KEAJAIBAN CINTA BAB 16

Bab 16

Azan Subuh berkumandang mengejutkan Qaseh dari lena yang panjang. Dia bangun lalu menenyehkan matanya. Telefon bimbit di atas meja diambil untuk melihat waktu.

Abah, Qaseh minta maaf.”ujar Qaseh perlahan. Air matanya jatuh lagi. Saat dia membuka mata, fikirannya terus terfikirkan tentang abahnya. Rasa dosa yang teramat terhadap abahnya tidak mampu dipadam begitu sahaja walaupun Harris berulang kali menyakinkan dia bahawa Rasyid sudah memaafkan dirinya. Qaseh terus dibayangi dosa lalu yang dilakukan olehnya sehingga abahnya bertindak menghalaunya ketika dahulu. Qaseh teresak-esak.

“Kakak!”kedengaran suara Harris dari luar yang mengetuk pintunya. Qaseh mengelap air matanya. Dia bangun lalu membukakan pintu.

“Solat?” Harris bertanya.

Qaseh menunduk. Sudah lama dia meninggalkan perkara yang menjadi kewajipan sebagai seorang Islam. Sejak dia menjadi pelayan kelab malam sekalipun dahi ini tidak pernah mencecah sejadah sehinggalah hari ini. Banyaknya dosa yang telah dia lakukan. Sedangkan dulu, abah dan maknya sudah cukup memberikan mereka semua didikan agama namun itu langsung tidak pernah dipraktikan di dalam kehidupan mereka. Malah mereka menjadi seorang manusia yang banyak melakukan kemungkaran diatas muka bumi ini.

“Solat ya…”Harris yang faham tindak tanduk kakaknya mula memujuk. Dia tahu Qaseh sudah berubah
“Tapi ALLAH masih terima ke solat kakak ni, Harris?”

Harris mengukirkan senyuman nipis. Bahu Qaseh dipegang.

“Itu antara kakak dengan ALLAH. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Kakak patut bersyukur tau yang ALLAH masih lagi beri peluang untuk kakak bertaubat. Kakak percayalah cakap Harris, bila kakak solat pasti kakak akan menemui satu ketenangan yang luar biasa. Terima atau tidak itu hak ALLAH. Kita sebagai hamba kena terus berusaha untuk mendekatkan diri kita dengan DIA.”

“Tapi kakak malu dengan ALLAH. Kakak malu sangat.”

“Kakak, seluas-luas pintu adalah pintu taubat. Tiada manusia yang tak lakukan kesilapan. Semua orang ada kisah silam. Kembalilah pada ALLAH, kakak. DIA rindukan kakak sebab tu dia berikan ujian kepada kakak. Cepat bersiap yea. Harris tunggu kakak.” Harris mengukirkan senyuman lalu melangkah pergi meninggalkan Qaseh yang masih lagi diselubungi rasa berdosa dan bersalah.

Malunya dia pada ALLAH.

****************

Qaseh menyediakan sarapan pagi itu sambil ditemani oleh Harris. Harris memang seorang yang ringan tulang. Dulu ketika abah masih ada, dialah yang menyediakan segala keperluan mereka. Sebelum dia pergi kelas, Harris akan menyediakan sarapan dan pada waktu tengah hari pula sama ada dia akan masak atau membeli makanan di luar. Kepergian abahnya sangat memberi impak yang besar buat Harris. Kini tiada lagi teman dia untuk bercerita.

“Kakak….”seru Harris lembut sambil mengelap pinggan. Qaseh yang sedang menggoreng bihun menoleh memandan adik lelakinya.

“Kakak balik teruskan ni?”soal Harris. Wajah Qaseh dipandang sayu..

Qaseh mengukirkan senyuman. Dia memang berhasrat untuk terus tinggal di kampung sahaja. Dia sebagai kakak sulung harus mengambil alih tugas yang dipikul oleh abahnya dulu dalam menjaga adik-adik serta rumah peninggalan arwah.

“Ya, Harris. Memang kakak balik terus.”jawapan Qaseh membuatkan Harris tersenyum lebar. Lega mendengar kata putus daripada Qaseh itu.

“Biar Harris kerja. Kakak duduk rumah saja tau.” Harris beria-ria. Gembira.

“Eh, mana boleh macam tu. Hang tu masih belajar. Jangan nak gatal nak bekerja pulak. Itu Harris tak payah risau. Kakak akan cari kerja nanti.”Qaseh menghalang. Dia nak Harris menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Lagipun sudah menjadi tanggungjawab dia untuk menyara kehidupan adik-adiknya.

“Tapi….”

“Tak ada tapi-tapi. Jangan degil dengan kakak.”pangkas Qaseh sebelum sempat Harris meneruskan bicaranya bagi memujuk Qaseh membenarkan dia untuk bekerja.

Harris menarik muncung. Qaseh mengerling sekilas melihat wajah Harris yang sudah masam mencuka. Tersenyum dia. Harris memang adik yang manja dan mendengar kata. Sikapnya itu membuatkan dia disayangi oleh arwah abah. Abah… rindunya kat abah. Hati Qaseh mula diundang pilu.

“Kakak, abang Ayim tu baiklah.”Harris memuji lelaki yang diperkenalkan oleh Qaseh sebagai majikannya. Semalam mereka berbual panjang. Dia sangat kagum dengan semangat yang ada pada Qayyim. Dia bangkit setelah hampir jatuh tersungkur.

Abang Ayim?” Qaseh tergelak kecil. Pelik bebenar bunyinya tu. Rasa loya tekak apabila mendengar panggilan yang dipanggil oleh Harris.

“Awat gelak?”Harris kehairanan.

“Hang tak payah nak poyo sangat panggil dia abang Ayim. Geli tekak kakak mendengarnya.” Qaseh tergelak lagi.

“Ehem! Seronok mengutuk aku nampak.” Qayyim yang entah bila berada di situ terus menyampuk.

Harris dan Qaseh menoleh memandang Qayyim. Lelaki itu nampak begitu serius.

Abang Ayim. Jemput makan.” Harris cuba bermesra. Dia bangun dari duduknya lalu menolak kerusi roda Qayyim menghampiri meja makan. Air kopi dituangkan buat Qayyim.

Qaseh meneruskan kerjanya. Api ditutup  lalu bihun dicedukkan ke dalam mangkuk untuk dihidangkan. Selepas semuanya selesai, Qaseh menarik kerusi untuk duduk bersebelahan dengan Harris. Harris sudah pun mencedukkan bihun goreng ke dalam pinggan Qaseh dan juga Qayyim. Tinggal untuk dijamah sahaja. Qaseh memandang Qayyim sekilas.

“Allah, aku lupa!” Qaseh menepuk dahinya.

“Lupa apa?” Harris bertanya.

Qaseh bangun dari duduknya. “ Lupa buatkan milo untuk abang Ayim hang ni. Dia tak minum kopi. Takut kulit gelap.” Qaseh menghilang ke dapur menjalankan tugasnya.

“Alhamdulillah, Harris tengok kakak dah mula boleh terima kenyataan.” Harris bersuara perubahan yang dia nampak di wajah Qaseh. Gadis itu tidak lagi terus menyalahkan diri serta membangkitkan segala apa yang telah dia lakukan dulu.

“Jangan risau. Abang akan jaga dia dengan baik.”

Harris menoleh memandang Qayyim di sebelah.

“Tapi kakak dah nak terus tinggal di kampung. Dia cakap nak cari kerja di sini.”

Qayyim tersentak. Jadi betullah tujuan sebenar minah nak balik ke kampung adalah nak melarikan diri daripada aku. Nasib baik aku sedar awal. Tapi macam mana nak paksa dia balik? Kalau aku paksa sekarang mahu mulut dia yang berpuaka tu tuduh aku tak prihatin dengan keadaan dia. Macam mana ni?

Abang beri dia ruang untuk menikmati ketenangan. Nanti abang akan datang jemput dia balik. Abang nak Harris juga ikut sama nanti.” Qayyim mengukirkan senyuman yang penuh dengan isi yang tersirat.

‘Kau hadir selepas Sofea. Tak mudah untuk aku lepaskan kau begitu sahaja, Minah.’

*******************

“Qasha, kejap lagi I ada appointment dengan doktor. Pukul 2.00 petang. Kandungan I dah masuk 7 bulan. Tak sangka cepat sangat.” Syarina mengingatkan Aqasha lagi walaupun sudah beberapa kali diingatkan. Tangan mengurut perutnya.

“ Hmm..” hanya itu yang respon daripada Aqasha. Dia masih lagi melekat pada Note 2. Entah apa yang lelaki itu sedang lakukan.

“You ni asyik dengan telefon aje pun dari tadi. Ada masalah ke?”

Aqasha menggeleng. Tidak berminat untuk berkongsi dengan sesiapa.

“You jangan nak bohong I. I tahu you ada masalah.”Syarina tidak berputus asa.

“Tak ada kena mengenalah dengan you.”balas Aqasha.

“Tak nak kongsi dengan I ke, Qasha? Selalunya kalau you ada masalah tak pernah you berahsia apa-apa dari I. Apa yang buat you nampak macam badmood sangat ni?”

“I nak kekasih I balik.”jawab Aqasha pendek.

“Dia pergi mana? I ingat selama ni you tak ada kekasih. Tak pernah pula you ceritakan semua ni kat I.”

Aqasha mengeluh hampa. Nombor telefon Qaseh cuba dihubungi beberapa kali namun tiada dalam perkhidmatan. Dia mungkin berada di luar kawasan ataupun sudah menukar nombor baru, Aqasha tak pasti. Tapi apa yang pasti, nombor itulah yang diberikan oleh setiausaha Qayyim ketika dia datang ke syarikat Qayyim. Sahabat baiknya juga tiada di pejabat. Dikhabarkan sudah dua hari Qayyim tidak masuk kerja. Dimanakah mereka sekarang?

“I tak tahulah apa salah I sampai dia tinggalkan I. I jujur sangat sayangkan dia.”

“Tak perlulah nak kecewa macam ni sekali. Kalau dia dah tak nak buat apa diharapkan lagi. You tak perlulah terhegeh-hegeh meraih cinta macam tu sekali. I kan ada.” Syarina memberi pendapatnya. Sungguh, lelaki di hadapannya ini berkedudukan. Ramai lagi perempuan lain yang berebut-rebut nak jadi teman buat Aqasha. Termasuklah dirinya.

“You tak faham.”bentak Aqasha. Dia langsung tidak setuju dengan cara Syarina.

“Siapa dia?” soal Syarina.

“Qaseh Zulaikha. Kenapa?” Aqasha menjongketkan kening kirinya.

“Kerja apa?”

Aqasha diam. Tak perlu Syarina tahu pekerjaan Qaseh. Dia tidak mahu kekasihnya itu dipandang rendah.

“Dah! Jom gerak. Nanti jalan sesak, lambat pulak sampai hospital.” Aqasha mengalih topic. Nanti kalau dilayan berderet pula soalan yang perlu dia jawab.

****************

Qaseh duduk sambil kakinya direndamkan ke dalam air sungai belakang rumah yang sangat sejuk. Menikmati angin petang yang sepoi-sepoi mendamaikan jiwanya. Tempat inilah tempat dia membesar dulu. Tempat dia bermain dan tempat mereka sekeluarga berkumpul. Dia sangat merindui suasana dulu yang kini hanyalah tinggal satu memori yang sukar untuk dilupakan. Bersama mak, abah serta adik-adik.

“Abah, mak…maafkan kakak kerana tak dapat menjadi anak yang baik untuk mak dan abah. Kakak gagal…” Air mata Qaseh mula terbit lagi. Setiap ketika, fikirannya asyik teringatkan arwah kedua-dua ibubapanya. Dosanya begitu banyak. Tidak mudah untuk dia lupakan begitu sahaja.

“Hidup ni tak selalunya indah. Setiap kisah kita di dunia ni pasti ada pasangannya. Tak selalunya kita akan gembira tanpa kesedihan dan tak selamanya kita sedih tanpa kegembiraan. Itu baru dinamakan kehidupan. Macam kitalah. Di mana ada minah di situ ada sengal.”satu suara mengejutkan Qaseh. Kepalanya pantas menoleh. Sedikit kagum dengan kata-kata yang dilontarkan.

“Kisah silam aku dulu buruk. Sampai aku sendiri malu dengan diri sendiri.”luah Qaseh.

“Kau bukan tak pakai baju nak malu-malu.”Qayyim berseloroh walaupun wajahnya serius. Dia tidak suka melihat Qaseh terus dilanda kesedihan seperti ini. Hati dia turut merasakan yang sama.  Aku rindu nak tengok kau senyum.

“Kau ni bukan nak membantu. Benci betullah aku dengan kau ni.” Qaseh merengus geram. Tak prihatin langsung dengan keadaan aku. Bukannya nak pujuk ke apa. Dok buat lawak bodoh pula.

“Kau sayang akukan? Aku tahu.”

Qaseh menjeling. Mulutnya muncung ke hadapan. Protes konon. Tolonglah nak sayang lelaki macam kau. KLCC runtuh terbina balik pun belum tentu aku akan sayang kau!

“Muncung ikan keli cantik lagi daripada muncung kau tu.”Qayyim mengusik lagi. Sengaja nak buat gadis itu lupakan tentang kesedihan dia untuk seketika.

“Eeee… sakit jiwa! Kau ni tak reti-reti nak balik rumah kau ke? Aku muaklah tengok muka kau.”balas Qaseh. Geram!

“Aku tak akan balik selagi kau tak ikut aku balik.”Qayyim memberi kata putus. Baru kau tahu. Kau ingat senang aku nak pergi macam tu saja? Memang taklah!

Mata Qaseh membulat mendengar perkataan yang seolah berbaur ugutan itu dari mulut Qayyim. Ini tak boleh jadi. Aku kena halau dia balik juga. Tak boleh! Tak boleh!

“Aku nak berhenti kerja. Kau pergilah balik. Tak elok kita duduk satu rumah. Kita bukan muhrim dan nanti apa pula kata orang kampung. Dahlah sejarah aku buruk. Tak akan kau nak tambahkan lagi.”

“Kisah apa aku. Suka hatilah orang kampung nak cakap apapun. Mulut orang mana boleh tutup.”balas Qayyim menambahkan rasa sakit dan sebal di hati Qaseh. Qayyim geli hati. Hilang juga rindu aku nak tengok muka kau yang tak puas hati ni.

Qaseh mengocak kakinya di dalam air kuat sehingga terpercik terkena Qayyim. Padan muka kau. Aku memang geram tahap gaban dah dengan kau. Kalau aku mati nanti memang aku jadi hantu aku cekik kau setiap malam. Biar kau tahu apa yang aku rasa sekarang ni. Masa tu baru kau tahu erti penyesalan yang sebenar.

“Ayim, cuba kau jadi manusia yang memahami perasaan orang lain. Jangan asyik fikir diri kau sahaja. Aku baru saja kehilangan abah aku. Jadi aku perlu ambil tugas untuk jaga adik-adik aku. Tak cukup kukuh ke alasan aku untuk kau faham?”suara Qaseh mendatar. Tak guna pun kalau dia terus berkeras kerana lelaki ini tidak akan pernah faham. Lelaki di sebelahnya ini adalah seorang lelaki yang hanya pentingkan diri sendiri.

“Aku tak faham dan tak nak faham. Kau tu yang kena faham aku. Jom masuk. Dah nak maghrib.”ajak Qayyim tegas. Gayanya tetap seorang bos yang memberi arahan kepada pekerja bawahannya.

“Biarlah. Kau siapa nak arah-arah aku. Suka hatilah.”Qaseh berdegil. Dia rasa macam nak menangis dan menjerit untuk melepaskan segala kekusutan yang ada tetapi cuba ditahan. Dia juga ada egonya. Tidak akan sesekali menangis depan lelaki ini.

“Sebelah kau ada siapa tu?”Qayyim bertanya.

Qaseh berkerut dahinya. Dia memerhati sebelah kanannya. Tak ada sesiapa. Apa pula lelaki ini mengarut?

“Ada apa?”

“Adalah. Perempuan rambut panjang. Tapi aku tak nampak muka.”

Qaseh mula berasa seram. Bulu romanya mula berdiri tegak. Dia pantas bangun lalu menyarung selipar jepunnya melangkah laju masuk ke dalam rumah.

Qayyim tergelak. Penakut juga kau, minah. Ada bahanlah kalau lepas ni kau degil!
*****************

Tuk!Tuk!Tuk!

Pintu diketuk dari luar. Qaseh yang baru sahaja habis solat bergegas menuju ke pintu untuk melihat siapa yang datang malam-malam begini. Sebaik sahaja pintu dibuka, terjengul wajah orang kampung yang nampak begitu suram.

“Assalamualaikum..”ucap Fuad, tok imam kampung.

“Waalaikumussalam. Ada apa imam?” Qaseh bertanya lembut.

“Ada apa hang cakap? Tak cukup hang jual tubuh hang kat bandar, kat sini pun hang nak buat jugak?”hambur seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an.

Qaseh terpempan. Apa maksudnya ini? Kenapa aku dituduh sebegini? Aku dah tak buat benda tu semua.

“Yus, sabar. Kita tak boleh terus tuduh.” Fuad cuba menenangkan keadaan. “Kami dapat aduan yang kamu bersekedudukan dengan seorang lelaki di dalam rumah ini.”

Qaseh menggeleng kepalanya laju. Tak mungkin. Dia hanya berkeseorangan ketika ini di dalam rumah. Qayyim telah mengikut Harris pergi ke surau untuk menunaikan solat maghrib. Mereka mungkin salah rumah.

“Saya berkeseorangan sahaja sekarang ni, imam. Tak ada sesiapa.”ujar Qaseh tenang walaupun dadanya sudah berdengup kencang.

“Minah!”


Qaseh bagaikan ada halintar yang menyambar tubuhnya ketika dia mendengar suara itu. Dia menoleh.. Lututnya longlai lalu jatuh rebah. Air matanya mula basah membasuh pipinya. Bala apakah kali ini? 


---> maaf lambat untuk naikkan post...hope enjoy dan jika ada yg kurang harap dimaafkan. Jika ada yang ingin dititipkan, sangat dialu-alukan.. Terima kasih kerana sudi menjenguk...

4 comments:

  1. Acu.hehe.mcm biasa.best.

    Err...awa? Qaseh kena tangkap basah ke 2?

    ReplyDelete
  2. Sambungla sis. X sabar nk tunggu sampai habis ni

    ReplyDelete
  3. Sambungannya please 🥺🥺. Sy jarang komen, kalau sy komen tu, tulah tanda sy minat dh sentiasa sokong benda tu.

    ReplyDelete

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH