HATI YANG AKU PERLU BAB 1

Bab 1

Damia menjejakkan kaki ke dapur. Dia baru sahaja selesai mandi. Dia melihat Mak Kiah sedang memotong sayur untuk memasak. Damia tidak terus menegur Mak Kiah. Malah, Damia lantas menarik kerusi untuk duduk lalu membuka tudung saji mencari makanan untuk dimakan.
Mak Kiah yang menyedari kehadiran puteri tunggalnya itu hanya mampu menggelengkan kepalanya. Anak daranya ini tak pernah berubah. Selagi matahari tak meninggi selagi itulah masih melingkar di atas katil. Jarang sekali bangun awal.
“Matahari mencacak baru ingat nak bangun? Apalah nak jadi dengan hang ni, Mia? Kalau diikutkan umur hang tu dah boleh jadi bini orang dah. Cuba-cubalah bangun awal tolong mak memasak kat dapur ni. Bangun subuh tak tadi?”Tegur Mak Kiah. Tangannya masih lagi cekap menghiris bawang untuk dimasak.
Damia tersengih. Sudah lali dengan maknya. Setiap pagi pasti akan dileteri dan akan diajukan soalan yang sama. Namun, dia tidak pernah meninggikan suaranya walaupun kadang-kadang dia berasa rimas mendengar leteran daripada Mak Kiah.
“Tak jaga pagi tadi.”ringkas sahaja jawapan Damia. Dia masih lagi menikmati sarapan paginya itu.
“Jangan lupa qada’.Hari ini hang nak pi mana-mana dak?”tanya Mak Kiah.
Damia menggeleng.                    
“Kalau macam tu nanti hang tolong bawa mak pi rumah Pak Harun sat. Boleh dak?”
“Pi rumah Pak Harun buat apa?”Damia bangun membasuh tangannya sebaik sahaja selesai menjamu selera.
“Pak Harun buat kenduri bacaan Yasin sebab anak dia nak ambil SPM tahun ini. Jadi dia jemput kampung kita juga. Hang nak pi tak?”
Damia melihat jam di pergelangan tangannya. Dia memang tidak mempunyai sebarang aktiviti hari ini. Latihan perlumbaan telah ditunda pada minggu hadapan. Jadi tiada alasan untuk menolak pelawaan ibunya itu. “Boleh jugak. Pukul berapa?”
“Lepas mak habis masak. Hang pi bersiap dulu. Tukar baju pakai baju kurung.” pesan Mak Kiah.
“Okey apa baju ni. Malaslah Mia nak tukar baju.”bantah Damia. Dia melihat baju yang dipakai olehnya. Baju kegemarannya. Baju t-shirt lengan pendek dan seluar jean. Rambutnya sengaja dipotong pendek. Jika orang yang tidak mengenali Damia, pasti mereka akan menganggap Damia adalah lelaki.
“Takkan hang nak pi kenduri pakai macam ni? Malu kat orang nanti. Kalau orang kampung tak apalah, tapi adik-beradik Pak Harun yang dari bandar semua nak balik makan kenduri. Pi tukar baju pakai baju kurung. Dengar cakap mak boleh?” Mak Kiah memandang muka Damia yang sudah mula masam mencuka. Dia tahu anaknya itu tidak mahu menuruti kemahuannya.
“Kalau macam tu, Mia tak mau pilah. Mak pi sorang-sorang.” Damia terus menunjukkan keras kepalanya.
“Tak apalah. Hang sanggup biar mak pi jalan kaki sorang-sorang.” Mak Kiah sengaja membuat nada merajuk. Dia tahu yang Damia tidak akan membiarkan dia berjalan kaki. Damia anak yang baik. Dalam keras kepalanya, ada sedikit kelembutan.
“Okeylah. Mia hantar.” Damia memberi kata putus. Dia mengangkat kaki berjalan menuju ke biliknya. Walaupun hatinya berat untuk memakai baju kurung Namun, dipaksakan juga kerana tidak mahu ibunya berkecil hati. Dia jarang benar memakai baju kurung. Kalau dipakai pun sewaktu menziarahi jenazah. Itu pun kadang-kadang sahaja.
“Mia, Mia. Sampai bilalah hang nak jadi lelaki celup pun tak taulah. Ada anak perempuan sorang pun perangai macam jantan.” Leter Mak Kiah seorang diri.

“Assalamualaikum.” Mak Kiah yang baru sahaja sampai di rumah Pak Harun memberi salam.
Beberapa orang kampung yang sedang membuat kerja di dapur menjawab salam daripada Mak Kiah itu. Mereka tersenyum melihat Mak Kiah dan Damia yang cantik berbaju kurung dan bertudung litup.
“Maaflah saya lambat mai. Saya masak dulu tadi kat rumah.”ujar Mak Kiah ramah kepada Mak Timah isteri kepada Pak Harun.
“Eh, tak apalah. Bukannya ada kerja sangat pun. Semua dah siap dah. Damia, hang cantik bila pakai macam ni.”puji Mak Timah.
Damia tersenyum paksa. Dia rimas apabila sewaktu datang tadi ramai pemuda kampung yang asyik memandang ke arahnya. Dia seperti mahu sahaja pergi menyerang sekumpulan pemuda itu tetapi ditenangkan hatinya.
“Alah, hang bukan tak tau yang Mia ni kalau jadi perempuan memang cantik. tapi nak juga jadi jantan, memang tak boleh nak kata apa.”Mak Kiah berseloroh.
Mak Timah tersenyum mendengar seloroh daripada Mak Kiah.
“Jemputlah masuk. Mari kita bersembang kat dalam. Lagipun kerja-kerja semuanya sudah selesai disiapkan. Lepas bacaan Yasin nanti baru boleh makan.”ajak Mak Timah.
Mak Kiah hanya menurut sambil diikuti oleh Damia dari belakang.
“Mak, kalau Mia balik dulu boleh tak? Nanti Mia mai ambil mak.” Damia yang sudah tidak tahan dengan pandangan mata yang asyik tertumpu kepada dirinya membisikkan di telinga Mak Kiah. Macam tak pernah tengok perempuan pula gayanya. Desis Damia dalam hatinya.
“Janganlah macam ni. Nanti apa pula kata Mak Timah. Duduklah sat. Nanti habis baca Yasin kita balik.”pujuk Mak Kiah.
Damia melepaskan keluhan berat. Betul kata Mak Kiah. Kalau dia pulang apa pula kata Mak Timah nanti. Nanti jenuh pula Mak Kiah nak menjawab pertanyaan daripada orang kampung.
 “Damia, kalaulah hang jadi perempuan sejati dah lama aku masuk meminang hang untuk si Haikal tu. Dia pun dah lama single. Sampai sekarang duk mencari lagi calonnya. Hang nak dak?”Wanita yang sudah berusia separuh abad yang dikenali sebagai Mak Joyah itu bersuara.
Damia tersenyum. Dia menundukkan kepalanya. Cuba untuk mengawal rasa geram yang mula terbit di dalam hatinya.
“Hang ni Joyah,takkanlah hang nak bagi si Haikal tu kahwin dengan Damia ni. Macamlah tak ada perempuan lain yang boleh dibuat bini.”
Damia memandang tepat ke arah Mak Nah yang menyampuk perbualan mereka. Mak Kiah turut terkejut dengan kata-kata yang terluah daripada Mak Nah itu. Sampai hati Mak Nah merendah-rendahkan Damia.
“Saya nak minta maaf sebelum saya kata apa-apa. Kalau mak cik nak tau saya memang perempuan sejati tetapi pakaian saya saja macam lelaki. Saya tetap sukakan lelaki bukannya perempuan. Jadi mak cik semua jangan salah sangka. Saya normal. Kalau mengenai pinangan mak cik tu saya menolak secara baik. Saya belum bersedia lagi untuk berkahwin. Sebelum saya menjadi isteri orang rasanya saya perlu untuk mengubah diri saya terlebih dahulu. Saya minta maaf.”kata Damia dengan nada geram. Dia benar-benar terasa hati dengan kata-kat Mak Nah itu.
Mulut Mak Nah tertutup rapat selepas mendengar hamburan daripada Damia itu. Wajahnya ditundukkan memandang lantai. Mungkin malu.
Mak Kiah menyiku Damia perlahan. Dia tidak setuju dengan kata-kata Damia yang dianggap kurang sopan itu. Biarpun sakit hati tetapi Damia tetap perlu menghormati mereka.
“Mia, cakap elok-elok sikit.”nasihat Mak Kiah perlahan.
“Mak, Mia nak balik dulu. Nanti Mia datang ambil mak. Mia ada kerja sikit.” Damia memberi alasan. Dia sudah tidak tahan untuk mendengar sindiran daripada orang kampung. Dia lebih rela mereka berkata di belakang daripada dia harus mendengar dengan telinganya sendiri.
Damia bingkas bangun dan terus mengorak langkah meninggalkan tempat itu. Mak Timah yang baru sahaja datang dari dapur cepat-cepat mendapatkan Damia.
“Hang nak pergi mana, Mia?”tanya Mak Timah.
“Saya terpaksa balik dulu sebab ada kerja sikit yang perlu saya selesaikan.” Damia memberi alasan.
“Makanlah dulu.”pujuk Mak Timah. Dia tahu mesti Damia terkecil hati dengan kata-kata daripada Mak Nah tadi. Dia dapat mendengar perbualan mereka dari dapur walaupun tidak terlalu jelas.
“Tak apalah, Mak Timah. Kejap lagi saya datang. Saya nak balik sat saja.”Damia menolak sopan.
Mak Timah mengangguk. Tidak lagi mahu memaksa Damia.
Damia melangkah keluar dari rumah Pak Harun dan Mak Timah. Kalau ditunggu lagi disitu pasti kena hambur mak cik-mak cik yang sedang mengata perkara yang buruk mengenai dirinya. Maruah Damia bukan boleh dipijak-pijak. Jadi lebih baik dia mengangkat kaki terlebih dahulu.

Damia sudah beberapa kali menghidupkan enjin motosikal jenis Yamaha EX5 milik ayahnya itu. Namun, tidak juga berjaya. Peluh yang mula merindik di dahinya disapu dengan belakang tangan. Damia mengangkat kain baju kurungnya sehingga ke paras lutut. Rimas apabila terpaksa berpakaian seperti ini. Keayuannya telah hilang. Damia sudah kembali kepada asal.
“Hoi, hang buat apa ni?” Fariz yang datang dari belakang menampar bahu Damia kuat.
Damia beristighfar panjang kerana terkejut dengan sergahan itu. “Sengal betul hang ni. Terkejut aku.”
Fariz tersengih. “Macam tu pun nak terkejut. Awat dengan motosikal hang ni?”
“Rosaklah. Dari tadi aku cuba hidupkan enjin, tapi tak mau juga hidup. Bengang gila aku. Aku pun tak tau dah nak buat apa ni.”terang Damia panjang lebar.
Fariz lantas duduk mencangkung. Dia cuma memeriksa apa yang dia tahu.
“Patutlah. Tadi aku tengok hang macam perempuan Melayu terakhir, tapi sekarang ni aku tengok dah macam minah sakai saja pun. Hang nak pi mana ni? Orang tak makan lagi.”tanya Fariz. Wajah Damia dipandang.
“Aku nak balik. Aku panas telinga dengar orang kampung duk perli aku. Takut nanti aku naik angin saja. Hang bukan tak tau, akukan cepat panas. Nanti tak pasal-pasal aku belasah mak cik tu one by one. Jadi lebih baik aku blah dulu.” Damia tersengih.
Fariz menghamburkan tawanya. Memang cari nahaslah mak cik-mak cik yang berada dalam rumah Pak Harun tu. Mereka tak kenal lagi siapa Zara Damia Alisya yang sebenar. Kang ada juga yang masuk hospital juga nanti.
“Siapa yang perli hang tu? Mak Nah ka?”jangka Fariz.
Damia mengangguk.
“Hang ni macam tak biasa. Diakan memang mulut laser. Tak payah nak layanlah orang macam tu. Hang dah nak balik ka? Meh aku hantar hang.”Fariz menawarkan diri.
Fariz memang faham benar dengan Damia. Mereka berdua sudah lama berkawan sejak masing-masing masih kecil lagi. Setiap masalah yang dihadapi pasti akan dikongsi bersama. Dulu mereka empat sekawan. Fariz, Damia, Hanis dan Syafiqah. Namun, dek kerana masing-masing mempunyai kerjaya dan keluarga, maka mereka terpaksa berpisah. Namun, sampai sekarang, Fariz dan Damia masih tetap berkawan rapat. Sesekali Hanis dan Syafiqah ada menelefon bertanya khabar.
“Tak apalah. Aku tunggu kat sini dulu. Mak aku ada kat dalam. Terpaksa balik jalan kakilah sat lagi. Motosikal ni pun satu hal. Nak buat masalah pun sekaranglah. Geram betul aku.”leter Damia.
“Okeylah, tu aku nampak ada orang makan dah tu. Jomlah kita pi makan. Lepas tu aku hantar hang dengan Mak Kiah balik. Motosikal ni tinggal kat sini dulu. Nanti aku hantar pi bengkel.”

Damia menyetujui cadangan Fariz. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke khemah yang disediakan untuk menjamu selera.

No comments:

Post a Comment

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH