DIA LELAKI TAK DIJANGKA 1

Bab 1

IMAN tersenyum apabila melihat parcel yang sudah siap dibungkus. Selepas zohor nanti, dia akan ke pejabat pos untuk menghantar semua barang yang telah dipesan oleh pelanggan. Petang ini juga dia akan berjumpa dengan pelanggan yang memilih untuk mengambil sendiri.

Memang Iman memberi pilihan kepada para pelanggan untuk mengambil sendiri atau secara pos.

“Selesai dah bungkus? Ibu rasa nanti adik kena ambil kedai untuk letak stok-stok adik ni. Ibu tengok dah penuh sangat dah. Jangan sampai nanti orang tak nampak rumah ibu,” tegur Puan Hajar sambil membawa secawan air buat anak perempuan tunggalnya itu.

Tahu sangat perangai Iman. Kalau sudah buat kerja, kadang-kadang makan pun boleh lupa.

Iman tersenyum. Dia bangkit dan mengambil tempat di sebelah Puan Hajar. Air yang masih dipegang oleh ibunya itu terus diambil lalu dihirup rakus.

“Adik memang bercadang macam tu, ibu. Tapi, adik takut kalau adik tak mampu nak bayar sewa pula nanti. Nak kena set up lagi apa semua. Banyak nak pakai duit. Tunggulah adik dah maju sikit. Sementara ni, pinjamlah rumah ibu ni kejap. Jangan kedekut sangat ya, ibu.” Iman mengusik ibunya.

Dia tahu ibu tidak pernah berkira pun dengan mereka adik-beradik. Kalau berkira, awal-awal lagi ibunya tidak akan membenarkannya menyimpan produknya ini.

“Apa guna ada abang-abang? Inilah masanya nak minta tolong dia orang. Ibu yakin along dan angah adik tu mesti akan tolong punya kalau adik suarakan keinginan. Selama ini mereka pernah ke tolak keinginan adik? Lagi-lagi si angah tu.” Puan Hajar memberi cadangan.

Dia bersyukur kerana Allah mengurniakan anak-anak yang baik. Tidak ada yang menyusahkan hatinya.

Iman memandang ibunya. Kepalanya terus digeleng laju. Cadangan ibu itu sudah difikirkan sebelum ini. Kali ini, dia tidak mahu menyusahkan abang-abangnya lagi.

“Tak apalah, ibu. Adik nak guna hasil titik peluh adik sendiri. Tak naklah adik menyusahkan along dan angah. Lagipun, dia orang ada anak bini. Kesian pula kalua adik pergi menempel kat situ.” Iman menolak secara lembut.

Sudah banyak along dan angah berlabur untuknya. Sejak sekolah sampailah dia berjaya mendapat ijazah. Semuanya ditanggung penuh. Dia pun perlu merasa susah untuk membuat pinjaman.

“Ibu bagi cadangan macam tu sebab ibu tahu along dan angah mampu. Tak luak pun duit mereka tu, adik.”

It’s okay, ibu. Inilah masanya untuk adik buktikan yang adik tak perlu bergantung kepada orang lain. Jangan risau tau. Nanti bila adik ada rezeki lebih, adik takkan semakkan rumah ibu lagi.” Iman tersengih.

“Kalau adik kata macam tu, ibu tak ada masalah. Ibu nak tanya ni. Banyak hari ibu tengok adik tak keluar dengan Hakim. Kau orang tengah bergaduh ke?” soal Puan Hajar.

Kalau tidak, selang dua hari sekali mesti Hakim akan datang jemput Iman keluar. Itu yang membuatkan dia rasa pelik kerana sudah beberapa hari Iman tidak keluar. Asyik dengan kerjanya saja.

Iman menggeleng. “Taklah ibu. Kita orang okey, cuma dia sibuk sikit katanya. Dia kan pekerja baru. Masih dalam latihan. Mungkin orang lama buli dia habis-habisan kut.” Iman membuat andaian sendiri.

Dia cuba bersangka baik walaupun sudah hampir seminggu Hakim tidak menghubunginya. WhatsApp dibaca tanpa berbalas. Iman pun malaslah nak fikir sangat pasal Hakim itu. Kadang-kadang okey, kadang-kadang tak okey.

“Oh, ibu ingat adik dengan dia bergaduh. Kalau okey, tak apalah. Ibu pun tak risau sangat.”

“Ibu nak risaukan apa? Adik percaya pada jodoh. Kalau ada jodoh adik dengan dia, maka kahwinlah kami. Kalau bukan jodoh adik, adik okey aje. Banyak benda lagi nak fikirlah ibu daripada fikir pasal cinta. Dia pun tak adalah nampak bersungguh-sungguh sangat pun.” Iman menjongketkan bahunya.

Keluhan kecil dilepaskan. Kalau tak saying, memang dah lama Iman tinggalkan lelaki yang dikenalinya empat tahun yang lalu.

Mereka kenal sejak di universiti lagi. Hakim nampak tidak serius dalam hubungan mereka walaupun dulu dia yang beria-ia memikat Iman. Setiap kali bercakap pasal kahwin, pasti Hakim mengelak. Kalau lelaki lain, memang dia dah tolak awal-awal lagi.

“Kenapa pula adik cakap macam tu?” tanya Puan Hajar.

Jarang sekali Iman berkongsi masalah cinta dengannya. Kalau masalah lain, selalulah. Tak tahu pula dia yang Iman ada masalah.

“Entahlah, ibu. Kan along suruh tanya dia pasal hubungan kami. Bila bercakap pasal tu, dia bagi banyak alasan. Cakap nak kerja dulu, kumpul duitlah untuk hantaran. Nak beli rumah dululah. Tak tahulah. Banyak sangat alasan dia.”

Sakit hatinya bila terkenangkan sikap Hakim. Kadang-kadang dia tertanya-tanya kenapalah dia harus sayang dengan orang yang macam tu. Alangkah bagusnya kalau dari awal lagi dia tidak perlu sayang Hakim. Tak adalah dia nak rasa seperti ini.

“Tak cakap kat dia, along tak kisah bab hantaran?”

“Sudah, ibu. Tapi, dia pusing kut lain pula. Dia kata kita ingat dia sengkek sangat sampai duit hantaran pun tak boleh bagi. Stres tau ibu. Lebih baik adik menghadap produk-produk adik ni daripada fikir pasal Hakim. Kalaulah boleh, adik rasa nak tunjal saja kepala dia tu. Nasib baik sayang.”

Iman mengetap bibir geram. Tidak berlapik lagi bicaranya depan ibunya. Biarlah ibu tahu apa yang sebenarnya terjadi antara mereka walaupun apa yang pasti, semua yang diceritakan ini akan sampai ke pengetahuan along. Pasrah sajalah.

“Hmm, macam tu pula. Ibu berkenan kat Hakim tu. Ada budi Bahasa, cuma bila adik cakap macam ni, ibu pun naik geram dah ni. Tak apalah. Nanti dia dating, ibu cuba cakap dengan dia. Petang ni adik keluar pergi pos barang nak ibu ikut ke?”

“Tak apalah, ibu. Ibu kan nak layan sinetron ibu tu. Adik pergi seorang saja. Lagipun, tempat nak jumpa ni tak jauh pun. Kat PKNS aje.”

“Okey. Nasib baik faham. Ibu nak solat dulu. Adik tu pun pergi makan dulu. Lepas tu solat. Baru keluar,” pesan Puan Hajar.

Walaupun itulah yang dipesannya setiap hari, tapi bukan boleh diharap sangat Iman ini. Penyakit lupanya sangat kronik. Lupa makan. Lupa solat. Lupa itu ini. Sebab itulah kena pesan selalu.

“Baik, bos!” Iman terus bangkit daripada duduknya dan naik ke biliknya.

Dia tidak boleh ralit. Pos Laju ini bukan boleh dijangka. Kadang-kadang perlu beratur sampai ke luar.


IMAN melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah hampir 15 minit dia menunggu, tapi pelanggan yang ditunggu-tunggu tidak juga kunjung tiba. Dia membuka aplikasi WhatsApp untuk menyoal tentang keberadaan pelanggan yang dinantikannya itu.

Belum sempat dia berbuat apa-apa, telefon bimbitnya berdering terlebih dahulu. Panggilan daripada pelanggan yang ditunggu-tunggu. Segera Iman menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum, Kak Iman. Ni Qaseh ni.”

“Ya, Qaseh. Kak Iman baru nak mesej tanya Qaseh kat mana. Qaseh jadi ambil ke tak barang ni?” soal Iman dengan senyuman di bibir.

Itulah yang dia belajar. Mood kena positif selalu. Kena selalu senyum. Walaupun orang tak nampak, tapi itu sangat mempengaruhi ketika membuat jualan.

“Jadi, Kak Iman. Tapi, bukan Qaseh yang ambil. Abang Qaseh. Qaseh ingat tadi kelas habis awal. Tiba-tiba lecturer nak ganti kelas terus. Qaseh minta maaf. Abang Qaseh dah dalam perjalanan dah.”

“Kalau Qaseh nak Kak Iman hantar esok pun tak apa. Kak Iman okey aje.”

Alahai, rasa segan pula nak berjumpa. Kalau Qaseh, bolehlah dia kenal melalui gambar profil WhatsApp. Kalau orang lain, macam mana dia nak kenal? Masalah juga tu.

“Tak apa. Abang Qaseh mesti dah nak sampai tu. Nanti marah pula dia kalau dia dah pergi, tiba-tiba Qaseh batalkan. Abang Qaseh tu naik motosikal. Qaseh dah beritahu dia yang Kak Iman tunggu depan PKNS tu. Nanti dia bayar duit sekali.”

“Okey, Qaseh. Kak Iman tunggu. Nanti kalau barang tu dah ada kat abang Qaseh, Kak Iman beritahu ya.”

“Terima kasih, Kak Iman. Okeylah. Qaseh dah kena masuk kelas. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Panggilan terus dimatikan.

Iman menunggu lagi. Setiap kali kenderaan lalu-lalang pasti akan diperhati, namun motosikal seperti yang diberitahu oleh Qaseh tadi langsung tidak kelihatan. Iman menghela nafas.

Perut sudah bernyanyi riang. Itulah, ibu suruh makan dulu tadi degil. Sekarang ini pedih sangat kerana pagi tadi dia hanya bersarapan sekeping roti kerana sibuk menguruskan barang jualan. Ketika dia mahu melangkah ke dalam bangunan untuk membeli roti buat dialas perut, kedengaran bunyi enjin motosikal besar. Iman menghentikan langkahnya dan menanti. Mana tahu betul kali ini.

Motosikal tersebut berhenti di hadapan bangunan ini. Iman serba salah. Nak tegur takut silap orang. Tapi, kalau tak tegur, mana tahu ini memang abang kepada Qaseh.

Iman memilih untuk menunggu dahulu. Diperhatikan tingkah laku lelaki itu yang mengeluarkan telefon bimbitnya. Helmet yang menutupi seluruh wajahnya dibiarkan tidak ditanggalkan.

Ting! Mesej WhatsApp masuk. Pantas Iman membuka pesanan tersebut yang datangnya daripada Qaseh. Memang betullah lelaki ini abang kepada Qaseh. Dengan penuh berhati-hati, Iman membuka langkah ke arahnya.

“Assalamualaikum. Abang Qaseh ya?” soal Iman dengan senyuman. Walaupun dia rasa tak begitu selesa sekarang ini.

Lelaki itu memandang Iman sebelum mengangguk.

“Ini barangnya.” Iman menyerahkan beg plastik kepada lelaki yang hanya nampak kedua-dua belah mata sahaja.

Lelaki itu menerima bungkusan tersebut. Sempat lagi dia melihat barang yang ada di dalam beg plastik tersebut.

“Berapa ringgit?” tanya lelaki itu.

“50 ringgit sahaja.” Iman tersenyum lagi.

Tak kisahlah orang nak kata dia gila ke apa, janji dia kena senyum. Salah satu teknik nak tarik pelanggan.

“Mahalnya. Barang kecil saja pun. Apa bendalah budak ni beli. Tak faham betul aku,” leter lelaki itu kurang berpuas hati.

Mungkin juga disebabkan Qaseh memaksanya datang untuk mengambil barang tersebut. Itu yang nampak macam berangin semacam. Iman membuat andaian sendiri.

“Barang ini memang mahal. Sebab krim ni original,” jelas Iman tanpa dipinta.

Lelaki itu tidak peduli. Dia mengeluarkan dompetnya dan mengambil sekeping not RM50. Terus diberikan kepada Iman.

“Iman!”

Sebaik sahaja Iman mahu menerima wang tersebut, ada satu suara lain memanggil namanya. Segera pandangan mereka terarah ke arah datangnya suara tersebut. Iman menggigit bibirnya. Kenapa lelaki ini tiba-tiba pula muncul? Iman tidak pasti.

“Dah lama dah buat kerja macam ni?” Hakim mendekati mereka dan terus menyoal.

Dahi Iman berkerut.

“Apa dia you ni?” Soalan dibalas soalan oleh Iman.

Dia memang tak faham apa maksud Hakim sebenarnya. Tiba-tiba muncul dengan muka tidak puas hati.

“Mentang-mentanglah I tak berhubung dengan you banyak hari, you dah mula cari jantan lain?” marah Hakim. Dia memandang lelaki itu dan Iman silih berganti.

Iman terkejut. Dia menggeleng laju, menafikan dakwaan Hakim itu.

“Malas nak gaduh dengan you, Hakim. Hmm, encik. Maafkan saya. Saya jual ya. Saya minta maaf sebab dia tuduh awak macam tu.” Iman tidak mengendahkan Hakim.

Dia menumpukan kepada lelaki motosikal itu. Hakim memang suka menuduh tanpa usul periksa. Akibat tuduhan itu, lelaki ini sudah terlibat sama. Sekarang ini manalah dia nak letak muka.

“Okey.” Lelaki itu terus menghidupkan motosikalnya.

Ketika dia mahu bergerak, dia memandang Iman sebelum pandangan beralih kepada Hakim.

“Tak gentleman, bro nak cari gaduh kat tempat awam macam ni. Dan lagi satu, sebagai lelaki, tolong jadi lelaki yang tahu hormat perempuan. Aku nak beritahu kau yang aku datang ambil barang. Kau takkan tak faham kerja girlfriend ke tunang kau ni sampai nak tuduh dia macam tu? Aku cau dulu, bro. Selamat memujuk.”

Lelaki itu terus memecut laju meninggalkan Iman dan Hakim di situ. Hakim mendekati Iman dengan perasaan bersalah kerana tuduhan melulunya tadi.

I’m sorry,” ujar Hakim, mengakui kesalahannya.

Iman memandang Hakim. Dia mendengus kasar. Dia memang malu dengan sikap Hakim tadi. Tak tahu mana dia nak letak muka. Kalaulah balik nanti lelaki itu bercerita kepada Qaseh, besar kemungkinan Qaseh tidak mahu berurusan dengannya lagi. Siapa nak kalau abang sendiri dituduh macam tu.

“Malas nak kata apa, Hakim. Hilang lepas tu muncul tiba-tiba, tuduh I ada jantan lainlah apa. Apa masalah you sebenarnya?”

“I stres dengan masalah kerja, masalah itu ini. Please, tolong faham I.”

“Tuduhan you tadi sangat tak berasas langsung. Punya I setia, you boleh tuduh I curang. I saja nak kena faham you. I memang tak ada perasaan pun untuk you faham I. Dahlah, I balik dulu.”

Iman mengangkat kaki meninggalkan Hakim. Panggilan Hakim tidak diendahkan. Dia tidak boleh berfikir dengan apa yang Hakim buat tadi. Sangat-sangat buat dia rasa marah dan sakit hati.


CURI HATI AWAK, BOLEH? ( RELEASED)

Alhamdulillah.
Syukur pada Allah kerana mengizinkan untuk diterbitkan lagi karya Min.
Bagi yang mengikuti blog Min, jangan lupa dapatkan tau.
Thanks semua sebab sudi support Min..

Min belanja cover dan sinopsis yaa..




Sejak peristiwa itu, dia tidak lagi bertemu dengan perempuan itu. Dia kesal dan ingin memohon maaf atas apa yang terjadi tetapi hampa. Perempuan itu tidak lagi ditemui. Sampailah satu masa secara tidak sengaja mereka bertemu lagi dan pada hari yang sama terjadinya satu tragedi yang tak diingini.
Hati Iyad Mujahid mula terpaut pada keperibadian Azra Zinnirah. Melalui sahabat baik Azra Zinnirah, Iyad Mujahid diam-diam mengambil tahu tentang latar belakang Azra Zinnirah. Dia lega apabila Azra Zinnirah masih tidak berpunya dan Akil bukanlah anak kandungnya. Dia cuba melamar Azra Zinnirah untuk menjadi isterinya tetapi tidak mudah perempuan itu menerimanya.

“Awak tak perlu kejar saya, Iyad. Banyak lagi perempuan lain yang lebih cantik dan sempurna di luar sana.”
“Memang banyak Azra. Gila kau tak nak lelaki handsome macam saya ni. Tapi hati saya bukan untuk mereka kat luar sana. Hati saya ni untuk awak, Azra Zinnirah.”

Pujuk punya pujuk tetap tiada jawapannya. Tapi kerana satu peristiwa, Azra Zinnirah mula sedar dia dah mula sayangkan lelaki itu. Mereka disatukan dalam sebuah majlis perkahwinan yang sangat meriah.

“And one more thing. Just want to let you know that I’m so crazy in love with you, baby. I love you so much.”


Pada awalnya semuanya bahagia. Mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Azra Zinnirah dulunya kehilangan keluarga rasa ada keluarga semula. Tetapi panas yang disangka ke petang rupanya hujan di tengah hari. Penerimaan Izzati pada Azra dan kehadiran Nadeem Ukail cuba merosakkan hubungan mereka. Dalam ketika itu, kemunculan Husna pula mengundang salah faham pada Azra. Adakah mereka cuba mempertahankan rumahtangga mereka? Atau lebih memilih untuk relakan sahaja? 

CURI HATI AWAK, BOLEH? 13

Bab 13
PAGI-PAGI tadi lagi Azra sudah dapat panggilan telefon daripada Syifa yang mengingatkannya tentang program di Pantai Morib pada hari ini. Azra sendiri pelik Syifa yang terlalu beria-ia. Tapi, bila difikirkan sebelum dia memulakan kerja dia mahu menggembirakan hati Akil dahulu. Risau kalau nanti sudah terikat dengan kerja tidak berkesempatan macam ini lagi. 

Hampir sejam lebih perjalanan, mereka sampai ke destinasi. Bukan sahaja Akil, tapi Azra sendiri teruja melihat motosikal lama yang sudah tersusun kemas untuk dijadikan sebagai pameran.

“Akil, tengok tu. Cantiknya motor tu.” Azra memegang tangan Akil sambil menunjuk motosikal itu. 

“Hoi!” Tiba-tiba bahu Azra ditepuk seseorang. 

Azra menoleh dan tersenyum. 

“Banyaknya motor, Syifa. Nasib baik aku terima cadangan kau tu. Aku tengok Akil pun macam seronok sangat dah,” ujar Azra. 

“Kan? Tak rugi pun. Aku ni memang kawan yang baik. Jom makan dulu. Nanti semangat sikit nak jalan-jalan.” Syifa mengajak Azra. Pipi Akil dicuit sedikit.

Azra mengangguk. Perutnya pun dah rasa lapar. Akil sudah pun dia sediakan makanan pagi tadi.
Melangkah saja masuk ke kedai makan Azra terpandangkan Iyad yang sedang duduk di satu meja panjang di dalam restoran. Terus fikirannya teringatkan peristiwa semalam. Rasa segan dia itu masih belum hilang lagi. 

“Azra, sinilah. Join sekali dengan geng-geng ni. Tadi aku datang dengan dia oranglah.” Syifa menggamit tangannya kepada Azra. 

Kepala Azra menggeleng. Dia menarik tangan Syifa jauh sikit dari meja tadi. 

“Tak payahlah. Aku nak duduk meja lain. Seganlah. Ramai sangat lelaki tu.” Azra menolak. 

Memanglah ada perempuan yang merupakan isteri kepada lelaki-lelaki itu, tetapi Azra segan. Dia orang luar. 

“Semua dengan isteri dia orang, Azra. Iyad aje yang masih single.” Syifa memujuk. 

“Syifa, apa yang dibincangkan tu? Duduklah sini, meh. Sekali semua.” Kedengaran suara Iyad menegur. Dari tadi dia memerhati mereka berdua. Yang menggelikan hatinya wajah cuak Azra itu. 

“Iyad dah panggil tu. Tak payah risau. Dia orang tak nakal sebab bini ada kat sebelah,” ujar Syifa. 

Azra terpaksa untuk menerimanya. Kalau Iyad dah panggil dan mereka yang lain memerhati ke arahnya. Memang tidaklah dia nak menolak. 

“Kau duduk sebelah Iyad tu. Dua lagi kosong tu. Cukuplah kau dengan Akil.” 

“Syifa!” Azra tidak puas hati. Nampaknya macam sengaja saja Syifa ni. 

“Jemputlah. Jangan malu-malu. Kami ni baik-baik belaka. Lagi-lagi Iyad. Baik orangnya, berbudi bahasa. Jangan risau.” Adzha mengusik sambil matanya melirik kepada Iyad yang sudah tergelak kecil. 

Dengan perasaan yang tidak selesa, Azra terpaksa menerima cadangan itu. Dia menarik tangan Akil dan mengambil tempat di sebelah Iyad. Tapi, jarak di antara mereka agak jauh kerana Iyad sendiri tidak mahu Azra berasa tidak selesa. 

“Hai, Akil!” tegur Iyad mesra. Dia mencuit pipi anak kecil itu dan cuba curi-curi memerhati Azra yang tertunduk segan. 

“Awak nak makan apa, Azra?” soal Iyad membuatkan Azra menoleh memandang Iyad di sebelah. 

“Tak apa. Saya dah kenyang.” Azra memberi alasan. Padahal perut dia dah lapar sangat dah. 

“Jangan tipulah. Syifa bagi tau tadi yang awak belum makan. Saya pun dengar perut awak tengah bernyanyi tu. Kalau awak malu nak pesan bagi tau saya. Saya boleh tolong pesankan.” Iyad menawarkan diri. 

Azra menggigit bibirnya. Dia memandang Syifa yang sedang rancak berbual di hujung meja dengan yang lain. Geram pula hati dia. Semua benda nak kena beritahu kepada lelaki ni. Memang tak puas hati betul sekarang ni. “Tak apa. Saya dah kenyang.” 

“Ke awak segan dengan saya? Jangan risau ya. Saya tak akan tanya jawapan selagi awak tak bersedia. Saya tak akan pernah paksa awak. Jadi, saya nak awak lupakan dulu apa yang saya cakapkan sebelum ini. Saya nak awak dan Akil bergembira hari ini.” Iyad tersengih. 

Dia menghormati Azra walaupun dia sangat tidak sabar untuk mendengar jawapan daripada perempuan itu. 

“Tak bukan sebab itu, tapi...” Belum sempat Azra menghabiskan katanya Akil menarik tangan Azra meminta perhatian daripadanya. 

Segera Azra memandang Akil. Begitu juga dengan Iyad. 

“Ya, sayang.” Azra melihat ke arah jari Akil tunjukkan. Lalu dia tersenyum. 

“Sabar ya. Nanti kita pergi.” Azra memujuk Akil. 

Terdapat belon yang dijual oleh seorang lelaki muda itu menarik minat Akil. Biasalah, nama pun budak-budak. Mesti teruja bila melihat semua itu. 

“Nak belon ya? Nanti Abang Iyad belikan.” Iyad turut sama memujuk Akil. Dia mengusap lembut kepala Akil itu.

Tapi, Akil tidak peduli. Dia berkeras untuk pergi. Azra mula diundang rasa kerisauan. Takut kalau Akil mengamuk kat sini pula nanti bakal mengganggu orang lain. 

“Okey, Akil. Jom.” Azra terpaksa mengikut. Lebih baik ikut daripada terjadi perkara lain. 

“Meh, sini. Abang Iyad dukung Akil.” Terus tubuh kecil itu diangkat dan didukung seperti anaknya. 

Azra yang terkejut hanya diam membisu. Selama ini tiada siapa sudi untuk berkelakuan begitu dengan Akil. Hatinya sebak. 

“Aku pergi dulu. Nanti kalau apa-apa telefon aku.” Sebelum pergi sempat lagi Iyad memberitahu kepada ahli kumpulannya.

Syifa yang melihat hanya tersenyum gembira. Mereka bagaikan satu keluarga yang lengkap. Tujuan dia mengajak Azra ke sini juga adalah untuk mengeratkan hubungan antara Azra dan Iyad.

IYAD memerhati dari jauh perempuan bersama dengan anak kecil di hujung sana. Bibirnya mengoyak senyum. Seronok bila melihat kegembiraan yang terpancar daripada kedua-dua insan itu.
Bahu Iyad tiba-tiba ditepuk dari belakang. Iyad yang hampir terleka memerhati terus tersedar. Dia menoleh dan melihat Wan bersama dengan Syifa di belakang. 

“Tengok apa, bro?” soal Wan sambil tersengih. Padahal dia tahu siapa yang diperhatikan oleh Iyad itu. 

“Tengok bakal isteri dan bakal anaklah tu.” Syifa mengusik. Dia mengambil tempat di sebelah Wan.
Iyad tersenyum malu. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. 

“Dah dapat jawapan?” soal Syifa lagi. 

Iyad menggeleng. Dia sememangnya menantikan jawapan daripada Azra, tapi dia tidak mahu memaksa. “Tak. Aku masih menunggu.” 

“Mungkin dia keliru kut. Dia ada cerita kat aku pasal Tuan Nadeem.” 

Iyad yang sedikit terkejut mendengar nama itu terus menoleh memandang Syifa di sebelah. 

“Kenapa?” 

“Tuan Nadeem datang rumah dia dua hari lepas. Tengah malam sebab nak tengok dia. Aku tekan tanya apa yang Tuan Nadeem nak dan dia bagi tau Tuan Nadeem luah perasaan kat dia.” Syifa berterus terang. 


Iyad mula berasa tidak sedap hati. Terus mati senyuman dia tadi. 

“Relaks, Iyad. Kau jangan gelabah dulu.” Wan menenangkan sahabatnya itu. 

“Jadi, dia pilih siapa?” tanya Iyad. 

Syifa menjongketkan kedua-dua belah bahunya. Air kotak perisa Laici disedut menggunakan straw. “Tak ada pula dia cakap nak pilih sesiapa.” 

“Aku rasa kalau betul kau nak dia, kau kena cepat. Masuk meminang dia. Ini yang terbaik,” cadang Wan. 

Iyad mengangguk. Ikutkan hati memang macam tu, tapi apa pula kata Azra nanti. Mereka pun baru sahaja kenal. 

“Aku nak jumpa siapa? Bukan ke dia memang tiada saudara-mara?” Iyad menyoal. 

Daripada cerita Syifa, Azra sekarang sebatang kara. Akillah satu-satunya waris Azra. 

“Kau bawa mama kau jumpa dia teruslah. Senang cerita,” tambah Wan lagi. 

Iyad menggigit bibirnya. Dia sendiri tidak pasti penerimaan mama. Mungkin mama akan terima Azra, tapi Akil? Tidak mungkin dia akan memisahkan mereka berdua. Iyad ikhlas untuk terima Akil sebagai anaknya. 

“Dia wanita kuat, Iyad. Tak mudah kau nak tebus hati dia. Tapi, sekali kau dah berjaya menakluk hati dia kaulah akan jadi manusia paling bahagia, Iyad. Percayalah cakap aku.” Syifa tersenyum. 

Dia memandang Azra yang sedang melayan kerenah Akil. Tidak pernah kenal erti penat. Begitu juga dengan Iyad dan Wan. Turut sama melemparkan pandangan kepada Azra. 

Iyad tahu dia perlu melakukan sesuatu. Cuba untuk memberitahu kepada mama. Itu yang paling penting.

“AKIL, jangan buat ibu macam ni. Tak boleh pegang. Nanti orang marah.” Azra cuba untuk menenangkan Akil yang meronta mahu memegang motosikal yang terpamer di situ. Sudah diberitahu tidak boleh disentuh. 

Akil mula membuat perangai. Dia mula mencederakan dirinya. Lengan digigit dan memukul muka sendiri. Azra cuba menenangkan, tetapi Akil tetap sama. 

“Kenapa ni?” soal Iyad yang terus meluru ke arah mereka sebaik sahaja nampak ada yang tidak kena.
“Dia nak pegang motor tu. Tapi, saya tak bagi,” jelas Azra. Dia resah ketika ini. Takut kalau mengganggu orang lain. 

Iyad mendekati Akil dan anak kecil itu cuba ditenangkannya. 

“Jom Abang Iyad bawa Akil pegang motosikal tu. Teringin nak pegang ya?” pujuk Iyad lembut.
Azra mengetap bibir. Akil nampak terpujuk bila Iyad berkata begitu. Azra pula rasa bersalah kerana menyusahkan Iyad. 

“Awak!” panggil Azra. 

Iyad menoleh dan memandang Azra. Keningnya diangkat menanti bicara daripada Azra. 

“Tak apa ke awak nak bawak Akil tu?” soal Azra. 

Sudah terang lagi bersuluh di situ tertulis motosikal ini hanya untuk pameran. Bukan macam motosikal-motosikal yang lain. 

Iyad tarik senyum. 

“Jangan risau. Akil nak pegang. Saya boleh bawakan. Bukannya orang lain. Anak saya juga.” Iyad menjawab lembut. 

“Nanti orang marah.” Azra masih takut lagi. 

“Berani marah saya. Sekali saya pandang mesti mereka cabut lari. Jangan risaulah. Saya ni tiada siapa berani marahlah. Sebut saja Iyad Mujahid semua orang takut. Awak tak tahu ke saya ni ayahanda kat sini?” Iyad berseloroh. 

Azra terhibur dengan gurauan Iyad itu. Buat lawak pula. 

“Kalau awak nak pegang pun boleh. Nak ke? Saya boleh bawakan,” tawar Iyad, tapi pantas Azra menggeleng. Segan pula rasa. 

Iyad tersenyum. Dia terus membawa Akil masuk ke kawasan yang diletakkan tali sebagai penanda tidak boleh masuk. Azra hanya menunggu di luar. 

“Azra, masuklah,” ajak Iyad sambil menggamit Azra. 

Tapi, Azra menggeleng. 

“Datanglah sini kejap. Saya tahu awak minat. Jadi, sekarang ni saya nak bagi awak rasa apa yang orang lain tak rasa.” 

Azra serba salah. Tapi, melihat wajah Iyad seperti mengharap Azra terpaksa terima. Dia turut sama masuk ke dalam kawasan itu. Tersenyum lebarlah Iyad ketika itu. 

“Din! Nah. Ambilkan gambar aku kat sini kejap.” Iyad menyerahkan telefon bimbitnya kepada lelaki yang dipanggil Din itu. 

Azra terkejut sebelum pandangannya jatuh kepada Iyad di sebelah. 

“Senyum ya. Buat kenangan,” kata Iyad. 

Dalam keterpaksaan, Azra menurut sahaja. Patutlah beria-ia suruh dia masuk ke dalam kawasan ini juga. Ada tujuan lain. Pandai Iyad ambil kesempatan. 

“Saya keluar dulu. Akil dah okey tu. Jomlah keluar. Nanti tuan motor ni marah pula.” Azra cuba mendukung Akil, tetapi Iyad menghalang. 

“Jangan risaulah. Takut sangat. Awak tak perasan ke ni motor bakal suami awak?” 

Tercengang Azra mendengar kata Iyad itu. Dia memandang motosikal itu sekilas dan bibirnya digigit. 

“Kenapa? Saya masuk pertandingan. Sebab itulah kena letak kat sini. Tiada apa yang istimewa pun. Kalau awak nak naik nanti boleh saya bawakan. Tapi, lepas kahwinlah. Akil kita letak kat depan.” Iyad tersengih. Sempat lagi dia mengusik Azra. 

Serta-merta muka Azra bertukar merah. Dia cuba melarikan pandangan dan terus melangkah keluar dari kawasan yang menjadi larangan itu. 

Iyad ketawa melihat Azra malu-malu.


SETELAH hampir seharian, Azra sampai juga di rumah. Tapi, berteman. Iyad ikut dari belakang sampailah dia balik ke rumah. Azra tidak mengizinkan, tetapi Iyad tetap berdegil. 

“Terima kasih sebab teman saya sampai rumah. Menyusahkan saja,” ujar Azra. Segan sebenarnya, tapi kalau Iyad sendiri berkeras dia tak boleh nak buat apa. 

Iyad turun dari motosikalnya dan membuka helmet lalu diletakkan di atas tempat duduk motosikal. 

“Tak ada apalah sangat. Ini dah menjadi kewajipan saya untuk menjaga awak dan Akil.”

Azra tersenyum. 

“Awak...” seru Iyad. 

Dada Azra mula rasa berombak. Seruan itu seolah-olah ingin mengatakan sesuatu yang serius. Dia nak jawapan ke? Sungguh Azra belum membuat keputusan. 

“Saya rasa tak sesuai untuk saya bercakap hal ini sekarang. Awak mungkin dah letih. Tapi, saya harus juga cakap. Saya takut saya terlepas.” Iyad menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan. 

Azra pula makin tidak keruan. Dia tahu Iyad macam bersungguh-sungguh dalam memenangi hatinya. Dia juga terharu dengan sikap Iyad yang langsung tidak kekok dengan Akil walaupun Akil tidak sempurna itu. Tapi, sampai sekarang dia masih mencari jawapannya. 

“Saya serius untuk ambil awak jadi isteri saya dan Akil sebagai anak saya. Kalau boleh esok juga saya bawa rombongan meminang, tapi saya nak jawapan awak dulu. Saya janji saya akan cuba jaga awak sebaiknya. Saya tidak akan pernah sia-siakan awak dan Akil, Azra,” luah Iyad. 

Azra tertunduk memandang lantai. Dia dah agak. Hatinya sendiri masih keliru. Tidak pernah terfikir untuk ke arah itu. Selama ini dia fikir untuk jaga Akil sampai akhir hayatnya sahaja. 

“Saya tahu saya tak patut memaksa awak. Kita pun baru kenal. Tapi, saya takut awak pergi pada orang lain,” tambah Iyad lagi. 

Tidak lama selepas itu, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah Azra. Azra tahu pemilik kereta itu. Kenapa pula dia datang sini?

Iyad memandang kereta itu dan melihat lelaki itu keluar dari perut kereta. Dia mula rasa cemburu dan risau. 

“I tak tahu ada tetamu. I datang sini sebab nak tengok you, Azra.” Tuan Nadeem bersalaman dengan Iyad, tapi matanya ke arah Azra. 

Iyad berasa tidak betah berada di sini. Tapi, dia kecewa kerana masih belum dapat jawapan yang pasti. 

“Tak apalah, Azra. Saya balik dulu. Jumpa lagi ya.” Iyad terus mendekati motosikalnya dan memakai helmet. Sebelum menghidupkan motosikalnya, Iyad sempat berpesan. 

“Esok saya datang lagi. Kita pergi tengok barang kahwin.” Iyad mengenyitkan matanya kepada Azra yang terkejut mendengar Iyad berkata begitu. 

Iyad pula sengaja berkata demikian kerana mahu menyakitkan hati Nadeem. Terus dia menghidupkan motosikalnya dan meninggalkan mereka berdua.

“Siapa lelaki tu dengan you?” Nadeem bertanya sebaik sahaja Iyad pergi. 

“Tiada siapa-siapa. Apa tujuan Tuan Nadeem datang ni?” soal Azra. Dia tidak suka dengan kehadiran Nadeem selalu. 

“Tak akan tak ada apa-apa sampai nak pergi beli barang kahwin. Please, jangan buat I macam ni, Azra.” Nadeem separuh merayu.

Azra menggeleng. “Taklah. Iyad tu memang suka main-main. Tak perlulah nak ambil serius sangat. Baliklah Tuan Nadeem.” 

“I boleh buat you lagi bahagia, Azra. I boleh bagi segalanya buat you. Lebih daripada orang lain kalau you boleh terima I.” Tanpa disangka, Nadeem berkata begitu. 

Azra terkesima. Dia memandang Nadeem dan segera dia melarikan pandangan matanya. 

“Tuan Nadeem, saya masuk dulu. Saya letih sangat.” Azra terus melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Dia mengunci pintu pagarnya sebelum membuka langkah. 

“Tak salah kan kalau I dan dia bersaing?” Ketika Azra mahu melangkah masuk ke dalam rumah Nadeem bersuara membuatkan Azra menghentikan langkahnya. 

Dia memandang Nadeem yang masih setia menunggu di luar pintu pagar. “Tak perlu bersaing, Tuan Nadeem. Tuan Nadeem boleh dapat orang lain yang lebih baik daripada saya. Saya tidak sesuai dengan Tuan Nadeem.” 

Terus dia melangkah masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu. Fikirannya mula bercelaru. Dia sendiri tidak faham apa yang sedang berlaku. Iyad? Nadeem? Sungguh dia tak faham apalah yang mereka terkejarkan sangat.