KEAJAIBAN CINTA BAB 13

Bab 13

Qayyim memerhati langkah Qaseh menuju ke pintu. Perempuan itu memang nekad mahu berhenti kerja. Qayyim mengigit bibir. Memikirkan jalan keluar kepada masalah ini.

“Kau ada hutang dengan aku.”kata Qayyim membuatkan Qaseh menghentikan langkahnya.

Qaseh berpaling. Keningnya diangkat. Bahunya turut sama naik. Wajahnya berkerut. Tidak mengerti apa maksud Qayyim itu.

“Aku nak kau jelaskan sesuatu sebelum kau pergi.”

“Apa dia?”

Qayyim memusing kerusi rodanya menghampiri Qaseh di muka pintu.

“Bayar balik segala pembelanjaan yang telah aku laburkan untuk adik-adik kau kat kampung. Boleh?”

Qaseh terkesima. Gilakah lelaki ini? Mana aku nak ambil duit nak bayar semua tu? Nanti dulu! Aku tak minta pun dia tanggung pun dari awal lagi. Dia yang beria-ria menawarkan diri. Jadi kenapa perlu dia minta ganti rugi kembali? Ini tidak adil.

“Kau ni dah kenapa? Aku tak minta pun kau tanggung. Kau yang bagi jaminan kalau aku kerja dengan kau, kau tanggung semuanya. Mana aci minta balik.” Qaseh membela diri. Beg jinjing dia hempaskan perlahan di atas lantai. Tidak puas hati.

“Eh, tak kira. Aku nak kau ganti balik.”

“Kau tahukan aku ni bukan orang senang. Macam mana aku nak bayar balik?”

“Terpulanglah…”Qayyim membalas pendek.

Qaseh sebal. Mentang-mentang dia miskin, senang-senang saja lelaki ini mahu mempermainkan dirinya. Dia tidak akan biarkan lelaki ini buat apa yang dia suka. Qaseh perlu berkeras.

“Baik! Aku akan bayar balik tapi aku minta sedikit masa.”

Qayyim menggeleng laju. Tangannya bersilang ke dada.

“ Tak boleh. Aku nak kau bayar sekarang juga.” Qayyim mendesak.

Qaseh mengurut dahinya. Tidak tahu apa yang perlu dia lakukan sekarang. Dia dah tak boleh nak fikir. Tidak sangka begini sebenarnya sikap Qayyim yang sebenar. Ingatkan ikhlas sangat menolong sesama manusia rupanya ini yang Qaseh dapat. Kalaulah dia tahu dari awal lagi perangai Qayyim tidak mungkin dia akan menerima apatah lagi masuk ke dalam hidup lelaki ini.

“Kalau kau tak nak boleh bayar, kau jangan harap kau boleh keluar dari rumah ni.”

Qaseh melepaskan keluhan berat. Kenapa dia perlu dipertemukan dengan lelaki seperti ini? Aku tidak suka orang yang suka mengambil kesempatan! Dasar lelaki dayus. Ambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

“Cakap sajalah kau tak nak lepaskan aku. Takut rindu kat aku. Tak perlulah nak berkias-kias bagai.” Qaseh menuduh.. Spontan sahaja dia berkata sedemikian.

“Eeee… Tolonglah jangan nak perasan sangat. Kisah apa aku kau nak pergi mana pun. Tak ada untung pun simpan kau.”Qayyim membalas sinis. Cuba untuk mengawal dirinya supaya semuanya terkawal dan tidak diketahui oleh Qaseh.

Qaseh mencebik.

“Jadi berapa lama lagi aku perlu berkhidmat untuk kau?”

“Sampai hutang adik kau habis.”jawab Qayyim.

“Berapa yang aku kena bayar?”

Qayyim membuka lipatan kertas berukuran A4 yang diselitkan di dalam poket baju. Qaseh hanya membisu dan terus memerhati tingkah laku Qayyim.

“ Mengikut kiraan yang aku buat tadi, banyak sungguh yang kau kena bayar. Aku tak rasa kau mampu.”kata Qayyim penuh bersemangat. Dia geli hati melihat wajah Qaseh yang sudah mula berkerut itu.

“Berapa?”tanya Qaseh lagi. Suaranya sedikit meninggi.

“Agak-agak kau?”Qayyim bermain tarik tali. Pasti perempuan di hadapannya ini akan naik angina. Qayyim tersenyum di dalam hati.

Qaseh mendekati Qayyim. Kertas yang berada di tangan Qayyim cuba dirampas tetapi Qayyim lebih bersedia.

“Bak sini aku nak tengok.” Qaseh meminta.

“Tak boleh.” Qayyim menghalang lalu menyembunyikan kertas itu di dalam poket bajunya.

Qaseh mengigit bibir. Dia dah nekad. Biarlah lelaki ini nak kata apapun. Dia sanggup untuk melakukan apa sahaja.

Qaseh terus menyeluk poket baju Qayyim. Terpinga Qayyim. Dia cuba menghalang namun Qaseh sudah pun mampu mencapai helaian kertas itu. Padan muka kau, Qayyim. Nak sangat main-main dengan akukan? Baru kau tahu aku ni brutal.

“Mama! Ada orang goda Ayim.”Jerit Qayyim sekuat hati mengejutkan Qaseh.

Qaseh terkedu. Kertas yang diambil tadi terus dilemparkan kembali kepada Qayyim. Takut…

“Kenapa Ayim?” Datin Kursiah yang dalam keadaan cemas terus bertanya kepada Qayyim. Dia memandang Qayyim dan Qaseh berulang kali.

Qaseh kecut perut. Wajahnya ditundukkan. Kakinya melangkah ke belakang selangkah. Takut untuk menghadapi Datin Kursiah yang sangat tegas dan garang itu. Apalah nasib dirinya ini…

Qayyim tersenyum senget. Sejurus kemudian, dia memandang Datin Kursiah. Mati terus senyuman. Dia mengerutkan mukanya memohon simpati. “ Mama, minah ni nak goda Ayim.”adu Qayyim.

Giliran Datin Kursiah berkerut dahi. Wajah Qaseh dipandang sebelum dia memandang anaknya semula. Biar betul? Datin Kursiah tidak percaya.

“Apa yang kamu dah buat kat Ayim?”

“Tak buat apa.”jawab Qaseh terketar-ketar. Dia betul-betul takut apabila berhadapan dengan Datin Kursiah. Wanita itu sangat tegas walaupun pada luarannya nampak lembut. Lagi-lagi jika melibatkan tentang diri anaknya.

“Nasib baik mama datang. Kalau tidak tak tahulah apa yang akan terjadi kat Ayim ni.” Qayyim menambah lagi membuatkan Qaseh bertambah geram.

“Yang kamu ni dengan beg pakaian ni, nak pergi mana?”soal Datin Kursiah.

Qaseh mengangkat kepalanya. Digagahkan juga memandang wajah Datin Kursiah tetapi sempat lagi dia menjeling sekilas wajah Qayyim yang tersenyum kemenangan. Sikit-sikit mama. Lelaki apa macam tu. Qaseh jelek.

“ Saya nak berhenti kerja.”jawab Qaseh jujur.

Datin Kursiah terkejut. Dia menapak menghampiri Qaseh yang berdiri tidak jauh daripadanya.

“Kenapa?”

“Saya dapat kerja baru.” Qaseh menipu. Biarlah asalkan dia dapat keluar dan lepaskan diri daripada lelaki sengal ini.

“Jangan lupa semasa terima kerja ini, kamu ada menandatangi satu surat. Kamu tak bacakan isi kandungannya?”

Qaseh cuba untuk mengingati apa yang dimaksudkan oleh Datin Kursiah itu. Beberapa saat dia mula teringat, dia ada menandatangani sekeping surat. Tidak pula dia berminat untuk membacanya ketika itu. Sepantas kemudian, Qaseh menggeleng. Mengaku apa yang dikatakan oleh Datin Kursiah itu.

“Jadi jangan ingat kamu boleh berhenti kerja begitu sahaja. Ingat tu.” Datin Kursiah terus berlalu meninggalkan Qaseh terkulat-kulat di situ.

Hatinya tiba-tiba diundang rasa sebak. Sebak kerana diperlakukan hidupnya seperti itu. Qaseh ingin melepaskan diri dari semua ini tapi ternyata masih belum mampu.

************

“Yunie, aku nak balas dendam.” Sofea memberitahu sahabat baiknya itu.

Yunie yang sedang menonton rancangan kegemarannya terus menoleh. Dia menekan butang “PAUSE” bagi menghentikan sementara filem yang dipasang di televisyen itu. Berminat ingin tahu siapakah yang Sofea maksudkan itu.

“Nak balas dendam kat siapa?”soal Yunie.

“Bakal isteri Ayim. Perempuan tak guna tu”

Yunie terkejut.

“Maksud kau?”

“Aku tak sangka secepat itu Ayim dapat pengganti aku. Aku ingat bila aku tinggalkan dia, dia akan merana tetapi aku silap. Dia sedang berbahagia dengan orang lain. Tak sangka lelaki cacat macam Ayim tu ada juga orang yang nak.” Sofea tidak berpuas hati. Rasa marah dan dendamnya tidak pernah hilang walaupun Fakir menasihatinya supaya melupakan sahaja semua yang terjadi. Sofea tidak senang melihat kebahagiaan Qayyim. Dia nak lelaki itu merana.

“Baguslah kalau ada orang nak. Tu tandanya perempuan tu memang tak mementingkan kesempurnaan. Dia terima Ayim apa adanya. Bukan macam sesetengah orang tu. Bila tak sempurna, terus saja ditinggalkan. Tak adil namanya tu.” Yunie meluahkan rasa. Dia bersyukur apabila mendengar Qayyim sudah mendapat orang baru selepas ditinggalkan oleh Sofea. Lelaki itu memang patut bahagia.

Sofea menolak bahu Yunie kasar. Marah apabila Yunie seolah-olah menyokong Qayyim ada kehidupan yang baru. Dia fikir yang Yunie akan turut merasa apa yang dia rasa. Sofea bertambah sakit hati. Kenapa semua orang tak pernah menyokong apa yang dia lakukan?

Shit! Kau sokong lelaki tu? Kau tu kawan baik aku ke kawan baik lelaki cacat tu?” Sofea geram. Tangannya bersilang rapat ke dadanya. Cuba untuk mengawal rasa marah yang membuak-buak di dada. Menunggu masa untuk meletus sahaja.

“ Hei, tak payahlah nak balas dendam. Kau pun dah ada Fakir. Buat apa nak ganggu kehidupan Ayim lagi?”

Sofea mendengus kasar. Dia lantas mengangkat punggung berlalu dari situ. Ada sahabat baik pun tak pernah nak menyokong apa yang dia nak lakukan. Begitu juga dengan Fakir.

“Aku tak akan berdiam diri melihat kebahagiaan Ayim. Ingat tu!” Sofea terus memanjat tangga meninggalkan Yunie keseorangan di situ.

“Bilalah kau nak berubah, Sofea?”

Yunie menggeleng. Sikap keras kepala sahabat baiknya itu memang tiada siapa yang mampu untuk melembutkannya.

***************

“Sampai bila kau nak seksa hidup aku?”soal Qaseh kepada Qayyim. Wajah lelaki itu sangat menyakitkan hatinya.

Qayyim tidak mengendahkan pertanyaan Qaseh. Tumpuannya tetap pada ikan yang sedang seronok berenang di dalam air. Betapa indahnya kehidupan seekor ikan. Hidup sentiasa gembira tanpa perlu memikirkan masalah sesiapa. Dirinya dibela dan diberi makan bila tiba masanya. Alangkah bagus kalau kehidupannya juga seperti itu.

“Ayim!” Qaseh terus menampar bahu Qayyim. Kuat dan cukup membuatkan lelaki itu mengaduh kesakitan.

“Gila ke apa?”marah Qayyim sambil menggosok bahunya akibat ditampar oleh Qaseh tadi. Terkejut dia apabila menerima tamparan maut tu.

“Aku tanya, kau buat tak tahu aje. Sakit hati tau tak?”

“Kau tanya apa? Aku tak dengar.” Suara Qayyim mula kendur. Dia mengambil makanan ikan yang disediakan di tepi kolam itu lalu dilemparkan ke dalam kolam.  Berebut-rebut ikan itu antara satu sama lain.

Qaseh duduk di tepi kolam. Dia cuba untuk bertenang. Dia akan memujuk Qayyim supaya menolong dia untuk melepaskan diri dari sini.

“Sampai bila kau nak seksa aku? Aku tak ada untung pun kat kau. Aku tak ada duit pun yang boleh kau nak rompak aku apatah lagi harta yang bertimbun-timbun.”

“Aku tak halang kau pun tadi. Tapi kau aje yang aku tengok usung beg kau tu masuk dalam bilik balik. Aku ingatkan kau memang nak pergi betul tadi. Bahagia sikit hidup aku kalau kau pergi.” Qayyim sempat lagi menyakitkan hati Qaseh.

“Aku terikat dengan perjanjian mama kau. Tolong aku boleh?”

“Tolong apa?”soal Qayyim berpura-pura tidak faham. Dia sebenarnya sudah tahu apa yang ingin disampaikan oleh Qaseh itu.

“Tolong aku pujuk mama kau supaya lepaskan aku. Aku nak balik kampung. Dah tak nak hidup kat bandar lagi. Tolonglah aku.”pujuk Qaseh dengan riak wajah simpati. Memohon belas kasihan daripada Qayyim. Dia sangat mengharapkan lelaki itu walaupun dia tahu harapannya sangat tipis.

Qayyim mengulum bibirnya. Cair hatinya mendengar pujuk rayu Qaseh itu. Qayyim! Sedarlah kau dari lamunan panjang. Qayyim berdehem sekali.

“Apa yang aku dapat kalau tolong kau?”

“Apa sahaja kau minta aku buat aku pasti akan turuti. Aku janji.” Qaseh  mengangkat tangannya seperti sedang bersumpah. Wajahnya memang simpati habis. Dia memang bersungguh-sungguh.

“ Kalau aku minta kau terus bekerja dengan aku macam mana?” Qayyim menyoal.

Qaseh mendengus sebelum melepaskan keluhan berat. Lelaki ini memang tidak faham bahasa. Tak guna dia meminta tolong daripada Qayyim lagi. Punggungnya diangkat. Ingin berlalu dari situ. Dia ingin melepaskan rasa sebak di dada. Tidak mampu untuk menahan lagi.

“Aku boleh tolong kau.”suara Qayyim itu menghentikan langkah Qaseh. Dia menoleh memandang Qayyim.

“Kau boleh balik kampung tapi seminggu sahaja. Lepas tu kau kena datang berkhidmat kat sini semula. Boleh?” Qayyim memberi arahan.

Qaseh mengeluh lagi. Seminggu? Aku tak ingin seminggu. Aku nak selama-lamanya jauh dan pergi dari hidup kau. Aku dah tak sanggup, sengal. Tak sanggup nak menghadapi karenah kau. Ditambah lagi ugutan Aqasha tempoh hari. Dia nak lari dari semua tu. Dia nak kembali ke tempat asalnya.

“ Seminggu aje?” Qaseh tidak berpuas hati. Terlalu singkat.

“Jadilah daripada tak ada langsung.”

Qaseh berfikir sejenak. Sejurus kemudian dia tersenyum. Tiba-tiba terlintas idea di kotak fikirannya. Sambil menyelam minum air. Terima kasih, sengal kerana melepaskan aku. Qaseh mula rasa seronok. Dia akan ambil kesempatan atas kebenaran ini.

“Betul ni?” Qaseh tidak percaya. Berpura-pura gembira tetapi pada hakikatnya dia memang begitu teruja untuk bercuti.

Qayyim mengangguk.

“ Ni yang aku sayang kau ni. Terima kasih sengal! Dah lama aku tak balik jenguk keluarga aku kat kampung. Kau memang majikan yang baik.” Qaseh memuji. Dalam hatinya mula mencebik. Kerana kau, aku terpaksa jadi orang hipokrit tau, sengal…

Qayyim terkesima seketika mendengar ucapan itu. Betul ke dia sayang aku? Qayyim rasa hatinya mula berbunga-bunga. Tak sangka yang Qaseh sayang akan dirinya. Qayyim diundang rasa bahagia. Tapi dalam masa yang sama dia geli hati.


Kau ingat aku tak tahu apa rancangan kau? Jangan mimpi dapat lari dari aku.! Qayyim berkata dalam hati. 


pss -
 assalamualaikum..terima kasih kerana sudi menjenguk dan membaca kesinambungan cerita tentang Qayyim dan Qaseh. Maafkan saya kerana sudah lama tidak update. Selain sibuk dengan kelas, assignment dan kesukaran untuk mendapat internet, 2 minggu yang lepas abah saya telah pulang ke rahmatullah. Jadi saya terpaksa menangguhkan untuk menaikkan entry terbaru. Saya berharap agar semua enjoy dan jika nak komen, dipersilakan.. terima kasih... :)

2 comments:

  1. best lah acu...moga acu tabah k :)

    selamat berpuasa sayang :)

    ReplyDelete
  2. takziah diucapkan..
    semoga adik tabah dan redha yer...
    sentiasa menunggu entry bru.. :)

    ReplyDelete

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH