Katakan Cinta 10

Bab 10
Buat itu tak kena. Buat ini tak kena. Apa kena dengan aku ni? Rasa malas gila nak pi jenguk restoran. Rasa segan gila nak bangun. Semuanyalah segan. Selepas solat Subuh tadi aku bermanja-manja semula di atas katil dan akhirnya tertidur balik. Sekarang dah pukul 8.00 pagi. Restoran tak kisah sangat sebab ada pekerja.

           “Rania, tak bangun lagi ka?” jerit mak dari luar. Aku bingkas bangun dan berjalan ke pintu.

“Bangun dah. Tadi tidur balik.”

“Tadi Latip mai. Dia mai ambil kunci restoran. Mak bagi sajalah. Tak mau nak kejut hang sebab mak tau hang letih.”

Aku senyum. Bagus mak ni. Faham anak perempuan dia seorang ni. Anak mak ni memang malas gila hari ini. Tak pernah tau macam ni.

“Sakit badan Rania ni mak. Kalau ikutkan hati nak bermanja-manja lagi atas katil tu.”

“Itulah hang. Mak kata jangan kerja kuat sangat. Hang degil. Mak ni dah berbuih dah mulut ni pesan. Hang tu perempuan. Tak payah nak cari duit banyak-banyak. Nanti ada laki, laki yang tanggung. Tapi hang ketegaq. Tak mau dengar cakap.”

Aku garu kepala. Mak aku dah mulu radio Jepun dia dah. Silap banyak aku merungut macam tu. Memang mak aku tak bagi aku bertungkus-lumus sangat kerja. Aku bagi alasan untuk kesenangan mak dan abah juga tapi mak balas balik abah dah bagi cukup dah. Tapi orang degil macam aku ni mana kisah sangat. Janji aku puas.

“Kena laki Rania tak berduit nak makan apa mak? Rania tak nak hidup susah.” Saja aku berkata begitu. Aku bukan memilih sangat nak suami kaya. Cukup dia tak lupa tanggungjawab dia sudah.

“Mikael tu sesuai dengan hang. Mak sokong sangat kalau hang bernikah dengan Mikael. Abah pun suka.”

“Haih! Apa pula buka cerita pasal Mikael pula ni? Tadi bercerita pasal anak perempuan mak ni sakit badan.” Aku cuba kalih cerita. Aduh! Mak pun dah macam berangan saja ni.

Mana boleh! Dia dah ada teman wanita. Aku bukan seorang perampas. Lagipun aku tak suka kat dialah.

“Dak la. Mak cuma habaq mak berkenan kat dia tu. Kalau tak mau tak apa. Tapi cepat-cepatlah cari orang lain sebelum mak terima pinangan orang tanpa persetujuan hang.”

“Mak jangan nak buat leceh mak. Rania tak mau.”

“Kisah pula mak. Dahlah pi mandi. Satgi keluar makan. Mak dah masak dah. Kalau sakit badan tu tak payah pi kerja. Duduk rehat kat rumah.”

Aku mengangguk tapi dalam masa yang sama rasa geram dengan mak. Harap mak main-main saja. Dibuatnya betul terima pinangan orang tanpa persetujuan aku mati aku.

“Satu lagi. Tadi mak ada berbincang dengan abah. Abah nak pi melawat pak ngah hang. Hang nak ikut tak? Tapi abah harap hang ikut sebab boleh bertukar-tukar bawa kereta. Abah tak larat.”

Pi melawat pak ngah? Maknanya akan jumpa Mikael? Aku senyum.

“Awat dengan hang ni, Rania? Mak tanya hang senyum.”

“Eh tak ada apa mak. Bila nak pi?”

“Petang nanti.”

“Restoran macam mana?” Kalau aku tau rancangan abah ni dari awal memang aku tak buka restoran hari ini. Risau pula nak tinggal macam tu.

“Macam hang tak pernah tinggal restoran hang kat Latip tu. Kita pi sat saja. Petang ni bertolak petang esok kita baliklah.”

“Kalau macam tu tak apalah. Rania ikut.” Balas aku laju saja memberi keputusan.

Mak tarik senyum. Aku pandang mak dan berkerut dahi.

“Apa?”

“Suka nampak. Rindu kat Mikael lah tu..” Mak terus angkat kaki pergi dari situ meninggalkan aku yang terkulat-kulat dan malu sendiri.

Aduh! Tak boleh nak cover langsung kalau suka pun, Rania. Hang ni memang suka buat leceh!

*******

Hampir empat jam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur, kami sampai ke hospital yang menempatkan pak ngah. Pak ngah masih ditahan di ICU dan belum sedarkan diri. Letih. Kesian kat abah nak bagi dia memandu aku tawarkan diri memandu terus sahaja tanpa menukar pemandu. Tak apa. Aku letih pun tenaga muda.

           “Kita nak pi tengok dulu ka atau nak pi minum dulu ni? Abah tengok hang Rania macam letih sangat dah.”

“Tak apa abah. Kita pi tengok dululah. Rania masih kuat.” Aku cuba menyedapkan hati abah. Tak maulah bagi dia risau.

“Kalau macam tu jomlah dulu. Satgi kita balik rumah pak ngah, kita rehat.”

Aku hanya menurut. Kami bertiga terus menuju ke ICU yang menempatkan pak ngah. Raif tak ikut sebab katanya ada latihan bola sepak. Cita-cita nak jadi pemain bola sepak kebangsaan Malaysia.

Ketika kami sampai ke wad ICU, kelihatan mak ngah sedang duduk di bangku luar sambil mengalunkan bacaan Yassin. Dari jauh sahaja dia boleh jaga pak ngah. Dalam ICU tak dibenarkan menunggu.

“Assalamualaikum, Maira.” Ucap mak. Mak ngah mengangkat kepala dan terus bangkit memeluk mak.

“Waalaikumussalam. Terima kasih sebab datang.” Dalam sebak, mak ngah berkata sambil memeluk mak. Aku turut sama-sama sebak memandang nasib mak ngah. Mesti sukar untuk menerima apabila suami sudah beberapa hari tidak sedarkan diri.

Aku memerhati sekeliling. Langsung tidak kelihatan seseorang yang aku cari. Mana dia pergi?

“Mikael mana, Maira?” soal abah.

Mak ngah nampak sedih. Aku menanti bicara daripada dia. Teringin nak tahu.

“Dia balik. Semalaman dia jaga papa dia. Alhamdulillah.”

Aku yang hanya memasang telinga mengukirkan senyuman. Lega pula dengar bila dia macam tu. Nampaknya dia ikut cakap aku. Eh! Jangan nak perasan sangat Rania.

“Baguslah. Sekeras hati dia tu tapi nak juga dia jaga abang Halim. Cuma hubungan saya dengan dia saja tak berapa nak baik lagi. Dia perlukan masa tu.”

“Tak apalah. Perlahan-lahan. Ni kamu dah makan ke belum ni?” abah bertanya kepada adik iparnya itu.

“Dah. Tadi Rosie datang hantarkan makanan.”

Rosie? Siapa pula tu. Aku tak kenal pun. Setahu akulah sepupu aku tak ada yang bernama Rosie. Anak pak ngah pun tak ada nama macam tu. Aku kenal semua anak-anak pak ngah yang lain.

“Boleh kami masuk tengok tak ni?”

“Boleh. Tapi dua orang sahaja dibenarkan masuk.” Ujar mak ngah.

“Tak apalah. Mak dan abah masuk dulu. Rania satgi pun tak apa.” Aku memberi jalan penyelesaian. Ada masa lagi insyaAllah untuk aku tengok pak ngah.

Mak dan abah dah masuk ke dalam ICU yang menempatkan pak ngah. Tinggallah aku dan mak ngah kat situ berdua.

“Sabarlah mak ngah ya. Mak ngah Rania ni kuat.”

Mak ngah tersenyum. Dia menepuk bahu aku beberapa kali.

“Terima kasih. Tadi datang siapa bawa kereta?”

“Rania. Nak bagi abah bawa kesian pula sebab kereta banyak. Jauh pula tu.”

“Tak apa. Nanti rehat rumah mak ngah. Mak ngah suruh orang gaji mak ngah masak untuk makan malam. Tapi maafkan mak ngah sebab tak boleh nak layan kau orang. Mak ngah tak mampu nak tinggalkan pak ngah.”

Aku mengukirkan senyuman nipis. Aku faham perasaan mak ngah. Semestinya dia rasa bersalah kerana kami datang dari jauh dan tuan rumah pula tiada di rumah.

“Tak apa mak ngah. Kami faham.” Balas aku.

“Hai, minah restoran!” aku mengangkat kepala.

Terkejut aku dengan kehadiran Mikael yang datang tiba-tiba dan boleh pula gelarkan aku macam tu. Di sebelahnya ada seorang perempuan. Cantik.

“Dah sampai tak bagitahu.” Ujar Mikael lagi. Aku bingkas bangun dan bersalam dengan perempuan yang ada di sebelahnya itu.

“Rosie.”

Oh! Inilah Rosie. Tapi aku tak tahu apa hubungan antara kami.

“Rania, ni my dear aku.”

Persoalan telah pun terjawab. Tiba-tiba rasa hati bagaikan sakit. Aku cuba mengukirkan senyuman semanis habis. Baru aku teringat, perempuan inilah yang aku nampak dalam telefon itu.

Nice to meet you.” Balas aku. Cuba untuk bermesra menyembunyikan rasa tidak selesa aku itu.

“Tak payah nak speaking sangat. Rosie ni anak Melayu. Aku saja yang campur mat salleh sikit.”

Aku membalas dengan senyuman.

“Abah dan mak mana?”

“Kat dalam.”

“Jom! Kita pergi makan ke dulu. Teman aku makan.”

“Tak apalah.” Aku menolak. Aku kembali duduk di sebelah mak ngah. Aku perhatikan Mikael dengan ekor mata macam merajuk dengan tindakan aku itu. Aku rasa tak selesa untuk berdua dengan dia.

Hati ni rasa macam sakit sangat. Nak kata cemburu, tak kot. Aku bukan ada apa-apa hubungan dengan dia pun. Aku pun dah tahu yang dia dah ada seseorang.

“Kenapa ni? Kau ada masalah ke?” Mikael duduk di sebelah aku. Aku cuba menjarakan sedikit kerana aku takut Rosie marah pula nanti.

“Aku okaylah. Hang janganlah duduk dekat sangat. Nanti Rosie marah.” Ujar aku. Aku risau.

“Dia tak akan marah. Rosie sporting.” Mikael berkeras.  

“Mika, ini ke gadis yang you cerita tu?”

Mikael mengangguk lalu tersenyum.

Nice.” Puji Rosie.

Apa pula mamat ni cerita kat Rosie ni? Aduh! Mesti mamat ni cerita yang tak elok tentang aku. Aku bukan tak tahu niat mamat ni.

“Jomlah. Aku tak makan lagi ni. Teman aku jap.” Mikael memaksa. Sikap memaksa dia tu tak pernahnya hilang. Tak kisah kat mana pun. Tetap sama saja.

“Aku tak mau.” Aku membalas dengan suara yang sedikit marah tapi masih mengawal agar tidak menganggu orang lain. Hospital kot.

“Kau nak ke tengok aku mati kelaparan kat sini?”

“Kisah pula aku. Hang bukan budak kecil yang perlu dipaksa makan. Boleh makan sendirikan? ”

“Tak kisah ya?”

Aku buat muka menyampah. Mengada-ngada. Tak akanlah datang dari rumah tak makan lagi. Sajalah tu nak membuli aku. Aku perhatikan sahaja tingkah lakunya.

Dia melangkah ke lif. Selepas lif itu terbuka, dia melangkah masuk tapi hanya separuh sahaja badannya. Separuh lagi diluar. Berkerut dahi aku memikirkan apa mamat ni nak buat. Tidak lama selepas itu, pintu lif tertutup dan dia di tengah-tengah.

Bulat mata aku melihat kelakuannya itu.

“Aku akan macam ni sampai kau sudi makan dengan aku.” Jerit Mikael. Tingkahnya itu menarik perhatian pelawat dan petugas hospital.

Bikin malu betul Mikael ni.

“Hang jangan nak buat benda tak senonoh sangat, Mikael.” Tegur aku. Keras suara aku.

Rosie dah bantai gelak.  Hang boleh gelak tengok perangai tak senonoh pakwe hang tu, Rosie?

“Encik, encik tak boleh buat macam ni. Ini sudah menganggu orang lain.” Salah seorang pengawal keselamatan menegur.

“Guna lif lain. Aku tak akan pergi selagi minah tu tak terima ajakan aku.”

Aku garu kepala. Mak ngah yang ada di sebelah menepuk bahu aku lalu tersenyum.

“Pergilah. Gila sangat dah makngah tengok anak lelaki makngah tu.”

Aku mendengus geram. Bingkas aku bangun dan mendekati dia. Dengan kasar aku tolak tubuh dia masuk ke dalam lif. Aku sekali masuk ke dalam lif itu.

“Bodoh! Lain kali tinggal kebodohan tu kat orang lain sikit. Memalukan tahu tak perangai hang tu?”

Mikael tersengih.                                                   

“Siapa suruh tak mau teman aku makan?”

“Rosie ada. Awat yang tak ajak dia?” aku masih lagi berang. Memang perangai dia betul-betul membuat aku meluat dan sakit hati.

“Sebab aku nak ajak kau.”

Aku membalas dengan jelingan. Aku tidak mampu nak tahan rasa geram lagi. Nak saja aku boxing dia tadi. Biar pengsan kat situ. Padan muka.

“Muka saja handsome tapi otak tak dak.” Bebel aku perlahan.

Mikael ketawa. Mungkin dengar apa yang aku bebelkan itu. Lif terbuka dan terus menonong aku berjalan ke cafe. Malas nak layan.


Perasaan teruja nak jumpa dia tu dah hilang. Rasa menyesal pula datang kena melayan sikap tak matang mamat ni. 

No comments:

Post a Comment

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH