HATI YANG AKU PERLU BAB 9



Damia melangkah masuk ke dalam pejabat yang begitu asing baginya dengan penuh berhati-hati. Terasa berdebar-debar di hatinya makin kuat pula. Hari ini hari pertama Damia akan memulakan pekerjaannya sebagai HR sebuah syarikat. Perasaan sudah bercampur baur. Gementar, takut, gembira semua sudah mula menguasai dirinya.  

Damia menuju ke arah meja yang berdekatan dengan pintu masuk pejabat itu. Di situ ada seorang wanita sedang khusyuk menulis sesuatu sehinggakan tidak langsung menyedari kehadiran Damia.

Sebelum itu Damia sekarang sudah bertukar menjadi perempuan dan kembali ke fitrahnya. Dia memakai baju blaus, seluar panjang berwarna putih dan mengenakan selendang merah jambu yang digayakan seperti penyanyi Yuna itu. Begitu cantik sekali. Ini semua adalah idea daripada Hanis. Damia masih lagi terasa kekok untuk menyesuaikan dirinya. Tidak dinafikan dia rimas apabila selendang ini berbelit sana sini tapi Damia cuba untuk menyesuaikan diri. Lagipun baru pertama kali Damia memakai selendang.

Damia menarik nafas panjang lalu menghembus perlahan. Hatinya kurang sedikit rasa berdebar.

 “ Assalamualaikum…”

Wanita yang sedang tunduk itu mengangkat kepala selepas mendengar ucapan yang diucapkan oleh Damia. Wanita yang tinggi lampai dan kulit kuning langsat ini merupakan setiausaha syarikat ini. Mata Damia sempat mencuri melihat tag nama yang tersemat di baju wanita di hadapannya ini. Laila namanya.

Laila mengukirkan senyuman. “Waalaikumussalam. Erm, Cik Zara Damia Alisya ke?”tanya Laila ingin tahu. Dia telah diberitahu bahawa hari ini ada seseorang yang akan mendaftar diri bagi mengisi jawatan syarikat.

Damia mengangguk sambil senyuman yang tidak lekang dari bibir munggilnya itu.

"Ya, saya. Panggil Damia saja. Tak perlu sebut panjang-panjang. Buat susah aje.”beritahu Damia tanpa disuruh.



Laila tergelak kecil. Hampir tergeliat juga lidah dia tadi semasa ingin menyebut nama yang panjang berjela itu.

“ Sedap nama cik Damia sesuai sangat dengan orangnya. Cik Damia duduk dulu. Kejap saya nak inform bos saya pasal kedatangan cik.”

Damia hanya menurut sahaja. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Matanya liar memerhati sekeliling pejabat tersebut. Hanya terdapat beberapa orang pekerja sahaja yang berada di dalam pejabat. Barangkali ada mesyuarat atau mungkin memang sebanyak itu sahaja pekerja yang bekerja di situ. Damia membuat andaian sendiri.

“Cik Damia, sila ikut saya.” Laila berkata sopan. Damia bingkas bangun dari kerusi lalu menyusun langkah untuk mengikut jejak Laila menuju ke biliknya pemilik syarikat tersebut.

Laila mengetuk pintu. Di pintu tersebut terdapat satu tag nama yang tertulis “Fakhir Hakimi” Pengarah Urusan Syarikat. Sedap nama tu. Mesti orangnya kacak seperti namanya. Alangkah seronoknya bekerja jika setiap hari dapat jamu mata. Damia mula tersenyum nakal.

Pintu sudah terkuak. Laila sudah melangkah masuk sambil diikuti dengan Damia. Hatinya hanya tuhan saja yang tahu. Berdebar-debar rasanya. Bagai mahu tercabut sahaja jantungnya ini.

Fakhir Hakimi sudah semestinya menantikan kehadiran Damia. Fakhir Hakimi tersenyum sejurus sahaja Damia dan Laila melangkah masuk ke dalam biliknya.

“Nurul Zara Damia Alisya. Selamat datang ke Mutiara Holding.”ucap Fakhir Hakimi sambil tersenyum lebar. Damia turut mengukirkan senyuman.

Kacaknya muka bosnya ini. Tinggi lampai, putih melepak, hidung mancung, kening lebat, dan yang paling penting rambutnya disikat disikat turun ke bawah seperti artis Korea. Handsomenya…

“Kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu.”kata Laila itu memecahkan khayalan Damia. Sempat lagi dia berangan.

Fakhir Hakimi mengangguk.

“ Okey… Terima kasih, Laila.”

“Jangan nakal-nakal Kimi.”pesan Laila sebelum melangkah keluar dari bilik Hakimi

Pintu bilik Fakhir Hakimi ditutup. Kini tinggal mereka berdua sahaja di dalam bilik itu. Untuk sesi suai kenal. Damia berasa segan sekali. Mana taknya, diakan sudah jadi wanita melayu terakhir pada hari ini.

Fakhir Hakimi memandang muka Damia. Cantik orangnya. Kalau sekali pandang seperti Diana Amir pun ada. Untungnya kalau dapat jadi teman wanita aku. Sempurna sahaja bila terpandang. Giliran Fakhir Hakimi pula berangan.

“Duduk dulu. Nanti saya tunjukkan bilik awak.”pelawa Fakhir Hakimi. Matanya tidak lari dari terus memandang wajah mulus milik Damia itu. Sudah naik rimas pula Damia apabila dipandang sedemikian rupa. Macam tak pernah tengok perempuan pula bosnya ini.

“So, awak telah diterima bekerja di sini sebagai HR syarikat ni. Jadi saya beri kepercayaan sepenuhnya kepada awak. Saya harap awak dapat jalankan tugas awak dengan baik. Yang penting sekali, amanah. Sebelum ni sudah ramai yang bekerja bahagian ni tapi mereka tak amanah. Jadi saya harap awak bukan yang macam tu.”pesan Fakhir Hakimi dengan nada suara yang agak tegas.

Damia terangguk-angguk mendengar segala pesanan Fakhir Hakimi.

“Insyallah, bos. Saya akan berusaha untuk jalankan kerja saya dengan baik dan saya tidak akan sesekali memecahkan kepercayaan bos kepada saya. Terima kasih kerana beri sepenuhnya kepercayaan kepada saya. Saya berjanji akan jalankan tugas saya dengan penuh amanah.”

Kini giliran Fakhir Hakimi pula mengangguk. Suka benar dia melihat celoteh Damia.

“Kalau macam tu, jom saya tunjukkan awak bilik awak. Bilik awak sebelah bilik saya saja. Jadi senanglah kalau saya nak usha-usha awak nanti.Mana tau kot-kot awak curi tulang nanti.” Fakhir Hakimi tersenyum nakal.

Damia tersengih. Ada hati nak mengorat akulah tu. Tak apa Fakhir Hakimi. Aku sudi terima. Perangai gatal sudah mula menguasai diri.

“Saya pun boleh juga usha-usha bos.”seloroh Damia.

Fakhir Hakimi ketawa. “ Jangan panggil saya boslah. Nampak formal sangat. Panggil Kimi saja. Lagipun lebih mesra kalau panggil Kimi. Bos ni nampak sangat saya ni macam tua lah pula. Kalau awak nak tahu, staf kat sini semua panggil saya Kimi. Saya tak suka menganggap diri saya ni bos. Saya rasa kita sama saja...”pesan Fakhir Hakimi merendah diri.

“Tak apa… Tua, tua pun handsome lagi.”

“Kimi handsome erk? Agak-agak lepas tak syarat nak jadi boyfriend Damia?” sengaja Fakhir Hakimi menanyakan soalan sedemikian. Niat hanya ingin mengusik.

Damia membulatkan matanya. “ Kena balik fikir dululah bos. Tak boleh nak bagi jawapan sekarang.” Damia tersengih lagi.

“Tengok tu. Bos lagi. Please, just call me Kimi. Kalau sekali lagi panggil bos, Kimi denda Damia.”

“Denda? Denda apa?” Damia mengerutkan dahinya.

Fakhir Hakimi mengenyitkan matanya.

 “ Adalah. Rahsia.”

Damia memuncungkan mulutnya. Cepat betul mereka berdua mesra. Sudah seperti kenal lama pula. Padahal tidak sampai sejam pun mereka berkenalan. Itulah bila masing-masing satu kepala, maka cepat mesralah jadinya.

“Buatlah muncung tu selalu ye. Nanti Kimi gunting baru tau.” Fakhir Hakimi mula selesa dengan kehadiran Damia.

Guntinglah kalau berani. Bos kata….” Damia menekup mulutnya. Tersilap sebut pula dah. Matilah aku. Apalah denda yang dia nak bagi kat aku ni? Redha sajalah.

“Okey, Mia dah kena denda. Dendanya ialah tengahari ni keluar makan dengan Kimi. Okey?” Fakhir Hakimi mengangkat kening sebelah kanan. Dia menunggu jawapan daripada Damia.

Damia menarik nafas lega. Ingatkan denda apa tadi yang mahu diberikan oleh bosnya itu. Bukan setakat makan tengah hari saja, sarapan, makan malam pun aku sanggup. Gatalnya kau Damia.

“Ingatkan apalah tadi. Boleh asalkan Ki…mi yang belanja.” Rasa kekok pula rasanya untuk mengelarkan Fakhir Hakimi seperti itu. tersekat-sekat suara Damia.

Fakhir Hakimi tersenyum sehingga menampakkan giginya yang tersusun rapi. Kelakar rasanya bila Damia seperti teragak-agak untuk menyebut namanya. Fakhir Hakimi tahu yang Damia kekok dengannya.

“Kimi belanja, Damia bayar. Okey tak macam tu?”

Damia membulatkan matanya. Lebih baik tak payah. Nak kenakan akulah tu. Jangan harap. Nurul Zara Damia Alisya bukan orang yang mudah menyerah kalah.

“Kalau macam tu cancel lah...”

“Eh… jangan…jangan..”pantas sahaja Fakhir Hakimi menghalang.. “Tak apa saya belanja. Kita ajak Laila sekali boleh?” Fakhir Hakimi memberi cadangan.

Damia mengangguk.

“Memang bercadang nak ajak dia sekali. Takkanlah kita nak keluar dua sahaja. Nanti tak pasal-pasal kena belasah dengan  girlfriend Kimi.”

“ Insyallah tak marah… Ada pun macam tak ada saja.”Fakhir Hakimi berkata lemah. Fakhir Hakimi bangun dari kerusinya.

Damia mengerutkan dahinya. “Kenapa pula?”tanya Damia ingin tahu. Senyuman tidak lagi terukir di bibir kemerahan milik Fakhir Hakimi. Pasti ada sesuatu yang berlaku di antara Fakhir Hakimi dan teman wanitanya.

“Abaikan… Malas nak fikir.” Fakhir Hakimi seperti tidak berminat untuk bercerita lebih lanjut mengenai apa yang berlaku. Dia berjalan menuju ke pintu. Mungkin bercerita tentang teman wanita membuatkan dia menjadi muram.

Damia mengangguk tanda faham. Dia tidak mahu memaksa Fakhir Hakimi bercerita mengenai hal peribadinya. Dia bukan sesiapapun kepada Fakhir Hakimi. Tambahan pula mereka baharu sahaja berkenalan tidak sampai pun sehari.

Damia turut bangun dari kerusi. Dia hanya mengikut jejak langkah Fakhir Hakimi tanpa sebarang suara. Mood bosnya sudah tidak baik. Jadi dia takut untuk menegurnya.

Laila yang menyedari kehadiran mereka berdua bangun sebagai tanda hormat. Laila mengukirkan senyuman kepada Damia dan Fakhir Hakimi.

“Laila, kejap lagi keluar makan dengan Kimi dan Damia.”arah Fakhir Hakimi.

Laila mengangguk. “ Siapa belanja?”

Fakhir Hakimi mengukirkan senyuman. Dia menjeling ke arah Damia yang setia berdiri di sebelahnya.

 “ Damia belanja. Tadi dia kata nak makan apa makan aja. Dia bayar. Ya kan, Damia?”

Damia menjengilkan matanya kepada Fakhir Hakimi sambil mencekak pinggang. Amboi. Nak kenakan aku yer? Tunggu kejap tau.

“Eh, bukan Kimi yang kata tadi nak belanja? Kimi kata nak bawa kami makan kat hotel lagi. Kimi yang tolong bayarkan.”Damia membalas kembali.

“Kalau macam tu saya nak ikut sangat-sangat. Rezeki jangan ditolak.” Laila tersengih.

“Eh… Bila Kimi kata? Jangan nak bohong yer Damia.”

“Tadi Kimi kata. Jangan nak buat lupa pula. Itulah suka makan kepala ikan banyak sangat. Kan dah lupa.”Damia menayangkan wajah selamba. Hatinya terasa bahagia dapat kenakan Fakhir Hakimi. Ambil kau. Nak kenakan aku sangat.

Laila tergelak kecil sambil menggelengkan kepalanya.

“Sudah-sudah… Jangan gaduh kat sini. Kalau dua-dua tak nak belanja biar saya saja yang belanja. Senang cerita.”

Fakhir Hakimi dan Damia memandang muka Laila. Kemudian mereka sama-sama tersenyum.

“Awak ni, Laila. Kimi melawak saja. Kimi yang belanja. Damia, jom saya tunjukkan bilik awak. Nanti kita berbual lain.”

Laila hanya mampu tersenyum melihat telatah mereka berdua.  Selepas kedua-duanya sudah hilang dari pandangan mata, Laila menjalankan kerjanya yang tertangguh sebentar tadi.
---------------------
Seperti yang dijanjikan, tengah hari itu mereka bertiga keluar makan. Mereka memilih untuk makan makanan kampung. Ini semua idea Fakhir Hakimi. Katanya mahu tukar selera pula. Selalu sangat makan makanan ala-ala barat sekali-sekala merasa pula makan makanan kampung.

Mereka memilih meja yang agak terpencil supaya tidak terdapat sebarang gangguan. Pelayan restoran mengambil pesanan. Selepas mengambil pesanan, mereka berbual kosong sementara menanti pesanan siap dihidangkan.

“Kejap ye. Saya nak pergi ladies jap.” Damia memberikan beg tangannya kepada Laila. Rimas rasanya dengan beg tangan segala.

“Nak Kimi teman?”tanya Fakhir Hakimi sambil tersenyum nakal.

Tangan Damia spontan sahaja menampar bahu Fakhir Hakimi. Laila sudah tergelak. Suka sangat tengok hubungan mereka berdua. Fakhir Hakimi suka sangat mengusik Damia. Yang Damia pula cepat naik angin. Silap usik lebamlah Fakhir Hakimi nanti.

Damia mendengus. Malas sudah nak melayan perangai nakal Fakhir Hakimi. Dia berjalan laju menuju ke ladies. Sudah tidak menghiraukan orang sekeliling. Cara jalannya sudah pun berubah. Tadi jadi wanita, sekarang tidak lagi. Perangai tomboynya sudah berjangkit semula.

“Mak hang berterabuq,”latah Damia selepas terlanggar dengan seseorang ketika mahu ke tandas.

Lelaki yang dilanggar oleh Damia tadi mengambil cermin mata hitamnya yang sudah jatuh ke lantai. Damia pula masih lagi berada di awang-awangan. Masih terkejut.

“Cik okey ke?”tanya lelaki itu selepas melihat Damia tidak berkata apa-apa.

Damia mengangguk tanpa menoleh memandang muka lelaki itu. Damia dengan perasaan yang bercampur baur melangkah laju meninggalkan lelaki yang masih lagi tercegat di situ.
--------------------
Selepas selesai melepaskan “hajat” Damia melangkah keluar dari tandas. Perasaan malunya yang menguasai diri sudah hilang sedikit. Dia berharap agar dia tidak bertemu dengan lelaki tadi lagi.

“Zara….”tegur satu suara dari belakang.

Damia menoleh. Terlopong mulutnya melihat siapa pemilik suara yang menegurnya sebentar tadi. Tidak sangka dia akan bertemu lagi dengan lelaki yang selama ini berharap agar tidak bertemu lagi.

“Hang buat apa kat sini? aku dah kata yang jangan ganggu aku lagi.” Damia menjeling tajam ke arah Izz Rayyan.

Izz Rayyan membuka cermin mata hitam. Dia mengukirkan senyuman.

“ Mana ada saya ganggu awak. Tadi awak yang langgar saya. Jadi sekarang siapa yang ganggu  siapa?”Izz Rayyan memulangkan pertanyaan kepada Damia.

Damia mengerutkan dahinya. “ Jadi tadi tu hang ka?”

Izz Rayyan mengangguk. Terpesona sebentar apabila dia melihat penampilan Damia itu. Sungguh cantik sekali berpakaian wanita. Anugerah ALLAH memang terindah. Tiada bandingannya.

“Awat hang tengok aku macam tu? Macam tak pernah tengok perempuan saja.” Pertanyaan Damia mematikan lamunan Izz Rayyan.

Izz Rayyan tergelak kecil. Damia ni garang sungguh. Tak pernah langsung nak cakap baik-baik dengan Izz Rayyan.

“Awak buat apa kat sini?”tanya Izz Rayyan tidak menghiraukan pertanyaan Damia tadi.

“Aku nak shopping. Itu yang aku datang sini.”Damia memerli. Dah terang-terang duduk dalam kedai makan mestilah nak makan. Itu pun nak tanya. Rungut Damia.

Izz Rayyan tergelak lagi.

”Pandai buat lawaklah awak ni. Boleh masuk raja lawak ni.”

“Aku pergi dulu. Malas nak layan hang. Kawan-kawan dok tunggu aku  nak makan.” Damia berlalu meninggalkan Izz Rayyan. Masanya tidak langsung diperuntukan untuk melayan Izz Rayyan.

Izz Rayyan mengikut jejak langkah Damia. Damia langsung tidak menyedari Izz Rayyan sedang mengikutnya. Selepas sampai di meja makan, Damia melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Fakhir Hakimi tersenyum memandang Damia. Dia mengalihkan pandangannya pula memandang Izz Rayyan.

“Kawan Damia ke ni?”tanya Fakhir Hakimi.

Damia yang masih lagi tidak menyedari kehadiran Izz Rayyan menoleh memandang ke arah mulut Fakhir Hakimi yang menunjukkan kehadiran kawannya itu. Damia menjengilkan matanya. Dia ikut aku? Ya ALLAH, gila ka budak Izz Rayyan ni? Damia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Buntu.

Izz Rayyan mengangguk sambil tersenyum. “ Saya Izz Rayyan.”

Fakhir Hakimi bangun lalu membalas huluran salam daripada Izz Rayyan mesra.

“Saya Fakhir Hakimi. Panggil saja Kimi. Kawan Damia?”Fakhir Hakimi bertanya sekali lagi.

Izz Rayyan mengangguk. Damia pula mukanya sudah merah. Mungkin menahan marah.

“Jemputlah duduk dulu. Kami pun belum makan lagi. Kejap saya panggilkan waiter.”pelawa Fakhir Hakimi sambil tersenyum.

“Boleh ke?”soal Izz Rayyan pula.

Damia yang duduk di sebelah Laila mengigit bibir. Geram dengan Izz Rayyan. Dasar muka tak malu. Sejak pertemuan di pusat beli-belah tempoh hari, Damia sering mengelak daripada Izz Rayyan. Dia menerima berpuluh-puluh panggilan telefon dan juga pesanan ringkas daripada Izz Rayyan namun dia buat tak endah saja. Cukuplah setakat hari itu sahaja mereka berjumpa. Lagipun salam persahabatan yang diterima oleh Damia hanyalah jalan untuk Damia melepaskan diri dari terus diasak oleh manusia yang bernama Izz Rayyan.

Cuma yang menjadi persoalannya sekarang adalah dari mana Izz Rayyan mendapat nombor telefon bimbitnya. Dia tidak akan sewenang-wenangnya memberikan nombor telefon bimbitnya kepada orang asing tambahan pula lelaki sewel ini. Semakin hari semakin pelik dengan Izz Rayyan. Apakah mungkin kata-kata Izz Rayyan sebelum ini adalah betul belaka yang dia adalah ahli nujum yang mampu untuk tahu semua tentang dirinya? Damia resah.

Duduklah kalau tak malu.” Damia akhirnya bersuara. Lantaklah tanggapan yang mahu diberikan oleh Fakhir Hakimi dan Laila nanti.

“Memandangkan saya muka tak malu, jadi saya duduklah.” jawab Izz Rayyan lalu menarik kerusi duduk sebelah Damia.

Fakhir Hakimi dan Laila berpandangan sesama sendiri. Sejurus kemudian mereka ketawa.  Damia dan Izz Rayyan seperti sedang bergaduh saja pun.

Damia menekan-nekan ikan bakar yang ada di dalam pinggannya dengan garfu. Dia cuba mengawal marah dan rasa geramnya. Kalau diikutkan hati nak pergi cucuk sahaja mata Izz Rayyan tu. Sengal sungguh lelaki ini.

“Mia, kenapa macam marah saja ni?” Fakhir Hakimi yang sedar akan kelakuan Damia bertanya.

Damia menghentikan kelakuannya. Dia mengukirkan senyum paksa. Izz Rayyan disebelahnya dijeling tajam.

“Bukan setakat marah, geram, sakit hati, meluat semuanya ada.” Damia meluahkan rasa marahnya. Ambik kau. Damia bukannya seorang yang jenis berpura-pura. Dia lebih suka berterus-terang dari terus memendamnya seorang diri. Nanti hatinya tak tenang.

Fakhir Hakimi berkerut dahi. Memang sah ada sesuatu yang terjadi antara Damia dan Izz Rayyan. Kalau tidak tak akanlah Damia berkelakuan sedemikan.

“Kenapa?”Fakhir Hakimi cuba mengorek cerita.

Izz Rayyan dan Laila hanya memasang telinga. Dalam masa yang sama, Izz Rayyan tersenyum dalam hati. Dia tahu kenapa Damia berkata sedemikian. Tidak lain tidak bukan kata-kata itu tadi ditujukan kepada dirinya. Izz Rayyan sengaja berbuat demikian dengan menerima pelawaan daripada bos Damia. Salah Damia juga. Kalau dia jawab telefon dan balas pesanan yang dihantar oleh Izz Rayyan mungkin perkara ini tidak terjadi. Apabila salam persahabatan dihulurkan, Damia pula mengelak. Sungguh tidak adil.

“Faham-faham sendirilah.”balas Damia. Dia kembali menguis nasi yang masih belum dijamah lagi. Seleranya sudah hilang. Tadi perutnya mungkin bernyanyi riang tapi sekarang tiada lagi. Perasaan geram dan sakit hati dengan Izz Rayyan mengatasi rasa laparnya.

“Korang bergaduh ke?” Laila pula menyampuk. Dia memandang muka Izz Rayyan dan Damia silih berganti.

“Tak adalah. Kami baik saja. Kan Zara?”Izz Rayyan menjawab bagi pihak Damia. Wajah Damia dipandang sekilas melalui ekor matanya. Jelas terpancar wajah tidak puas hati yang ditunjukkan. Izz Rayyan geli hati.
Damia mendengus kasar. Kenapa kau harus hadir dalam hidup aku, wahai lelaki sewel?

“Arwah nenek aku ada pesan kalau bercakap biarlah betul dan tak berbohong kerana takut makan diri. Betulkan, Izz Rayyan?” Damia senyum dibuat-buat. Dia memerli lelaki itu habis-habisan. Permainan baru sahaja bermula.

Izz Rayyan mengangguk. “ Setuju. Kami memang tak ada masalah.”

Damia menepuk dahinya. Kakinya dibawah meja dihentak-hentak bagi melepaskan  geram. Lelaki ini tidak mengertikah yang dirinya sedang diperli oleh Damia? Kenapalah lelaki yang lurus bendul seperti Izz Rayyan ini harus dilahirkan ke dunia? Ya Allah, sakitnya jiwa Damia bila berhadapan dengan Izz Rayyan.

“Baiklah. Makanan Izz pun dah sampai jadi kita makan dulu. Nanti sejuk tak sedap pula.” Fakhir Hakimi bersuara. Dia nak sangat tahu siapa lelaki ini tapi Fakhir Hakimi simpan dahulu. Nanti bila ada masa dia akan bertanyakan kepada Damia.

So sweet. Makanan Mia dan Izz Rayyan samalah. Jodohlah korang ni.” Laila memuji sambil tangannya ditepuk. Beria-ria pula Laila ini.

Izz Rayyan dan Damia saling memandang makanan yang terhidang. Betul kata Laila. Sama lagi serupa. Izz Rayyan tersengih. Kebetulan sahaja itu kerana ini bukan dalam rancangannya. Bahagianya Izz Rayyan rasa. Tidak dinafikan lagi mereka memang ada jodoh. Izz Rayyan sangat yakin.

“Tolonglah, Laila. Kebetulan sahaja ni. Kalau Laila nak tahu, Izz Rayyan ni memang suka tiru orang.” Damia membalas dengan menghantam Izz Rayyan daripada kata-katanya. Padan muka.

“Tak salahkan?”

“Memanglah tak salah tapi kalau suka sangat tiru orang itu maknanya tak ada pendirian yang kukuh. Orang kalau tak ada pendirian ini susah sikit nak hidup. Hidup apabila suka bergantung kat orang lain akan menjadi susah. Faham?” balas Damia bertubi-tubi.

“Iya ke? Tapi saya rasa tak susah kot kalau saya tak ada pendirian sebab saya bergantung kat awak. Jadi tak ada masalahnya disini.”

Damia beristifar dalam hatinya. Izz Rayyan memang tidak pernah kenal erti kalah. Ada saja jawapan yang membuatkan Damia hilang kata-kata. Akibat malas nak membalas lagi, Damia kembali menumpukan perhatiannya kepada makanan yang terhidang. Lagi dia layan lelaki ini lagi merenglah otaknya.

“Bergaduh saja dari tadi Kimi tengok. Macam anjing dengan kucing. Cepatlah makan, nanti sejuk tak sedap.”Fakhir Hakimi mula mencelah selepas melihat muka Damia sudah mencuka kerana lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai kawan kepada Damia. Tapi kalau kawan kenapa Damia seperti tidak suka dengan kehadiran lelaki ini?

“Baca doa dulu, wahai Cik Zara Damia. Kalau tak baca nanti makan dengan syaitan.”tegur Izz Rayyan selepas melihat Damia ingin menyuapkan nasi ke dalam mulutnya tanpa berdoa terlebih dahulu.

Muka Damia sudah menukar rona. Dia meletakan sudu perlahan-lahan. Dia tidak marah tetapi malu apabila ditegur begitu. Tambahan di hadapan Laila dan Fakhir Hakimi yang baru sehari mereka berkenalan. Izz Rayyan sukar dijangka perangainya. Sudahlah datang tanpa izin kemudian suka sangat mengenakan orang lain. Kalau Damia tidak memikirkan mereka berada di mana dah lama Izz Rayyan kena belasah dengan Damia. Nasib baik akalnya masih lagi waras.

Izz Rayyan mengetuai bacaan doa mereka. Sebaik sahaja selesai membaca doa mereka menjamu selera. Fakhir Hakimi dan Izz Rayyan lebih banyak berbual berbanding Damia dan Laila yang hanya menjadi pendengar setia. Sesekali Damia menjeling melihat muka Izz Rayyan. Kacak! Tapi sayang otak sewel. Damia mengukirkan senyuman.

“Kenapa senyum?” Izz Rayyan membisikan di telinga Damia. Tanpa Damia sedar segala perlakuannya diperhatikan oleh Izz Rayyan dari tadi. Izz Rayyan tahu sejak tadi Damia asyik mencuri-curi melihat mukanya. Satu perubahan yang baik.

Damia tersentak. Dia tak sangka pula Izz Rayyan perasan akan kelakuannya. Memang sah lelaki ini adalah ahli nujum pak belalang. Semua yang dia buat pasti akan disedari oleh Izz Rayyan.

“Siapa senyum kat hang? Perasan!”balas Damia tidak memandang Izz Rayyan. Sepenuh perhatiannya dilemparkan kepada nasi yang hanya tinggal separuh sahaja lagi perlu dihabiskan.

“Orang gila saja yang senyum sorang-sorang.” Izz Rayyan tersengih.

“Mulut tukan memang tak ada insurans agaknya. Sedap saja kata kat aku gila.”

Izz Rayyan tergelak kecil.

“Bila saya kata kat awak? Saya kata orang gila. Kalau awak rasa diri awak orang gila silakan. Saya tak kisah.”jawab Izz Rayyan selamba. Segaris senyuman terhias di bibirnya.

Damia mendengus kasar. Damia menghirup jus oren yang terhidang bagi menghilangkan rasa panas berbara terhadap Izz Rayyan. Sejurus kemudian, Damia tersedak. Tersembur keluar jus oren dari mulut Damia. Nasib baik Izz Rayyan sempat mengelak. Kalau tidak basah baju yang dipakai oleh Izz Rayyan itu.

Are you okay, Mia?”Fakhir Hakimi yang sedang berbual dengan Laila bertanya cemas. Terkejut dia apabila Damia tiba-tiba sahaja tersedak.

Damia mengangguk. Laila bangun lalu mengurut belakang Damia. Damia masih lagi terkulat-kulat. Tisu yang dihulurkan oleh Izz Rayyan disambut kasar. Semua ini kerana hang, Izz Rayyan. Bencinya aku. Marah Damia dalam hatinya.

“Nasib baik tak kena baju saya.” Izz Rayyan melihat setiap inci bajunya. Tak ada yang kotor. Sebenarnya dia sedang menahan tawanya daripada terhambur. Dia sengaja berbuat demikian kerana nak tergelak melihat muka Damia yang sungguh tidak puas hati itu. Kalau terkena tadi pun, Izz Rayyan tak kisah tapi disebabkan ingin membuatkan Damia bengang dengannya , dia cuba menukar topik.

“Itulah marah lagi kat bakal suami.”Izz Rayyan membisik selepas Damia kembali tenang dan suasana kembali seperti biasa.

Damia membuntangkan matanya. Terkedu dengan ucapan yang dibisikan di telinga kanannya.

“Hang nak apa sebenarnya ni? Kenapa hang ganggu kehidupan aku?” Damia bertanya perlahan. Dia nak sangat tahu apalah yang dimahukan oleh Izz Rayyan daripada dirinya. Tak pernah serik langsung.

“Salah awak juga. Siapa suruh awak tak balas sms saya dan jawab bila saya telefon? Jadi jangan marahkan saya kalau saya buat sesuatu yang luar jangkaan awak.” Izz Rayyan mengugut.

Mulut Damia terbuka sedikit. Luar jangkaan? Maksudnya? Apa yang mahu Izz Rayyan lakukan kepada dirinya? Entah-entah dia nak….. arghhh… Damia menjerit dalam hati.

“Suka hati akulah nak jawab ke tidak. Hang tak ada hak nak paksa aku.” Damia masih lagi berdegil. Dia tidak akan mengalah hanya kerana lelaki sewel disebelahnya ini.

“Jadi suka hati sayalah nak ganggu awak pun. Awak tak ada hak nak halang saya. Barulah adil.”

Izz Rayyan melihat jam dipergelangan tangannya. Sudah lewat untuk masuk ke pejabat. Kedatangan dia ke restoran itu adalah hendak membeli nasi bungkus sahaja kerana kerja di pejabat yang bertimbun perlu disiapkan. Tak sangka pula boleh berjumpa dengan Damia. Apa lagi, kerjanya letak tepi misi memikat hati Damialah menjadi keutamaannya.

Waiter! Kira semua.”panggil Izz Rayyan kuat.

“Eh, tak perlu. Kimi yang belanja.”Fakhir Hakimi pantas menghalang.

Izz Rayyan senyum. Dia tidak mengendahkan larangan daripada Fakhir Hakimi itu. Duit dalam dompetnya dikeluarkan lalu dihulurkan kepada pelayan restoran.

“Tak apalah, Kimi. Saya belanja. Lagipun bila lagi nak belanja kawan-kawan bakal isteri.” Izz Rayyan tersengih sejurus matanya dikerling sekilas kepada Damia.

Damia menundukan kepalanya. Izz Rayyan bila bercakap memang tak tapis langsung. Ikut sedap dia keluar sahaja. Kalau diberikan kesempatan dah lama Damia cili mulut lelaki sewel ni.

 Fakhir Hakimi dan Laila berkerut dahi. Terpinga-pinga memahami kata-kata Izz Rayyan sebentar tadi.
“Maksudnya?”soal Laila.

“Zara ada jawapannya. Baiklah saya minta diri dulu.  Kerja kat ofis tu bertimbun. Terima kasih sebab sudi ajak saya makan sekali.” Izz Rayyan lantas bangun dari kerusi.

Fakhir Hakimi dan Laila juga turut bangun sebagai tanda hormat.

“Jangan ingat boleh lari dari saya tau.” Izz Rayyan membisikan perlahan ditelinga Damia sebelum dia melangkah meninggalkan mereka disitu.

Damia terkedu. Lelaki ini memang bertekad sungguh dalam memikat hatinya. Tapi siapa lelaki ini sebenarnya? Kenapa dia tiba-tiba sahaja muncul dalam hidup Damia? Damia tidak nafikan walaupun dia rimas dengan desakan Izz Rayyan tapi kadang-kadang nak  apabila bersendirian, dia asyik teringatkan lelaki itu. Lawak jenaka dan perangai gila-gila Izz Rayyan membuatkan dia tersenyum seorang diri. Apakah dia telah jatuh cinta dengan Izz Rayyan?

Damia menggelengkan kepalanya laju. Tak mungkin!


HATI YANG AKU PERLU BAB 8


Hari ini Damia bercadang hendak keluar membeli-belah bersama-sama dengan Hanis. Tujuan dia keluar adalah untuk mencari pakaian untuk dipakai pergi kerja memandangkan beberapa hari sahaja lagi Damia akan memulakan tugasannya disebuah syarikat di ibu kota.


Damia sudah selesai bersiap. Hanis sahaja yang belum turun lagi. Apalah yang dibuat pun tak tahu. Damia melabuhkan punggungnya di atas sofa sementara menunggu Hanis bersiap. Damia memegang kesan jahitan di dahinya.

Luka di dahi Damia sudah beransur pulih. Ternyata kesan daripada jahitan itu akan tersemat di dahinya selama-lamanya. Namun jahitan itu sedikit pun tidak menjejaskan kejelitaan yang dimiliki oleh Damia.

Tiba-tiba sahaja Damia teringatkan Izz Rayyan. Di kepalanya masih tertanya-tanya lagi siapa sebenarnya Izz Rayyan, lelaki misteri itu. Asyik bertembung sahaja mereka berdua. Damia mengukirkan senyuman. Teringat dia perangai Izz Rayyan yang gila-gila itu. Sikap Izz Rayyan yang gila-gila itulah yang membuatkan kadang-kadang Damia terasa begitu gembira sekali.

Izz Rayyan. Sedap nama tu. Sekacak tuannya. Muka iras-iras pelakon Aeril Zafril. Sesiapa yang dapat Izz Rayyan memang beruntung. Kalau ditakdirkan aku yang dapat Izz Rayyan memang aku ikat kaki dia kuat-kuat supaya tiada orang yang dapat ambil Izz Rayyan daripadanya. Tapi Izz Rayyan nak ke orang macam aku ni? Dia mesti dah ada teman wanita. Bohonglah kalau lelaki sekacaknya tiada teman wanita.

“Hoi!!”sergah Hanis daripada belakang. Damia yang sedang memegang telefon bimbit hampir mencampakkan ke lantai akibat terkejut dengan sergahan tadi. Nasib baik Hanis cepat menghalang. Kalau tidak mesti berterabur telefon pintar milik Damia itu.

Damia mengurut dada. Jantungnya sudah berdengup laju seperti orang yang baru lepas berlari. Dia memang lemah jika ada yang membuatkannya terkejut. Seperti mahu luruh jantung dibuatnya.

“Aku minta maaf, Mia. Aku lupa hang lemah. Sorry, sayang.” Hanis yang sedar Damia betul-betul terkejut memohon ampun. Hanis memang lupa yang Damia lemah. Kalau tidak mesti dia tidak akan membuatkan sahabatnya itu terkejut beruk seperti tadi. 


            Damia menarik nafas lalu menghembusnya.” Aku okey. Don’t worry.” Damia tersenyum. Nafasnya masih lagi turun naik.

“Itulah sapa suruh berangan sangat. Teringat kat tunanglah tu.”usik Hanis.

Usikkan Hanis membuatkan Damia menjengilkan matanya. Tangannya pantas mencubit paha Hanis. Hanis mengaduh kesakitan sambil menggosok kesan cubitan maut daripada Damia itu.

“Padan muka hang. Mana aku ada tunang. Dia tu orang gila kalau hang nak tau. Aku tak pernah kenal dia pun. Dia yang terhegeh-hegeh kata dia tunang aku. Aku tak suka kat dia pun. Meluat betullah.” Damia melenting. Geram betul bila diusik sedemikian rupa. Padahal dia tak pernah kenal pun lelaki misteri tu. Ada-ada sajalah Hanis ni.

“Yang hang terlebih emotional ni pasal apa? Hang tak suka tapi dia suka. Okeylah tu. Ada juga orang nak kat hang. Terima sajalah Damia oi. Takkan nak membujang sampai tua.” Hanis tersengih.

Selepas Izz Rayyan menelefonnya, Hanis akan sedaya upaya untuk mendekatkan Izz Rayyan dengan Damia.

“Taklah. Aku geram kalau hang nak tau.” Damia mendengus kasar. Dia bangun dari sofa. “ Dahlah. Jom lekas. Malas nak cakap benda yang tak penting ni.”arah Damia. Hanis tersenyum sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali.

Dia faham perasaan Damia. Damia sebenarnya takut untuk menerima cinta lelaki. Semua itu disebabkan oleh cara pemakaiannya dan sikapnya yang ke arah kejantanan sedikit. Dia tahu Damia hanya manusia biasalah yang memerlukan cinta dalam hidup. Tidak mungkin Damia tidak mempunyai keinginan untuk bercinta dan berkahwin.

Damia sudah laju melangkah keluar rumah. Hanis mencapai beg tangannya. Dia turut berjalan pantas selepas melihat muka Damia yang sudah  mula masam.Selepas enjin dipanaskan, kereta milik Hanis itu meluncur laju bagi menuju ke destinasi yang dituju.

**************

Dari satu kedai ke satu kedai mereka lawati. Namun tiada yang berkenan di hati. Ini semua gara-gara Hanis. Cerewet sangat dalam memilih baju. Yang ini tak sesuai yang itu tak sesuai. Semua serba tak kenalah. Padahal yang nak memakainya Damia, tetapi Hanis yang terlebih kalut.

Damia pula mula dah rasa bosan. Dia memang cepat sangat bosan dalam bab-bab memilih baju ni. Kalau boleh, dia nak saja pakai bajunya yang lama. Senang sikit. Tak perlu bersusah payah mencari baju. Namun, disamping ingin membeli baju kerja, Damia juga menyuruh Hanis membantunya untuk memilih baju bagi mengubah cara pemakaianya. Pasal duit, buat sementara ni Damia masih lagi mampu untuk membeli-belah.

Kali ini mereka masuk pula ke kedai menjual pakaian lelaki. Damia mengerutkan dahinya. Hairan kenapa pula perlu masuk ke kedai pakaian lelaki. Dia memegang bahu Hanis yang laju sahaja mendahului Damia masuk ke kedai tersebut. Langkah Hanis terhenti.

“Awat hang masuk kedai lelaki ni? Aku bukannya nak jadi lelaki dah. Aku dah nak ubah imej aku. Hang ni macam tak sokong saja aku nak jadi perempuan. Kesal betul aku dengan hang.”Leter Damia. Dia memang berasa terkilan apabila melihat Hanis melangkah masuk ke kedai pakaian lelaki.

Hanis tergelak besar. Orang yang berada di kedai itu semua terarah kepada mereka. Mana taknya, tiba-tiba sahaja gelak. Kuat pula tu. Muka Damia penuh dengan tanda tanya.

“Gilalah hang ni.” Damia sudah melangkah keluar semula dari kedai itu.

Laju saja kaki Hanis mengejar Damia. “ Nanti dulu. Hang ni jangan buat ayat sedih boleh tak? Aku masuk sini sebab aku nak beli baju kat cik abang akulah. Esok birthday Faez. Aku bercadang nak bagi baju untuk hadiah tahun ni.”terang Hanis panjang lebar.

Damia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Kemudian bibirnya terukir senyuman yang menampakkan giginya yang tersusun rapi. Putih berseri. Hanis menjeling manja.

“Opss… Aku tersilaplah ni. Dah jom masuk balik. Kita borong banyak-banyak ya.”Damia seakan-akan memerli sahabatnya. Dalam masa yang sama, dia sudah termalu sendiri. Namun dia menayangkan muka biasa tanpa sedikit pun riak bersalah.

Itulah jadinya bila terlebih emosi. Kan dah kena. Damia, Damia. Cukup sensitif dalam hal-hal yang berkaitan dengan imej dan penampilannya. Hati Damia memang cepat tersentuh semenjak dia hendak mengubah dirinya.

Damia dengan penuh sabar menanti Hanis memilih baju untuk suaminya. Hanis sedang khusyuk memilih baju. Katanya, dia ingin memilih baju yang terbaik untuk Faez sempena ulang tahun kelahiran Faez.

Damia berjalan-jalan di dalam kedai itu sambil menanti Hanis mencari baju yang sesuai. Dia suka melihat rekaan pakaian yang terdapat dalam kedai tersebut. Ada sehelai baju yang berjaya menarik perhatian Damia. Bukan apa sekadar mencuci mata. Damia membelek harga sehelai baju. Patutlah rekaannya begitu cantik sekali. Berpadananlah dengan harga yang dipaparkan.

Alangkah bagusnya jika aku ada suami. Boleh juga aku belikan pakaian ni untuk dijadikan hadiah sepertimana Hanis melakukannya. Cantik baju ni. Tambahan pula, kalau orang yang memakainya seorang lelaki yang kacak. Pasti berjaya menaikkan aura seseorang lelaki tersebut.

“Boleh juga kalau nak hadiahkan untuk saya.” Pandangan Damia terkalih kepada suara yang baru sahaja berkumandang tadi. Tiba-tiba sahaja suara itu menjelma. Terkejut Damia dibuatnya.

Damia mengeluh. Izz Rayyan tersengih kepadanya. Lelaki itu lagi. Kenapa dia harus muncul lagi? Takkan semua ini hanya kebetulan sahaja? Damia tiba-tiba berasa pelik. Bagaikan tidak percaya yang dia akan berjumpa dengan Izz Rayyan lagi setelah hampir 2 minggu dia berada di Kuala Lumpur.

Damia melangkah laju menuju ke arah Hanis yang masih lagi sibuk memilih baju. Izz Rayyan mengekori langkah Damia. Damia menghentikan langkahnya. Dia menoleh ke belakang dan mendengus kasar apabila menyedari Izz Rayyan mengikutinya.  

“Hang nak apa ni? Awat hang ikut aku? Kat mana aku pergi, kat situ ada hang. Hang ni halimunan ka?”marah Damia. Rimas apabila lelaki tersebut berterusan menganggunya.

Damia melihat Izz Rayyan hanya tersenyum mendengar ketidakpuasan hati Damia. Ada lesung pipit lagi.
Kan saya dah beritahu dulu yang saya ni ahli nujum. Mestilah saya tahu kemana saja awak pergi. Jadi saya ikutlah. Takkanlah tunang tak boleh ikut kot.”Damia menjengilkan matanya selepas mendengar perkataan tunang yang terpancul dari mulut Izz Rayyan.

Hanis yang menyedari kehadiran Izz Rayyan hanya tersenyum melihat gelagat kedua-duanya. Hanis membiarkan sahaja Izz Rayyan mengambil hati Damia. Hanis amat menyokong sekiranya Izz Rayyan menjadi teman kepada sahabatnya itu. Dia sudah kenal siapa itu Izz Rayyan.

Damia mendengus kasar.  Dia turut menghadiahkan jelingan tajam kepada Izz Rayyan. Namun, Izz Rayyan tetap Izz Rayyan. Langsung tidak pernah ambil kisah dengan semua itu. Malah dia suka melihat Damia marah. Nampak comel gitu.

“Sejak bila aku jadi tunang hang? Aku tak pernah bertunang pun. Jangan nak  memandai tahu. Kalau hang hantar rombong meminang sekalipun aku takkan terima lelaki gila macam hang. Muka saja handsome tetapi tak betul.”rungut Damia kepada Izz Rayyan.

Izz Rayyan tergelak kecil. “Wah, tak sangka awak perasaan saya ni handsome. Sejak azali lagi. Ada iras-iras Aaron Aziz? Kalau awak nak tahu Aaron Aziz tu abang saya. ”puji Izz Rayyan sendiri.

Damia mencebik. Muntah hijau Damia apabila mendengarnya. Perasan juga mamat gila ni. Kenapalah dia harus berjumpa dengan lelaki ini lagi. Kalau boleh dia sudah tidak mahu langsung bertemu lagi. Biarkan pertemuan mereka setakat di stesen bas sahaja. Namun jodoh mereka kuat. Izz Rayyan sentiasa muncul di mana-mana
.
“Jangan nak perasan sangatlah. Muka macam bangla jual karpet mengaku Aaron Aziz konon. Entah-entah memang warganegara bangla.”kutuk Damia geram. Dia sememangnya sengaja nak membuat Izz Rayyan sakit hati dengannya.

Izz Rayyan ketawa berkekeh-kekeh. Kurang asam betul. Muka aku punyalah handsome dia boleh kata serupa bangla jual karpet. Buta ke apa si Zara ni? Gumam Izz Rayyan. Izz Rayyan tak ambil hati pun. Malah dia seronok pula apabila Damia berlawak seperti ini.

“Saya memang orang bangla. Itu yang saya nak cari perempuan Malaysia yang boleh dibuat bini supaya dapat terus tinggal di sini.. Kalau awak sudi, saya tak perlulah pening-peningkan kepala saya lagi. Jadi sudi tak?”balas Izz Rayyan sambil bibir tidak lekang dari bibirnya.

Damia mengetap bibirnya. Eee.. Geramnya aku. Tak makan saman langsung lelaki ni.

“Mati hidup balik pun belum tentu aku sudi. Jadi tak perlulah susah payah nak memikat aku. Aku takkan terpikat langsung kat hang. ”

Izz Rayyan menyeluk tangannya ke dalam kocek seluarnya.

“Tak nak tarik balik kata-kata tu ke?”Izz Rayyan berwajah serius.

Damia berkerut dahinya. Apa maksud lelaki ini? Kenapa perlu dia tarik semula kata-katanya tadi? Damia memandang muka Izz Rayyan. Tadi bibir itu asyik tersenyum tapi sekarang tiada lagi. Salah ke kata-kata yang baru ditutur olehnya sebentar tadi?

“Perlu ke aku tarik semula?”Damia memulangkan pertanyaan kepada Izz Rayyan.

Izz Rayyan mengangkat kedua-dua bahunya. “Terpulanglah. Tapi jangan menyesal sudahlah nanti.”

Damia bertambah pelik. Apa yang cuba Izz Rayyan sampaikan ini? Sungguh dia tidak faham langsung dan masih samar dalam menangkap maksud Izz Rayyan.

“Awat nak menyesal pulak?”

Izz Rayyan kembali tersenyum. Bahagia dirinya apabila dapat membuatkan Damia sebegitu. Geli hati melihat muka Damia yang sedang cuba menafsir daripada kata-katanya itu.

“Boleh saya tanya satu soalan?”Izz Rayyan meminta izin.

Damia menggarukan kepalanya. Makin dilayan makin pening kepada dia dengan Izz Rayyan. Sekejap serius, sekejap tersengih-sengih serupa orang tak betul. Sekarang ni pula nak bertanya-tanya soalan pula. Adoi.

“Apa maksud ‘awat’?”tanya Izz Rayyan lurus bendul. Kadang-kadang loghat Kedah memang memeningkan kepalanya. Walaupun pak langnya adalah orang Kedah tapi disebabkan dia jarang pulang ke kampung membuatkan pengetahuannya tentang loghat yang digunakan agak terbatas.

Awat tu bermaksud orang gila macam hang. Pening kepala betullah aku dengan hang ni. Semakin lama aku layan hang, semakin merenglah otak aku lepas ini. Sudahlah aku pergi dulu.”menonong Damia mengangkat kaki meninggal Izz Rayyan yang sedang ketawa. Izz Rayyan pula masih belum serik lagi. Makin dikutuk makin seronok pula rasanya.

“Sayang...”seru Izz Rayyan lembut.

Lantas Damia menghentikan langkahnya. Apa kena dengan mamat ni? Bersayang-sayang bagai. Gelinya aku. Anti benar aku mendengar perkataan sayang tu. Tubuhnya lantas beralih memandang semula lelaki itu dengan wajah tidak puas hati. Apa lelaki ini mahu dari dirinya sebenarnya? Damia mencekak pinggang.

“Apa lagi?”Mukanya sudah tarik empat belas.

“Eh, setahu saya nama awak Nurul Zara Damia. Bukan sayangkan?”

Damia mengigit bibirnya. Damia memang sudah geram tahap gaban dah ni. Kang lelaki ni kena belasah juga jawabnya nanti. Damia tahu Izz Rayyan sengaja mahu mempermainkannya sahaja. Kerat 18 baru tahu kot. Nanti baru tahu erti penyesalan. Gerutu hati kecil Damia.

“Aku bencinya kat hang. Pergilah dari sini. Tolong jangan ganggu aku lagi.” Damia seolah-olah merayu-rayu. Dia tiada kuasa hendak melayan perangai Izz Rayyan yang gila-gila itu.

Damia membuka langkah mencari Hanis. Matanya liar memerhati sekeliling. Rasanya tadi Hanis ada di sini tapi sekarang sudah lesap. Hanya mereka berdua dan beberapa orang pekerja butik berkenaan sahaja yang tinggal. Kelibat Hanis langsung tidak kelihatan. Damia sekali lagi mengeluh kuat.

“Dulu arwah nenek saya cakap, jangan benci sangat kerana satu hari nanti takut jatuh cinta. Jadi kalau awak tak nak jatuh cinta dengan saya, awak tak boleh benci saya. Tapi terpulang kat awaklah. Kalau awak jatuh cinta dengan saya, saya seribu kali cintakan awak. Pilihan di tangan awak sekarang. Jadi mana satu pilihan awak?”

Damia menggarukan kepalanya yang tidak bertudung itu. Rambutnya sudah kusut masai asyik dari tadi tergaru-garu. Lelaki di hadapannya ini memang membuatkannya hampir gila.

“Suka…”

“Tapi saya berharap awak pilih untuk bencikan saya dulu sebab saya akan buat supaya awak jatuh cinta dengan saya.” Izz Rayyan mencantas daripada membiarkan Damia berkata. Dia nak buat Damia turut gila bersama-sama dengannya. Izz Rayyan tergelak di dalam hatinya.

“Err…” Damia tidak dapat bersuara lagi. Sudah dua kali disekat oleh Izz Rayyan.

“Tapi saya lebih suka kalau awak tak bencikan saya langsung. Lagi senanglah saya nak buat awak jatuh cinta kat saya. Tapi…”

Stop it!” Damia menjerit kuat. Semua mata terarah kepadanya. Namun Damia tidak menghiraukan. Telinga dia dah bernanah asyik mendengar Izz Rayyan berceloteh. “Aku tak mahu dengar lagi. Eee.. Awatlah aku dipertemukan dengan orang yang macam hang? Gila semacam saja aku tengok.” Damia melepaskan geramnya.

Izz Rayyan tergelak kecil. Comelnya muka awak, Zara bila marah macam ini.

“Itulah dinamakan jodoh. Lari ke kutub utara sekalipun, kalau dah jodoh akan bertemu juga. Macam kitalah.”

Please lah. Tak maulah aku lelaki gila macam hang ni. Buang karan saja.” Damia mencebik.

Izz Rayyan mengangkat kening kanannya. Susah juga nak memikat hati si minah tomboy ni. Keras sungguh. Tapi Izz Rayyan akan tetap berusaha. Sudah berbagai-bagai gelaran yang diberikan oleh Damia kepadanya namun dia tidak serik. Biarlah janji dia dapat memikat hati gadis di hadapannya ini.

“Gila pun sebab awak. Saya terlalu gilakan awak. Itu yang otak pun sama-sama gila sekali. Jadi sekarang nak salahkan siapa?”

“Okey. Aku berterus-terang sajalah dan aku harap hang faham. Aku juga berharap hang jangan ganggu hidup aku lagi. Aku sebenarnya tak sukakan lelaki. Nafsu aku kat lelaki langsung tiada. Aku sukakan perempuan. Nak ke hang kahwin dengan minah tomboy seperti aku ni? Jadi aku harap hang boleh teruskan usaha hang untuk mencari wanita lain untuk mengesahkan kewarganegaraan hang tu. Aku tak layak langsung. Lagipun mak aku pesan suruh cari lelaki Malaysia. Jadi aku tak layak untuk hang dan hang pun tak layak untuk aku. Okey? ” Damia mengukirkan senyuman paksa.

Padan muka kau. Siapa suruh kacau aku sangat? Kan dah kena sebijik. Harap-haraplah dia percaya apa yang aku beritahu ni.

Izz mengetap bibir. Dia memandang tepat pada anak mata Damia. Sengaja ingin membuatkan Damia tidak tentu arah. Dan ternyata pandangan mata Damia itu membuatkan dada Damia merombak kencang. Damia, Damia… Nak bohong aku yer? Kau ingat aku percaya cakap kau? Aku tak kisah, Damia. Orang perempuan memang macam tu, mula-mula jual mahal dulu. Macam mana kau buat pun, aku tetap nakkan kau.

Izz Rayyan tersenyum sinis sebaik sahaja Damia melarikan pandangan matanya daripada terus menatap mata Izz Rayyan. Terasa kelakar pula apabila Damia bersungguh-sungguh memberitahu tentang keadaan dirinya itu.

“Kecil sahaja masalah awak tu. Saya akan buat awak sukakan lelaki dan lelaki itu adalah saya. Jadi awak tak perlu risau tentang nafsu awak yang terpesong tu sebab saya janji saya akan pulihkan awak. Lagi satu tentang status kewarganegaraan saya, saya akan berbincang dengan keluarga awak. Selesai masalah.” Izz Rayyan tersengih.

Damia menepuk dahinya. Ya Allah, kenapa dengan lelaki ini? Sengaja buat-buat tak faham ke memang jenis yang tak faham bahasa? Ataupun lelaki ini tak ada perasaan? Sebab sudah bermacam-macam gelaran yang diberikan oleh Damia kepada Izz Rayyan namun tetap tak makan saman.

“Hang ni tak faham bahasa atau sengaja buat-buat tak faham? Perempuan kalau dia bagi banyak alasan tu bermakna dia tak suka tahu tak. Sama juga seperti aku. Walaupun hang berjanji nak daki menara Petronas sekalipun, aku tak nak. Aku tak suka orang ganggu kehidupan aku. Jadi cubalah faham.”Damia melepaskan keluhan di bibirnya. Kesabarannya semakin terhakis dek kerana lelaki yang degil ini.

“Tapi sekurang-kurangnya berikan saya peluang untuk memikat hati awak tu. Bolehkan?” Izz Rayyan membuat muka sedih. Tapi tak sedih pun. Damia rasa lawak lagi adalah.

“Tak boleh.”jawab Damia pendek. Sudah bosan nak mengulas dengan lebih lanjut lagi.

“Alasan?”soal Izz Rayyan.

“Tak ada alasan. Tapi memang jawapannya tidak boleh.”

“Berikan saya 10 alasan yang munasabah untuk saya kenapa saya perlu berhenti dari terus memikat hati awak?” Izz Rayyan tidak mengalah. Sehingga ke titisan terakhir pun dia akan berterusan memenangi hati Damia.

Damia meletakkan jarinya di bibir. Hanis entah hilang kemana. Walaupun dia rimas dengan lelaki ini, tapi dia tidak sampai hati nak membiarkan Izz Rayyan begitu sahaja. Cara dan kelakuan Izz Rayyan seperti sangat bersungguh-sungguh mahukan dirinya tetapi Damia tidak mudah percaya. Dia tidak mudah untuk menerima cinta lelaki  yang tiba-tiba sahaja datang menganggu hidupnya.

“Yang pertama, aku tak kenal hang. Kedua, aku tak suka hang. Ketiga, aku tak suka hang juga. Keempat, kelima, keenam,ketujuh,kelapan, kesembilan dan alasan yang kesepuluh adalah aku tak suka hang. Jadi sekarang hang boleh chou dari hidup aku. Okey?” Damia berjalan laju keluar dari butik itu meninggalkan Izz Rayyan di belakang. Sungguh dia tak ada alasan pun yang hendak diberikan kepada Izz Rayyan. Jadi dia mahu cepat-cepat blah dari situ agar tidak terus diasak dan diganggu oleh Izz Rayyan.

“Zara sayang… Janganlah buat saya seperti ini. Saya betul-betul ikhlas nak berkahwin…oppps…berkawan dengan awak ni. Tolong terima saya sebagai sahabat awak.” Izz Rayyan melangkah lagi laju daripada Damia. Dia menghalang Damia dari terus berlari jauh daripadanya.

Damia mendengus kasar. Mukanya sudah masam mencuka. Tiada senyuman yang terukir tetapi hanya muka yang penuh dengan perasaan geram terhadap lelaki yang tak faham bahasa ini. Damia merenung wajah Izz Rayyan. Nampak kesungguhan yang ditunjukan.

“Okeylah aku terima.  Aku balik dulu.” Damia memberi kata persetujuan. Persetujuan yang hanya palsu kerana hanya ingin melepaskan diri daripada Izz Rayyan. Terpaksalah dia berbohong. Bohong sunat tak apa walaupun dia tahu tak pernah wujud pun bohong sunat tu. Kalau bohong memang tetap dosa. Tapi apakan daya. Ini saja yang mampu dia lakukan untuk menghindarkan diri daripada lelaki sewel lagi merimaskan ini.

Damia kemudian meninggalkan Izz Rayyan tercegat disitu. Kali ini Izz Rayyan sudah tidak mengikutinya lagi seperti tadi.
Terima kasih awak.”jerit Izz Rayyan dari jauh dengan perasaan yang sangat teruja. Akhirnya Damia terima salam persahabatan daripadanya. Izz Rayyan bersyukur.

“Sama-sama, bro. Nasib hanglah kena tipu dengan aku. Siapa suruh ganggu aku sangatkan. Maafkan aku tau.” Damia berkata sendiri sambil tersenyum sebelum meneruskan perjalanan mencari Hanis yang sudah hilang entah ke mana.