Bab 3
BUNYI ketukan
pintu yang kuat dari luar mengganggu El yang sedang enak dibuai mimpi. Dia cuba
untuk tidak mengendahkan dengan menutup telinganya, namun makin lama makin kuat
pula.
El
merengus geram. Apa masalahlah orang tua ini nak ganggu dia pagi-pagi macam ini?
“El,
bangun!” jerit Hajah Limah dari luar.
Sampai
bergegar pintu bilik itu diketuk oleh Hajah Limah. Selagi dia tidak berjaya
mengejutkan El yang susah nak bangun subuh ini, dia akan terus berbuat
demikian.
“Awal lagilah!”
balas El sambil menarik semula selimut menutup seluruh tubuhnya.
Sudahlah
semalam tidak boleh tidur. Bila dah boleh tidur, diganggu pula oleh orang tua
ini. Memang anginlah dia.
“Hang
bangun lekas. Bangkit sembahyang subuh, El!” Hajah Limah menjerit lagi, tidak berputus asa.
Dia bukan
tak boleh nak masuk terus, tapi dia menghormati cucunya itu. Namun, macam tiada
respons. Dia terpaksa meredah masuk ke bilik El. Selimut El ditarik kasar.
“Bangun,
El. Aku curah hang dengan air hangat nanti,” ugut Hajah Limah.
Kalau dah
tak makan saman, memang itulah makanannya.
“El
mengantuk lagilah, tok. El baru tidur pukul 4.00 tadi.
Tolong jangan ganggu.” El masih berkeras daripada menurut perintah Hajah Limah.
Dia cuba
mencari selimutnya, tetapi Hajah Limah sudah menarik terlebih dahulu. Tak boleh
dibiarkan begini terus. Hajah Limah perlu buat apa sahaja supaya cucunya ini
bangun untuk solat subuh.
“Hang nak
aku curah hang dengan air hangat ke? Atau nak suruh aku jerit sampai semua
orang dengar aku ada cucu anak dara pemalas bangun subuh?” Hajah Limah tidak
berputus asa.
Inilah
jadinya kalau ibu bapa menuruti sahaja permintaan anak. Biar anak nak bangun
pukul berapa. Solat ke tidak pun tidak peduli. Duduk dengan dia, minta maaflah.
Dia akan paksa sampai buat. Lagi-lagi bab solat. Hajah Limah sangat bertegas
hal itu.
El
terkesan dengan ugutan itu. Bingkas dia bangun daripada baringnya. Matanya
ditonyoh dengan belakang jari sedang ekor matanya merenung bengis ke wajah
Hajah Limah. Tidak berpuas hati kerana orang
tua ini mengganggu tidur paginya.
“Hang duk
KL, mama papa hang tak kejut bangun subuh ke?” soal Hajah Limah tegas.
“Tak,”
balas El pendek.
Hajah
Limah menggelengkan kepalanya. Sekarang ini dia fahamlah kenapa El susah sangat
nak bangun pagi. Entah bila kali terakhir solat pun dia tak tahu.
“Duduk
dengan aku, tolong buang perangai lama hang yang mana tak elok tu. Nak duduk di
dalam rumah aku kena solat. Aku tak suka orang tinggal solat sebab solat itu
wajib. Hang berjaya macam mana pun kat dunia ini, tapi kalau tak solat jangan
harap hang akan bahagia kat akhirat nanti.
“Dah, pi mandi. Aku tunggu kat depan. Jangan lambat
sebab kita nak pi solat kat masjid,” arah Hajah Limah kembali melempar selimut
yang dipegang tadi kepada El, sebelum
melangkah keluar dari bilik El.
“Alah, tok. Solat kat rumah tak boleh ke? El
mengantuklah!” El bengang.
Jadi satu
hal pula nak berjalan pergi masjid. Tak pernah dia buat sepanjang 24 tahun dia
hidup.
“Masjid,”
tegas Hajah Limah.
“Tapi,
tok...”
Hajah
Limah menoleh.
“Aku tak
mau dengar alasan. Pi mandi dan siap. Aku tunggu kat depan.” Hajah Limah
memotong cakapnya.
“Tak. El
tak ada kain putih tu.” Muncung mulut El menunjukkan pada kain telekung yang
sudah siap disarung oleh Hajah Limah.
“Dalam
almari tu ada tiga helai telekung baru. Pilih mana satu yang hang nak. Aku
tunggu kat depan,” arah Hajah Limah berlalu meninggalkan bilik El.
Dengan
rasa malas dia turun dari katil. Langkah longlai dibawa menuju ke bilik air.
Jarang sekali dia dipaksa bangun seawal ini. Bukan jarang, mungkin juga tak
pernah.
EL
meminta izin Hajah Limah untuk pulang terlebih dahulu selepas Hajah Limah
mengambil keputusan untuk sambung mengaji al-Quran. Pada awalnya, Hajah Limah
tidak membenarkan, tetapi selepas dia memujuk dengan pelbagai alasan, Hajah
Limah melepaskannya.
Sudah
agak jauh dari pekarangan masjid, El membuka
telekung yang dipakainya. Rimas apabila terpaksa pakai begitu.
Rambutnya yang kusut dibetulkan.
“Kan elok
kalau terus pakai sampai rumah tadi. Rambut tu aurat seorang perempuan Muslim. Kalau orang tengok aurat kita, berdosa
besar tau. Macam aku tengah tengok aurat
hang sekarang ini. Berdosa besar hang.” Tiba-tiba, ada suara lain yang menegur.
El
menarik nafas dalam sebelum dihembuskan perlahan. El cuba untuk bertenang. Dia
mencari pemilik suara itu. Sebaik sahaja terpandang, hatinya terus berbara.
Teringat kembali peristiwa semalam ketika lelaki ini seronok ketawakan dia.
“Apa
masalah kau? Tak payah sibuklah aku nak pakai ke tidak. Aku tak
minta kau tanggung dosa aku pun.” El membalas geram. Dia terus mencepatkan langkahnya.
Hael
turut melakukan hal yang sama.
“Memanglah
aku tak tanggung dosa hang, tapi bila aku tengok aku yang berdosa. Lagipun dah
jadi tanggungjawab aku untuk tegur hang. Tapi, hang tak mahu dengar. Depan
Allah nanti aku dah tak kena soal dah dengan
Allah.” Hael membalas selamba.
El tidak
terus melayan. Semakin lama semakin dilajukan langkahnya. Sudahlah kawasan ini
gelap. Buatnya lelaki ini ada niat jahat. Boleh saja buat-buat alim, padahal
itu semua untuk menutup perangai jahatnya.
“Aku nak
tanya ni. Hang ada sakit kat mana-mana tak?” soal Hael tiba-tiba.
“Apa
hal?”
“Semalam kan hang jatuh bangku. Aku nak tahulah
juga kut-kut ada patah atau sakit kat mana-mana. Bolehlah aku bawa hang pi
hospital. Takut sat gi melarat payah pula.”
Hael mengungkit kembali kisah semalam sehingga mengundang rasa tidak puas hati
El.
Sengajalah
itu nak perli dia, rungut
El dalam hati.
“Kau
boleh blah tak? Semaklah!” El mula berang.
“Tok
suruh aku ikut hang sampai rumah. Dia risau kut-kut hang hilang
ke apa. Hang ingat aku nak sangat ikut hang? Memang taklah. Dahlah sombong
macam apa lagi.” Hael mencebik.
Muka
cantik, tapi sombong pun tak guna juga.
“Tak
payah acah-acah prihatinlah, brader. Aku tahu jalan
balik rumah. Aku minta kau blah. Aku menyampahlah
tengok muka kau.”
“Amanah
tetap amanah. Aku akan blah
bila hang dah sampai di rumah.” Hael tetap berkeras.
Tidak
peduli pun pada arahan El. Dia tidak mahu
menyesal kerana tidak menyempurnakan amanah. Buatnya jadi apa-apa kepada gadis ini, macam mana dia nak jawab dengan Hajah Limah?
El tidak
membalas. Kalau boleh dia nak cepat-cepat sampai ke
rumah. Rasa macam jauh pula nak sampai. Tadi waktu datang rasanya tak
adalah sejauh ini.
“Hang
kalau perlukan apa-apa bagi tau saja aku. Kut-kut
nak pergi mana-mana. Aku boleh jadi kawan hang kat sini.” Melihat El tidak
membalas, Hael menawar diri.
Dia rasa
tak seronok pula kalau hanya mendiamkan diri. Seronok pula bergaduh dengan
gadis ini.
“Aku tak
hadap punlah,” balas El kasar.
“Jangan
cakap besar. Kita tak tahu masa depan kita macam mana. Mana tau muka ini juga
yang akan hang cari nanti. Aku tak rasa di dalam kampung ini ada orang nak
berkawan dengan hang kalau perangai hang macam ini. Sombong macam apa lagi.”
Hael
menggelengkan kepalanya. Tak faham betul dia dengan gadis ini. Kenapa perlu nak
sombong dengan orang lain? Tak bawa ke mana pun sombong tu.
“Dengar
sini. Aku tak akan pernah minta tolong kau. Kau ingat
janji aku. Aku tak akan jilat ludah aku balik. Sekarang kau dah boleh balik.
Jangan datang atau tunjuk muka kau lagi depan aku. Aku tak
suka!”
El terus
memanjat tangga rumah dan melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu dihempas
melepaskan rasa marah dan tidak puas hati.
“Kalau
aku pun tak adanya aku nak jilat ludah aku balik. Geli tau. Hmm, sombong,
bongkak, berlagak. Hang fikir aku nak sangat cakap dengan hang? Hang ingat aku
suka kat hang? Kalau tak fikirkan amanah tok, memanglah aku tak akan tolong
hang. Biar kena ro... Ops, tak baiklah doa macam itu, Hael,” leter Hael yang juga tidak berpuas hati dengan El.
Minta-mintalah
dia tak dapat isteri yang macam ini.
BENGANG. Baru
sahaja melelapkan mata, sekali lagi dia dikejutkan dengan suara Hajah Limah
yang bagaikan petir itu. Malaslah dia nak mengendahkan arahan orang tua itu.
Terus dipejamkan matanya rapat.
Kali ini
dia bertekad untuk tidak lagi mengikuti arahan Hajah Limah. Dia juga kena
tunjuk dia punya keras kepala. Toknya belum
tahu lagi keras kepala dia macam mana. Inilah masanya dia nak tunjuk.
“El, oh, El!” Suara
Hajah Limah masih memanggil namanya. Semakin lama semakin dekat bunyi derapan
tapak kaki menuju ke biliknya.
“Ya Allah, budak ni. El, hang bangun sekarang. Apalah nak
jadi dengan anak dara ni? Tak elok lepas subuh tidur balik. Rezeki tak masuk,”
leter Hajah Limah sambil membuka tingkap bilik El.
Terpancar
cahaya matahari menerobos masuk ke dalam biliknya.
El terus
memekakkan telinganya. Tak tahulah apa masalah orang tua ini. Tak boleh tengok
orang senang langsung. Dengki sungguh!
“Hang nak
aku jerit ke, El?” Hajah Limah pun rasa kurang sabar dah sekarang ini. Tak
sangka cucunya ini sedegil ini.
“Haih,
apa bendalah tok ni. El nak tidurlah. Tadi tok kejutkan El bangun subuh, El dah
bangun. El dah ikut pun cakap tok. Sekarang ini nak bising apa lagi? Dengki
sangat dengan El ni kenapa ha?” tempelak El dengan suara tinggi.
Dia
melepaskan segala amarah dan rasa tidak puas hatinya ketika ini. Tidak peduli
dengan siapa yang dia sedang bercakap sekarang ini.
Hajah
Limah tersentak. Dia mengetap giginya menahan marah. Dalam hatinya tidak
terlepas beristighfar dengan sikap El yang
sangat kurang ajar.
“Aku nak
hang bangun juga. Aku tak suka orang buat macam dia raja dan permaisuri dekat dalam rumah aku. Mungkin rumah hang kat KL
tak ada peraturan, tapi bila hang tinggal sini hang kena ikut cara aku.
Bangun!”
Hajah
Limah tidak mengalah. Dia tidak boleh membiarkan terus begini. El memang perlu
dididik.
“Sekarang
ni tok dengki apa sangat dengan El? El nak tidur. Semalam El tidur lewat. Pagi
tadi kena bangun awal. Jangan nak acah-acah komando sangat boleh tak?”
“Aku nak
dengki dengan hang buat apa? Rumah ini ada peraturan.
Lagi-lagi hang perempuan. Anak dara apa yang macam ini? Takkan sampai dah berlaki nanti pun nak buat perangai
macam ini?”
Memang
mencabar kesabaran sungguhlah cucunya ini. Kalau dah dari kecil tidak dididik
dengan baik, inilah yang akan terjadi. Cuma kadang-kadang tak boleh salahkan
ibu bapa juga. Terpengaruh dengan kawan-kawan yang tak baik juga boleh mengundang
sikap yang tak baik.
“Suka
hatilah nak buat apa pun, tok. Tak payah nak atur hidup El sangatlah.”
Hajah
Limah menarik nafas dalam. Perlahan-lahan dihembus. Beberapa kali dia melakukan
hal yang sama demi menenangkan hatinya yang tengah berbara ketika ini.
“Aku tak
mau bertengkar dengan hang, El. Aku nak hang bangun dan kemas katil hang ni
sebab di dalam rumah ini tak ada orang gaji. Lepas kemas apa semua, pi masuk
dapur. Aku tunggu hang kat dapur.”
“ Tok fikir El
akan ikut cakap tok? Minta maaflah!”
El menarik semula selimut dan menyelimuti seluruh tubuhnya.
Dia
memang sengaja nak mencabar Hajah Limah. Pedulilah orang tua itu.
Semakin
sesak rasa dada melihat perangai El. Tangannya melurut dada meminta dirinya
untuk lebih bersabar. Tak sangka sejauh ini perangai El sebenar.
“Okey.
Hang cabar aku, kan? Teruskan mencabar aku, El. Tapi, jangan melenting kalau
papa hang tahu semua ini. Takkan hang tak
ingat akibat kalau ada aduan yang papa hang terima nanti?”
Hajah
Limah mengangkat kaki meninggalkan bilik El. Dia sebenarnya sudah hilang sabar.
Mungkin dengan menggunakan poin mengugut itu akan membuatkan El mengikut
permintaannya.
“Argh!
Stresnya!”
jerit El sambil menekup mukanya ke bantal.
Orang
tua itu main kasar nampaknya. Sampai nak libatkan papanya. Dia sendiri tahu
kalau papa tahu, dia akan susah.
Hajah
limah tersenyum sinis. Nak lawan sangat dengan dia,
kan? Kita tunggu siapa yang menang.