CURI HATI AWAK, BOLEH? 9


IYAD menolak wizer helmetnya ke atas. Motosikalnya diberhentikan betul-betul di hadapan rumah dua tingkat. Dia memerhati ke arah pintu. Tertutup rapat. Tapi, Iyad pasti tuan rumah ada di rumah memandangkan keretanya terparkir elok.

Iyad matikan enjin motosikalnya dan turun dari motosikal. Helmet dibuka dan bungkusan di dalam raga motosikal diambil. Tadi sengaja dia asingkan ikan ini untuk diberikan kepada seseorang.

“Assalamualaikum.” Iyad memberi salam bagi memberitahu kepada tuan rumah tentang kehadirannya itu.

Tidak lama pintu dibuka dari dalam. Terjengul wajah Azra yang terkejut dengan kehadiran Iyad. Pintu pagar dibuka dan dia melangkah keluar dari rumah.

“Maaf ganggu, Azra. Cuma datang nak hantar ni.” Bungkusan itu diserahkan kepada Azra.

Terkial-kial Azra mahu menerimanya, tapi diterima juga kerana Iyad dah menghulur padanya. “Apa ni?”

“Ikan siakap.” Iyad membalas dengan sengihan pada wajahnya. Setiap kali jumpa gadis ini pasti bibirnya asyik nak senyum saja. Aura Azra ni kuat sungguh.

“Ha?”

Iyad ketawa kecil. Nampak dari muka Azra tu memang gadis ini belum mandi. Masih lagi nampak kusut-masai, tapi tetap menarik pada pandangan mata Iyad. Alangkah seronoknya kalau pagi-pagi dapat tengok muka ini di sebelah. Aduh, Iyad! Jangan nak berangan jauh sangat.

“Memandangkan saya tahu awak memerlukan bahan untuk memasak jadi saya mengambil keputusan untuk bagi ni kepada awak. Awak masaklah sedap-sedap. Mana tahu lepas ni boleh masak untuk saya pula,” gurau Iyad disusuli ketawa kecil.

Tadi masa kat jeti terfikir pula nak hantarkan kepada Azra. Alasannya mungkin Azra tak dapat keluar kerana Akil tidak sihat sepenuhnya lagi. Tapi, sebenarnya dalam hati membuak-buak nak bertemu dengan gadis ini. Sebelum datang dia menelefon Syifa dulu yang kini menjadi tempat dia meminta maklumat tentang apa-apa mengenai Azra.

Azra kerut dahi. Dia memandang Iyad dan pandangannya jatuh semula pada bungkusan ikan di tangannya. Tak tahu nak kata apa kerana semua ini tidak dijangka. Tiba-tiba muncul dan datang bagi ikan.

“Tapi, saya tak suruh pun.” Azra membalas.

“Memanglah, tapi saya nak bagi. Fresh tau ikan ni. Saya ambil kat jeti. Nanti masak sedap-sedap bagi kat Akil makan. Saya rasa mesti dia suka,” balas Iyad. Bibirnya tidak lekang daripada senyuman.

“Terima kasihlah. Tapi, segan pula saya rasa. Lepas ni jangan hantar lagi. Saya boleh keluar cari sendiri.” Biar pesan siap-siap. Tidak mahulah dia bergantung dan orang lain pula duk buat macam ni kat dia. Dia boleh buat semuanya sendiri.

“Tak sudi ke? Penat tau naik bot pergi cari ikan ni. Hampir saja bot karam, tapi nasib baik diizinkan lagi hidup dan dapat jumpa awak.” Iyad buat-buat sedih.

Azra menggigit bibirnya, tapi dalam masa yang sama tersenyum nipis. Ada saja yang dia guraukan. Dia memandang Iyad. Pandangan mereka bersabung seketika sebelum Azra melarikan anak matanya. Tidak boleh nak pandang lama-lama. Jiwanya bergetar. Lain macam.

“Bukan, tapi biarlah. Selama ini saya boleh survive hidup saya sendiri. Jadi, awak tak perlu susahkan diri awak untuk kami.”

Iyad menggeleng. Tidak pernah pun dia fikirkan hal itu. Dia yang nak melakukan sendiri dan tiada maksud pun menyusahkan sesiapa. “Tak. Ikhlas tak ikhlas tu tak perlu saya beritahu, tapi saya nak awak tahu saya yang nak lakukan semua ini. Awak tak tahu betapa bahagianya saya bila dapat buat bakal isteri dan anak saya ni bahagia.”

Azra tercengang. Gurauan yang boleh buat dia jadi tidak tentu arah.

“Awak tak takut suami saya marah?” duga Azra. Teringat lagi hari itu Iyad ada tanya dan soalan itu dibiarkan tiada jawapan.

Iyad ketawa kecil. Azra memang nak menguji dirinya ini. Bukannya Iyad tak tahu status sebenar Azra Zinnirah ni. Kalau tidak memang tidak berani Iyad nak buat semua ini.

“Nak takut apa kalau dah memang saya yang akan jadi suami awak.” Iyad mengangkat keningnya.

“Jangan nak mengada ya Iyad. Jangan datang lagi. Nanti suami saya marah pula.” Azra berpura-pura.

Iyad ketawa besar. Dia memandang Azra lalu kepalanya digeleng laju. “Awak memang tak pandai berlakon, Azra. Saya dah tahulah tentang awak. Jadi, sekarang ni dah tiada halangan untuk saya berjumpa dengan awak.”

Azra ketap bibir. Jadi Iyad dah tahu. Dari mana Iyad tahu Azra dah boleh agak. Syifa. Siapa lagi yang kepochi nak beritahu kalau bukan Syifa. Tak boleh nak simpan rahsia langsung.

Iyad ketawa lagi. Muka cuak Azra itu pun membuatkan dia geli hati. Bila hati dah terpikat mulalah angau tak tentu pasal. Semua benda yang dilakukan semua nampak indah di matanya. 

“Relaks. Syifa bukan reporter saya pun. Tapi, saya yang paksa nak tahu. Jangan marah dia ya.”

“Apa pun terima kasih atas ikan ini. Berapa saya kena bayar ni?”

Iyad menggeleng laju. “Tak perlulah. Mengada nak bayar pula. Kalau lepas ni nak ikan fresh bagitaulah. Saya boleh hantarkan.”

Tiada hal untuk Iyad kalau hari-hari pun Azra minta ikan. Sanggup merempit jauh-jauh.

“Awak tak perlulah susahkan diri awak untuk kami. Sebelum ni tiada sapa pun ambil tahu. Saya boleh survive hidup saya dan Akil.” Azra tidak selesa.

Dia bukannya tidak bersyukur, tapi tak perlulah sampai macam ni sekali. Lagipun Iyad ni siapa melainkan seorang lelaki yang baru sahaja dia kenal.

“Sebab sebelum ni saya masih tak kenal awak. Kalau kata sebelum ni dah kenal silap-silap sekarang dah ada anak dua orang dah.” Jawapan Iyad yang main-main itu membuatkan Azra mengetap bibirnya.

“Main-mainlah awak ni, Iyad. Apa pun terima kasihlah sebab sudi datang hantar ikan ni.” Azra malas dah nak melayan. Makin dilayan makin mengarut dan boleh buat hati Azra tidak keruan.

Iyad tarik senyum dan dia mengangguk. Jam di pergelangan dilihat kerana dia mahu terus ke bengkel.

“Saya balik dulu. Kalau perlukan apa-apa pertolongan jangan segan telefon saya ya. Ciumkan Akil buat saya. Jaga diri awak dan Akil ya, Azra. By the way, awak cantik dengan wajah macam ni. Comel.” Iyad mengenyitkan matanya sebelum mendekati motosikalnya.

Helmet disarung ke kepala dan menghidupkan motosikal. Sejurus kemudian meninggalkan Azra yang masih menghantar pandangan sehingga motosikal Iyad hilang daripada pandangan mata.

SUDAH rezeki mereka berdua hari ini untuk merasa ikan siakap yang segar. Azra selesai memasak. Alhamdulillah. Tadi pusing juga memikirkan nak keluar mencari barang untuk masak. Semuanya habis. Belum sempat dia beli-belah barang yang dah habis.

“Akil, meh sini kat ibu,” panggil Azra.

Akil yang sedang asyik dengan surat khabarnya itu terus bangun dan mendekati ibunya.

Akil memahami apa yang dituturkan oleh orang lain. Dia juga sangat mendengar kata. Suruh buat itu dia buat. Suruh buat ini dia akan melakukan segera. Walaupun ada kekurangan dari segi tidak dapat berkomunikasi, tetapi ada kelebihan lain yang dikurniakan buatnya.

“Nak?” soal Azra sambil menunjukkan nasi dan lauk kepada Akil.

Akil mengangakan mulutnya. Itu tandanya mahu Azra menyuapkan makanan itu buatnya. Sejurus kemudian, bibir Azra mengukirkan senyuman. Seronok bila Azra melihat Akil makan dengan penuh berselera.

Setelah beberapa suapan, Akil menggeleng laju. Dia bangun dan mahu kembali pada tempatnya tadi, tapi Azra menghalang.

“Selepas makan buat apa?”

Akil yang faham akan arahan itu terus menuju ke singki dan membasuh mulutnya. Tisu dihulurkan oleh Azra dan dia mengambil lalu mengelap mulutnya sehingga bersih. Azra senyum lagi. Akil memang terajar.

“Dah. Pergilah main. Ibu nak kemas ni.”

Akil terus berlari kembali ke tempatnya.

Azra mengemas meja makan. Tapi, tiba-tiba air matanya mengalir deras. Tanpa dipinta. Dia terduduk semula di atas kerusi. Matanya terarah kepada Akil yang sedang bermain.

“Akil dah makin besar dah, kak. Dia dah makin kacak. Dia anak yang baik. Anak yang mendengar kata. Ada kalanya saja dia tidak dapat kawal dirinya. Kalaulah kak ada mesti kak bangga dengan Akil. Azra berjanji kak. Sampai bila-bila Akil tetap akan dijaga oleh Azra. Biarlah mereka tidak peduli. Kak tenanglah di sana. Jangan risaukan Akil. Azra rindu kepada mak, ayah dan kak. Semoga semuanya tenang di sana.”

IYAD memandang Syifa dan Syifa pun melakukan hal yang sama. Dia bangun daripada duduknya dan mendekati Syifa.

“Aku nak cakap sikit dengan kau, Syifa.” Iyad memberitahu.

“Hoi! Nak bawa lari mana tunang aku tu?” Wan menjerit. Padahal dia tahu mesti Iyad nak tanya pasal seseorang. Syifa sudah pun menceritakan kepada Wan.

“Pinjam sat.”

Syifa hanya mengikut langkah Iyad tanpa membantah. Dia dah boleh agak apa yang mahu dibincangkan oleh Iyad tu.

“Apa hal?” soal Syifa.

“Pasal Azra.” Iyad tersengih.

Syifa menyilangkan tangannya ke dada dan bibirnya tersenyum senget. Dah agak dah.

“Kau ni memang dah tangkap cinta dengan dia ke?” duga Syifa. Lain macam sungguh Iyad sekarang ni. Tapi, dia suka.

“Kau belum cerita semuanya lagi tentang dia kat aku. Aku nak tahu lagi mana pasal diri dia.”

Syifa menggeleng. Cukuplah kut dia beritahu serba sedikit kepada Iyad. Selebihnya biarlah Iyad sendiri cari jawapannya. 

“Tak. Aku tak nak cerita dah. Bukan sebab aku menghalang, tapi kenapa tidak kau saja yang pergi tanya dia sendiri? Tak ke kau rasa itu akan mendekatkan kau lagi dengan dia?”

Iyad bukanlah tak mahu berbuat demikian, tapi dapat jawapan ke? Syifa sendiri pernah cakap yang Azra bukanlah mudah nak ambil hati dia. Jadi, dia rasa macam mustahil untuk dia dapat jawapan yang dia nak. “Dia nak ke cerita?”

“Cubalah. Tak cuba tak tahu. Kau kena bertindak cepat kalau kau nak. Sebab ada seorang lagi yang tengah duk usyar Azra.”

Iyad terkejut. Dia mula gelabah. Matanya tepat memandang mata Syifa. Hatinya mula rasa tidak senang dengan berita itu. 

“Siapa?”

“Tuan Nadeem Ukail.”

“Bos kau tu?”

Syifa mengangguk. Itu yang dia nampaklah. Sejak Azra tak datang ofis bukan main tak sedap duduk lagi dia tengok. Samalah macam Iyad juga. Asyik duk bertanya pasal Azra kepadanya. Jenuhlah dia nak jawab.

Iyad melepaskan keluhan kecil. Dia fikirkan tiada persaingan, tapi rupanya dalam diam ada orang yang cuba masuk jarum juga. Patutlah dia rasa macam lain macam saja Nadeem tempoh hari.

“Tapi, aku harapkan kau. Sebab aku kenal kau dan aku kenal Azra. Berusahalah. Nak dapat yang mahal kena berusaha lebih sikit. Good luck!” Syifa memberi kata semangat buat Iyad.

Dia memang mengharapkan Iyad berjaya untuk memenangi hati Azra. Dia tahu Iyad mampu untuk bahagiakan Azra. Nadeem nampak macam kurang sesuai sikit dengan Azra.

Iyad mula risau. Dia kena bertindak cepat.

TELEFON Azra berdering. Azra yang sedang menonton televisyen segera mengambil telefon bimbitnya yang diletak di atas meja lalu melihat nama pemanggil terlebih dahulu. Dia mula rasa gusar sebaik terpandangkan nama itu.

“Siap sekarang. I nak ajak you keluar.” Suara itu tanpa salam terus berkata begitu. Azra terkejut. Tiba-tiba sahaja.

“Pergi mana, Tuan Nadeem?” soal Azra. Tak akanlah dia nak terus terima tanpa tahu hujung pangkalnya.

“Tak perlu banyak cakap. I ada kat depan rumah you dah ni. Cepat siap. I nak bawa you dan anak you sekali.”

“Tapi...”

“I bagi you 10 minit. Kalau you tak siap I masuk rumah you.”

Terus panggilan dimatikan. Azra segera bangkit daripada duduknya dan menjenguk melalui tingkap. Memang betul. Kereta lelaki itu ada di depan. Nak tak nak terpaksalah dia ikutkan. Tidak sampai 10 minit Azra dan Akil bersiap. Ala kadar sudahlah. Nak pergi mana nak pakai cantik-cantik. Lagipun tetamu itu langsung tidak diundang.

Azra membuka pintu dan Nadeem yang sedang menyandar tubuhnya pada kereta berdiri tegak. Dia lihat lebih segak bila Nadeem berpakaian kasual. Tapi, gaya angkuh tu tetap juga tidak boleh ditutup walaupun berpakaian seperti ini.

“Tuan Nadeem nak bawak saya ke mana?” soal Azra sebaik sahaja sampai ke pintu pagar.

Nadeem tidak menjawab pertanyaan itu. Dia terus membuka pintu buat Azra untuk duduk di bahagian hadapan manakala Akil pula duduk di kerusi belakang.

“Tuan...”

Yes.”

“Nak bawa saya ke mana?” soal Azra lagi sekali. Entah rasa meluat dan menyampah pula bila soalan ini dibiarkan tidak berjawab.

“Keluar makan. I belum makan.”

Dahi Azra berkerut. Kedua-dua belah keningnya bercantum. Dia memandang Nadeem tidak percaya.

“Kenapa? I nak bawa you pergi makan. I tahu you mesti belum makan, kan? Sebab you tak boleh keluar. Anak you tak berapa nak sihat.”

Azra melepaskan keluhan berat. Rezeki yang dia dapat hari ini dah cukup istimewa buat mereka berdua. Kenyang dan sangat sedap. “Tapi, tuan saya dah makan. Akil pun. Walaupun Akil tak sihat, tapi saya boleh masak.”

“Lauk yang berapa lama dah dalam peti tu? Tak fresh. Tak elok untuk kesihatan.” Nadeem membalas.
“Baru pagi tadi ambil kat jeti.”

Nadeem yang tengah memandu mengalihkan pandangannya kepada Azra di sebelah. Jawapan itu ada macam tak kena.

“You tak boleh pergi kerja, tapi boleh pula you keluar pergi jeti? You heret Akil sekali? ” Nadeem menyoal. Sedikit keliru dan tidak percaya. Kalau beli kat pasar mungkin dia percaya.

Azra menggigit bibir. Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan bosnya ini. Terlebih ambil tahu. “Tak. Tadi ada kawan tolong hantarkan.”

“Kawan lelaki ke perempuan?” soal Nadeem lagi bagaikan seorang abang tengah tanya kepada adiknya.

“Tuan Nadeem, lain kali tanya dulu kalau nak buat apa-apa tu. Tuan tak boleh sesuka hati buat macam ni,” bentak Azra. Bagi Azra sikap Nadeem ini sangat tidak profesional.

“Kawan lelaki itu?” Nadeem tidak peduli dengan arahan dan teguran itu menyoal. Dia nak tahu.

“Tak perlulah Tuan Nadeem ambil tahu tentang kehidupan saya.” Azra mengelak.

Nadeem bukan sesiapa untuk dia kongsi semuanya dengan lelaki itu. Hubungan mereka hanya bos dan pekerja. Tidak lebih daripada itu.

Nadeem mendecit perlahan. Dia tidak puas hati. Sekilas dia memandang Azra di sebelah sekali lagi. 

“I perlu tahu.”

“Kenapa perlu tahu? Kita tiada apa-apa hubungan.”

“Siapa kata tak ada? I ni bos you dan I kena tahu semuanya tentang you.”

Azra tersenyum sinis. Takkanlah benda peribadi pun perlu beritahu. Baiknya bos dia ni. Boleh dapat anugerah majikan paling cemerlang. “Mengarut.”

“Tak kisahlah you nak anggap I apa, Azra. You tanggungjawab I dan I nak you tahu I akan macam ni sampai bila-bila.”

Azra tersentak. Dia menggigit bibirnya. Fikirannya buntu. Apa yang cuba dimaksudkan dengan kata-kata Nadeem tadi? Tanggungjawab dia? Eh, apa ni? Azra tidak mengerti.


Kata-kata itu dibiarkan sepi. Masing-masing melayani perasaan. Akil pula berkelakuan baik. Tidak mengamuk atau buat perangai. 

CURI HATI AWAK, BOLEH? 8

Bab 8

IYAD gembira. Walaupun seketika, tapi dia tetap juga rasa bahagia. Berharap agar kebahagiaan ini terus menjadi miliknya. Dia akan cuba menjadi orang yang bahagia dan membahagiakan orang lain.

“Hai, Iyad. Senyum lebar nampak.” Teguran daripada Puan Zainab itu mematikan senyuman yang terukir di bibir Iyad. Malu dengan mama.

Iyad membetulkan duduknya. Dia menepuk sofa menyuruh Puan Zainab untuk duduk di sebelahnya. Permintaan anak teruna tunggal itu diikutkan saja oleh Puan Zainab.

“Mama tak keluar ke hari ni?” soal Iyad.

“Tak. Mama nak rehat saja hari ini. Iyad tadi pagi-pagi tadi dah keluar pergi mana? Balik pula senyum seorang diri. Ada apa-apa ke yang mama tak tahu?”

Iyad melentokkan kepalanya di atas bahu Puan Zainab. Bibirnya tersungging mengukirkan senyuman. Teringat balik peristiwa pagi tadi. Tiada apa yang istimewa pun pada pandangan orang lain, tapi sangat istimewa kepada dia.

“Mama tanya ni, Iyad. Boleh pula dia senyum sorang-sorang.”

Iyad ketawa kecil. Itulah jadinya bila dia dah terpikat pada seseorang. Angau.

“Tadi Iyad keluar jumpa kawan mama. Tak pergi mana pun,” balas Iyad.

Hari ini dia tidak berniaga. Ikan tiada hari ini. Makin hari ikan makin kurang. Musim dia juga kut.

“Ya ke?” Puan Zainab tidak percaya.

“Ya mama. Iyad keluar jumpa kawan. Kejap lagi Iyad nak keluar pula ni mama. Nak ke bengkel. Motor masih tak siap lagi. Minggu depan dah nak ride.”

Terlalu awal untuk dia ceritakan kepada mamanya. Bukan berniat nak sembunyikan apa-apa, tapi bukan tak tahu Puan Zainab itu. Kalau buka cerita pasal perempuan pasti difikirkan lain. Fikir jauh sangat ke depan.

“Perempuan?”

Iyad angkat kepalanya dan memandang Puan Zainab. Kalau mengaku perempuan nanti mesti mamanya tanya itu ini. Tapi, tak akan cakap lelaki. Itu sudah dikira berbohong.

“Perempuan. Tapi, sebelum tu Iyad nak beritahu mama siap-siap. Kawan perempuan sahaja. Tidak lebih daripada seorang kawan. Jadi, mama jangan tanya hal yang berikutnya. Iyad tiada jawapan.”

Puan Zainab ketawa kecil. Dia menggosok kepala anak terunanya itu. Anak paling manja dalam keluarga. Dulu hilang seketika, tapi kini kembali semula ke pangkuannya. “Bilalah anak mama nak bawa bakal menantu ni?”

Iyad sengih. Dia memeluk mamanya erat sebelum dia menghadiahkan satu kucupan di pipi yang semakin dimamah usia itu. “One day. Insya-Allah. Doakan Iyad ya. Iyad rasa Iyad kena gerak dulu mama. Nanti tertunggu-tunggu pula Wan kat bengkel tu.”

“Hati-hati, Iyad.”

Iyad mengangguk dan terus mengangkat punggung meninggalkan Puan Zainab keseorangan di situ. Bila anak-anak dah besar dia rasakan kesunyian. Masing-masing dah ada tanggungjawab masing-masing.

NADEEM memerhati sahaja tingkah laku Akil yang leka dengan surat khabar itu. Lega bila tidak ganggu dia. Azra datang dengan menatang satu dulang air buatnya. Dituang ke dalam cawan dan dihidangkan buatnya.

“Jemputlah minum, Tuan Nadeem.”

Azra menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan Nadeem. Tapi, masih menjaga jarak. Bukan apa. Nanti kalau tidak dilayan kata kurang sopan pula dengan bos sendiri. Dia sendiri terkejut dengan kehadiran Nadeem yang tiba-tiba ini.

“Bila boleh masuk kerja?” soal Nadeem.

“Dua hari lagi. Saya nak pastikan Akil betul-betul sihat. Takut kalau luka yang calar kat badan dia tu makin teruk. Dia perlukan perhatian saya.”

“Okey. Selepas dua hari I nak tengok you masuk kerja,” ujar Nadeem tegas.

Matanya terus terlekat pada wajah Azra yang seperti takut di hadapannya. Tidak dinafikan dia tidak boleh jika tidak tengok wajah Azra sehari.

“Tuan Nadeem, kenapa tuan bayarkan bil hospital untuk Akil ya?” soal Azra. Dia perlukan penjelasan dan dia nak bayar balik.

Nadeem dengan wajah seriusnya masih memandang Azra. Sampai Azra rasa tak senang duduk. Sampai dia terpaksa tunduk kepala dia. Bila angkat saja mesti Nadeem akan pandang dia.

“Terima saja. Jangan banyak soal.”

“Tapi, saya tak minta pun Tuan Nadeem jelaskan. Saya boleh bayarkan sendiri. Saya masih ada duit untuk bayar perubatan anak saya.”

Nadeem tersenyum senget. Jarinya mengetuk meja beberapa kali dan biasa matanya tetap pada wajah Azra. Haru sungguh. “Siapa lelaki tadi tu?”

Azra panggung kepala. Keningnya bercantum meluahkan rasa pelik bila soalan itu terpacul dari mulut lelaki bajet bagus itu. Kenapa tiba-tiba nak tahu? Azra tunduk semula bila Nadeem masih lagi rakus meneroka setiap inci wajahnya. Bukan dia perasan, tapi memang betul. Nadeem pandang macam nak terkam. Meremang bulu romanya.

“Kawan,” jawab Azra pendek. Tidak perlu rasa nak diulas panjang. Tak penting pun.

“Kawan istimewa ke kawan biasa?” soal Nadeem lagi.

Azra ketap bibir. Dah seperti penyiasat tidak berbayar saja Nadeem ini. Selama ini tiada siapa pun nak ambil tahu tentang dia. Tiada orang kisah dan ambil peduli. Cuma Syifa satu-satunya manusia yang masih setia mengambil berat tentang dirinya.

Azra tidak menjawab. Dia membuka beg duitnya dan mengeluarkan sejumlah wang kertas. Wang itu diletakkan di atas meja dan ditolak kepada Nadeem.

“Ini saya ganti balik bil yang dijelaskan oleh Tuan Nadeem tadi.” Duit itu memang sudah sedia ada padanya. Jadi, tidak perlu tunggu nanti untuk jelaskan. Dah alang-alang Nadeem ada di sini.

“You tak jawab lagi soalan I. Kawan istimewa ke kawan biasa?” Sekali lagi Nadeem mengulang kembali soalan yang sama.

Azra mendecit perlahan. Masih tidak mengerti kenapa perlu lelaki ini ambil tahu siapa Iyad sebenarnya. “Kawan biasa.”

Nadeem tersenyum. Lega bila dapat jawapan daripada Azra itu. Tidak perlulah dia fikirkan yang bukan-bukan lagi selepas ini.

“Okey. Jumpa you dua hari lagi. Dua hari saja. I tak bagi lebih.” Nadeem bingkas bangun daripada duduknya dan terus melangkah ke pintu pagar.

Azra memerhati pada duit yang di atas meja itu. Tidak disentuh langsung oleh Nadeem. Dia mengambil dan mengikut jejak langkah Nadeem dari belakang. “Tuan Nadeem, ni duitnya.”

Nadeem menoleh. Tangannya bersilang ke dada dan matanya dikecilkan memandang Azra. “Ada I minta bayarkan balik ke?”

“Tak, tapi...”

“Simpan. Gaji you pun tak banyak bulan ni. Jadi, simpan untuk tanggung hidup you bagi bulan ni.” Nadeem terus melangkah keluar dari kawasan rumah Azra dan masuk ke dalam perut kereta. Terus dia memecut laju.

Azra menggeleng. Duit di tangannya dipandang.

“Kenapa masing-masing lain macam sangat ni?” kata Azra sendiri sambil menutup pintu pagar semula.


Malas nak fikir apa-apa lagi. Anggap saja ini rezeki buat Akil.