Bab 13
PAGI-PAGI tadi lagi Azra
sudah dapat panggilan telefon daripada Syifa yang mengingatkannya tentang
program di Pantai Morib pada hari ini. Azra sendiri pelik Syifa yang terlalu beria-ia.
Tapi, bila difikirkan sebelum dia memulakan kerja dia mahu menggembirakan hati
Akil dahulu. Risau kalau nanti sudah terikat dengan kerja tidak berkesempatan
macam ini lagi.
Hampir sejam lebih perjalanan, mereka sampai ke
destinasi. Bukan sahaja Akil, tapi Azra sendiri teruja melihat motosikal lama
yang sudah tersusun kemas untuk dijadikan sebagai pameran.
“Akil, tengok tu. Cantiknya motor tu.” Azra memegang tangan
Akil sambil menunjuk motosikal itu.
“Hoi!” Tiba-tiba bahu Azra ditepuk seseorang.
Azra menoleh dan tersenyum.
“Banyaknya motor, Syifa. Nasib baik aku terima cadangan
kau tu. Aku tengok Akil pun macam seronok sangat dah,” ujar Azra.
“Kan? Tak rugi pun. Aku ni memang kawan yang baik. Jom
makan dulu. Nanti semangat sikit nak jalan-jalan.” Syifa mengajak Azra. Pipi
Akil dicuit sedikit.
Azra mengangguk. Perutnya pun dah rasa lapar. Akil sudah
pun dia sediakan makanan pagi tadi.
Melangkah saja masuk ke kedai makan Azra terpandangkan
Iyad yang sedang duduk di satu meja panjang di dalam restoran. Terus fikirannya
teringatkan peristiwa semalam. Rasa segan dia itu masih belum hilang lagi.
“Azra, sinilah. Join sekali dengan geng-geng ni. Tadi aku
datang dengan dia oranglah.” Syifa menggamit tangannya kepada Azra.
Kepala Azra menggeleng. Dia menarik tangan Syifa jauh
sikit dari meja tadi.
“Tak payahlah. Aku nak duduk meja lain. Seganlah. Ramai
sangat lelaki tu.” Azra menolak.
Memanglah ada perempuan yang merupakan isteri kepada
lelaki-lelaki itu, tetapi Azra segan. Dia orang luar.
“Semua dengan isteri dia orang, Azra. Iyad aje yang masih
single.” Syifa memujuk.
“Syifa, apa yang dibincangkan tu? Duduklah sini, meh.
Sekali semua.” Kedengaran suara Iyad menegur. Dari tadi dia memerhati mereka
berdua. Yang menggelikan hatinya wajah cuak Azra itu.
“Iyad dah panggil tu. Tak payah risau. Dia orang tak
nakal sebab bini ada kat sebelah,” ujar Syifa.
Azra terpaksa untuk menerimanya. Kalau Iyad dah panggil
dan mereka yang lain memerhati ke arahnya. Memang tidaklah dia nak menolak.
“Kau duduk sebelah Iyad tu. Dua lagi kosong tu. Cukuplah
kau dengan Akil.”
“Syifa!” Azra tidak puas hati. Nampaknya macam sengaja
saja Syifa ni.
“Jemputlah. Jangan malu-malu. Kami ni baik-baik belaka.
Lagi-lagi Iyad. Baik orangnya, berbudi bahasa. Jangan risau.” Adzha mengusik
sambil matanya melirik kepada Iyad yang sudah tergelak kecil.
Dengan perasaan yang tidak selesa, Azra terpaksa menerima
cadangan itu. Dia menarik tangan Akil dan mengambil tempat di sebelah Iyad.
Tapi, jarak di antara mereka agak jauh kerana Iyad sendiri tidak mahu Azra
berasa tidak selesa.
“Hai, Akil!” tegur Iyad mesra. Dia mencuit pipi anak
kecil itu dan cuba curi-curi memerhati Azra yang tertunduk segan.
“Awak nak makan apa, Azra?” soal Iyad membuatkan Azra
menoleh memandang Iyad di sebelah.
“Tak apa. Saya dah kenyang.” Azra memberi alasan. Padahal
perut dia dah lapar sangat dah.
“Jangan tipulah. Syifa bagi tau tadi yang awak belum
makan. Saya pun dengar perut awak tengah bernyanyi tu. Kalau awak malu nak
pesan bagi tau saya. Saya boleh tolong pesankan.” Iyad menawarkan diri.
Azra menggigit bibirnya. Dia memandang Syifa yang sedang
rancak berbual di hujung meja dengan yang lain. Geram pula hati dia. Semua
benda nak kena beritahu kepada lelaki ni. Memang tak puas hati betul sekarang
ni. “Tak apa. Saya dah kenyang.”
“Ke awak segan dengan saya? Jangan risau ya. Saya tak akan
tanya jawapan selagi awak tak bersedia. Saya tak akan pernah paksa awak. Jadi,
saya nak awak lupakan dulu apa yang saya cakapkan sebelum ini. Saya nak awak
dan Akil bergembira hari ini.” Iyad tersengih.
Dia menghormati Azra walaupun dia sangat tidak sabar
untuk mendengar jawapan daripada perempuan itu.
“Tak bukan sebab itu, tapi...” Belum sempat Azra
menghabiskan katanya Akil menarik tangan Azra meminta perhatian daripadanya.
Segera Azra memandang Akil. Begitu juga dengan Iyad.
“Ya, sayang.” Azra melihat ke arah jari Akil tunjukkan.
Lalu dia tersenyum.
“Sabar ya. Nanti kita pergi.” Azra memujuk Akil.
Terdapat belon yang dijual oleh seorang lelaki muda itu
menarik minat Akil. Biasalah, nama pun budak-budak. Mesti teruja bila melihat
semua itu.
“Nak belon ya? Nanti Abang Iyad belikan.” Iyad turut sama
memujuk Akil. Dia mengusap lembut kepala Akil itu.
Tapi, Akil tidak peduli. Dia berkeras untuk pergi. Azra
mula diundang rasa kerisauan. Takut kalau Akil mengamuk kat sini pula nanti
bakal mengganggu orang lain.
“Okey, Akil. Jom.” Azra terpaksa mengikut. Lebih baik
ikut daripada terjadi perkara lain.
“Meh, sini. Abang Iyad
dukung Akil.” Terus tubuh kecil itu diangkat dan didukung seperti anaknya.
Azra yang terkejut hanya diam membisu. Selama ini tiada
siapa sudi untuk berkelakuan begitu dengan Akil. Hatinya sebak.
“Aku pergi dulu. Nanti kalau apa-apa telefon aku.”
Sebelum pergi sempat lagi Iyad memberitahu kepada ahli kumpulannya.
Syifa yang melihat hanya tersenyum gembira. Mereka
bagaikan satu keluarga yang lengkap. Tujuan dia mengajak Azra ke sini juga
adalah untuk mengeratkan hubungan antara Azra dan Iyad.
IYAD memerhati dari
jauh perempuan bersama dengan anak kecil di hujung sana. Bibirnya mengoyak
senyum. Seronok bila melihat kegembiraan yang terpancar daripada kedua-dua
insan itu.
Bahu Iyad tiba-tiba ditepuk dari belakang. Iyad yang
hampir terleka memerhati terus tersedar. Dia menoleh dan melihat Wan bersama
dengan Syifa di belakang.
“Tengok apa, bro?”
soal Wan sambil tersengih. Padahal dia tahu siapa yang diperhatikan oleh Iyad
itu.
“Tengok bakal isteri dan bakal anaklah tu.” Syifa
mengusik. Dia mengambil tempat di sebelah Wan.
Iyad tersenyum malu. Dia menggaru kepalanya yang tidak
gatal.
“Dah dapat jawapan?” soal Syifa lagi.
Iyad menggeleng. Dia sememangnya menantikan jawapan
daripada Azra, tapi dia tidak mahu memaksa. “Tak. Aku masih menunggu.”
“Mungkin dia keliru kut. Dia ada cerita kat aku pasal
Tuan Nadeem.”
Iyad yang sedikit terkejut mendengar nama itu terus menoleh
memandang Syifa di sebelah.
“Kenapa?”
“Tuan Nadeem datang rumah dia dua hari lepas. Tengah
malam sebab nak tengok dia. Aku tekan tanya apa yang Tuan Nadeem nak dan dia bagi
tau Tuan Nadeem luah perasaan kat dia.” Syifa berterus terang.
Iyad mula berasa tidak sedap hati. Terus mati senyuman
dia tadi.
“Relaks, Iyad. Kau jangan gelabah dulu.” Wan menenangkan
sahabatnya itu.
“Jadi, dia pilih siapa?” tanya Iyad.
Syifa menjongketkan kedua-dua belah bahunya. Air kotak
perisa Laici disedut menggunakan straw. “Tak ada pula dia cakap nak pilih
sesiapa.”
“Aku rasa kalau betul kau nak dia, kau kena cepat. Masuk
meminang dia. Ini yang terbaik,” cadang Wan.
Iyad mengangguk. Ikutkan hati memang macam tu, tapi apa
pula kata Azra nanti. Mereka pun baru sahaja kenal.
“Aku nak jumpa siapa? Bukan ke dia memang tiada saudara-mara?”
Iyad menyoal.
Daripada cerita Syifa, Azra sekarang sebatang kara.
Akillah satu-satunya waris Azra.
“Kau bawa mama kau jumpa dia teruslah. Senang cerita,”
tambah Wan lagi.
Iyad menggigit bibirnya. Dia sendiri tidak pasti
penerimaan mama. Mungkin mama akan terima Azra, tapi Akil? Tidak mungkin dia
akan memisahkan mereka berdua. Iyad ikhlas untuk terima Akil sebagai anaknya.
“Dia wanita kuat, Iyad. Tak mudah kau nak tebus hati dia.
Tapi, sekali kau dah berjaya menakluk hati dia kaulah akan jadi manusia paling
bahagia, Iyad. Percayalah cakap aku.” Syifa tersenyum.
Dia memandang Azra yang sedang melayan kerenah Akil.
Tidak pernah kenal erti penat. Begitu juga dengan Iyad dan Wan. Turut sama
melemparkan pandangan kepada Azra.
Iyad tahu dia perlu melakukan sesuatu. Cuba untuk
memberitahu kepada mama. Itu yang paling penting.
“AKIL, jangan buat ibu
macam ni. Tak boleh pegang. Nanti orang marah.” Azra cuba untuk menenangkan
Akil yang meronta mahu memegang motosikal yang terpamer di situ. Sudah
diberitahu tidak boleh disentuh.
Akil mula membuat perangai. Dia mula mencederakan
dirinya. Lengan digigit dan memukul muka sendiri. Azra cuba menenangkan, tetapi
Akil tetap sama.
“Kenapa ni?” soal Iyad yang terus meluru ke arah mereka sebaik
sahaja nampak ada yang tidak kena.
“Dia nak pegang motor tu. Tapi, saya tak bagi,” jelas
Azra. Dia resah ketika ini. Takut kalau mengganggu orang lain.
Iyad mendekati Akil dan anak kecil itu cuba
ditenangkannya.
“Jom Abang Iyad bawa Akil pegang motosikal tu. Teringin
nak pegang ya?” pujuk Iyad lembut.
Azra mengetap bibir. Akil nampak terpujuk bila Iyad
berkata begitu. Azra pula rasa bersalah kerana menyusahkan Iyad.
“Awak!” panggil Azra.
Iyad menoleh dan memandang Azra. Keningnya diangkat
menanti bicara daripada Azra.
“Tak apa ke awak nak bawak Akil tu?” soal Azra.
Sudah terang lagi bersuluh di situ tertulis motosikal ini
hanya untuk pameran. Bukan macam motosikal-motosikal yang lain.
Iyad tarik senyum.
“Jangan risau. Akil nak pegang. Saya boleh bawakan.
Bukannya orang lain. Anak saya juga.” Iyad menjawab lembut.
“Nanti orang marah.” Azra masih takut lagi.
“Berani marah saya. Sekali saya pandang mesti mereka
cabut lari. Jangan risaulah. Saya ni tiada siapa berani marahlah. Sebut saja
Iyad Mujahid semua orang takut. Awak tak tahu ke saya ni ayahanda kat sini?”
Iyad berseloroh.
Azra terhibur dengan gurauan Iyad itu. Buat lawak pula.
“Kalau awak nak pegang pun boleh. Nak ke? Saya boleh
bawakan,” tawar Iyad, tapi pantas Azra menggeleng. Segan pula rasa.
Iyad tersenyum. Dia terus membawa Akil masuk ke kawasan
yang diletakkan tali sebagai penanda tidak boleh masuk. Azra hanya menunggu di
luar.
“Azra, masuklah,” ajak Iyad sambil menggamit Azra.
Tapi, Azra menggeleng.
“Datanglah sini kejap. Saya tahu awak minat. Jadi, sekarang
ni saya nak bagi awak rasa apa yang orang lain tak rasa.”
Azra serba salah. Tapi, melihat wajah Iyad seperti
mengharap Azra terpaksa terima. Dia turut sama masuk ke dalam kawasan itu.
Tersenyum lebarlah Iyad ketika itu.
“Din! Nah. Ambilkan gambar aku kat sini kejap.” Iyad
menyerahkan telefon bimbitnya kepada lelaki yang dipanggil Din itu.
Azra terkejut sebelum pandangannya jatuh kepada Iyad di
sebelah.
“Senyum ya. Buat kenangan,” kata Iyad.
Dalam keterpaksaan, Azra menurut sahaja. Patutlah beria-ia
suruh dia masuk ke dalam kawasan ini juga. Ada tujuan lain. Pandai Iyad ambil
kesempatan.
“Saya keluar dulu. Akil dah okey tu. Jomlah keluar. Nanti
tuan motor ni marah pula.” Azra cuba mendukung Akil, tetapi Iyad menghalang.
“Jangan risaulah. Takut sangat. Awak tak perasan ke ni
motor bakal suami awak?”
Tercengang Azra mendengar kata Iyad itu. Dia memandang
motosikal itu sekilas dan bibirnya digigit.
“Kenapa? Saya masuk pertandingan. Sebab itulah kena letak
kat sini. Tiada apa yang istimewa pun. Kalau awak nak naik nanti boleh saya
bawakan. Tapi, lepas kahwinlah. Akil kita letak kat depan.” Iyad tersengih.
Sempat lagi dia mengusik Azra.
Serta-merta muka Azra bertukar merah. Dia cuba melarikan
pandangan dan terus melangkah keluar dari kawasan yang menjadi larangan itu.
Iyad ketawa melihat Azra malu-malu.
SETELAH hampir seharian,
Azra sampai juga di rumah. Tapi, berteman. Iyad ikut dari belakang sampailah
dia balik ke rumah. Azra tidak mengizinkan, tetapi Iyad tetap berdegil.
“Terima kasih sebab teman saya sampai rumah. Menyusahkan
saja,” ujar Azra. Segan sebenarnya, tapi kalau Iyad sendiri berkeras dia tak
boleh nak buat apa.
Iyad turun dari motosikalnya dan membuka helmet lalu
diletakkan di atas tempat duduk motosikal.
“Tak ada apalah sangat. Ini dah
menjadi kewajipan saya untuk menjaga awak dan Akil.”
Azra tersenyum.
“Awak...” seru Iyad.
Dada Azra mula rasa berombak. Seruan itu seolah-olah
ingin mengatakan sesuatu yang serius. Dia nak jawapan ke? Sungguh Azra belum
membuat keputusan.
“Saya rasa tak sesuai untuk saya bercakap hal ini
sekarang. Awak mungkin dah letih. Tapi, saya harus juga cakap. Saya takut saya
terlepas.” Iyad menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan.
Azra pula makin tidak keruan. Dia tahu Iyad macam
bersungguh-sungguh dalam memenangi hatinya. Dia juga terharu dengan sikap Iyad
yang langsung tidak kekok dengan Akil walaupun Akil tidak sempurna itu. Tapi, sampai
sekarang dia masih mencari jawapannya.
“Saya serius untuk ambil awak jadi isteri saya dan Akil
sebagai anak saya. Kalau boleh esok juga saya bawa rombongan meminang, tapi
saya nak jawapan awak dulu. Saya janji saya akan cuba jaga awak sebaiknya. Saya
tidak akan pernah sia-siakan awak dan Akil, Azra,” luah Iyad.
Azra tertunduk memandang lantai. Dia dah agak. Hatinya sendiri
masih keliru. Tidak pernah terfikir untuk ke arah itu. Selama ini dia fikir
untuk jaga Akil sampai akhir hayatnya sahaja.
“Saya tahu saya tak patut memaksa awak. Kita pun baru
kenal. Tapi, saya takut awak pergi pada orang lain,” tambah Iyad lagi.
Tidak lama selepas itu, sebuah kereta berhenti di hadapan
rumah Azra. Azra tahu pemilik kereta itu. Kenapa pula dia datang sini?
Iyad memandang kereta itu dan melihat lelaki itu keluar
dari perut kereta. Dia mula rasa cemburu dan risau.
“I tak tahu ada tetamu. I datang sini sebab nak tengok
you, Azra.” Tuan Nadeem bersalaman dengan Iyad, tapi matanya ke arah Azra.
Iyad berasa tidak betah berada di sini. Tapi, dia kecewa
kerana masih belum dapat jawapan yang pasti.
“Tak apalah, Azra. Saya balik dulu. Jumpa lagi ya.” Iyad
terus mendekati motosikalnya dan memakai helmet. Sebelum menghidupkan
motosikalnya, Iyad sempat berpesan.
“Esok saya datang lagi. Kita pergi tengok barang kahwin.”
Iyad mengenyitkan matanya kepada Azra yang terkejut mendengar Iyad berkata
begitu.
Iyad pula sengaja berkata demikian kerana mahu
menyakitkan hati Nadeem. Terus dia menghidupkan motosikalnya dan meninggalkan
mereka berdua.
“Siapa lelaki tu dengan you?” Nadeem bertanya sebaik
sahaja Iyad pergi.
“Tiada siapa-siapa. Apa tujuan Tuan Nadeem datang ni?”
soal Azra. Dia tidak suka dengan kehadiran Nadeem selalu.
“Tak akan tak ada apa-apa sampai nak pergi beli barang
kahwin. Please, jangan buat I macam
ni, Azra.” Nadeem separuh merayu.
Azra menggeleng. “Taklah. Iyad tu memang suka main-main.
Tak perlulah nak ambil serius sangat. Baliklah Tuan Nadeem.”
“I boleh buat you lagi bahagia, Azra. I boleh bagi
segalanya buat you. Lebih daripada orang lain kalau you boleh terima I.” Tanpa
disangka, Nadeem berkata begitu.
Azra terkesima. Dia memandang Nadeem dan segera dia
melarikan pandangan matanya.
“Tuan Nadeem, saya masuk dulu. Saya letih sangat.” Azra
terus melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Dia mengunci pintu pagarnya
sebelum membuka langkah.
“Tak salah kan kalau I dan dia bersaing?” Ketika Azra
mahu melangkah masuk ke dalam rumah Nadeem bersuara membuatkan Azra
menghentikan langkahnya.
Dia memandang Nadeem yang masih setia menunggu di luar
pintu pagar. “Tak perlu bersaing, Tuan Nadeem. Tuan Nadeem boleh dapat orang
lain yang lebih baik daripada saya. Saya tidak sesuai dengan Tuan Nadeem.”
Terus dia melangkah masuk ke dalam rumah dan mengunci
pintu. Fikirannya mula bercelaru. Dia sendiri tidak faham apa yang sedang
berlaku. Iyad? Nadeem? Sungguh dia tak faham apalah yang mereka terkejarkan
sangat.
No comments:
Post a Comment
- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...
Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH