DIA LELAKI TAK DIJANGKA 1

Bab 1

IMAN tersenyum apabila melihat parcel yang sudah siap dibungkus. Selepas zohor nanti, dia akan ke pejabat pos untuk menghantar semua barang yang telah dipesan oleh pelanggan. Petang ini juga dia akan berjumpa dengan pelanggan yang memilih untuk mengambil sendiri.

Memang Iman memberi pilihan kepada para pelanggan untuk mengambil sendiri atau secara pos.

“Selesai dah bungkus? Ibu rasa nanti adik kena ambil kedai untuk letak stok-stok adik ni. Ibu tengok dah penuh sangat dah. Jangan sampai nanti orang tak nampak rumah ibu,” tegur Puan Hajar sambil membawa secawan air buat anak perempuan tunggalnya itu.

Tahu sangat perangai Iman. Kalau sudah buat kerja, kadang-kadang makan pun boleh lupa.

Iman tersenyum. Dia bangkit dan mengambil tempat di sebelah Puan Hajar. Air yang masih dipegang oleh ibunya itu terus diambil lalu dihirup rakus.

“Adik memang bercadang macam tu, ibu. Tapi, adik takut kalau adik tak mampu nak bayar sewa pula nanti. Nak kena set up lagi apa semua. Banyak nak pakai duit. Tunggulah adik dah maju sikit. Sementara ni, pinjamlah rumah ibu ni kejap. Jangan kedekut sangat ya, ibu.” Iman mengusik ibunya.

Dia tahu ibu tidak pernah berkira pun dengan mereka adik-beradik. Kalau berkira, awal-awal lagi ibunya tidak akan membenarkannya menyimpan produknya ini.

“Apa guna ada abang-abang? Inilah masanya nak minta tolong dia orang. Ibu yakin along dan angah adik tu mesti akan tolong punya kalau adik suarakan keinginan. Selama ini mereka pernah ke tolak keinginan adik? Lagi-lagi si angah tu.” Puan Hajar memberi cadangan.

Dia bersyukur kerana Allah mengurniakan anak-anak yang baik. Tidak ada yang menyusahkan hatinya.

Iman memandang ibunya. Kepalanya terus digeleng laju. Cadangan ibu itu sudah difikirkan sebelum ini. Kali ini, dia tidak mahu menyusahkan abang-abangnya lagi.

“Tak apalah, ibu. Adik nak guna hasil titik peluh adik sendiri. Tak naklah adik menyusahkan along dan angah. Lagipun, dia orang ada anak bini. Kesian pula kalua adik pergi menempel kat situ.” Iman menolak secara lembut.

Sudah banyak along dan angah berlabur untuknya. Sejak sekolah sampailah dia berjaya mendapat ijazah. Semuanya ditanggung penuh. Dia pun perlu merasa susah untuk membuat pinjaman.

“Ibu bagi cadangan macam tu sebab ibu tahu along dan angah mampu. Tak luak pun duit mereka tu, adik.”

It’s okay, ibu. Inilah masanya untuk adik buktikan yang adik tak perlu bergantung kepada orang lain. Jangan risau tau. Nanti bila adik ada rezeki lebih, adik takkan semakkan rumah ibu lagi.” Iman tersengih.

“Kalau adik kata macam tu, ibu tak ada masalah. Ibu nak tanya ni. Banyak hari ibu tengok adik tak keluar dengan Hakim. Kau orang tengah bergaduh ke?” soal Puan Hajar.

Kalau tidak, selang dua hari sekali mesti Hakim akan datang jemput Iman keluar. Itu yang membuatkan dia rasa pelik kerana sudah beberapa hari Iman tidak keluar. Asyik dengan kerjanya saja.

Iman menggeleng. “Taklah ibu. Kita orang okey, cuma dia sibuk sikit katanya. Dia kan pekerja baru. Masih dalam latihan. Mungkin orang lama buli dia habis-habisan kut.” Iman membuat andaian sendiri.

Dia cuba bersangka baik walaupun sudah hampir seminggu Hakim tidak menghubunginya. WhatsApp dibaca tanpa berbalas. Iman pun malaslah nak fikir sangat pasal Hakim itu. Kadang-kadang okey, kadang-kadang tak okey.

“Oh, ibu ingat adik dengan dia bergaduh. Kalau okey, tak apalah. Ibu pun tak risau sangat.”

“Ibu nak risaukan apa? Adik percaya pada jodoh. Kalau ada jodoh adik dengan dia, maka kahwinlah kami. Kalau bukan jodoh adik, adik okey aje. Banyak benda lagi nak fikirlah ibu daripada fikir pasal cinta. Dia pun tak adalah nampak bersungguh-sungguh sangat pun.” Iman menjongketkan bahunya.

Keluhan kecil dilepaskan. Kalau tak saying, memang dah lama Iman tinggalkan lelaki yang dikenalinya empat tahun yang lalu.

Mereka kenal sejak di universiti lagi. Hakim nampak tidak serius dalam hubungan mereka walaupun dulu dia yang beria-ia memikat Iman. Setiap kali bercakap pasal kahwin, pasti Hakim mengelak. Kalau lelaki lain, memang dia dah tolak awal-awal lagi.

“Kenapa pula adik cakap macam tu?” tanya Puan Hajar.

Jarang sekali Iman berkongsi masalah cinta dengannya. Kalau masalah lain, selalulah. Tak tahu pula dia yang Iman ada masalah.

“Entahlah, ibu. Kan along suruh tanya dia pasal hubungan kami. Bila bercakap pasal tu, dia bagi banyak alasan. Cakap nak kerja dulu, kumpul duitlah untuk hantaran. Nak beli rumah dululah. Tak tahulah. Banyak sangat alasan dia.”

Sakit hatinya bila terkenangkan sikap Hakim. Kadang-kadang dia tertanya-tanya kenapalah dia harus sayang dengan orang yang macam tu. Alangkah bagusnya kalau dari awal lagi dia tidak perlu sayang Hakim. Tak adalah dia nak rasa seperti ini.

“Tak cakap kat dia, along tak kisah bab hantaran?”

“Sudah, ibu. Tapi, dia pusing kut lain pula. Dia kata kita ingat dia sengkek sangat sampai duit hantaran pun tak boleh bagi. Stres tau ibu. Lebih baik adik menghadap produk-produk adik ni daripada fikir pasal Hakim. Kalaulah boleh, adik rasa nak tunjal saja kepala dia tu. Nasib baik sayang.”

Iman mengetap bibir geram. Tidak berlapik lagi bicaranya depan ibunya. Biarlah ibu tahu apa yang sebenarnya terjadi antara mereka walaupun apa yang pasti, semua yang diceritakan ini akan sampai ke pengetahuan along. Pasrah sajalah.

“Hmm, macam tu pula. Ibu berkenan kat Hakim tu. Ada budi Bahasa, cuma bila adik cakap macam ni, ibu pun naik geram dah ni. Tak apalah. Nanti dia dating, ibu cuba cakap dengan dia. Petang ni adik keluar pergi pos barang nak ibu ikut ke?”

“Tak apalah, ibu. Ibu kan nak layan sinetron ibu tu. Adik pergi seorang saja. Lagipun, tempat nak jumpa ni tak jauh pun. Kat PKNS aje.”

“Okey. Nasib baik faham. Ibu nak solat dulu. Adik tu pun pergi makan dulu. Lepas tu solat. Baru keluar,” pesan Puan Hajar.

Walaupun itulah yang dipesannya setiap hari, tapi bukan boleh diharap sangat Iman ini. Penyakit lupanya sangat kronik. Lupa makan. Lupa solat. Lupa itu ini. Sebab itulah kena pesan selalu.

“Baik, bos!” Iman terus bangkit daripada duduknya dan naik ke biliknya.

Dia tidak boleh ralit. Pos Laju ini bukan boleh dijangka. Kadang-kadang perlu beratur sampai ke luar.


IMAN melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah hampir 15 minit dia menunggu, tapi pelanggan yang ditunggu-tunggu tidak juga kunjung tiba. Dia membuka aplikasi WhatsApp untuk menyoal tentang keberadaan pelanggan yang dinantikannya itu.

Belum sempat dia berbuat apa-apa, telefon bimbitnya berdering terlebih dahulu. Panggilan daripada pelanggan yang ditunggu-tunggu. Segera Iman menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum, Kak Iman. Ni Qaseh ni.”

“Ya, Qaseh. Kak Iman baru nak mesej tanya Qaseh kat mana. Qaseh jadi ambil ke tak barang ni?” soal Iman dengan senyuman di bibir.

Itulah yang dia belajar. Mood kena positif selalu. Kena selalu senyum. Walaupun orang tak nampak, tapi itu sangat mempengaruhi ketika membuat jualan.

“Jadi, Kak Iman. Tapi, bukan Qaseh yang ambil. Abang Qaseh. Qaseh ingat tadi kelas habis awal. Tiba-tiba lecturer nak ganti kelas terus. Qaseh minta maaf. Abang Qaseh dah dalam perjalanan dah.”

“Kalau Qaseh nak Kak Iman hantar esok pun tak apa. Kak Iman okey aje.”

Alahai, rasa segan pula nak berjumpa. Kalau Qaseh, bolehlah dia kenal melalui gambar profil WhatsApp. Kalau orang lain, macam mana dia nak kenal? Masalah juga tu.

“Tak apa. Abang Qaseh mesti dah nak sampai tu. Nanti marah pula dia kalau dia dah pergi, tiba-tiba Qaseh batalkan. Abang Qaseh tu naik motosikal. Qaseh dah beritahu dia yang Kak Iman tunggu depan PKNS tu. Nanti dia bayar duit sekali.”

“Okey, Qaseh. Kak Iman tunggu. Nanti kalau barang tu dah ada kat abang Qaseh, Kak Iman beritahu ya.”

“Terima kasih, Kak Iman. Okeylah. Qaseh dah kena masuk kelas. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Panggilan terus dimatikan.

Iman menunggu lagi. Setiap kali kenderaan lalu-lalang pasti akan diperhati, namun motosikal seperti yang diberitahu oleh Qaseh tadi langsung tidak kelihatan. Iman menghela nafas.

Perut sudah bernyanyi riang. Itulah, ibu suruh makan dulu tadi degil. Sekarang ini pedih sangat kerana pagi tadi dia hanya bersarapan sekeping roti kerana sibuk menguruskan barang jualan. Ketika dia mahu melangkah ke dalam bangunan untuk membeli roti buat dialas perut, kedengaran bunyi enjin motosikal besar. Iman menghentikan langkahnya dan menanti. Mana tahu betul kali ini.

Motosikal tersebut berhenti di hadapan bangunan ini. Iman serba salah. Nak tegur takut silap orang. Tapi, kalau tak tegur, mana tahu ini memang abang kepada Qaseh.

Iman memilih untuk menunggu dahulu. Diperhatikan tingkah laku lelaki itu yang mengeluarkan telefon bimbitnya. Helmet yang menutupi seluruh wajahnya dibiarkan tidak ditanggalkan.

Ting! Mesej WhatsApp masuk. Pantas Iman membuka pesanan tersebut yang datangnya daripada Qaseh. Memang betullah lelaki ini abang kepada Qaseh. Dengan penuh berhati-hati, Iman membuka langkah ke arahnya.

“Assalamualaikum. Abang Qaseh ya?” soal Iman dengan senyuman. Walaupun dia rasa tak begitu selesa sekarang ini.

Lelaki itu memandang Iman sebelum mengangguk.

“Ini barangnya.” Iman menyerahkan beg plastik kepada lelaki yang hanya nampak kedua-dua belah mata sahaja.

Lelaki itu menerima bungkusan tersebut. Sempat lagi dia melihat barang yang ada di dalam beg plastik tersebut.

“Berapa ringgit?” tanya lelaki itu.

“50 ringgit sahaja.” Iman tersenyum lagi.

Tak kisahlah orang nak kata dia gila ke apa, janji dia kena senyum. Salah satu teknik nak tarik pelanggan.

“Mahalnya. Barang kecil saja pun. Apa bendalah budak ni beli. Tak faham betul aku,” leter lelaki itu kurang berpuas hati.

Mungkin juga disebabkan Qaseh memaksanya datang untuk mengambil barang tersebut. Itu yang nampak macam berangin semacam. Iman membuat andaian sendiri.

“Barang ini memang mahal. Sebab krim ni original,” jelas Iman tanpa dipinta.

Lelaki itu tidak peduli. Dia mengeluarkan dompetnya dan mengambil sekeping not RM50. Terus diberikan kepada Iman.

“Iman!”

Sebaik sahaja Iman mahu menerima wang tersebut, ada satu suara lain memanggil namanya. Segera pandangan mereka terarah ke arah datangnya suara tersebut. Iman menggigit bibirnya. Kenapa lelaki ini tiba-tiba pula muncul? Iman tidak pasti.

“Dah lama dah buat kerja macam ni?” Hakim mendekati mereka dan terus menyoal.

Dahi Iman berkerut.

“Apa dia you ni?” Soalan dibalas soalan oleh Iman.

Dia memang tak faham apa maksud Hakim sebenarnya. Tiba-tiba muncul dengan muka tidak puas hati.

“Mentang-mentanglah I tak berhubung dengan you banyak hari, you dah mula cari jantan lain?” marah Hakim. Dia memandang lelaki itu dan Iman silih berganti.

Iman terkejut. Dia menggeleng laju, menafikan dakwaan Hakim itu.

“Malas nak gaduh dengan you, Hakim. Hmm, encik. Maafkan saya. Saya jual ya. Saya minta maaf sebab dia tuduh awak macam tu.” Iman tidak mengendahkan Hakim.

Dia menumpukan kepada lelaki motosikal itu. Hakim memang suka menuduh tanpa usul periksa. Akibat tuduhan itu, lelaki ini sudah terlibat sama. Sekarang ini manalah dia nak letak muka.

“Okey.” Lelaki itu terus menghidupkan motosikalnya.

Ketika dia mahu bergerak, dia memandang Iman sebelum pandangan beralih kepada Hakim.

“Tak gentleman, bro nak cari gaduh kat tempat awam macam ni. Dan lagi satu, sebagai lelaki, tolong jadi lelaki yang tahu hormat perempuan. Aku nak beritahu kau yang aku datang ambil barang. Kau takkan tak faham kerja girlfriend ke tunang kau ni sampai nak tuduh dia macam tu? Aku cau dulu, bro. Selamat memujuk.”

Lelaki itu terus memecut laju meninggalkan Iman dan Hakim di situ. Hakim mendekati Iman dengan perasaan bersalah kerana tuduhan melulunya tadi.

I’m sorry,” ujar Hakim, mengakui kesalahannya.

Iman memandang Hakim. Dia mendengus kasar. Dia memang malu dengan sikap Hakim tadi. Tak tahu mana dia nak letak muka. Kalaulah balik nanti lelaki itu bercerita kepada Qaseh, besar kemungkinan Qaseh tidak mahu berurusan dengannya lagi. Siapa nak kalau abang sendiri dituduh macam tu.

“Malas nak kata apa, Hakim. Hilang lepas tu muncul tiba-tiba, tuduh I ada jantan lainlah apa. Apa masalah you sebenarnya?”

“I stres dengan masalah kerja, masalah itu ini. Please, tolong faham I.”

“Tuduhan you tadi sangat tak berasas langsung. Punya I setia, you boleh tuduh I curang. I saja nak kena faham you. I memang tak ada perasaan pun untuk you faham I. Dahlah, I balik dulu.”

Iman mengangkat kaki meninggalkan Hakim. Panggilan Hakim tidak diendahkan. Dia tidak boleh berfikir dengan apa yang Hakim buat tadi. Sangat-sangat buat dia rasa marah dan sakit hati.