Katakan Cinta 8

Bab 8

Aku gelabah. Dahi yang berpeluh aku lap dengan belakang tangan. Mikael masih lagi tersenyum senget memandang aku. Saja tu nak bagi aku bertambah gelabah.

“Nak pergi mana tu?” tegur Mikael bila aku nak mengangkat kaki dari situ. Cuba mengelak daripada kena bahan.

“Err...”

“Bukan main gedik lagi kaukan. Apa kau panggil aku tadi? Cuba ulang lagi sekali.”

“Aku berlakon sajalah. Saja nak sakitkan hati Fakrul.” Nafi aku. Memang itu pun tujuan aku sebenar. Tak ada maknanya aku nak panggil dia macam tu.

Mikael tergelak. Dia menghampiri aku. Makin dia dekat makin aku cuba ke belakang. Apa kena dengan mamat ni? Dengan muka nakal tak ingat tu. Waduh! Jantungku berdebar-debar.

“Cakaplah sekali lagi. Aku tak puas dengar tadi.” Rayu Mikael.

“Aku main-main sajalah.”

Aku melarikan diri jauh daripada dia. Dia ketawa kuat. Seronoknya muka dia dapat kenakan aku.

“Hang jangan macam-macam, Mikael. Aku report kat abah nanti.” Ugut aku bila nampak Mikael dah lain macam.

Dia tersengih.

“Comel betul kau cakap macam tu tadi. Kenapalah tadi aku tak bersedia dengan recorder.”

“Nak buat apa?”

“Nak recordlah. Bila pula rasa nak dengar kau panggil aku macam tu lagi. Bie.” Dia tergelak besar.

Aku garu kepala. Bibir aku ketap kuat. Sengaja nak main-mainkan aku. Dah tahu aku malu lagi mau usik aku.

“Sakai.”

“Sakai ni jugalah kau panggil bie kan? Alolor comel sangat kau ni.”

Aku tutup muka dengan kedua-dua belah tangan. Tak tahan dengan usikan daripada Mikael itu. Membuatkan aku rasa macam nak masuk dalam almari. Menyorok dalam tu.

“Hang pi balik. Aku banyak kerja ni.”

“Okay, sayang. Bie balik dulu ya.” Mikael mengenyitkan matanya kepada aku. Meremang bulu roma ni. Mencacak naik.

Aku tidak membalas. Saja aku tunduk dan tidak memandang dia. Lain macam sangat dah tu perangai dia.Tidak lama lepas tu aku angkat kepala. Aku menarik nafas lega bila dia sudah tidak kelihatan lagi.

Ketika aku nak melangkah masuk ke dapur semula , tiba-tiba...

“Jangan rindu bie tau sayang.”

Bulat mata aku bila dia tiba-tiba muncul di celah pintu. Ya Allah, perangainya tak senonoh langsung!

Kedengaran dia tergelak besar dan menghilangkan diri dari situ. Harap dia tak kembali lagi. Tak sangka, aku geli hati dengan sikap Mikael tu. Bibir aku tak sengaja mengukirkan senyuman.

“Aduh!”
*********
Letihnya hari ni. Pelanggan ramai daripada biasa. Tapi bersyukur sangat. Pukul 11.00 malam baru aku dapat rehat. Bukan rehat untuk tidur tapi baru dapat rehat seketika sementara pekerja aku mengemas untuk tutup restoran.

Restoran aku bukan sahaja ada makan tengah hari tetapi akan dibuka sampai pukul 11.00 malam dan menyediakan masakan Thai. Aku belajar memasak dengan jiran rumah aku dulu. Orang Siam.

Telefon berdering. Panggilan daripada abah. Risaulah kot seharian aku tak balik rumah hari ini. Tak sempat nak balik.

“Ya abah.”

“Dah tutup kedai dah?” soal abah.

“Baru nak tutup abah. Satgi Rania baliklah.”

“Tak apa. Abah dah suruh Mikael pi teman hang. Balik dengan dia. Jangan dok gatal nak balik seorang.”

Aku tepuk dahi. Abah ni macam sengaja saja nak bagi aku berdua dengan mamat tu. Sudahlah peristiwa petang tadi betul-betu memalukan.

“Termenung teringat kat bie ke?”

Aku tersedar. Aku memandang ke hadapan dan melihat Mikael sedang tersengih memandang aku. Datang dah mamat ni.

“Aku tak ada masa nak layan hang. Aku letih.”

“Kesiannya sayang bie ni letih ya. Nak bie urut ke?”

Bulat mata aku. Mikael pula tersenyum nakal. Apa dia cakap ni?

“Ops! Lupa. Tak halal lagi.”

Aku melepaskan keluhan berat. Tadi tenang saja hidup aku tapi bila mamat ni muncul terus jadi tak tenang.

“Lepas kahwin bolehlah. Aku pandai urut tau. Kau bagitau ja nak urut kat mana. Kat kepala, kat lengan, kat...”

“Hoi! Kalau hang rasa gatal sangat dah pi kat lain. Aku tak mau dengar.” Aku memotong kata-katanya. Gerun aku mendengar dia cakap benda yang macam tu. Sangat sensitif tau.

Mikael ketawa. Aku membalas dengan jelingan tak puas hati. Aku membuka mesin kira lalu mengeluarkan semua pendapatan yang aku dapat pada hari ini. Berbaloi penat pun bila tengok hasil yang dapat.

“Aku dah baca Al-Quran hari ni.”

Aku memandang dia. Cepatnya. Baru dua minggu dia ada di sini tapi dah boleh baca Al-Quran. Aku selalu juga mengendap dia semasa dok merangkak baca Muqadam lagi.

“Surah Al-Baqarah?” soal aku.

“Ya. Tapi aku rasa aku kena stop dulu sampai surah ni.”

“Awat?”

“Aku kena balik KL. Papa aku masuk hospital. Kemalangan.”

“Bila? Macam mana dengan pak ngah?”

Mikael menarik nafas dalam. Dia memandang aku lalu tersenyum.

“Aku baru dapat tahu dan papa kritikal.”

“Inalillahi... Bila hang nak gerak balik?”

“Esok pagilah kot. Tengoklah dulu macam mana. Kau dah siap kemas belum?”

Aku terkejut. Boleh pula dia jawab macam tu? .

“Belum dan hang tak patut mai ambil aku. Aku boleh balik sendiri.”

“Tak boleh. Abah mentua aku tu bising. Risau anak dara dia hilang. Lagipun abah pun tak tahu lagi pasal ni. Dalam perjalanan ke sini tadi aku dapat call.

“Dahlah. Hang pi balik. Kemas apa yang patut. Tak perlu risaukan aku. Aku balik sendiri satgi.”

Mikael menggeleng.

“Abah kau bagi amanah kat aku. Aku kenalah tunaikan.”

“Tapi papa hang lebih penting.”

“Kau pun penting.”

Berkerut dahi aku bila mendengar balasan daripada Mikael itu. Ish! Apa pula aku yang pentingnya.

“Mikael, aku banyak lagi benda nak kemas. Hang pilah balik tengok papa hang. Dia lagi penting.”

“Relakslah. Kalau aku nak balik aku boleh balik naik flight.”

“Jadi hang dah kena gerak dah ni. Setengah jam jugalah nak ke airport dari sini. Hang patut dahulukan papa hang dari semua benda. Keluarga lagi penting dari segala-galanya, Mikael.”

Mikael membuat muka bosan. Pelik aku dengan reaksi Mikael yang tak nampak kisah sangat dengan kecelakaan yang menimpa papanya sendiri.

“Banyak bunyilah kau ni.” Balas Mikael. Eh, salahkan aku pula?

“Papa hang kemalangan kot. Kritikal.” Aku tak puas hati. Aku memang pantang sikit bila bab keluarga diambil mudah. Aku bila dengar abah aku demam pun aku dah gelabah. Bawa abah ke klinik. Jaga abah sampai sembuh. Macam tu juga dengan mak. Tapi Mikael?

“Jadi apa masalahnya?”

“Hang tak rasa apa-apa ka?”

“Nak rasa apa? Aku kena menangis ke untuk tunjuk reaksi sebenar aku?”

Aku ketap bibir. Geram. Sangatlah geram. Mikael, papa hang kot! Aku tutup mesin kira tu dengan kasar. Segera aku bangkit dan menuju ke belakang. Nak suruh Latip kemaskan semua. Selepas selesai, aku kembali ke depan dan mengambil beg tangan aku.

“Jom balik!” ajak aku tanpa memandang muka dia.

“Kau apahal tiba-tiba nak marah aku ni? Aku buat salah apa?”

“Hang macam tak kisahkan papa hang kemalangan?”

“Habis tu aku nak buat apa?” Mikael tak faham.

Aku mendengus. “Kalau aku di tempat hang, sekarang juga aku balik tengok abah aku. Kawan, isteri, suami kita boleh cari lain tapi mak abah tak akan ada yang lain.”

“Itu kau. Bukan aku. Kau bayangkan selepas 22 tahun aku tak pernah kenal bapa aku. Baru dua tahun yang lepas. Kau rasa perasaan sayang aku tu sama ke macam sayang orang lain pada bapa dia orang?”

Oh! Patutlah. Sekarang aku dah faham. Tapi aku tetap tak setuju dengan cara dia yang tidak ambil kisah.

“Tapi dia tetap papa hang.”

“Hati aku berbelah bagi. Selama ni aku fikir aku tak ada bapa. Aku tak pernah rasa pun kasih sayang bapa. Tiba-tiba papa aku datang. Aku boleh terima pasal agama aku tapi aku rasa kekok untuk terima papa aku dalam hidup ni.”

“Dalam Islam, mak abah itu paling perlu kita hormati. Tak akan hang tak belajar itu?”

“Ya aku tau tapi aku tak boleh.”

“Sebab apa hang rasa macam tu?”

“Entahlah. Tapi aku rasa macam aku berdendam dengan papa aku sendiri.”

“Sebab dia tinggalkan hang dulu?”

“Yalah. Kenapa baru dua tahun lepas baru dia datang?”

Aku melepaskan keluhan. Aku tahu kisah hidup pak ngah. Abah ada ceritakan segala-galanya. Perkahwinan Pak ngah dan mak Mikael tidak direstui oleh nenek aku dulu. Mereka berkahwin secara senyap dan akhirnya terbongkar. Pak ngah terpaksa menceraikan mak Mikael dan selepas itu nenek mengugut untuk Pak ngah melupakan bekas isterinya itu. 

“Dia ada sebab tu.”

Mikael gelak. “Sebab?”

Aku bengang dengan sikap Mikael.

“Mikael, kalau hang nak terus bersikap macam ni lebih baik hang balik ke tempat asal hang. Aku boleh habaq kat abah untuk tidak mengajar hang lagi. Agama Islam menuntut untuk kita menghormati ibu dan bapa. Itu perkara paling penting, Mikael.”

“Aku bukan tak cuba tapi dah cuba. Tapi aku tetap tak boleh. Papa aku tak bagi aku apa-apa alasan kenapa dia buat aku macam tu.”

One day dia akan beritahu hang.”

“Kau tahu?”

“Tahu apa?”

“Pasal cerita papa dan mama aku dulu?”

Aku pantas menggeleng. Abah dah pesan untuk merahsiakan sebabnya kerana permintaan pak ngah sendiri. Aku sendiri tak pasti kenapa perlu pak ngah menyembunyikan semua ini.

Kedengaran Mikael melepaskan keluhan.

“Hang balik ya? Aku hantar hang kat airport.”

“Kau macam nak halau aku saja.”

Bibir aku mengoyak senyum. Walaupun tadi bengang tapi sekarang aku cuba kawal. Teringat aku pesan abah agar tidak terlalu memaksa seseorang itu berubah. Perlukan strategi dan cara yang betul barulah berkesan.

“Taklah. Aku tunggu hang balik sini.”

Why not kalau kau ikut aku sekali?”

Bulat mata aku mendengar permintaan dia. Aku garu kepala. Tak akanlah aku nak ikut dia pula. Aku mana ada apa-apa ikatan. Lagilah, aku tak kenal sangat dengan dia walaupun pangkat sepupu.

“Aku kerjalah.”

Muka Mikael hampa. Aku nampak dari raut wajahnya itu.

“Nanti macam mana kalau aku rindu kau?”

“Apahal pula nak rindu aku?” soal aku. Berdebar-debar tiba-tiba.

“Mana tahu kot-kot rindu nak dengar kau panggil aku bie.” Mikael tersengih.

Sepantas kilat aku menampar belakang dia. Kuat sekali. Biar dia rasa senak. Padan muka.

“Sakitlah, gila.”

“Dahlah jom. Satgi abah risau pula.”

“Rania..” panggil Mikael lembut.

Aku menoleh.

“Panggil aku bie sekali. Please...” Dia buat muka comel. Muka merayu dan muka yang sangat minta penampar.

Aku menggeleng.

“Jangan harap!” Balas aku dan terus menapak ke kereta. Bibir aku mengukirkan senyuman.

Alahai, Mikael. Apa kenalah dengan hang? 

No comments:

Post a Comment

- Kalau tak kisah boleh tinggalkan komen...
- Setiap komen anda amatlah dihargai...
- Kalau suka bolehlah klik button Like...
- Terima Kasih...

Semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmati oleh ALLAH