Cerpen Cinta Gila

Iris mengusap lembut perutnya yang makin hari makin sarat. Bibirnya tersenyum namun ada titisan jernih mengalir dari matanya. Anak ini bukanlah keinginan dia. Dia tidak pernah mengimpikan untuk mengandung. Tapi dia cuba untuk gagahkan diri, pekakkan telinga dan butakan mata. Anak ini tidak bersalah. Dia berhak untuk melihat dunia.
“Tak payah kau nak menangis, Iris. Benda dah jadi. Apa-apa pun terima sajalah. Mungkin itulah takdir yang tertulis buat kau.” Ujar mak Halimah. Mak kepada Iris.
 Iris bersyukur kerana walaupun dia di dalam berkeadaan begini tetapi Mak Halimah sentiasa mempertahankan dirinya. Mak Halimah kenal siapa anak dia yang sebenarnya. Pedulikan kata orang lain.
“Mak, terima kasih sebab sudi terima Iris.” Iris memeluk Mak Halimah daripada belakang. Walaupun tidak seerat kerana dihalang oleh perutnya tetapi sudah cukup buat Iris puas.
“Kau tu anak mak, Iris. Buruk baik kau, mak kena terima.”
Iris mengangguk. Dia cuba untuk tidak mengecewakan harapan mak. Tetapi dia gagal. Walaupun begitu, dia berjanji sebaik sahaja anak ini lahir ke dunia, dia akan cuba untuk buktikan sesuatu pada semua orang. Orang yang dianggap tak berguna seperti dia ini akan mampu menggegar dunia.
“Mak nak pergi beli barang dapur sekejap. Kau duduk rumah. Tak payah buat apa-apa. Nanti jadi apa-apa mak tak ada kat rumah.”
Iris mengangguk lagi. Dia tersenyum memandang maknya. Air matanya bergenang lagi. Sebaik sahaja Mak Halimah hilang dari pandangan, Iris menarik kerusi duduk. Perutnya diusap lagi.
“Nanti keluar jadi anak yang soleh ya, sayang. Apapun, sayang adalah anak ibu.”
Iris menangis lagi. Tidak dapat menahan sebak.
*************
“Jangan Yusran. Jangan. Apa salah aku kat kau sampai kau sanggup buat aku macam ni?” jerit Iris meminta simpati daripada Yusran.
Yusran tersenyum sinis.
“Kau tolak cinta aku. Jangan harap kau akan bahagia, Iris.”
“Kita tak ada jodoh, Yusran. Terimalah. Jangan buat aku macam ni.” Iris merayu lagi. Hatinya payah nak digambarkan.
“Kita bukan tak ada jodoh. Kau yang menolak jodoh itu. Aku tak akan biarkan orang lain senang-senang dapatkan kau, Iris.”
Yusran ketawa kuat. Dia merentap bahu Iris  sehingga terkoyak. Menampakkan setiap inci tubuh badan Iris.
Iris menangis semahu-mahunya. Bibirnya meminta rayuan untuk dilepaskan tetapi tidak pernah dipeduli oleh Yusran. Yusran bagaikan dirasuk setan langsung tidak punya belas kasihan.
Iris berserah. Kalau itu nasib yang harus dia terima.
*************
Iris menangis teresak-esak. Semuanya tiada berguna lagi. Farahi langsung tidak mahu mendengar penjelasan daripada dia terlebih dahulu. Terus meletak hukuman.
“Aku tak akan ambil bekas orang.” Ujar Farahi penuh benci.
“Bukan saya yang serahkan diri kat dia. Saya dirogol, Farahi. Percayalah.”
Farahi tersenyum sinis.
“Sudahlah. Aku faham sangat perempuan macam kau ni. Nampak saja baik. Bertutup litup tapi sebenarnya disebalik tu perangai mengalahkan setan!” marah Farahi.
Iris mendekati Farahi. Tangan Farahi cuba diraih tetapi Farahi pantas mengelak.
“Kau jangan sentuh aku. Aku jijik dengan perempuan macam kau.”
“Farahi, jom kita jumpa Yusran. Kita dengar penjelasan dia.” Pujuk Iris.
Iris tidak sanggup kehilangan Farahi. Lelaki itu selama ini sangat baik padanya. Mereka juga merancang untuk bertunang lagi dua bulan tetapi semuanya hancur musnah bila semua ini terjadi.
“Tak payah buang masa aku Iris. Aku kecewa dengan kau. Aku ingat kau tak sama macam perempuan lain tetapi sebenarnya kau sama saja.”
“Farahi, saya dirogol bukan saya melacur diri!” suara Iris meninggi. Cuba memperjelaskan kepada Farahi.
Farahi mencekak pinggang. Dia pantas menggeleng.
“Mulai hari ini kita putus. Aku tak mahu ada apa-apa hubungan lagi dengan kau.”
“Habis, pertunangan kita?”
“Batalkan saja. Aku sanggup menanggung malu tak jadi bertunang daripada ambil perempuan macam kau jadi isteri aku.”
“Mana janji awak dulu, Farahi? Mana?”
Farahi tergelak sinis.
“Semua manusia boleh berkata janji. Janji itu sudah tiada guna lagi. Aku rasa aku boleh dapatkan perempuan yang lebih baik daripada kau. Selamat berbahagia, Iris. Assalamualaikum.”
Farahi terus melangkah pergi meninggalkan Iris terhuyung-hayang seorang diri. Iris menggeleng bagaikan tidak percaya ini semua berlaku.
“Ya Allah, kenapa aku yang dipilih untuk terima semua ini? Aku tak kuat!”
***********
Setelah hampir 9 bulan mengandung, akhirnya seorang bayi lelaki lahir ke dunia. Lahir untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Iris tersenyum lebar. Kepala anak kecil itu dicium penuh dengan kasih sayang.
“Jadi anak yang baik tau. Jaga ibu. Jaga nenek.” Bisik Iris di telinga anak kecil itu.”
“Apa rancangan kamu lepas berpantang, Iris?” soal Mak Halimah.
“Iris rasa Iris nak cari kerja kat KL. Iris bukannya tak ada kelulusan.” Iris seorang yang berpelajaran. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan. Cita-cita menjadi Pengawai Bank tetapi terhalang bila terjadinya peristiwa hitam itu.
“Furqan nak bawa sekali?” tanya Mak Halimah lagi.
Muhammad Furqan nama diberi buat bayi lelaki itu. Muhammad adalah nama Nabi Muhammad S.A.W manakala Furqan pula membawa maksud bukti, kenyataan dan kebenaran. Semoga Furqan menjadi seorang manusia seindah maksud namanya.
“Kalau mak tak kisah, Iris nak tinggalkan pada mak. Dua minggu sekali Iris akan pulang ke kampung. Lagipun Iris ada kenderaan untuk pulang nanti.”
“Mak tak kisah. Tapi bila dah ke sana nanti jangan dilupakan kat Furqan pula. Dia tetap anak kau, Iris.”
“InsyaAllah mak. Mak tolong Iris didik Furqan ya. Jangan biarkan dia jadi seperti ayahnya.”
Mak Halimah tersenyum. Dia simpati dengan nasib yang harus diterima oleh Iris. Tapi tak apalah. Itu takdir dia.
****************
Sudah dua minggu Iris bekerja di sebuah bank terkemuka di ibu kota. Impian dia untuk menjadi seorang pengawai bank tercapai. Setiap hari dia akan menelefon ke kampung untuk mengetahui keadaan mak dan anaknya.
Petang itu habis sahaja kerja, Iris mengambil keputusan untuk membeli barang dapur. Dia bersyukur kerana Allah mempermudahkan segala urusannya ketika dia datang ke sini. Dia menyewa rumah sewa yang tidak jauh daripada ofisnya.
Iris menyusun barang yang ada di dalam troli lalu di atas kaunter untuk pembayaran. Cukuplah barang itu bertahan sebulan. Dia ingat nak balik kampung. Nak bawa mak dan Furqan datang duduk bersama-sama dengannya. Tak adalah sunyi sangat.
“Semuanya RM 120.00.” ujar juruwang di kaunter kepada Iris. Iris mengeluarkan kad debit lalu diserahkan kepada juruwang memandangkan dia terlupa mahu mengambil wang terlebih dahulu tadi.
“Maaf cik. Cik ada cash tak? Sistem tengah down sekarang. Tak boleh nak guna kad debit.”
Iris mula resah. Dia membuka dompetnya tetapi tidak mencukupi untuk jumlah itu. Macam mana ni?
“Tak boleh langsung ke dik? Saya tak cukup untuk bayar cash.” Iris memberitahu. Dia melihat barisan dibelakangnya. Semua memerhatikan dia. Pengajaran disitu janganlah tak sediakan tunai. Kalau jadi macam ni, memang susah.
“Tak boleh cik. Sama ada cik berlari ambil duit sekejap atau cancel semua barang-barang ini.” Beritahu juruwang itu.
“Tak apa. Kira sekali dengan saya.” Seorang lelaki muda dibelakang Iris bersuara.
“Betul ni encik?”
“Ya betul. Kira sekali.” Ujar lelaki itu menyakinkan juruwang.
“Habis tu macam mana dengan barang saya?” soal Iris. Tiba-tiba sahaja menawarkan diri untuk kira sekali. Tak faham Iris.
“Saya bayar maka jadi barang sayalah.” Balas lelaki itu.
“Mana boleh. Ini barang saya.” Iris membantah.
“Awak tak cukup duitkan nak bayar? Jadi saya ambil semua barang ni kat saya.”
“Awak bayarkan dulu . Nanti saya bayar balik.”
Lelaki itu menggeleng. “No way. Ini dah menjadi hak milik saya.” Lelaki itu berkeras. Tidak mahu mengalah.
“Berapa?” soal lelaki itu kepada juruwang.
Iris melepaskan keluhan. “Tak apalah. Malas nak bertekak.” Iris terus melangkah kecewa. Tak fasal dia terpaksa memborong kembali barang-barang itu nanti.
Iris mencari ATM. Kalau tidak beli barang nanti terpaksalah dia makan di luar. Dah muak dah makan kedai. Lagipun dah alang-alang ada kat sini. Sakit hati pula dengan lelaki itu tadi. Tak ada bertolak ansur langsung.
“Awak nak pergi mana?”  Langkah Iris terhenti. Dia mahu masuk semula ke dalam Pasaraya Giant selepas mengambil wang di ATM.
“Nak beli baranglah. Dah barang saya orang ambil.” Balas Iris memerli lelaki itu.
“Dah tak payah. Ni barang-barang awak.” Lelaki itu menyerahkan troli kepada Iris. Iris terpinga-pinga. Tidak mengerti maksud lelaki itu.
“Tapi tadi...”
“Tak payah cakap banyak. Ini resit. Pergi balik masak sedap-sedap. Selamat memasak.” Resit itu diserahkan kepada Iris. Iris mengambil dan melihat jumlah barang itu tadi.
“Sekejap saya nak bayar balik.” Iris menyeluk tas tangan untuk mengeluarkan dompet.
Sebaik sahaja mengangkat kepala, lelaki itu telah lesap. Hilang terus dari pandangan mata. Iris tercari-cari tetapi tidak langsung kelihatan. Keluhan dilepaskan. Resit dilihat lagi sekali. Ada nota kecil disitu.
Saya Mirza. No telefon, 0194244319. Jumpa di Restoran Delima esok pukul 2 petang untuk bayar balik hutang saya. Tq.’
Iris tersenyum. Ni nak mengorat ke apa ni? Hish, Iris. Jangan nak perasan. Kau tu dah ada anak.
**************
“Assalamualaikum mak. Mak sihat? Furqan macam mana?” soal Iris sebaik sahaja panggilan telefon dijawab.
“Waalaikumussalam. Mak sihat. Furqan demam. Rindu ibu dia kot.”
“Ala yaka? Tak apa mak. Minggu ni Iris balik jenguk mak dan Furqan. Iris ingat nak bawak mak dan Furqan duduk sekali dengan Iris kat sini. Mak nak tak?”
“Habis tu ayam mak macam mana?”
Iris cuba untuk berfikir. Mak Halimah ada beberapa binatang ternakan yang kadang-kadang menghalang untuk pergi ke mana-mana. Katanya sayang sangat kerana binatang ternakan itu adalah ternakan arwah abah.
“Upahlah Halim tu jaga. Nanti Iris tolong bayarkan. Jangan risau.”
“Kau baliklah dulu, Iris. Nanti kita bincang lain. Furqan menangis tu. Mak letak dulu ya.”
Klik. Terus mematikan panggilan. Iris diundang kerisauan.
“Semoga anak ibu sihat. Ibu rindu Furqan.”
Iris melihat jam di komputer ribanya.Waktu lunch. Hari ini dia akan berjumpa dengan Mirza. Lelaki semalam. Harap tiada muslihat apa-apa.  Ikutkan hati tak mahu dia menurut kemahuan lelaki itu tetapi memandangkan dia berhutang jadi dia harus jugalah berjumpa.
Iris mengeluarkan telefon bimbitnya dan menaip mesej. Beberapa saat kemudian, kiriman itu berbalas. Amboi, cepat sungguh dia balas. Selepas mengesan kehadiran lelaki itu, Iris terus mencari. Kelihatan seorang lelaki yang dipercayai Mirza di meja hujung.
“Duduk dulu.” Ujar Mirza.
Iris menggeleng. “Tak boleh. Saya datang cuma nak bayar duit awak saja.”
Mirza tidak memandang Iris. Dia memilih untuk memandang telefon bimbitnya yang ada di atas meja. Jantungnya bergetar saat wajah itu dipandangnya. Dia tidak mampu menahan getar. Sungguh, dia sudah jatuh hati pada Iris. Biarlah orang kata dia gila tapi dia memang gila.
“Duduk dulu.” Paksa Mirza. Tidak mengendahkan kata-kata Iris.
“Sayakan cakap yang saya...”
“Nak duduk ke atau saya paksa duduk?” ugut Mirza sebelum sempat Iris menghabiskan kata-katanya.
Iris dalam nak tak nak terpaksa menerima tawaran itu. Eleh! Main ugut-ugut pula mamat ni.
“Nak makan apa?” soal Mirza.
Iris menggeleng.
“Suruh duduk tak nak. Tanya makan pun tak nak. Habis tu apa yang awak nak?”
“Saya nak bayar duit awak balik. Nah!” hulur Iris not yang berjumlah RM120 kepada Mirza.
Mirza tidak mengendahkan. Dia mengambil telefon bimbitnya lalu buat-buat tak tahu sahaja kepada Iris. Dalam diam, Mirza membuka aplikasi kamera dalam telefon dan mengambil gambar Iris tanpa sedar. Comel!
“Tak kisahlah awak nak tak nak. Saya ada kerja lain yang lagi penting.” Iris meletakan duit itu di atas meja dan dia bangkit dari duduknya.
“Duduk dulu. Kalau tidak saya tak nak terima dan anggap awak masih berhutang dengan saya.”
Iris mendengus geram. Dia memandang Mirza geram. Tapi lelaki itu langsung tidak memandang ke arahnya. Terjebak pada lelaki tak normal pula gamaknya aku ni. Rungut Iris dalam hati.
“Awak dah kahwin?”
“Kenapa nak tahu? Tak ada kena mengena dengan awak. Saya tak kenal awak dan awak pun tak kenal saya. Jadi tak payah nak menyibuk.”
“Baiklah. Saya kenalkan diri. Nama papa dan mama saya bagi adalah Muhamad Mirza Furqan bin Mirza Fahmi. Berumur 25 tahun. Masih bujang. Dan awak pula?”
Iris tersentap. Furqan? Nama anaknya. Ya Allah rindunya pada Furqan. Tak sangka boleh nama sama.
“Sebenar-benarnya apa yang awak nak?” soal Iris. Rimas pula bila dipaksa.
“Saya nak kenal dengan awak. Kalau sudi saya nak jumpa mak ayah awak. Saya nak masuk meminang awak dan kahwin dengan awak. Itu sahaja tujuan saya.” Mirza berterus-terang. Biarlah dia nak kata apa pun asalkan segala isi hatinya sudah terluah.
“Gila!”
“Siapa gila?”
“Awaklah.”
“Memang saya gila pun. Gilakan awak.”
“Uwek! Nak muntah dengar.” Balas Iris. Dadanya terus berdebar-debar.
“Aik, tak kahwin lagi dah muntah-muntah pregnant. Satu penerimaan yang baik.” Usik Mirza sambil bibirnya tersengih. Baru nak senyum. Tadi bukan main serius.
“Jangan nak buat kerja gilalah, Encik Mirza. Kita kenal semalam tak sampai 1 jam. Hari ini tak sampai lagi 20 minit sekarang awak bagitau awak nak kahwin dengan saya? Ini semua tak masuk akallah.”
“Awak pernah baca tak dalam facebook?”
“Baca apa?”
“Menurut kajian, lelaki boleh jatuh cinta hanya dalam masa 2 saat.”
“Fakta mana awak guna?”
“Fakta saya sendirilah. Saya yang buat kajian ni dan ternyata betul. Kita kenal semalam 1 jam dan hari ini 20 minit. Jadi 1 jam 20 minit bermakna itu sudah lebih daripada cukup untuk buat saya jatuh cinta pada awak.”
“Mengarut.”
“Tak adalah.”
“Sudah, saya nak balik. Terpulanglah nak terima atau tidak duit tu. Tapi Allah nampak yang saya berusaha bayar kat awak.”
“Iris Humaira.” Panggil Mirza membuatkan Iris menghentikan langkahnya. Dia menoleh dengan dahi yang berkerut.
“Pelik ke saya tahu nama awak?” soal Mirza sambil tersenyum. “Saya kenal awak dah lama. Cuma awak saja tak kenal saya.”
“Maksudnya?”
“Awak bekerja sebagai pengawai bank . Berasal dari Pulau Pinang dan mempunyai seorang anak lelaki tetapi awak masih bujang.”
Iris bertambah pelik. Dia memandang Mirza memohon penjelasan yang sejelasnya.
“Mana awak tahu semua ni?”
“Tak perlu tahu. Jadi lulus tak untuk saya datang masuk meminang awak?”
“Jangan harap!” Iris terus menonong melangkah meninggalkan Mirza.
“Saya akan kejar awak, Iris.” Jeritnya yang mampu didengari oleh Iris.
Iris tersenyum. Disamping itu dia turut sama berasa takut. Pelik sangat perangai Mirza. Semua tentang diri dia , Mirza tahu. Siapakah dia?
*****************
Iris tidak senang duduk. Semua siaran televisyen dibuka tetapi langsung tidak menarik perhatiannya untuk terus terlekat pada satu-satu rancangan itu. Fikirannya bercelaru memikirkan tentang Mirza. Lelaki misteri yang tiba-tiba hadir untuk meraih cinta daripadanya.
“Mak tengok dari tadi dok asyik tukar siaran tu. Kenapa? Ada masalah ke? Kalau ada masalah beritahu mak.” Soal Mak Halimah.
Mak Halimah sudah tinggal bersama dengan Iris. Kini tidak lagi Iris terpaksa berpisah dengan Furqan. Nasib baiklah Mak Halimah mahu menerima cadangan Iris.
“Tak ada apa, mak. Furqan dah tidur ke?” soal Iris. Cuba untuk mengubah topik.
“Dah. Biasalah bila nak membesar ni. Asyik demam.”
Iris tersenyum. Dia kembali mengalihkan pandangan kepada televisyen. Beberapa minit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Tanda ada mesej yang baru masuk.
‘Bagi saya peluang boleh? Untuk membuktikan yang saya serius. Saya akan jaga awak dan anak awak.’ – Mirza.
Iris melepaskan keluhan berat. Hati ini sudah tertutup untuk menerima insan yang bergelar lelaki. Lagi-lagilah Mirza entah lelaki itu datang dari mana. Tiba-tiba muncul. Sukarnya untuk Iris memberi hati ini. Luka lama masih belum sembuh. Tak mudah.
“Lelaki mana yang dah ketuk hati kau, Iris?” soal Mak Halimah selepas menyedari kegelisahan anaknya. Iris juga perlu merasa bahagia.
Iris resah. Dia membetulkan duduk dan memandang Mak Halimah.
“Apa mak cakap ni? Tak adalah.” Nafi Iris.
“Kau tu anak mak, Iris. Mak kenal dah.”
Iris terdiam. Mak Halimah memang pandai meneka. Dia boleh baca apa yang ada di fikiran dan hati Iris.
“Ceritalah kat mak.”
“Tak adalah mak. Mak, Iris naik atas dulu. Nak jenguk Furqan sekejap.” Iris cuba mengelak. Bukan masanya lagi untuk dia menceritakan kepada Mak Halimah.
“Iris, mak tahu apa yang ada dalam hati tu. Jangan ditutup selamanya. Kau berhak untuk dapat kehidupan yang lebih baik.”
“Tapi ada ke orang nak terima perempuan macam Iris ni? Dirogol, kotor dan ada anak luar nikah pula tu.” Balas Iris. Air matanya bergenang. Itu yang menghantui dirinya ketika ini.
“Iris, berapa kali mak pesan. Jangan guna perkataan itu. Sekarang ini Furqan masih kecil tak apalah. Nanti dah besar bila dengar perkataan luar nikah itu kasihan kat dia. Dia tak salah.”
Iris terdiam. Tanpa dipinta air mata mengalir laju membasahi pipinya.
“Pesan mak cuma satu. Cuba buka pintu hati itu. Kalau lelaki itu betul-betul ikhlas, dia akan terima Iris dan kekurangan diri Iris.”
Iris tidak berkata apa. Dia meninggalkan maknya di situ. Kepalanya ligat berfikir. Ada betul kata Mak Halimah tapi kenapa dia masih liat untuk buka pintu hati ini untuk orang yang sebetulnya? Iris keliru.
********************
Mirza hanya memerhati dari jauh. Nak dekat takut tapi sampai bila? Seronok dia melihat dua beranak itu. Iris dan anak lelakinya. Iris nampak dari jauh sedang termenung jauh sambil pandangannya dilemparkan ke tasik.
Mirza nekad. Tak akanlah dia nak terus macam ni. Kalau dia terus macam ni, sampai bila pun dia tak akan dapat meraih hati Iris. Dia kena membuktikan sesuatu. Mirza tahu untuk wanita itu membuka pintu hatinya tetapi Mirza yakin sekeras-keras hati wanita akan cair dengan keikhlasan seorang lelaki yang mencintainya sepenuh hati.
“Seronoknya termenung.” Tegur Mirza.
Iris tersedar daripada lamunannya. Dia memandang sebelah dan terkejut dia bila terpandangkan wajah Mirza yang sedang tersenyum lebar.
“Tepi sikit. Saya nak duduk.” Suruh Mirza membuatkan Iris terpaksa mengesot ke kanan sedikit untuk memberi ruang buat Mirza.
“Awak buat apa kat sini?”
“Mengejar cinta.” Balas Mirza selamba. Furqan di dalam troli bayi diambil lalu didukung oleh Mirza.
Iris tidak tentu arah. Baru sahaja dia ingin menenangkan fikiran akibat kerja yang bertimbun di ofis tetapi dikejutkan dengan kehadiran Mirza pula. Aduhai, Encik Mirza. Awak kejar orang yang salah.
“Nama apa si bam bam ni?” soal Mirza. Dia mencium berkali-kali pipi milik Furqan yang tembam itu.
“Muhammad Furqan.”
Mirza memandang Iris. Dia mengoyak senyuman.
“Nama sama. Ini anak daddy lah ni. Muhammad Furqan bin Muhamad Mirza Furqan.”
Entah kenapa dia diundang rasa sebak bila Mirza berkatakan itu. Anak kecil itu tidak berbapa. Kemana hilangnya Yusran, Iris tidak mahu ambil tahu. Tapi Mirza datang dengan tiba-tiba mengaku Furqan adalah anaknya membuatkan Iris rasa macam nak menangis.
“Kenapa awak datang dengan tiba-tiba?”
“Sebab saya tiba-tiba jatuh cinta dengan awak.”
“Tapi awak sendiri tahu saya siapakan? Tak layak untuk mana-mana lelaki.”
Mirza meletak Furqan semula di dalam troli bayi. Dia bangun dari duduknya dan berjalan ke hadapan sedikit. Kedua-dua belah tangannya dimasukan ke dalam poket seluar hadapan.
“Siapa awak nak tentukan awak layak atau tidak?”
“Awak sendiri kata awak tahu kisah saya. Siapa saya. Jadi untuk apa lagi awak nak terus mengejar saya? Saya ni kotor.”
Mirza memandang Iris. Wajah tenangnya itu mengukirkan senyuman lebar. Ikhlas.
“Awak bukan buat kerja tak senonoh. Awak hanya mangsa keadaan. Lagipun itu masa silam awak. Saya nak hidup dengan awak sekarang. Bukan dulu.”
“Tapi saya tak kenal awak. Hati yang pernah dilukai oleh lelaki dulu membuatkan saya takut. Saya tak kenal awak, asal –usul awak, datang tiba-tiba. Mungkin hanya mahu mempermainkan saya.”
Mirza menggeleng. Dia mendekati Iris dan melabuhkan punggungnya disebelah Iris. Tapi masih menjaga jarak.
“Saya tahu sukar untuk awak percayakan saya. Tapi kalau saya cabar terjun tasik ni, awak masih tak percayakan saya?”
Iris mengerutkan dahinya. Dia memandang Mirza pelik. Tak akan sampai macam tu sekali.
“Jangan nak mengarutlah, Encik Mirza.”
Don’t call me Encik Mirza. Hanya Mirza. Tak pun abang.” Mirza tersengih.
Iris menjuihkan bibirnya. “Tak kuasa saya.”
“Serius ni? Kalau saya terjun tasik ni, awak mahu percayakan saya atau tidak? Itu bukti saya ni betul-betul ikhlas untuk bersama dengan awak.”
“Itu tak membuktikan apa-apalah, Encik Mirza.” Iris masih lagi membahasakan Mirza dengan panggilan yang sama. Kekok nak mengubahnya.
“Okay. Saya cuba buktikan.”
Mirza terus berjalan menuju ke tasik. Dia turun ke bawah sikit demi sedikit. Iris sudah mula berasa takut dan risau. Betul-betul ke Mirza ni?
“Eh awak!.” Panggil Iris. Tetapi Mirza tidak mengendahkan. Mirza semakin hilang dari pandangan matanya.
“Awak, janganlah. Saya percayakan awak!” Iris menolak troli Furqan dan mendekati tasik. Tetapi tubuh badan Mirza tidak kelihatan.
Dada Iris berdengup kencang. Biar betul dia buat? Ya Allah, macam mana kalau dia lemas? Macam mana kalau dia mati? Iris menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Cari saya ke?”
Iris menoleh ke belakang. Mirza sedang tersenyum. Iris memandang tubuh badan Mirza. Pakaiannya tiada yang basah.
“Okay. Terima kasih sebab percayakan saya. Minggu depan saya masuk meminang awak. Ke awak nak bernikah terus?” tawar Mirza.
“Siapa yang bagi persetujuan?” soal Iris kembali.
“Tak kisahlah. Minggu depan saya nak jumpa mak mentua saya. Jaga Furqan junior baik-baik.”
Mirza terus  melangkah pergi sebelum sempat Iris berkata apa-apa. Iris melepaskan keluhan. Memang gila lelaki ini.
*****************
Iris mendukung Furqan. Memandangkan hujung minggu, dia membawa Furqan berjalan-jalan. Dia ajak maknya tadi tapi mak menolak. Katanya nak berehat di rumah sahaja.
“Assalamualaikum.” Tegur satu suara.
Iris memandang. Terkejut dia dengan kehadiran orang yang tidak pernah disangka akan munculkan diri. Hari ini dia datang kembali. Peristiwa lama kembali menjengah ke dalam kotak fikiran.
Iris cuba untuk melarikan diri. Dia berjalan dengan pantas tetapi diekori oleh Yusran.
“Iris, dengar dulu penjelasan aku.” Ujar Yusran.
“Apa lagi kau nak, Yusran? Kenapa kau harus muncul lagi dalam hidup aku?”
“Iris, aku datang nak minta maaf. Aku tahu aku salah. Bagi aku peluang untuk tebus kembali semua silap aku.”
Iris tidak lalu untuk memandang wajah Yusran. Rasa benci yang menggunung membuatkan di rasa jijik dengan wajah itu.
“Senangnya kau. Kau dah rosakkan hidup aku. Kau tinggalkan aku terkontang-kanting  sampai aku mengandung. Sekarang kau datang nak minta maaf macam tu saja? Jangan harap, Yusran. Sampai mati aku tak akan pernah memaafkan kau.”
“Ini anak akukan?” Yusran cuba mengambil Furqan tetapi Iris memeluknya erat.
“Kau tak layak digelar ayah!” hambur Iris.
“Aku nak bertanggungjawab terhadap kau. Kita kahwin. Bina hidup baru dengan anak kita ni.”
Iris tersenyum sinis. Dia rasa sakit bila Yusran berkatakan begitu. Kalau perempuan lain, mungkin akan cair dengan pujukan itu tetapi tidak bagi Iris. Dia cuba keraskan hatinya dari termakan pujuk rayu Yusran.
“Kau demam ya, Yusran? Sejak bila kau ada hati perut?”
“Iris. Aku tahu dosa aku terlalu besar kepada kau. Tapi jangan biarkan seumur hidup aku dihantui rasa berdosa. Tolong aku. Aku nak bertanggungjawab.”
“Sudahlah, Yusran. Aku tak mahu dengar apa-apa lagi. Sampai mati aku tak akan terima kau.”
Iris terus melangkah pergi. Yusran cuba untuk mengejar tetapi Iris menghalang. Air mata Iris mengalir laju. Cuba dikuatkan hatinya tetapi dia hanya manusia yang mempunyai hati yang rapuh.
******************
“Makcik, saya nak masuk meminang Iris.” Ujar Mirza dengan beraninya. Dia datang seorang diri.
Iris hanya tunduk. Memang nampak kesungguhan Mirza mahu memiliki dirinya. Bohonglah kalau dia kata, dia tidak terbuka hatinya untuk menerima Mirza. Dia harus memberi peluang buat lelaki itu.
“Makcik tak kisah. Kena tanya tuan punya dirilah.” Mak Halimah tersenyum. Gembira dia apabila ada lelaki yang mahu menerima Iris.
Iris terdiam. Dia memandang Mirza. Sempat lagi Mirza bertindak nakal dengan mengenyitkan matanya. Aduhai! Macam manalah tak jatuh hati kalau macam ni.
“Mak macam mana?” soal Iris.
“Bukan mak yang nak hidup dengan kau Iris. Iris tentukan sendiri.” Mak Halimah tidak menghalang siapapun pilihan anaknya. Dari pandangan dia sebagai orang tua dia dapat rasakan Mirza ikhlas untuk memilik dirinya.
“Tak tahulah mak.” Bisik Iris di telinga Mak Halimah.
Mak Halimah senyum. Dia memandang Mirza. “Dia cakap dia setuju.” Ujar Mak Halimah membuatkan Iris membulatkan matanya besar.
“Mak!” Iris protes. Mak Halimah tergelak besar.
“Cuma satu saja makcik nak Mirza janji. Jangan sia-siakan dia. Jangan pula diungkit masa lalu dia. Makcik tak nak dia terluka lagi.”
“InsyaAllah makcik. Mirza akan cuba jaga dia dengan sebaik-baiknya.”
Selepas berbincang, mak Halimah masuk ke dalam bilik. Kedengaran Furqan menangis. Sengaja dia nak tinggalkan Mirza dan Iris berdua.
“Terima kasih. Kita tak payah bertunanglah. Nikah terus.”
“Gelojoh.”
“Haruslah. Dah lama tunggu awak kata terima. Dah alang-alang dah terima nikah teruslah.” Mirza gelak.
“Saya tak tahu perasaan saya sekarang ni.”
“Tak apa. Take your time. Saya tak akan paksa awak. Sudah cukup baik awak sudi terima saya.”
“Terima kasih sudi terima walaupun awak tahu siapa saya.” Iris tersenyum.
It’s okay. Abang..Eh, tersasul pula.” Mirza tersengih. Mengada-ngadanya. “Saya nak beritahu esok saya outstation. Jadi tak dapat nak jumpa. Tapi masih boleh on the phone.”
“Okay.”
“Jangan rindu saya.”
“Jangan harap.” Iris menghadiahkan jelingan.
“Tak apalah. Siapalah kitakan untuk dia nak rindu.” Mirza menayangkan wajah sedih.
Iris menjuihkan bibirnya. Dia tersenyum bila Mirza menarik muka kecewanya itu.
“Poyo!”
Mirza tergelak. Dalam diam, Mak Halimah mengintai dari dalam bilik. Dia tersenyum bila melihat kemesraan Mirza dan Iris. InsyaAllah, Mirza adalah lelaki yang sebetulnya.
***************
Sudah dua hari Mirza bekerja luar kawasan. Iris sudah berasa rindu. Perasaan rindu yang telah lama hilang dulu untuk seorang lelaki kini hadir dengan kehadiran Mirza. Iris mengambil telefon bimbitnya lalu mendail nombor telefon Mirza.
“Assalamualaikum.” Ujar Iris teruja.
“Waalaikumussalam. Siapa ni?” soal satu suara perempuan dari corong telefon.
Dada Iris berdebar-debar. Siapakah perempuan ini? Katanya dia outstation. Lagi pula Mirza tidak mempunyai adik-beradik lain.
“Siapa ni?”
“Awak yang call sekarang awak tanya saya siapa pula.”
“Mirza ada?” Iris cuba mengawal perasaan. Mungkin kawan sekerjanya.
“Dia tengah mandi.”
“Siapa tu, Alia? Kan dah cakap tadi jangan jawab call abang.” kedengaran pertanyaan daripada Mirza. Jauh.
Abang? Mirza tak ada adik. Malah adik perempuan sekalipun. Tapi panggilan itu membuatkan hati Iris bagai disiat-siat.
“Tak tahu. Nahlah abang.”
Iris hanya mendengar perbualan itu. Tetapi dadanya diundang rasa sakit. Siapa perempuan itu?
“Sayang, sorry saya mandi...”
Klik. Iris terus mematikan panggilan tersebut. Dia menyembamkan mukanya di atas katil. Sungguh dia kecewa. Kali ini rasa kecewa untuk kali keduannya.
“Ya Allah, kenapa hidup aku begini?”
Iris terus menangis teresak-esak. Panggilan daripada Mirza langsung tidak diendahkan.
****************
Iris duduk termenung. Furqan di dalam troli dibiarkan merengek. Sungguh dia tidak mudah untuk menerima semua ini. Dari semalam semua panggilan daripada Mirza dia tolak. Dia perlukan masa untuk mendengar penjelasan daripada lelaki itu. Terkilan dia bila Mirza sanggup menipu dirinya.
“Iris.”
Airmatanya cepat-cepat disapu dengan belakang tangan. Dia kenal suara itu. Suara lelaki yang dibenci. Yusran.
“Kau buat apa kat sini?” soal Iris. Dia tidak suka. Lelaki semuanya sama.
“Terima aku balik. Aku janji aku tak akan melukakan hati kau lagi.”
“Sudahlah, Yusran. Aku sudah tawar hati dengan mana-mana lelaki. Lagi-lagi kau yang pernah membuat onar pada aku.”
“Aku dah berubah, Iris. Aku menyesal. Kalau masa ni boleh aku putarkan balik, aku mahu kembali. Aku mahu ubah semuanya.”
Iris menarik nafas dalam. Furqan diambil dari dalam troli bayi bila dia menangis. Lapar. Botol susu dibuka dan disuapkan ke dalam mulut Furqan.
“Tapi hakikatnya tak boleh. Dan aku tak akan terima sesiapa lagi dalam hidup aku. Aku boleh hidup tanpa lelaki.”
“Iris, jangan keras sangat hati tu. Demi anak kita, Iris. Kau tak kasihan ke kalau dia besar nanti kawan-kawan dia semua ada bapa tapi dia tidak.”
Iris senyum sinis. “Sekarang baru kau fikir semua tu? Dah terlambat. Nama dia tidak berbinkan kau.”
“Tapi dia tetap anak aku. Darah dia dalam tubuh itu ada darah aku.”
“Aku berharap anak ini tidak sekejam bapanya. Sanggup buat apa sahaja demi nafsu.”
“Iris, tolonglah. Aku nak tebus balik. Bagi satu lagi peluang untuk aku.”
“Tak semua orang boleh diberi peluang kedua. Takut mereka mensia-siakan dan membuatkan aku sakit lagi. Cukuplah seksa hidup aku.”
“Aku janji demi Allah, aku akan jaga kau dengan baik Iris. Kalau aku langgar janji ini aku rela Allah laknat aku.”
Iris memandang Yusran. Dia terkejut dengan kenyataan daripada Yusran itu. Dia sanggup bermain nama Allah untuk menyakinkan Iris untuk menerima dia semula. Allah. Hati dia sudah ada pada Mirza. Tapi lelaki itu mensia-siakan kepercayaan aku.
Yusran, lelaki yang paling dibenci. Maknya pasti menentang habis-habisan. Dia sudah berjanji pada diri yang dia tak akan menerima Yusran lagi walaupun apapun yang terjadi.
“Aku janji, Iris. Izinkan aku untuk tebus balik dosa aku.” Dia merayu lagi. Iris perasan airmatanya hampir jatuh. Cuba meraih kemaafan daripadanya.
Iris menggeleng. Dia memandang ke hadapan. Hatinya berbolak-balik.
**************
“Iris, maafkan saya. Awak dah salah faham ni.” Mirza berterus-terang.
“Salah faham apa lagi? Dah jelas-jelas awak ada skandal di belakang saya. Awak tipu saya bila saya percayakan awak, Encik Mirza.”
“Iris, perempuan tu bukannya sesiapa pun. Dia...”
“Cukup. Bukti dah jelas. Saya tak akan percaya lelaki macam awak lagi. Tolong pergi dari hidup saya.”
“Dengar penjelasan saya dulu, Iris.”
“Saya tak nak. Saya harap awak bahagia. Jangan tipu perempuan lain lagi.”
Iris menonong melangkah pergi. Panggilan daripada Mirza langsung tidak diendahkan. Dia cuba menahan tangis di hadapan Mirza dan berjaya. Tapi air matanya tetap degil mahu menyembah bumi.
******************
“Terima kasih sayang. Sudi terima abang kembali dalam hidup sayang.”
Iris tersenyum. Dia memeluk erat pinggang suami yang baru dinikahinya semalam. Kebahagiaan akhirnya menjelma juga. Walaupun penuh dengan cabaran yang mendatang tetapi Iris bersyukur Allah telah menghantar kebahagiaan lain untuknya.
“Terima kasih juga sudi buat sayang rasa bahagianya hidup.”
“Lain kali jangan nak menuduh tanpa dengar penjelasan dulu tau. Bahaya. Rosak rumahtangga kalau macam tu.”
Iris tergelak kecil.
“Bukannya menuduh tetapi perempuan mana boleh tahan kalau perempuan lain yang jawab panggilan telefon orang yang tersayang. Lagi-lagi bila dengar abang tengah mandi.”
Mirza tersenyum. Dia mencium kepala Iris lembut. Penuh dengan rasa kasih dan sayang.
“Abang nak beri penjelasan, sayang tak nak.”
“Kasihan Alia. Tak pasal dia kena tuduh ganggu hubungan orang. Kalau abang berterus-terang yang abang balik kampung nenek tak adanya sayang nak fikir bukan-bukan. Sayang bolehlah sedapkan hati mungkin sepupu abang ke apa. Ini tidak. Cakap outstation. Ingatkan atas urusan kerja. Kalau kerja ada perempuan lain dalam satu bilik, memang cari nahaslah.”
“Nasib baik abang cepat. Kalau tidak, melepas sayang dapat kat Yusran.”
“Sayang dah pun maafkan Yusran. Dia dah terima yang sayang memilih abang untuk jadi suami sayang. Dia nak berhijrah ke Mesir. Nak belajar agama kat sana.”
“Alhamdulillah. Akhirnya, berjaya juga jadi isteri abang.” Mirza tersenyum nakal. Dia memusing badan Iris dan memandangnya.
Muka mereka semakin rapat. Bibir mereka bertaut seketika. Iris tertunduk malu.
“Malu ke?”
“Bukan macam abang. Tak tahu malu.”
Mirza tersengih.
“Jom.”
“Pergi mana?”
“Bagi adik untuk Furqan.” Mirza tersengih.
Dia pantas mendukung Iris dan mereka bersama – sama membina bahtera kebahagiaan rumahtangga mereka. Iris berharap yang kebahagiaan ini akan menjadi miliknya selama-lamanya.
Iris tak sangka dalam Mirza adalah bos di tempat kerjanya. Dia tidak pernah tahu tapi dalam diam Mirza mengambil tahu tentang dirinya. Alhamdulillah. Bukti Allah itu Maha Adil. Dia tak akan biarkan hambanya terus dilanda kesusahan.
‘Terima kasih Ya Allah.’