Hari ini Damia bercadang hendak keluar membeli-belah bersama-sama dengan Hanis. Tujuan dia keluar adalah untuk mencari pakaian untuk dipakai pergi kerja memandangkan beberapa hari sahaja lagi Damia akan memulakan tugasannya disebuah syarikat di ibu kota.
Damia sudah selesai bersiap. Hanis sahaja yang belum turun lagi.
Apalah yang dibuat pun tak tahu. Damia melabuhkan punggungnya di atas sofa
sementara menunggu Hanis bersiap. Damia memegang kesan jahitan di dahinya.
Luka di dahi Damia sudah beransur pulih. Ternyata kesan daripada
jahitan itu akan tersemat di dahinya selama-lamanya. Namun jahitan itu sedikit
pun tidak menjejaskan kejelitaan yang dimiliki oleh Damia.
Tiba-tiba sahaja Damia teringatkan Izz Rayyan. Di kepalanya masih
tertanya-tanya lagi siapa sebenarnya Izz Rayyan, lelaki misteri itu. Asyik
bertembung sahaja mereka berdua. Damia mengukirkan senyuman. Teringat dia
perangai Izz Rayyan yang gila-gila itu. Sikap Izz Rayyan yang gila-gila itulah
yang membuatkan kadang-kadang Damia terasa begitu gembira sekali.
Izz Rayyan. Sedap nama tu. Sekacak tuannya. Muka iras-iras pelakon
Aeril Zafril. Sesiapa yang dapat Izz Rayyan memang beruntung. Kalau ditakdirkan
aku yang dapat Izz Rayyan memang aku ikat kaki dia kuat-kuat supaya tiada orang
yang dapat ambil Izz Rayyan daripadanya. Tapi Izz Rayyan nak ke orang macam aku
ni? Dia mesti dah ada teman wanita. Bohonglah kalau lelaki sekacaknya tiada
teman wanita.
“Hoi!!”sergah Hanis daripada belakang. Damia yang sedang memegang
telefon bimbit hampir mencampakkan ke lantai akibat terkejut dengan sergahan
tadi. Nasib baik Hanis cepat menghalang. Kalau tidak mesti berterabur telefon
pintar milik Damia itu.
Damia mengurut dada. Jantungnya sudah berdengup laju seperti orang
yang baru lepas berlari. Dia memang lemah jika ada yang membuatkannya terkejut. Seperti
mahu luruh jantung dibuatnya.
“Aku minta maaf, Mia. Aku lupa hang lemah. Sorry, sayang.” Hanis
yang sedar Damia betul-betul terkejut memohon ampun. Hanis memang lupa yang
Damia lemah. Kalau tidak mesti dia tidak akan membuatkan sahabatnya itu terkejut
beruk seperti tadi.
Damia menarik
nafas lalu menghembusnya.” Aku okey.
Don’t worry.” Damia tersenyum. Nafasnya masih lagi turun naik.
“Itulah sapa suruh berangan sangat. Teringat kat tunanglah tu.”usik
Hanis.
Usikkan Hanis membuatkan Damia menjengilkan matanya. Tangannya
pantas mencubit paha Hanis. Hanis mengaduh kesakitan sambil menggosok kesan
cubitan maut daripada Damia itu.
“Padan muka hang. Mana aku ada tunang. Dia tu orang gila kalau hang
nak tau. Aku tak pernah kenal dia pun. Dia yang terhegeh-hegeh kata dia tunang
aku. Aku tak suka kat dia pun. Meluat betullah.” Damia melenting. Geram betul
bila diusik sedemikian rupa. Padahal dia tak pernah kenal pun lelaki misteri
tu. Ada-ada sajalah Hanis ni.
“Yang hang terlebih emotional ni
pasal apa? Hang tak suka tapi dia suka. Okeylah tu. Ada juga orang nak kat hang. Terima sajalah
Damia oi. Takkan nak membujang sampai tua.” Hanis tersengih.
Selepas Izz Rayyan menelefonnya, Hanis akan sedaya upaya untuk
mendekatkan Izz Rayyan dengan Damia.
“Taklah. Aku geram kalau hang nak tau.” Damia mendengus kasar. Dia
bangun dari sofa. “ Dahlah. Jom lekas. Malas nak cakap benda yang tak penting
ni.”arah Damia. Hanis tersenyum sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali.
Dia faham perasaan Damia. Damia sebenarnya takut untuk menerima
cinta lelaki. Semua itu disebabkan oleh cara pemakaiannya dan sikapnya yang ke
arah kejantanan sedikit. Dia tahu Damia hanya manusia biasalah yang memerlukan
cinta dalam hidup. Tidak mungkin Damia tidak mempunyai keinginan untuk bercinta
dan berkahwin.
Damia sudah laju melangkah keluar rumah. Hanis mencapai beg
tangannya. Dia turut berjalan pantas selepas melihat muka Damia yang sudah mula masam.Selepas enjin dipanaskan, kereta milik Hanis itu meluncur laju bagi
menuju ke destinasi yang dituju.
**************
Dari satu kedai ke satu kedai mereka lawati. Namun tiada yang
berkenan di hati. Ini semua gara-gara Hanis. Cerewet sangat dalam memilih baju.
Yang ini tak sesuai yang itu tak sesuai. Semua serba tak kenalah. Padahal yang
nak memakainya Damia, tetapi Hanis yang terlebih kalut.
Damia pula mula dah rasa bosan. Dia memang cepat sangat bosan dalam
bab-bab memilih baju ni. Kalau boleh, dia nak saja pakai bajunya yang lama. Senang
sikit. Tak perlu bersusah payah mencari baju. Namun, disamping ingin membeli
baju kerja, Damia juga menyuruh Hanis membantunya untuk memilih baju bagi
mengubah cara pemakaianya. Pasal duit, buat sementara ni Damia masih lagi mampu
untuk membeli-belah.
Kali ini mereka masuk pula ke kedai menjual pakaian lelaki. Damia
mengerutkan dahinya. Hairan kenapa pula perlu masuk ke kedai pakaian lelaki.
Dia memegang bahu Hanis yang laju sahaja mendahului Damia masuk ke kedai
tersebut. Langkah Hanis terhenti.
“Awat hang masuk kedai lelaki ni? Aku bukannya nak jadi lelaki dah.
Aku dah nak ubah imej aku. Hang ni macam tak sokong saja aku nak jadi perempuan.
Kesal betul aku dengan hang.”Leter Damia. Dia memang berasa terkilan apabila
melihat Hanis melangkah masuk ke kedai pakaian lelaki.
Hanis tergelak besar. Orang yang berada di kedai itu semua terarah
kepada mereka. Mana taknya, tiba-tiba sahaja gelak. Kuat pula tu. Muka Damia
penuh dengan tanda tanya.
“Gilalah hang ni.” Damia sudah melangkah keluar semula dari kedai
itu.
Laju saja kaki Hanis mengejar Damia. “ Nanti dulu. Hang ni jangan
buat ayat sedih boleh tak? Aku masuk sini sebab aku nak beli baju kat cik abang
akulah. Esok birthday Faez. Aku
bercadang nak bagi baju untuk hadiah tahun ni.”terang Hanis panjang lebar.
Damia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Kemudian bibirnya
terukir senyuman yang menampakkan giginya yang tersusun rapi. Putih berseri.
Hanis menjeling manja.
“Opss… Aku tersilaplah ni. Dah jom masuk balik. Kita borong
banyak-banyak ya.”Damia seakan-akan memerli sahabatnya. Dalam masa yang sama,
dia sudah termalu sendiri. Namun dia menayangkan muka biasa tanpa sedikit pun
riak bersalah.
Itulah jadinya bila terlebih emosi. Kan dah kena. Damia, Damia. Cukup sensitif
dalam hal-hal yang berkaitan dengan imej dan penampilannya. Hati Damia memang
cepat tersentuh semenjak dia hendak mengubah dirinya.
Damia dengan penuh sabar menanti Hanis memilih baju untuk suaminya.
Hanis sedang khusyuk memilih baju. Katanya, dia ingin memilih baju yang terbaik
untuk Faez sempena ulang tahun kelahiran Faez.
Damia berjalan-jalan di dalam kedai itu sambil menanti Hanis mencari
baju yang sesuai. Dia suka melihat rekaan pakaian yang terdapat dalam kedai
tersebut. Ada
sehelai baju yang berjaya menarik perhatian Damia. Bukan apa sekadar mencuci
mata. Damia membelek harga sehelai baju. Patutlah rekaannya begitu cantik
sekali. Berpadananlah dengan harga yang dipaparkan.
Alangkah bagusnya jika aku ada suami. Boleh juga aku belikan pakaian
ni untuk dijadikan hadiah sepertimana Hanis melakukannya. Cantik baju ni.
Tambahan pula, kalau orang yang memakainya seorang lelaki yang kacak. Pasti
berjaya menaikkan aura seseorang lelaki tersebut.
“Boleh juga kalau nak hadiahkan untuk saya.” Pandangan Damia
terkalih kepada suara yang baru sahaja berkumandang tadi. Tiba-tiba sahaja
suara itu menjelma. Terkejut Damia dibuatnya.
Damia mengeluh. Izz Rayyan tersengih kepadanya. Lelaki itu lagi.
Kenapa dia harus muncul lagi? Takkan semua ini hanya kebetulan sahaja? Damia
tiba-tiba berasa pelik. Bagaikan tidak percaya yang dia akan berjumpa dengan
Izz Rayyan lagi setelah hampir 2 minggu dia berada di Kuala Lumpur .
Damia melangkah laju menuju ke arah Hanis yang masih lagi sibuk
memilih baju. Izz Rayyan mengekori langkah Damia. Damia menghentikan
langkahnya. Dia menoleh ke belakang dan mendengus kasar apabila menyedari Izz
Rayyan mengikutinya.
“Hang nak apa ni? Awat hang ikut aku? Kat mana aku pergi, kat situ
ada hang. Hang ni halimunan ka?”marah Damia. Rimas apabila lelaki tersebut
berterusan menganggunya.
Damia melihat Izz Rayyan hanya tersenyum mendengar ketidakpuasan
hati Damia. Ada
lesung pipit lagi.
“Kan
saya dah beritahu dulu yang saya ni ahli nujum. Mestilah saya tahu kemana saja
awak pergi. Jadi saya ikutlah. Takkanlah tunang tak boleh ikut kot.”Damia
menjengilkan matanya selepas mendengar perkataan tunang yang terpancul dari
mulut Izz Rayyan.
Hanis yang menyedari kehadiran Izz Rayyan hanya tersenyum melihat
gelagat kedua-duanya. Hanis membiarkan sahaja Izz Rayyan mengambil hati Damia.
Hanis amat menyokong sekiranya Izz Rayyan menjadi teman kepada sahabatnya itu.
Dia sudah kenal siapa itu Izz Rayyan.
Damia mendengus kasar. Dia
turut menghadiahkan jelingan tajam kepada Izz Rayyan. Namun, Izz Rayyan tetap
Izz Rayyan. Langsung tidak pernah ambil kisah dengan semua itu. Malah dia suka
melihat Damia marah. Nampak comel gitu.
“Sejak bila aku jadi tunang hang? Aku tak pernah bertunang pun.
Jangan nak memandai tahu. Kalau hang
hantar rombong meminang sekalipun aku takkan terima lelaki gila macam hang.
Muka saja handsome tetapi tak
betul.”rungut Damia kepada Izz Rayyan.
Izz Rayyan tergelak kecil. “Wah, tak sangka awak perasaan saya ni
handsome. Sejak azali lagi. Ada iras-iras Aaron Aziz? Kalau awak nak tahu Aaron Aziz tu abang saya. ”puji Izz Rayyan
sendiri.
Damia mencebik. Muntah hijau Damia apabila mendengarnya. Perasan juga mamat gila ni. Kenapalah dia harus
berjumpa dengan lelaki ini lagi. Kalau boleh dia sudah tidak mahu langsung
bertemu lagi. Biarkan pertemuan mereka setakat di stesen bas sahaja. Namun
jodoh mereka kuat. Izz Rayyan sentiasa muncul di mana-mana
.
“Jangan nak perasan sangatlah. Muka macam bangla jual karpet mengaku
Aaron Aziz konon. Entah-entah memang warganegara bangla.”kutuk Damia geram. Dia
sememangnya sengaja nak membuat Izz Rayyan sakit hati dengannya.
Izz Rayyan ketawa berkekeh-kekeh. Kurang asam betul. Muka aku
punyalah handsome dia boleh kata serupa bangla jual karpet. Buta ke apa si Zara
ni? Gumam Izz Rayyan. Izz Rayyan tak ambil hati pun. Malah dia seronok pula
apabila Damia berlawak seperti ini.
“Saya memang orang bangla. Itu yang saya nak cari perempuan Malaysia
yang boleh dibuat bini supaya dapat terus tinggal di sini.. Kalau awak sudi,
saya tak perlulah pening-peningkan kepala saya lagi. Jadi sudi tak?”balas Izz
Rayyan sambil bibir tidak lekang dari bibirnya.
Damia mengetap bibirnya. Eee.. Geramnya aku. Tak makan saman
langsung lelaki ni.
“Mati hidup balik pun belum tentu aku sudi. Jadi tak perlulah susah
payah nak memikat aku. Aku takkan terpikat langsung kat hang. ”
Izz Rayyan menyeluk tangannya ke dalam kocek seluarnya.
“Tak nak tarik balik kata-kata tu ke?”Izz Rayyan berwajah serius.
Damia berkerut dahinya. Apa maksud lelaki ini? Kenapa perlu dia
tarik semula kata-katanya tadi? Damia memandang muka Izz Rayyan. Tadi bibir itu
asyik tersenyum tapi sekarang tiada lagi. Salah ke kata-kata yang baru ditutur
olehnya sebentar tadi?
“Perlu ke aku tarik semula?”Damia memulangkan pertanyaan kepada Izz
Rayyan.
Izz Rayyan mengangkat kedua-dua bahunya. “Terpulanglah. Tapi jangan
menyesal sudahlah nanti.”
Damia bertambah pelik. Apa yang cuba Izz Rayyan sampaikan ini?
Sungguh dia tidak faham langsung dan masih samar dalam menangkap maksud Izz
Rayyan.
“Awat nak menyesal pulak?”
Izz Rayyan kembali tersenyum. Bahagia dirinya apabila dapat
membuatkan Damia sebegitu. Geli hati melihat muka Damia yang sedang cuba
menafsir daripada kata-katanya itu.
“Boleh saya tanya satu soalan?”Izz Rayyan meminta izin.
Damia menggarukan kepalanya. Makin dilayan makin pening kepada dia
dengan Izz Rayyan. Sekejap serius, sekejap tersengih-sengih serupa orang tak
betul. Sekarang ni pula nak bertanya-tanya soalan pula. Adoi.
“Apa maksud ‘awat’?”tanya Izz Rayyan lurus bendul. Kadang-kadang
loghat Kedah memang memeningkan kepalanya. Walaupun pak langnya adalah orang
Kedah tapi disebabkan dia jarang pulang ke kampung membuatkan pengetahuannya
tentang loghat yang digunakan agak terbatas.
“Awat tu bermaksud orang
gila macam hang. Pening kepala betullah aku dengan hang ni. Semakin lama aku
layan hang, semakin merenglah otak aku lepas ini. Sudahlah aku pergi dulu.”menonong
Damia mengangkat kaki meninggal Izz Rayyan yang sedang ketawa. Izz Rayyan pula
masih belum serik lagi. Makin dikutuk makin seronok pula rasanya.
“Sayang...”seru Izz Rayyan lembut.
Lantas Damia menghentikan langkahnya. Apa kena dengan mamat ni?
Bersayang-sayang bagai. Gelinya aku. Anti benar aku mendengar perkataan sayang
tu. Tubuhnya lantas beralih memandang semula lelaki itu dengan wajah tidak puas
hati. Apa lelaki ini mahu dari dirinya sebenarnya? Damia mencekak pinggang.
“Apa lagi?”Mukanya sudah tarik empat belas.
“Eh, setahu saya nama awak Nurul Zara Damia. Bukan sayangkan?”
Damia mengigit bibirnya. Damia memang sudah geram tahap gaban dah
ni. Kang lelaki ni kena belasah juga jawabnya nanti. Damia tahu Izz Rayyan
sengaja mahu mempermainkannya sahaja. Kerat 18 baru tahu kot. Nanti baru tahu
erti penyesalan. Gerutu hati kecil Damia.
“Aku bencinya kat hang. Pergilah dari sini. Tolong jangan ganggu aku
lagi.” Damia seolah-olah merayu-rayu. Dia tiada kuasa hendak melayan perangai
Izz Rayyan yang gila-gila itu.
Damia membuka langkah mencari Hanis. Matanya liar memerhati
sekeliling. Rasanya tadi Hanis ada di sini tapi sekarang sudah lesap. Hanya
mereka berdua dan beberapa orang pekerja butik berkenaan sahaja yang tinggal.
Kelibat Hanis langsung tidak kelihatan. Damia sekali lagi mengeluh kuat.
“Dulu arwah nenek saya cakap, jangan benci sangat kerana satu hari
nanti takut jatuh cinta. Jadi kalau awak tak nak jatuh cinta dengan saya, awak
tak boleh benci saya. Tapi terpulang kat awaklah. Kalau awak jatuh cinta dengan
saya, saya seribu kali cintakan awak. Pilihan di tangan awak sekarang. Jadi
mana satu pilihan awak?”
Damia menggarukan kepalanya yang tidak bertudung itu. Rambutnya
sudah kusut masai asyik dari tadi tergaru-garu. Lelaki di hadapannya ini memang
membuatkannya hampir gila.
“Suka…”
“Tapi saya berharap awak pilih untuk bencikan saya dulu sebab saya
akan buat supaya awak jatuh cinta dengan saya.” Izz Rayyan mencantas daripada
membiarkan Damia berkata. Dia nak buat Damia turut gila bersama-sama dengannya.
Izz Rayyan tergelak di dalam hatinya.
“Err…” Damia tidak dapat bersuara lagi. Sudah dua kali disekat oleh
Izz Rayyan.
“Tapi saya lebih suka kalau awak tak bencikan saya langsung. Lagi
senanglah saya nak buat awak jatuh cinta kat saya. Tapi…”
“Stop it!” Damia menjerit
kuat. Semua mata terarah kepadanya. Namun Damia tidak menghiraukan. Telinga dia
dah bernanah asyik mendengar Izz Rayyan berceloteh. “Aku tak mahu dengar lagi.
Eee.. Awatlah aku dipertemukan dengan orang yang macam hang? Gila semacam saja
aku tengok.” Damia melepaskan geramnya.
Izz Rayyan tergelak kecil. Comelnya muka awak, Zara bila marah macam
ini.
“Itulah dinamakan jodoh. Lari ke kutub utara sekalipun, kalau dah
jodoh akan bertemu juga. Macam kitalah.”
“Please lah. Tak maulah
aku lelaki gila macam hang ni. Buang karan saja.” Damia mencebik.
Izz Rayyan mengangkat kening kanannya. Susah juga nak memikat hati
si minah tomboy ni. Keras sungguh. Tapi Izz Rayyan akan tetap berusaha. Sudah
berbagai-bagai gelaran yang diberikan oleh Damia kepadanya namun dia tidak
serik. Biarlah janji dia dapat memikat hati gadis di hadapannya ini.
“Gila pun sebab awak. Saya terlalu gilakan awak. Itu yang otak pun
sama-sama gila sekali. Jadi sekarang nak salahkan siapa?”
“Okey. Aku berterus-terang sajalah dan aku harap hang faham. Aku
juga berharap hang jangan ganggu hidup aku lagi. Aku sebenarnya tak sukakan
lelaki. Nafsu aku kat lelaki langsung tiada. Aku sukakan perempuan. Nak ke hang
kahwin dengan minah tomboy seperti aku ni? Jadi aku harap hang boleh teruskan
usaha hang untuk mencari wanita lain untuk mengesahkan kewarganegaraan hang tu.
Aku tak layak langsung. Lagipun mak aku pesan suruh cari lelaki Malaysia. Jadi
aku tak layak untuk hang dan hang pun tak layak untuk aku. Okey? ” Damia
mengukirkan senyuman paksa.
Padan muka kau. Siapa suruh kacau aku sangat? Kan dah kena sebijik. Harap-haraplah dia
percaya apa yang aku beritahu ni.
Izz mengetap bibir. Dia memandang tepat pada anak mata Damia. Sengaja
ingin membuatkan Damia tidak tentu arah. Dan ternyata pandangan mata Damia itu
membuatkan dada Damia merombak kencang. Damia, Damia… Nak bohong aku yer? Kau ingat aku percaya cakap kau?
Aku tak kisah, Damia. Orang perempuan memang macam tu, mula-mula jual mahal
dulu. Macam mana kau buat pun, aku tetap nakkan kau.
Izz Rayyan tersenyum sinis sebaik sahaja Damia melarikan pandangan
matanya daripada terus menatap mata Izz Rayyan. Terasa kelakar pula apabila
Damia bersungguh-sungguh memberitahu tentang keadaan dirinya itu.
“Kecil sahaja masalah awak tu. Saya akan buat awak sukakan lelaki
dan lelaki itu adalah saya. Jadi awak tak perlu risau tentang nafsu awak yang
terpesong tu sebab saya janji saya akan pulihkan awak. Lagi satu tentang status
kewarganegaraan saya, saya akan berbincang dengan keluarga awak. Selesai
masalah.” Izz Rayyan tersengih.
Damia menepuk dahinya. Ya Allah, kenapa dengan lelaki ini? Sengaja
buat-buat tak faham ke memang jenis yang tak faham bahasa? Ataupun lelaki ini
tak ada perasaan? Sebab sudah bermacam-macam gelaran yang diberikan oleh Damia
kepada Izz Rayyan namun tetap tak makan saman.
“Hang ni tak faham bahasa atau sengaja buat-buat tak faham?
Perempuan kalau dia bagi banyak alasan tu bermakna dia tak suka tahu tak. Sama
juga seperti aku. Walaupun hang berjanji nak daki menara Petronas sekalipun,
aku tak nak. Aku tak suka orang ganggu kehidupan aku. Jadi cubalah faham.”Damia
melepaskan keluhan di bibirnya. Kesabarannya semakin terhakis dek kerana lelaki
yang degil ini.
“Tapi sekurang-kurangnya berikan saya peluang untuk memikat hati
awak tu. Bolehkan?” Izz Rayyan membuat muka sedih. Tapi tak sedih pun. Damia
rasa lawak lagi adalah.
“Tak boleh.”jawab Damia pendek. Sudah bosan nak mengulas dengan
lebih lanjut lagi.
“Alasan?”soal Izz Rayyan.
“Tak ada alasan. Tapi memang jawapannya tidak boleh.”
“Berikan saya 10 alasan yang munasabah untuk saya kenapa saya perlu
berhenti dari terus memikat hati awak?” Izz Rayyan tidak mengalah. Sehingga ke
titisan terakhir pun dia akan berterusan memenangi hati Damia.
Damia meletakkan jarinya di bibir. Hanis entah hilang kemana.
Walaupun dia rimas dengan lelaki ini, tapi dia tidak sampai hati nak membiarkan
Izz Rayyan begitu sahaja. Cara dan kelakuan Izz Rayyan seperti sangat
bersungguh-sungguh mahukan dirinya tetapi Damia tidak mudah percaya. Dia tidak
mudah untuk menerima cinta lelaki yang
tiba-tiba sahaja datang menganggu hidupnya.
“Yang pertama, aku tak kenal hang. Kedua, aku tak suka hang. Ketiga,
aku tak suka hang juga. Keempat, kelima, keenam,ketujuh,kelapan, kesembilan dan
alasan yang kesepuluh adalah aku tak suka hang. Jadi sekarang hang boleh chou dari hidup aku. Okey?” Damia
berjalan laju keluar dari butik itu meninggalkan Izz Rayyan di belakang.
Sungguh dia tak ada alasan pun yang hendak diberikan kepada Izz Rayyan. Jadi
dia mahu cepat-cepat blah dari situ agar tidak terus diasak dan diganggu oleh
Izz Rayyan.
“Zara sayang… Janganlah buat saya seperti ini. Saya betul-betul
ikhlas nak berkahwin…oppps…berkawan dengan awak ni. Tolong terima saya sebagai
sahabat awak.” Izz Rayyan melangkah lagi laju daripada Damia. Dia menghalang
Damia dari terus berlari jauh daripadanya.
Damia mendengus kasar. Mukanya sudah masam mencuka. Tiada senyuman
yang terukir tetapi hanya muka yang penuh dengan perasaan geram terhadap lelaki
yang tak faham bahasa ini. Damia merenung wajah Izz Rayyan. Nampak kesungguhan yang ditunjukan.
“Okeylah aku terima. Aku
balik dulu.” Damia memberi kata persetujuan. Persetujuan yang hanya palsu
kerana hanya ingin melepaskan diri daripada Izz Rayyan. Terpaksalah dia
berbohong. Bohong sunat tak apa walaupun dia tahu tak pernah wujud pun bohong
sunat tu. Kalau bohong memang tetap dosa. Tapi apakan daya. Ini saja yang mampu dia lakukan untuk menghindarkan diri daripada lelaki sewel lagi merimaskan ini.
Damia kemudian meninggalkan Izz Rayyan tercegat disitu. Kali ini Izz
Rayyan sudah tidak mengikutinya lagi seperti tadi.
“
Terima kasih awak.”jerit Izz Rayyan dari jauh dengan perasaan yang
sangat teruja. Akhirnya Damia terima salam persahabatan daripadanya. Izz Rayyan
bersyukur.
“Sama-sama, bro. Nasib hanglah kena tipu dengan aku. Siapa suruh ganggu
aku sangatkan. Maafkan aku tau.” Damia berkata sendiri sambil tersenyum sebelum
meneruskan perjalanan mencari Hanis yang sudah hilang entah ke mana.
No comments:
Post a Comment
- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...
Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH