“Zara lapar tak?
Saya laparlah.” Izz Rayyan menyuarakan kehendaknya. Perutnya sudah berbunyi
minta diisi.
Damia melihat jam
di dashboard kereta Izz Rayyan.
Patutlah lapar. Sudah pukul 2 petang.
“Boleh juga. Perut
saya pun dah menyanyi ni. Bolehlah kita solat Zohor sekali.” Damia menyetujui
cadangan Izz Rayyan untuk berhenti makan. Lagipun sudah masuk waktu Zohor. Elok
sangat mereka berhenti sekejap.
“Betul ke perut
awak dah menyanyi? Saya tak dengar pun. Lagu apa erk?”Izz Rayyan tergelak kecil.
Damia menampar
perlahan bahu Izz Rayyan. “ Nak lagu apa?”balas Damia pula melayan gurauan itu.
“Terimalah sayang cintaku
seadanya. Ditujukan insan yang bernama Nurul Zara Damia Alisya binti Rasyid.
Boleh tolong putarkan tak?” Izz Rayyan masih lagi asyik bergurau dengan Damia.
Damia melayan, lagilah Izz Rayyan suka.
Damia tersipu malu. Rona mukanya sudah bertukar warna. Malu
pula mendengar usikan daripada Izz Rayyan itu. Tajuk lagu tu pun sudah
mempunyai maksud yang mendalam. Izz Rayyan ni memang suka buat Damia duduk tak
diam.
“Oppss…lagu tu tak
ada dalam senarai. Sila pilih lagu lain.” balas Damia. Dia tidak memandang muka
Izz Rayyan yang sedang memandangnya. Mereka sudah berhenti di perhentian Gurun.
Izz Rayyan
tersenyum. “Kalau macam tu biar saya yang nyanyi ye? Kejap nak bersedia
dulu.” Izz Rayyan cuba mengingati lirik
lagu nyanyian Arrow itu. Lagu itu memang menjadi kegemarannya sejak dulu lagi.
Damia menanti
dengan penuh debaran. Malunya turut menebal. Mana pernah lagi ada orang yang
mendekatinya selama ini yang betul bersungguh-sungguh dalam memenangi hatinya.
“Bukan
pura-pura….”Izz Rayyan mahu memulakan nyanyiannya. Namun terhenti selepas Damia
mengarahnya untuk berhenti. “Kenapa pula, Zara? Saya bersemangat nak nyanyi kat
awak ni.”
“Saya rasa saya
tak layak untuk terima lagu ni.” Damia bersuara. Damia memang belum bersedia
untuk mendengarnya.
“Okeylah kalau
awak cakap macam tu. Awak rasa awak tak layak tapi saya rasa awak memang
terlebih layak. Jauh di sudut hati saya, saya dapat rasakan awak memang jodoh
saya. Pertama kali saya terpandang awak
hati dan perasaan saya menjadi tidak tentu arah.” Izz Rayyan membuat
pengakuan ikhlas.
Damia terharu mendengar
pengakuan daripada Izz Rayyan. Izz Rayyan setakat ini begitu baik dengannya.
Tapi masih terlalu awal untuk dia menilai Izz Rayyan. Damia juga akan memberi
peluang kepada Izz Rayyan untuk memenangi hatinya.
“Thank for everything, Izz Rayyan. Saya
sangat menghargainya. Tapi masih terlalu awal untuk saya menerima awak. Saya
harap awak faham.”pinta Damia. Dia memerlukan masa untuk semua ini. Percintaan
adalah perkara baru baginya walaupun dia pernah sukakan Fariz dulu tapi itu
lain dari situasi sekarang.
“Saya nak awak
tahu yang saya serius dengan awak. Saya nak awak jadi isteri saya, ibu kepada
anak-anak saya dan pendamping saya di dunia dan akhirat. Saya tahu terlalu awal
untuk berbicara tentang perasaan kita sekarang ini tetapi saya rasa inilah masa
yang sesuai. Sudikah awak untuk menjadi isteri saya?” Izz Rayyan melamar Damia.
Dia akan terima apa sahaja jawapan daripada Damia. Kalau Damia menolak, dia
tidak akan berputus asa untuk terus memenangi hati Damia.
Damia terkedu.
Tiada angin, tiada ribut Izz Rayyan melamarnya. Tidak pernah terfikir Izz
Rayyan begitu serius untuk menjalinkan perhubungan. Dada Damia sudah berombak
kencang. Lidahnya kelu. Mulutnya telah terkunci serapat-rapatnya. Tiada apa
yang mampu diungkapkan olehnya.
“Zara… saya tak
paksa awak bagi jawapan sekarang. Saya akan terima apa sahaja jawapan awak.
Andai kata awak menolak saya, saya akan redha kerana mungkin awak bukan jodoh
saya, tapi percayalah. Saya akan jaga awak sebaik-baiknya sekiranya awak terima
saya. Sebab sekali saya jatuh cinta selamanya saya cintakan orang tu.”ikhlas
sungguh pengakuan daripada Izz Rayyan ni.
“Tapi kitakan tak
pernah bercinta. Lagipun awak belum lagi mengenal hati budi saya, begitu juga
dengan saya. Saya nak seperti orang lain. Kenal-kenal, bercinta, couple lepas tu barulah kahwin. Masih
terlalu awal untuk semua ini.”
Izz Rayyan
tersenyum lebar.
“Zara, dalam Islam
tiada istilah couple. Couple hanya untuk orang yang sudah
berkahwin. Bercinta selepas kahwinlah sebaik-baiknya. Saya tak nak nikmat
perkahwinan hilang andainya kita ikut trend zaman sekarang. Imam Hassan Al-
Banna ada berkata yang kalau kamu berkawan-kawan sepuluh tahun sekalipun kamu
belum kenal orang tu. Yang kita kenal hanyalah lakonan dia sahaja. Awak tengok
sekarang ini. Bercerai sudah menjadi perkara biasa. Bila tanya tempoh
percintaan semuanya dua tiga tahun tapi bila kahwin cuma beberapa bulan sahaja.
Saya tak nafikan ramai yang bahagia tapi saya tak nak macam tu. Saya harap awak
faham dan saya juga akan faham kalau awak tak dapat terima saya.” Izz Rayyan
berkata pasrah. Dia bukannya baik sangat tapi selepas apa yang terjadi dulu,
dia sudah serik dengan semua itu.
Damia cuba menatap
panahan mata Izz Rayyan. Cuba mencari keikhlasan daripada kata-kata Izz Rayyan
itu walaupun dadanya sudah berdebar-debar. Damia memang memerlukan seseorang di
sampingnya tapi dia tidak tahu siapa orangnya. Yang sanggup terima dia
seadanya, yang sanggup melayan karenah dia.
Damia buntu. Dia
tidak boleh memberi jawapan sekarang. Walaupun hatinya seolah-olah mahu menerima
lamaran Izz Rayyan. Dia percaya lelaki itu ikhlas. Tapi kalau boleh dia nak
dulu berkenalan dengan Izz Rayyan supaya dia dapat tahu semua tentang lelaki
yang berada di sebelahnya ini.
“Saya tak boleh
bagi jawapan sekarang. Saya confuse.”
Damia melarikan pandangan matanya dari terus diratah oleh Izz Rayyan.
“Ambillah berapa lama masa yang Zara perlu.
Apa pun keputusannya, Izz akan terima. Saya takkan memaksa Zara untuk terima
saya. Okey?” Izz Rayyan cuba mempamerkan wajah yang ceria. Dia pun tidak tahu
kenapa dia boleh melamar Damia dengan tiba-tiba sahaja walaupun niatnya itu
sudah lama dipendam di dalam hati.
Damia mengukirkan
senyuman. Dia selesa kerana Izz Rayyan tidak terlalu memaksanya untuk memberi
jawapan. Izz Rayyan seorang yang sangat profesional orangnya. Senang dengan
sikap Izz Rayyan yang sangat berfikiran terbuka.
“Terima kasih, Izz
Rayyan kerana memahami saya.”ucap Damia.
Izz Rayyan
mengerling jam. Rasanya sudah lama mereka berada di situ. Tujuan utama mereka
terbantut akibat daripada lamaran Izz Rayyan tadi.
“Sama-sama kasih.
Jom makan. Saya lapar sangat dah ni.” Izz Rayyan merengek sambil memegang
perutnya. Damia tergelak kecil. Macam budak-budak sudah gaya Izz Rayyan.
“Jom.” Suasana
kembali seperti biasa. Mereka berdua melangkah masuk ke medan selera untuk
mengisi perut bagi meneruskan perjalanan yang berbaki beberapa kilometer sahaja
lagi untuk sampai ke destinasi yang dituju.
****************
“Zara ada teman
lelaki?” tanya Izz Rayyan ketika menunggu pesanan sampai ke meja mereka.
Damia yang sedang
asyik memerhati gelagat kanak-kanak yang menangis akibat tidak dituruti
kemahuannya mengalihkan pandangan kepada Izz Rayyan yang segak bergaya itu.
Soalan cepu emas.
“Tak adalah.
Siapalah nak kat gadis tomboy macam saya ni?” Damia ketawa kecil.
“Saya nak awak
pula tak sudi.” balas Izz Rayyan senada.
“Bukan tak sudi cuma
masih belum bersedia untuk memberi jawapan. Masih terlalu awal untuk berkata ya
dengan lamaran awak tu. Saya perlukan masa.”
Izz Rayyan
menganggukkan kepalanya. Dia mengerti perasaan Damia. Pastinya Damia sedang
keliru dengan semua ini.
“Baiklah. Saya tak
mahu paksa awak. Kalau boleh saya tahu Fariz tu siapa?”
“Sahabat baik saya
dunia akhirat.” jawab Damia sambil bibirnya mengukirkan senyuman. Dia terkenangkan
Fariz di kampung. Apa khabar sahabatnya sekarang? Rindunya dia untuk bertemu
dengan Fariz hanya Tuhan saja tahu.
“Dulu mula-mula
bertemu awak saya ingatkan Fariz tu teman lelaki awak. Rupanya sahabat baik. Patutlah
mesra semacam aje.”
“Tapi kalau awak
ingat Fariz tu teman lelaki saya kenapa awak cuba masuk line juga?” selamba saja Damia bertanya.
“Sebab saya
terpikat kat awaklah. Saya suka tengok wajah awak, tingkah awak dan kebrutalan
awak. Saya jatuh cinta pandang pertama semasa kita berlanggar kat kenduri
tu. Sejak dari itulah saya ingin sangat
berkenalan dengan awak cuma saya takut.”
Damia berkerut
dahinya.
“Takut?”soal Damia
ingin tahu apa yang ditakutkan oleh Izz Rayyan itu.
“Awak garang.” Izz
Rayyan tersengih.
Damia tersenyum
nipis. Garang-garang pun berani juga memikat aku ni.
“Garang dengan
orang yang merimaskan sahaja.”
“Jadi saya
merimaskan ke?” Izz Rayyan mengangkat keningnya. Menanti jawapan daripada
Damia.
Damia mengetuk
jarinya di atas meja. Dia menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan.
“Sikit-sikit. Tapi
itu dulu. Masa awak jadi bangla jual karpet tu.” ucap Damia sambil matanya
mencerun kepada Izz Rayyan untuk melihat reaksi lelaki itu.
Izz Rayyan seraya
ketawa. Kuat sehingga ada mata yang memerhati kepada mereka berdua. Kenapalah dengan
lelaki ini. Nak ketawa pun perlahankanlah sedikit suara tu. Gumam Damia dalam
hatinya.
“Bangla tu handsome kan? Macam-macamlah awak ni.”
Izz Rayyan masih lagi dalam ketawanya. Apalah yang lucu sangat pun Damia tidak
tahu.
“Okey-okey aje. Taklah
handsome mana tapi sedaplah mata
memandang.”
“Jadi sekarang
saya sudah tidak merimaskan awak lagilah?”
Damia menjongketkan
bahunya. Air yang baru sahaja terhidang dihirup sedikit. Dia segan untuk
menjawab pertanyaan daripada Izz Rayyan itu. Izz Rayyan bukan seorang yang
merimaskan lagi untuk Damia. Dia sudah boleh menerima kehadiran lelaki itu di
dalam dirinya. Perasaan marah, geram dan menjengkelkan hati Damia sudah tiada
lagi. Dia rasa sangat selesa dengan Izz Rayyan sekarang.
“Cakap ajelah.
Jangan nak malu-malu.” desak Izz Rayyan. Dia mahukan jawapan daripada mulut
Damia bukannya isyarat tubuh.
“Mungkin ya,
mungkin tidak.” Jawab Damia.
Izz Rayyan
tersengih.
“Mungkin ya
mungkin tidak? Rasanya tidak kot. Saya sekarang ini lebih menyenangkan hati
awakkan?”
“Jangan nak
perasan sangatlah. Saya tak cakap apa-apa pun.”nafi Damia. Suka sangatlah
perasan diri.
“Cakaplah awak. Ala
tomey-tomey.” Izz Rayyan mengusik sambil berlakon sedang mencubit pipi Damia.
Damia menekup
mulutnya. Dia cuba menahan ketawa. Geli hatinya mendengar usikan daripada Izz
Rayyan itu.
“Gilalah awak ni.
Macam budak-budak.” tegur Damia yang masih lagi cuba menahan ketawanya.
“Cepatlah cakap.”
“Cakap apa?” Damia
buat-buat tak ingat apa yang cuba dimaksudkan oleh Izz Rayyan.
Izz Rayyan
mengetap bibirnya geram. Main-main betullah. Dulu garang bukan main.
“Ketuk kepala nak?”
ugut Izz Rayyan.
“Adalah
sikit-sikit yang merimaskan tu. Saya cuba untuk sesuaikan dengan keadaan
sekarang ini. Jangan risau.” Damia menjawab persoalan daripada Izz Rayyan itu.
Izz Rayyan menarik
nafas lega. Terima kasih Tuhan kerana bukakan pintu hati Damia untuk cuba
menerima dirinya. Izz Rayyan sudah lama mengharapkan semua ini.
“Lega hati saya.
Saya boleh mengharaplah ni?”
“Terpulanglah.
Jangan menangis tak berlagu sudahlah nanti.” Damia berseloroh.
“Kenapa? Awak tak
sudi ke dengan saya?”
“Saya dah
beritahukan yang masih terlalu awal untuk berikan jawapan. Saya perlukan masa
untuk semua ini. Please jangan tanya banyak kali. Nanti saya naik angin baru
awak tahu.” Damia memberi amaran. Dia memang tidak suka didesak tambahan lagi
membuat keputusan terburu-buru. Dia akan menjadi marah dan baran.
“Cuba naik angin
sikit. Nak juga tengok macam mana gayanya. Entah-entah rupa macam Kak Ros dalam
animasi Upin dan Ipin itu apa.” usik Izz Rayyan.
Damia membulatkan
matanya. Izz Rayyan sudah ketawa berkekeh-kekeh.
“Ada-ada ajelah awak ni. Muka legend tapi hati layan
animasi Upin dan Ipin. Tak rock
langsung.” kata Damia kepada Izz Rayyan.
“Saya memang dalam hati ada taman. Lainlah awak tu. Dalam hati ada tapak pembinaan.” balas Izz Rayyan lancang.
Damia mengigit
bibirnya. Geramnya dengan Izz Rayyan. Kalau diikutkan hatinya yang geram sudah
lama lelaki itu ditarik-tarik telinganya. Nasib baik dia masih lagi mampu bersabar.
“Malas nak layan.
Saya lapar nak makan. Lepas ini nak bergerak jumpa mak dan ayah pula.” Damia
mengalah. Dia tidak mahu berterusan bercakap dengan Izz Rayyan. Nanti dia juga
sakit hati dengan usikan demi usikan daripada Izz Rayyan itu.
“Macamlah awak
yang pandu kereta.” Izz Rayyan sempat
lagi berkata sebelum menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.
Damia hanya
mendiamkan diri. Tak berdaya sudah ingin melayan Izz Rayyan.