HATI YANG AKU PERLU BAB 10


Bab 10

Damia sedang khusyuk melihat kertas-kertas yang berkaitan dengan kerjanya itu. Sedar tak sedar sudah hampir setengah tahun Damia bekerja di situ. Pelbagai pengalaman yang dia dapat sepanjang dia berkhidmat di situ.

Hubungannya dengan Fakhir Hakimi pun semakin hari semakin rapat walaupun Damia tahu yang Fakhir Hakimi sudah pun mempunyai teman wanita. Namun dia langsung tidak kisah kerana dia menganggap hubungannya dengan Fakhir Hakimi tidak lebih daripada seorang bos dan pekerja.

Dia tahu kadang-kadang ada suara-suara sumbang yang senang akan keakraban mereka berdua namun dia langsung tidak mahu ambil kisah. Dia sudah biasa dengan suara-suara begitu. Lagipun dia bukannya ada apa-apa hubungan pun dengan Fakhir Hakimi. Jadi buat apa nak takutkan…

Telefon jenama Iphone yang miliknya oleh Damia itu mengeluarkan lagu Sudah Cukup Sudah nyanyian Nirwana Band yang telah dijadikan nada dering. Damia mencapai telefon bimbitnya itu lalu memandang skrin.

Dia mengukirkan senyuman.  Panggilan daripada ibunya di kampung. Dia sangat merindui mak dan ayahnya itu. Sepanjang di berada di sini dia langsung tidak balik kampung lagi kerana kesibukkan tugasan. Namun pada hujung minggu ini dia bercadang untuk balik kampung bagi melepaskan rindu yang bersarang.

“Assalamualaikum, mak… Mak! Mia rindu mak…..”luah Damia sejurus sahaja dia menekan butang hijau.

Kedengaran maknya tergelak. “ Itulah, hang ni kerja sampai tak ingat langsung nak balik kampung. Ingatkan dah lupa mak dah. Baliklah Damia, mak rindu kat hang ni.”

“Mak ni…Setiap saat Mia ingat mak dan ayah tau. Tak pernah hilang pun dari ingatan ni. Insyallah, mak. Hujung minggu ni Mia balik. Mak masak sedap-sedap tau. Lama tak makan masakan mak.”

“Baguslah kalau hang dah nak balik. Lagipun hujung minggu ni ada majlis sikit kat rumah kita. Dan majlis tu hang kena ada juga. Hang balik naik apa ni? Bas ke atau Hanis hantar?”

Damia mengerutkan dahinya. “ Majlis apa mak?”

“Adalah.  Nanti hang tau juga. Hang balik naik apa ni?” tanya Mak Kiah sekali lagi.

“Mia balik naik kereta. Miakan dah beli kereta dah. Mak lupalah tu.” 



Mak Kiah ketawa lagi. “ Betullah… Lupa pula mak. Okeylah, mak nak tanya itu saja. Jangan lupa nak balik tau.”

“Insyallah, mak. Bye-bye. Assalamualaikum.. Sayang mak. Muah, muah, muah.”  Damia membunyikan mulutnya seperti mencium di telefon bimbitnya.

“Waalaikumussalam…sayang Mia juga.”

Talian dimatikan. Damia menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi. Fikirannya masih terfikirkan majlis apa yang mahu diadakan oleh ibubapanya nanti. Nak kata majlis nak pergi Mekah, rasanya lambat lagi. Majlis apalah agaknya? Damia mengeluh.

Dia mencapai pen lalu menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Tidak dapat menangkap majlis apa yang mahu diadakan oleh orang tuanya itu. Mungkin mak dan ayahnya hendak buat kenduri arwah. Duga Damia.

Damia tidak dapat menumpukan sepenuh hatinya terhadap kerja. Mungkin otaknya sudah letih kerana terlalu sangat bekerja. Dia mengurut-ngurut belakang tengkungnya. Dia menyandarkan kembali badannya ke belakang kerusi. Damia memejamkan matanya sekejap.

Pintu diketuk. Damia membuka matanya. Baru sahaja nak terlelap ada pula yang mengganggu. Terjengul wajah Fakhir Hakimi yang tersengih kepadanya. “

Tak nak balik lagi ke?” tanya Fakhir Hakimi sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik Damia.

Damia mengerutkan dahinya. “Balik apanya. Awal lagi kan?”

Fakhir Hakimi tergelak. Itulah bila dalam kepala ingat kerja sahaja inilah jadinya. Sampaikan jam pun tak sempat nak tengok.

“Kenapa gelak?”tanya Damia yang masih tertanya-tanya kenapa tiba-tiba sahaja Fakhir Hakimi tergelak.

Cuba tengok jam…” Damia melihat jam di skrin komputer yang terpasang. Kemudian dia tersenyum malu memandang Fakhir Hakimi.

“Ni nak balik ke tak nak ni?”tanya Fakhir Hakimi sekali. Selalunya dia akan keluar pejabat bersama-sama dengan Damia. Risau membiarkan Damia seorang diri di dalam pejabat itu.

“Kerja ada sikit lagi nak kena siapkan. Kimi balik dululah. Kejap lagi Mia baliklah.”bohong Damia. Sebenarnya dia malas nak balik lagi. Lagipun kalau balik rumah pun bukannya ada apa-apa yang boleh dia buat pun.

Damia sekarang sudah menyewa sebuah kondominium. Sudah 2 bulan dia berpindah ke situ. Dia tidak selesa tinggal .lama-lama di rumah Hanis. Damia merasakan seolah-olah menganggu privasi Hanis dan Faez.

“Tak apa ke duduk sorang-sorang ni? Tinggallah dulu kerja tu.”Fakhir Hakimi tidak senang hati nak tinggal Damia seorang diri di situ.

“Tak apa. Don’t worry. Kejap lagi Mia baliklah. Kimi balik dulu.”

“Okey.Jaga diri. Kimi balik dulu ya.” Fakhir Hakimi melangkah ke pintu.

Damia teringat sesuatu. “ Err… Kimi. Kejap.”

Fakhir Hakimi menghentikan langkahnya. Dia menoleh memandang muka Damia sambil mengangkat keningnya.

“Kenapa? Takut ke?”usik Fakhir Hakimi.

Damia menggeleng. “ Mia nak minta cuti seminggu boleh tak? Nak balik kampung. Dah lama Mia tak jenguk mak dan ayah kat kampung. Boleh tak?”

Fakhir Hakimi mengetapkan bibirnya. Seminggu? Lama tu.

“Nak balik kahwin ke lama sangat cuti tu?”duga Fakhir Hakimi.

“Tak adalah cuma nak hilangkan rindu kat mak dengan ayah ni. Dah lama sangat tak balik. Tak apa. Mia janji Mia akan siapkan semua kerja dulu sebelum cuti ni. Bolehlah, Kimi.”Damia seolah-olah merayu. Kalau tak dapat cuti ni memang dia berhasrat untuk berprotes. Idea tu timbul dalam fikirannya.

“Okey tapi nanti mesti Kimi rindu kat Mia.” Fakhir Hakimi tersengih.

“ Tak apa,Kimi telefonlah Mia. Insyallah Mia jawab.”Damia memberi cadangan.

“Okey, tapi dengan satu syarat. Nanti bila dah balik KL bawa balik ole-ole untuk Kimi… Boleh?”

Damia tersenyum bahagia. Fakhir Hakimi memang baik. Sangat-sangat memahami yang dia tersangatlah rindu kat kampung halamannya apatah lagi motosikalnya itu.

“Benda kecil saja tu. Terima kasih Kimi. Kimi lah bos yang paling baik.”puji Damia ikhlas.

Fakhir Hakimi turut tersenyum mendengar pujian daripada Damia itu. Fakhir  Hakimi melihat jam di pergelangan tangan. Dia sudah lewat. Petang ini dia ada temu janji dengan teman wanitanya. Kalau datang lambat nanti, merajuk pula.

“Kimi minta diri dulu. Nanti merajuk pula si Aleeya ni kalau datang lewat.”

Damia menghantar langkah Fakhir Hakimi dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Fakhir Hakimi memang lelaki yang sangat baik. Dia jarang sekali marah. Jika marah pun, tak akan berlarutan. Sekejap sahaja. Untunglah Aleeya kerana dapat lelaki seperti Fakhir Hakimi. Damia memuji di dalam hati.

Damia melihat jam di skrin komputernya. Masih awal lagi. Damia tergerak hati ingin membuka laman sosial facebooknya. Sudah lama dia tidak menjengah laman sosial yang menjadi kegilaan ramai sama ada yang muda ataupun yang tua. Semuanya tahu apa itu facebook.

Damia membuka kotak notification untuk melihat post-post yang dihantar oleh kawan-kawannya. Tangan Damia laju sahaja mengklik salah satu post yang dihantar oleh Pencinta Setia, rakan facebook nya. Damia tidak pernah tahu pun ada rakan laman sosialnya itu ada yang bernama sedemikian. Damia membaca satu persatu post yang dihantar oleh Pencinta Setia di dalam laman facebooknya.

15 Januari 2012-
Assalamualaikum… andainya kau memerlukan teman, aku rela menjadi temanmu walaupun hanya dikala sepi.

17 Januari 2012 –
Aku tak sempurna tapi aku harap kau dapat berada di sisiku supaya aku dapat menyempurnakan diriku ini. J

25 Januari 2012 –
Walaupun kau tak kenal siapa aku, aku tak kisah kerana jika ada jodoh ALLAH akan pertemukan kita juga.

31 Januari 2012-
Dalam banyak-banyak perempuan yang aku kenal, kaulah yang berjaya membuka pintu hati aku untuk bercinta lagi.

Damia mengerutkan dahinya. Siapalah Pencinta setia ini? Damia berminat lagi untuk terus membaca setiap bait yang dihantar oleh rakan misterinya itu.

14 Februari 2012-
Kalau awak nak tahu, saya ni taklah sehandsome Aaron Aziz  yang menjadi kegilaan ramai, tak sekaya Yusry Kru yang ada Lamborgini, tak seromantik Seth Tan dalam cerita Nora Elena dan tak sebaik-baik manusia. Tapi satu saja yang saya nak beritahu awak yang saya akan cuba berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk awak. Itu janji saya.

24 Februari 2012-
Dah lama tak post kat wall awak. Rindu saya tak? Saya ni perasankan? Tak apalah. Saya tak kisah pun kalau awak tak rindukan saya. Saya faham. Lagipun mana mungkin awak rindukan saya sebab awak langsung tak pernah tengok muka saya kan? Tapi sebenarnya kalau awak nak tahu yang awak dah pernah tengok muka saya yang tak kacak ni. Take care. Mungkin saya tak post kat wall awak lepas ni dalam jangka masa yang lama. Salam sayang dari saya – Pencinta Setia.

 Damia membelek lagi di wall nya. Mana tahu ada lagi post-post yang dihantar oleh Pencinta Setia. Namun hampa. Sudah tiada lagi. Hati Damia tertarik setiap bait-bait yang dihantar oleh Pencinta Setia itu. Damia lantas membuka profil Pencinta Setia itu. Dia ingin melihat siapakah gerangan yang menjadi orang yang mencintainya dalam diam itu. Damia menekan tab foto. Teruja untuk mengetahui orang yang baginya sangat ikhlas itu.

Damia mengeluh panjang. Tiada sebarang foto yang diletakkan di dalam facebook Pencinta Setia itu. Damia menyandarkan badannya. Mungkin dia hanya ingin mempermainkan aku. Damia membuat andaian sendiri.

Dahlah… Malas nak fikirkan benda yang entah betul, entah tidak ni. Mungkin dia ni hanya nak mainkan diri aku saja. Tapi kata-katanya benar-benar membuatkan Damia berasa Pencinta Setia itu adalah seorang yang betul-betul ikhlas dengannya. Arghh!!! Macam-macam boleh jadi. Mungkin ini hanya akaun palsu yang dicipta untuk mainkan perasaan orang lain. Damia membuat tekaan sendiri.

Damia membetulkan tudungnya. Dia sudah menutup komputernya. Dia sudah mahu pulang. Hari pun sudah menginjak ke malam. Rasa seram pula bila lama-lama duduk di dalam pejabatnya itu seorang diri. Damia mengemas mejanya yang berselerak dengan fail-fail kerjanya. 

Selepas selesai, Damia melangkah keluar dari pejabat. Dia berjalan menuju ke tempat meletak kenderaan sambil menjinjit beg tangannya. Dia berjalan laju kerana perasaan takut sudah menguasai diri memandangkan hanya dia yang berada di situ seorang diri. Damia membuka kunci pintu kereta.

“Zara…”tegur satu suara dari belakang. Damia membulatkan matanya. Terkejut dengan teguran entah dari siapa itu. Damia dengan perasaan yang berdebar-debar di hati menoleh ke belakang untuk melihat siapa empunya suara lembut itu.

Alangkah terkejutnya Damia apabila melihat orang yang sudah hampir beberapa bulan dia tidak berjumpa, muncul pula hari ini. Damia sangkakan lelaki itu sudah berputus asa namun sangkaannya meleset. Lelaki itu muncul lagi hari ini.

“Apa khabar?”tanya Izz Rayyan lembut. Dia tahu Damia terkejut dan tidak selesa dengan kehadirannya. Dia rindukan Damia setelah hampir 2 bulan dia tidak berjumpa atau  lebih tepat menganggu Damia.

Damia melihat Izz Rayyan dengan penuh minat. Kacak pula penampilan dia sekarang.

“Alhamdulillah. Baik. Buat apa kat sini? Tiba-tiba saja muncul.”tanya Damia yang agak keras kedengaran suaranya.

 “ Kebetulan saja saya lalu kat sini lepas tu saya ternampak macam awak. Lagipun saya tak pasti sangat yang tadinya awak. Saya cuba nasib tegur dan tekaan saya betul.”Izz Rayyan tersengih.

Damia mengangguk. Tidak patut kalau dia nak naik angin kepada Izz Rayyan tanpa sebarang alasan. Lagipun Izz Rayyan bukan mengikutnya.

“Okey, aku balik dulu.”Damia ingin melangkah masuk ke perut kereta tanpa menghiraukan Izz Rayyan lagi.

“Boleh tak kalau kita pergi minum sekejap?”tanya Izz Rayyan hanya mencuba nasib. Dia tahu mesti Damia akan menolak mentah-mentah ajakan dia itu. Dia faham sekiranya Damia menolak.

Damia memandang muka Izz Rayyan. Kesian pula kalau menolak. Lagipun apalah salah lelaki ni sampaikan aku perlu membencinya sebegitu sekali. Bukan benci tapi tak suka.

Damia melihat jam di dashboard keretanya. Sudah pukul 6 petang. Dia belum solat asar lagi. Nak tolak ajakkan Izz Rayyan tu tak sampai hati pula. Damia mengetuk-ngetuk jarinya di stereng kereta. Seperti memikirkan sesuatu. Izz Rayyan pula setia menunggu jawapan daripada Damia.

“Boleh. Tapi aku belum solat asar lagi.”kata Damia seolah-seolah cuba meminta cadangan daripada Izz Rayyan.

Hati Izz Rayyan mengorak keriangan. Akhirnya Damia mahu juga keluar dengannya.

“Tak solat lagi? Awak tahu tak baik lewat-lewatkan solat.Kalau macam tu kita singgah kat masjid dululah.”Izz Rayyan memberi cadangan.

Damia mengangguk. Tak pasal-pasal kena dengar leteran daripada Izz Rayyan. Damia bukannya sengaja nak lewat-lewatkan tapi tidak sangka waktu begitu cepat sangat berlalu.

“Okeylah kalau macam tu. Jomlah.”Damia menyetujui cadangan Izz Rayyan.

“Awak naik kereta saya sajalah. Kalau naik kereta asing-asing nanti susah pula. Awak tahukan petang-petang macam ni jalan kat KL ni macam mana. Nanti lewat pula sampai. Boleh tak kalau macam tu?” Izz Rayyan sekali lagi memberi cadangan.

Damia membulatkan matanya. Kena naik kereta sekali dengan lelaki sawan ni ke?

“Habis tu kereta aku macam mana? Esok aku nak datang kerja nak naik apa?”

“Tak apa. Pasal hal itu jangan risau. Esok pagi saya yang hantar awak pergi kerja. Lagipun saya tak kerja esok.”

Damia memandang muka Izz Rayyan. “Tak naklah. Aku tak suka susahkan orang.”Damia menolak.

Izz Rayyan menyandarkan badannya ke kereta Damia. Degil betullah si Damia ni.

“Tak menyusahkan pun. Untuk awak tak ada yang menyusahkanlah.”Izz Rayyan cuba memujuk Damia.

“Lain kalilah kita keluar. Tak sukalah buat kerja kalut-kalut macam ni.”

Izz Rayyan mengeluh panjang. “Tapi awak dah setuju tadi. Tak acilah macam tu.”

“Okeylah… Tapi aku tetap nak naik kereta aku juga. Full stop!!!”kata Damia tegas. Dia tetap dengan pendiriannya.

Izz Rayyan mengangguk tanda setuju. Kalau dah degil tu memang tak boleh nak buat apa lagi. Itulah Nurul Zara Damia Alisya. Gadis yang sangat degil.

“Kalau awak dah kata macam tu, saya setuju sajalah. Saya ikut awak dari belakang.” Izz Rayyan memberi kata putus.

Damia tersenyum puas. Dia sudah membuka pintu kereta semula. Izz Rayyan sudah pun berjalan menuju ke keretanya. Damia ingin menghidupkan enjin. Namun tidak berjaya. Sudah banyak kali Damia cuba menghidupkan enjin keretanya namun hasilnya hampa.

Damia mengeluh. Kereta ni nak buat hal pun sekaranglah. Izz Rayyan sudah sampai bersama keretanya di mana terletaknya kereta Damia. Izz Rayyan menjenguk melalui tingkap.

“Tak boleh hiduplah pula. Geram betullah.” Damia mengadu kepada Izz Rayyan.

Izz Rayyan turun dari keretanya lalu menuju ke kereta Damia. Dia turut cuba menghidupkan enjin kereta Damia namun usahanya sia-sia. Enjin kereta itu tiada tanda-tanda mahu hidup. Izz Rayyan memandang Damia yang peluh sudah mula mengalir di muka. Nak tergelak pun ada juga. Inilah akibatnya kalau degil. Izz Rayyan tersenyum.

“Saya tak tahu bab-bab kereta ni. Itulah saya cakap tadi naik kereta saya. Nanti saya call mekanik suruh baiki kereta awak ni. Tinggal kat sini dulu.”leter Izz Rayyan.

“Yer,  salah aku. Hang ni memang suka berleter ke?”perli Damia.

Izz Rayyan mencekak pinggang. Merah muka Izz Rayyan mendengar  Damia memerlinya itu. Padan muka kau Izz Rayyan. Ambil sebiji.

“Dah awak degil sangat. Kenapa awak takut nak naik kereta saya? Takut saya culik awak ke atau awak memang tak sudi nak naik kereta wira saya ni?”

Damia terkedu. Suara Izz Rayyan begitu ketara sekali. Takkanlah pasal aku tak mahu naik kereta dia, dia dah terasa hati? Aku bukan macam tu ya.

“Bukannya macam tu. Tapi adalah sikit keraguan tu. Mana tau kot-kot hang culik aku ke nanti.  Kalau aku naik kereta aku sendiri risiko hang nak culik aku tu kurang sikit sebab aku boleh top speed kereta bila hang di syaki mahu kidnap aku. Damia tersengih.

Izz Rayyan menggelengkan kepalanya. Ada saja jawapan yang keluar dari mulut Damia menjawab setiap perkataan yang dikatakan oleh Izz Rayyan.

“Awak tak perlu risau kalau saya culik awak pun, saya takkan bawa awak pergi mana-mana. Saya bawa awak balik rumah saya saja jumpa mama saya. Kenalkan bakal menantu mereka yang cute dan degil ni.:”

Merah padam muka Damia. Mana taknya, malu dipuji dan dikutuk sekaligus.

“Dah jomlah cepat. Aku nak solat asar ni.”Damia mengalih topik perbualan.

Damia melihat jam. Tinggal beberapa minit saja lagi waktu asar akan berakhir. Izz Rayyan mengikut sahaja kata-kata Damia tanpa banyak soal. Deruman enjin kereta wira yang diubahsuai milik Izz Rayyan mula meninggalkan kawasan tempat letak kereta itu.

6 comments:

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH