Katakan Cinta 11

Bab 11

Indahnya dapat bergolek di atas katil. Sebaik sahaja sampai, terus ke hospital. Terpaksa pula melayan mamat tak matang tu makan dan dia punya perangai. Dia ingat aku ni patung kot sesuka hati nak buli aku.

“Kau tolong order kat aku. Aku jaga meja.”

“Pergilah sendiri. Tak maulah. Hang yang nak makan bukan aku. Biar aku yang jaga meja.”

“Tak nak. Aku jaga meja. Kau pergi order.”

“Aku tak taulah hang nak makan apa. Kan senang kalau hang sendiri yang order.” Aku menolak. Dapat sikap baru pula. Suka mengarah.

“Tak kisahlah. Kau order semua aku makan.”

Malas nak bergaduh dengannya menonong aku ke kaunter untuk membuat pesanan. Mengada-ngada perangai. Aku pesan Nasi Goreng Ayam dan Milo Ais buatnya. Aku tak nak makan lagi sebab nak tunggu mak dan abah.

“Nah!” Aku meletak dulang di atas meja dengan kasar sebelum menarik kerusi duduk berhadapan dengan dia.

“Aku tak nak makan nasi. Aku nak makan bihun goreng.”

Aku ketap bibir.

“Tadi hang kata apa saja. Aku belikan ini jadi makan sudahlah. Tok sah dok cakap banyak boleh tak?” aku mula berang. Main oder pula. Tadi sudahlah buat perangai tak senonoh. Bila ikut, dia buli aku pula.

“Tak nak. Aku nak bihun goreng. Pergi order lain.”

“Lantak hanglah. Hang nak pi order sendiri.” Aku tidak mengendahkan.

“Aku tak akan makan selagi hang tak order lain.”

“Kisah pula aku. Kalau hang tak makan, hang yang lapar.” Aku seluk poket dan keluarkan telefon bimbitku. Meluatnya rasa.

“Betul ni kau tak nak order?” suaranya seakan mengugut.

Aku mendecit. Aku risau kalau dia buat perangai lagi. Aku bingkas bangun dan terus ke kaunter semula. Memesan bihun goreng. Bila dah selesai, aku kembali ke meja dan dia makan dengan perasaan tanpa bersalah membuli aku.

Aku dah naik menyampah dengan Mikael.

Pintu diketuk. Peristiwa siang tadi berlalu begitu sahaja. Aku malas nak ingat. Sakit hati saja. Aku bangkit dari baringku dan mencapai tudung untuk menutup rambutku.

“Jom turun makan.” Terpancul wajah orang yang aku rasa macam nak siat-siat di hadapan pintu bilik ini.

“Tak lapar.” Aku menolak. Aku masih marah dengan dia. Entah apa pula kali ini rancangan dia.

“Jomlah. Aku dah masak untuk kau.”

Aku mencebik. Iyalah tu masak. Macam aku tak tahu pegang senduk pun tak pernah.

“Tak percaya? Tanya Rosie. Aku ni pandai masak tau. Cuma taklah sesedap tauke restoran ni.”

“Tak apalah. Hang makanlah. Aku tak lapar.”

Dia tidak berputus asa. Dia ke tangga dan menjerit ke bawah.

“Pak cik, Rania kata dia nak suruh Mikael dukung dia baru dia turun makan. Boleh tak Mikael minta izin untuk dukung Rania?”

Aku membulatkan mata. Aku melangkah keluar dari bilik dan menepuk belakang dia. Kuat.

“Sakitlah, gila.”

“Hang ni memang perangai tak pernah tak bagi orang sakit hatikan? Ada saja yang hang buat bagi aku naik hantu.”

Mikael tersengih.

“Awat Mikael? Tadi pak cik tak dengar.” Abah kat bawa menjerit supaya mengulang kembali apa yang dijeritkan oleh Mikael tadi.

“Rania tak mahu turun makan. Dia suruh saya....” aku tekup mulut dia dengan tangan aku. Tak perlu kot nak ulang apa yang dia cakapkan tadi.

“La, awat hang pi tekup mulut Mikael tu Rania?”

“Tak ada apa abah. Abah pi tunggu kat meja makan dulu. Satgi Rania turun.”

Selepas abah pergi aku memandang dia tajam.

“Nasib baik aku ingat aku duduk rumah hang saja tau. Kalau tak, memang aku pancung hang malam ni.”

Terus aku menuruni tangga menuju ke meja makan. Aku betul-betul tak tahan dengan sikap dia yang suka melibatkan orang lain untuk menyelesaikan masalah dia. Tak matang langsung.


********

Baru nak melelapkan mata, pintu diketuk. Selepas makan malam tadi, aku langsung tak cakap dengan Mikael. Abah ada juga tegur tapi aku malas nak layan. Aku betul-betul marah. Bingkas aku bangun dan membuka pintu.

         Muncul wajah itu lagi. Aku mahu menutup pintu kembali tapi dihalangnya. Mukanya masam. Matanya merah. Macam menangis.

           “Papa dah tak ada.”

“Hang tak main-mainkan?”

Mikael mengangguk. Dia terduduk di hadapan pintu bilik aku. Air matanya mengalir laju.

“Aku tak sempat nak minta maaf dengan papa aku.” Mikael merintih dalam tangisan dan sebak.

Aku mendekati dia dan duduk berhadapan dengan Mikael. Air mata aku mengalir tanpa dipinta. Sedih aku melihat keadaan Mikael yang nampak sangat tertekan. Aku mungkin boleh faham perasaan dia tapi aku tak rasa apa yang dilalui olehnya.

“Papa hang dah maafkan hang tu. Jangan macam ni. Papa mesti sedih tengok keadaan hang macam ni.” 

“Aku dah tahu cerita sebenar.”

Diam seketika.

“Cerita kenapa papa aku tak datang dua puluh tahun yang lalu untuk memberitahu tentang kisah sebenar. Dan sekarang bila aku nak pergi minta maaf dengan papa aku tapi dia dah tak ada.”

“Sabarlah, Mikael. Ada hikmah semua yang berlaku ni. Aku yakin papa dah maafkan hang.”

“Aku baru saja nak dapatkan kasih sayang papa tapi dia dah pergi dulu.”

“Hang masih ada abah akukan. Tapi tetap abah akulah. Kau tak boleh lebih-lebih.” Aku bercanda. Cuba untuk tidak mahu dia bersedih lagi.

“Rania, Mikael.”

Aku bangun dan menghampiri abah.

“Sudahlah, Mikael. Tak baik merintih macam ni. Rania, masuk dalam siap. Rambut tak tutup tu.” Tegur abah.

Segera aku pegang kepala aku dan bulat mata aku bila aku tidak memakai tudung. Menikus aku lari masuk ke dalam bilik meninggalkan abah untuk memujuk dan menenangkan Mikael.

“Harap dia tak perasan. Tapi tak perasan kot sebab dia tengah sedih.” Dah macam orang tak betul cakap sendiri. Tapi betul-betul rasa malu kalau dia perasan.

Aku siap ala kadar sahaja. Abah ajak aku ke hospital bagi menemani mak ngah yang tengah bersedih kat sana. Mak tunggu di rumah. Siapkan apa yang patut untuk pengebumian pak ngah.

Aku nampak Mikael betul-betul bersedih dengan kehilangan papanya. Tapi aku nampak dia masih boleh bertenang. Jika terjadi pada aku, aku tak tahu. Aku mungkin akan jadi gila untuk menerima semua ini.

“Mikael, sabar ya. Yang pergi tetap pergi.” Ujar abah yang sedang memandu kereta. Mikael dah tak boleh nak memandu. Aku nak memandu tapi abah tak bagi.

“Berdosa ke saya, pak cik?”

“Banyak mohon ampun pada Allah. InsyaAllah, Allah itu Maha Pengampun.”

“Allah dengar ke doa anak derhaka ni?” rintih Mikael lagi.

Aku hanya memasang telinga. Aku tak setuju dengan apa yang dia persoalkan sekarang ini. Tapi aku cuba faham. Dia hilang pertimbangan.

“InsyaAllah. Tak baik Mikael buat macam ni. Setiap yang hidup akan mati, Mikael. Kena terima. Pak cik pun akan mati. Semua akan mati.”

“Tapi Allah tak bagi peluang untuk saya tahu kisah sebenar dulu sebelum ambil papa.”

“Mikael!”

Aku masuk campur. Aku tak suka dia macam ni.

“Hang tak boleh mempersoalkan semua ni. Mesti ada hikmah semua yang berlaku ni. Tak baik kalau hang asyik mempersoalkan hal ini. Kita siapa?” suara aku sedikit meninggi.

“Rania...” abah menegur.

Aku yang tidak mempedulikan teguran abah menambah lagi.

“Hang fikirlah baik-baik. Daripada hang merintih macam ni lebih baik hang berdoa untuk papa hang. Moga ditempatkan dikalangan orang yang beriman.”

“Kau bolehlah cakap sebab kau bukan di tempat aku.” Mikael membalas.

“Payah cakap dengan orang pandai macam hang ni.” Aku malas nak bertekak lagi. Emosi masing-masing tidak stabil. Kalau aku menambah lagi mungkin akan mencetuskan pertengkaran.

“Kau diamlah, Rania. Kau tak perlu masuk campur urusan aku!” suara Mikael meninggi.

Aku terkejut tapi aku cuba untuk berlagak biasa. Dia tengking aku? Tak apa. Aku terasa dengan sikap dia. Tak perlu kot nak tengking aku.

“Sudahlah. Tak payah bertengkar. Sudah-sudah.”

Abah menenangkan keadaan. Aku mengunci mulut. Sepanjang perjalanan ke hospital suasana sepi.

‘Semoga pak ngah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.’

Jujurnya aku terasa dengan Mikael. Aku tak suka orang tengking aku. Tapi aku cuba positifkan. Mungkin emosi dia tidak terkawal. 


1 comment:

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH