CURI HATI AWAK, BOLEH? 11


HARI ini Azra masuk ofis lewat sikit memandangkan dia ada pertemuan dengan klien tadi. Dah alang-alang sambung terus waktu rehat. Dia mengambil keputusan untuk melawat Akil. Dua tiga hari ini memang Akil suka buat perangai. Azra juga hairan apabila terdapat kesan lebam di paha dan lengan. Tapi, kata Kak Midah itu kesan disebabkan Akil mengamuk.

Dalam masa yang sama dia tidak sedap hati. Rasa macam ada yang buruk sedang berlaku. Tapi, cuba ditenangkan hatinya kerana yakin Akil baik-baik sahaja.

“Assalamualaikum.” Azra memberi salam sebaik sahaja sampai di depan rumah Midah. Pintu terbuka, tapi dihalang oleh pintu pagar besi yang diselak dari dalam.

Tiada suara yang menjawab, Azra terus mengambil keputusan untuk buka pintu itu sendiri dan melangkah masuk ke dalam rumah. Lagipun dia sudah biasa dengan rumah Midah. Azra melihat di ruang tamu, tapi tidak juga kelihatan. Azra melangkah masuk ke bahagian tengah. Dia terdengar bunyi riuh.

“Kau tu budak terencat. Sedar diri sikit. Orang bagi makan tu makan sajalah. Kau ingat aku ni kuli batak kau ke nak ikut apa yang kau nak?”

Suara itu bergema.

Betul-betul buat jantung Azra berdengup kencang. Macam ada tak kena. Azra mengetap bibirnya. Sungguh dia rasa tidak senang dengan apa yang didengar olehnya itu. Dia membuka selangkah lagi dan menjenguk kepalanya sedikit ke kawasan dapur.

Hatinya bagai dicarik-carik bila melihat apa yang terjadi ketika ini. Sungguh dia tidak sangka semua ini akan terjadi. Segala persoalan atas perlakuan Akil selama ini betullah.

“Kak Midah!” Azra bersuara separuh menjerit. Berdiri kaku melihat perlakuan Kak Midah kepada Akil. Hatinya mula diundang rasa marah.

“Azra...” Terketar-ketar Midah menyebut nama Azra. Terkejut dengan kehadiran Azra yang tiba-tiba itu.

Azra mendekati Midah dan tubuh Midah ditarik sehingga terdorong ke belakang. Akil yang meronta-ronta memintanya untuk membuka ikatan di tangan dan kaki dipandangnya. Tak sangka selama ini Akil buat perangai disebabkan ada hal yang berlaku sebaliknya. Akil tak boleh beritahu, tapi hanya boleh bertindak dengan perbuatannya. Tapi, Azra tak faham dan memaksa dia.

“Aku betul tak sangka kau sanggup buat macam ni, Kak Midah. Aku fikir kau ada hati perut, tapi aku salah. Patutlah selama ini Akil macam takut dengan kau. Sebenarnya dia diseksa begini,” luah Azra.

Dia buka ikatan itu dan menarik tubuh Akil ke dalam pelukannya. Akil serta-merta memeluk tubuhnya erat. Nampak sangat ketakutan. Kejamnya manusia sekarang. Depan baik, tapi belakang tiada siapa tahu.

“Tak, Azra. Jangan salah faham. Ini semua sebagai pengajaran buat Akil sebab dia nakal sangat.”

Azra tersenyum sinis. Dia memandang Midah dengan penuh kebencian. Sungguh dia benci orang yang buat anak dia seperti ini. Dia jaga bagaikan minyak yang penuh, tapi suka hati saja mereka memperlakukan Akil tidak sepatutnya.

“Kau sedar tak dia budak yang macam mana? Tak normal macam orang lain. Pengajaran macam tu lagi menyeksakan dia adalah.”

“Tapi...”

Azra angkat tangannya. Meminta untuk Midah tidak teruskan mempertahankan dirinya. Beg tangannya dibuka dan sejumlah wang diambil. “Terima kasih sebab sudi jaga anak aku dengan baik selama ini. Ini bayaran untuk selama ini. Terima kasih sangat, Kak Midah!”

Duit itu diletakkan di atas meja dan terus Azra menarik tubuh Akil keluar dari rumah ini. Inilah kali terakhir dia menghantar Akil kat sini. Tiba-tiba hatinya diundang rasa sebak. Dari tadi dia menahan bila terpandangkan keadaan Akil, tapi cuba untuk dia tahan.

Dia tidak mahu nampak lemah, tapi dia bukanlah seorang wanita yang kuat. Air matanya mengalir laju. “Maafkan ibu, Akil.”

AZRA sudah habis fikir. Mungkin ini keputusan yang sangat drastik, tapi biarlah demi kebaikan Akil. Dia perlu berkorban. Tidak sanggup lagi untuk biarkan Akil didera dan dilakukan seperti itu lagi.

Dia tinggalkan Akil pada jiran di sebelah rumahnya seketika. Jirannya itu ada juga menawarkan untuk menjaga Akil, tapi dia tidak mahu menyusahkan memandangkan jirannya itu sudah pun berusia. Tapi, hari ini dia terpaksa tinggalkan seketika untuk dia uruskan tentang hal ini.

Pintu bilik Nadeem diketuk. Tidak lama suara dari dalam memberi arahan dan perlahan-lahan Azra menolak pintu.

Yes, Azra. Ada apa?” soal Nadeem sebaik sahaja Azra masuk. Berdiri tercegat di hadapannya. Dia yang nak buat kerja pun tidak jadi kerana nak tahu tujuan Azra datang ke biliknya ini.

Azra menghulurkan sampul surat berwarna putih kepada Nadeem.

Wajah Nadeem berkerut dan memandang Azra. “Surat apa ni?”

“Saya nak letak jawatan.”

What?” Suara Nadeem separuh menjerit. Terkejut dengan keputusan yang sangat tiba-tiba ini.
Azra tidak berani bersuara lagi. Dia tahu mesti Nadeem menghalang, tapi ini adalah keputusan dia. Muktamad. Sudah lama dia fikirkan dan ini mungkin tiba masanya untuk dia berhenti kerja.

“You sedar tak apa yang you cakap ni, Azra?”

Azra mengangguk perlahan. Dia sedar dan dia dah fikir masak-masak.

“Ya. Saya sedar. Saya memang nak letak jawatan kerana saya ada tanggungjawab lain lagi yang harus saya laksanakan. Sudah saya nyatakan dalam surat tersebut, Tuan Nadeem.” Azra masih berdiri tercegat di hadapan Nadeem bagaikan pesalah menanti hukuman.

Nadeem bingkas bangun. Surat peletakan jawatan yang ada di tangannya diambil lalu direnyuk dan terus dibuang ke dalam tong sampah.

“I tak benarkan you berhenti kerja.” Nadeem memberi jawapan. Dia tidak boleh membiarkan Azra pergi macam tu sahaja.

Azra terkejut dengan tindakan Nadeem itu. Bibirnya diketap erat. Matanya tertancap pada surat yang sudah dibuang ke dalam tong sampah sebelum kembali pandangannya kepada Nadeem.

“Tuan Nadeem tak boleh menghalang saya macam ni. Ini hak saya untuk berhenti kerja. Lagipun saya sudah bebas daripada sebarang kontrak.” Azra menyuarakan rasa tidak puas hati. Geram juga bila Nadeem berbuat demikian.

“Beritahu I sebab yang sebenarnya dan I akan cuba mempertimbangkan permintaan you ini. Kalau you tak berterus terang, I tak akan membenarkan you berhenti kerja,” tegas Nadeem.

Matanya memandang pada Azra di hadapannya. Dia terkejut dengan keputusan ini. Kalau Azra berhenti kerja peluang untuknya mendekati gadis ini sangatlah tipis. Mungkin dia boleh jadi angau dan terpaksa menahan rindu kalau tak dapat tengok walaupun sehari.

Azra menghela nafas lemah. Bukan tidak mahu memberitahu sesiapa, tapi tidak mahu simpati orang lain. Biarlah dia menghadapinya sendiri. “Saya kena jaga anak saya. Itu alasan dan sebab sebenar saya kena berhenti kerja.”

“Mana pergi pengasuh sebelum ini?” soal Nadeem terus sebaik sahaja Azra memberi jawapan.

“Saya dah tak percayakan sesiapa lagi, Tuan Nadeem. Mereka perlakukan anak saya yang tidak sepatutnya dan saya tak nak ambil risiko itu lagi.” Azra berterus terang sahajalah.

“Kalau you berhenti kerja macam mana you nak teruskan hidup?”

Azra tersenyum. Dia percaya apa yang berlaku ada hikmahnya. Allah sudah aturkan yang lebih baik untuk dia dan Akil pada masa depan.

“Insya-Allah, boleh. Pandailah saya nak teruskan hidup saya nanti.” Dengan penuh yakin, Azra memberi jawapan. Bukan mendabik dada, tapi sudah ada rancangannya sebelum mengambil keputusan drastik ini untuk berhenti kerja.

“I akan carikan pengasuh yang terbaik untuk jaga anak you. I tak boleh benarkan you berhenti kerja. Syarikat ini perlukan pekerja seperti you lagi.” Nadeem memberi kata putus.

Azra tidak puas hati. Nadeem tiada hak untuk menghalang dia berhenti kerja. Ini keputusannya dan dia tahu apa yang dia buat.

“Tuan Nadeem, saya tak boleh terima cadangan tuan tu. Saya tetap akan berhenti kerja. Saya dah tak percayakan orang lain lagi untuk jaga anak saya. Terima kasih kerana membenarkan saya untuk bekerja di syarikat ini. Saya hargai jasa baik semua. Saya tidak boleh mengubah keputusan saya. Muktamad. Assalamualaikum.”

Terus Azra mengangkat kaki keluar dari bilik Nadeem. Dia nekad dan tidak akan dia tarik balik.

TANPA diketuk terlebih dahulu Syifa meluru masuk ke dalam bilik Azra dengan kelam-kabut. Azra yang sedang mengemas barang-barang yang dimasukkan ke dalam kotak terkejut dengan kehadiran Syifa.

“Betullah apa yang aku dengar?” soal Syifa.

Azra mengangguk dan bibirnya mengukirkan senyuman nipis. Sedih untuk tinggalkan semua ini, tapi dia harus berkorban. Akil perlukan dia.

“Kau dah fikir habis dah?” Syifa bertanya lagi.

Dia masih tidak percaya apabila mendengar daripada Nadeem yang Azra mahu berhenti kerja. Tapi, dia yakin memang benar kerana melihat Azra sudah mula mengemas barangnya.

“Demi anak aku, Syifa. Aku dah tak sanggup dah nak biarkan dia terus kena dera dan terseksa macam tu,” balas Azra lemah. Lalu dia menghembus nafas lembut.

Syifa melepaskan keluhan hampa. Dia dah dapat jawapan yang sahih. Dia sedih dengan keputusan ini, tapi Azra sudah lama menyatakan niat itu.

“Kau sampai hati tinggalkan aku seorang kat sini,” keluh Syifa.

Dia tidak tahu nak rasa apa. Tapi, dia betul-betul kecewa dengan keputusan ini. Azra banyak bantu dia selama ini. Tak mudah untuk dia melepaskan Azra pergi macam tu sahaja walaupun mereka masih boleh berjumpa. Tetap tidak sama.

Azra menghentikan kerjanya. Dia memandang Syifa yang berdiri di hadapannya dengan muka yang masam. Dia berjalan menuju kepada Syifa dan tubuh sahabatnya itu ditarik ke dalam pelukan.

“Aku kena buat keputusan macam ni, Syifa. Maafkan aku. Kita masih sama macam dulu.” Azra menepuk belakang Syifa.

“Tapi, ada cara lain kan selain daripada berhenti kerja?”

Azra melepaskan pelukan. Dia tertunduk memandang lantai. Lantas kepalanya digeleng perlahan.

“Tiada cara lain selain daripada ini. Lepas ni aku cuba cari cara lain untuk teruskan hidup. Lagipun aku minat business. Jadi mungkin aku boleh buka bisnes aku sendiri.” Azra cuba untuk positif. Dia tidak boleh lemah. Kalau dia lemah tiada siapa yang boleh bantu diri dia selain dirinya sendiri.

Pintu terkuak dari luar. Mereka berdua memandang terus. Kelihatan Nadeem dengan wajah yang langsung tidak senyum masuk ke dalam bilik Azra.

“I nak you ikut I.” Nadeem memberi arahan. Tegas.

“Pergi mana?” soal Azra yang terpinga-pinga melihat kehadiran Nadeem itu.

“Jangan banyak bunyilah. Ikut saja.” Nadeem merengus geram. Dia geram bila Azra keluar begitu sahaja dari bilik dia tadi.

Syifa yang turut berada di situ berasa tidak senang apabila melihat situasi ini. Memang pelik pula tengok Nadeem yang emo semacam tu.

“Azra, aku keluar dulu.” Syifa mencelah. Risau nak tunggu lama-lama. Nanti dia pula yang dihamburnya nanti.

“Keluarlah. Dah tak ada kerja sangat ke boleh datang melepak kat sini?” marah Nadeem.

Baru sahaja dia takut kena hambur, tapi memang dah kena pun. Menikus Syifa keluar dari bilik Azra meninggalkan mereka berdua.

Azra menggeleng. Apa masalah lelaki ni? Datang sini nak marah-marah. Kesian Syifa yang kena.

“I tak luluskan permohonan letak jawatan you. Jadi, tak perlu berangan you boleh berhenti kerja.” Nadeem memandang Azra tajam. Nafasnya turun naik menahan rasa tidak puas hati.

Azra melepaskan keluhan. Tak habis lagi rupanya masalah ini.

“Tuan Nadeem, saya ni tiada sangkut apa-apa lagi dengan syarikat. Ya, mungkin saya kena penalti disebabkan berhenti serta-merta, tapi tak apa. Saya akan bayar. Jangan risau.” Azra membalas dengan penuh rasa hormat kepada Nadeem.

“You boleh tak jangan selfish?” Nadeem melenting.

Selfish? Apa maksud Tuan Nadeem ni?” soal Azra tidak mengerti apa yang dimaksudkan.

“Tolonglah. Syarikat ini perlukan you. Kalau Tuan Johari tahu you berhenti pastinya dia kecewa. I tahu you adalah pekerja kesayangan dia.” Nadeem mula bermain dengan nama bekas majikan yang banyak membantunya dulu.

Azra menggeleng. “Saya yakin syarikat ini akan dapat pekerja yang lebih cemerlang nanti. Syifa pun ada. Dia sangat berkebolehan, Tuan Nadeem.”

No. I bagi you cuti tanpa gaji selama satu bulan. You buatlah macam mana pun, tapi I tak benarkan you berhenti kerja.” Nadeem berkeras juga.

Dia tidak akan mudah melepaskan Azra begitu sahaja. Walaupun dia masih baru kenal Azra, tapi dia tidak boleh menafikan perasaannya terhadap Azra. Cuma ego dia tinggi sangat membuatkan dia tidak berani nak mendekati Azra.

“Tak, Tuan Nadeem. Saya tetap dengan keputusan saya.” Azra berkeras. Dua-dua keras kepala. Masing-masing nak menang.

“Tak. Cuti satu bulan. Lepas tu I nak you datang balik masuk kerja.” Nadeem terus melangkah keluar dari bilik Azra.

Azra melepaskan keluhan besar. Barang yang berada di tangannya dilempar di atas meja.

“Apa masalah kau ya, Nadeem? Kau fikir aku akan ikut cakap kau? Mimpi!” Azra merungut sendiri. Dia tidak akan ikut arahan Nadeem itu. Dia berhak untuk tentukan hidup dia.

TURUN sahaja dari kereta, Azra terus ke rumah Mak Cik Yah. Dia rindu nak berjumpa dengan Akil yang masih trauma dengan peristiwa semasa duduk dengan Kak Midah. Sebaik sahaja pintu diketuk, kelihatan Mak Cik Yah tersenyum melihat kehadirannya.

“Akil macam mana, mak cik?” soal Azra.

“Masuklah. Akil okey. Tadi lepas kamu keluar tu dia tidur. Baru bangun lepas tu dah mandi dan makan dah tu. Sekarang ni sibuk tengok televisyen siaran Arab. Mak cik pun tak faham.” Mak Cik Yah memberitahu secara terperinci kepada Azra dengan ketawa kecil.

Azra tersenyum. Dia melangkah masuk ke dalam rumah dan melangkah ke ruang tamu di mana Akil sedang khusyuk menonton televisyen. Betul kata Mak Cik Yah. Tengok siaran Arab. Memang dia pun tak fahamlah.

“Terima kasih, mak cik. Saya betul-betul tak sangka yang Kak Midah akan buat saya macam ni. Selama ini saya ingat dia ikhlas jaga Akil, tapi sebaliknya.” Azra meluahkan rasa kecewanya.

Terbayang-bayang lagi bagaimana keadaan Akil yang diseksa oleh Midah. Memang menyayat hatinya.

“Itulah. Mak cik minta nak jagakan kamu yang tak nak. Bukannya mak cik nak minta bayaran banyak pun. Sekadar untuk makan minum Akil sudahlah.” Mak Cik Yah membalas.

“Bukan macam tu mak cik. Tapi, saya tak mahu susahkan mak cik. Tapi, lepas ni kalau saya terpaksa ke mana-mana jadi saya terpaksa jugalah susahkan mak cik.” Azra ketawa kecil.

“Tak apa. Tadi kamu kata nak ke ofis sebab ada hal. Apa halnya?”

“Saya nak hantar notis berhenti kerja, mak cik. Saya nekad kali ini biarlah saya yang jagakan Akil.” Azra membalas jujur. Dia tidak mahu mempedulikan arahan Nadeem tadi.

“Habis tu kamu nak kerja apa?”

Azra menggeleng. “Buat masa sekarang duit simpanan saya adalah lagi. Nantilah saya fikirkan. Sekarang ni saya cuma nak lepaskan stres saya dulu sebelum saya fikir untuk kami.”

Mak Cik Yah mengangguk. Dia bersimpati dengan Azra. Muda-muda lagi diuji, tapi dalam masa yang sama dia kagum. Anak muda ini memang baik hati. Kalau dia ada anak lelaki dah lama dia jodohkan Azra dengan anaknya. “Tak apalah. Nanti kalau perlukan apa-apa bantuan bagi tau mak cik.”

“Insya-Allah, mak cik. Terima kasih tau sudi ambil berat pasal kami. Saya dah anggap mak cik dah macam mak sendiri dah.” Azra memeluk tubuh Mak Cik Yah. Syukur kerana ada seorang jiran yang sangat baik.

“Nasib baik mak cik ni tak ada anak lelaki tau. Kalau tidak dah lama dah bagi kahwin dengan anak mak cik. Bukan senang nak cari menantu yang baik sekarang ni.” Mak Cik Yah bergurau.

Azra tersengih. “Itu maknanya saya ni cuma layak untuk jadi anak mak cik aje. Bukannya menantu.

Mereka sama-sama ketawa. Melepaskan segala kekusutan di dalam kepala.

3 comments:

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH