Damia melangkah masuk ke dalam pejabat yang begitu asing baginya
dengan penuh berhati-hati. Terasa berdebar-debar di hatinya makin kuat pula.
Hari ini hari pertama Damia akan memulakan pekerjaannya sebagai HR sebuah
syarikat. Perasaan sudah bercampur baur. Gementar, takut, gembira semua sudah
mula menguasai dirinya.
Damia menuju ke arah meja yang berdekatan dengan pintu masuk pejabat
itu. Di situ ada seorang wanita sedang khusyuk menulis sesuatu sehinggakan
tidak langsung menyedari kehadiran Damia.
Sebelum itu Damia sekarang sudah bertukar menjadi perempuan dan
kembali ke fitrahnya. Dia memakai baju blaus, seluar panjang berwarna putih dan
mengenakan selendang merah jambu yang digayakan seperti penyanyi Yuna itu.
Begitu cantik sekali. Ini semua adalah idea daripada Hanis. Damia masih lagi
terasa kekok untuk menyesuaikan dirinya. Tidak dinafikan dia rimas apabila
selendang ini berbelit sana sini tapi Damia cuba untuk menyesuaikan diri.
Lagipun baru pertama kali Damia memakai selendang.
Damia menarik nafas panjang lalu menghembus perlahan. Hatinya kurang
sedikit rasa berdebar.
“ Assalamualaikum…”
Wanita yang sedang tunduk itu mengangkat kepala selepas mendengar ucapan
yang diucapkan oleh Damia. Wanita yang tinggi lampai dan kulit kuning langsat
ini merupakan setiausaha syarikat ini. Mata Damia sempat mencuri melihat tag
nama yang tersemat di baju wanita di hadapannya ini. Laila namanya.
Laila mengukirkan senyuman. “Waalaikumussalam. Erm, Cik Zara Damia
Alisya ke?”tanya Laila ingin tahu. Dia telah diberitahu bahawa hari ini ada
seseorang yang akan mendaftar diri bagi mengisi jawatan syarikat.
Damia mengangguk sambil senyuman yang tidak lekang dari bibir
munggilnya itu.
"Ya, saya. Panggil Damia saja. Tak perlu sebut panjang-panjang. Buat
susah aje.”beritahu Damia tanpa disuruh.
Laila tergelak kecil. Hampir tergeliat juga lidah dia tadi semasa
ingin menyebut nama yang panjang berjela itu.
“ Sedap nama cik Damia sesuai sangat dengan orangnya. Cik Damia
duduk dulu. Kejap saya nak inform bos saya pasal kedatangan cik.”
Damia hanya menurut sahaja. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan
punggungnya di atas kerusi. Matanya liar memerhati sekeliling pejabat tersebut.
Hanya terdapat beberapa orang pekerja sahaja yang berada di dalam pejabat.
Barangkali ada mesyuarat atau mungkin memang sebanyak itu sahaja pekerja yang
bekerja di situ. Damia membuat andaian sendiri.
“Cik Damia, sila ikut saya.” Laila berkata sopan. Damia bingkas
bangun dari kerusi lalu menyusun langkah untuk mengikut jejak Laila menuju ke
biliknya pemilik syarikat tersebut.
Laila mengetuk pintu. Di pintu tersebut terdapat satu tag nama yang
tertulis “Fakhir Hakimi” Pengarah Urusan Syarikat. Sedap nama tu. Mesti
orangnya kacak seperti namanya. Alangkah seronoknya bekerja jika setiap hari
dapat jamu mata. Damia mula tersenyum nakal.
Pintu sudah terkuak. Laila sudah melangkah masuk sambil diikuti
dengan Damia. Hatinya hanya tuhan saja yang tahu. Berdebar-debar rasanya. Bagai
mahu tercabut sahaja jantungnya ini.
Fakhir Hakimi sudah semestinya menantikan kehadiran Damia. Fakhir Hakimi
tersenyum sejurus sahaja Damia dan Laila melangkah masuk ke dalam biliknya.
“Nurul Zara Damia Alisya. Selamat datang ke Mutiara Holding.”ucap
Fakhir Hakimi sambil tersenyum lebar. Damia turut mengukirkan senyuman.
Kacaknya muka bosnya ini. Tinggi lampai, putih melepak, hidung
mancung, kening lebat, dan yang paling penting rambutnya disikat disikat turun
ke bawah seperti artis Korea. Handsomenya…
“Kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu.”kata Laila itu
memecahkan khayalan Damia. Sempat lagi dia berangan.
Fakhir Hakimi mengangguk.
“ Okey… Terima kasih, Laila.”
“Jangan nakal-nakal Kimi.”pesan Laila sebelum melangkah keluar dari
bilik Hakimi
Pintu bilik Fakhir Hakimi ditutup. Kini tinggal mereka berdua sahaja
di dalam bilik itu. Untuk sesi suai kenal. Damia berasa segan sekali. Mana
taknya, diakan sudah jadi wanita melayu terakhir pada hari ini.
Fakhir Hakimi memandang muka Damia. Cantik orangnya. Kalau sekali
pandang seperti Diana Amir pun ada. Untungnya kalau dapat jadi teman wanita
aku. Sempurna sahaja bila terpandang. Giliran Fakhir Hakimi pula berangan.
“Duduk dulu. Nanti saya tunjukkan bilik awak.”pelawa Fakhir Hakimi.
Matanya tidak lari dari terus memandang wajah mulus milik Damia itu. Sudah naik
rimas pula Damia apabila dipandang sedemikian rupa. Macam tak pernah tengok
perempuan pula bosnya ini.
“So, awak telah diterima bekerja di sini sebagai HR syarikat ni.
Jadi saya beri kepercayaan sepenuhnya kepada awak. Saya harap awak dapat
jalankan tugas awak dengan baik. Yang penting sekali, amanah. Sebelum ni sudah
ramai yang bekerja bahagian ni tapi mereka tak amanah. Jadi saya harap awak
bukan yang macam tu.”pesan Fakhir Hakimi dengan nada suara yang agak tegas.
Damia terangguk-angguk mendengar segala pesanan Fakhir Hakimi.
“Insyallah, bos. Saya akan berusaha untuk jalankan kerja saya dengan
baik dan saya tidak akan sesekali memecahkan kepercayaan bos kepada saya.
Terima kasih kerana beri sepenuhnya kepercayaan kepada saya. Saya berjanji akan
jalankan tugas saya dengan penuh amanah.”
Kini giliran Fakhir Hakimi pula mengangguk. Suka benar dia melihat
celoteh Damia.
“Kalau macam tu, jom saya tunjukkan awak bilik awak. Bilik awak
sebelah bilik saya saja. Jadi senanglah kalau saya nak usha-usha awak nanti.Mana
tau kot-kot awak curi tulang nanti.” Fakhir Hakimi tersenyum nakal.
Damia tersengih. Ada
hati nak mengorat akulah tu. Tak apa Fakhir Hakimi. Aku sudi terima. Perangai
gatal sudah mula menguasai diri.
“Saya pun boleh juga usha-usha bos.”seloroh Damia.
Fakhir Hakimi ketawa. “ Jangan panggil saya boslah. Nampak formal
sangat. Panggil Kimi saja. Lagipun lebih mesra kalau panggil Kimi. Bos ni
nampak sangat saya ni macam tua lah pula. Kalau awak nak tahu, staf kat sini
semua panggil saya Kimi. Saya tak suka menganggap diri saya ni bos. Saya rasa
kita sama saja...”pesan Fakhir Hakimi merendah diri.
“Tak apa… Tua, tua pun handsome
lagi.”
“Kimi handsome erk?
Agak-agak lepas tak syarat nak jadi boyfriend
Damia?” sengaja Fakhir Hakimi menanyakan soalan sedemikian. Niat hanya
ingin mengusik.
Damia membulatkan matanya. “ Kena balik fikir dululah bos. Tak boleh
nak bagi jawapan sekarang.” Damia tersengih lagi.
“Tengok tu. Bos lagi. Please,
just call me Kimi. Kalau sekali lagi panggil bos, Kimi denda Damia.”
“Denda? Denda apa?” Damia mengerutkan dahinya.
Fakhir Hakimi mengenyitkan matanya.
“ Adalah. Rahsia.”
Damia memuncungkan mulutnya. Cepat betul mereka berdua mesra. Sudah
seperti kenal lama pula. Padahal tidak sampai sejam pun mereka berkenalan. Itulah
bila masing-masing satu kepala, maka cepat mesralah jadinya.
“Buatlah muncung tu selalu ye.
Nanti Kimi gunting baru tau.” Fakhir Hakimi mula selesa dengan kehadiran Damia.
“Guntinglah kalau berani. Bos kata….” Damia menekup mulutnya.
Tersilap sebut pula dah. Matilah aku. Apalah denda yang dia nak bagi kat aku
ni? Redha sajalah.
“Okey, Mia dah kena denda. Dendanya ialah tengahari ni keluar makan
dengan Kimi. Okey?” Fakhir Hakimi mengangkat kening sebelah kanan. Dia menunggu
jawapan daripada Damia.
Damia menarik nafas lega. Ingatkan denda apa tadi yang mahu
diberikan oleh bosnya itu. Bukan setakat makan tengah hari saja, sarapan, makan
malam pun aku sanggup. Gatalnya kau Damia.
“Ingatkan apalah tadi. Boleh asalkan Ki…mi yang belanja.” Rasa kekok
pula rasanya untuk mengelarkan Fakhir Hakimi seperti itu. tersekat-sekat suara
Damia.
Fakhir Hakimi tersenyum sehingga menampakkan giginya yang tersusun
rapi. Kelakar rasanya bila Damia seperti teragak-agak untuk menyebut namanya.
Fakhir Hakimi tahu yang Damia kekok dengannya.
“Kimi belanja, Damia bayar. Okey tak macam tu?”
Damia membulatkan matanya. Lebih baik tak payah. Nak kenakan akulah
tu. Jangan harap. Nurul Zara Damia Alisya bukan orang yang mudah menyerah
kalah.
“Kalau macam tu cancel lah...”
“Eh… jangan…jangan..”pantas sahaja Fakhir Hakimi menghalang.. “Tak
apa saya belanja. Kita ajak Laila sekali boleh?” Fakhir Hakimi memberi
cadangan.
Damia mengangguk.
“Memang bercadang nak ajak dia sekali. Takkanlah kita nak keluar dua
sahaja. Nanti tak pasal-pasal kena belasah dengan girlfriend Kimi.”
“ Insyallah tak marah… Ada
pun macam tak ada saja.”Fakhir Hakimi berkata lemah. Fakhir Hakimi bangun dari
kerusinya.
Damia mengerutkan dahinya. “Kenapa pula?”tanya Damia ingin tahu.
Senyuman tidak lagi terukir di bibir kemerahan milik Fakhir Hakimi. Pasti ada
sesuatu yang berlaku di antara Fakhir Hakimi dan teman wanitanya.
“Abaikan… Malas nak fikir.” Fakhir Hakimi seperti tidak berminat
untuk bercerita lebih lanjut mengenai apa yang berlaku. Dia berjalan menuju ke
pintu. Mungkin bercerita tentang teman wanita membuatkan dia menjadi muram.
Damia mengangguk tanda faham. Dia tidak mahu memaksa Fakhir Hakimi
bercerita mengenai hal peribadinya. Dia bukan sesiapapun kepada Fakhir Hakimi.
Tambahan pula mereka baharu sahaja berkenalan tidak sampai pun sehari.
Damia turut bangun dari kerusi. Dia hanya mengikut jejak langkah
Fakhir Hakimi tanpa sebarang suara. Mood bosnya sudah tidak baik. Jadi dia
takut untuk menegurnya.
Laila yang menyedari kehadiran mereka berdua bangun sebagai tanda
hormat. Laila mengukirkan senyuman kepada Damia dan Fakhir Hakimi.
“Laila, kejap lagi keluar makan dengan Kimi dan Damia.”arah Fakhir
Hakimi.
Laila mengangguk. “ Siapa belanja?”
Fakhir Hakimi mengukirkan senyuman. Dia menjeling ke arah Damia yang
setia berdiri di sebelahnya.
“ Damia belanja. Tadi dia
kata nak makan apa makan aja. Dia bayar. Ya kan , Damia?”
Damia menjengilkan matanya kepada Fakhir Hakimi sambil mencekak
pinggang. Amboi. Nak kenakan aku yer? Tunggu kejap tau.
“Eh, bukan Kimi yang kata tadi nak belanja? Kimi kata nak bawa kami
makan kat hotel lagi. Kimi yang tolong bayarkan.”Damia membalas kembali.
“Kalau macam tu saya nak ikut sangat-sangat. Rezeki jangan ditolak.”
Laila tersengih.
“Eh… Bila Kimi kata? Jangan nak bohong yer Damia.”
“Tadi Kimi kata. Jangan nak buat lupa pula. Itulah suka makan kepala
ikan banyak sangat. Kan
dah lupa.”Damia menayangkan wajah selamba. Hatinya terasa bahagia dapat kenakan
Fakhir Hakimi. Ambil kau. Nak kenakan aku sangat.
Laila tergelak kecil sambil menggelengkan kepalanya.
“Sudah-sudah… Jangan gaduh kat sini. Kalau dua-dua tak nak belanja
biar saya saja yang belanja. Senang cerita.”
Fakhir Hakimi dan Damia memandang muka Laila. Kemudian mereka
sama-sama tersenyum.
“Awak ni, Laila. Kimi melawak saja. Kimi yang belanja. Damia, jom
saya tunjukkan bilik awak. Nanti kita berbual lain.”
Laila hanya mampu tersenyum melihat telatah mereka berdua. Selepas kedua-duanya sudah hilang dari
pandangan mata, Laila menjalankan kerjanya yang tertangguh sebentar tadi.
---------------------
Seperti yang dijanjikan, tengah hari itu mereka bertiga keluar
makan. Mereka memilih untuk makan makanan kampung. Ini semua idea Fakhir Hakimi.
Katanya mahu tukar selera pula. Selalu sangat makan makanan ala-ala barat
sekali-sekala merasa pula makan makanan kampung.
Mereka memilih meja yang agak terpencil supaya tidak terdapat
sebarang gangguan. Pelayan restoran mengambil pesanan. Selepas mengambil
pesanan, mereka berbual kosong sementara menanti pesanan siap dihidangkan.
“Kejap ye. Saya nak pergi ladies
jap.” Damia memberikan beg tangannya kepada Laila. Rimas rasanya dengan beg
tangan segala.
“Nak Kimi teman?”tanya Fakhir Hakimi sambil tersenyum nakal.
Tangan Damia spontan sahaja menampar bahu Fakhir Hakimi. Laila sudah
tergelak. Suka sangat tengok hubungan mereka berdua. Fakhir Hakimi suka sangat
mengusik Damia. Yang Damia pula cepat naik angin. Silap usik lebamlah Fakhir
Hakimi nanti.
Damia mendengus. Malas sudah nak melayan perangai nakal Fakhir
Hakimi. Dia berjalan laju menuju ke ladies. Sudah tidak menghiraukan orang
sekeliling. Cara jalannya sudah pun berubah. Tadi jadi wanita, sekarang tidak
lagi. Perangai tomboynya sudah berjangkit semula.
“Mak hang berterabuq,”latah
Damia selepas terlanggar dengan seseorang ketika mahu ke tandas.
Lelaki yang dilanggar oleh Damia tadi mengambil cermin mata hitamnya
yang sudah jatuh ke lantai. Damia pula masih lagi berada di awang-awangan.
Masih terkejut.
“Cik okey ke?”tanya lelaki itu selepas melihat Damia tidak berkata
apa-apa.
Damia mengangguk tanpa menoleh memandang muka lelaki itu. Damia
dengan perasaan yang bercampur baur melangkah laju meninggalkan lelaki yang
masih lagi tercegat di situ.
--------------------
Selepas selesai melepaskan “hajat” Damia melangkah keluar dari
tandas. Perasaan malunya yang menguasai diri sudah hilang sedikit. Dia berharap
agar dia tidak bertemu dengan lelaki tadi lagi.
“Zara….”tegur satu suara dari belakang.
Damia menoleh. Terlopong mulutnya melihat siapa pemilik suara yang
menegurnya sebentar tadi. Tidak sangka dia akan bertemu lagi dengan lelaki yang
selama ini berharap agar tidak bertemu lagi.
“Hang buat apa kat sini? aku dah kata yang jangan ganggu aku lagi.”
Damia menjeling tajam ke arah Izz Rayyan.
Izz Rayyan membuka cermin mata hitam. Dia mengukirkan senyuman.
“ Mana ada saya ganggu awak. Tadi awak yang langgar saya. Jadi
sekarang siapa yang ganggu siapa?”Izz
Rayyan memulangkan pertanyaan kepada Damia.
Damia mengerutkan dahinya. “ Jadi tadi tu hang ka?”
Izz Rayyan mengangguk. Terpesona sebentar apabila dia melihat
penampilan Damia itu. Sungguh cantik sekali berpakaian wanita. Anugerah ALLAH
memang terindah. Tiada bandingannya.
“Awat hang tengok aku macam tu? Macam tak pernah tengok perempuan saja.”
Pertanyaan Damia mematikan lamunan Izz Rayyan.
Izz Rayyan tergelak kecil. Damia ni garang sungguh. Tak pernah
langsung nak cakap baik-baik dengan Izz Rayyan.
“Awak buat apa kat sini?”tanya Izz Rayyan tidak menghiraukan
pertanyaan Damia tadi.
“Aku nak shopping. Itu
yang aku datang sini.”Damia memerli. Dah terang-terang duduk dalam kedai makan
mestilah nak makan. Itu pun nak tanya. Rungut Damia.
Izz Rayyan tergelak lagi.
”Pandai buat lawaklah awak ni. Boleh masuk raja lawak ni.”
“Aku pergi dulu. Malas nak layan hang. Kawan-kawan dok tunggu
aku nak makan.” Damia berlalu meninggalkan
Izz Rayyan. Masanya tidak langsung diperuntukan untuk melayan Izz Rayyan.
Izz Rayyan mengikut jejak langkah Damia. Damia langsung tidak
menyedari Izz Rayyan sedang mengikutnya. Selepas sampai di meja makan, Damia
melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Fakhir Hakimi tersenyum memandang Damia.
Dia mengalihkan pandangannya pula memandang Izz Rayyan.
“Kawan Damia ke ni?”tanya Fakhir Hakimi.
Damia yang masih lagi tidak menyedari kehadiran Izz Rayyan menoleh
memandang ke arah mulut Fakhir Hakimi yang menunjukkan kehadiran kawannya itu. Damia
menjengilkan matanya. Dia ikut aku? Ya ALLAH, gila ka budak Izz Rayyan ni?
Damia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Buntu.
Izz Rayyan mengangguk sambil tersenyum. “ Saya Izz Rayyan.”
Fakhir Hakimi bangun lalu membalas huluran salam daripada Izz Rayyan
mesra.
“Saya Fakhir Hakimi. Panggil saja Kimi. Kawan Damia?”Fakhir Hakimi
bertanya sekali lagi.
Izz Rayyan mengangguk. Damia pula mukanya sudah merah. Mungkin
menahan marah.
“Jemputlah duduk dulu. Kami pun belum makan lagi. Kejap saya panggilkan
waiter.”pelawa Fakhir Hakimi sambil
tersenyum.
“Boleh ke?”soal Izz Rayyan pula.
Damia yang duduk di sebelah Laila mengigit bibir. Geram dengan Izz
Rayyan. Dasar muka tak malu. Sejak pertemuan di pusat beli-belah tempoh hari,
Damia sering mengelak daripada Izz Rayyan. Dia menerima berpuluh-puluh
panggilan telefon dan juga pesanan ringkas daripada Izz Rayyan namun dia buat
tak endah saja. Cukuplah setakat hari itu sahaja mereka berjumpa. Lagipun salam
persahabatan yang diterima oleh Damia hanyalah jalan untuk Damia melepaskan
diri dari terus diasak oleh manusia yang bernama Izz Rayyan.
Cuma yang menjadi persoalannya sekarang adalah dari mana Izz Rayyan
mendapat nombor telefon bimbitnya. Dia tidak akan sewenang-wenangnya memberikan
nombor telefon bimbitnya kepada orang asing tambahan pula lelaki sewel ini.
Semakin hari semakin pelik dengan Izz Rayyan. Apakah mungkin kata-kata Izz
Rayyan sebelum ini adalah betul belaka yang dia adalah ahli nujum yang mampu
untuk tahu semua tentang dirinya? Damia resah.
“Duduklah kalau tak malu.” Damia akhirnya bersuara. Lantaklah
tanggapan yang mahu diberikan oleh Fakhir Hakimi dan Laila nanti.
“Memandangkan saya muka tak malu, jadi saya duduklah.” jawab Izz
Rayyan lalu menarik kerusi duduk sebelah Damia.
Fakhir Hakimi dan Laila berpandangan sesama sendiri. Sejurus
kemudian mereka ketawa. Damia dan Izz
Rayyan seperti sedang bergaduh saja pun.
Damia menekan-nekan ikan bakar yang ada di dalam pinggannya dengan
garfu. Dia cuba mengawal marah dan rasa geramnya. Kalau diikutkan hati nak
pergi cucuk sahaja mata Izz Rayyan tu. Sengal sungguh lelaki ini.
“Mia, kenapa macam marah saja ni?” Fakhir Hakimi yang sedar akan
kelakuan Damia bertanya.
Damia menghentikan kelakuannya. Dia mengukirkan senyum paksa. Izz
Rayyan disebelahnya dijeling tajam.
“Bukan setakat marah, geram, sakit hati, meluat semuanya ada.” Damia
meluahkan rasa marahnya. Ambik kau. Damia bukannya seorang yang jenis
berpura-pura. Dia lebih suka berterus-terang dari terus memendamnya seorang
diri. Nanti hatinya tak tenang.
Fakhir Hakimi berkerut dahi. Memang sah ada sesuatu yang terjadi
antara Damia dan Izz Rayyan. Kalau tidak tak akanlah Damia berkelakuan
sedemikan.
“Kenapa?”Fakhir Hakimi cuba mengorek cerita.
Izz Rayyan dan Laila hanya memasang telinga. Dalam masa yang sama,
Izz Rayyan tersenyum dalam hati. Dia tahu kenapa Damia berkata sedemikian.
Tidak lain tidak bukan kata-kata itu tadi ditujukan kepada dirinya. Izz Rayyan
sengaja berbuat demikian dengan menerima pelawaan daripada bos Damia. Salah
Damia juga. Kalau dia jawab telefon dan balas pesanan yang dihantar oleh Izz
Rayyan mungkin perkara ini tidak terjadi. Apabila salam persahabatan
dihulurkan, Damia pula mengelak. Sungguh tidak adil.
“Faham-faham sendirilah.”balas Damia. Dia kembali menguis nasi yang masih
belum dijamah lagi. Seleranya sudah hilang. Tadi perutnya mungkin bernyanyi
riang tapi sekarang tiada lagi. Perasaan geram dan sakit hati dengan Izz Rayyan
mengatasi rasa laparnya.
“Korang bergaduh ke?” Laila pula menyampuk. Dia memandang muka Izz
Rayyan dan Damia silih berganti.
“Tak adalah. Kami baik saja. Kan Zara?”Izz Rayyan menjawab bagi
pihak Damia. Wajah Damia dipandang sekilas melalui ekor matanya. Jelas
terpancar wajah tidak puas hati yang ditunjukkan. Izz Rayyan geli hati.
Damia mendengus kasar. Kenapa kau harus hadir dalam hidup aku, wahai
lelaki sewel?
“Arwah nenek aku ada pesan kalau bercakap biarlah betul dan tak
berbohong kerana takut makan diri. Betulkan, Izz Rayyan?” Damia senyum
dibuat-buat. Dia memerli lelaki itu habis-habisan. Permainan baru sahaja
bermula.
Izz Rayyan mengangguk. “ Setuju. Kami memang tak ada masalah.”
Damia menepuk dahinya. Kakinya dibawah meja dihentak-hentak bagi
melepaskan geram. Lelaki ini tidak
mengertikah yang dirinya sedang diperli oleh Damia? Kenapalah lelaki yang lurus
bendul seperti Izz Rayyan ini harus dilahirkan ke dunia? Ya Allah, sakitnya
jiwa Damia bila berhadapan dengan Izz Rayyan.
“Baiklah. Makanan Izz pun dah sampai jadi kita makan dulu. Nanti
sejuk tak sedap pula.” Fakhir Hakimi bersuara. Dia nak sangat tahu siapa lelaki
ini tapi Fakhir Hakimi simpan dahulu. Nanti bila ada masa dia akan bertanyakan
kepada Damia.
“So sweet. Makanan Mia dan
Izz Rayyan samalah. Jodohlah korang ni.” Laila memuji sambil tangannya ditepuk.
Beria-ria pula Laila ini.
Izz Rayyan dan Damia saling memandang makanan yang terhidang. Betul
kata Laila. Sama lagi serupa. Izz Rayyan tersengih. Kebetulan sahaja itu kerana
ini bukan dalam rancangannya. Bahagianya Izz Rayyan rasa. Tidak dinafikan lagi
mereka memang ada jodoh. Izz Rayyan sangat yakin.
“Tolonglah, Laila. Kebetulan sahaja ni. Kalau Laila nak tahu, Izz
Rayyan ni memang suka tiru orang.” Damia membalas dengan menghantam Izz Rayyan
daripada kata-katanya. Padan muka.
“Tak salahkan?”
“Memanglah tak salah tapi kalau suka sangat tiru orang itu maknanya
tak ada pendirian yang kukuh. Orang kalau tak ada pendirian ini susah sikit nak
hidup. Hidup apabila suka bergantung kat orang lain akan menjadi susah. Faham?”
balas Damia bertubi-tubi.
“Iya ke? Tapi saya rasa tak susah kot kalau saya tak ada pendirian
sebab saya bergantung kat awak. Jadi tak ada masalahnya disini.”
Damia beristifar dalam hatinya. Izz Rayyan memang tidak pernah kenal
erti kalah. Ada saja jawapan yang membuatkan Damia hilang kata-kata. Akibat
malas nak membalas lagi, Damia kembali menumpukan perhatiannya kepada makanan
yang terhidang. Lagi dia layan lelaki ini lagi merenglah otaknya.
“Bergaduh saja dari tadi Kimi tengok. Macam anjing dengan kucing.
Cepatlah makan, nanti sejuk tak sedap.”Fakhir Hakimi mula mencelah selepas
melihat muka Damia sudah mencuka kerana lelaki yang memperkenalkan dirinya
sebagai kawan kepada Damia. Tapi kalau kawan kenapa Damia seperti tidak suka
dengan kehadiran lelaki ini?
“Baca doa dulu, wahai Cik Zara Damia. Kalau tak baca nanti makan
dengan syaitan.”tegur Izz Rayyan selepas melihat Damia ingin menyuapkan nasi ke
dalam mulutnya tanpa berdoa terlebih dahulu.
Muka Damia sudah menukar rona. Dia meletakan sudu perlahan-lahan.
Dia tidak marah tetapi malu apabila ditegur begitu. Tambahan di hadapan Laila
dan Fakhir Hakimi yang baru sehari mereka berkenalan. Izz Rayyan sukar dijangka
perangainya. Sudahlah datang tanpa izin kemudian suka sangat mengenakan orang lain.
Kalau Damia tidak memikirkan mereka berada di mana dah lama Izz Rayyan kena
belasah dengan Damia. Nasib baik akalnya masih lagi waras.
Izz Rayyan mengetuai bacaan doa mereka. Sebaik sahaja selesai
membaca doa mereka menjamu selera. Fakhir Hakimi dan Izz Rayyan lebih banyak
berbual berbanding Damia dan Laila yang hanya menjadi pendengar setia. Sesekali
Damia menjeling melihat muka Izz Rayyan. Kacak! Tapi sayang otak sewel. Damia
mengukirkan senyuman.
“Kenapa senyum?” Izz Rayyan membisikan di telinga Damia. Tanpa Damia
sedar segala perlakuannya diperhatikan oleh Izz Rayyan dari tadi. Izz Rayyan
tahu sejak tadi Damia asyik mencuri-curi melihat mukanya. Satu perubahan yang
baik.
Damia tersentak. Dia tak sangka pula Izz Rayyan perasan akan
kelakuannya. Memang sah lelaki ini adalah ahli nujum pak belalang. Semua yang
dia buat pasti akan disedari oleh Izz Rayyan.
“Siapa senyum kat hang? Perasan!”balas Damia tidak memandang Izz
Rayyan. Sepenuh perhatiannya dilemparkan kepada nasi yang hanya tinggal separuh
sahaja lagi perlu dihabiskan.
“Orang gila saja yang senyum sorang-sorang.” Izz Rayyan tersengih.
“Mulut tukan memang tak ada insurans agaknya. Sedap saja kata kat aku
gila.”
Izz Rayyan tergelak kecil.
“Bila saya kata kat awak? Saya kata orang gila. Kalau awak rasa diri
awak orang gila silakan. Saya tak kisah.”jawab Izz Rayyan selamba. Segaris
senyuman terhias di bibirnya.
Damia mendengus kasar. Damia menghirup jus oren yang terhidang bagi
menghilangkan rasa panas berbara terhadap Izz Rayyan. Sejurus kemudian, Damia
tersedak. Tersembur keluar jus oren dari mulut Damia. Nasib baik Izz Rayyan
sempat mengelak. Kalau tidak basah baju yang dipakai oleh Izz Rayyan itu.
“Are you okay, Mia?”Fakhir
Hakimi yang sedang berbual dengan Laila bertanya cemas. Terkejut dia apabila
Damia tiba-tiba sahaja tersedak.
Damia mengangguk. Laila bangun lalu mengurut belakang Damia. Damia
masih lagi terkulat-kulat. Tisu yang dihulurkan oleh Izz Rayyan disambut kasar.
Semua ini kerana hang, Izz Rayyan. Bencinya aku. Marah Damia dalam hatinya.
“Nasib baik tak kena baju saya.” Izz Rayyan melihat setiap inci
bajunya. Tak ada yang kotor. Sebenarnya dia sedang menahan tawanya daripada
terhambur. Dia sengaja berbuat demikian kerana nak tergelak melihat muka Damia
yang sungguh tidak puas hati itu. Kalau terkena tadi pun, Izz Rayyan tak kisah
tapi disebabkan ingin membuatkan Damia bengang dengannya , dia cuba menukar
topik.
“Itulah marah lagi kat bakal suami.”Izz Rayyan membisik selepas
Damia kembali tenang dan suasana kembali seperti biasa.
Damia membuntangkan matanya. Terkedu dengan ucapan yang dibisikan di
telinga kanannya.
“Hang nak apa sebenarnya ni? Kenapa hang ganggu kehidupan aku?”
Damia bertanya perlahan. Dia nak sangat tahu apalah yang dimahukan oleh Izz
Rayyan daripada dirinya. Tak pernah serik langsung.
“Salah awak juga. Siapa suruh awak tak balas sms saya dan jawab bila
saya telefon? Jadi jangan marahkan saya kalau saya buat sesuatu yang luar
jangkaan awak.” Izz Rayyan mengugut.
Mulut Damia terbuka sedikit. Luar jangkaan? Maksudnya? Apa yang mahu
Izz Rayyan lakukan kepada dirinya? Entah-entah dia nak….. arghhh… Damia
menjerit dalam hati.
“Suka hati akulah nak jawab ke tidak. Hang tak ada hak nak paksa
aku.” Damia masih lagi berdegil. Dia tidak akan mengalah hanya kerana lelaki
sewel disebelahnya ini.
“Jadi suka hati sayalah nak ganggu awak pun. Awak tak ada hak nak
halang saya. Barulah adil.”
Izz Rayyan melihat jam dipergelangan tangannya. Sudah lewat untuk
masuk ke pejabat. Kedatangan dia ke restoran itu adalah hendak membeli nasi
bungkus sahaja kerana kerja di pejabat yang bertimbun perlu disiapkan. Tak
sangka pula boleh berjumpa dengan Damia. Apa lagi, kerjanya letak tepi misi
memikat hati Damialah menjadi keutamaannya.
“Waiter! Kira
semua.”panggil Izz Rayyan kuat.
“Eh, tak perlu. Kimi yang belanja.”Fakhir Hakimi pantas menghalang.
Izz Rayyan senyum. Dia tidak mengendahkan larangan daripada Fakhir
Hakimi itu. Duit dalam dompetnya dikeluarkan lalu dihulurkan kepada pelayan
restoran.
“Tak apalah, Kimi. Saya belanja. Lagipun bila lagi nak belanja
kawan-kawan bakal isteri.” Izz Rayyan tersengih sejurus matanya dikerling
sekilas kepada Damia.
Damia menundukan kepalanya. Izz Rayyan bila bercakap memang tak
tapis langsung. Ikut sedap dia keluar sahaja. Kalau diberikan kesempatan dah
lama Damia cili mulut lelaki sewel ni.
Fakhir Hakimi dan Laila
berkerut dahi. Terpinga-pinga memahami kata-kata Izz Rayyan sebentar tadi.
“Maksudnya?”soal Laila.
“Zara ada jawapannya. Baiklah saya minta diri dulu. Kerja kat ofis tu bertimbun. Terima kasih
sebab sudi ajak saya makan sekali.” Izz Rayyan lantas bangun dari kerusi.
Fakhir Hakimi dan Laila juga turut bangun sebagai tanda hormat.
“Jangan ingat boleh lari dari saya tau.” Izz Rayyan membisikan
perlahan ditelinga Damia sebelum dia melangkah meninggalkan mereka disitu.
Damia terkedu. Lelaki ini memang bertekad sungguh dalam memikat
hatinya. Tapi siapa lelaki ini sebenarnya? Kenapa dia tiba-tiba sahaja muncul
dalam hidup Damia? Damia tidak nafikan walaupun dia rimas dengan desakan Izz
Rayyan tapi kadang-kadang nak apabila
bersendirian, dia asyik teringatkan lelaki itu. Lawak jenaka dan perangai
gila-gila Izz Rayyan membuatkan dia tersenyum seorang diri. Apakah dia telah
jatuh cinta dengan Izz Rayyan?
Damia menggelengkan kepalanya laju. Tak mungkin!
No comments:
Post a Comment
- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...
Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH