Bab 1
IMAN tersenyum apabila melihat parcel yang
sudah siap dibungkus. Selepas zohor nanti, dia akan ke pejabat pos untuk
menghantar semua barang yang telah dipesan oleh pelanggan. Petang ini juga dia
akan berjumpa dengan pelanggan yang memilih untuk mengambil sendiri.
Memang Iman memberi pilihan kepada para pelanggan untuk mengambil
sendiri atau secara pos.
“Selesai dah bungkus? Ibu rasa nanti adik kena ambil kedai untuk
letak stok-stok adik ni. Ibu tengok dah penuh sangat dah. Jangan sampai nanti
orang tak nampak rumah ibu,” tegur Puan Hajar sambil membawa secawan air buat
anak perempuan tunggalnya itu.
Tahu sangat perangai Iman. Kalau sudah buat kerja, kadang-kadang
makan pun boleh lupa.
Iman tersenyum. Dia bangkit dan mengambil tempat di sebelah Puan
Hajar. Air yang masih dipegang oleh ibunya itu terus diambil lalu dihirup
rakus.
“Adik memang bercadang macam tu, ibu. Tapi, adik takut kalau adik tak
mampu nak bayar sewa pula nanti. Nak kena set up lagi apa semua. Banyak
nak pakai duit. Tunggulah adik dah maju sikit.
Sementara ni, pinjamlah rumah ibu ni kejap. Jangan kedekut sangat ya, ibu.”
Iman mengusik ibunya.
Dia tahu ibu tidak pernah berkira
pun dengan mereka adik-beradik. Kalau berkira, awal-awal lagi ibunya tidak akan membenarkannya
menyimpan produknya ini.
“Apa guna ada abang-abang? Inilah masanya nak minta tolong dia
orang. Ibu yakin along dan angah adik tu mesti akan tolong punya kalau adik
suarakan keinginan. Selama ini mereka pernah ke tolak keinginan adik? Lagi-lagi
si angah tu.” Puan Hajar memberi cadangan.
Dia bersyukur kerana Allah mengurniakan anak-anak yang baik. Tidak ada yang
menyusahkan hatinya.
Iman memandang ibunya. Kepalanya terus digeleng laju. Cadangan ibu itu
sudah difikirkan sebelum ini. Kali ini, dia tidak mahu menyusahkan
abang-abangnya lagi.
“Tak apalah, ibu. Adik nak guna hasil titik peluh adik sendiri. Tak
naklah adik menyusahkan along dan angah. Lagipun, dia orang ada anak bini.
Kesian pula kalua adik pergi menempel kat situ.”
Iman menolak secara lembut.
Sudah banyak along dan angah berlabur untuknya. Sejak sekolah
sampailah dia berjaya mendapat ijazah. Semuanya ditanggung penuh. Dia pun perlu
merasa susah untuk membuat pinjaman.
“Ibu bagi cadangan macam tu sebab ibu tahu along dan angah mampu.
Tak luak pun duit mereka tu, adik.”
“It’s okay,
ibu. Inilah masanya untuk adik buktikan yang adik tak perlu bergantung kepada orang lain.
Jangan risau tau. Nanti bila adik ada rezeki
lebih, adik takkan semakkan rumah ibu lagi.”
Iman tersengih.
“Kalau adik kata macam tu, ibu tak ada masalah. Ibu nak tanya ni.
Banyak hari ibu tengok adik tak keluar dengan Hakim. Kau orang tengah bergaduh
ke?” soal Puan Hajar.
Kalau tidak, selang dua hari sekali mesti Hakim akan datang jemput
Iman keluar. Itu yang membuatkan dia rasa pelik kerana sudah beberapa hari Iman
tidak keluar. Asyik dengan kerjanya saja.
Iman menggeleng. “Taklah ibu. Kita orang okey, cuma dia sibuk sikit katanya. Dia kan
pekerja baru. Masih dalam latihan. Mungkin orang lama buli dia habis-habisan
kut.” Iman membuat andaian sendiri.
Dia cuba bersangka baik walaupun sudah hampir seminggu Hakim tidak
menghubunginya. WhatsApp dibaca tanpa berbalas. Iman pun malaslah nak fikir sangat pasal
Hakim itu. Kadang-kadang okey, kadang-kadang tak okey.
“Oh, ibu ingat adik dengan dia bergaduh. Kalau okey, tak apalah.
Ibu pun tak risau sangat.”
“Ibu nak risaukan apa? Adik percaya
pada jodoh. Kalau ada jodoh adik dengan dia, maka kahwinlah kami. Kalau bukan
jodoh adik, adik okey aje. Banyak benda lagi nak
fikirlah ibu daripada fikir pasal cinta. Dia pun tak adalah nampak
bersungguh-sungguh sangat pun.” Iman menjongketkan bahunya.
Keluhan kecil dilepaskan. Kalau tak saying, memang dah lama Iman
tinggalkan lelaki yang dikenalinya empat tahun
yang lalu.
Mereka kenal sejak di universiti lagi. Hakim nampak tidak serius dalam hubungan mereka walaupun dulu dia
yang beria-ia memikat Iman. Setiap kali bercakap
pasal kahwin, pasti Hakim mengelak. Kalau lelaki lain, memang dia dah tolak
awal-awal lagi.
“Kenapa pula adik cakap macam tu?” tanya Puan Hajar.
Jarang sekali Iman berkongsi masalah cinta dengannya. Kalau masalah
lain, selalulah. Tak tahu pula dia yang Iman ada
masalah.
“Entahlah, ibu. Kan along suruh tanya dia pasal hubungan kami. Bila
bercakap pasal tu, dia bagi banyak alasan. Cakap nak kerja dulu, kumpul duitlah
untuk hantaran. Nak beli rumah dululah. Tak tahulah. Banyak sangat alasan dia.”
Sakit hatinya bila terkenangkan
sikap Hakim. Kadang-kadang dia tertanya-tanya kenapalah dia harus sayang dengan
orang yang macam tu. Alangkah bagusnya kalau dari awal lagi dia tidak perlu
sayang Hakim. Tak adalah dia nak rasa seperti ini.
“Tak cakap kat dia, along tak kisah bab hantaran?”
“Sudah, ibu. Tapi, dia pusing kut
lain pula. Dia kata kita ingat dia sengkek sangat sampai duit hantaran pun tak
boleh bagi. Stres tau ibu. Lebih baik adik menghadap produk-produk adik ni
daripada fikir pasal Hakim. Kalaulah boleh, adik rasa nak
tunjal saja kepala dia tu. Nasib baik sayang.”
Iman mengetap bibir geram. Tidak
berlapik lagi bicaranya depan ibunya. Biarlah
ibu tahu apa yang sebenarnya terjadi antara mereka walaupun apa yang pasti,
semua yang diceritakan ini akan sampai ke pengetahuan along. Pasrah sajalah.
“Hmm, macam tu pula. Ibu berkenan kat Hakim tu. Ada budi Bahasa, cuma
bila adik cakap macam ni, ibu pun naik geram dah ni. Tak apalah. Nanti dia dating,
ibu cuba cakap dengan dia. Petang ni adik keluar pergi pos barang nak ibu ikut
ke?”
“Tak apalah, ibu. Ibu kan nak layan
sinetron ibu tu. Adik pergi seorang saja. Lagipun, tempat nak jumpa ni tak jauh
pun. Kat PKNS aje.”
“Okey. Nasib baik faham. Ibu nak solat dulu. Adik tu pun pergi
makan dulu. Lepas tu solat. Baru keluar,” pesan Puan Hajar.
Walaupun itulah yang dipesannya setiap hari, tapi bukan boleh
diharap sangat Iman ini. Penyakit lupanya sangat kronik. Lupa makan. Lupa
solat. Lupa itu ini. Sebab itulah kena pesan selalu.
“Baik, bos!” Iman terus bangkit daripada
duduknya dan naik ke biliknya.
Dia tidak boleh ralit. Pos Laju ini bukan boleh dijangka. Kadang-kadang perlu
beratur sampai ke luar.
IMAN melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah hampir 15 minit dia
menunggu, tapi pelanggan yang ditunggu-tunggu tidak
juga kunjung tiba. Dia membuka aplikasi WhatsApp untuk menyoal tentang
keberadaan pelanggan yang dinantikannya itu.
Belum sempat dia berbuat apa-apa, telefon bimbitnya berdering
terlebih dahulu. Panggilan daripada pelanggan yang ditunggu-tunggu. Segera Iman
menjawab panggilan tersebut.
“Assalamualaikum, Kak Iman. Ni Qaseh ni.”
“Ya, Qaseh. Kak Iman baru nak mesej tanya Qaseh kat mana. Qaseh
jadi ambil ke tak barang ni?” soal Iman dengan senyuman di bibir.
Itulah yang dia belajar. Mood kena
positif selalu. Kena selalu senyum. Walaupun
orang tak nampak, tapi itu sangat mempengaruhi
ketika membuat jualan.
“Jadi, Kak Iman. Tapi, bukan Qaseh yang ambil. Abang Qaseh. Qaseh
ingat tadi kelas habis awal. Tiba-tiba lecturer nak ganti kelas terus. Qaseh minta
maaf. Abang Qaseh dah dalam perjalanan dah.”
“Kalau Qaseh nak Kak Iman hantar esok pun tak apa. Kak Iman okey
aje.”
Alahai, rasa segan pula nak berjumpa. Kalau Qaseh, bolehlah dia
kenal melalui gambar profil WhatsApp. Kalau orang lain, macam mana dia nak
kenal? Masalah juga tu.
“Tak apa. Abang Qaseh mesti dah nak sampai tu. Nanti marah pula dia
kalau dia dah pergi, tiba-tiba Qaseh batalkan. Abang Qaseh tu naik motosikal. Qaseh dah
beritahu dia yang Kak Iman tunggu depan PKNS tu. Nanti dia bayar duit sekali.”
“Okey, Qaseh. Kak Iman tunggu. Nanti kalau barang tu dah ada kat
abang Qaseh, Kak Iman beritahu ya.”
“Terima kasih, Kak Iman. Okeylah. Qaseh dah kena masuk kelas.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Panggilan terus dimatikan.
Iman menunggu lagi. Setiap kali kenderaan lalu-lalang pasti akan
diperhati, namun motosikal
seperti yang diberitahu oleh Qaseh tadi langsung tidak kelihatan. Iman menghela
nafas.
Perut sudah bernyanyi riang. Itulah, ibu suruh makan dulu tadi
degil. Sekarang ini pedih sangat kerana pagi tadi dia hanya bersarapan sekeping
roti kerana sibuk menguruskan barang jualan. Ketika dia mahu melangkah ke dalam
bangunan untuk membeli roti buat dialas perut, kedengaran bunyi enjin motosikal besar. Iman menghentikan
langkahnya dan menanti. Mana tahu betul kali ini.
Motosikal tersebut berhenti di hadapan bangunan ini. Iman serba salah. Nak
tegur takut silap orang. Tapi, kalau tak tegur, mana tahu ini memang abang
kepada Qaseh.
Iman memilih untuk menunggu dahulu. Diperhatikan tingkah laku
lelaki itu yang mengeluarkan telefon bimbitnya. Helmet yang menutupi seluruh
wajahnya dibiarkan tidak ditanggalkan.
Ting! Mesej WhatsApp masuk. Pantas Iman membuka pesanan tersebut
yang datangnya daripada Qaseh. Memang betullah lelaki ini abang kepada Qaseh.
Dengan penuh berhati-hati, Iman membuka langkah ke arahnya.
“Assalamualaikum. Abang Qaseh ya?” soal Iman dengan senyuman.
Walaupun dia rasa tak begitu selesa sekarang ini.
Lelaki itu memandang Iman sebelum mengangguk.
“Ini barangnya.” Iman menyerahkan beg plastik kepada lelaki yang
hanya nampak kedua-dua belah mata sahaja.
Lelaki itu menerima bungkusan tersebut. Sempat lagi dia melihat
barang yang ada di dalam beg plastik tersebut.
“Berapa ringgit?” tanya lelaki itu.
“50 ringgit sahaja.” Iman tersenyum lagi.
Tak kisahlah orang nak kata dia gila ke apa, janji dia kena senyum.
Salah satu teknik nak tarik pelanggan.
“Mahalnya. Barang kecil saja pun. Apa bendalah budak ni beli. Tak
faham betul aku,” leter lelaki itu kurang berpuas hati.
Mungkin juga disebabkan Qaseh memaksanya
datang untuk mengambil barang tersebut. Itu yang nampak macam berangin semacam.
Iman membuat andaian sendiri.
“Barang ini memang mahal. Sebab krim ni original,” jelas Iman tanpa dipinta.
Lelaki itu tidak peduli. Dia mengeluarkan dompetnya dan mengambil
sekeping not RM50. Terus diberikan kepada Iman.
“Iman!”
Sebaik sahaja Iman mahu menerima wang tersebut, ada satu suara lain
memanggil namanya. Segera pandangan mereka terarah ke arah datangnya suara
tersebut. Iman menggigit bibirnya. Kenapa lelaki
ini tiba-tiba pula muncul? Iman tidak pasti.
“Dah lama dah buat kerja macam ni?” Hakim mendekati mereka dan
terus menyoal.
Dahi Iman berkerut.
“Apa dia you ni?” Soalan dibalas soalan oleh Iman.
Dia memang tak faham apa maksud Hakim sebenarnya. Tiba-tiba muncul
dengan muka tidak puas hati.
“Mentang-mentanglah I tak berhubung dengan you banyak hari, you dah
mula cari jantan lain?” marah Hakim. Dia memandang lelaki itu dan Iman silih
berganti.
Iman terkejut. Dia menggeleng laju, menafikan dakwaan Hakim itu.
“Malas nak gaduh dengan you, Hakim. Hmm, encik. Maafkan saya. Saya
jual ya. Saya minta maaf sebab dia tuduh awak macam tu.” Iman tidak
mengendahkan Hakim.
Dia menumpukan kepada lelaki motosikal itu. Hakim memang suka menuduh tanpa usul periksa.
Akibat tuduhan itu, lelaki ini sudah terlibat sama. Sekarang ini manalah dia
nak letak muka.
“Okey.” Lelaki itu terus menghidupkan motosikalnya.
Ketika dia mahu bergerak, dia memandang Iman sebelum pandangan beralih kepada Hakim.
“Tak gentleman,
bro nak cari gaduh kat tempat awam macam ni. Dan
lagi satu, sebagai lelaki, tolong jadi lelaki yang tahu hormat perempuan. Aku
nak beritahu kau yang aku datang ambil barang. Kau takkan
tak faham kerja girlfriend
ke tunang kau ni sampai nak tuduh dia macam tu? Aku cau dulu, bro.
Selamat memujuk.”
Lelaki itu terus memecut laju meninggalkan Iman dan Hakim di situ.
Hakim mendekati Iman dengan perasaan bersalah kerana tuduhan melulunya tadi.
“I’m sorry,”
ujar Hakim, mengakui kesalahannya.
Iman memandang Hakim. Dia mendengus kasar. Dia memang malu dengan
sikap Hakim tadi. Tak tahu mana dia nak letak muka. Kalaulah balik nanti lelaki
itu bercerita kepada Qaseh, besar kemungkinan
Qaseh tidak mahu berurusan dengannya lagi. Siapa nak kalau abang sendiri
dituduh macam tu.
“Malas nak kata apa, Hakim. Hilang lepas tu muncul tiba-tiba, tuduh I ada jantan lainlah apa. Apa masalah you
sebenarnya?”
“I stres dengan masalah kerja, masalah
itu ini. Please,
tolong faham I.”
“Tuduhan you tadi sangat tak berasas langsung. Punya I setia, you
boleh tuduh I curang. I saja nak kena faham you.
I memang tak ada perasaan pun untuk you faham I. Dahlah, I balik dulu.”
Iman mengangkat kaki meninggalkan Hakim. Panggilan Hakim tidak
diendahkan. Dia tidak boleh berfikir dengan apa yang Hakim buat tadi.
Sangat-sangat buat dia rasa marah dan sakit hati.
Nak sambungannya please. Memang best la cerita ni.tapi mesti lagi best jika baca sampai akhir kan🥺
ReplyDelete