Nasi Paprik Cinta Bab 12


Bab 12

Baju Umar aku lipat elok-elok dan aku masukan ke dalam beg. Satu beg untuk baju aku dan satu lagi untuk Umar. Hari ini kami akan bertolak balik ke Kuala Lumpur. Lagi tiga hari majlis perkahwinan aku akan diadakan di sana. Untungnya sponsor sebab tak perlu susah fikir macam-macam. Semua ditanggung. 

            Telefon bimbit aku berdering. Aku cepat-cepat keluarkan dari poket seluarku. Tertera nama Catrina di skrin telefon. Baru nak telefon. Sebaik sahaja habis kenduri aku tempoh hari, tak ada dengar khabar berita langsung. Tapi tak salahkan Catrina. Mungkin dia sibuk kerana syarikat terpaksa diuruskan seorang sementara aku masih bercuti.

“Assalamualaikum, pengantin baru.” Ujar Catrina sebaik sahaja panggilan dijawab.

“Banyaklah kau pengantin baru. Kau apahal tak call aku? Macam nilah kata kawan baikkan. Bestfriend forever katanya. Tapi nak mesej aku pun tak.”

Catrina tergelak di corong telefon.

“Aku sibuklah. Tak sempat nak mesej. Kau tu pun satu. Mentang-mentanglah dah kahwin lupa aku yang masih bujang ni tau.”

“Carilah pasangan cepat. Kahwin cepat, boleh pregnant sama-sama.”

“Tak nak aku. Nanti dua-dua boyot. Syarikat ni siapa nak jaga kalau dua-dua berpantang?”

“Kita buatlah bilik khas untuk bersalin kat syarikat kita.” Aku tergelak. Itulah bila dah bercakap dengan kawan baik. Lama tak jumpa. Ni kalau berdepan mestinya riuh sekali.

“Bongoklah kau. Macam mana kahwin? Best? Malam pertama?” soal Catrina.

Terus tergiang-giang kata-kata Umar semalam. Semalaman aku berfikir tentang itu. Tapi aku tak suci sebab dirogol. Bukannya sebab aku rela. Tapi jawapan Umar aku boleh tahu dia susah nak terima orang macam aku.

“Hoi! Kau masih hidup ke tak lagi ni?” Catrina menjerit di corong telefon membuatkan aku terkejut.

“Kurang ajar kau. Doakan aku mati.”

“Aku tanya kau bukannya reti nak jawab. Cepatlah jawab. Aku banyak kerja lagi ni.”

Aku melepaskan keluhan berat. “Entahlah, nantilah aku cerita kat kau. Malam nanti aku sampai KL kot. Lepas jumpa mak mentua aku terus aku gerak balik KL.”

“Okay. Hati-hati. Tak sabar nak dengar cerita kau. Aku off dulu. Ada orang datang nak jumpa aku.”

“Okay. Bye. Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam.” Terus panggilan itu dimatikan. Aku meletakan telefon bimbit aku di atas meja dan meneruskan kerja aku mengemas baju.

Tiba-tiba pintu terkuak. Kelihatan Umar sedang tersenyum kepadaku. Sangat manis senyuman itu. Senyuman yang bagi aku dapat membuatkan hati aku tenang. Tapi bila ingat balik apa isi hatinya, hati aku sendiri tidak keruan. Tidak dapat menerima kenyataan.

“Dah siap kemas?”

“Dah. Pi mana tadi?” soal aku. Pagi tadi dah menghilang. Bila telefon tak berangkat sebab Umar tinggal telefon di rumah.

“Pi melawat warung abang. Dah lama terbiar. Rasanya akan terkubur macam tu saja rasa.” Balas Umar yang kedengaran kecewa dari suaranya.

Aku duduk di sebelahnya. Peluh yang merindik di mukanya aku lap dengan ibu jari. Dia tersenyum. Tangan aku diambil lalu digenggam erat.

“Jangan risau. Nanti upgrade warung tu jadi restoran. Upah pekerja untuk uruskan. Tak adalah terbiar saja macam tu.” Cadang aku.

“Duit simpanan abang cukup untuk kita hidup sebulan dua sahaja lagi, sayang. Kalau abang dapat kerja alhamdulillah tapi kalau tak dapat? Tak makan kita.” Keluh Umar.

Aku tersenyum. “Jangan risau bab modal. Nanti saya sediakan untuk itu. Saya cuma nak tengok warung tu jadi restoran. Mana boleh biarkan macam tu sahaja. Warung tu sangat bermakna untuk saya tau.”

Umar pantas menggelengkan kepalanya. Matanya memandang mata aku lalu senyuman paksa diukirkan.

“Tak payah. Biar abang setelkan sendiri. Lagipun warung tu tanggungjawab abang sendiri.”

“Ala, bukannya banyak mana pun. Buat apa jadi suami isteri kalau biar suami sendiri susah.” Aku tidak puas hati. Dia susah aku bantu. Aku susah dia bantu. Barulah saling melengkapi.

“Abang tak nak guna duit isteri. Nanti takut ambil kesempatan atas kesenangan isteri. Selagi ada tulang empat kerat abang ni, abang akan berusaha sendiri.”

Aku melepaskan keluhan berat. Memang tidak suka dengan cara Umar yang langsung tidak mahu menggunakan kemudahan yang aku berikan. Bukan aku nak merendahkan dia cuma aku tak mahu tengok dia susah. Aku masih ada.

“Awak memang tak sayangkan saya sebenarnya.” Rajuk aku. Berharap dengan cara itu dia akan berlembut hati untuk menerima pelawaan aku.

“Bukan macam tu, sayang. Abang cuma...”

“Sudahlah. Malas nak cakap apa-apa dah.” Aku mencelah mematikan kata-kata seterusnya.

Aku bangun dan membawa beg baju aku. Umar cuba mengambil beg baju aku tetapi aku menghalang. Padahal beratnya Ya Allah. Itulah bila balik kampung macam nak balik duduk terus. Tak apa biar aku tunjuk aku punya degil sikit.

“Beratkan tu.”

“Tak payah. Jangan cakap dengan saya.” Halang aku. Selagi dia tak terima tawaran aku selagi tu jangan harap aku nak cakap dengan dia. Mengada-ngada sungguh aku sekarangkan? Biarlah. Rajuk nanti ada orang pujuk.

“Meh sini abang angkat. Berat tu.” Umar berdegil. Beg itu terus disambarnya dari tangan aku. Aku memandang dia tidak puas hati. Tapi dalam hati sebenarnya rasa leganya tak terkira. Taklah kena merajuk bawa beg berat-berat. Untung juga ada suami.

Aku terus membuka1 langkah keluar dari bilik. Tidak menghiraukan Umar. Kedengaran dia melepaskan keluhan berat. Tak kisahlah selagi dia tak terima tawaran aku.


“Wawa, mak harap hang jaga anak mak ni baik-baik. Jaga makan pakai dia, maruah dia, aib dia dan semualah. Mak tau anak mak ni tak berapa nak berada tapi mak yakin dia mampu untuk jaga hang.” Pesan mak mentua aku. Mak kepada Umar. 

             Aku mengangguk lalu tersenyum. Menerima pesanan itu dengan senang hati kerana aku tahu itu sememangnya tanggungjawab aku.

“InsyaAllah mak. Wawa cuba yang terbaik.” Balas aku berjanji. Aku bukan hanya berjanji pada mak tetapi juga pada diri sendiri.

Mak mentua aku tersenyum. Dia memandang Umar disebelah. Aku dan Umar masih sama. Berperang dingin lagi. Dia pun tak adanya nak cuba bercakap dengan aku. Tapi salah aku juga. Aku yang suruh dia diam tadi.

“Umar, hang pun sama. Cari kerja elok-elok sikit lepas ni. Hang tu bukan tak ada kelulusan. Jaga kesihatan hang sama.”

“Mak doakan Umar dapat kerja tu nanti. Umar nak baiki warung kita tu, mak. Sayang nak biar macam tu saja.”

“Tak apalah. Selagi mak dengan ayah ada kudrat, kami akan jaga warung tu Umar.”

Aku memandang Umar dari ekor mata. Sakit pula hati ni bila dia tak ada tanda-tanda nak terima tawaran aku. Tak apa, Umar. Tahulah aku nak buat macam mana nanti. Mana boleh biarkan warung tu berkubur saja. Kat situ tempat bermulanya aku kenal dengan Umar. Banyak pengalaman manis kat situ.

“Umar, hang dah nak balik ka?” soal ayah. Mengikut kata mak tadi, ayah pergi jumpa kawan tadi. Ingatkan tak sempat nak jumpa ayah dah.

“Dah ayah. Esok Wawa dah mula masuk ofis. Umar pun dah nak buat persediaan nak pi temuduga tu.”

Aku pandang dia lagi. Eh, sejak bila aku bagitau esok aku dah mula kerja? Memandai saja suami aku nilah. Aku balik hari ni sebab dua hari lagi majlis aku kat Kuala Lumpur. Mungkin sekejap sahaja akan masuk ofis tapi tak adalah nak mula kerja. Aish!

“Wawa, lepas ni kalau perlukan pelakon ambik ayah jadi hero pun okay juga.” Ayah berseloroh.

Kami semua tergelak besar.

“Boleh ayah. Jadi gangster.” Balas aku sambil tergelak kecil.

“Okaylah ayah mak. Kami rasa kena gerak dulu ni. Takut satgi jammed pula.” Umar bingkas bangun.

Selepas bersalaman dengan mak dan ayah mentuaku, kami mula meneruskan perjalanan kami menuju ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan, hanya radio yang memecah ruang kesunyian. Umar ni tak ada pula nak cuba bercakap dengan aku.

“Dah tak ada mulut dah ka?” soal aku mematikan suasana sunyi. Aku mengantuk kalau sunyi macam ni. Memanglah Umar yang memandu tapi tak akanlah aku nak tidur pula. Biarkan dia memandu seorang diri. Lagipun dia tak petah lagi jalan-jalan ke sana nanti.

“Dah suruh diam, orang diamlah.” Jawab Umar.

Aku angguk. Dah agak.

“Habis tu orang suruh kira rambut, kiralah?”

“Apa kena mengena diam dengan kira rambut?”

“Sudahlah. Malas nak cakap.” Aku dah mula geram. Buat-buat tak faham pula. Sengaja nak bagi aku marah.

Umar tersenyum. Aku nampak dari ekor mataku.

“Marah ya cik kak?” Umar cuba meraih tanganku tetapi pantas aku melarikannya. Tangan aku bersilang ke dada. Pandangan aku buang ke luar tingkap. Hanya ada kelapa sawit sepanjang perjalanan itu. Walaupun tak menarik tapi digagahkan juga.

“Sayang...” seru Umar. Wah! Lembutnya nada suara itu. Aku cair! Cair.

“Abang nak cerita sesuatu ni.”

Aku buat tak endah sahaja. Masih lagi berlagak batu tak dengar apa-apa yang dikatakan olehnya.

“Abang dulu ada seorang yang abang suka tau.” Terus aku pandang dia. Nafas aku tiba-tiba tidak keruan. Dia tipu aku.

“Dulu kata tak pernah ada. Sampai hati tipu orang.”

Umar tersenyum. Tak ada rasa bersalah sungguh tipu aku.

“Abang suka gila kat dia. Tapi dia tak suka kat abang pun.”

“Sudahlah. Tak nak dengar. Tak penting pun.”

“Cemburu?”

“Taklah. Suka sangat bila dengar suami sendiri pasal perempuan lain.” Perli aku. Jujur aku tak suka untuk mendengar kisah lamanya. Umar milik aku. Milik aku seorang.

“Dengarlah dulu. Best tau kisah abang ni.”

“Tak nak.”

“Sayang.”

“Tak nak! Orang kata tak nak, tak naklah. Dok paksa orang ni dah kenapa? ” Aku buka laci dashboard dan aku keluarkan earphone lalu aku sumbatkan ke telinga.

Tak patut memanglah tak patut tapi tak boleh aku nak lawan rasa cemburu aku ni. Apa fungsi dia nak bercerita pasal perempuan lain depan aku? Tak perlu kot. Sudahlah tipu aku sekarang ni nak suruh dengar cerita dia pula. Memang taklah!

Umar balas gelak. Terhenjut-henjut bahu dia ketawa. Aku peluk tubuh dan mata aku memandang ke hadapan lurus. Tidak mengendahkan Umar.

“Cemburu juga ya bini abang ni. Ingatkan brutal.”

Aku pasang telinga tapi aku buat-buat tak dengar. Earphone kat telinga ni pun bukannya ada bunyi pun. Saja pakai tanda memang tak nak dengar kisah dia tu.

“Saya bukan patung. Tak ada rasa cemburu langsung. Awaklah kot yang tak ada rasa itu.” Balas aku.

Tiba-tiba telefon bimbit aku berdering. Aku pandang skrin dan dada aku terus terasa debarnya. Aku pandang Umar disebelah. Dia cuba untuk melihat di skrin telefonku tetapi aku menghalang.

“Siapa call?” soal Umar.

“Tak penting pun.” Balas aku. Mematikan panggilan tersebut.

“Bagi sini telefon tu.”

Aku menggeleng. “Nak buat apa? Nombor tak kenal.” Aku cuba cipta alasan.

“Sayang tak perlu nak sembunyikan daripada abang. Abang tahu siapa yang telefon tu. Irhan?” Umar mengangkat kening kanannya.

Aku serba salah. Irhan ni memang tak habis-habis nak menyusahkan aku. Dia tak faham bahasa sungguh. Tak sangka aku boleh kenal dan bercinta dengan lelaki seperti dia.

“Abang tak akan biarkan dia ganggu isteri abang. Sekali dia sentuh jangan harap dia selamat, sayang.” Tenang sahaja Umar berkata. Tangan kirinya meraih tangan kanan aku dan digenggam eratnya. Bibirnya mengukirkan senyuman manis.

Aku bertambah rasa serba salah. Ya Allah, aku rasa aku tak layak berdamping dengan lelaki sebaik Umar. Allah.

1 comment:

  1. 🥺🥺. So sweet. Merajuk plak Wawa☺️. Irhan plak asyik nk ganggu Wawa jer. Nk sambungan please 🥺🥺

    ReplyDelete

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH