahu apa ni? Mama tak busy hari ini sayang oi. Cakaplah.” Datin Farah menutup majalah lalu diletakkan di atas meja ditepinya.
“Sebenarnya Muaz nak ajak mama pergi merisik dan meminang seseorang lusa ni. Itupun kalau mama tak busylah. Kalau mama busy Muaz boleh minta mak ngah tolong wakilkan mama.” Fareeq Muaz menundukkan kepalanya. Dia akur dengan kesibukan Datin Farah memandangkan syarikat peninggalan arwah papanya sedang mengalami masalah sekarang.
Datin Farah membetulkan duduknya. “Betul ni? Siapa perempuan bertuah yang dapat buat anak mama ini terpikat ni?  Sarah ke?”
Fareeq menggeleng. “Bukan. Sarah tu kawan Muaz aje. Nama gadis tu Nurul Wardah Safiyyah.  Cantik orangnya mama. Bertudung lagi.” Puji Fareeq Muaz menyakinkan mamanya.
“Cantik namanya. Mesti orangnya secantik namanya. Bila nak pergi merisik?”
“Lusa. Hari Isnin.”jawab Fareeq Muaz.
“Hari Isnin ni mama kena melawat tapak projek. Tapi tak apalah. Demi anak mama yang tersayang ini mama sanggup batalkan. Mama tak nak orang lain yang pergi merisik bakal isteri Muaz. Biarlah rugi sedikit asalkan anak mama bahagia.” Datin Farah tersenyum lebar. Bahagia dia apabila anaknya sudah mula memikirkan untuk berkahwin juga akhirnya.
Fareeq Muaz tersenyum lebar. “ Terima kasih mama. Muaz sayang mama sangat-sangat.” Fareeq Muaz mencium pipi Datin Farah.
“Habis itu Sarah Muaz campak mana? Dulu bukan main rapat lagi Muaz dengan dia. Mama ingat Sarahlah bakal menantu mama. Alih-alih tengok orang lain pulak.”
“Memanglah kami rapat tapi kami Cuma BFF aje. Tak lebih daripada tu. Tapi mama mahu ke Sarah tu jadi menantu mama?” Fareeq Muaz tersenyum nakal.
Laju sahaja Datin Farah menggeleng. “ Kalau bolehlah taknaklah. Mama nak yang sopan, baik, rajin yang paling penting boleh jaga Muaz. Kalau si Sarah tu nak jaga diri sendiri pun tak lepas ini pula nak menjaga Muaz. Meranalah anak mama ni nanti.”
Fareeq Muaz tergelak kecil.
“Boleh mama tahu macam mana Muaz boleh kenal dengan Wardah?”
Fareeq Muaz membuka cerita bagaimana bermula perkenalannya dengan Wardah. Satu persatu diceritakan, tiada satu pun yang tertinggal.
“Jadi Muaz tak pernah bercinta?”
“Tak. Muaz cuma kenal macam itu saja.”
“Muaz yakin boleh bahagia?”
“Insyaallah. Muaz yakin Muaz boleh bahagia dengan Wardah.”
Datin Farah tersenyum. “ Mama pun yakin Muaz akan bahagia. Mama dengan papa dulu pun bercinta selepas kahwin juga. Mama bahagia hidup dengan papa sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir. Tiada pengganti untuk arwah papa.”
“Sebab tu mama tak kahwin lagi?” Fareeq Muaz sengaja mengusik mamanya.
“Kenapa? Nak suruh mama kahwin ke? Nanti tak pasal-pasal dapat adik baru. Nak ke?”Datin Farah berseloroh.
“Mama ni. Tak mahu adik. Tapi nak anak.”
“Kahwin pun belum dah gatal nak anak. Dah sarapan ke belum ni?” Datin Farah mengubah topik.
“Belum. Jom teman Muaz makan.” Fareeq Muaz mengangkat punggungnya lalu menghulurkan tangannya untuk mamanya memaut tangannya.
“Jom.”
---------------
Hari yang dinanti-nantikan oleh Fareeq Muaz telah pun tiba. Fareeq Muaz turut mengikuti rombongan itu cuma dia tidak masuk sahaja ke rumah Wardah. Dia hanya menunggu dalam kereta.
“Kedatangan kami ini bertujuan untuk memetik bunga yang berada dalam rumah ini untuk anak saudara saya iaitu Muhammad Fareeq Muaz bin Farhan. Saya ingin bertanya adakah bunga tersebut sudah berpunya atau belum?”ucap Halim yang merupakan adik kepada Datin Farah.
Kedengaran bunyi riuh menyambut kata-kata daripada keluarga sebelah lelaki.
“Dalam rumah kami ini bunganya ada empat kuntum. Jadi yang mana satu menjadi pilihannya?” Pak Kassim membalas.
“Menurut kata si teruna namanya Nurul Wardah Safiyyah.”Halim pula membalas dengan penuh gaya.
Pak Kassim tersenyum. “Setakat ini bunga yang dimaksudkan itu masih belum berpunya. Tapi apa-apa keputusannya berada ditangannya. Kalau si empunya diri setuju, kami dari pihaknya juga bersetuju.”
Terdengar gelak ketawa daripada semua tetamu yang hadir. Wardah yang cantik berbaju kurung berwarna putih keluar dari bilik selepas umminya memanggilnya keluar. Terkesima seketika Datin Farah melihat bakal menantunya ini. Cantik.
“Fareeq Muaz nak melamar Wardah untuk jadi isteri dia. Wardah setuju tak?”Pak Kassim memberitahu anak perempuan sulungnya itu.
Wardah menunduk. Sesaat kemudian dia bersuara.
“Bismillahirahmanirahim. Saya menerima lamaran tersebut.”
Ucapan syukur menghiasi mulut semua tetamu yang hadir. Pak Kassim kelihatan gembira sekali mendengar pengakuan itu. Datin Farah mendekati Wardah yang sedang duduk bersimpuh. Dia mencapai tangan Wardah Safiyyah lembut lalu menyarungkan cincin yang bertakhtakan berlian  ke jari manis milik Wardah Safiyyah. Sejurus kemudian, Datin Farah mengucup pipi Wardah Safiyyah.
“Terima kasih Wardah kerana terima Fareeq.”ucap Datin Farah perlahan selepas mengucup pipi Wardah Safiyyah.
Wardah Safiyyah mengukirkan senyuman. Dia mencium tangan bakal ibu mertuanya.
“Saya percaya dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Fareeq. Saya tahu dia mampu bahagiakan saya. Terima kasih juga kerana sudi terima Wardah menjadi sebahagian daripada keluarga Datin.”lembut bicara Wardah Safiyyah membalas.
“Jangan panggil Datin. Panggil mama. Lagipun lebih kurang dua minggu saja lagi Wardah dan Fareeq akan diijabkabulkan. Tak perlu malu-malu dengan mama.”
“Insyaallah.”
---------------------------------------
Suasana rumah Wardah Safiyyah menjadi tegang ketika kedatangan Fareeq Muaz. Lelaki itu telah menggoyahkan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Wardah,  Pakcik, Makcik tolong dengar penjelasan saya dulu. Saya berani bersumpah saya tidak lakukan perkara terkutuk itu. Saya masih lagi ada pegangan agama yang dijadikan sebagai panduan hidup. Percayalah.” Fareeq Muaz merayu. Dia betul-betul menyesal dengan apa yang terjadi.
“Bukti apa lagi yang hang boleh tunjukkan kat kami? Dah terang-terang hang berdua-duaan dengan perempuan dalam rumah hang. Hang jangan kami bodoh.”tengking Pak Kassim marah.
Fareeq Muaz memandang wajah Wardah Safiyyah. Dia berharap agar tunangnya itu mempercayai segala penjelasan yang diberikan.  Wardah Saffiyah tunduk sambil mengesat air mata yang gugur.
“Saya memang tak ada buat apa-apa dengan Sarah. Dia perangkap saya. Dia tidak suka melihat saya menjadi milik orang lain. Tolonglah, percayakan saya. Wardah, tolong percaya cakap Reeq. Reeq memang tak buat perkara yang macam tu. Reeq takkan sesekali menduakan Wardah. Please….” Fareeq Muaz bersungguh-sungguh mengatakan kebenaran dengan harapan mereka akan mempercayai cakapnya.
“Baik hang balik sebelum aku naik angin. Balik!”jerkah Pak Kassim.
Fareeq bangun dari duduknya. “Bismillahirahmanirahim, dengan nama ALLAH saya bersumpah…”
“Jangan…nanti takut termakan sumpah sendiri.” Wardah mencelah.
“Reeq sanggup termakan sumpah daripada Wardah dan orang lain tak percayakan Reeq. Reeq tak buat semua itu. Jadi Reeq tak perlu takut jika termakan sumpah sendiri pun.”
“Tak perlu bersumpah-sumpah. Hang pergi balik. Aku tak mahu tengok muka hang lagi. Hang sanggup mempermainkan hati anak aku. Dulu aku ingat hang lelaki yang baik tapi hang lelaki tak guna. Hang berzina dengan perempuan lain. Aku nak pertunangan ini putus. Balik! Sebelum aku tembak hang.”ugut Pak Kassim dalam keadaan marah.
Fareeq Muaz tersentak. Dia mendekati Pak Kassim lalu mencapai tangan Pak Kassim. Pak Kassim cuba menarik namun dipegang kuat oleh Fareeq Muaz.
“Maafkan saya pakcik kerana telah lukakan hati pakcik sekeluarga terutamanya Wardah. Kalau itulah keputusan pakcik saya terima. Saya rela melepaskan hubungan ini jika itu akan membuatkan pakcik tidak akan membenci saya.” Fareeq Muaz mencium tangan Pak Kassim. Air mata jantannya mengalir laju.
Wardah terkedu. Dia memandang wajah Fareeq Muaz. Cuba meminta penjelasan daripada lelaki yang sepatutnya menjadi suaminya dalam masa seminggu sahaja lagi.
“Maafkan Reeq. Reeq dah lukakan hati Wardah. Terima kasih sebab sudi terima Reeq jadi tunang Wardah walaupun seketika. Reeq doakan Wardah akan terima lelaki yang lebih baik lagi. Reeq bukanlah lelaki yang layak untuk berkongsi tulang rusuk dengan Wardah. Reeq minta diri dulu.”
Fareeq Muaz laju melangkah keluar dari rumah bekas tunangnya itu. Dia sudah tidak mampu menahan sebak melihat muka Wardah yang kelihatan kesal dengan keputusannya. Itu adalah yang terbaik untuk masa sekarang. Biarlah dia merana asalkan dia tidak melukai hati Wardah.
---------------------
Sudah hampir 6 bulan Fareeq Muaz begini. Badannya yang dulu agak berisi sudah kurus kering, janggutnya yang dulu sentiasa dikemas dibiarkan berserabut tidak terurus, rambutnya yang dulu diminyak dan disikat kemas dibiarkan panjang dan kerjanya dipejabat dibiarkan tidak selesai.
Sejak putus tunang dulu, Fareeq Muaz sudah banyak berubah. Hari-hari kerjanya asyik termenung tidak kira dimana sahaja. Dia meja makan, di dalam pejabat, dalam bilik dan kadang-kadang di dalam kereta. Dia tidak dapat menerima kenyataan yang dia kehilangan orang yang berjaya membukakan pintu hatinya yang selama ini tertutup rapat. Datin Farah sudah kehilangan ikthtiar untuk mengubati Fareeq Muaz.
“Muaz, mama ada surprise untuk Muaz. Muaz nak tengok tak?” Datin Farah tersenyum.
Fareeq Muaz tidak menjawab pertanyaan mamanya. Dia hanya membisu dan lebih suka melayan perasaan.  Datin Farah mengeluh.
“Reeq…”panggil satu suara dan Fareeq Muaz sangat kenal suara itu. Fareeq Muaz lantas menoleh kebelakang untuk melihat pemilik suara itu.
Wardah Safiyyah sedang tersenyum kepadanya. “Wardah datang ni.”
“Wardah! Reeq tak salah. Reeq terperangkap dulu. Reeq tak buat benda yang terkutuk tu. Wardah percayakan Reeqkan?”Fareeq Muaz meronta memberitahu segalanya tanpa disuruh. Sungguh dia gembira melihat wajah dihadapannya ini.
“Wardah tahu. Wardah dah tahu segalanya dah. Kenapa Reeq seksa diri Reeq sampai macam ini sekali? Reeq memang suka buat Wardah susah hatikan?” Wardah Safiyyah hampir sahaja menitiskan airmatanya melihat keadaan Fareeq Muaz namun cepat diseka olehnya.
“Reeq minta maaf. Reeq yang pilih jadi macam ini. Jadi Wardah tak perlu risau.”
“Wardah nak tengok Reeq kembali macam dulu semula. Tolonglah, jangan buat macam ni lagi.”Wardah Safiyyah seolah-olah merayu.
“Jadi Wardah dapat terima Reeq semulakan?”
Wardah Safiyyah mengangguk. “ Reeq jangan lupa yang Wardah tak pernah pun menolak Reeq tapi Reeq yang menyetujui untuk memutuskan pertunangan itu.”
“ Reeq silap dulu. Maafkan Reeq. Tapi macam mana Wardah boleh tahu kebenaran daripada kes yang Reeq kena tangkap khalwat tu dulu?”
“Sarah sendiri yang ceritakan kat Wardah. Dia tidak sanggup tengok Reeq menderita sampai macam ini sekali. Tapi apa yang perlu Reeq tahu, Wardah memang tak pernah percaya Reeq sanggup buat benda terkutuk itu. Wardah yakin Reeq masih lagi diberikan akal dan fikiran untuk berfikiran benda yang baik dan buruknya.”jelas Wardah Safiyyah.
Fareeq Muaz tersenyum. Dia menarik nafas lega kerana Allah masih lagi memberinya peluang untuk hidup dengan wanitan yang dicintainya.
“Ehem, kut yer pun nak bermesra janganlah bermesra depan mama ni. Jealous tau mama tengok.” Datin Farah mencelah. Wardah dan Fareeq Muaz tersipu malu mendengar usikan daripad mamanya itu.
----------------------------
Fareeq Muaz membelek minyak rambut di pasaraya Tesco Alma itu. Dia datang seorang diri. Nak ajakkan siapa lagi. Mamanya sibuk dengan persatuannya, Farish pula terpaksa balik ke kampung, dan Wardah Safiyyah pula katanya ada hal. Jadi terpaksalah datang seorang diri.
“Ops! Sorrylah encik. Saya tak sengaja.”pinta seorang lelaki yang melanggar Fareeq Muaz.
“Eh, tak apa. Biasalah hujung-hujung minggu macam ini orang ramai nak membeli pun susah.”balas Fareeq Muaz mesra.
“Abang! Syampu inilah yang Fiya cari tu.”muncul suara perempuan mendekati lelaki itu.
Terkedu Fareeq Muaz melihat gerangan yang bersuara tadi. Pada masa yang sama, mata perempuan itu turut menatap tepat ke anak mata Fareeq Muaz. Masing-masing terkedu.
“Wardah, buat apa kat sini? Siapa ni?”tanya Fareeq Muaz.
“Reeq, ini kenalkan Adam Hakimi. Bakal suami saya.” Wardah Safiyyah memperkenalkan lelaki disebelahnya itu kepada Fareeq Muaz.
Fareeq Muaz terkejut beruklah. Masakan tidak tiba-tiba sahaja memperkenalkan orang lain kepadanya. Bakal suami pula itu. Habis itu kenapa dulu dia beria-ria sangat nak bantu sembuhkan aku? Atau dia bantu sembuhkan aku hanya untuk aku tengok dia berkahwin dengan orang lain? Fareeq Muaz membuat andaian sendiri.
“Awak buat lawakkan?  Memang tersangat lawak.” Fareeq Muaz ketawa dibuat-buat bagi menghilangkan rasa gentar didalam hatinya.
Wardah menggeleng. “ Saya tak buat lawak. Ini bakal suami saya. Abang, kenalkan ini Fareeq Muaz. Kawan Fiya.”
Adam Hakimi menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Fareeq Muaz yang sudah kelihatan cuak itu. Huluran tangan itu disambut lemah oleh Fareeq Muaz. Masakan tidak, kekasih hati bakal jadi milik orang tak lama lagi.
“Jemputlah datang ke majlis perkahwinan kami hari ahad minggu hadapan. Jangan lupa datang pula. Kesian kat Wardah nanti kalau Reeq tak datang.” Adam Hakimi menjemput Fareeq Muaz. Makin berbaralah hatinya apabila mendengar jemputan tersebut. Terasa dirinya seolah-olah dipermainkan oleh Wardah.
“Insyaallah. Saya minta diri dulu.”
Fareeq Muaz melangkah dengan penuh rasa kecewa dihatinya. Hancur lebur hatinya bagaikan dibom. Wardah Safiyyah sanggup membuatnya begitu. Kejamnya.
-------------------
“Muaz, kenapa tak siap lagi ni? Nanti lambat pula sampai kat rumah Wardah tu.” Datin Farah menegur anaknya yang termenung di atas sofa sambil menonton televisyen.
“Muaz tak nak pergilah. Buat sakit hati saja. Wardah dan laki dia syok saja bersanding Muaz ni juga yang merana. Lebih baik tak payah pergi langsung.”bentak Fareeq Muaz.
Datin Farah tersenyum. Siapa yang tak kecewa bila orang yang dicintai bakal menjadi milik orang lain? Datin Farah melabuhkan punggungnya disebelah Fareeq Muaz.
“Muaz tak ingat pesanan daripada Wardah ke? Dia ada beritahu Muazkan kalau Muaz tak datang jangan harap lepas ini Muaz akan dapat berjumpa dengan dia lagikan walaupun hanya sebagai seorang kawan. Muaz nak ke macam tu?” Datin Farah membuatkan Fareeq Muaz serba salah.
“Tapi Muaz tak sanggup nak tengok Wardah jadi milik orang lain. Kenapalah Wardah pilih lelaki tu? Kalau nak katakan handsome, Muaz rasa Muaz lagi handsome. Tapi lelaki itu juga jadi pilihannya. Sedih tau mama.”
“Nak pergi ke tidak ni? Muaz tak kasihan ke Wardah nanti kalau Muaz tak pergi?”
Fareeq Muaz menguakkan rambutnya beberapa kali.
“Iyalah. Muaz pergi.” Fareeq Muaz memberi kata putus.
“Pakai baju yang mama sediakan di atas katil tu.”jerit Datin Farah terhadap anaknya yang sudah memanjat tangga untuk bersiap.
-----------------------
“Assalamualaikum…”ucap Datin Farah dari luar rumah Wardah. Ramai tetamu yang sudah mula membanjiri majlis akad nikah seterusnya majlis resepsi keluarga penganti perempuan.
“Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Pengantin lelaki dah sampai.”Pak Kassim menjawab.
“Muaz, cepatlah masuk. Orang semua tengah menunggu tu.”gesa Datin Farah.
Terpinga-pinga Fareeq Muaz masuk ke dalam rumah. Semua mata memerhati ke arahnya. Fareeq Muaz semakin pelik. Macam akulah pengantin yang semua nak pandang aku ni. Huh! Fareeq Muaz memandang ke arah hadapan tok kadi. Masih kosong. Pengantin lelaki belum sampai agaknya.  Fareeq Muaz membuat andaian sendiri. Dia duduk bersila disebelah tetamu lelaki yang lain.
Datin Farah menepuk dahi. “Muaz, bukan duduk kat situ. Muaz kena duduk depan tok kadi tu.”bisik Datin Farah.
Fareeq Muaz berkerut muka. “Kenapa pula? Bukan Muaz yang nak kahwin dengan Wardah pun. Pandai-pandai sajalah mama ni.”
“Eh, Fareeq yang hang duduk kat situ kenapa? Mailah duduk depan tok kadi ni. Kita dah nak mula ni.” Pak Kassim menyampuk.
Fareeq Muaz menggaru kepalanya. Tidak faham dengan semua ini. Dia memandang wajah Datin Farah cuba meminta penjelasan. Datin Farah mengangguk.
“Tapi setahu saya pengantin lelaki bukan saya tapi Adam Hakimi. Kenapa pula saya yang kena duduk depan tok kadi?” kata Fareeq Muaz kepada Pak Kassim dan kata-kata itu didengari oleh semua tetamu yang hadir.
Pak Kassim pula berkerut muka. “ Fareeq jangan nak merapu sangat. Adam Hakimi tu anak pakcik. Abang kepada Wardah. Mana boleh depa berkahwin.”
“Hah? Tapi Wardah kata Adam Hakimi tu bakal suaminya.” Fareeq Muaz turut tidak yakin dengan jawapan daripada Pak Kassim.
“Nanti mama explain. Sekarang pergi duduk depan tok kadi. Tok kadi nak nikahkan Muaz dengan Wardah sekarang.”giliran Datin Farah pula menyampuk.
Fareeq Muaz yang penuh dengan tanda tanya hanya menurut perintah. Dia turut berdebar-debar dengan apa yang berlaku. Bagaikan tidak percaya dengan semua ini.
“Sah!” Dengan sekali lafaz sahaja Fareeq Muaz sah menjadi isteri kepada Wardah Safiyyah. Namun Fareeq Muaz masih lagi tidak senang hati selagi dia tidak tahu perkara sebenarnya.
---------------------
“Sampai hati sayang bersepakat dengan mama kenakan abang. Nakal betullah isteri abang ni.” Fareeq Hakimi memeluk pinggang Wardah Safiyyah erat.
Wardah Safiyyah tergelak kecil. “Saja nak tengok reaksi abang. Mama kata abang merajuk tak nak datang majlis tu kelmarin. Sempat lagi kutuk abang Adam pula tu. Tapi nasib baiklah abang datang jugakan. Kalau tidak tak kahwinlah kitakan?”
“Abang bukan kutuk tapi frust sebab abang Adam "rampas" sayang daripada abang. Abang redha sajalah. Dah sayang yang pilih abang Adam tu nak dijadikan suami sayang.”balas Fareeq Hakimi.
“Abang tak pelik ke bila mama suruh abang pakai baju melayu tu?”tanya Wardah Safiyyah.
“Of courselah pelik. Mana pernah lagi pergi kenduri kahwin pakai baju Melayu siap bersampin lagi. Pelik bin ajaib jugalah waktu tu. Bila tanya mama kenapa kena pakai baju ni mama kata supaya nampak lebih segak. Ikut sajalah. Bila sampai rumah sayang pun abang pelik bila abang tengok depan tok kadi kosong sebab mama kata pengantin lelaki dah sampai tapi tak ada pun atas bantal tu. Alih-alih sebenarnya abanglah pengantin tu. Pandai sungguh sayang, abang adam dan mama berpakat yer.”
“Mestilah. Abang tu cepat sangat merajuk.”jawab Wardah Safiyyah ceria.
“Tapi ada satu perkara yang abang pelik dengan sayang. Kenapa dulu waktu mula-mula kenal sayang cakap kasar dengan abang? Lepas itu waktu abang sakit sayang cakap lembut pula. Tapi lepas abang sembuh sayang cakap kasar semula. Pelik betul abang.”
“Nak tahu ke kenapa?”
Fareeq Muaz mengangguk.
“Sebab waktu tu sayang bukan lagi halal untuk abang. Islamkan melarang perempuan melemah-lembutnya suaranya pada ajnabi.Jadi sebab itulah sayang cakap agak kasar dengan abang dulu. Maafkan sayang. Kalau abang nak tahu abanglah orang yang paling hebat sekali.”
“Kenapa?” Fareeq menjongketkan keningnya.
“Sebab  abang sanggup layan karenah sayang walaupun sayang layan abang macam gangster. Abang tetap sabar. Sayang paling kagum semasa abang berjumpa dengan walid nak masuk meminang sayang. Dari situ sayang tahu abang sangat ikhlas dalam perhubungan ini. Itu yang membuatkan sayang terima abang dan lagi satu kenapa sayang cakap lembut waktu abang sakit tukan?  Sebabnya mamakan sentiasa ada apabila sayang datang melawat abang jadi takkan nak cakap kasar-kasar dengan abang waktu tu. Nampak sangat tak sopan. Jadi sayang pun terpaksalah bercakap sopan sikit dengan abang. Kalau abang nak tahu masa itu terpaksa saja tau. Bukan sengaja pun..”terang Wardah Safiyyah panjang lebar.
“Alhamdulillah. Allah telah kurniakan  abang seorang isteri yang sangat baik akhlaknya, budi pekerti dan paling penting patuh arahan agama.” Fareeq Muaz mencuti hidung Wardah Safiyyah.
Wardah Safiyyah melepaskan pelukan erat daripada Fareeq Muaz. Dia berdiri memandang suaminya.
“ Terima kasih abang sebab berikan sayang peluang untuk mencintai diri abang. Insyaallah sayang berjanji sayang akan berusaha untuk menjadi isteri yang solehah untuk abang. Bimbinglah sayang untuk sama-sama kita menuju syurga ALLAH yang kekal abadi.”
Fareeq Muaz mengusap lembut rambut Wardah Safiyyah.
“Abang pun nak ucapkan terima kasih sebab sudi terima abang walaupun abang pernah melakukan kesilapan dulu. Terima kasih kerana percayakan abang. Abang masih perlukan bimbingan daripada sayang. Bantulah abang dalam menjalankan tugas sebagai seorang suami untuk sayang demi kebahagiaan rumahtangga kita. Betulkan apa yang abang silap. Abang sayang Wardah Safiyyah. Semoga kasih kita akan kekal abadi hingga ke syurga.”ucap Fareeq Muaz dengan penuh nada romantis.
Dia mengucup lembut ubun-ubun Wardah. Fareeq Muaz berjanji dia akan cuba untuk menjadi yang terbaik untuk Wardah Safiyyah.





5 comments:

  1. haha. Lawa gila si Fareeq tu. UAI pun tak kenal.

    Sweetnya cerpen ni. Cik hanna baca pun sambil senyum

    -Cik Hanna Aleeya

    ReplyDelete
  2. Best sangat cerpen ni. Sweet je !

    ReplyDelete

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH