Bab 9
Azan magrib berkumandang. Penghuni rumah agam itu mula membersihkan diri untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati. Mereka masih menanti kehadiran Hayyan. Mereka semua akan berjemaah bersama-sama.
Ketika sedang bersiap-siap untuk bersolat, terdengar deruman enjin kereta. Datin tersenyum lebar. Anak lelakinya datang juga akhirnya. Puan Alia dan Datin Rokiah menyambut kehadiran Hayyan di pintu.
Hayyan turun dari kereta. Hayyan tersenyum melihat mamanya dan Puan Alia. Dia berjalan menuju ke arah mereka. Hayyan bersalaman dengan Datin Rokiah dan Puan Alia.
“Assalamualaikum, maaflah saya lewat. Baru saja habis kerja.”jelas Hayyan tanpa ditanya.
“Waalaikumussalam. Jemputlah masuk. Inilah Hayyan. Makin handsome makcik tengok.” Puan Alia memuji kekacakkan yang dimiliki oleh anak teruna Datin Rokiah.
Hayyan yang mendengar pujian itu hanya tersenyum malu. Dia mula melangkah masuk ke dalam rumah agam milik keluarga Frisya itu. Dia sedikit teruja dengan hiasan rumah agam yang tersergam indah. Hayyan tidak menyangka keluarga Frisya yang dahulunya sebuah keluarga yang susah dapat memiliki kekayaan yang sedemikian rupa.
“Yan, kamu dah solat ke belum? Kalau belum jom solat sekali. Kami nak berjemaah ni.” Datin Rokiah menyapa Hayyan yang sedang termenung jauh.
Hayyan yang tersedar dari lamunannya sedikit terkejut.
“Eloklah tu. Yan pun tak solat lagi. Bolehlah kalau nak berjemaah sekali.”Hayyan bersetuju. Dia juga belum menunaikan perintah yang disuruh oleh Allah S.W.T.
“Jomlah, Hayyan pergi ambil wuduk dulu.” Puan Alia menunjukkan tempat untuk mengambil wuduk untuk menunaikan solat. Puan Alia dan Datin Rokiah berlalu menuju ke bilik yang dijadikan surau meninggalkan Hayyan yang mahu mengambil wuduk.
Setelah selesai mengambil wuduk, Hayyan cepat-cepat menuju ke bilik untuk menunaikan solat bersama-sama. Dia melihat orang lain semuanya sudah bersedia untuk bersolat. Mereka hanya menunggu kehadiran Hayyan.
“Assalamualaikum.” Hayyan memberi salam. Dia melangkah masuk ke dalam surau.
Semua mata menoleh ke arahnya termasuklah Frisya. Frisya tercengang. Dia mengenali wajah ini. Zikri. Nama itu timbul di benak hatinya. Zikri buat apa di sini? Kenapa dia berjemaah sekali dengan keluarga mereka? Bermacam-macam soalan yang timbul di kepala Frisya.
“Waalaikumussalam. Eh, Hayyan masuklah.” Tuan Faris menyambut tangan Hayyan.
Hayyan? Betul ke ni Hayyan? Kenapa muka dia sama dengan Zikri? Soalan demi soalan yang menyelubungi diri Frisya.
“Maaflah, saya terlambat. Terpaksa pula pakcik dan semua yang lain tunggu saya.”
“Tak apalah. Dah tugas nak buat macam manakan. Siapa nak jadi imam ni?”tanya Tuan Faris.
“Memandangkan saya lewat, biarlah saya yang menjadi imam.” Hayyan menawarkan diri.
Ketika belajar di Mesir dulu, Hayyan selalu menjadi imam di kalangan kawan-kawannya. Jadi tidak kekoklah bagi Hayyan untuk mengimamkan solat jemaah ini.
Frisya yang mendengar Hayyan menawarkan diri untuk mengetuai solat magrib, bagaikan tidak percaya. Dia tidak berasa begitu yakin akan kebolehan Hayyan menjadi imam. Baginya tidak mungkin budak yang dulunya sangat nakal boleh mengetuai solat.
“Elok sangatlah tu.” Tuan Faris menyetujui.
Semua jemaah bangun untuk menunaikan solat. Kedengaran suara Hayyan yang beriqamat. Sungguh merdu suaranya. Selepas selesai membaca doa selepas iqamat, Hayyan mengangkat takbir seterusnya mengalunkan Al-Fatihah. Begitu merdu dan bertajwid lagi bacaannya.
Selepas selesai menunaikan solat, semua jemaah mengalunkan bacaan yaasin pula. Hayyan turut mengetuai untuk bacaan surah yassin. Frisya masih tidak menyangka itu adalah Hayyan. Budak yang sangat nakal pada suatu hari dulu. Dia berasa begitu bersalah kerana pernah mengutuk perangai Hayyan. Frisya seakan-akan mahu menangis. Frisya menyedari Hayyan bukanlah seperti dahulu lagi.
Usai membaca surah yassin, Frisya bersalaman dengan Tuan Faris, Puan Alia dan Datin Rokiah. Hayyan turut bersalaman dengan kedua ibu bapanya dan Tuan Faris. Dia kemudiannya melipat sejadah dan meletakkan di atas rak. Hayyan memandang Frisya. Tangan Frisya lembut melipat kain telekungnya. Yang lain semuanya telah melangkah keluar. Hanya tinggal Hayyan dan Frisya sahaja di dalam surau kecil itu. Hayyan mendekati Frisya.
“Hye, lipat kain telekung tu elok-elok tau.”usik Hayyan. Hayyan mengambil sejadah-sejadah yang telah terlipat untuk diletakkan di atas rak yang disediakan.
Frisya memandang muka Hayyan. Dia melihat sekeliling surau. Tiada seorang pun yang kelihatan selain Hayyan. Frisya cepat-cepat melipat kain telekung. Frisya hanya mendiamkan diri.
“Orang cakap dengan dia, dia boleh buat tak tahu.” Hayyan menjeling ke arah Frisya yang kelihatan cepat-cepat melipat telekung.
Frisya bangun. Dia masih mendiamkan diri.
“Tak apalah kalau tak nak cakap. Nanti orang cakap aku ni gila pula sebab cakap sendirian. Baik aku diam.” Hayyan berkata lagi.
Hayyan ingin melangkah keluar. Dia kesal Frisya seperti tiada tanda-tanda untuk membuka mulut untuk bercakap dengannya. Frisya menoleh ke arah Hayyan.
“Hayyan!” Frisya membuka mulut.
Hayyan menghentikan niatnya untuk melangkah pergi. Dia menoleh ke arah Frisya. Frisya tertunduk. Hayyan gembira kerana Frisya masih mahu menegurnya.
“Kau ni Zikri ke Hayyan?”tanya Frisya ingin tahu.
Hayyan tersengih. Dia duduk di sebelah Frisya.
“Dua-dua.”
“Jawablah betul-betul. Main-main pula. Aku ketuk kang baru tahu.”
Frisya mengetap bibir. Geram dengan Hayyan yang main-main menjawab pertanyaannya. Hayyan pula ketawa kecil.
“Aku jawab betullah. Nama aku Muhamad Hayyan Zikri bin Kamal. Kalau kau tak percaya aku boleh kasi kau kad pengenalan. Nak?”
Hayyan ingin mengeluarkan dompetnya. Namun dihalang oleh Frisya.
“Jadi orang yang aku jumpa kat restoran tu kaulah? Macam manalah aku tak perasan yang itu kau. Tapi kenapa kau guna nama Zikri? Saja nak kenakan aku ke?.”
Frisya menghela nafas.
“Yup betul. Itulah kau, siapa suruh tak pandang muka aku yang handsome ni lama-lama sikit. Kalau tidak tentu kau boleh kenal aku.Aku guna nama Zikri sebab aku tak nak kau kenal aku. Aku sebenarnya pun baru perasan yang kau Frisya selepas jumpa kat KLCC hari tu. Si budak senget.”Jelas Hayyan panjang.
Frisya pula menjengilkan matanya kepada Hayyan. Marah kerana Hayyan masih lagi mengejeknya dengan panggilan tersebut. Hayyan ketawa terbahak-bahak.
“Tak habis-habis kata kat aku. Dahlah malas nak layan kau.”
Frisya bangun menyusun sejadah di tempatnya. Tak ada mood untuk melayan Hayyan. Dia ingin melangkah keluar. Tetapi dihalang oleh Hayyan
“Frisya, kau masih marahkan aku ke sebab aku suka buli kau dulu?” Hayyan meminta kepastian. Dia berasa bersalah selama ini.
Frisya mengangkat muka. Dia memerhatikan wajah Hayyan. Begitu bersih wajah yang berada di depannya ini.
“Aku tahu memang payah kau nak maafkan aku. Tapi aku betul-betul rasa bersalah selama ini.” Hayyan berkata lagi.
Frisya tahu itu kata-kata yang lahir dari hati yang ikhlas. Dia akan memaafkan Hayyan. Itulah janji dia selepas solat magrib tadi.
“Betul kata kau. Aku memang susah nak maafkan kau.” Frisya berkata lembut.
“Jadi kau tak maafkan aku lagilah ni?”
Frisya tersenyum sumbing memandang muka Hayyan yang berkerut. Hayyan dilihat gelisah.
“Tak.”kata Frisya ringkas.
“Tolonglah. Aku minta maaf sangat-sangat. Aku tahu aku salah dulu. Sebab akulah kau banyak menitiskan air mata.” Hayyan merayu.
Frisya masih tersenyum. Hayyan memang banyak berubah. Dulu sungguh payah untuk meminta maaf tapi sekarang sebaliknya.
“Kenapa kau senyum?” Hayyan bertanya. Hairan dengan mimik muka Frisya yang dilihat seperti ingin mengenakannya.
“Kau ni gelabah semacam kenapa? Dulu kau tak macam ni. ” Frisya mengajukan semula soalan kepada Hayyan.
Hayyan menggaru kepalanya. Malu sendiri dengan sikapnya yang tiba-tiba menggelabah.
“Taklah. Aku dah maafkan kau.”
Muka Hayyan yang tadinya penuh dengan perasaan bersalah, terus tersenyum dengan kenyataan yang diberikan oleh Frisya.
“Sejak bila?”
Frisya memandang muka Hayyan. Hairan.
“Sejak bila apa?” Frisya bertanya semula. Dia tidak faham apa yang ditanya oleh Hayyan.
Hayyan dilihat tergelak besar. Dia suka melihat muka Frisya yang kehairanan.
“Kau ni. Dari dulu sampai sekarang, tak ubah-ubah. Lambat pick up.” Hayyan tergelak lagi.
“Kau pula tak habis-habis nak kata kat aku. Tak jadilah nak maafkan kau. Aku benci orang macam kau.” Frisya meradang. Angin panas barannya mula menguasai diri. Dia ingin melangkah keluar. Tapi dihalang oleh Hayyan yang berdiri di pintu surau.
“Kalau kau tak nak aku peluk kau, jangan pergi dulu. Kalau tak terpaksalah aku peluk kau. Best juga kalau dapat peluk kau. ”Hayyan tersenyum nakal.
Frisya tidak jadi berlalu. Dia geram. Dari kecil sampai besar, tak habis-habis nak kenakan dia. Hayyan pula masih lagi seronok ketawa.
“Kau ni. Aku kata macam tu pun nak meradang. Sejak bila pula kau ada panas baran ni? Waktu sekolah dulu tak ada pun?”bertalu-talu soalan ditanya oleh Hayyan.
Frisya menoleh muka ke arah almari yang terisi oleh Al-Quran dan buku-buku agama. Cuak dia memandang muka Hayyan yang masih lagi tersenyum nakal.
“Suka hati akulah. Kau sibuk apasal? Tepilah sikit. Aku nak keluar ni.”
Frisya berusaha keluar. Namun tetap dihalang oleh Hayyan. Dia bertambah berang.
“Kau jawab dulu soalan aku. Barulah aku bagi kau keluar.” Ugut Hayyan.
Hayyan sengaja berbuat demikian. Sudah lama dia tidak mengusik Frisya. Pada mulanya, Hayyan bagaikan tidak percaya memandang muka Frisya. Dia tidak menyangka Frisya akan secantik sekarang.
“Jawab apa?”
“Sejak bila kau maafkan aku?”Hayyan bertanya lagi. Kali ini agak serius.
“Dah lama dah. Lagi?” Frisya berbohong.
Frisya sengaja berbohong. Dia malu untuk memberi pernyataan yang benar kepada Hayyan. Di dalam fikirannya, Hayyan akan mengertawakan dia sekiranya dia memberi pengakuan yang benar.
“Ok. Jadi betullah kau dah maafkan aku ni?” Hayyan bertanya lagi.
Frisya mengangguk.
“Terima kasih. Tak sangka kau semulia ni kan?”
“Sama-sama. Tepi sikit. Aku nak keluar.” Frisya menuntut janjinya.
Hayyan yang masih lagi tidak berganjak. Dia sahaja berbuat begitu.
“Ada satu lagi aku nak beritahu kau.”
Frisya menunggu. Sambil mengetap bibir.
“Kau dah lainkan sekarang ni. Aku tak sangka kau akan cantik macam ni. Ada mata cantik pula tu.Kalau aku tahu kau secantik ni, mesti aku tak ejek kau dulu.” Hayyan memuji kecantikkan Frisya.
Frisya menahan malu. Mukanya bertukar merah.
“Mana nak sangka. Kau dulukan suka kata dekat aku. Mana nak perasan semua tu.”
Hayyan tersenyum.
“Cepatlah. Aku nak keluar ni.”
Hayyan beralah. Frisya cepat-cepat melangkah keluar daripada surau. Hayyan mengikut dari belakang. Mereka menuju ke dapur. Beberapa mata memandang ke arah mereka. Mereka yang memandang mengukirkan senyuman yang semanis mungkin. Hayyan mengambil tempat di sebelah Datuk Kamal. Frisya pula duduk di sebelah Puan Alia. Kebetulan, Hayyan dan Frisya duduk bertentangan.
Kenapalah aku boleh duduk bertentangan dengan dia ni? Mesti mama sengaja ni. Yang aku pun galak sangat pergi duduk terus kenapa? Kenapa tak tengok dulu? Bertalu-talu soalan yang muncul di benak fikirannya.
No comments:
Post a Comment
- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...
Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH