HARI ini Azra masuk ofis
lewat sikit memandangkan dia ada pertemuan dengan klien tadi. Dah alang-alang
sambung terus waktu rehat. Dia mengambil keputusan untuk melawat Akil. Dua tiga
hari ini memang Akil suka buat perangai. Azra juga hairan apabila terdapat
kesan lebam di paha dan lengan. Tapi, kata Kak Midah itu kesan disebabkan Akil
mengamuk.
Dalam masa yang sama dia tidak sedap hati. Rasa macam ada
yang buruk sedang berlaku. Tapi, cuba ditenangkan hatinya kerana yakin Akil
baik-baik sahaja.
“Assalamualaikum.” Azra memberi salam sebaik sahaja
sampai di depan rumah Midah. Pintu terbuka, tapi dihalang oleh pintu pagar besi
yang diselak dari dalam.
Tiada suara yang menjawab, Azra terus mengambil keputusan
untuk buka pintu itu sendiri dan melangkah masuk ke dalam rumah. Lagipun dia
sudah biasa dengan rumah Midah. Azra melihat di ruang tamu, tapi tidak juga
kelihatan. Azra melangkah masuk ke bahagian tengah. Dia terdengar bunyi riuh.
“Kau tu budak terencat. Sedar diri sikit. Orang bagi
makan tu makan sajalah. Kau ingat aku ni kuli batak kau ke nak ikut apa yang
kau nak?”
Suara itu bergema.
Betul-betul buat jantung Azra berdengup kencang. Macam
ada tak kena. Azra mengetap bibirnya. Sungguh dia rasa tidak senang dengan apa
yang didengar olehnya itu. Dia membuka selangkah lagi dan menjenguk kepalanya
sedikit ke kawasan dapur.
Hatinya bagai dicarik-carik bila melihat apa yang terjadi
ketika ini. Sungguh dia tidak sangka semua ini akan terjadi. Segala persoalan
atas perlakuan Akil selama ini betullah.
“Kak Midah!” Azra bersuara separuh menjerit. Berdiri kaku
melihat perlakuan Kak Midah kepada Akil. Hatinya mula diundang rasa marah.
“Azra...” Terketar-ketar Midah menyebut nama Azra.
Terkejut dengan kehadiran Azra yang tiba-tiba itu.
Azra mendekati Midah dan tubuh Midah ditarik sehingga
terdorong ke belakang. Akil yang meronta-ronta memintanya untuk membuka ikatan
di tangan dan kaki dipandangnya. Tak sangka selama ini Akil buat perangai
disebabkan ada hal yang berlaku sebaliknya. Akil tak boleh beritahu, tapi hanya
boleh bertindak dengan perbuatannya. Tapi, Azra tak faham dan memaksa dia.
“Aku betul tak sangka kau sanggup buat macam ni, Kak Midah.
Aku fikir kau ada hati perut, tapi aku salah. Patutlah selama ini Akil macam
takut dengan kau. Sebenarnya dia diseksa begini,” luah Azra.
Dia buka ikatan itu dan menarik tubuh Akil ke dalam
pelukannya. Akil serta-merta memeluk tubuhnya erat. Nampak sangat ketakutan.
Kejamnya manusia sekarang. Depan baik, tapi belakang tiada siapa tahu.
“Tak, Azra. Jangan salah faham. Ini semua sebagai
pengajaran buat Akil sebab dia nakal sangat.”
Azra tersenyum sinis. Dia memandang Midah dengan penuh
kebencian. Sungguh dia benci orang yang buat anak dia seperti ini. Dia jaga
bagaikan minyak yang penuh, tapi suka hati saja mereka memperlakukan Akil tidak
sepatutnya.
“Kau sedar tak dia budak yang macam mana? Tak normal
macam orang lain. Pengajaran macam tu lagi menyeksakan dia adalah.”
“Tapi...”
Azra angkat tangannya. Meminta untuk Midah tidak teruskan
mempertahankan dirinya. Beg tangannya dibuka dan sejumlah wang diambil. “Terima
kasih sebab sudi jaga anak aku dengan baik selama ini. Ini bayaran untuk selama
ini. Terima kasih sangat, Kak Midah!”
Duit itu diletakkan di atas meja dan terus Azra menarik
tubuh Akil keluar dari rumah ini. Inilah kali terakhir dia menghantar Akil kat
sini. Tiba-tiba hatinya diundang rasa sebak. Dari tadi dia menahan bila
terpandangkan keadaan Akil, tapi cuba untuk dia tahan.
Dia tidak mahu nampak lemah, tapi dia bukanlah seorang
wanita yang kuat. Air matanya mengalir laju. “Maafkan ibu, Akil.”
AZRA sudah habis fikir.
Mungkin ini keputusan yang sangat drastik, tapi biarlah demi kebaikan Akil. Dia
perlu berkorban. Tidak sanggup lagi untuk biarkan Akil didera dan dilakukan
seperti itu lagi.
Dia tinggalkan Akil pada jiran di sebelah rumahnya
seketika. Jirannya itu ada juga menawarkan untuk menjaga Akil, tapi dia tidak
mahu menyusahkan memandangkan jirannya itu sudah pun berusia. Tapi, hari ini
dia terpaksa tinggalkan seketika untuk dia uruskan tentang hal ini.
Pintu bilik Nadeem diketuk. Tidak lama suara dari dalam
memberi arahan dan perlahan-lahan Azra menolak pintu.
“Yes, Azra. Ada apa?” soal Nadeem sebaik
sahaja Azra masuk. Berdiri tercegat di hadapannya. Dia yang nak buat kerja pun
tidak jadi kerana nak tahu tujuan Azra datang ke biliknya ini.
Azra menghulurkan sampul surat berwarna putih kepada Nadeem.
Wajah Nadeem berkerut dan memandang Azra. “Surat apa ni?”
“Saya nak letak jawatan.”
“What?” Suara
Nadeem separuh menjerit. Terkejut dengan keputusan yang sangat tiba-tiba ini.
Azra tidak berani bersuara lagi. Dia tahu mesti Nadeem
menghalang, tapi ini adalah keputusan dia. Muktamad. Sudah lama dia fikirkan
dan ini mungkin tiba masanya untuk dia berhenti kerja.
“You sedar tak apa yang you cakap ni, Azra?”
Azra mengangguk perlahan. Dia sedar dan dia dah fikir
masak-masak.
“Ya. Saya sedar. Saya memang nak letak jawatan kerana
saya ada tanggungjawab lain lagi yang harus saya laksanakan. Sudah saya
nyatakan dalam surat tersebut, Tuan Nadeem.” Azra masih berdiri tercegat di
hadapan Nadeem bagaikan pesalah menanti hukuman.
Nadeem bingkas bangun. Surat peletakan jawatan yang ada
di tangannya diambil lalu direnyuk dan terus dibuang ke dalam tong sampah.
“I tak benarkan you berhenti kerja.” Nadeem memberi
jawapan. Dia tidak boleh membiarkan Azra pergi macam tu sahaja.
Azra terkejut dengan tindakan Nadeem itu. Bibirnya
diketap erat. Matanya tertancap pada surat yang sudah dibuang ke dalam tong
sampah sebelum kembali pandangannya kepada Nadeem.
“Tuan Nadeem tak boleh menghalang saya macam ni. Ini hak
saya untuk berhenti kerja. Lagipun saya sudah bebas daripada sebarang kontrak.”
Azra menyuarakan rasa tidak puas hati. Geram juga bila Nadeem berbuat demikian.
“Beritahu I sebab yang sebenarnya dan I akan cuba
mempertimbangkan permintaan you ini. Kalau you tak berterus terang, I tak akan
membenarkan you berhenti kerja,” tegas Nadeem.
Matanya memandang pada Azra di hadapannya. Dia terkejut
dengan keputusan ini. Kalau Azra berhenti kerja peluang untuknya mendekati
gadis ini sangatlah tipis. Mungkin dia boleh jadi angau dan terpaksa menahan
rindu kalau tak dapat tengok walaupun sehari.
Azra menghela nafas lemah. Bukan tidak mahu memberitahu
sesiapa, tapi tidak mahu simpati orang lain. Biarlah dia menghadapinya sendiri.
“Saya kena jaga anak saya. Itu alasan dan sebab sebenar saya kena berhenti
kerja.”
“Mana pergi pengasuh sebelum ini?” soal Nadeem terus
sebaik sahaja Azra memberi jawapan.
“Saya dah tak percayakan sesiapa lagi, Tuan Nadeem.
Mereka perlakukan anak saya yang tidak sepatutnya dan saya tak nak ambil risiko
itu lagi.” Azra berterus terang sahajalah.
“Kalau you berhenti kerja macam mana you nak teruskan
hidup?”
Azra tersenyum. Dia percaya apa yang berlaku ada
hikmahnya. Allah sudah aturkan yang lebih baik untuk dia dan Akil pada masa
depan.
“Insya-Allah, boleh. Pandailah saya nak teruskan hidup
saya nanti.” Dengan penuh yakin, Azra memberi jawapan. Bukan mendabik dada,
tapi sudah ada rancangannya sebelum mengambil keputusan drastik ini untuk berhenti
kerja.
“I akan carikan pengasuh yang terbaik untuk jaga anak
you. I tak boleh benarkan you berhenti kerja. Syarikat ini perlukan pekerja
seperti you lagi.” Nadeem memberi kata putus.
Azra tidak puas hati. Nadeem tiada hak untuk menghalang
dia berhenti kerja. Ini keputusannya dan dia tahu apa yang dia buat.
“Tuan Nadeem, saya tak boleh terima cadangan tuan tu.
Saya tetap akan berhenti kerja. Saya dah tak percayakan orang lain lagi untuk
jaga anak saya. Terima kasih kerana membenarkan saya untuk bekerja di syarikat
ini. Saya hargai jasa baik semua. Saya tidak boleh mengubah keputusan saya.
Muktamad. Assalamualaikum.”
Terus Azra mengangkat kaki keluar dari bilik Nadeem. Dia
nekad dan tidak akan dia tarik balik.
TANPA diketuk terlebih
dahulu Syifa meluru masuk ke dalam bilik Azra dengan kelam-kabut. Azra yang
sedang mengemas barang-barang yang dimasukkan ke dalam kotak terkejut dengan
kehadiran Syifa.
“Betullah apa yang aku dengar?” soal Syifa.
Azra mengangguk dan bibirnya mengukirkan senyuman nipis.
Sedih untuk tinggalkan semua ini, tapi dia harus berkorban. Akil perlukan dia.
“Kau dah fikir habis dah?” Syifa bertanya lagi.
Dia masih tidak percaya apabila mendengar daripada Nadeem
yang Azra mahu berhenti kerja. Tapi, dia yakin memang benar kerana melihat Azra
sudah mula mengemas barangnya.
“Demi anak aku, Syifa. Aku dah tak sanggup dah nak
biarkan dia terus kena dera dan terseksa macam tu,” balas Azra lemah. Lalu dia
menghembus nafas lembut.
Syifa melepaskan keluhan hampa. Dia dah dapat jawapan
yang sahih. Dia sedih dengan keputusan ini, tapi Azra sudah lama menyatakan
niat itu.
“Kau sampai hati tinggalkan aku seorang kat sini,” keluh
Syifa.
Dia tidak tahu nak rasa apa. Tapi, dia betul-betul kecewa
dengan keputusan ini. Azra banyak bantu dia selama ini. Tak mudah untuk dia
melepaskan Azra pergi macam tu sahaja walaupun mereka masih boleh berjumpa.
Tetap tidak sama.
Azra menghentikan kerjanya. Dia memandang Syifa yang
berdiri di hadapannya dengan muka yang masam. Dia berjalan menuju kepada Syifa
dan tubuh sahabatnya itu ditarik ke dalam pelukan.
“Aku kena buat keputusan macam ni, Syifa. Maafkan aku.
Kita masih sama macam dulu.” Azra menepuk belakang Syifa.
“Tapi, ada cara lain kan selain daripada berhenti kerja?”
Azra melepaskan pelukan. Dia tertunduk memandang lantai.
Lantas kepalanya digeleng perlahan.
“Tiada cara lain selain daripada ini. Lepas ni aku cuba
cari cara lain untuk teruskan hidup. Lagipun aku minat business. Jadi mungkin aku boleh buka bisnes aku sendiri.” Azra
cuba untuk positif. Dia tidak boleh lemah. Kalau dia lemah tiada siapa yang
boleh bantu diri dia selain dirinya sendiri.
Pintu terkuak dari luar. Mereka berdua memandang terus.
Kelihatan Nadeem dengan wajah yang langsung tidak senyum masuk ke dalam bilik
Azra.
“I nak you ikut I.” Nadeem memberi arahan. Tegas.
“Pergi mana?” soal Azra yang terpinga-pinga melihat
kehadiran Nadeem itu.
“Jangan banyak bunyilah. Ikut saja.” Nadeem merengus
geram. Dia geram bila Azra keluar begitu sahaja dari bilik dia tadi.
Syifa yang turut berada di situ berasa tidak senang
apabila melihat situasi ini. Memang pelik pula tengok Nadeem yang emo semacam
tu.
“Azra, aku keluar dulu.” Syifa mencelah. Risau nak tunggu
lama-lama. Nanti dia pula yang dihamburnya nanti.
“Keluarlah. Dah tak ada kerja sangat ke boleh datang
melepak kat sini?” marah Nadeem.
Baru sahaja dia takut kena hambur, tapi memang dah kena
pun. Menikus Syifa keluar dari bilik Azra meninggalkan mereka berdua.
Azra menggeleng. Apa masalah lelaki ni? Datang sini nak
marah-marah. Kesian Syifa yang kena.
“I tak luluskan permohonan letak jawatan you. Jadi, tak
perlu berangan you boleh berhenti kerja.” Nadeem memandang Azra tajam. Nafasnya
turun naik menahan rasa tidak puas hati.
Azra melepaskan keluhan. Tak habis lagi rupanya masalah
ini.
“Tuan Nadeem, saya ni tiada sangkut apa-apa lagi dengan
syarikat. Ya, mungkin saya kena penalti disebabkan berhenti serta-merta, tapi
tak apa. Saya akan bayar. Jangan risau.” Azra membalas dengan penuh rasa hormat
kepada Nadeem.
“You boleh tak jangan selfish?”
Nadeem melenting.
“Selfish? Apa
maksud Tuan Nadeem ni?” soal Azra tidak mengerti apa yang dimaksudkan.
“Tolonglah. Syarikat ini perlukan you. Kalau Tuan Johari
tahu you berhenti pastinya dia kecewa. I tahu you adalah pekerja kesayangan
dia.” Nadeem mula bermain dengan nama bekas majikan yang banyak membantunya
dulu.
Azra menggeleng. “Saya yakin syarikat ini akan dapat
pekerja yang lebih cemerlang nanti. Syifa pun ada. Dia sangat berkebolehan,
Tuan Nadeem.”
“No. I bagi you
cuti tanpa gaji selama satu bulan. You buatlah macam mana pun, tapi I tak
benarkan you berhenti kerja.” Nadeem berkeras juga.
Dia tidak akan mudah melepaskan Azra begitu sahaja.
Walaupun dia masih baru kenal Azra, tapi dia tidak boleh menafikan perasaannya
terhadap Azra. Cuma ego dia tinggi sangat membuatkan dia tidak berani nak
mendekati Azra.
“Tak, Tuan Nadeem. Saya tetap dengan keputusan saya.”
Azra berkeras. Dua-dua keras kepala. Masing-masing nak menang.
“Tak. Cuti satu bulan. Lepas tu I nak you datang balik
masuk kerja.” Nadeem terus melangkah keluar dari bilik Azra.
Azra melepaskan keluhan besar. Barang yang berada di
tangannya dilempar di atas meja.
“Apa masalah kau ya, Nadeem? Kau fikir aku akan ikut
cakap kau? Mimpi!” Azra merungut sendiri. Dia tidak akan ikut arahan Nadeem
itu. Dia berhak untuk tentukan hidup dia.
TURUN sahaja dari
kereta, Azra terus ke rumah Mak Cik Yah. Dia rindu nak berjumpa dengan Akil
yang masih trauma dengan peristiwa semasa duduk dengan Kak Midah. Sebaik sahaja
pintu diketuk, kelihatan Mak Cik Yah tersenyum melihat kehadirannya.
“Akil macam mana, mak cik?” soal Azra.
“Masuklah. Akil okey. Tadi lepas kamu keluar tu dia
tidur. Baru bangun lepas tu dah mandi dan makan dah tu. Sekarang ni sibuk
tengok televisyen siaran Arab. Mak cik pun tak faham.” Mak Cik Yah memberitahu secara
terperinci kepada Azra dengan ketawa kecil.
Azra tersenyum. Dia melangkah masuk ke dalam rumah dan
melangkah ke ruang tamu di mana Akil sedang khusyuk menonton televisyen. Betul
kata Mak Cik Yah. Tengok siaran Arab. Memang dia pun tak fahamlah.
“Terima kasih, mak cik. Saya betul-betul tak sangka yang
Kak Midah akan buat saya macam ni. Selama ini saya ingat dia ikhlas jaga Akil,
tapi sebaliknya.” Azra meluahkan rasa kecewanya.
Terbayang-bayang lagi bagaimana keadaan Akil yang diseksa
oleh Midah. Memang menyayat hatinya.
“Itulah. Mak cik minta nak jagakan kamu yang tak nak. Bukannya
mak cik nak minta bayaran banyak pun. Sekadar untuk makan minum Akil sudahlah.”
Mak Cik Yah membalas.
“Bukan macam tu mak cik. Tapi, saya tak mahu susahkan mak
cik. Tapi, lepas ni kalau saya terpaksa ke mana-mana jadi saya terpaksa jugalah
susahkan mak cik.” Azra ketawa kecil.
“Tak apa. Tadi kamu kata nak ke ofis sebab ada hal. Apa
halnya?”
“Saya nak hantar notis berhenti kerja, mak cik. Saya
nekad kali ini biarlah saya yang jagakan Akil.” Azra membalas jujur. Dia tidak
mahu mempedulikan arahan Nadeem tadi.
“Habis tu kamu nak kerja apa?”
Azra menggeleng. “Buat masa sekarang duit simpanan saya
adalah lagi. Nantilah saya fikirkan. Sekarang ni saya cuma nak lepaskan stres
saya dulu sebelum saya fikir untuk kami.”
Mak Cik Yah mengangguk. Dia bersimpati dengan Azra.
Muda-muda lagi diuji, tapi dalam masa yang sama dia kagum. Anak muda ini memang
baik hati. Kalau dia ada anak lelaki dah lama dia jodohkan Azra dengan anaknya.
“Tak apalah. Nanti kalau perlukan apa-apa bantuan bagi tau mak cik.”
“Insya-Allah, mak cik. Terima kasih tau sudi ambil berat
pasal kami. Saya dah anggap mak cik dah macam mak sendiri dah.” Azra memeluk
tubuh Mak Cik Yah. Syukur kerana ada seorang jiran yang sangat baik.
“Nasib baik mak cik ni tak ada anak lelaki tau. Kalau
tidak dah lama dah bagi kahwin dengan anak mak cik. Bukan senang nak cari
menantu yang baik sekarang ni.” Mak Cik Yah bergurau.
Azra tersengih. “Itu maknanya saya ni cuma layak untuk
jadi anak mak cik aje. Bukannya menantu.
Mereka sama-sama ketawa. Melepaskan segala kekusutan di
dalam kepala.