Qaseh menyediakan sarapan khas untuk Qayyim. Itulah
kerjanya hari-hari. Sediakan sarapan, sediakan pakaian dan jalankan terapi buat
Qayyim sama ada di rumah atau di hospital. Kalau nak diikutkan rasa penat memanglah
penat tapi Qaseh cuba memujuk dirinya supaya sabar. Dia buat kerja yang halal.
Tak akanlah dia nak kembali bekerja sebagai pelayan kelab malam pula. Cukuplah
dulu dia bergelumang dengan dosa, Qaseh sesekali tidak akan pernah menjejakkan
kakinya di situ lagi.
Pintu bilik Qayyim diketuk. Selepas mendengar suara
Qayyim membenarkan Qaseh masuk, Qaseh terus melangkah masuk.
“Kau tolong gosokkan baju aku ni. Aku nak pakai.”
Qaseh berkerut dahinya. Baju kemeja? Dia nak pergi
mana? Seingat Qaseh hari ini Qayyim tiada terapi di hospital dan Qayyim pun tak
ada beritahu dia nak kemana-mana hari ini. Kenapa pula dia perlu gosokkan baju
kemeja tu?
“Cepatlah. Nanti aku lambat ke ofis.”gesa Qayyim apabila melihat Qaseh berdiri tercegat tidak
berkutik itu.
“Pergi ofis
buat apa?”soal Qaseh mematikan persoalan yang bermain di minda.
“ Memancing.” jawab Qayyim selamba. Mukanya serius.
“Gila ke pergi ofis memancing. Jawapan tak logik
langsung.”
“Sudahlah. Jangan nak pot pet pot pet. Buat apa yang
aku suruh tu cepat. Nanti papa aku bising.”
Qaseh tidak bertanya lagi. Dia terus menjalankan
kerja seperti yang diarahkan oleh Qayyim.
Qayyim setia menunggu Qaseh tekun membuat kerjanya.
Matanya mula mengamati wajah Qaseh secara diam. Kening Qaseh yang nipis
tersusun rapi. Turun pula ke mata. Gadis itu memiliki sepasang mata yang
cantik. Mata hitamnya yang besar membuatkan mata Qaseh begitu menarik untuk
ditatap. Setelah puas menilik mata, kali ini hidung Qaseh pula menjadi sasaran.
Hidungnya yang mancung menjadi penambah perisa bagi mencantikkan lagi wajah
Qaseh. Bibirnya yang mungil dan nipis itu juga membuatkan semua orang terpesona
apabila melihatnya. Boleh diibaratkan gadis ini begitu sempurna ciptaannya.
Tiada cacat cela dari pandangan mata Qayyim yang agak tinggi cita rasanya ini.
Cantik!
“Nah. Dah siap..” Qaseh mengukirkan senyuman apabila
kerjanya sudah selesai. Baju kemeja itu diserahkan semula kepada Qayyim.
Qayyim hanya membatu. Matanya masih lagi memandang
Qaseh. Langsung tidak berkelip. Qaseh cuba melayangkan tangannya di hadapan
muka Qayyim tetapi lelaki itu tetap membatu. Berangan agaknya.
“Hoi! ”jeritan Qaseh membuatkan Qayyim tersedar dari
lamunan.
“Cantiknya kau Minah….” Qayyim yang terkejut terus
melatah. Dengan pantas Qayyim menekup mulutnya
rapat apabila menyedari dia
sudah tersasul.
Qaseh membulatkan matanya. Terkedu seketika apabila
mendengar perkataan yang keluar dari mulut Qayyim itu. Sejurus kemudian, Qaseh
ketawa berdekeh-dekeh. Dia tidak mahu
perasan diri. Nanti dia pula yang malu. Mungkin lelaki itu sedang teringatkan
orang lain, Qaseh pula yang perasan lebih. Baik buat-buat tak dengar sudah.
Qayyim mengetap bibirnya. Dia dengar ke tidak aku
latah tadi? Harap-harap taklah. Malu aku nanti kalau dia tahu aku tengah
berangan tengok muka dia. Qayyim berkata dalam hati.
“ Bak sini. Buat kerja lambat.”tebak Qayyim cuba
mengawal dirinya.
“Kau berangan ya? Teringatkan aweklah tu.”usik
Qaseh.
Qayyim tidak menjawab. Dia terus menyarungkan kemeja
yang telah digosok oleh Qaseh lalu dibutangkan. Tali leher yang diletakkan di
dalam almari diambil sebelum disematkan ke leher.
“Kau nak ke pejabat ke ni?” Qaseh bertanya lagi.
Tadi Qayyim tidak menjawab pertanyaan daripadanya.
“Yalah. Tak akanlah nak ke bendang pula.”jawab
Qayyim kasar. “ Bawakan sarapan aku ke meja makan. Aku nak bersarapan dengan
papa dan mama aku.”arah Qayyim tegas. Dia memusingkan kerusi rodanya keluar
dari bilik meninggalkan Qaseh yang masih lagi terpinga-pinga.
“Semakin hari semakin pelik dengan lelaki ni.”leter
Qaseh sebelum dulang diangkat menuju ke meja makan.
“Selamat pagi mama, papa.” ucap Qayyim ceria kepada
Datuk Qairi dan Datin Kursiah yang sedang menikmati sarapan pagi. Qayyim
mengambil tempat di sebelah Datin Kursiah apabila bangku meja itu telah
dikosongkan khas buat Qayyim.
Datuk Qairi dan Datin Kursiah berpandangan sesama
sendiri sebelum pandangan dikalihkan kepada Qayyim yang tampak ceria pagi ini.
Mereka sangat pelik melihat Qayyim pagi ini.
“Ayim nak pergi mana ni dengan pakai macam ni?”tanya
Datin Kursiah.
“Ayim nak ke pejabat. Mulai hari ini, Ayim akan mula
bekerja semula. Papa, Ayim masih jadi CEO di syarikat papakan?” Qayyim
menjongketkan keningnya sejenak.
“Bagus kalau kau dah sedar. Jawatan tu tak pernah
terisi untuk orang lain. Hanya untuk kau, Ayim.” Datuk Qairi menjawab tenang.
Mukanya serius. Langsung tiada riak dia gembira dengan kehadiran semula Qayyim
ke syarikatnya.
“Terima kasih papa.”
“Qaseh akan ikut sekali Ayim ke pejabat ke?”soal
Datin Kursiah lagi.
Qayyim lantas mengangguk. Qaseh yang sedang berdiri
di sebelahnya memandang Qayyim memohon penjelasan. Tetapi lelaki itu tidak
menghiraukannya. Masih lagi enak menikmati sarapan pagi.
“Qaseh, kamu pergi bersiap. Nanti kamu akan ikut
Qayyim ke pejabat.”Datin Kursiah memberi arahan.
Qaseh mengangguk. Tanpa berlengah, dia terus
mengangkat kaki menuju ke biliknya. Almari pakaiannya dibuka. Satu persatu baju
dicuba namun langsung tidak menepati kriteria. Tiada satu baju pun yang sesuai
dipakai untuk ke pejabat.
“Sengal ni pun satu. Bukannya nak bagitau awal-awal
kata nak ke pejabat hari ini. Aku nak pakai baju apa ni?” Qaseh buntu. Dia
menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Tak akan aku nak pakai skirt ni pula. Aku ni cuma
orang gaji saja. Aduh, peningnya kepala aku.” Qaseh merungut lagi.
“Minah! Kau siap apa lama sangat tu?”kedengaran
jeritan Qayyim dari luar.
“Sekejap!” Qaseh semakin gelabah.
Dia meneruskan pencariannya dan akhirnya dia
mengambil keputusan untuk memakai baju kurung lusuh yang dipinjam daripada
Ziezie yang turut dibawa bersama ketika mula bekerja di rumah banglo itu.
Lantaklah. Kalau pakai baju kurung memang kenalah dengan kerja dia sebagai
orang gaji.
Selepas beberapa minit, Qaseh selesai bersiap.
Rambutnya diikat satu dan mukanya disapu sedikit bedak nipis. Dia turut
mencalitkan sedikit pelembab di bibirnya. Qaseh mencapai beg dompetnya lalu
melangkah keluar dari biliknya.
Qayyim memandang Qaseh pelik. Atas bawah, atas bawah
Qayyim memerhati.
“Kau pakai baju apa ni?”soal Qayyim jengkel.
“Baju kurunglah. Kenapa tuan?” Qaseh menggunakan panggilan
formal kerana ketika itu Datin Kursiah turut bersama dengan mereka. Datuk Qairi
sudah tiada. Mungkin sudah ke pejabat terlebih dahulu.
“ Kenapa kau tanya? Tak akanlah kau nak ke pejabat
pakai baju buruk macam ni?”bentak Qayyim tidak menggemari pakaian yang
disarungkan di tubuh Qaseh.
“Kamu tak ada baju lain ke, Qaseh?” Datin Kursiah
pula menyampuk.
Buruk sangat ke baju ni? Aku ni cuma orang gaji saja
bukannya setiausaha ke, bos ke. Tak perlu nak pakai cantik-cantik. Ngomel Qaseh
dalam hati. Dia pelik dengan dua beranak ini. Biarlah nak pakai baju apa pun.
Asalkan pakai baju. Kalau tak pakai baju tu nak marah tak apalah juga.
“Tak ada Datin. ” jawab Qaseh perlahan. Wajahnya
ditundukkan sedikit.
“Dahlah. Jom
cepat. Aku dah lewat masuk ofis.”gesa
Qayyim tidak lagi mengkritik pakaian Qaseh. Jam di tangan dikerling sekilas
sebelum tangan mamanya dicapai lalu disalam dengan penuh rasa hormat.
“Jaga Ayim baik-baik, Qaseh.” pesan Datin Kursiah
sebelum mereka berangkat untuk ke pejabat.
****************
“Selamat kembali Tuan Zill Qayyim…”ucap salah
seorang staff syarikat sebaik sahaja kerusi roda Qayyim mencecah di pintu masuk
pejabat. Masing-masing seperti sedang menunggu ketibaan Qayyim. Mungkin Datuk
Qairi sudah memaklumkan awal-awal lagi tentang kehadiran Qayyim ke pejabat hari
ini.
“Terima kasih.” Qayyim membalas. Bibirnya mengoyak
senyuman yang paling manis buat semua stafnya.
“Ayim…. Akhirnya kau kembali juga. Aku dah lama
tunggu kedatangan semula kau kat pejabat ni.” Fathir yang baru datang dari
biliknya terus menyapa sahabat baiknya itu. Dia sangat rindukan Qayyim. Sudah
lama rasanya dia tidak berjumpa dengan Qayyim. Ini semua kerana dia tersangkut
dalam kesibukan kerja yang menyekat untuk dia bertemu dengan Qayyim. Tapi dia
gembira apabila mendengar Datuk Qairi memberitahu tentang kehadiran Qayyim pada
hari ini.
“ Aku ingat kau lupa kawan dah. Bukannya nak melawat
aku kat rumah. Mentang-mentanglah aku dah tak sempurna macam dulu.” Qayyim
membuat-buat merajuk. Sengaja ingin bergurau dengan Fathir.
Qaseh di sebelah hanya memasang telinga. Dia rasa
sangat janggal apabila berada dalam suasana yang tak pernah langsung dirasai
olehnya sebelum ini. Tadi ketika tiba di syarikat ini pun hati Qaseh sudah
berdegup kencang. Rasa macam tak percaya boleh merasai semua ini.
“Jangan cakap macam tu. Aku sibuk. Kau tahukan yang
aku kena ambil alih tugas kau. Aku tak akan pernah lupakan sahabat baik aku
ni.”ujar Fathir mencantas dakwaan Qayyim.
“Yalah tu.”
“Siapa sebelah kau tu? Tak nak kenalkan kat aku ke?”Fathir
bertanya. Nak juga tahu siapalah gadis cantik yang menemani Qayyim itu. Nak
kata Sofea pun bukan, adik Qayyim pun bukan sebab Fathir masih lagi mengingati
wajah Qalisya walaupun sudah beberapa tahun tidak berjumpa kerana dia sedang
belajar di luar negara.
“Lupa pula. Ni pembantu aku. Namanya Minah kepo
campur puaka campur senget.” Qayyim tersengih.
Qaseh membulat matanya. Bibirnya diketap geram.
Hatinya sudah bersarang rasa geram yang teramat sangat. Aku seligi juga lelaki
ni nanti.
“Panjangnya nama. Kau biar betul, Ayim!” Fathir
menolak bahu Qayyim sedikit. Ada ke nama orang macam tu? Pasti ini rekaan
Qayyim semata-mata.
“Jangan percaya cakap kawan encik ni. Otak dia biul
sikit. Mungkin kesan kemalangan kot.” Qaseh yang dari tadi hanya diam terus menyampuk
sekaligus mengutuk Qayyim.
Fathir ketawa kuat sehingga menganggu staf lain. Lucu
apabila melihat mereka berdua ini. Macam sedang berperang dingin.
“Korang ni lawaklah. Masing-masing saling menuduh.
Gaduh-gaduh manjalah ni.” kata Fathir sambil menghabiskan sisa ketawanya.
“Mengarut kau, Fathir. Tak ada maknanya manja. Seksa
lagi adalah.” Qayyim membalas. “Dahlah. Aku nak masuk bilik aku dulu. Rindu tak
tahu nak kata dah ni.”
“Bilik kau tetap macam dulu. Jangan risau. Aku tak
usik apa-apa pun.”
“Minah, cepat tolak aku. Aku tak sabar nak duduk di kerusi CEO semula.” Qayyim nampak
sangat teruja dari riak wajahnya.
Qaseh menurut. Beberapa biji mata yang sedang asyik
memandang tepat kepadanya dibuat-buat tak nampak. Qaseh tidak tahu tujuan
sebenar dirinya begitu menjadi perhatian kepada staf yang bekerja di syarikat
ini. Lagi-lagi staf lelaki. Qaseh tak ada pula pakai pakaian seksi, mekap pun
tak adalah tebal sangat. Biasa-biasa saja.
Qayyim tersenyum lebar sebaik sahaja masuk ke dalam
biliknya. Matanya memerhati sekeliling. Masih sama seperti sebelum ini. Tiada
satu barang pun yang diusik. Qayyim berpuas hati. Dia pantang apabila ada orang
yang cuba menyentuh barang-barangnya. Hanya orang tertentu sahaja yang
dibenarkan.
“Minah…. Kau keluar tunggu di luar. Aku nak berbual
dengan Fathir sekejap.”Qayyim berkata mendatar.
“Tunggu kat mana?” Qaseh yang masih lagi kekok
menyuarakan pertanyaan.
“Kau pergi duduk dengan setiausaha aku kat depan
sana tu. Kau tolong dia buat apa yang patut. Kalau agak tak ada kerja sangat,
kau bersihkan ofis ni. Sapu sampah, cuci habuk ke terpulanglah kat kau nak buat
apa pun.”
Qaseh bermain dengan jarinya. Rambutnya yang
menutupi matanya disangkut di belakang telinga. Dia risau jika mereka tidak
dapat menerima kehadirannya.
“Cik Minah jangan risau. Staf kat sini semuanya
sporting belaka. Yang tak tahu malu pun ramai.” Fathir berseloroh menghilangkan
kegusaran hati Qaseh.
“Baiklah.”kata Qaseh berjalan keluar dari bilik
Qayyim.
Selepas pintu ditutup, Fathir melabuhkan punggungnya
di atas sofa. Mereka banyak sangat nak bertukar cerita. Maklumlah, sudah lama
tidak bersua muka dan bercerita masalah. Bila dah berjumpa, kerja diletakkan
sebelah terlebih dahulu.
**************
Qaseh mengukirkan senyuman yang dilemparkan untuk staf
yang bertembung dengannya. Kakinya menapak perlahan menuju ke meja yang berada
hadapan bilik Qayyim. Di atas meja tertulis setiausaha. Seorang wanita yang
bertudung litup sedang sibuk meneliti kertas yang di atas mejanya. Wajahnya
langsung tidak dipanggung.
“Assalamualaikum.”sapa Qaseh lembut.
Wanita itu mengangkat kepala. Sejurus kemudian dia
mengukirkan senyuman.
“Adik ni yang datang dengan Tuan Ayim tadikan?”soal
Aida merangkap setiausaha Qayyim yang sudah lima tahun berkhidmat di sini.
“Ya. Saya Qaseh. Panggil saja Qas. Saya ni pembantu
kepada Tuan Qayyim.” ujar Qaseh tanpa disuruh.
Tangannya dihulurkan untuk
bersalaman dan Aida menyambut mesra. Senyuman tidak lekang dari bibir wanita
itu.
“Akak ni Aida. Panggil saja Kak Ida. Jadi Qaseh
diambil untuk jaga Tuan Ayimlah… Jemput duduk.”pelawa Aida. Dia turut kembali
duduk.
“Saya mengganggu Kak Ida ke tak ni?” Qaseh sekadar
bertanya. Tak mahu jika kehadirannya di
situ akan membantutkan kerja-kerja Aida nanti.
“Kak Ida kena susun minit mesyuarat ni sekejap.
Sibuklah sikit tapi kalau Qas tak kisah bolehlah tunggu sekejap. Lepas semua ni
siap, bolehlah kita bergosip.” Aida tersengih sehingga tertutup matanya yang
sepet itu.
“Kalau begitu tak apalah. Kak Ida, kat mana tandas
ya?”
“Qas jalan terus lepas itu corner kiri. Kalau nak ke pantry,
sebelah tandas tu je. Pergilah basahkan tekak daripada tak buat apa-apa kat
sini.”
Qaseh mengangguk lalu mengangkat punggung. Dia
segera berlalu dari situ mengikut arah yang ditunjukkan oleh Aida. Dia sekadar
ingin memastikan penampilannya kemas di samping membuang masa daripada terus
duduk melihat Aida menyiapkan kerja tanpa berbuat apa-apa. Bosan pula.
“Tuan Ayim dah masuk ofis semula dah. Kau tengok
keadaan dia. Kasihankan…” terdengar satu suara yang datang dari dalam tandas.
Qaseh yang baru sahaja hendak melangkah masuk tidak jadi. Dia hanya memasang
telinga.
“Dah cacat. Itulah dulu sombong sangat. Tuhan dah
bagi balasanlah tu.” sampuk satu suara yang lain pula.
“Aku dengar kata Sofea dan Tuan Ayim dah putus.
Mesti Sofea minta putuskan. Kalau aku jadi Sofea pun aku minta putus. Tak
akanlah kita nak hidup dengan orang yang nanti akan menyusahkan kita saja. Baik
angkat kaki. Ada harta, rupa macam manapun tapi tak sempurna buat apa.”
“Aku pun dah malas nak try. Tak mahulah aku lelaki yang macam mayat hidup seperti tu.
Banyak lagi lelaki yang lebih kaya dan kacak daripada Ayim cacat tu.” Terburai
ketawa mereka berdua.
Qaseh berasa panas hati. Telinganya menangkap setiap
butir yang diperkatakan oleh dua gadis yang sedang membetulkan mekap di hadapan
cermin panjang tandas itu. Nafas Qaseh turun naik. Tangannya dikepal geram dan
bibirnya diketap kejap. Dia rasa terguris dengan kata-kata itu. Mereka tidak
boleh mengutuk Qayyim seperti itu.
Sebaik sahaja Qaseh melangkah masuk ke dalam tandas,
dua orang gadis itu terus terdiam. Qaseh mengukirkan senyuman palsu. Dia
menghampiri singki lalu paip dibuka. Air ditadah di dalam tangan sebelum disapu
di muka. Qaseh membetulkan ikatan rambutnya. Setelah berpuas hati, Qaseh
memandang gadis itu semula.
“Hai, saya Qaseh.” Qaseh memperkenalkan diri ramah.
Dia cuba mengawal suaranya. Bibirnya merekah mengukirkan senyuman buat dua
orang gadis yang hanya memerhati setiap kelakuannya itu.
“You ni
siapa? Kenapa you datang dengan Tuan
Ayim?”tanya gadis yang berambut pendek paras bahu itu. Dia memakai skirt atas
lutut dan badannya disarung dengan kemeja bercorak kotak.
“Saya pembantu Tuan Ayim. Awak berdua pula? Pegang
jawatan apa dalam syarikat ni?”soal Qaseh kembali.
“I kerani.”
“I HR.”
Qaseh mengangguk. Tak adalah besar sangat jawatan
yang disandang. Tapi mulut pedasnya mengutuk bos besar.
“ Tak adalah besar sangat jawatan awak berdua. Saya
ingatkan awak berdua ni Pengarah Syarikat ni. Baiklah saya pergi dulu. Tak
payahlah nak try Tuan Ayim tu ya
sebab dia ada beritahu saya yang dia tak pandang orang yang bermulut hot and spicy bak ayam goreng Ayamas tu.
Bukan taste dia.” Qaseh memerli
sambil tersengih paling bermakna buat mereka berdua. Dia tidak kisahkan apa
perspektif yang mahu diberikan oleh mereka berdua. Mereka buat salah, jadi
harus ditegur.
Dua orang gadis itu tersentak. Masing-masing nampak
muka cuak akibat terkena tempelak daripada Qaseh tadi.
“Lagi satu, Tuan Ayim tu cacat ke tak cacat ke tak
ada pun menyusahkan awak berdua. Awak berdua saja yang menyusahkan dia. Tak
buat kerja. Tahunya bergosip. Bila cukup bulan gaji masuk. Tak ke menyusahkan
orang tu?” Qaseh mengangkat kening. Dia lucu melihat wajah mereka berdua. Baru
padan
muka. Kata lagi kat si sengal tu. Ini makannya.
“Kau sibuk apasal? Kau tu siapa nak komen aku buat
kerja ke tidak? Baru jadi pembantu dah berlagak.” marah gadis itu. Seorang
berpeluk tubuh dan seorang lagi merenung Qaseh tajam. Macam nak terkam gayanya.
“Opss.. Terlupa pula saya ni hanyalah pembantu
bukannya bos. Saya minta diri dulu. Saya tak mahu makan gaji buta pula bila
asyik bergosip kat sini. Maafkan saya ya tak dapat nak luangkan masa untuk
bersuai kenal dengan awak berdua. Nanti ada masa kita orientasi lain ya.”
Qaseh mengangkat kaki dari situ meninggalkan gadis
yang masih lagi terkulat-kulat menahan geram. Puas hati Qaseh apabila dapat
memberi pengajaran buat mereka berdua itu. Itu baru intro. Kalau dia dengar
lagi perkara negatif tentang Qayyim lagi….
Qaseh menggaru kepalanya. Dia serta merta menghentikan
langkahnya. Kenapa dia perlu memikirkan lelaki itu? Patutnya dia gembira atau
lebih tetap menyampuk perbualan mereka berdua. Qaseh menggeleng kepalanya laju.
Tidak! Dia hanya menjaga nama baik bosnya sahaja. Tiada niat lain. Qaseh cuba
menepis laju apa yang ada di dalam kotak fikirannya ketika ini.
“Datang pun pembantu aku. Minah, tolong buatkan air
untuk tetamu aku ni.”ujar Qayyim sebaik sahaja Qaseh tiba di situ. Tak
menyempat betullah sengal ni.
Qaseh memandang ke arah tetamu yang dimaksudkan oleh
Qayyim itu. Terpaku Qaseh di saat dia terpandangkan wajah seseorang yang sedang
merenung tajam kepadanya. Mulut Qaseh terbuka sedikit. Dadanya sudah berdengup
kencang.
“Ehem.”Suara berdehem Qayyim itu membuatkan Qaseh
tersentak. Dia melarikan matanya dan terus mengangkat kaki ke pantry. Kenapa dia perlu berjumpa dengan
lelaki itu lagi? Qaseh diserang rasa sakit hati!
bersambung.....
#terima kasih sudi membaca...maaf apa yg kurang dan jika ada typo ke...maafkan saya tau #