CURI HATI AWAK, BOLEH? 12


IYAD memarkirkan motosikalnya di garaj yang disediakan untuk menyimpan dua koleksi motosikal miliknya. Baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam rumah, Iyad ditegur oleh Puan Zainab yang sedang menyiram pokok bunga di taman mini sebelah rumahnya.

“Iyad dari mana?” soal Puan Zainab sebaik sahaja anaknya itu datang dekat kepadanya.

Iyad tersenyum. Dia memeluk tubuh ibunya seketika sebelum mengambil tempat di buaian kosong itu.

“Dari jetilah, mama. Tapi, tak niaga hari ini sebab ikan tak ada. Cuaca tak elok,” beritahu Iyad.

Puan Zainab memusing kepala pili untuk menutup air. Terus dia mengangkat kaki dan berjalan untuk duduk di sebelah anaknya.

“Patutlah balik awal sangat. Selalunya sekarang masih di jeti.” Puan Zainab pun agak kehairanan tadi bila melihat Iyad pulang awal.

“Kejap lagi Iyad nak keluar ke bengkel pula, mama. Lusa dah nak ride, tapi motor tak siap lagi.”

Puan Zainab mengangguk. Faham sudah aktiviti anaknya itu. Nak cari Iyad kalau tak ke jeti mesti kat bengkel. “Semalam mama ke Alamanda. Mama terjumpa dengan seseorang.”

Iyad berkerut dahinya. Kepalanya terus menoleh kepada Puan Zainab di sebelah. Tertanya-tanya siapa pula yang mamanya berjumpa itu.

“Siapa, mama?” soal Iyad.

“Husna.”

Iyad terkejut. Hatinya mula dirundum rasa berdebar-debar dan sedikit tidak senang mendengar nama itu.

“Mama nampak dia dah bahagia dengan kehidupan dia. Alhamdulillah. Ada anak seorang dah,” tambah Puan Zainab.

“Alhamdulillah kalau dia dah bahagia,” balas Iyad pendek. Tiada apa yang harus dikatakannya. Kalau betul apa yang dikatakan oleh mamanya dia pun tumpang gembira.

“Dia dah bahagia. Iyad bila pula lagi? Nak tunggu dia lagi ke? Kalau nak tunggu Husna rasanya tidak akan pernah tercapai kut. Dia dah ada kehidupan dia sendiri.”

Iyad senyum paksa. Tangannya melingkar ke atas bahu Puan Zainab. Fikirannya mula terbayangkan seseorang.

“Tak, mama. Iyad tak akan rosakkan perkahwinan orang lain. Insya-Allah bila tiba masanya Iyad bawa balik jumpa mama. Jangan risau ya.” Iyad tidak berani berjanji tapi terdapat sedikit keyakinan bahawa dia boleh mendapatkan gadis itu.

“Iyad dah ada seseorang ke?” soal Puan Zainab yang agak teruja.

“Baru nak pikat, mama. Harapnya dia nak terima anak mama yang busuk ikan ni.” Iyad bercanda lalu bibirnya terbit ketawa kecil.

Puan Zainab gembira mendengar berita baik itu. Dia memandang anaknya dengan pandangan yang sangat teruja dan bahagia. “Orang mana? Kerja apa? Ada gambar dia?”

Iyad tergelak kecil. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali sebelum pandangannya jatuh kepada Puan Zainab di sebelahnya. “Nantilah, mama. Belum rasmi lagi. Bila dah dapat green light daripada dia Iyad akan bawa jumpa mama. Jangan risau.”

Puan Zainab menarik kepala anaknya lalu ke pelukannya. Dia mencium ubun-ubun Iyad dengan penuh kasih dan sayang. Dari kecil sampailah dewasa itulah sering dia lakukan kepada anak-anaknya.

“Jangan terus dihumban dengan rasa bersalah masa lalu. Iyad juga berhak untuk rasa bahagia. Lupakan semuanya dan cuba untuk elak semua itu berlaku lagi.”

Iyad senyum. Dia mengerti perasaan mamanya. Terasa diri teruk bila mengenangkan peristiwa lama yang terjadi. Dia tidak akan pernah mengulangi semua itu lagi.

AZRA tersenyum melihat telatah Akil yang seronok bermain papan gelongsor di taman permainan. Hari ini bermulalah dia menjadi seorang penganggur terhormat. Dia mahu menenangkan dahulu fikirannya sebelum memikirkan tentang pendapatan yang harus dicari untuk menampung kehidupan mereka berdua.

“Akil, be careful sayang.” Azra separuh menjerit menegur Akil yang makin rancak bermain.

“Jangan risau. Akil anak yang baik,” tegur satu suara membuatkan Azra menoleh ke sebelah kanannya. Terkejut dia melihat kehadiran seseorang yang langsung tidak disangka.

Azra membetulkan duduknya. Sejurus kemudian dia mengukirkan senyuman nipis.

“Boleh saya duduk?” soal Iyad.

Yes, sure.” Azra menjawabnya perlahan.

Iyad terus melabuhkan punggungnya di sebelah Azra, tapi masih menjaga jarak. Walaupun Azra tidak selesa, tapi dia cuba untuk berlagak biasa.

“Awal datang sini. Tak kerja ke hari ini? Hari ini hari apa eh? Bukan hari cuti, kan?” Iyad melihat jam di pergelangan tangannya untuk melihat tarikh hari ini. Mana tahu dia yang tersilap.

Azra menggeleng.

“Macam mana boleh ada kat sini?” soal Azra membiarkan soalan Iyad tadi tiada jawapan.

Iyad tarik senyum dan pandangannya dilemparkan kepada Akil yang sedang seronok bermain. “Bengkel saya dekat area sini saja. Jadi, saya selalu lalu sini. Tadi ternampak kereta awak itu yang saya jenguk kat sini. Rupanya memang betullah awak kat sini. Dah lama ke?”

“Taklah lama sangat. Akil tu kesian pula berkurung saja dalam rumah. Biarlah dia berseronok sekejap.” Tanpa ditanya, Azra menjelaskan tujuannya ke sini.

“Macam ni baru betul. Walaupun Akil tu tak macam kanak-kanak lain, tapi dia berhak untuk lakukan apa yang budak-budak lain dapat. Bagus, bagus. Ini menunjukkan anda seorang ibu yang baik,” puji Iyad.

Azra tersenyum nipis. “Saya cuma menjalankan tugas saya sebagai seorang ibu kepada Akil.”

“Tak lama lagi untuk anak-anak kita pula.” Iyad sengih. Matanya melirik Azra di sebelah. Dia perasan yang muka Azra dah mula berubah.

“Merepeklah awak ni Iyad.” Azra membalas pendek. Cuba mengawal riak wajah.

Iyad ketawa besar. “Mana ada merepeklah. Ni, projek kak ngah tu macam mana? Dah selesai dah?”

“Oh, projek tu. Orang lain yang uruskan sekarang ni,” jawab Azra mengundang rasa tanda tanya kepada Iyad.

“Kenapa? Projek tu tak masyuk ke?” soal Iyad.

Azra menggeleng. “Tak. Tapi, bagi kepada orang yang lebih berhak sebab saya dah letak jawatan.”

“Serius? Kenapa? Tiba-tiba saja awak berhenti kerja. Tak tahan kerja dengan bos awak tu ke?” Iyad agak terkejut apabila Azra memberitahunya.

Kalau tak ada sebab yang munasabah mana mungkin Azra akan meninggalkan kerja macam tu saja. Gaji bukannya sikit. Lagipun dia perlu bekerja untuk menyara kehidupan mereka.

“Tak. Sebab Akil. Awak sendiri tahukan bagaimana saya sayang sangat kepada Akil, tapi bila saya tengok dia kena dera memang membuatkan hati saya hancur.” Azra membalas sebak.

Masih tidak dapat lupakan peristiwa yang buat dia mengamuk besar itu. Dia betul-betul kecewa dengan diri sendiri kerana rasakan dia gagal menjaga Akil dengan baik.

“Oh, macam tu. Habis tu awak macam mana? Ada minta kerja lain?” Iyad menyoal ambil berat.

“Sama juga kalau saya minta kerja lain pun. Saya kena cari pengasuh dan tinggalkan Akil. Saya tak nak perkara lama berulang kembali.” Azra menggeleng.

Dia sendiri tak tahu apa yang dia nak buat. Katanya nak mulakan perniagaan, tapi bila fikir balik membuatkan hatinya takut.

“Okey, faham. Macam mana ya nak bantu awak? Sekejap nak fikir.”

“Tak apalah, Iyad. Saya dah biasa dah hidup macam ni. Tak perlulah awak ambil tahu.” Azra menolak.

Lelaki ini bukan sesiapa dan selama ini dia hanya seorang diri menyelesaikan masalah yang menanti. Tidak perlu bantuan orang lain pun.

“Okey, macam ni. Saya baru teringat yang saya ada jawatan kosong. Kerja dia taklah susah mana dan tak senang sangatlah. Awak tak perlu tinggalkan Akil pun. 24 jam boleh ada dengan Akil dan saya.” Iyad tersengih. Timbul idea nakal dalam kepalanya. Nakal pun dia ada seriusnya juga.

“Kerja apa? Pergi tangkap ikan ke?” Azra berseloroh.

Iyad menggeleng. “Jadi isteri saya?”

Soalan Iyad itu membuatkan Azra melopong. Dia memandang Iyad di sebelah sebelum pandangannya jatuh memandang tanah. Dia tak salah dengar ke? Azra ragu-ragu.

“Jangan mengarutlah Iyad. Mamai agaknya awak ni. Pergilah balik tidur.” Azra ketawa yang dibuat-buat.

“Mungkin sebelum ni saya mamai, tapi hari ini tak. Saya tak main-main pun. Saya rasa awaklah paling layak untuk isi jawatan yang dah lama kosong tu. Dah malas nak interviu orang lain dah sebab saya dah dapat dah pekerja untuk jaga hati saya dan saya sebagai bos akan jaga hati awak juga.” Iyad mengenyitkan matanya.

Sangat romantis. Boleh buat Azra duduk tak diam sekarang ini.

“Tak. Awak mengarut ni, Iyad.” Azra menolak. Tak boleh nak gambarkan apa yang dia rasakan ketika ini. Tapi yang boleh dikatakan dia rasa berdebar-debar.

“Tak apa. Saya bagi awak masa untuk fikirkan lamaran saya ni. Saya tak nak paksa, tapi saya betul-betul maksudkan. Kenapa awak perlu hidup seorang diri membesarkan Akil sedangkan berdua itu lebih baik? Betul tak?” Iyad mengangkat keningnya menyoal kepada Azra.

Azra tidak membalas. Dia sendiri buntu dengan apa yang sedang berlaku ketika ini. Baru kenal dah melamar bagai. Tak ke benda ni gila?

TELEFON bimbit Azra berdering. Azra yang baru mahu melelapkan mata terus terjaga dan mencapai telefon yang diletakan di atas meja sebelah katilnya itu. Dia melihat pada skrin. Serta-merta dahinya berkerut.

“Hai, Azra. Dah tidur ke?” soal Nadeem dari corong telefon.

Azra bingkas bangun. Dia meraup rambutnya ke belakang terlebih dahulu.

“Ya, Tuan Nadeem. Baru nak tidur. Ada apa ya Tuan Nadeem telefon saya malam-malam ni?” Azra ingin tahu.

“Tak ada apa cuma nak dengar suara you.” Nadeem membalas.

Azra semakin pelik. Sudah lain macam dia rasa Nadeem ketika ini. Suara tu macam sengaja dilentokkan untuk kedengaran lebih romantis.

Tuan Nadeem, are you okay?” Azra bagaikan tidak percaya apa yang dia dengar. Nak kata dia bermimpi tidak.

“Tak okey. I dah ada depan rumah you ni. Turun sekejap boleh?” soal Nadeem membuatkan Azra terkejut.

Jantung Azra berdebar-debar. Dia bingkas turun dari katil dan segera mengambil tuala lalu menutup kepalanya. Dengan rambutnya kusut-masai malu dia bila dilihat oleh Nadeem nanti. Dia menghampiri tingkap dan langsir diselak sedikit. Kepalanya dijengulkan sedikit.

Nadeem sedang memandang biliknya. Dia memerhati jam pada dinding dalam biliknya. Sudah hampir mencecah ke tengah malam. Ini semua kerja gila.

“Tuan Nadeem mabuk ke?” duga Azra. Tidak pernah langsung Nadeem berkelakuan seperti ini.

Kedengaran ketawa dari corong telefon. Azra semakin pelik. Macam orang tak betul pun ada juga.

“Seteruk I pun I tak akan sentuh air haram itulah. Turunlah sekejap. You jangan lupa I ni masih bos you.” Nadeem separuh mengugut.

“Tuan Nadeem baliklah. Jangan buat macam ni. Nanti apa pula kata jiran saya nanti.” Azra tidak selesa. Tak manislah lelaki datang sampai ke tengah malam.

“You tak buat apa yang I suruh atau I akan duduk sini walaupun terpaksa tunggu sampai subuh.” Seperti biasa, Nadeem menggunakan ugutan untuk mengarah Azra.

“Lantak Tuan Nadeemlah. Saya malas nak layan. Saya nak tidur. Esok nak kena bangun awal.” Azra ingin meletak telefon, tetapi tidak jadi kerana bimbang dengan ugutan Nadeem tu tadi.

“Jangan marah kalau...”

“Ya. Saya turun.” Dengan rasa terpaksa Azra menerima keputusan itu.

Segera dia menuruni tangga dan membuka pintu rumahnya. Kelihatan Nadeem sedang memeluk tubuh sambil menyandarkan badannya ke kereta. Bibirnya tersenyum melihat kehadiran Azra.

“Tuan Nadeem, ada masalah apa ya? Saya rasa tak elok kut datang rumah orang malam-malam macam ni. Lagipun saya bujang. Nanti apa pula kata jiran saya.” Azra tidak puas hati terus bersuara.

Nadeem tersenyum. “I cuma datang melawat you. Salah ke?”

“Salah sebab sekarang ni dah tengah malam tau. Saya tak nak orang lain fikir saya ni perempuan jenis apa tengah malam pun ada lelaki datang rumah.” Azra membalas tegas.

Sebal dengan Nadeem saat ini. Tak fikir ke apa kata orang kalau tengok Nadeem datang tengah malam ni. Sudahlah dulu ramai yang memandang serong kepadanya kerana dikatakan Akil itu anak luar nikahnya. Padahal semua itu tidak benar langsung.

“Makin garang kan sekarang ni? Dah pandai lawan bos.” Nadeem mengetap bibir geram.

“Minta maaf ya. Antara kita sudah tiada apa-apa lagi, Tuan Nadeem. Saya dah letak jawatan dan saya nak Tuan Nadeem jangan ganggu saya lagi,” ujar Azra.

“You jangan lupa yang I masih tak lepaskan you.”

“Terpulanglah, Tuan Nadeem. Penatlah fikir semua benda ni.” Azra memusingkan badannya dan mula mahu melangkah masuk ke dalam rumah.

“I tahu I memang kerek gila dengan you sebelum ni. Tapi, ini semua disebabkan I dah mula jatuh cinta pada you, Azra.”

Azra tercengang. Matanya bulat mendengar luahan itu. Terus dia kelam-kabut. Pagi tadi dengan Iyad dan malam ini dengan Nadeem pula. Isy, apa ni?

“Sudahlah Tuan Nadeem. Mungkin Tuan Nadeem mabuk ni. Pergilah balik. Esok kerja. Saya pun dah mengantuk.” Azra memusingkan badannya mahu melangkah masuk ke dalam rumah semula.

Ketika sampai ke pintu Nadeem memanggil Azra. Dia menghentikan langkahnya.

“I betul-betul maksudkan. Hati I terseksa rindukan you, Azra.”

Azra yang berasa seram sejuk terus melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu rumahnya dikunci kemas. Dia menyandarkan tubuhnya ke pintu. Jantungnya berdegup laju.

“Apa hal dengan mamat dua orang ni?” Azra menyoal sendiri.



2 comments:

  1. oh, so sweetnya iyad. heee but masuk si nadeem ni menyemak terus huh.

    ReplyDelete
  2. Baik ja iyad..nadeem xyh la kacau daun

    ReplyDelete

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH