CURI HATI AWAK, BOLEH? 10


AZRA sudah mula bekerja hari ini setelah bercuti panjang. Perasaan malas nak masuk menghadap kerja yang bertimbun ditambah pula dengan melihat muka bos itu memang menghantui dirinya ketika ini.

Seperti biasa, hari ini Akil dihantar ke rumah Midah. Tadi Akil buat perangai tak nak duduk dengan Midah dan memaksa Azra untuk memberi ubat penenang kepadanya. Itu sajalah cara nak pujuk Akil.
Lagi beberapa minit saja dah nak masuk waktu pejabat. Azra bersyukur dia sampai ofis tidak terlewat. Pastinya kerja di atas meja itu bertimbun. Terpaksalah hadap.

“Cik Azra Zinnirah dah masuk kerja. You look gorgeous today, Azra.” Syifa yang tadi ternampak bayangan Azra terus berlari mendapatkan sahabatnya itu.

Azra melangkah masuk ke dalam biliknya dan melepaskan keluhan penat. Berkejar-kejar ini sangatlah memenatkan.

“Kau tak payah nak mengada sangat boleh, Syifa? Aku letih ni. Jangan naikkan darah aku.” Azra memberi amaran.

Syifa mencebik. “Aku puji. Bukan aku kata kau hodoh pun, Azra.”

Azra mengangkat kedua-dua bahunya. Bukan niat nak marah Syifa pun. Tapi, bila dalam keadaan tengah letih fikir itu ini memanglah secara tak sengaja dilontarkan kata-kata yang tidak menyenangkan itu. 

Okay, sorry. Bos dah sampai belum?”

Syifa menggeleng laju. Dia menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Azra.

“Lewat sebab terus jumpa klien. Kau macam mana? Akil dah okey?”

“Alhamdulillah. Tapi pagi tadi mengamuk sakan tak nak duduk dengan Kak Midah. Terpaksalah bagi ubat kat dia. Jap lagi masa lunch aku nak keluar pergi melawat dia kejap.” Azra menjelaskan kepada Syifa. Dia hairan juga tadi. Nampak macam Akil takut sangat nak duduk dengan Midah.

“Baguslah. Sebelum aku lupa hujung minggu ni jom ikut aku.”

“Pergi mana?”

“Macam selalulah. Setiap tahunkan aku ikut Wan pergi konvoi. Tapi, kali ini dekat saja. Kat Pantai Morib. Akil kan suka juga tengok motor ni. Kenapa tidak kalau kau bawa dia pergi situ?”

Azra sudah sedia maklum dengan aktiviti Syifa yang selalu mengikut tunangnya mengelilingi Malaysia dengan bermotosikal. Cuti tahunan selalu habis untuk aktiviti macam tu. Dia pun minat sebenarnya. Dulu dengan Firdaus. Tapi, Firdaus meminati motosikal-motosikal besar. Anak orang kaya katakan.

“Tengoklah dulu macam mana. Takut aku nak bawa Akil tu. Mengamuk tak tentu pasal nanti.” Azra tidak pasti lagi. Kalau berkesempatan bolehlah dia pergi sekali. Bukan jauh mana dah pun.

“Jangan risau. Aku rasa Akil anak yang baik.” Syifa meyakinkan Azra.

Sebenarnya dia ada sebab juga mengajak Azra pergi sekali, tapi tak perlulah diberitahu kepada Azra. Takut sahabatnya itu tidak mahu pergi.

Azra senyum. “Insya-Allah.”

Syifa melihat Azra mula membuka fail. Jadi, dia dah faham sendiri yang Azra sudah mahu memulakan kerjanya. Dia bingkas bangun. “Selamat bekerja kembali.”

Thanks.”

Sebaik sahaja Syifa melangkah keluar, dia terserempak dengan Nadeem. Pelik juga sebab setahu dia yang Nadeem memang masuk lewat hari ini.

“Azra dah sampai?” soal Nadeem.

“Dah bos.”

“Okey.” Terus Nadeem mengangkat kaki menuju ke bilik Azra.

Syifa yang melihat menggigit bibir. Dia sedia maklum yang Azra memang tidak suka dengan Nadeem, tapi terpaksa disebabkan bos.

“Azra.”

Azra mengangkat kepala dan terkejut melihat kehadiran Nadeem yang sudah tercegat di hadapannya. Dia bingkas bangun dan berdiri tegak. “Ya.”

“Ikut I jumpa klien.”

“Bila?”

Now.” Tegas arahan yang diberikan oleh Nadeem.

Azra menggaru kepalanya. Sekilas dia melihat jam di sudut komputer ribanya. Kalau boleh dia nak mengelak. Tapi, rasanya macam tak boleh. “Tapi, kerja saya...”

“Jangan banyak bunyi. Ikut I sekarang. I dah lewat.” Nadeem mencantas kata-kata yang mahu dilontarkan oleh Azra itu. Matanya tidak lepas melihat Azra. Terdetik di hatinya perasaan yang lain saat ini. Suka pula dia melihat telatah Azra yang gelabah itu.

“Okey.” Dalam keterpaksaan Azra menerima. Inilah bila jadi kuli. Terpaksa terima dan ikut sahaja kata orang atas.

Nadeem tersenyum nipis. Berjaya juga.

“MAAF lambat. Susah pula nak dapat parking tadi,” ujar Izzah sebaik sahaja dia sampai.

Its okay, puan. Kami faham,” balas Nadeem sambil mengukirkan senyuman. Begitu juga dengan Azra.

“Memang kawasan ni susah nak cari parking, puan. Tadi kami pun berpusing cari tempat kosong,” tambah Azra pula.

“Ermm, ikutkan suami saya datang sekali ni, tapi disebabkan dia ada hal kecemasan terpaksalah saya datang seorang. Tapi, sekejap lagi adik saya datang. Kebetulan pula adik saya ada kat sini. Sebabnya nak tengok design hari ini. Jadi kena juga minta pendapat orang lain. Kut-kut dia ada idea lain.”

 Dalam senyuman, Izzah memberitahu kepada mereka berdua. Takut terkejut pula tiba-tiba ada lelaki lain nanti.

“Boleh puan. Tiada masalah.” Nadeem menjawab mesra.

Telefon bimbit Izzah berdering. Dia melihat pada skrin dan terus menjawab. Matanya meliar melihat sekeliling kafe.

“Meja hujung ni. Kak ngah tengah angkat tangan ni.” Izzah sudah pun terpandangkan tubuh adiknya itu terus mengangkat tangan bagi memberi kemudahan kepada Iyad bagi mencari kedudukannya.

Azra turut sama memerhati dan dia rasakan seperti kenal dengan lelaki itu. Lelaki yang dikatakan adik kepada Izzah itu semakin dekat dan terkejut dia apabila betul tekaan dia.

“Maaf lambat.” Iyad bersalaman dengan Nadeem sebelum menarik kerusi untuk duduk di sebelah kakaknya.

Seketika matanya dan Azra bertaut. Masing-masing terkejut dengan pertemuan yang tidak dirancang ini.

“Kenalkan ini adik saya, Iyad Mujahid,” ujar Izzah memperkenalkan Iyad kepada Nadeem dan Azra. Tapi, sebenarnya dua-dua orang sudah sedia kenal.

Nadeem mengukirkan senyuman nipis. Sekilas dia memandang Azra. Hatinya pula tidak senang dengan kehadiran Iyad. Lelaki inilah yang dia bertemu di hospital tempoh hari dan nampak dari jauh menghantar Azra pulang ke rumah.

“Kak ngah, jangan risau. Kami dah kenal. Ini Cik Azra Zinnirah dan bosnya.” Iyad tersengih. Matanya dilarikan kerana takut kakaknya perasan pula nanti.

“Oh, ya? Patutlah nampak terkejut lain macam tadi. Tak salahlah ni ajak Iyad teman kak ngah,” perli Izzah kepada adiknya.

Perasan juga tadi, tapi ingatkan Iyad terpukau dengan kecantikan Azra. Tapi, sebenarnya dah sudah kenal.

“Memang tak salah. Kalau tahu dari awal lagi tawarkan diri untuk ikut kak ngah.” Iyad tersengih.

Membuatkan Azra menahan rasa malu. Nadeem di sebelah memang dah tak senang duduk.

“Boleh kita mulakan?” Nadeem tiba-tiba mencelah.

Sure.” Izzah memberi jawapan dan perbincangan mereka bermula.

“Kami ada melakar beberapa reka bentuk untuk rumah itu. Jadi, Puan Izzah boleh tengok dulu dan mana yang tak okey tu boleh beritahu kami.” Azra membuka fail yang mengandungi lakaran lalu diberikan kepada Izzah dan Iyad.

“Kak ngah, design ni cantik juga. Tapi kat sini Iyad rasa macam tak faham. Apa fungsi bahagian ni, Cik Azra?” Iyad menyoal dan matanya melirik kepada Azra yang duduk berhadapan dengannya. Bibirnya tersungging mengukirkan senyuman nakal.

“Okey, biar saya jelaskan.” Nadeem yang tidak senang dengan situasi ini mengambil tugas Azra. Tapi, Iyad tidak membenarkan.

“Tak apa. Saya rasa lebih faham kalau Cik Azra yang terangkan.”

Jawapan Iyad itu membuatkan Nadeem tercengang. Azra duduk di sebelah pun kurang selesa dengan situasi ini.

“Okey, macam ni...” Azra mengikut seperti yang diminta oleh Iyad.

Saat itu, nakal sungguh mata Iyad. Sekali-sekala dia mengerling Azra. Matanya juga tidak berkelip bila setiap kali Azra memberi penjelasan tentang reka bentuk yang telah dilakarnya. Sampai Izzah perasan apabila Izzah mencubit pahanya. Malu Iyad rasa. Tapi, bagi Iyad ini satu peluang juga untuk dia lebih dekat dengan Azra.

“BUKAN main lagi kak ngah tengok tadi. Kalau boleh pandang tu macam nak terkam,” ujar Izzah sebaik sahaja selesai perbincangan dan masing-masing sudah beredar.

Iyad menggaru kepalanya dan bibirnya tersengih. Mata ni gatal sangat. Sejuk saja hati dia dapat tengok muka Azra.

“Tak adalah. Tertarik nak tengok dia lama-lama,” jawab Iyad. Dia agak rapat dengan Izzah berbanding kak longnya. Mungkin tentang hal ini dia boleh berkongsi dengan Izzah.

“Iyad kenal dia kat mana?” soal Izzah sambil berjalan ke kereta yang diparkirkan tidak jauh dari lori Iyad.

“Kawan Syifa. Tapi, sebenarnya kenal dia masa dia datang beli ikan hari itu. Lepas tu anak dia sakit. Iyad tolong dia.”

Dahi Izzah berkerut. Mestilah dia pelik. Setahu dia Azra belum berkahwin. Mana pula datang anak.
“Anak kakak dia. Dia jaga sebab semua ahli keluarga dia meninggal kemalangan.”

Izzah mengangguk. Dia memandang Iyad dan adiknya itu memang nampak macam lain macam tadi.

“Jadi, dia ke perempuan yang berjaya tawan hati adik kak ngah ni?” Izzah menduga.

Kalau betul dia tidak menghalang. Malah, dia juga berkenan dengan keperibadian dan sikap Azra sepanjang bekerjasama.

Iyad senyum nipis. “Kak ngah rasa okey tak?”

Izzah ketawa kecil. Kelakar juga dengan adik bongsunya ini. Nampak macam tak pandai bercinta pun ada. Padahal dulu bukan main. Tapi, mungkin sebab pengalaman lama kut.

“Kalau adik kak ngah ni dah berkenan apa salahnya? Cubalah. Pastikan dia bukan tunang orang atau isteri orang. Naya aje nanti.”

“Tak. Itu jangan risau. Syifa dah beritahu yang Azra memang single. Tak tahulah pernah ada kekasih ke tidak, tapi katanya Azra tak berkahwin lagi sampai sekarang disebabkan nak jaga anak kakak dia tu,” jelas Iyad.

Itu yang Syifa beritahu dia. Tapi, itu sahajalah. Lain semua kena tanya sendiri.

“Kalau dah macam tu jangan tunggu lama-lama. Kalau sanggup terima anak orang lain untuk dijaga cepat-cepatlah mencuba. Takut nanti terlepas.”

Iyad mengangguk. Itulah yang paling ditakutkan olehnya. Tapi, dia yakin kalau Azra jodohnya pasti akan jadi milik dia juga. “Memang Iyad takut terlepas ni sebab Syifa bagi tau bos dia tadi tu nampak macam nak try Azra.”

Izzah menepuk bahu adiknya itu. Seronok bila dia dengar adiknya mula dah nak ke arah itu. Tidaklah dengar mama membebel lagi nanti. “Berusahalah. Kak ngah sokong apa saja Iyad buat. Cuma satu saja pesan kak ngah.”

“Apa dia kak ngah?” Iyad angkat kening. Menanti pesanan daripada kakaknya itu.

“Jangan suka tenung anak dara orang lama-lama macam tu. Nampak sangat Azra tak selesa tadi. Cuba jaga mata tu sikit. Lagipun berdosa duk pandang perempuan macam tu. Zina mata.”

Iyad tergelak besar. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Terkena setepek kat mukanya. Padan muka. “Baiklah, kak ngah. Iyad cuba ingat pesanan kak ngah itu.”

“Okeylah. Kak ngah gerak dulu. Lepas ni Iyad nak pergi mana?” soal Izzah selepas melihat jam di pergelangan tangannya. Sekejap lagi nak ambil anaknya pula.

“Nak baliklah kut. Tak pun turun jeti kejap.”

Izzah mengangguk. Dia menghulurkan tangan kepada Iyad lalu disambut serta dicium lembut. “Ingat pesan kak ngah. Berusahalah. Kak ngah tetap sokong.”

“Terima kasih, kak ngah.” Iyad tersenyum.

Sedikit sebanyak hatinya lega. Mungkin dia akan menghadapi kesukaran bila berhadapan dengan mama bila terpaksa terima anak orang lain untuk dijaga, tapi Iyad pasti mamanya pasti terima juga.



No comments:

Post a Comment

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH