Katakan Cinta 13

Bab 13

Alhamdulillah. Perjalanan hampir empat jam berakhir apabila aku sudah terbaring kelegaan di atas katil. Sepanjang perjalanan aku yang memandu kerana tidak mahu menyusahkan abah. Bila aku pandu cepat sikit sampai.

            Tadi ingat nak terus ke restoran tapi mak melarang. Katanya suruh aku balik rehat dulu. Petang nanti barulah pergi tengok restoran. Mak tau anak dia ni penat memandu dan mak lagi tau kalau aku dah pergi restoran memang tak ada istilah pergi tengok dan balik. Mesti akan sampai malam.

Tadi semasa nak bertolak aku bersalaman dengan mak ngah. Mikael di sebelah tu bukan taklah aku salam walaupun dengan selamba dia hulurkan tangan kepada aku sambil tersengih-sengih. Kena jeling dengan abah tadi. Padan muka dia.

“Mikael, jaga mak elok-elok. Buang benda yang lama dan terima mak tu.” Pesan abah pada Mikael.

Mikael tersenyum lalu mengangguk. Dia menghulurkan tangan dan bersalaman dengan abah.

“InsyaAllah, pak cik. Jangan risau.” Mikael seakan-akan berjanji. “Err, Rania. Aku nak bercakap sikit dengan kau.”

Aku mengikut jejak langkahnya jauh sikit daripada mereka yang lain. Berkerut dahi aku tunggu dia nak cakap apa dengan aku. Tadi masa banyak tak ada pula nak bercakap. Sekarang bila dah nak bertolak sibuk ajak aku.

“Hati-hati memandu nanti.” Pesan Mikael.

“Itu saja hang nak cakap dengan aku?” Aku memuncungkan bibirku. Kalau kat sana tadi pun boleh.

“Nanti bila semuanya dah selesai aku balik kampung jumpa kau. Aku mesti rindu kau nanti sebab aku rasa aku nak balik London. Nak jenguk mama dan nenek aku kat sana dulu.”

“Oh, berapa hari?” soal aku. Dia balik London. Nanti mesti dia akan jumpa buah hati dia kat sana. Eh, Rania. Apa hang merepek ni?

“Dua minggu. Aku ingat dua hari lagi aku nak bertolak.”

“Oh, lama jugak.” Aku mengangguk. Dua minggu? Lama gila dia balik sana. Mungkin dia nak habiskan masa dia dengan buah hati kat sana kot. Biasalah lama tak jumpa mestilah rindu nak bermadu kasih.

“Kenapa? Rindu aku ke?” Mikael senyum senget. Senyumannya nakal membuatkan hati aku terusik sedikit.

Aku mencebik. Mana boleh mengaku aku akan rindu dia selama dua minggu dia kat sana. Baru sehari dia balik pun aku dah rasa lain macam. Inikan pula dua minggu. Lagi-lagi balik sana aku tahu dia mesti akan jumpa dengan buah hati dia. Entah dia ingat kat aku ke tidak tak tahulah.

“Tak akan.” Aku berdalih. Mestilah rindu hang, senget!

“Yelah tu, Rania. Jangan risau. Aku cuma balik nak tengok mama dan nenek aku saja. Lepas tu aku baliklah sini balik. Aku pasti aku akan rindu orang Malaysia iaitu kau, minah restoran.”

I hate you call me minah restoran, Mikael.”

Mikael tergelak kecil. Tangan dia memeluk tubuh dan kepalanya digelengkan beberapa kali. Matanya tepat memandang ke anak mataku tapi aku cuba  larikan. Aku risau kalau panahan itu akan hadirkan aku perasaan lain terhadapnya.

But I like it, my dear.”

“Itu saja ke hang nak bercakap dengan aku? Kalau itu saja aku rasa aku boleh kembali kepada mak dan abah aku kat sana.”

“Nantilah dulu. Aku tak habis cakap lagi. Aku sebenarnya berat hati nak balik sana tapi aku masih ada tanggungjawab kat sana. Tanggungjawab kat mama dan nenek aku.”

Girlfriend?” soal aku.

Mikael senyum. Dia mengecilkan matanya memandang aku. Aku menekup mulut aku serta-merta. Terlepas tanya pula.

Are you jealous?”

No!” pantas aku menjawab.

Since when...?”

What?” Aku bertanya. Tidak faham soalan daripada Mikael itu.

“Pandai cemburu?”

Aku mendecit. Bibir aku ketap erat. Aku membalas pandangan matanya yang cukup nakal itu meneroka setiap isi yang terluah melalui mataku. Sejurus kemudian, aku pantas melarikan.

Positive. Kau dah pandai cemburu.” Mikael senyum senget. Sukalah tu bila dapat buat aku tak tentu arah. Aku pasti muka aku dah merah. Menahan malu.

“Tolong sikit ya. Aku tiada masa nak cemburu dengan kekasih orang lain. Hang tu dah ada girlfriend. Buat cara dah ada girlfriend.” Aku memberi amaran padanya. Tiada niat untuk aku merampas mana-mana lelaki yang sudah menjadi milik orang lain. Aku belum terdesak untuk berbuat demikian.

“Itu girlfriend kat sana. Girlfriend kat sini tak ada lagi. Jadi kaulah girlfriend aku kat sini.”

“Lelaki. Mana pernah cukup dengan satu.”

“Betul tu. Lelaki kena bagi cukup kuota. Barulah dia puas tak cari lain dah.”

Aku menjuihkan bibirku. Aku memandang sekilas ke arah mak abah dan mak ngah. Mereka masih rancak berbual sementara menunggu untuk bertolak.

“Kau jaga diri kau baik-baik ya. Hati kau juga. Kalau boleh jaga hati kau tu untuk aku seorang dahlah. I’m gonna miss you, Rania. Aku akan kerap call kau. Aku janji.”

“Hey! Hang ni pasal apa? Aku tak kisah punlah hang nak pergi mana pun. Pergi sajalah. Kalau hang tak call aku pun aku tak kisah pun. Kita cuma musuh yang baik saja. Tak lebih daripada tu.”

Wajah Mikael nampak berubah. Dari tadi tersengih-sengih bertukar menjadi masam. Aku tak pasti kenapa. Tapi itulah kebenarannya. Aku tak nak berharap. Kerana aku tahu dia sudah menjadi milik orang lain. Lagipun tidak pernah terfikir untuk aku jatuh hati padanya. Kami tetap musuh dan Mikael adalah orang yang sangat merimaskan bagi aku.

“Betul ni kau tak kisah?”

Aku laju mengangguk. Aku tak mahu jadi perampas.

“Kalau macam tu tak apalah.” Terus Mikael kembali kepada mak abah dan mak ngah. Aku nampak wajah sugulnya. Langsung tiada senyuman yang dilemparkan sampailah aku bertolak tadi.

Pintu diketuk mengejutkan aku. Aku bangun dari baring dan lekas membuka pintu.

“Ada orang nak jumpa.” Maklum mak. Wajahnya serius.

“Fakrul.”

Aku terkejut. Tiba-tiba sahaja mamat itu datang dan nak jumpa dengan aku. Untuk apa lagi ya? Aku rasa aku dah habis dengan dia. Kami sudah tiada apa-apa lagi.

Aku pun tak ada nak ganggu rumahtangga dia. Pelbagai persoalan yang timbul di benak fikiran aku. Tudung aku capai dan sarungkan ke kepala.



Aku menggelengkan kepala tidak percaya. Fakrul ni memang suka buat kerja gila. Dia ingat semua benda ni main-main. Dia dah pilih perempuan lain sebagai isterinya tapi hari ini dia datang dan cakap pada aku yang dia tidak boleh terima isterinya. Tidak sama seperti aku.

“Pergi baliklah, Fakrul. Kita dah tak ada apa-apa lagi. Benda tu dah lama berlalu.” Rayu aku. Aku tak mahu jadi punca keretakan rumahtangga Fakrul. Dia dah buat pilihan dia sendiri dan dia harus cuba menerimanya.

“Tapi aku tak boleh lupakan hang, Rania. Aku baru sedar yang aku masih sayangkan hang.”

“Cukup. Aku tak mahu dengar apa-apa lagi daripada hang. Lebih baik hang balik dan jaga isteri hang baik-baik.”

Fakrul menggeleng. Senangnya lelaki. Bila tak nak ditendang kita serupa bola sepak dan bila nak itu akan merayu sampai dapat. Pulun nak bagi gol juga bola tu. Tapi tak mungkin aku kembali pada Fakrul. Aku tak akan rosakan hubungan dia dan isterinya.

Please. Aku merayu kat hang.” Fakrul merayu. Aku memandang sekilas wajahnya dan sejurus kemudian mendengus kasar.

 “Hang sendiri tahukan aku dah ada orang lain?” Tiba-tiba dapat idea pula. Tak apalah. Mikael bukan ada kat sini pun. Kalau dia ada memang taklah aku nak mengaku macam tu. Satgi kena bahan teruk punya.

“Mamat rambut perang tu pilihan hang?”

Aku mengangguk. Tak salah kot guna nama dia sat. Cuma nak bagi Fakrul ni balik dan kembali pada isteri dia saja. Tak payah nak berharap kat aku lagi. Kalau aku tak ada orang lain pun aku tak mahulah kembali pada dia. Lepas ni mungkin dia boleh buat kat aku lagi.

“Hang sedar tak? Hang tu anak tok guru mengaji kampung ni. Tak akan hang pilih orang macam dia tu?”

“Awat pula tak boleh? Dia manusia macam kita juga. Kalau dia tu alien ka, avengers ka patutlah hang heran kalau aku pilih dia.”

Tak ada yang pelik pun. Aku perempuan Mikael lelaki. Bukannya Mikael tu lelaki celup ke atau perempuan celup ke.

“Tak sangka taste hang jenis macam tu. Jenis rambut berkaler tu. Cofirm dah tak sembahyang. Macam mana nak didik hang sedangkan dia pun tak betul?”

Oh patutlah Fakrul kata macam tu. Rupanya dia sekarang ini mempertikaikan rambut Mikael. Inilah manusia. Suka sangat menjatuhkan hukum pada orang lain padahal dia tak tahu cerita sebenar. Sama juga macam aku dulu.

“Hang tau mana dia tak sembahyang? Takut dia lagi hebat solat dia daripada hang kot.” Perli aku. Biarlah Fakrul terasa pun. Aku pun nak sedarkan Fakrul ni jangan dok suka hukum orang sesuka hati.

Fakrul tersenyum sinis. “Dah rambut macam tu mana nak boleh sembahyang. Ambil wuduk tak sah. Hang lebih tau kot sebab pak cik guru mengaji.”

“Sekarang ni hang rasa dia tu jahil sangatlah? Tak layak untuk aku macam tu?”

Fakrul mengangguk. “Aku percaya mesti pak hang pun tak terima dia tu jadi menantu.”

Syok pula dengar Fakrul berkata penuh yakin ni. Tunggu sat. Nak bagi dia malu sikit jangan dok kata kat orang.

“Kalau aku bagitau abah aku tak kisah dengan pilihan aku tu hang nak kata apa?”

Fakrul tercengang. Dia memandang aku tidak berkelip. Kakinya melangkah mendekati aku. Aku melangkah ke belakang sikit. Mana boleh dekat macam ni. Buatnya orang lain nampak mahu kena gosip aku ni cuba nak goda Fakrul pula.

“Hang sengaja nak buat aku sakit hatikan?” Fakrul tersenyum. Tidak percaya.

“Tak ada kerja aku nak mereka cerita nak bagi hang sakit hati, Fakrul. Hang pi baliklah. Tak manis orang tengok macam ni. Satgi abah aku balik hang kena dengan abah aku nanti.”

Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Tapi aku berhenti dan menoleh memandang Fakrul semula.

“Untuk pengetahuan hang rambut Mikael tu rambut asal dia. Dia kacukan. Jadi solat dia sah. Wuduk yang dia ambil juga sah. Lain kali jangan nak hukum orang macam tu terus tanpa tahu cerita sebenar. Dia mungkin jahil tapi sekurangnya dia tidak bersangka buruk pada orang lain.”

Terus kaki aku melangkah masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Meninggalkan Fakrul keseorangan tercengang  di luar. Padan muka. Biar jadi pengajaran pada Fakrul sendiri.

Sampai mati pun tak akan aku terima Fakrul balik. Dia boleh buat isteri dia macam ni dan tak mungkin nanti dia akan buat pada aku pula. Aku terus melangkah masuk dapur. Mak sedang memasak untuk makan tengah hari. Rajin sungguh mak.

“Mak nak Rania tolong masak dak? Rania bosanlah mak. Nak pi restoran mak tak bagi.” Rungut aku. Sebenarnya nak belas kasihan mak saja supaya melepaskan aku pergi melawat restoran aku tu.

“Boleh juga. Mak dah sediakan bahan dah. Hang buat masak merah ayam. Biar mak buat sayur.”

Segera aku menghidupkan api dapur gas. Kuali aku ambil dan aku masukan minyak. Senduk yang diletakan di dalam bekas dicapai dan setelah minyak panas aku menumis bahan yang telah disediakan oleh mak tadi.

“Fakrul mai buat apa tadi?” soal mak. Ingatkan tak dak soalan tu tadi. Tu rasa pelik bila mak tak bertanya tu.

“Dia nak Rania balik.”

“Ha? Gila ka apa? Habis tu bini dia nak letak mana?” mak separuh menjerit. Terkejut aku yang baru nak masukkan sos dalam kuali. Lemah semangat.

“Itulah mak. Kan? Gilakan? Dia tu ingat perempuan ni boleh tukar ganti macam tu saja kot. Dah tak suka buang macam tu saja cari lain.”

Bohonglah kalau cakap aku tak sayang dia lagi. Tapi aku ni dah redha dengan semua yang berlaku. Aku tak mahu ingat lagi  kenangan aku dan dia dulu. Sudah-sudahlah.

“Bini dia dah buat perangai ka?”

“Rania tak rasa bini dia buat perangai mak. Rania rasa dia yang buat perangai. Tak taulah mak. Hari tu beria-ria sangat nak bernikah. Tinggal Rania macam tu saja. Sekarang ni terhegeh-hegeh pula dia mai. Dia ingat dia handsome sangat ka Rania nak terpikat balik? Rania pun tak tau awatlah Rania boleh terpikat kat dia dulu. Nak kat ada rupa tak ada. Ingatkan orang tak ada rupa macam dia tu hati baik tapi rupanya dok susun perempuan.”

Puas aku meluahkan pada mak segala isi hati aku. Betul aku kata. Kalau perempuan lain tengok mungkin fikir banyak kali nak pilih Fakrul tu. Nak kata tak ada rupa sangat tu tak adalah. Adalah juga tapi semua perempuan nak yang kacak. Tapi bagi aku tak ada rupa tak apa janji hati baik. Tapi dia buat onar kat aku memang melampaulah.

“Dulu hang kata kat mak. Cinta tak mengenal rupa.”

Aku tersengih. Sambil bersembang sambil aku memasak. Masak bagi aku benda paling senang dalam hidup. Bila aku stres aku akan memasak. Bila aku sedih pun aku akan masuk dapur masak. Memasak memberi aku satu ketenangan tau. Tengok pula orang makan dengan bersemangat sekali lagilah aku gembira.

“Itu dulu mak. Sekarang tak lagi.”

“Mak cuma nak pesan kalau boleh jauhkan diri hang daripada Fakrul tu. Mak tak mau orang kampung dok mengata nanti yang hang tu perampas dan perosak rumahtangga depa pula.”

“Mak bayangkan mak kat rumah pun Fakrul boleh mai cari. Macam mana tu?”

“Itulah mak suruh hang menikah cepat-cepat. Tak adalah orang macam Fakrul tu nak meroyan lagi  kat hang.”

“Nak menikah macam mana kalau calon tak dak mak oii.”

Mak memandang aku dan dia tersenyum. Dia menarik tangan aku dan suruh duduk. Aku pelik. Tiba-tiba pula mak ni. Seram pula rasa.

“Mikael tu ada. Mak berkenan kat dia.”

Terbatuk aku mendengar mak kata macam tu. Mak menghulurkan air kepada aku. Aku minum dan cuba tenangkan diri. Apa pula mak ni?

“Hang pasai apa jadi macam ni?” soal mak.

“Mak oii, apalah mak merepek ni. Mikael tu dah ada girlfriend dah. Rania tak mau jadi perampas mak. Tadi mak pesan jangan dok jadi perampas.”

“Baru girlfriend, Rania. Bukannya bini. Kalau macam Fakrul tu memanglah mak halang. Dia dah ada bini. Hang mengoratlah Mikael tu. Mak berkenan sungguh dengan dia tu. Abah hang pun ada habaq kat mak dia berkenan.”

Aku menggeleng. Ubat apa Mikael bagi kat mak dan abah ni sampai depa suruh aku mengorat Mikael pula ni. Tak mungkinlah. Aku bukan nak menghampakan harapan mak dan abah tapi aku tak mau.

Mikael sendiri mengaku dia ada teman wanita dah. Tak akan aku pula nak jadi perosak hubungan mereka. Aku tak mau macam tu. Biar cinta tu datang sendiri. Siapa pun orangnya, aku ikhlas.

Tapi harap bukan Fakrullah. Mikael tak apalah.


Eh!

1 comment:

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH